"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita maut dipercayai dijerut anak sendiri

Norzamira Che Noh
Seorang wanita ditemui maut di kediamannya di Banting, hari ini. – Foto NSTP
SHAH ALAM: Seorang wanita tempatan ditemukan maut dipercayai dijerut di bahagian leher oleh anaknya dalam kejadian di sebuah rumah di Banting, Kuala Langat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dijerut di bahagian leher.

“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

Cemar Al-Quran: Lelaki dipenjara 12 bulan, denda RM250,000

Bernama

Mahkamah arah lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang lelaki kerana mencemarkan Al-Quran bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan sebagai peringatan kepada orang awam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular selepas memijak Al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial dipenjara 12 bulan, dan didenda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan kerana mencemarkan Al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial, Februari lepas.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu semalam selepas S Vikneswaran, 21, yang juga bekas pelajar sebuah universiti mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum (12 Nov) dan mengarahkan lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Hakim berkata hukuman yang dikenakan bukan sahaja bagi memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga sebagai peringatan kepada orang awam supaya tidak melakukan perbuatan serupa.

Amirull Afiqq Lokman yang mewakili Vikneswaran selaku peguam memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan difailkan atas alasan anak guamnya mempunyai tarikh-tarikh untuk rawatan perubatan psikiatri. Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Sabri Othman, membantah kerana tiada keadaan khas yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Sehubungan itu, tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut Islam iaitu Al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota kira-kira 1.30 tengah hari pada 22 Feb lepas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menggunakan akaun Threads “ryandaselva” secara sedar telah membuat dan melakukan penghantaran suatu komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan dikenakan denda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu dikesan selepas bapa tertuduh iaitu pengadu dalam kes dihubungi anak perempuannya pada 24 Feb lepas yang memaklumkan mengenai satu video tular di Threads yang memaparkan perbuatan tertuduh.

Pengadu kemudian menghubungi tertuduh mengenai video tular tersebut dan tertuduh mengaku kepada pengadu yang video tular itu adalah dirinya.

Tertuduh kemudiannya ditangkap pada 25 Feb. Hasil analisis di media sosial dan laporan syarikat telekomunikasi mengesahkan akaun serta nombor telefon yang digunakan adalah milik tertuduh dan keluarganya.

Hilang tak sampai 24 jam, wanita ditemukan lemas di Sungai Johor

MASTURAH SURADI
Mayat wanita yang dilaporkan hilang semalam ditemui lemas di Sungai Johor berhampiran Kampung Tembioh, Kota Tinggi petang tadi.
​KOTA TINGGI – Kebimbangan sebuah keluarga selepas seorang wanita dilaporkan hilang petang semalam berakhir tragedi apabila mangsa ditemukan lemas di Sungai Johor kurang daripada 24 jam selepas laporan dibuat.

​Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan wanita warga tempatan berusia 32 tahun itu pada pukul 5.36 petang semalam selepas lokasi terakhir mangsa dikesan berada di sekitar bandar Kota Tinggi.

​Menurutnya, bertindak atas maklumat, satu kertas siasatan orang hilang dibuka dan sepasukan anggota polis diketuai Ketua Polis Balai Kota Tinggi segera digerakkan bagi mengesan mangsa.

“Pada pukul 3.45 petang semasa operasi mencari dan menyelamat oleh polis dibantu nelayan setempat menemui seorang wanita dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri di Sungai Johor berhampiran Kampung Tembioh.
​
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Susulan penemuan itu, waris kepada mangsa telah dipanggil ke lokasi untuk membuat pengecaman awal dan telah mengesahkan mayat wanita yang ditemui tersebut adalah ahli keluarga mereka yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

​Tambahnya mayat mangsa telah dibawa ke unit forensik Hospital Sultan Ismail untuk tindakan prosedur siasatan dan kes diklasifikasikan dibawah laporan mati mengejut. – KOSMO! ONLINE