"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek wanita tipu umrah direman

Samadi Ahmad
bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Suspek wanita dalam kes penipuan 26 jemaah umrah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu lalu ditahan reman dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Jurucakap Balai Polis Bentong, Pahang memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berkenaan kes itu membabitkan seorang mangsa wanita dan kes disiasat mengikut Akta 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek wanita itu ditahan reman di Balai Polis Bentong dan polis juga sudah mengambil keterangan daripada wanita yang membuat laporan semalam.

Katanya, setakat ini polis Bentong hanya menerima satu laporan membabitkan kes berkenaan dan empat lagi laporan diterima di utara tanah air.

"Reman ke atas suspek tamat hari ini dan selepas itu wanita berkenaan akan dibawa ke Kedah untuk tahan reman bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.

Semalam media melaporkan seramai 26 jemaah umrah terkandas di KLIA selepas syarikat pengendali yang diuruskan oleh seorang wanita gagal menyediakan tempat penginapan dan tiket untuk berlepas ke Makkah.

Syarikat itu kononnya menyatakan tarikh penerbangan adalah pada 25 Disember jam 3.30 petang dengan penerbangan Etihad namun ia tidak wujud.

Modus operandi adalah dengan menawarkan pakej murah RM4,5000 seorang dan ada peserta berhadapan kerugian sehingga RM20,900.

Sementara itu seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Julia, 26, berkata beliau sudah hadir ke Balai Polis Bentong bagi membuat laporan semalam.

Katanya, pada masa sama dia juga sudah memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan.

"Saya berharap lebih ramai lagi mangsa membuat laporan polis agar mangsa dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman setimpal, " katanya.

Haji Hadi gelar ‘Madani Jahiliah’, anggap PH pula wakil penjajah

Harapandaily

Hanya kurang 24 jam melangkah ke tahun baharu 2025, Pas menggelar dasar kerajaan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya ‘Madani Islam’ sebaliknya ‘Madani Jahiliah’.

Dalam masa sama, presiden parti pembangkang itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap negara berada di bawah wakil penjajah yang dinamakan Pakatan Harapan (PH).

Gelaran dan tuduhan Ahli Parlimen Marang berkenaan terkandung dalam siri artikelnya di ‘Minda Presiden Pas’ hari ini.

Bertajuk ‘D-8 dipandang remeh’, Hadi berkata, penubuhan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) atau Organization for Economic Cooperation merupakan langkah untuk kembali semula kepada Islam yang pasti mendapat tentangan daripada kuasa penjajah.

“Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba menyambung semula langkah D-8 kepada matlamat yang lebih besar. Malangnya, hanya empat negara sahaja yang menyahut seruan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit).

“Ketidakhadiran Perdana Menteri Malaysia kini yang membawa slogan Madani menunjukkan perjuangannya bukan Madani Islam yang sebenar bersempena bandar Madinah yang dinamakan oleh Rasulullah SAW.

“Akan tetapi, perjuangannya bergantung kepada Madani Jahiliah seperti Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan BlackRock.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa perjuangan kemerdekaan kita belum selesai kerana masih berada di bawah wakil penjajah yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) yang masih berkiblatkan White House dan mengucup BlackRock,” kata Abdul Hadi.

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu juga menulis bahawa “kenyataan-kenyataan anti-Islam yang berani oleh DAP dan rakan-rakan berwajah Melayu seperti PKR, UMNO dan PAN (AMANAH) yang menjadi juru pembelanya yang bersuara bagi pihaknya, sangat nyata wala’ (kesetiaan) kepada musuh Islam.”

“Inilah sebab Majlis Syura Ulamak Pas membuat keputusan bahawa Pas tidak lagi bertahaluf dan berta‘awun dengan jajaran tersebut,” ujar bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu lagi.

Anita Sarawak mohon maaf tolak undangan konsert, selesa berdiam diri selepas bersara

Astro Awani

Gambar terbaharu Anita Sarawak dan suaminya, Mahathir Abdullah yang dirakamkan pada Jun 2024. - Gambar ihsan Shuib Taib

KUALA LUMPUR: Sebaik memilih berjauhan dari radar dunia hiburan, penyanyi ternama Anita Sarawak nekad untuk tidak lagi aktif dalam pertunjukan pentas termasuk menolak undangan mengadakan konsert bagi mengenang komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

Pada usia 72 tahun, Anita dilaporkan sangat selesa dengan kehidupan berbeza yang sedang dinikmati bersama suami tercinta, Mahathir Abdullah di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Mendedahkan pendirian penyanyi yang pernah masyhur dengan lagi Akhirnya Kini Pasti dan Tragedi Buah Epal itu, bekas editor hiburan, Roslen Fadzil berkata, keputusan Anita itu dimaklumkan sendiri oleh suaminya baru-baru ini.

Roslen yang diminta oleh penganjur konsert mega mengenang Allahyarham Adnan untuk menjejaki Anita berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, beliau meminta jasa baik rakan karibnya, Shuib Taib berhubung dengan superstar itu.

"Demi mendapatkan Anita, saya meminta bantuan adik angkatnya yang juga bekas wartawan hiburan The New Straits Times (NST), Shuib Taib berhubung dengan Anita dan suaminya, Mahathir Abdullah di Las Vegas dengan harapan mereka bersetuju.

"Sesudah Shuib berjaya menghubungi mereka, akhirnya kami mendapat jawapan daripada Mahathir melalui pesanan WhatsApp. Walaupun jawapan mengecewakan, tapi kami hormati pendirian Anita dan Mahathir," kata Roslen dalam hantaran di akaun media sosialnya pada Isnin.

Anita atau mesra disapa Kak Nita disenaraikan oleh penganjur bersama ramai lagi penghibur lain yang pernah digilap bakat oleh Allahyarham Adnan dalam konsert mega di Kuala Lumpur, tahun depan

Sepanjang kerjaya seninya, Anita pernah merakamkan lagu Cintamu Muzik Di Hatiku ciptaan Allahyarham Adnan dan lirik ditulis oleh Allahyarham Seri Bayu.

Menerusi pesanan yang sama juga, Mahathir memaklumkan, Anita turut bersedih dengan pemergian Adnan yang disifatkannya sebagai penerbit terbaik di zaman kemasyuran Allahyarham.

"Terima kasih kerana sudi menghubungi. Apabila memaklumkan kepada Anita mengenai konsert mengenang pemergian Adnan, beliau begitu sedih dan mula terkenangkan detik yang pernah dikongsi bersama salah seorang produser terbaik sepanjang zaman itu.

"Sampaikan salam kami kepada ahli keluarga Adnan dan mereka seharusnya berbangga dengan bakat unik dimiliki Adnan.

"Mengenai undangan konsert, Anita ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tanda ingatan.

"Bagaimanapun, seperti diketahui, Anita sudah bersara dan kini memiliki kehidupan berbeza. Kehidupan privasi membuatkannya lebih selesa.

"Jadi, mohon sampaikan kemaafan kami kepada penganjur dan kami amat menghargai tanda ingatan," kata Mahathir dalam mesejnya.

Roslen turut menghormati tindakan Mahathir yang menolak undangan berkenaan dengan baik dan penuh budi bahasa.

"Jawapan diberikan mungkin mengecewakan jutaan peminat Anita, namun itulah hakikat perubahan terjadi kepada penyanyi Akhirnya Kini Pasti itu.

"Bagaimanapun, Mahathir mengirimkan fotonya bersama Anita kepada Shuib bagi mengubati kerinduan peminat. Kita doakan kesejahteraan mereka," kata Roslen lagi.

Anita mengejutkan peminatnya selepas membuat keputusan menyepikan diri dari industri hiburan secara mendadak.

‘Kehilangan’ anak kepada seniman Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan seniwati Siput Sarawak itu mencetuskan pelbagai spekulasi berikutan jejak beliau dan suaminya tidak dapat dikesan.

Sehingga kini selepas lebih sedekad ‘hilang’ tiada mana-mana media yang berjaya menyelongkar kehidupan Anita dan suami.

Asrama pusat tahfiz di Batu Pahat terbakar

Sinar Harian

BATU PAHAT: Dianggarkan 70 peratus blok asrama Maahad Tahfiz Al Johari, Parit Raja di sini, musnah dalam kebakaran pagi Selasa.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Nasrul Rahman dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Nasrul Rahman berkata, seramai 23 anggota dari tiga balai termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penggaram, dan Rengit, dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.35 pagi.

Tambahnya, operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin yang juga Komander Operasi Kanan dan Penguasa Kanan Bomba, Siti Hajar Sanusi.

“Kebakaran melibatkan kawasan seluas 30 meter panjang dan sembilan meter lebar hangus hampir 70 peratus dalam insiden berkenaan.

"Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran berkenaan. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.18 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.50 pagi. -Sinar Harian

Ini bukti penguatkuasa tidak mampu membanteras pendatang haram walaupun banyak operasi sudah dijalankan

Imigresen gempur sindiket ulat parkir di Bukit Bintang, 17 warga asing ditahan

BERNAMA
Tangkap layar video dikongsi akaun ‘SKUAD 4NTI PATI’ di Facebook mengenai warga asing yang menjadi ‘ulat parkir’ di Bukit Bintang.
Tangkap layar video dikongsi akaun ‘SKUAD 4NTI PATI’ di Facebook mengenai warga asing yang menjadi ‘ulat parkir’ di Bukit Bintang.
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia melumpuhkan sindiket parkir haram beroperasi di sekitar Bukit Bintang dengan penahanan 17 lelaki warga asing dalam satu operasi tengah hari tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, dalam kenyataan memaklumkan, serbuan dijalankan 1 tengah hari dengan disertai enam pegawai dan anggota.

Beliau berkata hasil operasi hampir sejam itu, pihaknya menahan 17 lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an dipercayai mengutip wang parkir secara haram di dua lokasi di Bukit Bintang.

"Di lokasi pertama, kami menahan dua lelaki Bangladesh dan sembilan lelaki Myanmar, manakala di lokasi kedua seramai enam lelaki Myanmar ditahan," katanya.
Warga asing yang menjadi ‘ulat’ parkir ditahan dalam operasi oleh Imigresen di Bukit Bintang. - Foto ihsan Jabatan Imigresen
Warga asing yang menjadi ‘ulat’ parkir ditahan dalam operasi oleh Imigresen di Bukit Bintang. - Foto ihsan Jabatan Imigresen
Beliau berkata operasi dilakukan kurang 24 jam selepas pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit 39 saat dimuat naik akaun 'SKUAD 4NTI PATI' di Facebook, yang memaparkan beberapa warga asing menjadi 'ulat' parkir di lokasi serbuan.

Wan Mohammed Saupee pada masa sama berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti sedemikian supaya dapat menyalurkan maklumat kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Mayat reput remaja: Teman lelaki, dua ahli keluarga ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Tiga lelaki, termasuk teman lelaki remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 19 Disember lalu, ditahan polis selepas penemuan mayat reput di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga suspek berusia 16, 20, dan 51 tahun, membabitkan teman lelaki serta dua ahli keluarganya, yang ditahan semalam direman sehingga 5 Januari depan bagi membantu siasatan.

"Berikutan penemuan (mayat) ini, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengklasifikasikan semula siasatan kertas inkuiri orang hilang kepada siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein turut memaklumkan, mayat yang dijumpai di RTB Sungai Changgang sudah reput (decompose) dan tidak dapat dikenal pasti melalui pengecaman fizikal.

Menurutnya, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Banting dan pihaknya masih menunggu keputusan analisa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa.

Semalam, polis menemukan mayat reput di sebuah sungai di Banting, dekat sini, dipercayai mangsa pembunuhan dan ada kaitan dengan kes kehilangan Yap Xin Yuan, 15, di Kajang pada 19 Disember lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan remaja perempuan dilapor itu dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.

Kali terakhir remaja itu dilihat di gelanggang bola keranjang terbabit berbaju tarian singa berwarna merah.

Mahkamah arah Papagomo padam video fitnah IGP

Malaysiakini 

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain hari ini berjaya mendapatkan perintah injunksi dari Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, bagi menghalang blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong yang membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) berkata Razarudin (plaintif) telah menunjukkan wujudnya isu yang serius dan ia perlu dibicarakan.

“Perkataan dan ayat yang digunakan oleh defendan (Wan Muhammad Azri) jelas merujuk kepada Razarudin dan ia berunsur fitnah.

"Injunksi terhadap defendan wajar dikeluarkan oleh mahkamah ini dengan segera untuk melarang dan menghalang defendan sebagaimana dipohon oleh plaintif.

“Maka mahkamah memerintahkan injunksi sebagaimana permohonan plaintif dibenarkan sehingga perintah lanjut mahkamah ini,” kata Gan, yang kemudiannya menetapkan 10 Jan ini bagi mendengar permohonan injunksi secara dua belah pihak.

Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi bagi melarang dan menghalang Wan Muhammad Azri daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.

Selain itu mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang melarang dan menghalang defendan daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.

Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian di platfom media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan WhatsApp.

Wan Muhammad Azri juga diperintahkan menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Dis lepas yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.

Pada 26 Dis lepas, Razarudin memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas.

Razarudin turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara sendiri atau ejennya atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

- Bernama

Penemuan mayat reput di Banting dipercayai dibunuh ada kaitan remaja perempuan yang dilaporkan hilang

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
YAP dilapor hilang sejak 19 Disember. FOTO Ihsan Polis
YAP dilapor hilang sejak 19 Disember. FOTO Ihsan Polis
Kajang: Penemuan mayat reput di sebuah sungai di Banting, dekat sini, semalam dipercayai mangsa pembunuhan dan ada kaitan dengan kes kehilangan remaja perempuan berusia 15 tahun di Kajang pada 19 Disember lalu.

Polis percaya ia berkait dengan kes laporan kehilangan Yap Xin Yuan, 15, yang diterima di Balai Polis Batu 9, Cheras, pada 2.15 pagi, 20 Disember lalu sebelum usaha mencari mangsa dijalankan.

Menurut sumber, penemuan mayat mangsa yang dibuang di dalam sungai adalah susulan penahanan teman lelakinya dan dua lagi individu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan penemuan mayat itu, polis sudah menahan tiga individu buat masa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Keadaan mayat ditemukan dalam keadaan reput. Buat masa ini, polis masih menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti mangsa.

"Bagaimanapun, kita percaya ia (penemuan mayat) ada kaitan tetapi perlu tunggu keputusan DNA yang dijangka diperoleh sehari dua ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau akan mengeluarkan kenyataan media kelak berhubung kes ini.

Mayat dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan remaja perempuan itu dilapor hilang apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.

Kali terakhir Yap dilihat di gelanggang bola keranjang itu, berbaju tarian singa berwarna merah.

Remaja ini berketinggian 155 sentimeter (cm), berat 39 kilogram, berambut panjang, dan memakai pendakap gigi.

Kelantan: Tak ada perasaan malu ko pemimpin apabila seorang suri rumah yang mempunyai tujuh anak didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan

Tak sangka suri rumah tujuh anak ini cari pelanggan waktu Maghrib

Harapandaily

Waktu Maghrib sepatutnya berada di sejadah sebaliknya lain pula di Kota Bharu, Kelantan apabila seorang suri rumah yang mempunyai tujuh anak didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan.

Berdasarkan pertuduhan, lokasi wanita yang mahu menyundal itu berlaku di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian, sekitar jam 7.30 malam pada 16 November lalu.

Aktiviti dosa yang mengejutkan di negeri Serambi Mekah itu terbongkar apabila polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menumpaskan aktiviti pelacuran.

Dalam satu operasi khas, Op Noda pada jam 7.30 malam, di sebuah rumah tumpangan di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian, seorang anggota polis dilantik untuk menyamar sebagai pelanggan.

Mengikut fakta kes, tertuduh Aniza Shakiera Ahmad, 36, dikatakan menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi WhatsApp dengan bayaran sebanyak RM150 untuk setiap langganan.

Suri rumah berkenaan didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan (KK), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Susulan itu, tertuduh didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencari langganan bagi tujuan persundalan.

Dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Lapor BH, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Mazlinda memohon mahkamah memberi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Walaupun begitu, Ariyani memohon mahkamah memberi hukuman denda paling minimum memandangkan tertuduh sudah insaf dan tidak bekerja selain mempunyai tujuh anak.

Tertuduh akhirnya diarahkan mahkamah untuk membayar denda RM2,000 dan jika gagal akan dipenjara selama tiga bulan.

Krisis 1997, sengketa Mahathir-Anwar dan kebangkitan ‘rasuah peringkat tinggi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Krisis Kewangan Asia pada penghujung 1990an teruk menjejaskan hubungan antara politik dan perniagaan, apabila aset korporat individu berkait politik diambil alih oleh kerajaan, menurut sebuah buku baharu oleh seorang ahli ekonomi politik terkemuka.

Bagaimanapun, pemilikan sebahagian besar perniagaan oleh kerajaan lama-kelamaan mencetuskan kewujudan suatu bentuk rasuah peringkat tinggi, menurut Edmund Terence Gomez dalam bukunya.

Pesara profesor Universiti Malaya itu berkata, sebelum krisis kewangan itu berlaku, sektor korporat ‘penuh dengan hubungan politik-perniagaan yang berbeza tetapi saling berjalin’, diterajui oleh golongan elit berbeza yang meraih konsesi dan sumber kerajaan.

Dan apabila campur tangan politik dalam sektor korporat meluas, golongan elit yang berkuasa ini semakin terlibat melalui proksi dan keluarga mereka, katanya.

Projek diswastakan

Satu kritikan yang selalu dibangkitkan pada awal 1990an, menurut Gomez, ialah ketidaktelusan dalam pemberian projek penswastaan besar, dengan perbincangan antara golongan elit berkuasa dengan sekutu terdekatnya berlaku secara tertutup.

