Anak ada masalah mental bunuh ibu, tikam dengan gunting

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
POLIS mengangkat mayat wanita warga emas yang maut dibunuh anaknya. FOTO Zuhainy Zulkiffli
POLIS mengangkat mayat wanita warga emas yang maut dibunuh anaknya. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Georgetown: Wanita maut dipercayai ditikam dengan gunting oleh anaknya yang mempunyai masalah mental, dalam kejadian di Relau, di sini, hari ini.

Suspek juga dikatakan menghubungi abangnya kira-kira 5 petang, bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, abang suspek kemudian menghubungi polis bagi tindakan lanjut.

Katanya, suspek yang juga anak bongsu berusia 40 tahun itu kemudian diberkas di unit kediaman pangsapuri berkenaan.

"Siasatan awal mendapati anak sulung dan kedua menghubungi mangsa sebelum kejadian namun panggilan itu tidak dijawab.

"Mereka kemudian dikejutkan dengan panggilan mengenai kematian ibu akibat ditikam menggunakan gunting oleh suspek," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Razlam berkata, mangsa yang berusia 67 tahun dikatakan hanya akan datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari seminggu bermula Jumaat.

Manakala baki hari yang lain, katanya, wanita warga emas itu tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung dekat sini.

"Suspek juga pernah membuat ugutan bunuh terhadap semua ahli keluarganya ketika mereka tinggal bersama di Batu Maung.

"Selain itu suspek juga pernah dimasukkan ke wad rawatan psikiatri di Jalan Perak di sini, pada tahun lalu," katanya lagi.

Menurut Razlam, motif pembunuhan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) proses bedah siasat.

Lagiii Penjawat awan direman disyaki terima rasuah RM65,000

KOSMO!

PETALING JAYA – Seorang penjawat direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM 65,000 dari sebuah syarikat pembekalan barangan di negeri tersebut.

Perintah reman terhadap suspek berusia 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Helmi Ahmad Jani di Mahkamah Majistret Miri, Sarawak, hari ini.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat memperoleh suapan dari sebuah syarikat pembekalan barangan bagi Program Bantuan Geran.

“Kesalahan itu dipercayai dilakukan semasa suspek bertugas di salah sebuah bandar di Sarawak sekitar tahun 2019 hingga 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek ditahan kira-kira pukul 9 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Tuan Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Polis berkas kakitangan bank disyaki songlap RM24.2 juta

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang kakitangan sebuah bank ditahan selepas disyaki bertindak sebagai 'orang dalam' dan bersubahat dengan sebuah sindiket bagi mengeluarkan wang tunai bernilai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima empat laporan pada awal Jun memaklumkan berlakunya pengeluaran yang mencurigakan.

Menurutnya, laporan dibuat mangsa dan kakitangan bank terbabit di Petaling Jaya, Selangor mendakwa berlaku pengeluaran secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

"Kesemua pemilik akaun terbabit mendakwa tidak mengetahui berhubung transaksi pengeluaran dan tidak pernah ke Kota Kinabalu, Sabah bagi melakukan pengeluaran itu.

"Susulan itu seorang suspek berusia 38 tahun yang juga kakitangan bank terbabit ditahan di sekitar Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, siasatan awal mendapati terdapat pembabitan ahli sindiket terbabit dari dalam bank itu sendiri berikutan transaksi pengeluaran tanpa kebenaran itu hanya boleh dilakukan dengan kerjasama 'orang dalam'.

Katanya, setakat ini pihak polis sudah mengenal pasti beberapa lagi suspek dan sedang dalam proses memburu mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pasukan serbuan merampas tiga unit telefon bimbit bersama kad sim, kat mesin pengeluaran wang automatik (ATM) (lapan), komputer riba (satu) dan tunai berjumlah RM4,400.

"Polis Diraja Malaysia akan memastikan siasatan kes ini dilaksanakan sebaiknya selaras dengan peruntukan undang-undang negara," katanya.

Cubaan seludup 70 ekor lembu guna treler berjaya digagalkan

Tentera, polis patahkan cubaan seludup lembu

Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematahkan cubaan menyeludup masuk 69 ekor lembu bernilai RM345,000 dalam operasi yang dijalankan semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan kejadian tersebut berlaku di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd) di sempadan Malaysia-Thailand.

"Berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh, pasukan operasi berjaya menahan dua suspek rakyat tempatan yang sedang melakukan aktiviti penyeludupan lembu di kawasan hutan berdekatan sempadan pada jam 8.20 malam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek sedang cuba menyeludup lembu terbabit masuk ke Malaysia untuk dijual sempena sambutan Aidiladha demi mengaut keuntungan yang lumayan," menurut kenyataan itu hari ini.

Turut dirampas treler jenis Volvo 50 tan dan CNHTC 50 tan.

"Suspek dan barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Lalang Pepuyu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

"TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan," menurut kenyataan itu.

- Bernama

Kes bayi patah tangan: Pengasuh direman, beraya dalam lokap

NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN – Seorang pengasuh terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di dalam lokap selepas ditahan reman bagi membantu siasatan kes bayi jagaannya yang patah tangan kiri dan mengalami pendarahan otak pada kelmarin.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini terhadap wanita berusia 29 tahun tersebut dibenarkan Majistet Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Terdahulu suspek ditahan di rumahnya di Taman Banggol Indah, Paya Berenjut, di sini pada pukul 3.30 petang kelmarin.

Kosmo! hari ini melaporkan pemeriksaan doktor di Hospital Kemaman di sini mendapati tangan kiri bayi perempuan berusia berusia lima bulan itu patah.

Selain itu, bayi malang yang kini sedang dirawat di wad hospital tersebut juga disahkan mengalami pendarahan otak.- KOSMO! ONLINE

Sanusi dikecam lepas minta rakyat tak teruskan budaya berharap kerajaan

SITI NUR ZAWANI

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditempelak selepas mengeluarkan ucapan yang didakwa menghina rakyat yang meminta bantuan kerajaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan segeri seharusnya melaksanakan tanggungjawab membantu golongan miskin dan bukannya meminta mereka berhenti memohon bantuan.

“Bagi saya, sebagai seorang Menteri Besar dipilih rakyat Kedah, beliau seharusnya memikul tanggungjawab membantu rakyat miskin di negeri itu.

“… dan bukannya mengeluarkan kenyataan supaya rakyat miskin jangan lagi menjadikan meminta bantuan daripada kerajaan Pas sebagai satu budaya hidup.

“Itu boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada golongan miskin dan sudah tentu ianya amat mengecewakan rakyat apabila seorang Menteri Besar meminta rakyat jangan lagi bergantung harap dengan meminta bantuan daripada kerajaan Pas”, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada ucapan Sanusi yang baru-baru ini menegur rakyat negerinya supaya tidak meneruskan budaya berharap dengan bantuan kerajaan.

Sanusi berkata, ada rakyat di negeri itu yang sudah banyak dibantu, masih lagi mengharapkan bantuan kerajaan untuk isu-isu seperti atap bocor dan dinding pecah.

