Sembunyi pisau dalam telekung sebelum tikam suami

KOSMO
Suspek dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. - Tribun Timur
JAKARTA – Seorang pensyarah institut pengajian tinggi swasta di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan ditahan kerana menikam suaminya selepas mendapat tahu mangsa menjalin hubungan sulit, lapor laman berita Merdeka semalam.

Suspek yang dikenali sebagai AT, 41, menikam mangsa yang sedang tidur di atas katil pada pukul 11 malam (waktu tempatan) semalam.

“Sejurus menerima laporan, saya bersama Ketua Siasatan Jenayah terus bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap dan membawa pelaku yang masih berada di dalam rumah,” kata Ketua Polis Sektor Manggala, Komisioner Semuel To’Longan.

Tambah Semuel, pasangan itu pada awalnya bertengkar selepas suspek mendapat tahu bahawa mangsa mempunyai kekasih gelap.

“Suspek kemudian pergi ke dapur dan mengambil pisau sebelum ia disimpan di dalam telekung yang dipakai.

“Dia masuk semula ke dalam bilik dan bermain telefon bimbit. Sejurus mangsa tertidur, dia terus menikam mangsa sebanyak dua kali,” jelas Semuel.

Tambahnya, mangsa sempat memeluk suspek untuk menghentikan perbuatannya, namun dia ditikam kali ketiga pada perut.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital terdekat sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, suspek ditahan reman untuk menjalani siasatan lanjut. – AGENSI 

Lafaz syahadah, memori terindah Nur Sarah Finolla

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
NUR Sarah Finolla mengucap dua kalimah syahadah di Masjid An-Nur Pangkalan TLDM. Gambar kanan, NUR Sarah Finolla (tengah) bersama rakannya. FOTO Ihsan Nur Sarah Finolla Ho Ah Phing
NUR Sarah Finolla mengucap dua kalimah syahadah di Masjid An-Nur Pangkalan TLDM. Gambar kanan, NUR Sarah Finolla (tengah) bersama rakannya. FOTO Ihsan Nur Sarah Finolla Ho Ah Phing
Lumut: Rutin rakan membaca al-Quran dan solat lima waktu menjentik hati Nur Sarah Finolla Ho Ah Phing mengenali agama Islam sebelum akhirnya melafazkan dua kalimah syahadah pada Selalu lalu.

Video Nur Sarah Finolla, 22, atau nama asalnya Finolla Ho Geok Yien mengucap dua kalimah syahadah di Masjid An-Nur Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, mendapat perhatian di TikTok, sejak semalam.

Nur Sarah Finolla berkata, dia berketurunan Cina-Iban dan berasal dari Sibu, Sarawak kini berkhidmat sebagai anggota TLDM di Lumut memilih memeluk Islam dengan kerelaan hati tanpa paksaan daripada sesiapa.

Menurutnya, hatinya sentiasa tenang dan damai setiap kali mendengar rakan sebilik beragama Islam membaca al-Quran serta mendirikan solat sejak menjalani latihan ketenteraan.

Bagaimanapun katanya, hasrat untuk mendalami agama itu terpendam di hati kerana bimbang akan dihalang keluarga terutama ibu bapa sebelum akhirnya nekad menyuarakannya dan tidak menyangka keluarga menerima hasratnya itu.

"Berpindah agama bukan suatu perkara mudah kerana saya perlu memikirkan banyak perkara terutama ibu bapa (Ho Ah Phing dan Susie John) tetapi mereka menerima hasrat saya dengan baik serta meminta menjadi Muslim terbaik.

"Mak pesan supaya tidak sesuka hati keluar agama ini dan ayah juga menasihatkan supaya saya menunaikan kewajipan sebagai Muslim dengan baik serta tidak melupakan asal usul," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Dia yang sudah tiga tahun berkhidmat bersama TLDM berkata, selepas melafazkan dua kalimah syahadah hatinya berasa sangat tenang dan mengakui dirinya terasa seperti baharu dilahirkan serta sebak hingga menitiskan air mata.

"Saya berasa lega dan terasa seperti menjadi orang baru. Saya telefon mak ayah beritahu urusan sudah selesai dan terharu apabila mereka bersyukur semua berjalan lancar. Saya turut bersyukur mempunyai ibu bapa yang memahami.

"Walaupun berbeza agama tetapi kami tetap 'sedarah' dan hubungan keluarga tidak akan terputus sampai bila-bila, malah sebelum ini ada ahli keluarga daripada sebelah ayah memeluk Islam dan hubungan kami sentiasa baik," kata wanita itu yang sebelum ini beragama Buddha.

Menurut Nur Sarah Finolla, nama Nur Sarah dipilih sahabat baiknya dan dia juga menyukai nama itu, malah menyifatkan ia nama yang cantik serta baik.

"Saya teruja dan gembira mahu mendalami agama Islam, malah tidak sabar mahu belajar mengaji al-Quran kerana sebelum ini hanya mendengar rakan saja membacanya.

"Saya juga akan mengikuti kelas agama (anjuran Angkatan Tentera Malaysia) bermula 11 November ini dan saya akan cuba menjadi muslimah terbaik seperti pesanan mak ayah," katanya yang masih bujang.

Katanya, perkongsiannya di TikTok hanya untuk dijadikan kenangan kerana ia disifatkan memori terindah untuknya seumur hidup ini.

Gambar Ihsan Nur Sarah Finolla Ho Ah Phing

Tumbuk isteri 6 kali hingga cedera, Mohd Farid dipenjara sebulan

Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara sebulan kepada Mohd Farid (tengah) kerana mencederakan isterinya yang juga doktor, pada bulan lalu. NSTP/Alias Abd Rani
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara sebulan kepada Mohd Farid (tengah) kerana mencederakan isterinya yang juga doktor, pada bulan lalu. NSTP/Alias Abd Rani
BATU PAHAT: Seorang kontraktor yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini dijatuhkan hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah menumbuk isterinya yang juga doktor hingga cedera pada 19 September lalu hanya disebabkan mangsa memintanya berhenti di kedai untuk membeli makanan.

Bagaimanapun, disebabkan kuat kuasa hukuman penjara sebulan itu bermula dari tarikh tertuduh, Mohd Farid Sahak, 34, ditangkap pada 20 September lalu, ini bermakna dia sudah dibebaskan hari ini.

Mohd Farid yang sebelum itu ditahan selama 40 hari sementara menunggu kes disebut semula hari ini, mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Bapa kepada seorang anak itu kelihatan sebak ketika diberi peluang oleh mahkamah untuk membuat rayuan terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 32 tahun dengan menumbuk mangsa sebanyak enam kali.

"Saya masih sayangkan isteri dan anak, saya mahu berjumpa mereka selepas 40 hari ditahan , saya tak sanggup lagi tinggal di penjara," katanya.

Mohd Farid didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan isterinya dalam kereta di Jalan Tukas, Taman Soga, di sini, pada jam 2.20 petang, 19 September lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, manakala bagi Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang doktor wanita mendakwa dipukul suaminya selepas mangsa dikatakan meminta suaminya berhenti di kedai untuk membeli makanan.

Tertuduh tidak melayani permintaan wanita itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka berdua sebelum mangsa menumbuk lengan kanan isterinya sebanyak enam kali menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan kenyataan isterinya yang diperdengarkan di mahkamah meluahkan kekecewaan terhadap tindakan tertuduh yang panas baran dan sering memukulnya.

"Saya takut dengan suami, saya tak mahu lagi tinggal bersamanya. Saya tidak faham kerana sering dipukul tanpa sebab," katanya.

Warga asing cuba lolos pemeriksaan imigresen maut jatuh jejantas

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
FOTO tular polis melakukan siasatan di lokasi warga asing maut jatuh dari jejantas menghubungkan BSI, Johor Bahru.
FOTO tular polis melakukan siasatan di lokasi warga asing maut jatuh dari jejantas menghubungkan BSI, Johor Bahru.
Johor Bahru: Cubaan lelaki warga Sri Lanka untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) berakhir tragedi selepas dia maut terjatuh jejantas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian 4.48 petang, mangsa berusia lingkungan 30-an tergelincir dari jejantas menghubungkan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Katanya, mangsa kemudian terjatuh ke atas kereta Perodua Myvi yang melalui kawasan berkenaan.

"Dia disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan siasatan mendapati punca mangsa bertindak demikian kerana cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak JIM BSI.