“Jalinan antara politik dan perniagaan ini terhenti secara tiba-tiba apabila Krisis Kewangan Asia berlaku pada 1997,” tulis Gomez dalam bukunya ‘Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia’.

Menurutnya, ramai ahli perniagaan berkait Umno yang menjadi peneraju dalam bidang korporat mendapati diri mereka sama ada dibelenggu hutang atau menjadi muflis.

Diselamatkan dengan kos awam

Ada antara mereka yang diselamatkan dengan pembiayaan besar oleh kerajaan, kerana syarikat-syarikat mereka kini milik kerajaan, tambahnya.

Bagaimanapun, penyelamatan itu mencetuskan kritikan daripada ahli Umno yang menegaskan bahawa kemelut Krisis Kewangan Asia berpunca daripada kronisme, pakatan sulit dan nepotisme yang berleluasa.

Sengketa dahsyat

Kritikan hebat itu kemudiannya membawa kepada persengketaan ‘dahsyat’ yang menyaksikan presiden parti ketika itu Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan timbalannya, Anwar Ibrahim. Keadaan ini seterusnya menjurus kepada ahli perniagaan yang sehaluan dengan bakal presiden PKR itu hilang kawalan ke atas aset korporat mereka.

Kesan buruk AFC tidak berakhir di situ.

Menurut Gomez, banyak perusahaan ahli perniagaan yang juga ahli politik serta ahli perniagaan berpengaruh jatuh bawah kawalan kerajaan dan diklasifikasikan sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

Jaringan politik-GLC baharu

Bagaimanapun, ahli politik yang mempunyai kawalan ke atas kerajaan kini mendapati mereka juga mempunyai kawalan langsung ke atas pangkalan korporat luas yang boleh disalahgunakan untuk memenuhi kepentingan politik dan ekonomi mereka, katanya.

Akibatnya, menurut Gomez, muncul ‘kompleks politik-GLC’ yang mengekalkan, malah memburukkan, kronisme, nepotisme dan salah guna kuasa melalui amalan naungan terpilih semasa pelaksanaan dasar.

Dengan ini, suatu bentuk rasuah peringkat tinggi wujud, yang begitu endemik sehingga merudumkan kepercayaan awam terhadap tadbir urus ekosistem GLC kerajaan yang luas, tambahnya.

Pensyarah 'hantar gambar bogel' masuki kampus, kata pelajar

Ili Aqilah

Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) menyatakan kebimbangannya apabila pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual di institusi pengajian tinggi (IPT) itu masih hadir di kampus di sebalik penggantungan oleh pihak pentadbiran.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai “Pelajar A” mendakwa pensyarah terbabit menghantar bahan eksplisit kepadanya, termasuk gambar dan video bogel, melalui WhatsApp.

“Dia masih muncul di kampus menyebabkan saya meragui keberkesanan penggantungannya.

"Adakah ini cara universiti untuk menutup isu ini?” soalnya.

Tuduhan terhadap ahli akademik itu didedahkan pada 16 Dis lalu apabila Kelab Feminist UM (UMFC) mendakwa IPT berkenaan gagal mengambil tindakan yang sewajarnya walaupun banyak laporan telah dibuat.

Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abdul Kadir kemudiannya mengarahkan UM untuk menyiasat perkara tersebut. Ekoran arahan itu IPT berkenaan mengumumkan pensyarah terbabit telah digantung tugas.

Apabila ditanya sama ada Pelajar A ada menghubungi UMFC untuk mengadukan kehadiran pensyarah berkenaan di kampus UM, dia enggan mendedahkan butiran lanjut.

“Sama ada saya sudah menghubungi UMFC atau tidak, ia tidak akan mengubah fakta situasi ini,” katanya.

Terdahulu dia mendakwa pensyarah berkenaan menghantar kandungan yang tidak senonih kepadanya beberapa kali, termasuk klip video memaparkan anggota sulit.

Pelajar A juga memberikan Malaysiakini tiga video dan lima gambar sebagai bukti.

Katanya ada sebuah video yang dihantar melalui WhatsApp ditetapkan untuk boleh tontonan sekali sahaja, tetapi nombor telefon pengirim jelas kelihatan pada awal klip berkenaan.

"Saya menyimpannya sebagai bukti kerana ini bukan kali pertama dia berkelakuan sebegitu,” katanya.

Walaupun tindakan disiplin telah diambil oleh UM mengikut Akta Badan Berkanun (Disiplin dan Denda) 2000, Pelajar A berkata, pensyarah terbabit masih dilihat di kampus.

Walaupun mempunyai bukti, Pelajar A juga berkata, dia belum membuat laporan polis kerana bimbang terhadap kesan negatif yang mungkin timbul dan apa yang akan berlaku ke atasnya.

“Saya terlalu kecewa untuk berdepan dengan perhatian umum atau berhadapan dengan akibat yang mungkin berlaku.

"Kesihatan mental saya rapuh, dan sebagai pelajar yang tidak berdaya, saya takut terhadap tindak balas daripada pensyarah dan rakan-rakan dia,” katanya.

Pelajar A juga mendakwa, dia pernah diberitahu dan diberii amaran oleh seorang senior mengenai tingkah laku pensyarah berkenaan dan ada beberapa pelajar lain terkesan dengannya.

Namun, dakwa Pelajar A, kes tersebut diabaikan apabila individu tersebut selesai menamatkan pengajian di UM.

Pelajar A turut mendakwa bahawa, jauh daripada mengamalkan integriti, akademik tersebut telah mewujudkan persekitaran yang toksik dan tidak mesra untuk pelajar wanita.

“Ini bukan sekadar perjuangan saya. Ini adalah perjuangan untuk memastikan tiada pelajar lain yang perlu menanggung penyalahgunaan seperti ini.

“Malangnya, saya yakin universiti tidak akan bertindak adil dalam perkara ini memandangkan sejarah mereka yang tidak bertindak,” keluhnya.

Malaysiakini sudah menghubungi pensyarah tersebut dan UM untuk mendapatkan maklum balas.

2 maut Perodua Kancil bertembung treler

Erika George
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit selepa kereta dinaiki bertembung treler. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit selepa kereta dinaiki bertembung treler. FOTO Ihsan Bomba.
Miri: Warga emas wanita antara dua maut dalam kemalangan selepas kereta yang dinaiki kedua-dua bertembung lori treler di Jalan Pan-Borneo Bukit Song, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, kedua-dua mangsa iaitu Roslind Layun Pad berusia 61 tahun dan Patrick Guya, 48 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 7.28 malam.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Kancil dan treler.

"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat dua orang mangsa yang masih tersepit dalam kereta berkenaan.

"Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang mengambil masa selama sejam," katanya dalam kenyataan.

Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Miri bagi tujuan pemeriksaan dan bedah siasat.

Kelantan: Seorang OKT meninggal di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa ianya disahkan KP Kelantan

BERNAMA

Kota Bharu: Polis Kelantan mengesahkan seorang lelaki iaitu orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, meninggal dunia pada 7.40 pagi, hari ini, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai klinik Kesihatan Pengkalan Chepa.

"Lelaki ini telah ditangkap pada 12.30 tengah hari, 26 Disember dan disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pada 9.14 pagi, 27 Disember, OKT dibawa ke Mahkamah Kota Bharu bagi permohonan reman dan dibenarkan reman selama empat hari bermula 27 Disember hingga hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada 7 pagi hari ini, anggota yang bertugas di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa mendapati lelaki berkenaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada 7.40 pagi.

Mohd Yusoff berkata kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Siasatan lanjut masih diteruskan sehingga menerima laporan bedah siasat.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini sementara siasatan masih dijalankan," katanya.

Imigresen tahan 17 ‘ulat parkir’ warga asing di Bukit Bintang

Bernama

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata warga asing itu terdiri daripada 15 Myanmar dan dua Bangladesh.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Kuala Lumpur melumpuhkan satu sindiket parkir haram yang beroperasi di sekitar Bukit Bintang dengan penahanan 17 lelaki warga asing dalam satu operasi yang dilakukan tengah hari tadi.

Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff dalam kenyataan berkata, serbuan dijalankan pada 1 tengah hari dengan disertai enam pegawai dan anggota Unit Operasi Khas Imigresen Kuala Lumpur.

Beliau berkata hasil operasi hampir sejam itu, pihaknya menahan 17 lelaki warga asing yang berumur dalam lingkungan 30-an yang dipercayai mengutip wang parkir secara haram di dua lokasi di Bukit Bintang.

“Di lokasi pertama, imigresen menahan dua lelaki Bangladesh dan sembilan lelaki Myanmar, manakala di lokasi kedua seramai enam lelaki Myanmar ditahan,” katanya.

Beliau berkata operasi itu dilakukan kurang daripada 24 jam selepas pihaknya mengesan satu video berdurasi 1 minit 39 saat yang dimuat naik oleh akaun ‘SKUAD 4NTI PATI’ di Facebook, yang memaparkan beberapa warga asing menjadi ‘ulat’ parkir di lokasi serbuan.

Wan Saupee pada masa yang sama berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti sedemikian supaya dapat menyalurkan maklumat kepada imigresen untuk tindakan lanjut.