“Atap suruh kerajaan mai boh. Saya kata, eh pening juga fikir.. (dapat) rumah percuma, tanah je lah kena bayar premium sikit, rumah tak kena bayar. Tapi (apabila) dinding pecah, pintu pecah, atap bocor semua suruh kerajaan tukar.

“Dia duduk situ. Tadah periuk, tadah besen, tadah macam-macam. Bergenang air dalam rumah. Dia kata tunggu wakil rakyat mai datang buat atap baru.

“Saya rasa tak bolehlah budaya ini dibiarkan berlarutan,” katanya.

Susulan itu, Mahdzir berkata, rakyat Kedah yang memilih dan mengundi pimpinan Pas untuk menerajui negeri itu sememangnya mengharapkan kepimpinan kerajaan memainkan peranan berkesan dalam membantu rakyat miskin yang memerlukan bantuan.

“Mengapa pimpinan PAS ketika berkempen dalam pilihan raya tidak menyebut perkara itu dengan meminta rakyat jangan meminta bantuan daripada wakil rakyat kalau mereka menang?

“Kenapa sekarang apabila menjadi kerajaan selepas menang dalam pilihanraya, kerajaan negeri meminta rakyat miskin jangan lagi minta bantuan daripada wakil rakyat Pas?

“Adakah itu membawa maksud pimpinan kerajaan negeri mahu melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap rakyat?” soal beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah.

Mahdzir berkata, dalam isu tersebut, Kerajaan negeri perlu merangka strategi khusus bagi mencari jalan penyelesaian untuk menghapuskan kemiskinan di Kedah.

'Tugas Don Daniyal hanya hos program, bukan petik kitab'

Malaysiakini

Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman, berkata Salam Baitullah bukanlah rancangan agama sebaliknya cuma berkaitan perkhabaran terkini jemaah Malaysia di Mekah.

Justeru, katanya, tugas Don Daniyal Don Biyajid sebagai pengacara sepatutnya berkisar pada aspek berkenaan seperti yang ditetapkan dalam skrip, dan bukannya memberikan pandangan yang belum dapat dipastikan kesahihannya.

“Tugas Don Daniyal adalah mengacara, bertanya soalan, ikut skrip dan jauhi kontroversi. Dia sudah dimaklumkan mengenai perkara ini berkali-kali.

“Don Daniyal tidak ditugaskan untuk menganalisis atau memetik kitab, ikut sajalah arahan yang diberi," katanya yang dipetik BH Online hari ini.

Menjelaskan isu tersebut lebih lanjut, Suhaimi berkata, RTM memutuskan untuk menamatkan penampilan Don Daniyal dalam Salam Baitullah berdasarkan kepada kegagalan dia mematuhi skrip asal.

Suhaimi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Don Daniyal pada sidang media di Putrajaya, malam tadi yang mendakwa berlaku salah faham apabila dia didakwa memetik hadis lemah hingga menjadi punca disingkirkan daripada program Salam Baitullah.

Untuk rekod, Don Daniyal, 39, sebelum ini direhatkan seminggu selepas pelbagai pihak mengkritik dakwaannya berkaitan Nabi Muhammad SAW yang melamar seorang wanita bernama Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Kelmarin, Don Daniyal kembali bersiaran di RTM namun sekali lagi mencetus kontroversi apabila membuat dakwaan yang diragui mengenai ‘kelebihan’ memandang ulama.

Dakwaan Don Daniyal itu ditegur oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Rozaimi Ramle, dan Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Hapiz Mahaiyadin kerana dipetik dari sumber yang diragui.

Pada sidang media malam tadi, Don Daniyal menegaskan dia tidak memetik sebarang hadis semasa menyatakan kelebihan memandang wajah ulama, sebaliknya merujuk kepada kitab karangan ilmuan Islam dari Nusantara.

RTM kena tanggungjawab

Don Daniyal juga mendakwa, jika dia dianggap salah dalam memberikan pandangan berkenaan, bermakna ulama terbabit, Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani, juga salah.

Menurut Suhaimi, RTM tidak memihak kepada sesiapa dalam isu tersebut namun sekiranya dibiarkan berterusan ia dikhuatiri membawa masalah kepada stesen penyiaran berkenaan.

Katanya, apabila perkara yang disebut Don Daniyal tiada dalam skrip, keadaan itu bahaya sebab wujud kecenderungan untuk timbul perkara yang bukan-bukan.

Menggunakan dirinya sebagai contoh, Suhaimi berkata, dia sendiri yang berpengalaman selama 30 tahun hingga kini masih mengutamakan arahan penerbit.

“Saya sudah banyak kali berpesan kepada Don Daniyal (supaya) dia perlu berhati-hati sebab ramai yang memerhatikan dirinya.

“Macam yang saya katakan, kalau dia hendak petik hadis atau kitab ketika kendalikan program, beritahu kami dulu.

“Pihak yang kena bertanggungjawab adalah kami kerana RTM stesen penyiar.

“Kalau Don Daniyal mahukan kebebasan untuk buat apa yang dia suka, buatlah di platform media sosial sendiri,” katanya.

Ustaz Don nafi sebut pasal hadis, tampil bersuara apa dah berlaku

SITI NUR ZAWANI

Ustaz Don mempertahankan diri, tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan menggunakan sekali lagi hadis yang lemah dalam siaran Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia di TV1, semalam.

Dalam sidang media selepas dia direhatkan sepenuhnya dari program tersebut, Ustaz Don berkata perkara tersebut sebenarnya telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak.

Dia juga menafikan ada menyebut sebarang hadis.

“Nombor satu orang terlepas pandang semalam saya tidak sebut hadis, benda itu dimanipulasi. 

“Saya kan baru jumpa pihak berautoriti iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), benda yang mereka beritahu kita berhati-hati.

“Mereka bagi panduan, mesti saya pegang apa yang dipesan. Mungkin ada salah faham. Sebab jadi spekulasi teruk bila lihat video sekerat dan tidak penuh,” katanya.

Terdahulu, RTM menerusi Ketua Pengarah Penyiaran membuat keputusan sekali lagi untuk merehatkan Don Daniyal daripada program Salam Baitullah kerana tidak belajar dari kesilapan.

2 lelaki disyaki penjenayah mati dalam insiden berbalas tembakan

Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
FOTO tular menunjukkan insiden dua lelaki dipercayai penjenayah ditembak mati polis di Jalan Abad, Johor Bahru, petang semalam.
FOTO tular menunjukkan insiden dua lelaki dipercayai penjenayah ditembak mati polis di Jalan Abad, Johor Bahru, petang semalam.
Johor Bahru: Dua lelaki dipercayai penjenayah ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan polis di Jalan Abad di sini, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam insiden 5.04 petang itu, seorang suspek berusia 42 tahun disahkan maut di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakannya yang berada di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka.

Katanya, hasil siasatan awal, suspek maut berusia 42 tahun itu mempunyai 38 rekod jenayah membabitkan dadah, manakala seorang lagi suspek belum dikenal pasti identitinya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

"Insiden semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat.

"Tindakan suspek menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah MPV dinaiki suspek. Kejadian berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima itu terkena tembakan dan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan insiden berbalas tembakan itu yang mengejutkan penduduk setempat.