"Mayat mangsa dibawa ke HSA untuk bedah siasat. Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu gambar insiden tular di media sosial, menunjukkan mayat lelaki di bawah jejantas.

6 maut, hampir 100 etnik Rohingya mendarat di Aceh

Reuters
WANITA Rohingya yang mendarat di pantai timur Aceh, Indonesia. FOTO Antara/ Reuters.
WANITA Rohingya yang mendarat di pantai timur Aceh, Indonesia. FOTO Antara/ Reuters.
Jakarta: Enam orang maut ketika hampir 100 etnik Rohingya berjaya mendarat dengan bot di Aceh, Indonesia dalam gelombang ketibaan terbaharu etnik itu ke negara Asia Tenggara berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Ketua komuniti nelayan, Miftach Tjut Adek memberitahu Reuters, seramai 96 orang mendarat, termasuk tujuh kanak-kanak dan mereka masih berada di pantai bahagian timur Aceh di Sumatera.

"Tiada kesudahan lagi, mereka masih berada di pantai," kata Miftach.

Kira-kira 300 etnik Rohingya mendarat minggu lalu di wilayah Aceh dan Sumatera Utara di Indonesia dan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) meminta kerajaan Indonesia untuk memastikan keselamatan pelarian itu.

Seorang jurucakap berkata, UNHCR bersama pihak berkuasa tempatan turut menyediakan bantuan kepada etnik Rohingya itu.

Sewaktu keadaan laut lebih tenang di antara Oktober dan April, etnik Islam Rohingya dilapor meninggalkan Myanmar dengan bot usang menuju ke Thailand, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh.

Etnik Rohingya meninggalkan Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha, di mana mereka dianggap sebagai pendatang asing dari Asia Selatan dan tidak diberikan kewarganegaraan serta mengalami penderaan.

Menurut data UNHCR, lebih 2,000 etnik Rohingya tiba di Indonesia tahun lalu, melebihi jumlah ketibaan dalam empat tahun sebelumnya.

Sebahagian mereka berdepan sikap penolakan penduduk tempatan yang kecewa dengan banyaknya pendaratan itu.

Konsert dalam gelap dinegeri PAS dihadiri ribuan peserta

Tak sangka negeri Pas ada konsert dalam gelap dihadiri ribuan peserta, mujur polis ambil tindakan

Harapandaily

Heboh berlangsungnya konsert hiburan dihadiri kira-kira 1,500 peserta di sebuah negeri Pas malam tadi yang tidak mempunyai kelulusan permit.

Konsert dalam keadaan gelap dikenali sebagai Malam Perayaan Patah Hati dianjurkan sebuah premis berhampiran di Kuala Kemaman, Terengganu.

Lebih mengejutkan apabila penganjur konsert itu tidak mengendahkan notis larangan berkumpul yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Polis kemudiannya menyerbu premis tersebut dan mengarahkan konsert di situ dihentikan serta-merta, kira-kira 11 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima laporan awam berhubung kesesakan lalu lintas serta gangguan bunyi muzik yang kuat di situ kira-kira 9.20 malam.

“Penganjur diarah menghentikan program itu dan mengarahkan kesemua hadirin bersurai,” lapor Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan dan pihak polis akan memanggil penganjur untuk memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

Terdahulu,tular rakaman video mengenai arahan pemberhentian penganjuran konsert malam sambutan Deepavali itu.

Turut tersebar sedutan klip video sebelum peserta dihalau yang menyaksikan lelaki dan wanita rata-ratanya golongan muda duduk bercampur dalam gelap sambil menyanyi bersama-sama.

Parti Bersatu: Kemenangan Hilman bayangan kem Azmin bakal kuasai MPT?

Nora Mahpar

Azmi Hassan berkata kunci ‘kuasa’ sebenar bergantung kemampuan menguasai 20 kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Bersatu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan tertinggi penggal 2024-2027 pada 2 Nov ini.
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat kemenangan Adun Gombak Setia Hilman Idham sebagai ketua Pemuda Bersatu mungkin memberi gambaran awal pemilihan tertinggi parti itu berpotensi dikuasai kem Azmin Ali.

Hilman yang dikatakan penyokong tegar Azmin sejak dalam PKR, bakal menggantikan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas menewaskan Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir pada pemilihan sayap berlangsung, minggu lalu.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata kemenangan Hilman mungkin memberi kelebihan kepada kem bekas menteri besar Selangor yang dikatakan bersaing dengan kumpulan diketuai Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

Menurutnya, walaupun tumpuan lebih kepada perebutan jawatan naib presiden, namun ‘kunci kuasa’ sebenar dalam parti itu adalah kemampuan menguasai 20 kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada pemilihan.

“Paling penting 20 MPT yang membuat keputusan dan dasar dalam parti. Kem mana memiliki wakil (lebih banyak) dalam MPT akan menentukan pengaruh mereka,” katanya kepada FMT menjelang pemilihan Bersatu 2 Nov ini.

Julai lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau diberi mandat oleh MPT untuk berunding dengan barisan kepimpinan bagi memastikan pemilihan parti tidak menimbulkan perpecahan.

Menerusi pelan kompromi, Muhyiddin kekal menerajui Bersatu, dibantu Hamzah, manakala Ronald Kiandee dan Radzi Jidin selain Ahmad Faizal Azumu yang turun dari jawatan timbalan presiden dicadangkan mengisi tiga kerusi naib presiden.

Selepas pencalonan dimuktamadkan awal bulan ini, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding, manakala enam calon merebut tiga kerusi naib presiden, iaitu Kiandee, Radzi, Faizal, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.

Azmin yang sebelum ini diuar-uarkan akan bertanding jawatan timbalan presiden pula dijangka menggantikan Hamzah sebagai setiausaha agung, menerusi pelan kompromi berkenaan.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) turut senada dengan Azmi yang berpendapat tidak mustahil pemimpin pro Azmin akan menang besar dalam merebut tempat dalam kelompok MPT, selain menang satu jawatan untuk naib presiden.

“Kerana beliau (Azmin) cukup dikenali sebagai pemimpin licik, berstrategi sejak dari PKR lagi,” katanya.

Namun beliau tidak menolak rancangan melantik Azmin sebagai setiausaha agung mungkin ditentang segelintir pemimpin parti susulan beberapa perkembangan politik termasuk menghalangnya untuk menduduki jawatan tertinggi.

“Tidak mudah Azmin diberi peluang mendaki dalam hierarki politik Bersatu kerana beliau bukan pemimpin awal terbabit dalam penubuhannya.

“Berkemungkinan besar pemimpin pengasas Bersatu berusaha menghalang perkembangan masa depan Azmin dalam parti itu,” katanya.

'Bilik rahsia' tempat simpan dua juta batang rokok seludup

Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali (tengah) menunjukkan antara 2 juta batang rokok putih dan rokok kretek bernilai lebih RM1.95 juta termasuk cukai yang disorok dalam ‘bilik rahsia’ terletak belakang almari ketika menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh. - Foto NSTP/Danial Saad
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali (tengah) menunjukkan antara 2 juta batang rokok putih dan rokok kretek bernilai lebih RM1.95 juta termasuk cukai yang disorok dalam ‘bilik rahsia’ terletak belakang almari ketika menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh. - Foto NSTP/Danial Saad
BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas hampir dua juta batang rokok seludup bernilai lebih RM1.95 juta termasuk cukai, disorok dalam 'bilik rahsia' belakang almari sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh, dekat sini, 8 Oktober lalu.

Dalam serbuan jam 1 tengah hari, rumah yang dikatakan disewa kepada warga asing didapati kosong tidak berpenghuni malah tidak menemui apa-apa barang semasa pemeriksaan hampir dua jam.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata anggota mengukur rumah dari luar dan menyelaraskannya dengan bahagian dalam. Ini membawa kepada penemuan sebuah bilik rahsia yang ditutup dengan sebuah almari ditempah khas.

"Kita telah membuat intipan terhadap sindiket penyeludupan rokok ini selama satu minggu sebelum serbuan dibuat pada hari terbabit dan ketika itu selama dua jam kita tidak menemui apa-apa rokok mahupun barangan lain.

"Semasa mengalihkan almari itu, kami menemui pintu yang dalamnya terdapat sebuah 'bilik rahsia' sebelum pemeriksaan lanjut dekat bilik berkenaan menemui lebih 1.54 juta batang rokok putih dan 450,120 batang rokok kretek pelbagai jenama yang diseludup dengan anggaran nilai RM581,254 dan cukai berjumlah hampir RM1.4 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Penguatkuasan Kastam di Bagan Jermal, hari ini.