Wanita maut diserang gajah

Bernama-Dpa

Jakarta: Seorang wanita berusia 63 tahun maut di rumahnya di Pulau Sumatera, Indonesia, pada Isnin selepas diserang sekumpulan gajah liar, menurut laporan media tempatan yang dipetik oleh agensi berita Jerman (dpa).

Kejadian berlaku sebelum subuh di wilayah Lampung berhampiran Taman Negara Bukit Barisan Selatan, sebuah tapak Warisan Dunia Unesco yang terkenal dengan kepelbagaian biodiversitinya, menurut laporan agensi berita negara, Antara.

Rakaman yang tersebar luas di media sosial menunjukkan rumah wanita itu musnah selepas diserang sekumpulan gajah itu, yang dilaporkan memasuki kampung dari hutan perlindungan di sekitarnya.

Insiden itu menyerlahkan konflik yang semakin meningkat antara penempatan manusia dan hidupan liar, terutamanya di kawasan aktiviti manusia yang semakin berkembang mengancam habitat semula jadi spesies yang dilindungi.

Taman Negara Bukit Barisan Selatan antara hutan hujan terbesar di Indonesia, adalah penempatan kepada pelbagai spesies terancam, termasuk gajah Sumatera.

Terlanggar bateri tengah jalan, kereta mewah musnah terbakar

FMT Reporters

Pemandu Mercedes C200 itu berjaya menyelamatkan diri setelah sempat memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.
Sebuah kereta mewah musnah terbakar di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang, hari ini, dipercayai selepas terlanggar bateri kenderaan di tengah jalan.
PETALING JAYA: Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta mewah yang dipandunya musnah dalam kebakaran setelah terlanggar sebuah bateri kenderaan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang, hari ini.

Pemandu Mercedes C200 itu berjaya menyelamatkan diri setelah sempat memberhentikan kenderaannya di bahu jalan dalam kejadian kira-kira 3.18 petang itu, lapor Bernama.

Ketua Polis Barat Daya Sazalee Adam berkata, panggilan kecemasan dibuat pada kira-kira 3.30 petang tadi memaklumkan berlakunya kebakaran sebuah kereta di KM18 jambatan itu.

“Kebakaran tersebut disyaki berpunca daripada (kenderaan) melanggar bateri tengah jalan,” katanya menambah, kebakaran tersebut berjaya dipadam dengan bantuan pihak bomba.

Sazalee berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kereta itu dalam perjalanan dari Batu Kawan ke Batu Maung.

Sementara itu, menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Pulau Pinang, susulan menerima panggilan kecemasan, jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dibantu BBP Batu Kawan segera ke lokasi kejadian.

“Kereta itu musnah lebih 80% dan kerja-kerja pembersihan diselesaikan dalam masa setengah jam. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Penduduk resah ‘diintip’ buaya berhari-hari

KOSMO
Buaya itu ditemui di kawasan semak-samun dan hanya berdiam diri seolah-olah memerhatikan mangsa. - ISTIMEWA
JAKARTA – Keresahan penduduk daerah Wajo, wilayah Sulawesi Selatan yang kerap terserempak dengan seekor buaya sepanjang 3 meter akhirnya hilang apabila reptilia itu berjaya ditangkap, lapor laman berita Detik kelmarin.

Menurut Ketua Kampung Lempong, Abdul Karim, buaya tersebut ditemui di pelbagai lokasi selama dua hari.

Ujarnya, ia ditemui di Kampung Sesse dan Kampung Lempong pada Kamis lalu sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) sebelum menghilang. 

Pada keesokan harinya, buaya itu ditemui sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) di Kampung Tiba.

Menurut Abdul Karim, seorang pemuda yang dalam perjalanan pulang ke rumah menemui buaya itu di tepi jalan.

“Ia turut ditemui di kawasan semak-samun dan hanya berdiam diri seolah-olah memerhatikan mangsa,” ujarnya.

Reptilia itu akhirnya berjaya ditangkap oleh anggota bomba. – AGENSI 

Dua lelaki dicekup, ragut pelancong Rusia untuk bayar hutang

AZMI NORDIN

KUALA LUMPUR – Kegiatan dua lelaki tempatan yang aktif meragut di Wangsa Maju berakhir apabila ditahan polis di kawasan parkir motosikal Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, di sini, 19 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, tangkapan dilakukan selepas laporan dibuat oleh seorang pelancong wanita Rusia berusia 50-an yang menjadi mangsa ragut ketika dalam perjalanan ke stesen MRT Ampang Park, 12 Disember lalu.

“Ketika kejadian, dua suspek menaiki motosikal telah meragut beg tangan mangsa sehingga menyebabkan kerugian RM8,000.

“Mangsa ketika itu sedang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya pada sidang akhbar di IPD Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu.

Kata Lazim, antara barangan dirampas adalah motosikal, kunci, dompet, beg sandang, topi keledar, dua telefon bimbit, pakaian berjenama, serta resit pertukaran mata wang bernilai USD1,500 (RM6,630) dan Rupiah Indonesia 10.26 juta (RM2,854)

“Suspek mengaku menggunakan hasil samun untuk melangsaikan hutang dan telah menukar wang tunai di dua pusat beli-belah di Gombak dan Cheras,” katanya.

Tambahnya, suspek pertama mempunyai 33 rekod jenayah dan baru dibebaskan dari penjara, manakala suspek kedua mempunyai tujuh rekod lampau.

Ujar beliau, suspek turut mengaku terlibat dalam tiga lagi kes ragut di sekitar ibu negara dan membuang beg tangan milik mangsa di kawasan Sungai Keroh, Segambut.

“Tiga kertas siasatan telah dibuka, dua di bawah IPD Wangsa Maju dan satu di bawah IPD Dang Wangi.

“Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur berkaitan kes ini esok,” jelasnya.

Mohamad Lazim turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat yang membantu tangkapan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999. – KOSMO! ONLINE.

‘Perang mercun’ di kubur, 8 remaja ditahan

KOSMO!
Kumpulan remaja itu bermain mercun sambil disaksikan sebilangan penduduk setempat. - Istimewa
JAKARTA – Polis menahan lapan remaja terlibat dalam aktiviti bermain mercun di sebuah kawasan perkuburan di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan, lapor laman berita Detik kelmarin.

Ketua Polis Tallo, Komisioner Polis Syamsuardi berkata, kejadian berlaku di tanah perkuburan awam Beroanging, daerah Tallo.

“Video (tular) berlaku pada 27 Disember dan kejadiannya sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan). Ada lapan orang yang kami bawa ke balai polis,” kata Syamsuardi.

“Ibu bapa kesemua remaja yang ditahan turut dibawa ke balai polis,” tambahnya.

Ujar Syamsuardi, kejadian tersebut bukan aktiviti perang mercun antara kumpulan, sebaliknya merupakan remaja yang bermain mercun dengan cara saling melempar ke arah masing-masing.

Sebelum itu, video tersebut menjadi tular di media sosial yang memaparkan kumpulan remaja itu bermain mercun sambil disaksikan sebilangan penduduk setempat. – AGENSI

Puspakom kantoi ada kenderaan tak selamat tapi dilepaskan ketika serbuan dilakukan JPJ

SITI NUR ZAWANI

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan serbuan dan pemeriksaan mengejut ke Puspakom hari ini susulan beberapa kes kemalangan membabitkan kenderaan berat kebelakangan ini.

Op Mengejut Puspakom di seluruh negara itu dilakukan tanpa pemakluman kepada Puspakom, seperti yang dikehendaki Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang ingin pihaknya melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa.

Hasilnya dalam operasi di Puspakom Wangsa Maju, JPJ telah mengeluarkan 69 notis saman setelah melakukan pemeriksaan ke atas 115 lori, manakala 29 kenderaan telah diambil tindakan.

Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Mat Hassan, pihaknya mengesan beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori antaranya menggunakan tayar celup yang tidak selamat dan uzur.

Turut sama menyertai operasi itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam.

“,Ketua Setiausaha MOT telah memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom (Mahmood Razak Bahman) untuk membuat penambahbaikan segera dalam hal ini kerana kebanyakan tayar ini mudah pecah dan jika tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kemalangan,” ujarnya menurut Sinar Harian.

Kata beliau lagi seperti dilapor, pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju juga mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.

Susulan itu, penyelia dan kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ pada Selasa untuk soal siasat selain kertas siasatan akan dibuka.

Rompak 160 bungkusan barang kemas, 2 termasuk OKU mengaku tak salah

Bernama

BUTTERWORTH: Dua lelaki termasuk orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan melakukan rompakan 160 bungkusan barang kemas secara berkumpulan tiga minggu lepas.

Tertuduh Muhammad Zaim Goh Abdullah, 42, dan Mah Cheow Chuen, 43 yang kudung tangan kanan, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Nurzafirah Mohamed Ali.

Mengikut tuduhan, mereka bersama-sama seorang lelaki yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun dengan merompak dua guni mengandungi 160 bungkusan barang kemas.