Turut tular, video memaparkan anggota polis menutup beberapa jalan selain melencongkan aliran trafik di kawasan kejadian, dan lokasi insiden itu ditutup buat sementara waktu.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Kumar berkata, pemeriksaan lanjut, polis menjumpai dua pucuk pistol di dalam kenderaan dinaiki kedua suspek itu.

Katanya, polis turut menjumpai sepucuk pistol pada badan salah seorang suspek.

"Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya di dalam kenderaan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pesawat hilang selama 53 tahun ditemui di dasar tasik

BHarianonline
Pesawat yang hilang sejak 1971 ditemui di dasar Tasik Champlain di Vermont, Amerika Syarikat. - Foto AGENSI
Pesawat yang hilang sejak 1971 ditemui di dasar Tasik Champlain di Vermont, Amerika Syarikat. - Foto AGENSI
VERMONT: Pasukan pencarian di Amerika Syarikat (AS) berkata mereka baru-baru ini menemui serpihan jet peribadi yang hilang selama lebih setengah abad di dasar Tasik Champlain, Vermont.

Selama lebih 53 tahun, pihak berkuasa percaya pesawat membawa dua anak kapal dan tiga pekerja firma hartanah Atlanta, Cousins Properties, terhempas ke dalam tasik ketika dalam penerbangan dari Burlington, Vermont, ke Providence, Rhode Island.

Tasik Champlain, yang bermula dari sempadan Vermont dan New York sehingga ke Kanada itu berukuran 22.5 kilometer (km) di rentasan yang paling lebar.

Sekurang-kurangnya 17 operasi bagi mencari lima penumpang lelaki itu dilakukan sejak 1971, masing-masing menggunakan teknologi yang semakin canggih dan lebih baru, namun pesawat malang itu gagal ditemui.

Kini, kata ketua pasukan pencarian, Garry Kozak, nasib pesawat yang telah lama disyaki terhempas dan lima orang di dalamnya disahkan, selepas kehilangan pesawat kecil itu dilaporkan ketika cuaca buruk lebih lebih lima dekad itu.
Contoh jenis jet peribadi yang hilang pada 1971.
Contoh jenis jet peribadi yang hilang pada 1971.
Dalam pengesanan yang dibuat pada 2023, kata Kozak, beliau menganalisis data sonar lama dan mengenal pasti potensi yang boleh menjadi kebarangkalian lokasi akhir pesawat berkenaan 'berkubur', iaitu di barat pulau Juniper.

Setahun kemudian, pasukan pencarian diketuai Kozak kembali ke tasik berkenaan dengan membawa jentera pencarian canggih yang mampu berfungsi di dasar tasik itu.

Hasilnya, teknologi berkenaan berjaya merakamkan visual resolusi tinggi bangkai serta serpihan pesawat yang menunjukkan panel pintu, satu daripada dua enjin termasuk alatan di bahagian kokpit pesawat malang berkenaan.

"Saya sangat gembira kerana kami menemuinya, dan saya bersyukur untuk ahli keluarga yang masih ada.

"Selepas bertahun-tahun menunggu tanpa kepastian, kami harap penemuan terbaharu ini dapat memberi ketenangan kepada anggota keluarga," katanya pencari dasar laut itu kepada USA TODAY.

Kozak menjelaskan, tidak lama selepas penerbangan itu, menara kawalan kehilangan semua hubungan radar dengan pesawat, tiada komunikasi kecemasan diterima.

Justeru, pegawai mengesyaki bahawa pesawat itu berkemungkinan besar terhempas ke dalam tasik, walaupun tiada bukti fizikal pada masa itu.

Kozak berkata beliau berkongsi video medan serpihan dalam air dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) untuk membantu pasukan forensik mereka mengesahkan bahawa serpihan itu adalah jet sama yang hilang 53 tahun lalu.

Buat masa sekarang, Kozak hanya berkongsi koordinat tepat medan serpihan itu dengan keluarga mangsa dan lokasinya dirahsiakan kerana ia adalah tapak kubur. - AGENSI

Lelaki pecah masuk gereja dalam keadaan separuh bogel ditahan polis

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Kangar: Seorang penganggur ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah gereja di sini, semalam dalam keadaan separuh bogel sebelum melarikan sejumlah barangan dari rumah ibadat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek berusia 31 tahun itu diberkas di Jalan Bahagia di sini, pada 11.30 pagi hari ini selepas pihaknya menerima laporan polis semalam.

"Dalam tangkapan berkenaan, polis turut merampas satu set meja fortable berwarna hitam, sebuah kipas dinding berwarna putih, sehelai singlet warna kelabu dan seluar pendek warna biru.

"Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes curi dan dadah. Saringan ujian air kencing mengesahkan suspek positif methamphetamine," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, suspek direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Di media sosial hari ini turut tular rakaman kamera litar tertutup menunjukkan perbuatan lelaki itu memecah masuk rumah ibadat berkenaan.

Pengawal keselamatan maut mulut disumbat batu

KOSMO

HAVANA – Seorang pengawal keselamatan berusia hampir 60 tahun meninggal dunia akibat dibunuh oleh sekumpulan pencuri yang cuba melarikan  seekor keldai, lapor akhbar CiberCuba semalam. 

Kejadian berlaku di koperasi “Nuevo Mundo” di bandar Dos Caminos, wilayah San Luis.

Menurut polis, mulut mangsa diikat, manakala leher dan kepalanya ditikam. 

Dia meninggal dunia selepas penyerang memasukkan batu ke dalam mulutnya. 

Sementara itu, polis menahan beberapa suspek bagi membantu siasatan. 

Seorang lagi suspek yang tinggal berhampiran lokasi kejadian, sempat melarikan dan masih diburu.  –  AGENSI

Penjual mainan menangis enggan terima wang ‘sedekah’

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan seorang wanita cuba memberi wang kepada warga emas itu. - TikTok @seruni140_
JAKARTA – Tindakan seorang penjual mainan berusia 65 tahun di Indonesia menolak wang berlebihan yang diberikan oleh seorang individu mengundang perhatian netizen, lapor akhbar Tribunnews semalam. 

Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @seruni140_, warga emas itu dilihat menangis dan enggan menerima wang yang diberikan oleh seorang wanita bernama Seruni. 

Biarpun harga untuk dua permainan dibeli oleh Seruni berjumlah 10 ribu rupiah (RM2.88), namun dia memberi jumlah yang jauh lebih besar. 

Sikap dermawan pembeli itu membuatkan warga emas itu tidak dapat menahan air matanya. 

Warga emas itu berkata, mainan tersebut dihasilkannya sendiri menggunakan kertas warna-warni dan dijual pada harga antara 3 ribu rupiah (RM0.86) hingga 5 ribu (RM1.44). 

“Setiap hari saya  berniaga, cuma waktunya lain-lain. Kalau hari Sabtu, saya berniaga pada waktu siang. Pendapatan saya juga tidak menentu,” katanya. 

Meskipun ditolak beberapa kali, Seruni tidak berputus asa untuk memberikan wang itu. 

Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih sebanyak 21.4 juta tontonan. – AGENSI 

'Orang jerit sana sini'

BERNAMA
KAWASAN bangunan di Genting Highlands yang terbakar. FOTO Facebook Pasukan Bomba Sukarela Gombak/Muhammad Irwan
KAWASAN bangunan di Genting Highlands yang terbakar. FOTO Facebook Pasukan Bomba Sukarela Gombak/Muhammad Irwan
Genting Highlands: Api marak dan asap tebal yang menyelubungi kawasan bangunan di taman tema Genting Highlands mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung.

Seorang pengunjung Hafiz Abdul Halim, 42, berkata, perasaan takut mula timbul apabila menyedari terdapat kebakaran di tingkat dua bangunan di taman tema itu.

"Kita sudah tentu panik apabila dengar orang jerit sana sini," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, pihak polis yang bertugas meminta orang ramai untuk meninggalkan premis dan keluar ke lokasi yang lebih selamat.

Seorang pekerja restoran Adrian Wong, 32, berkata, semua petugas di premis itu termasuk orang awam diarahkan mengosongkan premis ekoran kebakaran pada petang tadi.

"Mereka meninggalkan segala urusan untuk selamatkan diri," katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa dalam kenyataan berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.30 petang tadi.

Beliau berkata, tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu.

Terdahulu Pusat Gerakan Operasi JBPM Pahang memaklumkan menerima laporan berkaitan insiden itu pada 4.55 petang.

Pengemis mengaku malaikat, tak segan curi barang

KOSMO

Tangkap layar memaparkan wanita itu mengamuk selepas gagal mendapatkan wang sedekah yang banyak. - Instagram @depok24jam
JAKARTA – Seorang peminta sedekah di Depok, Jawa Barat mengamuk dan mengugut mahu mencuri barang di rumah orang lain gara-gara dihulurkan wang yang sedikit, lapor akhbar Kompas.com semalam. 

Menerusi klip video yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @depok24jam, wanita itu memaksa seorang penduduk di Kota Depok memberikannya wang. 

Oleh kerana wang yang dihulurkan sedikit, dia mengamuk dan memaksa penduduk itu memberikan  lebih banyak wang. 

Lebih mengejutkan, peminta sedekah itu turut mengaku dirinya malaikat dan tidak segan untuk mencuri barang dari rumah orang lain.

“Ketika permintaannya ditolak, dia menjerit sambil mengelilingi rumah untuk membuat penghuni di situ ketakutan. 

“Dia juga sempat menghina dan memaki hamun selepas tidak dihulurkan wang,” kata pemilik akaun itu. 

Menurut polis, identiti wanita terbabit masih belum disahkan dan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian. 

Rakaman itu menjadi tular di media sosial dan meraih jumlah sebanyak 350,000 tontonan. – AGENSI

Pemberi rasuah terbesar direman empat hari

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
PEMILIK premis perniagaan haram yang menjadi ‘orang tengah’ mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguat kuasa dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk perintah reman.  FOTO Ihsan SPRM
PEMILIK premis perniagaan haram yang menjadi ‘orang tengah’ mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguat kuasa dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk perintah reman. FOTO Ihsan SPRM
Kuala Lumpur: Pemilik premis perniagaan haram yang disyaki menjadi 'orang tengah' mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada pegawai penguat kuasa direman empat hari.

Perintah reman sehingga Isnin ini dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim terhadap suspek selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Sumber berkata, lelaki berusia 60-an terbabit sebelum itu ditahan sekitar ibu negara pada jam 6.45 petang semalam.

Katanya, suspek dipercayai menjadi 'orang tengah' atau perantara yang mengumpul wang rasuah daripada beberapa premis perniagaan haram seperti rumah urut dan pusat hiburan di ibu negara.

"Wang yang dikumpul kemudian akan diagihkan kepada pegawai dan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) serta anggota sebuah lagi agensi penguat kuasa lain.

"Wang rasuah itu bagi membolehkan premis perniagaan haram mereka beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Menurut sumber, hasil penahanan suspek itu, SPRM turut merampas dan menyita wang tunai berjumlah hampir RM400,000 yang dipercayai dikumpul untuk diedarkan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sindiket perniagaan haram di ibu negara yang juga pemberi rasuah terbesar kepada penjawat awam bagi melindungi aktiviti mereka berjaya ditahan SPRM semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki terbabit kini sedang disiasat pegawai SPRM.

Tangkapan terbaru itu adalah susulan penahanan empat individu termasuk seorang timbalan pengarah PBT pada 7 Jun lalu.

Wanita mengaku ada ‘koleksi’ 50 suami

KOSMO
Mbah Siti mempunyai keinginan untuk berkahwin sebanyak 100 kali. - Tribunnews
JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia tular di media sosial selepas mengaku mempunyai ‘koleksi’ suami yang ramai, lapor akhbar Tribunnews.

Wanita dikenali sebagai Mbah Siti itu berkata, dia mempunyai kira-kira 50 suami tetapi jumlah itu masih kurang dan belum mencapai jumlah yang disasarkannya. 

Dia juga mempunyai keinginan untuk berkahwin sebanyak 100 kali. 

Menerusi klip video yang dimuat naik di platform Youtube, Mbah Siti berkata, dia terpaksa menjalinkan hubungan jarak jauh bersama suami-suaminya kerana tinggal berjauhan. 

Lebih mengejutkan apabila suaminya akan datang jika mereka dipanggil untuk ke rumahnya. 

“Saya akan memanggil seramai lima orang, pada setiap minggu,” kata Mbah Siti. 

Sementara itu, seorang pengguna laman sosial yang memuat naik video itu di Youtube, Gus Syafaat menjelaskan bahawa perkongsian itu hanyalah konten semata-mata.

“Video ini dibuat bertujuan untuk konten dan hiburan sahaja. Ia merupakan kejadian yang tidak nyata dan tidak wujud,” kata Gus. – AGENSI

Suhaimi Sulaiman kecewa dengan Ustaz Don

Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Tugas dia dalam program ini hanya bertanya soalan seperti wartawan, tak perlu nak 'membedah' hadis atau menyampaikan dakwah menggunakan hadis yang tidak sahih," kata Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengenai penamatan khidmat pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dalam program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1 selepas sekali lagi mencetuskan kontroversi semalam.

Suhaimi ketika dihubungi Harian Metro berkata, beliau terkilan dan marah dengan sikap pendakwah itu yang seolah-olah tidak serik walaupun sudah ditegur berulang kali agar berhati-hati dalam percakapannya.

"Sudah tentu saya rasa geram dan sedih sebab kami sudah berbincang dan menegur perkara ini. Malah, dia juga sedar dan memohon maaf seandainya ada kesilapan yang dilakukan dalam program itu.

"Saya sangat terkilan apabila dia tidak mengikut garis panduan yang sudah diberikan. Malah, pihak produksi juga sudah pesan supaya berhati-hati dalam setiap perkongsian yang ingin dibuat.

"Kalau boleh kami nak jauh daripada kontroversi sebab objektif program ini nak dapatkan perkhabaran dari Tanah Suci Makkah sempena musim Haji," katanya.

Menurut Suhaimi, Ustaz Don sepatutnya peka kepada arahan yang diberikan selepas diberikan peluang kedua kepadanya.

"Dia kenalah ikut apa yang kami minta. Kami berusaha keras untuk dapatkan pertolongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pakar agama untuk membenarkan dia kembali bertugas dalam program Salam Baitullah ini.