Ketika pemeriksaan, Kastam mengambil keterangan pemilik rumah iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 70-an.

"Lelaki warga emas itu memberitahu dia menyewakan rumahnya kepada warga asing sejak dua tahun lalu dan tidak tahu (apa-apa mengenai sindiket penyeludupan rokok ini).

"Semasa serbuan tiada seorang pun penghuni, dan usaha mengesan mereka yang terlibat sedang dijalankan," katanya.

Kedah: Remaja maut, 4 rakan melecur kena renjatan elektrik

FMT Reporters

Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Bahiyah.

Polis berkata rakan mangsa yang melecur dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang remaja maut manakala empat lagi rakannya melecur di kaki, badan dan muka akibat terkena renjatan elektrik di kawasan bendang dalam kejadian di Kampung Tanjung Putus, Kuala Nerang.

Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, disahkan meninggal dunia Hospital Kuala Nerang.

Rakannya yang berusia 15 hingga 19 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

Ketua Pengurusan Polis Padang Terap Yukhrul Mohd Yusoff berkata kejadian sekitar 6.30 petang semalam itu berlaku ketika sekumpulan remaja berkenaan mahu mengambil umpan pancing tiruan tersangkut di kabel elektrik.

Menurutnya, salah seorang rakan mangsa naik di atas tempat duduk motosikal dan menggunakan sebatang galah aluminium sebelum cuba mengait umpan tiruan itu.

“Mangsa bersama rakan-rakannya yang lain memegang motosikal supaya tidak terjatuh dan ketika cuba mengait umpan tiruan itu, secara tiba-tiba mereka berlima terkena renjatan elektrik sehingga pengsan.

“Keempat-empat rakan-rakannya sedar kembali manakala mangsa masih tidak sedarkan diri,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Nerang oleh penduduk kampung namun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.

RUU Mufti: Abu Hafiz saran tukar mufti, menteri agama

Malaysiakini 

Seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa menyarankan agar Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na'im Mokhtar, digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat ditangani dengan lebih baik.

Malah menurut Abu Hafiz Salleh Hudin, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang "lebih baik" dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Mengulas mengenai kemelut berkenaan - yang sehingga kini belum menampakkan jalan keluar - Abu Hafiz berkata, semakin terserlah 'agenda' pihak yang memperjuangkan RUU tersebut.

Merujuk kepada petikal video pendek penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan megenai RUU berkenaan, Abu Hafiz berpendapat matlamat ia digubal bukanlah terhad kepada pemilihan mufti di negeri tersebut semata-mata.

"Alhamdulillah, maka benarlah apa yang kita dakwakan sebelum ini bahawa RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini tidak hanya bermaksud untuk pemilihan mufti dan timbalan mufti.

"Ia bakal dipaksakan ke atas tidak sahaja masyarakat Islam Wilayah Persekutuan tapi disebutkan seperti dalam transkrip ucapan itu, dalam negara ini.

"Ia juga mengesahkan, melalui RUU Mufti Wilayah Persekutuan - akan dengan secara langsung dan tidak - menganggap apa-apa aliran selain yang ingin ditakrifkan dalam RUU itu (al-Asha’irah dan al-Maturidiyah) sebagai sesat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bunuh semangat Madani

Terdahulu tular rakaman wawancara ringkas memaparkan Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah, menjelaskan mengapa RUU kontroversi itu menegaskan dua aliran saja untuk diiktiraf, iaitu Asha’irah dan al-Maturidiyah.

Antara lain Luqman berkata: “Jadi kalau kita katakan satu aliran, ia akan mengeluarkan aliran lain.

"Memang dari satu segi, ia mengeluarkan aliran lain yang sesat itu. Dan itu memang tujuan kita pun (iaitu) untuk memastikan tidak berlaku kemasukan aliran sesat ke dalam negara kita ini.”

Untuk rekod ada pihak beranggapan RUU tersebut sepatutnya tidak mengehadkan dua aliran saja untuk diterima dan ia perlu dilakukan untuk menunjukkan keterbukaan dasar negara dalam menguruskan agama.

Abu Hafiz berkata sikap ditunjukkan Luqman itu dizahirkan ketika kerajaan menekankan isu adab al-ikhtilaf (adab berbeza pandangan) namun pada masa sama ada pihak mahu mengkanunkan aliran lain yang muktamar sebagai sesat.

"Seruan dan harapan saya, ahli-ahli parlimen boleh membuat keputusan menolak RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini sekiranya pindaan-pindaan yang wajib dibuat (sebaliknya) kekal mahu dipaksakan untuk mereka luluskan.

"Permohonan saya kepada kepimpinan kerajaan Madani, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim, perlulah menimbang penggantian Mufti Wilayah Persekutuan yang lebih baik dan tidak seperti yang kita ada ketika ini.

"Seorang menteri agama yang lebih menyatukan juga amat diperlukan, bukan memecahkan seperti yang kita dapati dalam menguruskan polemik RUU ini.

"Pengekalan mereka bakal sedikit demi sedikit membunuh ruh gagasan Madani dalam ilmu yang diperkenalkan Anwar menjelang tahun kedua pelantikannya sebagai perdana menteri ke-10," katanya.

Bakal pengantin jatuh sungai ditemui lemas

Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Mayat Muhammad Aiman Safwan Mahadzir ditemui terdampar di pantai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh pada Ahad lalu. - Foto Bomba
Mayat Muhammad Aiman Safwan Mahadzir ditemui terdampar di pantai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh pada Ahad lalu. - Foto Bomba
SUNGAI PETANI: Muhammad Aiman Safwan Mahadzir, 25, yang hilang selepas terjatuh ke sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda ditemui lemas hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata mayat mangsa ditemui terdampar di pantai pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh jam 11.50 pagi.

"Operasi hari ini turut membabitkan enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Kedah yang melakukan pencarian di permukaan air dengan jarak 1.5 hingga dua batu nautika sejak jam 10.03 minit pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa Rosnah Razali, 48, berkata anak sulung dari tiga beradik itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Januari depan dan persiapan akhir sudah siap dilakukan.

"Aiman seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan malah semua orang sayangkan kerana sifatnya yang suka tolong orang," katanya.

Tunang mangsa, Nur Farhana Abd Syukur, 23, berkata pada hari kejadian mereka sepatutnya pergi ke Klinik Kesihatan Taman Intan untuk menjalani saringan HIV.

"Kali terakhir dia balas kiriman WhatsApp saya pada jam 11.30 pagi dan Aiman beritahu bersiap untuk ke sana.

"Kira-kira jam 1 tengah hari, ibu Aiman menghubungi saya dan beritahu yang dia jatuh sungai menyebabkan saya terkejut dan bergegas ke sini," katanya.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, pada Ahad.

Bagaimanapun keadaan ombak kuat Dan laut bergelora dan hujan lebat menyukarkan operasi pencarian menyebabkan operasi disambung semalam dan hari ini.

Guru mogok 2 hari kerana kelakuan pelajar

KOSMO!

LONDON – Seramai 35 orang guru melakukan mogok selama dua hari berikutan tingkah laku keji para pelajar sebuah sekolah di Wales, Britain, lapor portal berita MailOnline semalam.

Langkah itu diambil sebagai tindak balas kepada tingkah laku buruk seperti pelajar menanggalkan seluar di hadapan guru wanita dan menggelar guru dengan gelaran yang tidak baik.

Kejadian berlaku di Sekolah Ysgol Nantgwyn yang mempunyai seramai 1,000 murid.

Bagaimanapun, tindakan pentadbiran sekolah yang menyediakan aktiviti menyeronokkan untuk para pelajar semasa ketiadaan guru selama dua hari menjadi perhatian ramai.

Sebuah syarikat zoo haiwan peliharaan, A&S Animal Encounters dibayar untuk menghiburkan pelajar dan membawa masuk pelbagai jenis haiwan termasuk ular dan meerkat.

Sebuah lagi syarikat turut menyediakan istana lantun untuk pelajar bermain bagi mengisi masa terluang di sekolah.