Tertuduh yang menggunakan sebilah parang semasa rompakan didakwa melakukan kesalahan tersebut di depan sebuah premis di Bagan Ajam pada 7.35 petang, 12 Dis lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Nurul Nadia tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan kesalahan berkenaan tidak dibenarkan ikat jamin.

Bagaimanapun, dalam rayuan, Muhammad Zaim Goh, seorang tukang besi, memberitahu dia perlu menyara isteri serta kedua-dua ibu bapanya yang kini memerlukan rawatan dialisis, manakala Mah pula mempunyai tanggungan isteri, lima anak serta ibunya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu, Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani menjatuhkan hukuman denda RM3,000, dan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayarnya, terhadap setiap tertuduh selepas mereka mengaku bersalah memiliki harta curi.

Mengikut tuduhan, Muhammad Zaim Goh didakwa memiliki harta curi berupa sebuah komputer riba dan satu unit peranti vape kepunyaan seorang lelaki berusia 35 tahun di Jalan Perwira, Permatang Tinggi, pada 12.50 tengah hari, 17 Dis lepas.

Sementara, Mah didakwa memiliki harta curi iaitu sebuah peranti tablet, satu unit speaker dan tujuh unit peranti vape pelbagai jenama kepunyaan lelaki yang sama di Bandar Putra Bertam, pada 2.20 petang, 17 Dis lepas.

Kesalahan-kesalahan tersebut dikemukakan bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreena Zainurin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Isteri orang didenda RM2,000 tawar khidmat seks melalui WhatsApp

Bernama

Seorang suri rumah dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu hari ini setelah mengaku bersalah menawarkan khidmat seks menerusi aplikasi WhatsApp di sebuah rumah tumpangan di Padang Seri Paduka, Kubang Kerian.

Aniza Shakiera Ahmad, 36, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan setelah didapati mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah rumah tumpangan di Padang Seri Paduka pada 7.30 malam, 16 Nov lepas.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap semasa polis menjalankan Op Noda dan membuat serbuan atau pemeriksaan di rumah tumpangan terbabit bilamana dia telah menawarkan khidmat seks dengan bayaran sebanyak RM150 sekali langganan.

Wanita berkenaan didakwa di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK) Ariyani Mohd Amin @ Abdul Hamid.

Ariyani mewakili anak guamnya memohon jaminan dikurangkan atas faktor tertuduh adalah suri rumah sepenuh masa, mempunyai tujuh anak dan suami bekerja di kilang pemprosesan ayam.

Mahkamah mengenakan denda RM2,000 dan jika gagal membayar denda, boleh dipenjara dua bulan.

- Bernama

Teman lelaki remaja perempuan berusia 16 tahun buang bayi di tandas plaza tol

Remaja perempuan mengaku teman lelakinya buang bayi di tandas plaza tol

Nurayuni Johari 

KUALA LUMPUR – Perbuatan sepasang kekasih remaja  membuang bayi yang dilahirkan di tandas di Plaza Tol Batu 14, Lebuh Raya Damanasara-Puchong (LDP) dekat sini minggu lalu akhirnya terbongkar.

Menurut sumber, ia selepas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun itu mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada 18 Disember lalu.

Remaja berkenaan dikatakan mendapatkan rawatan kerana mengalami sakit perut dan demam sebelum doktor menyedari  remaja perempuan terbabit pernah bersalin.

“Kemudian remaja itu mengaku bersalin di dalam tandas sebuah pusat beli belah di Puchong sebelum teman lelakinya berusia 19 tahun telah membuang bayi mereka di dalam tandas di plaza tol terbabit.

“Orang awam yang menggunakan tandas di plaza tol itu menemukan bayi tersebut sudah tidak bernyawa pukul 10 malam pada 18 Disember lalu sebelum menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Jelas beliau, bagaimanapun pasangan terbabit telah ditahan minggu lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan mendapati bayi itu dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan kimia,” ujarnya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

Pekerja pembersihan didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun

Muhammad Ikmal Mansor, 29, didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara membuka zip hadapan seluarnya supaya dilihat oleh mangsa bagi tujuan seksual di tepi tangga sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras pada 11.30 pagi, 25 Dis lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM10,000 dengan seorang penjamin.

"Selain itu, pihak kami mohon syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan keluarganya kerana mereka tinggal di PPR yang sama," katanya.

Peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang hanya bekerja sebagai pengangkut sampah akan berkahwin pada Februari depan manakala ibunya menghidap kanser payu dara dan baru sahaja menjalani pembedahan.

Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 13 Feb tahun depan untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

Bapa 3 anak mengaku tak salah sengaja cederakan mata demi tuntut insurans RM1 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganggur yang juga bapa tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan sengaja mencederakan mata kirinya untuk mendapatkan tuntutan insurans RM1 juta.

Tan Kok Guan, 52, membuat pengakuan itu di depan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Mengikut pertuduhan, Tan yang juga orang kurang upaya (OKU) dituduh cuba memohon tuntutan insurans kemalangan yang disyaki palsu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dalam percubaan itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan pada mata kirinya untuk mendapatkan pampasan insurans RM1 juta.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kampung Gajah, Kampung Paya, Butterworth antara 9 pagi hingga 6 petang 8 Jun 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreena Zainurin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Peguam Yaw Xinying memohon mahkamah menetapkan jaminan minimum kerana anak guamnya tidak bekerja dan menghidap beberapa penyakit kronik.

“Anak guam saya berusia 52 tahun dan tidak bekerja sejak 2023. Dia merupakan OKU buta pada mata kirinya. Semua perbelanjaan keluarga ditanggung isterinya. Dia juga menghidap penyakit jantung dan strok,” katanya menurut Sinar Harian sambil menambah tertuduh memberi kerjasama sepanjang siasatan.

Majistret menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Tan turut didakwa atas pertuduhan menipu sebuah syarikat insurans untuk membuat tuntutan insurans disyaki palsu.

Dia didakwa memperdayakan syarikat itu dan dengan curangnya mendorong syarikat terbabit memasukkan wang tunai RM4,153.57 ke akaun banknya di lokasi sama antara 9 pagi hingga 6 petang 20 Julai 2023.

Tan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda.

Timbalan pendakwa raya menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin, majistret kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes ditangguh sehingga 20 Feb depan untuk semakan dokumen.

Ini antara sebabnya mengapa PAS mula meninggalkan Bersatu dan mendekati UMNO semula

Timbalan ketua Bersatu Sabah keluar parti, sokong GRS

Bernama

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Aksyah Nasrah hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sehubungan itu Aksyah berkata beliau meletakkan semua jawatan dalam Bersatu berkuat kuasa serta merta.

"Saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Ronald Kiandee bertarikh 28 Dis 2024. Peletakan jawatan ini dibuat atas keputusan saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS dan perjuangan parti itu, dalam mempertahankan hak-hak dan kepentingan Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

Beliau berkata slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” sering diungkap Hajiji merupakan satu naratif yang amat tepat dalam memastikan Sabah benar-benar dipimpin dan diurus oleh kepimpinan parti tempatan tanpa menidakkan hubungan baik dengan pihak kerajaan Persekutuan.

Aksyah berkata kejayaan besar Hajiji adalah menyatupadukan pemimpin dan rakyat Sabah melalui satu gabungan wadah politik GRS, dan perpaduan rakyat Sabah ini merupakan perkara pokok yang menjadi teras kepada kemajuan negeri.

"Melalui penyatuan dan gabungan semua parti tempatan yang mewakili majoriti rakyat Sabah, saya yakin dan percaya Hajiji dan GRS mampu membawa negeri Sabah lebih maju dan berjaya dalam semua sektor dan bidang demi kepentingan dan faedah rakyat keseluruhannya,” kata beliau.

- Bernama

Tiada kesetiaan kerjasama dengan PAS, itu kena faham

Pemimpin Bersatu kritik PAS adakan perhimpunan untuk Najib

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mengkritik perhimpunan diketuai PAS untuk menyokong Najib Razak pada 6 Jan, mengatakan ia mencerminkan kesediaan Perikatan Nasional (PN) berkompromi dengan prinsipnya demi kepentingan politik.

Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Mahathir Rais, berkata sabitan dan hukuman 12 tahun Najib dalam kes SRC International menjadi peristiwa penting bagi Malaysia, dan menyifatkan perhimpunan sebagai solidariti terhadap bekas perdana menteri itu sebagai mengecewakan.

Mahathir yang juga setiausaha PN Wilayah Persekutuan berkata, pemimpin gabungan itu sudah menghabiskan masa bertahun-tahun berkempen menentang rasuah dan menarik sokongan rakyat berdasarkan perjuangan tersebut.

“Pemimpin yang pernah menggelar pentadbirannya sebagai kleptokrasi dan korup kini meminta kelonggaran dan menganggapnya sebagai mangsa ketidakadilan. Ini berbau oportunisme politik, mendedahkan kesanggupan untuk mengorbankan prinsip demi kepentingan politik.

“Perhimpunan ini melambangkan isu yang lebih besar dalam politik Malaysia – pemimpin kedua-dua pihak kelihatan lebih fokus untuk memelihara pengaruh mereka daripada menangani kebimbangan rakyat.