"Dia kena tahu yang kami sentiasa bekerjasama dengan pihak yang pakar, tapi dia tetap juga nak merujuk hadis yang lemah sekali gus mengundang pertikaian sesama agamawan," katanya.

Dalam pada itu, pengurus Ustaz Don dikenali Anna ketika dihubungi memaklumkan Ustaz Don bakal mengadakan sidang media berhubung isu yang berlaku di sebuah lokasi di Putrajaya malam ini.

Terdahulu dalam siaran langsung semalam, Ustaz Don menyatakan hadis memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah apabila program itu dihadiri oleh gurunya, Ustaz Kazim Elias sebagai tetamu jemputan.

Perkongsian Ustaz Don itu sekali lagi mengundang kontroversi selain dibantah oleh pakar bidang hadis, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle yang mendakwa lafaz yang dinyatakan oleh Ustaz Don itu tidak dapat dijumpai sanadnya.

Muhamad Rozaimi yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis berkata, selepas menyemak tiga nama kitab yang diberi Ustaz Don, beliau mendapati hadis yang dibacakan dalam siaran langsung itu tidak ditemui asalnya dan tidak diketahui sanadnya.

Muhamad Rozaimi yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berkata, bagi kitab Tanqih al-Qaul pula ada syarah kepada Lubab al-Hadith, manakala al-Durrah al-Yatimah juga bukanlah kitab hadis primer kerana tidak menyatakan sanad bagi hadis ini.

Sebelum ini, Ustaz Don 'direhatkan' hampir seminggu selepas kontroversi dirinya menyebarkan hadis serta cerita berkenaan cinta pertama Nabi Muhammad SAW dengan Ummu Hani' yang dianggap lemah dan tidak bersumber.

Kemudian, beliau kembali ligat mengemudi program itu selepas membuat kemunculan semula kelmarin.

Taman tema di Genting Highlands terbakar

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
KEBAKARAN di taman tema Genting Highlands petang tadi.  Foto X
KEBAKARAN di taman tema Genting Highlands petang tadi. Foto X
Bentong: Tular beberapa gambar dan klip video memaparkan pusat peranginan di Genting Highlands, di sini terbakar hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun tidak mengulas lanjut.

"Setakat ini saya sahkan," katanya ringkas ketika ditanya berkenaan beberapa video tular yang memaparkan kejadian itu.

Terdahulu tular beberapa klip video memaparkan beberapa kawasan di pusat peranginan itu sedang terbakar yang dimuat naik beberapa pengguna media sosial sejak jam 5 petang tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting, BBP Bentong dan PBS Janda Baik dikerah ke lokasi sejurus terima panggilan jam 4.55 petang.

"Kebakaran membabitkan bangunan Theme Park Genting Highlands.

"Berdasarkan maklumat awal, kebakaran berlaku di bahagian dinding di tingkat dua dan api mula merebak ke tingkat atas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman sedang giat dijalankan.

27 pempengaruh ditahan, promosi judi dalam talian

BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menahan 27 pempengaruh media sosial semalam kerana disyaki terbabit dalam promosi judi dalam talian di laman sosial masing-masing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka yang terdiri daripada 23 wanita dan empat lelaki berusia 21 hingga 35 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang susulan risikan sejak dua bulan lalu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Siasatan awal mendapati pempengaruh ini bergiat aktif mempromosi judi dalam talian kepada pengikut mereka di media sosial sejak setahun lalu dan menerima bayaran daripada sindiket judi antara RM1,500 hingga RM8,000 sebulan untuk satu platform mengikut jumlah pengikut.

"Berdasarkan siasatan, kebanyakan yang ditahan aktif dalam dua platform media sosial," katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata pempengaruh yang ditahan berselindung di sebalik kegiatan menjual barangan lain di media sosial mereka seperti alat kosmetik.

"Sebanyak 30 telefon bimbit telah dirampas dan pihak polis membuat permohonan reman terhadap semua yang ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Dalam kes berasingan Mohd Shuhaily berkata pihaknya menahan seorang pempengaruh media sosial 'Miza Ozawa' pada 6 Jun lalu kerana mempromosikan aktiviti persundalan, menjual video lucah lakonan sendiri dan menjual ubat seks tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata pempengaruh berkenaan memperoleh pendapatan kira-kira RM20,000 sebulan hasil jualan video lucah dan ubat seks yang dijalankan.

Menurut beliau modus operandi wanita berusia 27 tahun itu adalah dengan menjual ubat seks sebelum membuat tawaran kepada pembeli untuk membuat hubungan seks, dan kemudiannya menjual video aksi dengan harga antara RM450 hingga RM550.

Mohd Shuhaily berkata dalam tangkapan yang dijalankan di Selangor pihaknya turut menahan masing-masing seorang lelaki dan wanita warga asing berusia 20 dan 26 tahun yang berperanan sebagai pelakon dalam video lucah dan dua remaja perempuan berusia 12 dan 17 tahun.

"Dua remaja perempuan ini berperanan sebagai pembantu kepada Miza Ozawa semasa rakaman video seks," katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM30,000, sebuah komputer riba serta telefon bimbit dan semua individu berkenaan direman selama 14 hari sehingga 20 Jun ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Keluarga Zayn Rayyan dinasihatkan buat laporan polis terhadap Edisi Siasat

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: Keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin dinasihatkan membuat laporan polis terhadap pengendali akaun telegram Edisi Siasat yang didakwa memulakan penyebaran maklumat kononnya fakta kes kematian kanak-kanak autisme itu, kata peguam mereka.

Bercakap kepada FMT, Fahmi Abd Moin berkata ini kerana tindakan penyebaran tangkap layar berkenaan sejak semalam sebagai satu kesalahan fitnah jenayah.

“Saya nasihatkan keluarga buat laporan polis terhadap Edisi Siasat sebab mereka yang mula sebar.

“Kita nak tahu sumber mana, siapa sebarkan, kandungan ‘screen shot’ itu agak ‘damaging’, cadangan saya kepada keluarga, saya akan pantau, tapi keluarga kena buat laporan polis atas tindakan fitnah jenayah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan setakat ini pihak keluarga masih belum membuat laporan polis terbabit.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung penyebaran dokumen didakwa berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan di media sosial.

Suhaily berkata tindakan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan meminta SKMM menyekat penyebaran maklumat tidak tepat kerana boleh mengganggu perjalanan perbicaraan.

Pada prosiding di Mahkamah Sesyen semalam, ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pada 6 Dis tahun lepas mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Akhirnya ustaz Don Daniyal 'direhatkan terus' dari Salam Baitullah

Iqbal Harraz

Seakan panas tak sampai ke petang.

Baru muncul semula selepas direhatkan untuk seketika, pembabitan Don Daniyal Don Biyajid dalam program Salam Baitullah nampaknya berakhir selepas dia sekali lagi mencetuskan kontroversi malam tadi.

Tindakan ke atas pendakwah selebriti itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman.

Malah Suhaimi memberi bayangan kekecewaannya ekoran kontroversi tersebut.