Eksekutif Kebangsaan Kesatuan Perguruan Nasuwt, Sharron Daly menyelar tindakan itu dengan berkata: “Mesejnya adalah jika anda berkelakuan buruk, anda akan diberi ganjaran dengan istana lantun dan waktu tengah hari yang di luar jadual (aktiviti).”  – AGENSI

Bekas Menteri Perdagangan ditahan kes permit import gula

BHarianonline 
Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Trikasih Lembong. - Foto Antara via REUTERS
Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Trikasih Lembong. - Foto Antara via REUTERS
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia yang menyiasat kes rasuah telah menahan bekas Menteri Perdagangan yang kini menjadi pengkritik kerajaan, kerana disyaki memberikan permit import gula secara tidak wajar pada 2015 sehingga menyebabkan kerugian AS$25 juta.

Suspek, Thomas Trikasih Lembong, diberkas lewat semalam oleh pendakwa raya dari Pejabat Peguam Negara dengan didakwa memberikan permit itu kepada sebuah syarikat swasta ketika Indonesia memiliki lebihan bekalan gula, menurut pejabat itu.

"Ketika itu, Indonesia tidak perlu mengimport gula tetapi (Lembong didakwa) memberikan permit untuk mengimport 105,000 tan metrik gula kristal mentah," kata pendakwa raya, Abdul Qohar, pada satu sidang media.

Beliau mendakwa tiada konsultasi dilakukan dengan badan lain atau cadangan daripada Kementerian Industri berhubung perkara itu, selain keputusan terbabit menyebabkan kerugian mencecah 400 bilion rupiah.

Pejabat Peguam Negara menafikan siasatan mereka itu mempunyai motif politik.

Sementara itu, media melaporkan Lembong yang tangannya bergari serta memakai vest tahanan berwarna merah jambu, berkata selepas sidang media berkenaan: "Saya berserah segala-galanya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa."

Setakat ini, Reuters tidak dapat menghubungi Lembong atau peguamnya untuk mendapatkan komen.

Lembong adalah Menteri Perdagangan Indonesia antara 2015 hingga 2016 dan berpengalaman sebagai pembantu rapat kepada bekas Presiden, Joko Widodo (Jokowi).

Namun selepas tidak lagi memegang jawatan pada 2019, beliau menjadi antara pengkritik paling lantang terhadap kerajaan pimpinan Jokowi.

Pengeluaran gula Indonesia pada 2015 adalah 2.49 juta tan metrik, manakala penggunaan pula 2.12 juta. - REUTERS

Kebakaran pusat karaoke, pemilik dan polis dikenakan hukuman penjara

 AFP
Gambar fail menunjukkan asap tebal dari atas bumbung pusat karaoke yang terbakar dua tahun lalu di Hanoi. - Foto AGENSI
Gambar fail menunjukkan asap tebal dari atas bumbung pusat karaoke yang terbakar dua tahun lalu di Hanoi. - Foto AGENSI
HANOI: Mahkamah di Vietnam hari ini menjatuhkan hukuman penjara kepada enam individu, termasuk empat pegawai polis susulan kebakaran sebuah pusat karaoke yang mengorbankan 32 orang, dua tahun lalu.

Kebakaran berhampiran hab perniagaan Ho Chi Minh City itu mengejutkan Vietnam sehingga menutup ribuan pusat karaoke di seluruh negara kerana gagal mematuhi peraturan keselamatan kebakaran.

Mahkamah Binh Duong menjatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan melanggar peraturan kebakaran dan kecuaian kepada pemilik pusat itu, seorang kontraktor yang terbabit dalam pembinaannya dan empat pegawai polis.

Pemilik pusat karaoke, Le Anh Xuan dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun manakala kontraktor sistem pencegahan kebakaran bar pula dihukum penjara lima tahun.

Dalam kenyataan akhir di mahkamah minggu lalu, pemilik bar Le Anh Xuan turut meminta maaf kepada mangsa dan keluarga mereka, dengan menyatakan 'kesilapannya mengakibatkan kehilangan besar'.

Dalam kejadian itu, api menyambar di tingkat dua bangunan karaoke An Phu yang mempunyai 30 bilik di Binh Duong pada September 2022 seterusnya memerangkap pelanggan dan kakitangan apabila asap tebal memenuhi tangga dan menghalang pintu kecemasan.

Ramai yang berkumpul di balkoni untuk cuba melarikan diri kerana api yang cepat merebak melalui bahagian dalam kayu manakala yang lain pula terpaksa melompat dari bangunan itu.

Sebanyak 32 orang terbunuh masing-masing 17 lelaki dan 15 wanita.

Pegawai polis didakwa atas pembabitan dalam mereka bentuk dan meluluskan sistem pencegahan kebakaran di bar itu.

Vietnam kerap mengalami kebakaran yang membawa maut – tahun lalu, seramai 56 orang terbunuh dalam bencana di sebuah apartmen di Hanoi - dan kebakaran di Binh Duong mencetuskan tindakan keras penguatkuasaan pemeriksaan bangunan di seluruh negara yang mana banyak bar karaoke gagal mematuhi peraturan kebakaran.

Menurut media rasmi yang memetik sumber polis, lebih dua pertiga daripada kira-kira 15,000 bar karaoke di negara itu terpaksa ditutup.

Kepulan asap misteri muncul di Laut Antartika

KOSMO!
ASAP laut muncul di Pulau Pine Glasier, Antartika. - Foto NASA/USGS
WASHINGTON – Satu rakaman satelit Amerika Syarikat (AS) menunjukkan fenomena luar biasa kepulan ‘asap laut’ muncul di Antartika, lapor majalah online Newsweek semalam.

Satelit Landsat 8 milik Kajian Geologi AS (USGS) yang dibangunkan bersama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah mendokumentasikan fenomena atmosfera luar biasa itu di Pulau Pine Glasier, Antartika.

Imej luar biasa yang dirakam pada 10 Oktober lalu itu menunjukkan pemandangan langit cerah ketika dua fenomena atmosfera berlaku.

Ia memaparkan asap laut yang terbentuk di pinggir glasier dan aliran salji yang ditiup angin kuat dari pedalaman Antartika ke arah pantai.

“Imej-imej ini adalah unik, ia memaparkan kuasa angin,” kata seorang pakar glasier di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA dan Universiti Maryland, Christopher Shuman dalam satu kenyataan.

Asap laut atau fenomena serupa dengan wap yang naik dari secawan kopi panas pada pagi yang sejuk, terbentuk melalui interaksi antara ais, air dan udara. 

Apabila angin menolak air dan ais laut dari hadapan glasier, air yang lebih panas akan naik dari bahagian bawah.

Apabila air yang agak ‘hangat’ ini bertemu dengan udara Antartika yang sejuk, ia menghasilkan kesan pemeluwapan dramatik.

Ia seterusnya membentuk hablur ais kecil yang kelihatan seperti kepulan asap yang naik dari permukaan air. – AGENSI

Perlis fail permohonan semakan kembalikan status agama Islam anak Loh

Bernama

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar mengesahkan permohonan semakan itu difailkan mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Perlis memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak kebenaran meneruskan rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan penukaran agama tiga anak Loh Siew Hong kepada Islam.
PUTRAJAYA: Kerajaan Perlis memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan sebagai usaha mengembalikan status agama Islam tiga anak ibu tunggal, Loh Siew Hong.

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan permohonan semakan itu difailkan semalam mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Beliau berkata kerajaan Perlis memberikan kebenaran kepadanya untuk memulakan permohonan semakan bagi pihak mereka.

Peguam Loh, Shamsher Singh Thind ketika dihubungi berkata mahkamah menetapkan 29 Nov ini untuk pengurusan kes bagi permohonan semakan itu.

Dalam notis permohonan yang diperoleh Bernama, kerajaan negeri memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan sebelum ini, yang menolak kebenaran merayu permohonan yang difailkan oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lain.

Permohonan itu ditolak pada 14 Mei lepas, menghalang pemohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin daripada meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Jan.

Mahkamah Rayuan membatalkan penukaran agama tiga anak Loh kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu.

Dalam permohonan semakan itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini menjejaskan hak mereka untuk didengar, dan mereka sedang memohon pendengaran semula permohonan kebenaran merayu.

Pada 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Loh untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.

Loh, 37, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022, memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya M Nagahswara, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Tiga kanak-kanak itu yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Banduan berpura-pura bergaduh sebelum melarikan diri

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
SALAH seorang suspek yang melarikan diri berjaya ditahan pihak polis di Bentong hari ini.
BENTONG – Dua banduan yang dalam perjalanan untuk dihantar menjalani hukuman di penjara bertindak nekad melarikan diri selepas berpura-pura bergaduh dalam sebuah trak polis dekat Benus di sini hari ini.