“Rakyat dibiarkan sebagai penonton semata-mata dalam teater politik di mana pihak berkuasa melindungi satu sama lain, tanpa mengira pihak mana mereka berada,” katanya dalam kenyataan.

Mahathir juga berkata, ramai anak muda Malaysia kini berasa kecewa dengan politik, selepas menyertai perhimpunan dan bantahan terhadap rasuah.

Beliau berkata, generasi baharu pemimpin muda perlu ‘mengambil alih’ dan membawa Malaysia ke arah masa depan yang menghapuskan keruntuhan moral, rasuah, dan penyalahgunaan kuasa.

“Rakyat berhak mendapat yang lebih baik. Mereka berhak mendapat pemimpin yang mengutamakan keadilan, integriti, dan kesejahteraan kolektif negara berbanding agenda peribadi atau politik.

“Mereka yang telah mengkhianati amanah negara – tanpa mengira status atau legasi mereka – mesti bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata pemimpin dan ahli parti bebas untuk menyertai perhimpunan menyokong Najib di luar Istana Kehakiman di Putrajaya pada 6 Jan.

Katanya, ia adalah atas semangat ‘perdamaian nasional’.

Anak lelaki Najib, Nazifuddin sebelum ini berkata lebih 200 bas membawa penyokong bapanya akan menghadiri perhimpunan menyokong bekas perdana menteri. Beliau menambah bahawa perhimpunan itu akan menyaksikan ahli PAS, Umno dan Bersatu bersama memperjuangkan kebebasan Najib.

Semalam, komponen Pakatan Harapan (PH), Amanah berkata ahlinya juga bebas menyertai perhimpunan itu dan pimpinan tertinggi parti dan gabungan masih belum mengeluarkan arahan mengenainya.

Perhimpunan itu diadakan pada hari Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib untuk kebenaran mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah, yang didakwanya dikeluarkan dalam perintah tambahan kepada pengumuman Lembaga Pengampunan pada 2 Feb.

Warga emas mangsa ragut di Bangsar meninggal dunia

'Ainin Wan Salleh

Lim Foong Mei, 78, yang dalam proses pemulihan meninggal dunia di sebuah rumah jagaan di Bangsar.
Kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi 7 Okt lalu di Jalan Limau Manis ketika Lim Foong Mei berjalan ke sebuah kedai.
PETALING JAYA: Warga emas yang parah di kepala selepas menjadi mangsa ragut bermotosikal di Bangsar Oktober lalu meninggal dunia.

Presiden Persatuan Penduduk Taman Bangsar, Nitesh Malani, memberitahu FMT Lim Foong Mei ditempatkan di rumah jagaan di Bangsar dan semakin pulih ketika dia meninggal dunia pada usia 78 tahun hari ini.

Menurut notis obituari, mayat Lim akan dibakar Jumaat ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi 7 Okt lalu, Lim sedang berjalan ke kedai di kawasan kejiranan di Jalan Limau Manis.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang penunggang motosikal meragut beg tangannya menyebabkan dia terjatuh dan tidak bergerak di atas jalan sehingga beberapa orang yang lalu-lalang membantunya beberapa minit kemudian.

Lim dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan akibat pendarahan di kepala dan diletakkan bawah pemerhatian perubatan.

Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan.

Ketua Polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata pihaknya sedang mengenal pasti punca kematian Lim untuk menilai semula kes itu kerana suspek sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Kes itu dijadualkan untuk perbicaraan pada 10 Jan depan,” katanya.

Bas rombongan sesat dekat kubur gara-gara Google Maps

KOSMO!
SEBUAH bas tersesat memasuki kawasan perkuburan. - Foto Polis Wonosobo
JAKARTA – Sebuah bas yang membawa rombongan 30 pendaki gunung tersesat ke kawasan perkuburan gara-gara mengikut navigasi aplikasi pemetaan Google Maps, lapor laman berita Detik hari ini.

Kejadian berlaku di Wonosobo, wilayah Jawa Tengah.

Kejadian itu kemudian menjadi tular di laman Instagram selepas dimuat naik oleh seorang netizen menggunakan akaun @kejadiantemanggung.

“Ini adalah kejadian pemandu bas membawa rombongan pendaki ke Gunung Sumbing tetapi sesat di kawasan kubur,” kata keterangan video tersebut.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Wonosobo, Aipda Nanang DP Wibowo mengesahkan kejadian itu.

“Ya, benar ada bas yang tersesat di kawasan pertanian berhampiran tanah perkuburan. Kejadian berlaku di Kampung Kwadungan, Kalikajar,” ujarnya. – AGENSI

Solidariti 6 Jan bukan tentang keadilan tapi untuk politik

Faiz Zainudin dan Mohamad Fadli

PAS tahu ia tak boleh melakukan apa-apa kecuali menunjukkan bahawa mereka ambil berat, kata Azmi Hassan.

PAS akan adakan himpunan di Istana Kehakiman pada hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Agong terdahulu.
PETALING JAYA: Penganalisis percaya himpunan anjuran PAS 6 Jan ini tiada kena mengena dengan menentukan Najib Razak dapat keadilan tetapi untuk raih manfaat politik.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata himpunan ini menunjukkan PAS melakukan sesuatu untuk bekas presiden Umno itu, di sebalik cakap-cakap bahawa partinya sendiri gagal menguruskan isu titah adendum walaupun berada dalam kerajaan.

“Mereka (PAS) tahu mereka tak boleh melakukan apa-apa untuk mengubah kes ini kecuali dengan menunjukkan bahawa mereka mengambil berat kes ini,” katanya kepada FMT.

PAS akan mengadakan himpunan itu di Istana Kehakiman, Putrajaya pada hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Di pihak Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin, yang dikatakan dipecat daripada Umno kerana mempersoalkan skandal 1MDB, Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin kelmarin berkata tiada arahan melarang ahli menyertai solidariti itu.

Perkembangan di pihak Bersatu itu mendorong Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia untuk berkata ada kemungkinan himpunan 6 Jan untuk mengekalkan sokongan ahli Umno kepada Perikatan Nasional.

“Ini peluang dan ruang PN mendapat sokongan dengan menyatakan simpati,” katanya.

Ariff Aizuddin Azlan daripada Universiti Teknologi Mara percaya himpunan ini peluang keemasan bagi PAS untuk ‘mendahului’ Umno dalam menjuarai isu ini.

“Umno ketika ini dilihat sedikit terikat kerana posisi mereka di dalam kerajaan,” katanya.

Mohammad Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaysia percaya pengkritik Najib dalam PN akan dilabel sebagai ‘hipokrit melampau’ susulan himpunan 6 Jan, namun Mohd Azmir Mohd Nizah dari Universiti Sains Islam Malaysia berpandangan sesetengah orang akan lihat PAS dan Bersatu menunjukkan ‘kematangan’ dan ‘toleransi’ dalam berpolitik.

Kelantan: 2 askar didakwa rogol budak 10 tahun

FMT Reporters

Kedua-dua tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Dua anggota tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kota Bharu pada April tahun lalu.
PETALING JAYA: Dua anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun pada April tahun lalu.

Mahadi Ismail, 39, dan Aizat Hakim Mohammad, 20, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, lapor Berita Harian.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan merogol mangsa ketika itu berusia 10 tahun lapan bulan di sebuah rumah di Bachok sekitar April tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 20 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli memberitahu mahkamah pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa seorang kanak-kanak dan baru berusia 10 tahun.

Bagaimanapun, peguam Mohd Firdaus Zainal Abidin yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan diberikan memandangkan anak guamnya yang juga penjawat awam memberi kerjasama baik kepada pihak polis selain menyerah diri kepada polis.

“Seorang anak guam saya sudah hampir bersara wajib tahun depan selain perlu menanggung empat anak masih bersekolah, manakala seorang lagi anak guam saya baru tamat latihan dan akan melapor diri di tempat kerja esok,” katanya.

Tertuduh turut diwakili peguam Majidah Muhamad.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan setia tertuduh diikat jamin RM10,000 dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan selain tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Hakim juga menetapkan 2 Feb tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Isteri kelar muka suami sebab enggan pulang ke rumah

KOSMO!
SEORANG suami dihantar ke sebuah hospital setelah muka dikelar isteriya. - Foto Khaosod
BANGKOK – Seorang isteri di Pattaya mengelar muka suaminya menggunakan sebilah pisau dalam satu pergaduhan di tempat kerja mangsa, selepas lelaki itu enggan pulang ke rumah, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera parah di muka termasuk di bahagian hidungnya.

Anggota-anggota penyelamat kemudian tiba dan memberikan pertolongan cemas sebelum mangsa dibawa ke hospital.

Si isteri dengan pantas meninggalkan tempat kejadian ketika polis tiba.

“Sebelum pertengkaran, wanita itu meletakkan kenderaannya di pintu masuk ke kawasan pembinaan untuk menemui suaminya. 