“Bila dah bagi peluang, dah consult authority dan ahli agama, dah remind apa yg boleh cakap dan apa yg tak boleh, kenalah pandai anticipate response from viewers.

"Wisdom kena ada, kawalan diri kena mantap.

"Don’t play victim. So sorry have to rest you. Maaf semua, hang in there team," ciap Suhaimi di patform X petang ini.

PM: Pengendali bas sekolah naikkan bayaran boleh hilang lesen

Isabelle Leong & Wong Kang Jia

Pengendali bas sekolah yang menaikkan kadar bayaran susulan penyelarasan subsidi berisiko untuk dibatalkan lesen mereka, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Kamu diberi subsidi (tapi) kamu naikkan (bayaran), kamu jaga-jaga," tegas Anwar.

"Saya tidak tahu orang lain, tapi bagi saya, kalau kamu naikkan juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu. Kalau tidak, anak-anak kita di sekolah terbeban.

"Kalau betul tak dapat (subsidi), mohon fleet card dan kita akan bayar," katanya lagi.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita di acara Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Putrajaya, hari ini.

Majikan upah tonto jaga rumah kongsi PATI

BERNAMA

KEPALA BATAS: Jabatan Imigresen mengesan taktik baharu majikan di tapak pembinaan yang mengupah tonto sebagai langkah awal mendapatkan maklumat bagi membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri sebelum operasi oleh pihak berkuasa.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim, berkata taktik itu dikesan selepas operasi dijalankan pihaknya di projek perumahan Taman Bandar Putra Bertam, di sini semalam menghadapi kesulitan apabila pergerakan pasukan dihidu kumpulan tonto.

Beliau berkata, tonto terbabit bertindak mengekori dan memantau gerak geri anggota penguat kuasa imigresen dengan menyalurkan maklumat kepada individu tertentu.

Katanya, pemeriksaan di penempatan didiami warga asing berdekatan projek perumahan berkenaan mendapati sebahagian rumah kongsi di situ kosong tidak berpenghuni.

"Pemeriksaan dilakukan menemui sekumpulan warga asing yang memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah, manakala hanya tujuh pendatang tanpa izin warga Myanmar serta Nepal yang tidak sempat melarikan diri ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan berserta pas yang sah," katanya dalam hantaran di Facebook Imigresen JIM Pulau Pinang, malam ini.

Nur Zulfa berkata, berdasarkan aduan dan risikan, pihaknya percaya kawasan itu didiami hampir 100 pendatang tanpa izin.

Katanya, gerakan operasi seterusnya akan diperhalusi di samping satu siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai kaitan menggadai integriti dan amanah jabatan itu. – BERNAMA

10 syarikat kantoi dah dapat ‘fleet card’ tapi umum naik harga

Kantoi dah dapat ‘fleet card’ tapi umum naik harga, KPDN panggil 10 syarikat

SITI NUR ZAWANI

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan notis bertulis memanggil 10 syarikat yang telah mengumumkan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syarikat yang telah dikenal pasti ini akan diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan syarikat terbabit untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. 

Kata Armizan, 10 syarikat tersebut terdiri daripada sektor pengangkutan (3 syarikat), sektor bahan binaan (3 syarikat), sektor makanan dan minuman (2 syarikat) serta sektor sewaan jentera (2 syarikat). 

Dua syarikat telah dipanggil semalam, 13 Jun 2024, dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual.

“Melalui siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan. 

“Manakala baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0,” ujarnya.

Justeru tegasnya, setiap syarikat akan diminta untuk memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan. 

Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723.

Untuk rekod, KPDN telah melancarkan OPS KESAN 2.0 pada 8 Jun 2024 bertujuan memastikan semua peningkatan harga dan caj yang berlaku di peringkat sektor perkhidmatan yang diluluskan permohonan subsidi diesel di bawah SKDS 2.0 adalah mematuhi perundangan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan tidak mencatut di bawah perundangan AKHAP 2011.

Sementara itu, KPDN turut memberi amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang telah dilaksanakan Kerajaan. 

Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh Kementerian terutamanya di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 bagi perbadanan/syarikat.

Manakala denda sehingga RM100,000.00 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Seorang anggota polis ditemui mati di tandas hentian rehat dan rawat (R&R) lebuh raya

Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

Nilai: Seorang anggota polis ditemui mati di tandas hentian rehat dan rawat (R&R) lebuh raya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai pada 5.45 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa berusia 25 tahun yang telah berkahwin dijumpai mati di tiang besi atas penghadang di dalam tandas.

"Mangsa merupakan anggota polis yang bertugas di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Malik berkata, siasatan Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan turut mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi pihak polis dan dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dijalankan," katanya.

Sindiket penjualan tanah Felda, seorang lagi pegawai bank ditahan SPRM

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi pegawai bank di Sabah selepas dipercayai terbabit dalam sindiket penjualan tanah.

Lelaki berusia 40-an terbabit dikatakan bersekongkol dengan sindiket yang menawarkan penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.

Menurut sumber, suspek dipercayai menjadi dalang bagi membantu urusan pembukaan akaun perbankan atas nama Felda yang palsu.

Katanya, ia bagi membolehkan sindiket berkenaan melakukan urusan transaksi jual beli dengan pembeli.

"Suspek ditahan ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Sabah, sekitar jam 9.45 malam tadi.

"Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan penahanan lapan individu membabitkan enam lelaki termasuk yang berada di Kuala Lumpur dan dua wanita," katanya.

Menurutnya, semua individu yang ditahan terbabit berjawatan sebagai pegawai bank, broker, pengarah syarikat dan orang awam.

Katanya, sehingga kini SPRM sudah merakam percakapan 16 individu termasuk seorang pegawai kanan dan dua kakitangan Felda selain syarikat pemaju sejak Isnin lalu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek kesembilan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Bidan dicekup berdua-duaan oleh suami sendiri

KOSMO
EK dan teman lelakinya disoal siasat oleh polis setempat. – Fahrun
JAKARTA – Seorang pemandu ambulans di Polman, wilayah Sulawesi Barat kecewa apabila menangkap isterinya sedang bermadu kasih dengan lelaki lain di sebuah bilik hotel, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai MI itu menangkap EK dan teman lelakinya sambil ditemani anggota polis.

Menurut MI, dia dan isterinya yang bertugas sebagai bidan, merupakan kakitangan di sebuah pusat kesihatan setempat.

MI berkata, dia kecewa dengan perubahan sikap isterinya selepas lima tahun mereka berumah tangga.

“Kami berkahwin pada 2019 dan dikurniakan seorang anak. Saya serahkan sahaja kes ini sepenuhnya kepada pihak berwajib,” ujarnya.

Tambah MI, sebelum dia menyerbu bilik hotel tersebut, dia mula curiga apabila melihat kereta isterinya berada di hadapan premis berkenaan.

Selepas melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, mereka menyerbu pasangan berkenaan sebelum membawa kedua-dua suspek untuk disoal siasat.

EK dan teman lelakinya didakwa atas kesalahan bersekedudukan dan berdepan hukuman penjara setahun jika didapati  bersalah. – AGENSI 

Amerika Syarikat memulangkan AS$156 juta (RM721.4 juta) lagi dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Malaysiakini

Dalam kenyataan hari ini, Kedutaan AS di Kuala Lumpur berkata ini adalah ansuran keempat dana yang diperoleh daripada rampasan aset berkaitan 1MDB dan seterusnya dikembalikan kepada kerajaan Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan AS$1.4 bilion (RM6.6 bilion).