Bagaimanapun tindakan dua lelaki berkenaan membawa padah apabila mereka berjaya ditahan pihak polis kira-kira tiga jam kemudian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kedua-dua tahanan yang baru dijatuhkan hukuman kerana kesalahan penyalahgunaan dadah berkenaan melarikan ketika trak berada di Simpang Benus, kira-kira pukul 1 tengah hari.

“Mereka buat pergaduhan di dalam sel dan apabila anggota cuba meleraikan mereka terus melarikan diri.

“Bagaimanapun kedua-dua suspek berkenaan berjaya ditahan dalam Ops Kesan yang dilakukan pihak polis,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya suspek yang merupakan lelaki tempatan dan seorang warganegara asing itu ditahan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian. Kes disiasat kerana melarikan diri daripada tahanan. – KOSMO! ONLINE

Hanipa Maidin: Shafee tak menang seurat benang sebab kes lemah

RK Anand

Pemimpin Amanah yang juga seorang pengamal perundangan berpengalaman sendiri, Mohamed Hanipa Maidin tampil membidas kenyataan Muhammad Shafee Abdullah yang menyifatkan dirinya tidak memenangi “seurat benag” dalam kes yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Tidak bersetuju dengan Shafee, yang kelihatan menyindir penghakiman Hakim Collin Lawrence Sequerah, Hanipa berhujah bahawa Shafee tidak memenangi "seurat benang" bukan kerana hakim tapi kes Najib itu sendiri.

“Peguam Najib merungut bahawa dia tidak memenangi seurat benang dan keterangan hearsay (khabar angin) diterima secara borong.

"Jawapan saya ialah anda tidak memenangi satu mata pun bukan kerana anda tidak bagus tetapi mungkin kerana anda telah mempertahankan kes yang lemah," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Hanipa yang juga bekas ahli parlimen Sepang turut mengkritik Shafee kerana menyatakan ia adalah "jarang jika bukan satu-satunya kes" di mana "bukti hearsay" diterima.

"Saya fikir kenyataan ini, dengan segala hormatnya, sama sekali tidak wajar," kata bekas timbalan menteri undang-undang itu.

“Ia tidak sepatutnya datang daripada peguam kanan seperti beliau. Lebih buruk lagi, hakim tidak berada dalam kedudukan untuk mempertahankan dirinya daripada serangan nakal itu,” tambahnya.

Hanipa berkata anak guam Shafee masih mempunyai hak untuk membela diri dan jika keputusan itu tidak menguntungkan di Mahkamah Tinggi, Najib masih boleh mendapatkan penyelesaian di Mahkamah Rayuan, dan jika tidak berjaya, di Mahkamah Persekutuan.

“Selain itu, seorang pelajar undang-undang pun tahu bahawa walaupun sebagai peraturan am, sebarang keterangan hearsay akan dikecualikan dan dianggap tidak boleh diterima di mahkamah, tetapi trite law (peraturan asas) bahawa sentiasa ada pengecualian tertentu kepada mana-mana peraturan am termasuk peraturan mengenai bukti hearsay. Ini sangat asas.

“Pengecualian kepada peraturan hearsay adalah prima facie jelas dan nyata. Malah, hakim yang arif juga memetik kes Subramaniam lwn PP yang sering dipetik yang menggariskan peraturan asas membenarkan keterangan dengar hearsay diterima dengan sewajarnya oleh mahkamah,” tambahnya.

Hanipa, yang telah menjadi pengkritik tegar Najib berhubung peranannya dalam skandal 1MDB mendakwa bahawa orang ramai mungkin tidak berkongsi sentimen yang sama dengan anak guam Shafee berhubung keputusan hakim.

“Anak guamnya mungkin amat kecewa dengan penghakiman mahkamah.

"Tetapi saya percaya jika kita bertanya kepada orang ramai di jalanan, kecuali 'puak Bossku', kebanyakannya akan gembira dengan keputusan itu," tambahnya.

Pagi ini, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB.

Berikutan itu, Shafee yang tidak senang hati berkongsi kekecewaannya dengan wartawan.

"Saya sangat terkejut bahawa ini mungkin satu-satunya kes yang saya pernah kendali di mana pada peringkat ini saya tidak menang walaupun satu mata, tiada.

"Lupakan tentang kain, seurat benang pun saya tak menang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, laman Facebook Najib menyiarkan gambar beberapa pemimpin politik dan penyokong di kompleks mahkamah, termasuk veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan ketua pemuda parti itu, Dr Muhammad Akmal Salleh.

Tulisan itu mengeluh bahawa sukar untuk mencari sahabat sejati, terutama mereka yang akan hadir semasa kesusahan.

“Ramai yang tunjuk muka ketika mahu kesenangan. Ada yang bermuka-muka.

"Tetapi hidup ini memang penuh pengajaran. Dikala kepahitan hari ini, ada setitik kemanisannya dan penghargaan.

"Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang datang ke mahkamah hari ini.

"Bukan sahaja dari pemimpin-pemimpin parti politik, ataupun kenalan.

Dilihat begitu ramai dari kalangan penyokong dan rakyat biasa yang mengenang jasa dan merindui dasar pentadbiran dahulu. Ikhlas.

Inilah yang benar-benar sahabat sejati," katanya.

Pada 24 Okt lepas, Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas sabitan kes SRC International, memohon maaf atas skandal 1MDB tetapi menegaskan dia tidak bersalah.

Bekas perdana menteri berusia 71 tahun itu mendakwa dia ditipu oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, serta eksekutif Petrosaudi Patrick Mahoney dan Tarek Obaid.

Bas rempuh ‘flyover’ terbelah dua, 12 penumpang maut

KOSMO!
SEBUAH bas terbelah dua selepas merempuh dinding jejambat. - Foto PTI
NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, manakala 40 yang lain cedera apabila sebuah bas terbelah dua selepas merempuh dinding jejambat, lapor laman berita Hindustan Times semalam.

Nahas ngeri itu berlaku selepas pemandu hilang kawalan di daerah Sikar, negeri Rajasthan.

Polis berkata, bas itu merempuh dinding jejambat pada kira-kira pukul 2 petang (waktu tempatan).

“Seramai 12 orang telah kehilangan nyawa.

“Sejumlah daripada mereka yang cedera dirujuk ke Jaipur, manakala yang lain mendapatkan rawatan di Hospital SK, Sikar. Punca kemalangan sedang disiasat,” kata Ketua Polis negeri, Satyendra Choudhary.

Seorang pegawai polis daerah Sikar, Superintendent Bhuvan Bhushan Yadav berkata, bas yang datang dari Salasar itu merempuh sebahagian jejambat di Laxmangarh ketika membelok di selekoh. – AGENSI

Tidak sempat langgan pelacur, premis sudah kena serbu

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
ANTARA wanita dan lelaki warga asing yang ditahan dalam serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, semalam. FOTO Ihsan JIM Selangor.
ANTARA wanita dan lelaki warga asing yang ditahan dalam serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, semalam. FOTO Ihsan JIM Selangor.
Serdang: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menumpaskan satu sindiket pelacuran dalam serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan diketuai pegawai Khairil Anwar Mat Soud dan dibantu Bahagian Penguatkuasa Shah Alam dan Bahagian Penguatkuasa Pelabuhan Klang berlangsung pada 10 malam.

"Hasil maklumat awam dan risikan dua minggu, operasi ini berlangsung dan menahan enam wanita warga Vietnam, dua wanita warga Indonesia dan dua wanita warga Thailand disyaki pelacur.

"Selain itu, kami menahan tiga lelaki warga India yang mahu mendapatkan khidmat seks di premis berkenaan. Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 35 tahun.

"Kami turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 60 dan 45 tahun kerana disyaki bekerja sebagai penjaga premis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairrul Aminus berkata, pihaknya merampas kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai barangan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran.

"Modus operandi sindiket adalah menyediakan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan terdiri daripada warga asing di sekitar kawasan terbabit.

"Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigersen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Dua lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai 'bapa ayam' dan pelindung pula ditahan di lokap Balai Polis Pandamaran, Klang untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa tindakan tegas akan diambil atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Gumpalan misteri bercahaya oren ditemui di terusan

KOSMO!
SATU gumpalan oren ditemui di sebuah terusan di Utrecht. - Foto Lies Konig/stadsecoloog.utrecht
AMSTERDAM – Satu gumpalan bercahaya berwarna oren ditemui dan ditarik keluar dari sebuah terusan di Belanda dengan ahli ekologi tempatan menganggapnya sebagai kejadian pelik, lapor portal berita MailOnline semalam.

Ia kelihatan seperti satu guni besar selepas dikeluarkan dari air oleh sukarelawan di Utrecht.

“Ia tergantung di dasar pulau terapung,” kata kumpulan pakar tersebut mengenai penemuan luar biasa itu pada awal bulan ini.

Entiti aneh itu kemudiannya disahkan terdiri daripada haiwan-haiwan yang dikenali sebagai beg air bryozoan. Ia berkumpul bersama dalam satu koloni.

“Beg besar itu dibentuk oleh beberapa haiwan bersama-sama. Pada satu ketika, ia membentuk koloni. Koloni yang berbeza kemudian boleh bersatu semula,” kata seorang pakar ekologi, Anne Nijs.

Menurutnya, beg itu berdiameter seluas 2 meter dan penemuan tersebut amat mengejutkan kerana makhluk hermafrodit itu bukannya berasal dari Utrecht. 

“Namun, ia tidak merosakkan alam sekitar di sini,” tambahnya.

Beg itu kemudian dipulangkan semula di tempat ia ditemui. – AGENSI

Ahli perniagaan dibunuh isteri kedua demi harta RM4 juta

KOSMO

NEW DELHI – Seorang wanita di India ditahan kerana membunuh suaminya bagi membolot aset milik mangsa yang bernilai 80 juta rupee (RM4.2 juta), lapor laman berita Hindustan Times semalam.

Mangsa dikenali sebagai Ramesh, 54, merupakan ahli perniagaan dari negeri Telangana.

Suspek yang merupakan isteri keduanya, mencekik mangsa sehingga mati. Dia kemudian dibantu dua rakan subahatnya untuk membawa mayat mangsa ke Kodagu, Karnataka.

Ketiga-tiga mereka kemudian membakar mayat mangsa di sebuah ladang kopi.

Polis menahan suspek dikenali sebagai Niharika dan dua rakannya iaitu Dr. Nikhil serta Ankur Rana, selepas mayat mangsa ditemui pada 8 Oktober lalu.

Polis turut menyiasat rakaman daripada beratus-ratus kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada pengecaman mayat mangsa.

Selepas disoal siasat, Niharika mengaku melakukan jenayah itu dengan bantuan dua rakannya.

Menurut laporan, suspek mempunyai gaya hidup mewah, namun ketegangan meningkat apabila mangsa enggan menyerahkan aset bernilai 80 juta rupee kepadanya. – AGENSI

Pengurus Ikhwan Cafe didakwa memperdagangkan orang

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi. FOTO Iskandar Ishak
TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi. FOTO Iskandar Ishak
Kota Tinggi: Seorang Pengurus Kafe Ikhwan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memperdagangkan orang.

Tertuduh, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hassan.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, tertuduh bersama dua suspek yang telah dituduh iaitu Mahmad Hamal Tukiman dan Rabiahtul Adawiah Md Shash, serta dua suspek yang masih bebas, iaitu Afizah Arifin dan Norafiratul Abidah Ismail, didakwa mencapai niat bersama memperdagangkan orang berusia antara 30 hingga 57 tahun.

Perbuatan ke atas tiga wanita dan seorang lelaki itu adalah bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Pengerang di sini, antara Mei 2024 hingga 1 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid manakala peguam, Muhammad Zahier Rosli mewakili tertuduh.

Mahkamah menetapkan RM5,000 jaminan bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.

Hakim membenarkan jaminan selepas Ahmad Khairuddin mengesahkan tertuduh tidak lagi tertakluk di bawah tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim: Najib tak buat sebarang laporan terhadap Jho Low selepas skandal meletus

Ho Kit Yen

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata Najib Razak juga tidak pernah bangkit apa jua persoalan berkait kemasukan dana ke akaun AmBank.

Keterangan pegawai penyiasat menunjukkan Najib Razak tidak membuat sebarang aduan ke atas Jho Low yang didakwa berperanan ketika skandal 1MDB meletus, kata Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.
KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Najib Razak tidak membuat sebarang laporan terhadap Low Taek Jho, berkait dakwaan peranan ahli perniagaan itu selepas skandal 1MDB meletus hampir sedekad lalu, kata lMahkamah Tinggi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, berkata keterangan diberikan pegawai penyiasat dalam kes 1MDB, Nur Aida Ariffin, menunjukkan pihak berkuasa tidak pernah menerima apa jua aduan daripada Najib atau pegawainya pada 2015.

“Amhari (Efendi Nazaruddin) berkata beliau tidak menerima arahan daripada tertuduh untuk berbuat demikian,” katanya merujuk bekas pegawai khas Najib, yang memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB.

Sequerah berkata ketika memerintahkan Najib membela diri ke atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Hakim turut maklum, selepas isu 1MDB mendapat liputan meluas pada 2015, bekas pengerusinya, Bakke Salleh, dan bekas ketua pegawai eksekutif, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dipanggil memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Bakke berkata sebelum beliau dijadual memberi keterangan, pengerusi PAC Hassan Ariffin (ketika itu) memberikan taklimat kepadanya dua kali apa hendak diperkatakan bagi melindungi dan meminimakan peranan tertuduh dan Low (dalam 1MDB,” katanya sambil menambah Shahrol juga diarahkan berbuat perkara sama.

Sequerah ada menyebut satu lagi insiden pada 2013 apabila juruaudit daripada KPMG mempersoalkan pelaburan 1MDB USD2.3 bilion dalam Brazen Sky Ltd.

Juruaudit berkenaan enggan menandatangani penyata kewangan 1MDB pada 2013 kerana tidak dapat menentusahkan keaslian pelaburan tersebut.

“Selepas perkara itu dibawa ke perhatian tertuduh, mesyuarat diadakan di rumahnya bagi mengatur satu lagi perbincangan dengan KPMG (untuk diadakan kemudian),” katanya sambil mengambil kira keterangan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Hazem Abdul Rahman bahawa Low menghubunginya bagi perbincangan itu.

Perbincangan lanjut bersama KPMG berlaku kemudian di kediaman Najib, di Langgak Duta, antara lain dihadiri rakan kongsi kanan firma audit itu, Johan Idris.

Sequerah berkata, dalam keterangan Johan menyatakan beliau merasakan “diancam” dengan arahan Najib untuk mereka menutup penyata kewangan ketika pertemuan itu.

“Hasilnya, KPMG ditamatkan (khidmat) oleh tertuduh dan mereka digantikan dengan Deloitte,” katanya.

Berkait hujahan Najib beliau menerima “derma Arab”, Sequerah menyatakan bekas peguam 1MDB, Loo Ai Swan memberi keterangan bahawa beliau ada terdengar Low mengarahkan Kee Kok Thiam membuat draf “surat derma”, ketika mereka berada di sebuah hotel di London.

Beliau maklum antara 2011 dan 2015, Najib mempunyai akaun bersama AmBank.

katanya, pegawai bank AmBank dalam keterangan, berkata Najib tidak pernah membangkitkan sebarang pertanyaan berkait kemasukan dana dalam akaunnya sepanjang empat tahun.

“Ini menimbulkan inferens munasabah bahawa surat berkenaan mencurigakan,” katanya.

Kes culik ahli perniagaan: Pistol, gari dan wang tebusan RM7.2 juta dirampas

MOHAMAD FAIZAL HASHIM
MOHD. SHUHAILY (tengah) menunjukan wang tebusan yang dirampas pada sidang akhbar di Dewan Serbaguna Aras 1, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru, hari ini. Foto oleh BAZLAN IBRAHIM
JOHOR BAHRU – Pihak polis berjaya mendapatkan semula sebahagian daripada wang tebusan bagi membebaskan ahli perniagaan yang diculik pada 13 Oktober lalu berjumlah kira-kira RM7.2 juta.

Ahli perniagaan berusia 59 tahun itu diculik kira-kira pukul 5 pagi dan dibebaskan kumpulan penjenayah kira-kira pukul 12 tengah hari setelah memperoleh wang tebusan berjumlah RM20 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, jumlah wang yang diperoleh itu melibatkan bayaran dalam bentuk wang tunai dan mata wang kripto.