“Mangsa sedang minum bersama rakan-rakan menjelang sambutan tahun baharu apabila konfrontasi berlaku,” kata seorang saksi. – AGENSI

Dentuman kuat, takungan pecah kali ke-2 paling teruk

Bernama

Seorang penduduk Taman Sri Alam berkata kejadian benteng pecah itu pernah berlaku pada 2014.
Pihak berkuasa tempatan berkata 10 rumah terjejas teruk dengan pihaknya menasihati mangsa berpindah, namun penduduk memilih kekal di rumah memandangkan air telah surut. (Gambar Facebook)
SUNGAI BULOH: Penduduk terjejas akibat benteng takungan air Taman Sri Alam di Saujana Utama yang pecah petang tadi mendakwa terdengar dentuman kuat sebelum air melimpah deras memasuki rumah penduduk berhampiran.

Hafifi Saleh, 38, berkata sebelum kejadian dia berada di luar rumah berbual bersama rakan dan ketika itu hujan sudah berhenti.

“Ketika berbual saya mendengar dentuman kuat dan melihat benteng takungan air runtuh dan air mengalir deras memasuki rumah saya dan rumah jiran.

“Saya kemudian bersama isteri dan anak saya masuk ke dalam pacuan empat roda untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Bernama.

Hafifi yang bekerja sendiri, berkata dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan dalam rumahnya berikutan kejadian berlaku amat pantas dan air yang deras.

“Air masuk ke dalam rumah setinggi dua kaki…banyak perabot dan barangan rosak,” katanya.

Seorang lagi penduduk Samsudin Adun, 49, berkata kejadian petang tadi adalah yang kedua berlaku selepas kejadian pertama pada 2014, tetapi ketika itu tidak seteruk hari ini.

Ketika kejadian dia sekeluarga tiada di rumah dan hanya mengetahui perkara berkenaan melalui kumpulan WhatsApp taman berkenaan.

“Ada jiran maklumkan benteng takungan air di depan rumah telah runtuh dan berlaku banjir kilat, saya dan keluarga bergegas pulang dan mendapati rumah dimasuki air setinggi dua kaki bagaimanapun surut dalam 30 minit kemudian,” katanya.

Dia berharap pihak bertanggungjawab membaiki tembok berkenaan segera berikutan kawasan itu sering dilanda hujan lebat kerana Monsun Timur Laut.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 23 Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Maisarah Ismail, berkata pihaknya akan membina benteng penghadang sementara di kawasan runtuhan bagi mengelakkan limpahan air berlaku lagi jika hujan lebat.

Beliau berkata dianggarkan 10 rumah terjejas teruk dan pihaknya telah menasihati mangsa untuk berpindah tetapi penduduk memilih kekal berada di rumah memandangkan air sudah surut dan mereka boleh melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Kerja-kerja membersihkan rumah yang terjejas dan sisa runtuhan akan dilakukan malam ini juga sebelum kerja membina benteng penghadang sementara dibuat,” katanya.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang.

Benteng berkenaan pecah menyebabkan air melimpah ke seluruh taman perumahan itu, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Disyaki rotan budak sampai luka, guru mengaji direman

Bernama

KUALA LUMPUR: Guru mengaji warga asing ditahan selepas disyaki mendera anak murid berusia 12 tahun kerana enggan membaca al-Quran dalam kejadian di Kampung Melayu Ampang, Ahad lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail, berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 5.45 petang Isnin, sehari selepas bapa kepada kanak-kanak lelaki itu, yang juga warga asing dari negara sama, hadir membuat laporan mendakwa anaknya dipukul suspek.

“Lelaki itu mendakwa semasa anaknya sampai di rumah, terdapat kesan luka di belakang badan akibat dipukul suspek menggunakan rotan.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut. Punca mangsa dipukul adalah kerana mangsa enggan membaca al-Quran seperti diarah suspek,” katanya dalam kenyataan.

Azam berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan air kencing suspek disahkan negatif dadah.

“Permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Ampang telah dibenarkan selama tujuh hari bermula 24 Dis sehingga esok,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Tular pukul guna penutup sampah, lelaki direman

FMT Reporters

Polis berkata kejadian bukan disebabkan perkauman, sebaliknya perselisihan faham isu peribadi.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, berkata suspek menumbuk muka dan memukul kepala mangsa menggunakan penutup tong sampah direman sehingga 30 Dis.
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden individu dipukul di sebuah kedai makan di Machang Bubok, Bukit Mertajam, yang videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, berkata pihaknya mengesan video dimuat naik di Facebook pemilik akaun Pertiga Malaysia pada 10 pagi tadi, dan siasatan lanjut mendapati kejadian itu berlaku 2.45 pagi Jumaat lalu.

“Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Lelaki berusia 36 tahun yang ditahan itu direman sehingga 30 Dis.

“Punca kejadian berkaitan perselisihan faham isu peribadi dan tiada kaitan dengan isu perkauman. Suspek telah menumbuk muka dan memukul kepala mangsa menggunakan penutup tong sampah,” katanya memetik Bernama.

Helmi berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan sementara siasatan lanjut sedang dijalankan.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat keselamatan awam dan harta benda.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi satu minit 36 saat, memaparkan seorang lelaki memukul lelaki yang dipercayai merupakan pekerja kedai makan dan kejadian itu mendapat kecaman warga maya berikutan beberapa individu lain yang berada di situ tidak cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Haji Hadi pilih-pilih hujah agama bela Mastura - Saifuddin

B Nantha Kumar

Tindakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggunakan hujah agama secara terpilih untuk mempertahankan tindakan ahli partinya sangat tidak bertanggungjawab, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Tegasnya, perilaku sebegitu akan mencalitkan wajah hodoh kepada citra Islam yang indah.

“Prinsip berpolitik dalam Islam cukup jelas. Tegakkan makruf, tolak kemungkaran, berlaku adil dan elak berbuat zalim, bina sifat mahmudah (terpuji) jauhi sifat mazmumah (keji). Hadi cukup arif bab ini.

“Namun, kenyataan Hadi jelas percubaan terdesak mempertahankan mungkar, mendokong sifat mazmumah dan membela kezaliman dengan mengerah ahli-ahlinya menderma untuk melepaskan Dr Siti Mastura Muhammad yang terang-terang melakukan fitnah,” katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin mengulas kenyataan Hadi mempertahankan usaha kutipan derma PAS membantu Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura untuk membayar RM825,000 dalam bentuk ganti rugi kepada pemimpin DAP.

Semalam, Abdul Hadi berkata Islam mengajarkan umatnya untuk mengambil tanggungjawab atas kesilapan yang dilakukan oleh anggota sesuatu kumpulan.

"Begitulah PAS mengambil tanggungjawab atas ketelanjuran ahlinya yang membuat apa-apa tindakan yang salah, sehingga dihukum dengan bayaran atau denda," katanya.

"Percayalah bahawa sumbangan kita bersama Islam dalam semua perkara adalah jihad," kata Hadi.

Ini selepas Siti Mastura (gambar atas) kalah dalam kes saman fitnah kerana menuduh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mempunyai kaitan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (CPM) Chin Peng manakala Teresa Kok pula mempunyai kaitan dengan keluarga Lim.

Menurut satu pekeliling dalaman PAS, pemimpin Jawatankuasa Pusat PAS, ketua negeri, kawasan dan cawangan diwajibkan menderma sekurang-kurangnya RM500 setiap seorang.

PAS negeri serta sayap di peringkat pusat, negeri dan kawasan pula setiap satu diminta mengumpulkan derma sekurang-kurangnya RM20,000.

Mastura telah diberikan penangguhan sementara pelaksanaan pembayaran ganti rugi sementara menunggu perbicaraan mahkamah pada akhir Januari untuk mendapatkan penangguhan penuh terhadap hukuman tersebut.

Seolah Islam sokong fitnah

Dalam pada itu, Saifuddin berkata menderma untuk membela pemfitnah dengan hujah agama membawa tanggapan tidak baik seolah-olah agama Islam mendokong amalan fitnah.

“Perbuatan seperti inilah yang ditolak oleh Islam kerana dianggap asobiyah yakni mempertahankan puak sendiri walau jelas melakukan kesalahan.

“Saya mengajak umat Islam di negara ini menilai dengan matang menggunakan neraca agama bukannya menilai berpandukan hujah orang yang dikatakan alim agama lebih-lebih lagi memakai baju politikus,” katanya.

Hari ini, Abdul Hadi menegaskan PAS terpaksa menghadapi beberapa tindakan yang menyusahkan parti itu sejak selepas merdeka sehingga sekarang.

"Seperti tekanan politik, ekonomi, pentadbiran dan media.

"Setiap penyumbang kepada PAS dianggap salah atau dipermainkan, sehingga terhadap ahli PAS yang miskin yang menyumbang sedikit duit juga dipermainkan dengan kenyataan lisan, tulisan, atau sindiran karikatur," katanya kesal.