Perkara itu disahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim oleh Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D Kagan semasa mesyuarat pada Selasa.

“Kami sangat gembira kerana peringkat keempat aset daripada siasatan Jabatan Kehakiman (AS) ini dipindahkan kembali ke Malaysia.

“Jumlah wang luar biasa ini akan kembali kepada rakyat Malaysia di mana ia sepatutnya berada dan di mana ia akhirnya boleh digunakan untuk tujuan asalnya – untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia setiap hari,” kata Kagan.

Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D Kagan
Sejak 2016, Jabatan Kehakiman AS memulakan beberapa siri saman pelucuthakan sivil yang bertujuan mendapatkan semula aset yang dipercayai hasil penyelewengan di 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International.

Saman itu dibuat di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi yang bertujuan untuk menghalang kleptokrat daripada menyalahgunakan sistem kewangan AS.

DOJ mendakwa pada 2017 bahawa lebih AS$4.5 bilion telah diselewengkan daripada 1MDB, yang mana AS$1.7 bilion telah disalurkan melalui sistem kewangannya.

Antara aset yang disasarkan untuk dirampas termasuk hartanah mewah, karya seni, barang kemas berlian, dan wang tunai yang dikatakan milik pelbagai konspirator, serta sebuah jet peribadi dan kapal layar super yang dikatakan milik Low Taek Jho (Jho Low), yang kini dalam buruan.

Selain AS, pihak berkuasa lain seperti Singapura dan Switzerland juga telah memulangkan dana yang diperoleh daripada penyelewengan itu.

Usaha ini diperkukuh apabila bekas peguam 1MDB Jasmine Loo kembali ke Malaysia pada 2023 selepas bertahun-tahun dalam pelarian, dan membantu polis mengenal pasti hartanah berkaitan 1MDB bernilai RM93.2 juta.

Etnik Rohingnya berani cucuk tanam di tanah kerajaan

NOR SHAFAWATI YUP
PEJABAT daerah dan Tanah Seremban menjalankan operasi pembersihan di tanah kosong milik kerajaan di Taman Jujur, Sikamat di sini yang dikesan digunakan etnik Rohingnya untuk bercucuk tanam. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP/ KOSMO!
SEREMBAN – Sekumpulan etnik Rohingnya dikesan menjadikan tanah kosong milik kerajaan di Taman Jujur, Sikamat di sini sebagai lokasi bercucuk tanam pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran untuk keperluan sara hidup mereka.

Kegiatan etnik tersebut yang tinggal di kawasan berdekatan dipercayai dilakukan tanpa keizinan pihak berkuasa dan menyalahi undang-undang.

Tinjauan mendapati antara sayuran yang ditanam di tanah seluas lebih kurang setengah ekar (0.2 hektar) itu ialah cili, terung bulat, pisang dan kunyit.

Lebih berani, mereka turut memasang alat penyembur tanaman yang dipasang di bawah tanah bagi mengaburi pihak berkuasa, bagaimanapun punca sambungan air alat itu masih belum dapat dikesan daripada mana.

Hasil daripada aduan orang awam, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban telah melakukan operasi bagi membersihkan kawasan berkenaan daripada sebarang tanaman pagi tadi

Timbalan Pentadbir Tanah Seremban, Isnizawati Muhammad Khairudin berkata, pihaknya mengesahkan tanah berkenaan diwartakan sebagai kawasan lapang di bawah kawalan kerajaan negeri.

“Berdasarkan rondaan berkala daripada aduan yang diterima menerusi video yang tular di aplikasi TikTok, kami sahkan berlaku pencerobohan.

“Susulan mesyuarat tergempar, kami dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), polis dan Pusat Khidmat Dun Sikamat melakukan pembersihan hari ini,” katanya ketika ditemui di Taman Jujur, Sikamat di sini.

Kes bunuh pelajar kolej: Permohonan 7 untuk diikat jamin ditolak

Bernama

TAWAU: Mahkamah Tinggi menolak permohonan tujuh remaja yang berdepan pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki kolej vokasional berusia 17 tahun di Lahad Datu untuk dibebaskan dengan jaminan, sementara menunggu sebutan seterusnya kes itu.

Hakim Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa yang mewajarkan perintah agar permohonan bagi mendapatkan jaminan mereka dibenarkan.

Beliau juga berkata permohonan itu pramatang kerana kes itu belum lagi dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mereka bebas berbuat demikian apabila perkara itu berlaku.

Semua remaja lelaki diwakili Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Amirul Amin Rashid dan Chen Wen Jye selaku peguam; manakala Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain dan Ng Juhn Tao bertindak bagi pihak pendakwaan.

Terdahulu, Ram berkata bagi Seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah, pemohon menyedari bahawa ia hanya terpakai kepada mereka yang berusia di bawah 16 tahun, wanita, dan individu uzur atau kurang upaya manakala semua pemohon kini berumur 17 tahun dan meskipun mereka bukan berusia di bawah 16 tahun, Akta Kanak-Kanak masih terpakai.

“Dari segi pemohon yang menyaksikan 13 orang telah didakwa dengan tujuh daripada mereka membuat permohonan ini, mereka adalah penduduk tempatan dan berasal dari pelbagai bahagian di Sabah seperti Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud, mereka tidak berisiko melarikan diri serta dijaga oleh ibu bapa masing-masing dan jika jaminan dibenarkan, ibu bapa mereka akan menjadi penjamin,” katanya.

Bagaimanapun, Hurman berkata mengikut Seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah, pemohon tidak terjumlah ke dalam mana-mana kategori manakala Seksyen 84 Akta Kanak-Kanak tidak terpakai kepada keadaan semasa mereka.

“Sebab utama untuk jaminan ialah supaya pemohon boleh meneruskan pengajian mereka untuk mendapatkan Sijil Vokasional namun perkara itu tidak lagi mungkin berlaku seperti yang dimaklumkan oleh pengarah kolej vokasional jadi mereka hanya boleh melanjutkan pengajian sebagai calon swasta bagi menduduki SPM.

“Afidavit jabatan penjara amat jelas mengenai kesanggupan dan keupayaan mereka untuk memudahkan langkah ini selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan.

“Kes ini membabitkan banyak saksi dan pelbagai lokasi kejadian yang biasa digunakan oleh pemohon sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan mudah terdedah kepada gangguan,” katanya.

Pada 16 Mei lepas, Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan 27 Jun sebagai sebutan semula kes.

Pada 2 April lepas, 13 remaja lelaki berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada Mac lepas, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mereka didakwa membunuh mangsa di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu antara 9 malam 21 Mac lepas hingga 7.38 pagi hari berikutnya.

Pertuduhan terhadap mereka ialah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan 12 kali jika sabit kesalahan.

Banyak pihak ambil kesempatan naik harga meskipun dapat subsidi

Tular notis naik harga perkhidmatan, semua syarikat akan dipanggil esok

SITI NUR ZAWANI

Sejak semalam tular notis pemakluman mengenai penyelarasan harga perkhidmatan yang baharu oleh beberapa syarikat pengangkutan.