“Ia melibatkan wang tunai RM1.95 juta dan mata wang Singapura, SGD1 juta (RM3.3 juta) dan selebihnya dalam bentuk mata wang kripto (RM1.75 juta).

“Hasil operasi yang dijalankan, pihak polis juga merampas sepucuk pistol jenis Pietro Beretta dipercayai bukan pistol tiruan, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, sehingga kini seramai 14 individu telah ditahan membabitkan kes itu dalam beberapa siri serbuan antara 22 Oktober lalu hingga semalam.

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti peranan setiap individu dalam kes penculikan itu antaranya dalam konteks perancangan dan pelaksanaan culik, melupus barang kes serta pengurusan wang tebusan.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih menyiasat motif dan dalang kes penculikan ahli perniagaan itu yang merupakan seorang pemaju hartanah.

“Berhubung seorang ahli keluarga mangsa yang dilaporkan turut ditahan, ia masih dalam siasatan. Kita tidak boleh maklumkan identitinya kerana mungkin akan mengganggu siasatan tetapi saya boleh sebut dia adalah wanita,’’ katanya. – KOSMO! ONLINE

Kes seluk saku di KLIA, 3 warga China dipenjara 3 bulan

Bernama

Zhou Jiang, Huang Yang serta Hu Hairon didakwa melakukan jenayah seluk saku beg milik seorang warga Jepun di KLIA Terminal 1 pada 21 Okt lepas.
Tiga warga China dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Sepang selepas mengaku bersalah mencuri dengan cara menyeluk saku di KLIA, minggu lepas. (Gambar Bernama)
SEPANG: Tiga lelaki warga China dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri dengan cara menyeluk saku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, minggu lepas.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menjatuhkan hukuman itu terhadap Zhou Jiang, Huang Yang serta Hu Hairong dan memerintahkan ketiga-tiganya yang berusia 50-an menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkapan 25 Okt.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, ketiga-tiga tertuduh juga diperintah membayar pampasan RM7,622 kepada mangsa, dan sekiranya gagal akan dikenakan penjara tambahan tiga bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli dan kesemua warga China itu diwakili peguam Eryanie Abdul Rahim.

Menurut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh didapati melakukan jenayah seluk saku beg milik seorang warga Jepun di KLIA Terminal 1 pada lebih kurang 6 petang, 21 Okt lepas.

Sementara itu, Zhou Jiang turut mengaku bersalah dengan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kad kredit yang dicuri bagi membeli 13 kotak rokok.

Bagi kesalahan berkenaan, dia dipenjara tiga bulan serta diperintah membayar pampasan RM215.90, yang sekiranya gagal akan dikenakan tambahan sebulan penjara.

Remaja merajuk orang tua tak layan dengan baik nekad lari rumah

ADNAN IBRAHIM
NURUL ALYA FARZANA ZAMRI yang tular di media sosial dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan petang Ahad lalu.
KLUANG – Merajuk dengan ibu dan ayahnya kerana tidak diberikan layanan dengan baik dikatakan sebagai punca seorang remaja perempuan melarikan diri dari tidak pulang ke rumah selepas ke sekolah petang Ahad lalu.

Bagaimanapun, pelajar perempuan tingkatan empat yang dilaporkan hilang di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini, sudah ditemui semula malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Nurul Alya Farzana Zamri yang berusia 16 tahun ditemui dalam keadaan selamat di Restoran Jamilah, Taman Sri di sini pukul 10.30 malam.

Katanya, pelajar berkenaan ditemui ibunya sendiri yang sebelum ini membuat aduan kehilangannya sebelum ini.

“Berdasarkan siasatan, pelajar berkenaan melarikan diri dari rumah kerana tidak berpuas hati dengan ibu bapanya kerana tidak melayannya dengan baik.

“Dia juga berasa tertekan tinggal di rumah,” katanya dalam satu kernyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial berkenaan pelajar perempuan itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas tidak pulang ke rumah selepas ke sekolah kelmarin.-KOSMO! ONLINE

Warga asing mengamuk guna parang ditahan

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
SUSPEK ditahan di rumahnya selepas mengamuk menggunakan senjata. FOTO ihsan polis
SUSPEK ditahan di rumahnya selepas mengamuk menggunakan senjata. FOTO ihsan polis
Tawau: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas dia mengamuk bersenjatakan parang panjang di sebuah rumah di Kampung Melati Burut, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 29 tahun ditahan di kediamannya di Kampung Sungai Imam, jam 4.20 petang.

Menurutnya, berdasarkan laporan suspek yang dikenali sebagai Bicul dikatakan datang ke rumah mangsa dengan memegang sebilah parang sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.

"Bapa mangsa kemudiannya bertindak mengambil mengambil sebatang kayu dan mengarahkan suspek supaya beredar dari kawasan rumah mereka.

"Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri selain tiada rekod jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Bayi dalam besen sampah: 2 suspek termasuk remaja 14 tahun ditahan

FMT Reporters
Terdahulu tular di media sosial, seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui di dalam besen sampah di kawasan lot kedai di Jalan Tong Sang, Sibu, pada kira-kira 8 pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan berhubung kes seorang bayi baru lahir ditemui di dalam besen sampah di depan sebuah premis perniagaan di Jalan Tong Sang, Sibu, hari ini.

Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili berkata, reman terhadap kedua-dua suspek tempatan itu akan dimohon esok.

“Kes ini disiasat bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi tersebut.

“Seksyen ini membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya, lapor Bernama.

Terdahulu, tular di media sosial, seorang bayi lelaki cukup sifat yang masih hidup ditemui dalam besen sampah di kawasan lot kedai Jalan Tong Sang oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut pada kira-kira 8 pagi.

Bayi yang sihat itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam.

Zulkipli berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Pemeriksaan oleh doktor mendapati bayi itu dilahirkan dalam keadaan normal dan tiada kesan kecederaan didapati pada tubuh badannya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Ahmad Zam Zam Ismail di talian 014-9067909 atau 084-364737 bagi membantu siasatan.

Tanda-tanda kepimpinan Pemuda Bersatu akan berpecah

Pemimpin Pemuda Bersatu persoal apakah terdapat campur tangan
FMT Reporters

Penolong setiausaha Pemuda Bersatu tuntut ketelusan penuh selepas keputusan pemilihan sayap diumumkan petang tadi.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Bersatu mempersoalkan sama ada terdapat campur tangan bagi menentukan keputusan pemilihan sayap itu.

Persoalan itu antara beberapa tanda tanya yang diajukan penolong setiausaha semasa, Muhammad Faiz Rahmad, ketika mengulas pengumuman oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) petang tadi.

Menginginkan penjelasan daripada JPP, Muhammad Faiz berkata: “Kami menuntut ketelusan sepenuhnya, keadilan yang tanpa kompromi dan penghormatan kepada undi serta suara perwakilan akar umbi.”

Beliau menarik perhatian kepada pengumuman JPP pada 27 Okt yang membuka ruang bantahan dibuat hingga 10 pagi, 28 Okt.

Beliau menyifatkan proses itu ‘luar kebiasaan’ kerana bantahan sepatutnya hanya boleh dibuat selepas keputusan diumumkan.

“Apakah perkara yang ingin dibantah jika jumlah undi, pemenang dan lain-lain hal berkaitan proses pengundian belum diketahui secara umum?” soalnya dalam kenyataan.

Beliau seterusnya berkata, bantahan-bantahan mendedahkan beberapa perkara yang ‘amat ganjil’, contohnya keabsahan undi daripada Pemuda Bersatu Beaufort yang tidak diberi kelulusan untuk bersidang.

“Jika benar Pemuda Beaufort tidak layak bersidang, mengapa kertas undi masih diedarkan untuk mereka?”

Turut dibangkitkan, jumlah perwakilan Pemuda Bersatu Kalabakan. Muhammad Faiz mendakwa, mesyuarat pengurusan Bersatu meluluskan senarai perwakilan rasmi dengan hanya 50 orang daripada empat cawangan, tetapi jumlah tersebut melonjak kepada lebih 180 perwakilan dari 12 cawangan pada hari persidangan.

“Dari mana datangnya perwakilan-perwakilan ini yang tidak pernah dilaporkan sebelum ini?” soalnya.