Mayat dalam but kereta, 2 disyaki membunuh

Bernama

Ketua Polis Mersing Abdul Razak Abdullah Sani berkata mayat diletak dalam kereta miliknya dengan ada kecederaan di leher.
Dua suspek berusia 33 dan 35 tahun direman tujuh hari bermula hari ini susulan penemuan mayat dalam but sebuah kereta semalam, di Mersing. (Gambar Facebook)
MERSING: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat lelaki tempatan dalam but sebuah kereta di KM26, Jalan Jemaluang-Kahang, semalam.

Ketua Polis Mersing Abdul Razak Abdullah Sani, berkata mayat lelaki berumur 28 tahun itu ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dalam kereta jenis Proton Waja berwarna hitam miliknya dengan kesan kecederaan di leher.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan kereta itu dalam semak di tepi jalan berkenaan pada 1.50 tengah hari.

“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, pada 4.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 33 dan 35 tahun itu direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Susulan kejayaan tangkapan ini, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

Terdahulu, tular di laman Facebook mengenai penemuan sebuah kereta Proton Waja berwarna hitam yang dikatakan dihurung lalat di Jalan Kahang-Jemaluang.

Apa hujahnya: Benarlah apa dikata ‘nak mundur pilih Pas’

Harapandaily

NORMAN RADZUAN

Benarlah apa dikata Pendita Za’ba tentang orang agama. Nak mundur pilih Pas.

Kenapa saya menggunakan gambar dua mantan Perdana Menteri Thailand iaitu Srettha Thavisin serta Thaksin Shinawatra bersama Perdana Menteri Thai, Paetongtarn Shinawatra? Jawapan ada di bawah…

Sebelum itu saya mohon maaf, sebagai manusia biasa saya juga Kadang-kadang terkasar bahasa tidak dapat mengawal perasaan untuk berhujah dengan pembangkang terutama pengikut-pengikut mereka dari Pas.

Nak tulis secara ilmiah dah penat sebab jawapan mereka sangat menyakitkan.

Kadang-kadang rasa macam kita berhujah dengan kanak-kanak sekolah hingga terpengaruh menggunakan ayat yang tidak sesuai.

Petikan Imam Syafie akhirnya dapat difahami dengan dekat selepas 30 tahun membacanya, “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu.”

Macam mana nak berhujah kalau timbalan presiden sendiri kata ISO untuk individu, motosikal pakai diesel, presiden pula berkata 73 MP dikatanya cukup jumlah, suruh bahas belanjawan di Parlimen dibahasnya perkataan ketimbang.

Ada ulama karaoke tengah malam dihalalkan dengan bukan muhrim alasan berdakwah.

Halalkan berbohong alasan maslahah. Dihalalkan khianat alasan demi ummah. Halalkan rasuah, alasannya sedekah dan sekarang halalkan fitnah alasan jihad fisabilillah.

Dulu tak boleh solat dengan imam kerajaan sampai solat dua imam, tak boleh makan sembelihan orang UMNO sebab UMNO itu kafir.

Kemudian halalkan berbaik dengan UMNO alasan demi umat Islam. Mereka betul tunggang agama ini tanpa rasa sedikit pun bersalah atau malu dengan Allah.

Macam mana Malaysia nak maju ISU besar di negara ini hanya seperti disebutkan di atas tadi.

Itu belum isu menteri Cina minum arak, menteri Cina raikan Krismas. Pendek kata apa Cina terutama DAP mereka jadikan punching bag untuk menghasut orang Melayu dengan memainkan isu kaum.

Sebab itu saya katakan Dominic Lau dan Wee Ka Siong tidak bertanggungjawab kepada kaum Cina.

Ada kita dengar kedua mereka tegur jauh sekali marah kepada pimpinan PN bila isi sentimen perkauman dimainkan saban minggu? Sebab itu kaum Cina 90% menolak MCA dan Gerakan.

Pas masih bermimpi dengam beranggapan Malaysia ini dari Perlis hingga ke Sabah hanya untuk kepentingan Melayu.

Bangsa lain tidak dipedulikan sensitiviti mereka. Sedangkan ajaran Islam itu menyuruh umat Islam saling kenal mengenal dengan bangsa dan agama lain.

Kadang-kadang saya terfikir ada baiknya juga Pas memainkan isu perkauman ini.

Sebabnya mereka tidak akan berjaya menjadi kerajaan tanpa sokongan undi bukan Melayu dan juga Sabah dan Sarawak.

Parti Borneo tidak berani berkempen bersama Pas kerana mereka tahu rakyat Sabah dan Sarawak benci dengan sikap ekstrim pemimpin Pas.

Ia langsung tidak sesuai dengan budaya kehidupan masyarakat di Borneo.

Kemudian bagaimana pemimpin Pas memperbodohkan orang bawahan mereka.

Dulu waktu jadi kerajaan bila ditanya mengenai harga barang, apa jawab Hadi, “ Harga barang naik kerana inflasi dunia, bukan salah kerajaan.”

Kemudian ingat kenyataan Pas ketika harga barang naik, ‘Kenapa pertikai harga ayam mahal, Pas desak rakyat terima dengan hati terbuka.’ Wah wah mudah sahaja mereka jawab.

Bila isu Palestin macam-macam mereka desak PMX kononnya tidak prihatin kepada nasib Palestin.

Sedangkan PMX dijemput negara Arab untuk menjadi juru cakap negara Islam tentang isu Palestin.

Dahulu bila mereka jadi kerajaan mudah jawab Hadi, “Malaysia berkecuali dalam krisis di Timur Tengah.” Benarlah lidah tak bertulang.

Mudahkan mereka bicara dengan penyokong mereka semudah Annuar Musa menjawab isu pakaian, baju dan sandalnya harga puluhan ribu… “…ikut aku la pitih aku.”

Waktu dalam UMNO, Annuar Musa tidak berani nak jawab seperti ini. Bukan sahaja akan dihentam pembangkang tapi ahli UMNO sendiri kerana ia jawapan yang bongkak.

Tapi dengan PAS agaknya Annuar tahu penyokong parti ini level pemikiran rendah, bukan tahu apa-apa pun soal jenama atau isu yang dibangkitkan. Jadi ia tidak meninggalkan kesan buat dirinya.

Lihat gambar di bawah di mana Srettha Thavisin dilucutkan jawatan selepas mahkamah memutuskan bahawa beliau melanggar perlembagaan. Apa yang anda fikirkan?

Lihatlah sikap profesioanal mantan PM Thailand boleh hadiri majlis PM tanpa rasa malu atau berasa hati kerana hilang jawatan sebagai PM.

Di Singapura dan Indonesia juga mereka ‘aman’. Prabowo boleh ziarah Pak Jokowi, Lee Hsien Loong boleh bertemu dengan Lawrence Wong.

Mereka tidak berperangai seperti mantan-mantan PM Malaysia. Jangan kata di majlis rasmi, di Parlimen pun sama. Di belakang PM dimaki hamun mereka, bila PMX datang mereka hilang.

Selepas 2 tahun Anwar menjadi PM, kita tidak pernah lihat Mahiaddin mahupun Mahathir seperti mantan-mantan PM Thailand boleh bekerjasama untuk negara.

Sudahlah tidak profesional malah disabotaj dengan memainkan isu perkauman dan agama tidak putus-putus.

Pemimpin yang patriotik kepada negara dia tidak akan lakukan perkara yang tidak harmonikan rakyat.

Macam seronok pula lihat rakyat bergaduh atau bersangka buruk satu sama lain apabila diapi-apikan oleh politikus.

Pembangkang kita sekarang tiada idea untuk berhujah terutama mengenai bajet 2025. Pembangkang mesti bentang dasar alternatif jika tidak setuju dengan kerajaan.

Idea alternatif perlu ada barulah dinamakan pembangkang yang berfungsi sebagai semak dan imbang.

Ini Pas umpama Kerajaan Jakim. Yang mencari restoran ada logo halal atau tidak, salam dengan perempuan boleh atau tidak, ucap Krismas boleh atau tidak. Inilah level pemimpin pembangkang.

Sebab itu saya setuju kata Tuan Ibrahim, “Kita nak pilih wakil rakyat bukan nak pilih imam sembahyang.”

Waktu dia suruh orang Melayu sokong Cina MCA dan jangan sokong calon PH yang merupakan seorang imam masjid.

Nak cari kes rasuah tiada, ekonomi pula yang terbaru IMF puji dasar monetari, reformasi sistem kewangan Malaysia.

Sebab itu jika nak mundur pilih Pas. Seperti kata Pendita Zaaba yang sering saya ulang.

“Agama yang diajar oleh agamawan di negara ini telah membuatkan umat Melayu mundur kebelakang”.

Benar dan lihatlah di Malaysia sahaja di dunia ini yang pembangkang tidak berhujah tentang belanjawan secara intelektual.

Pembangkang di negara ini satu-satunya di dunia yang fokus kepada isu yang patut diuruskan oleh JAKIM.

Teringat pada PRU15 dulu. Pesan saudara saya yang bekerja di Tabung Haji ketika saya meminjam kenderaannya untuk turun berkempen.

“Tolong jangan bawa bulan lagi ke Tabung Haji. Mereka tak tahu apa-apa nak uruskan Tabung Haji ini”.