Berdepan persoalan-persoalan ini, Faiz menegaskan bahawa ahli Bersatu berhak mendapat jawapan yang sahih, dan bukan sekadar alasan.

“Kami tidak meminta lebih daripada apa yang seharusnya menjadi asas sebuah parti yang berdiri atas prinsip keadilan dan integriti,” katanya.

JPP petang tadi mengumumkan Adun Gombak Setia Hilman Idham menang jawatan ketua Pemuda Bersatu pada pemilihan, menewaskan pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir.

Hilman memperoleh 1,888 undi, dengan 170 undi mengatasi Akmal Zahin, yang meraih 1,718 undi.

Faiz pula diumumkan memenangi jawatan naib ketua Pemuda selepas mendapat 1,790 undi, menewaskan Adun Seberang Jaya Izhar Shah Arif Shah (1,287) dan Adib Shaharuddin (490).

Sejumlah 111 bahagian Pemuda bersidang dan berdasarkan kertas undi diterima, jumlah kehadiran pada tahap 42% daripada perwakilan yang layak hadir, iaitu 9,076 orang.

JPP turut menerima 27 aduan dan bantahan, antaranya berkaitan peraturan sidang, tatacara pemilihan, prosedur pengeluaran kertas undi, keabsahan perwakilan dan prosedur pengiraan undi.

Warga China disyaki seluk saku di KLIA ditahan

BERNAMA

Sepang: Tiga lelaki warga China disyaki terlibat dalam kes seluk saku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1 ), ditahan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Azman Shari'at berkata tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dengan bantuan anggota keselamatan penerbangan (AVSEC) di ruang legar Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA T1.

"Ketiga-tiga suspek telah direman empat hari sejak 26 Okt lepas," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Jepun pada 22 Oktober lalu mendakwa menjadi mangsa kejadian itu selepas menyedari zip bag sandangnya terbuka dan mendapati dompet dalam beg berkenaan hilang.

Azman berkata pengadu menyedari kejadian itu ketika ingin membuat pembayaran di sebuah restoran di Petaling Jaya, Selangor pada 21 Oktober lalu.

"Pengadu juga telah menerima pemberitahuan melalui telefon bimbitnya bahawa terdapat tiga transaksi (menggunakan kad banknya) telah dibuat di suatu lokasi yang beliau tidak pasti.

"Pengadu bertindak menyekat semua kad bank miliknya apabila mendapati penggunaan kad banknya mencecah RM7,622," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk ke Mahkamah Majistret Sepang untuk pertuduhan esok.

Wanita ‘kahwin’ rakan perempuannya sendiri minta maaf

KOSMO!
DELA Kasim dan Imelsa Mohamad. - Foto Istimewa
JAKARTA  – Seorang wanita mengaku bersalah kerana ‘berkahwin’ dengan rakan perempuannya di Gorontalo, Indonesia, lapor portal berita detiksulsel semalam

Dela Kasim dan Imelsa Mohammad menjadi tumpuan sebelum ini selepas gambar ‘perkahwinan’ mereka tular di media sosial.

 “Kami ingin menjelaskan tentang hantaran (gambar) kami yang memakai baju adat Gorontalo dan memperlihatkan kami  seperti pasangan suami isteri.

“Kami melakukannya hanya sekadar bergambar sahaja, tidak ada maksud lain,” tegas Imelsa.

Dia memberitahu, gambar itu dimuat naik ke media sosial sebagai konten semata-mata dan mengaku salah dengan perbuatannya.

“Tidak benar kami ini menikah,” kata Imelsa.

“Kami memohon maaf kepada seluruh masyarakat Gorontalo dan pihak berkaitan kerana tingkah laku kami.

“Kami berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut,” tambahnya. – AGENSI

Penduduk terseksa dapat ‘jiran dari neraka’

KOSMO!
Pemilik rumah membiarkan longgokan sampah bertimbun yang terdiri daripada pelbagai barangan termasuk serpihan, sofa rosak, tilam dan peti sejuk. - Daily Star
LONDON – Penduduk sebuah kawasan kejiranan di Stafford, Britain mendesak pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera ke atas pemilik sebuah rumah yang menjadikan halaman kediamannya tempat longgokan sampah sarap, lapor akhbar Daily Star semalam.

Pemilik rumah di Peach Avenue itu membiarkan longgokan sampah bertimbun yang terdiri daripada pelbagai barangan termasuk serpihan, sofa rosak, tilam dan peti sejuk.

Kawasan itu bukan sahaja menjadi sarang tikus, malah ia membahayakan kesihatan orang ramai terutamanya kanak-kanak.

Seorang jiran yang enggan mendedahkan identinya berkata, dia sudah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan pada Ogos lalu, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

“Terdapat logam bersepah ke tengah jalan, dan entah sudah berapa banyak kereta yang mengalami tayar pancit.

“Terdapat juga tingkah laku antisosial dan parti sehingga larut malam. Kami cuba menghubungi polis tetapi mereka mengatakan bahawa ini adalah perkara sivil,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang enggan namanya didedahkan berkata: “Ia telah berlaku selama kira-kira setahun dan tiada apa yang berubah.

“Saya telah mengadu (kepada pihak berkuasa) berkali-kali, begitu juga dengan ramai penduduk di sini. Namun, apa yang kami diberitahu adalah mereka sedang menelitinya,” ujarnya. 

Sementara itu, jurucakap Majlis Daerah Stafford mengulas: “Memandangkan kami sedang mengambil tindakan undang-undang untuk menyelesaikan situasi ini dan menghalang mereka daripada terus menjadikan kehidupan penduduk Peach Avenue sengsara, kami tidak boleh berkata apa-apa lagi buat masa ini.” – AGENSI

Polis tangkap penduduk sambut Halloween

KOSMO!
GAMBAR fail dua wanita meraikan Hari Halloween di Shanghai tahun lalu. - Foto AFP
BEIJING  –  Polis menghalang dan menangkap orang ramai yang meraikan sambutan masyarakat Barat, Halloween di Shanghai, China, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.

Saksi-saksi memberitahu BBC, mereka melihat polis menyuraikan orang ramai yang bergembira dan memakai pelbagai kostum menyeramkan di jalan-jalan di Shanghai.

Gambar yang menunjukkan sebilangan individu ditahan kerana meraikan Halloween juga  tular di media sosial.

Mengikut tradisi Barat, roh manusia yang telah mati akan kembali ke rumah masing-masing semasa hari Halloween.

Satu rakaman video yang disiarkan ke media sosial menunjukkan individu memakai kostum seperti watak adiwira Batman dan Deadpool, diiringi anggota polis menaiki van pihak berkuasa itu. 

Beberapa pengunjung parti itu berkata, mereka terpaksa menanggalkan mekap di balai polis.

Pada Sabtu lalu, polis dilihat menyuraikan orang ramai dari Taman Zhongshan di Shanghai.

“Kami diberitahu semua orang yang keluar dari pintu taman itu tidak boleh memakai kostum (bagi meraikan Halloween).” kata seorang penduduk. – AGENSI

Whattt MyKad, lesen memandu Malaysia ditemui di medan perang Ukraine-Russia?

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Wisma Putra belum dapat mengesahkan kesahihan tentang gambar tular menunjukkan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu milik rakyat Malaysia yang dilaporkan ditemui di medan perang Ukraine-Russia.

Kementerian Luar menyatakan pihaknya sudah mengambil maklum mengenai laporan yang mengatakan MyKad dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dijumpai di Levadne, Zaporizhia itu.

"Buat masa ini, kami tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut. Maklumat tersebut juga telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan.

"Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdapat juga dakwaan di media sosial bersama gambar-gambar itu, mendakwa ia milik seorang rakyat negara ini yang tidak dapat dipastikan statusnya sama ada terbunuh atau ditahan tentera Russia.

Berdasarkan pemerhatian ke atas salah satu gambar yang tular, lesen memandu itu milik seorang individu beralamat di sebuah negeri di utara Semenanjung dan ia sah sehingga Februari 2025.

Pada Januari lalu, media pernah melaporkan ada rakyat Malaysia didakwa menjadi askar upahan Russia dalam perang Russia- Ukraine. Bagaimanapun ia dinafikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Kementerian Luar dalam kenyataan sama itu turut menegaskan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing.

"Walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyemak kesahihan maklumat terbabit.

"Buat masa ini PDRM sedang menyemak sama ada ia benar atau sebaliknya dan kita juga berhubung dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan maklumat," katanya