Notis yang dilihat Harapan Daily termasuklah dari syarikat pengangkutan yang menjalankan kerja-kerja pembinaan – memaklumkan kenaikan harga konkrit; syarikat lori towing dan syarikat sewaan bas.

Kesemua notis itu dikeluarkan antara 9 Jun dan 10 Jun selepas kerajaan menguatkuasakan penyasaran subsidi diesel.

Sementara itu, notis harga baharu dari syarikat pengeluar makanan terkenal, Adabi turut tersebar di media sosial.

Dari tarikh yang dilihat, notis dikeluarkan adalah pada 10 Mei 2024 sebelum kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel.

Notis itu dipercayai ditularkan untuk menunjukkan berlakunya peningkatan harga barangan dengan mendadak.

Perkara itu bagaimanapun menarik perhatian Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang memaklumkan kesemua syarikat yang mengeluarkan notis mengenai kenaikan harga perkhidmatan akan dipanggil.

“KPDN akan panggil semua syarikat ini esok,” maklum Fahmi dalam satu kumpulan WhatsApp.

MB Kedah, Sanusi tuduh ahli PKR, DAP minta rasuah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Sanusi Nor ‘berahsia’ bila beliau akan melaporkan dakwaan banyak projek di negeri itu tergendala kerana tiada ‘pelincir’ atau rasuah diberikan kepada ahli PKR dan DAP.

Menyahut ‘cabaran’ Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli supaya dakwaan itu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sanusi berkata ia akan dibuat apabila ‘tiba masanya’.

“Bagi galak (seronok) dulu, terkinja-kinja, lompat-lompat, dan terjun telaga apa dahulu (dan) selepas itu saya (akan) buat laporan.

“Kalau saya (buat) laporan sekarang, (maka) mereka tidak akan kenalah,” katanya menurut Sinar Harian.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) dipetik media mendakwa banyak projek tergendala di Kedah tergendala disebabkan tiada ‘pelincir’ atau rasuah diberikan kepada wakil PKR dan DAP.

Beliau dilaporkan membuat dakwaan itu ketika berucap pada pelancaran jentera PN PRK Sungai Bakap, 8 Jun lalu.

Rafizi dalam maklum balas pada keesokannya berkata Sanusi sengaja membangkitkan tuduhan seperti itu untuk menutup kelemahannya mentadbir Kedah.

Sehubungan itu, beliau Sanusi tidak memperbodohkan orang Melayu dan menjangka pengarah pilihan raya PN itu akan membuat bermacam lagi dakwaan pada kempen PRK Sungai Bakap.

Warga asing tak takut memandu tanpa lesen

AMRAN MULUP

MELAKA – Tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita dan menyaman tidak langsung ditakuti warga asing yang masih lagi berani memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, sebanyak 12 kenderaan dipandu warga asing telah disita kerana melanggar syarat dan peraturan ditetapkan dalam Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) di Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Piatu di sini, malam tadi.

Menurutnya, sebuah lagi kenderaan yang disita adalah milik warga tempatan atas kesalahan memandu ketika lesennya digantung.

“Kesemua warga asing terlibat menunggang lapan motosikal dan lima kereta dengan kesalahan paling utama dikesan tiada lesen memandu. Mereka terdiri daripada dua warga Indonesia, Bangladesh (tujuh) Pakistan (dua) dan Rohingya (satu).

“Sebanyak 187 notis kesalahan dikeluarkan termasuk 165 saman dikenakan terhadap penunggang motosikal dan pemandu kereta dalam operasi ini.

“Kita telah memeriksa 495 kenderaan membabitkan 330 motosikal dan 165 lain-lain kenderaan di mana sebanyak 220 pelbagai kesalahan dikesan. Sebanyak 201 kenderaan telah diambil tindakan di samping 187 notis telah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita.

Tambah Muhammad Firdaus, pihaknya juga berjaya mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang memandu dengan lesennya digantung lima tahun dari 13 Julai 2022.

Menurutnya, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 40-an, selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Di samping itu, sebanyak 75 bas ekspres telah diperiksa di Terminal Bas Melaka Sentral di mana dua bas telah diambil tindakan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Koperal didakwa cederakan lelaki hingga patah hidung

BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki sehingga menyebabkan hidungnya patah, dua minggu lalu.

Mohd Azizi Ab Aziz, 44, didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Zaharee Mohd Noor, 59, di Simpang 4, Jalan Mewah 12, Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada 12 tengah malam, 30 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Peguam Mohd Razman Sahat yang mewakili Mohd Azizi memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara tiga anak serta ibu bapa yang uzur.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 4 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Cabul pekerja klinik doktor direman tiga hari

Amir Mamat
am@hmetro.com.my

Jasin: Polis menahan seorang doktor, hari ini bagi membantu siasatan kes cabul terhadap pekerja klinik swasta di Merlimau.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada 3.15 pagi di pekarangan Balai Polis Merlimau.

Katanya, sebelum itu pada 2.24 pagi, pihaknya menerima laporan daripada pekerja wanita berusia 19 tahun, mendakwa dicabul doktor terbabit ketika berada di klinik.

"Mengetahui laporan dibuat terhadapnya, doktor itu yang difahamkan sudah bertugas sejak September tahun lalu kemudian tampil menyerah diri .

"Kejadian didakwa berlaku ketika mereka berdua sedang berbual. Terdapat seorang lagi pekerja klinik di tempat kejadian namun dia dikatakan tidak menyedari apa yang berlaku," katanya.

Ahmad Jamil berkata, permohonan reman ke atas doktor itu dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Jasin.

Katanya, mahkamah membenarkan suspek direman tiga hari hingga Sabtu untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Pecah rumah cari modal untuk penuhi keinginan isteri bercuti

Malaysiakini

Seorang lelaki yang disyaki aktif melakukan jenayah pecah rumah di Padang Terap hingga menyebabkan kerugian mencecah RM40,000, ditahan di sebuah rumah di Felda Lubuk Merbau, akhir bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Mulkiaman Manzar berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 31 Mei oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.

Dia berkata suspek yang berasal dari Sik itu mengaku terlibat dalam 21 kes pecah rumah di daerah terbabit bagi memenuhi keinginan isterinya untuk pergi bercuti serta membayar hutang skim pembiayaan kredit.

“Suspek bergerak secara bersendirian melakukan jenayah itu di sekitar kawasan Felda Lubuk Merbau dan Naka.

"Dia juga melakukan pecah kenderaan dan mencuri barangan berharga di tempat letak kenderaan dan rumah-rumah,” katanya pada sidang media di Kuala Nerang hari ini.

Mulkiaman berkata polis turut menahan isteri suspek yang berusia 30 tahun di rumah mereka di Felda Lubuk Merbau dekat sini pada 3 Jun lepas untuk membantu siasatan.

Katanya polis merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah rumah suspek. Antaranya pemotong besi dan sarung tangan selain sebuah kereta yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu.

“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek, polis menahan seorang lelaki berusia 40-an yang membeli barangan curi.

"Polis juga berjaya menjumpai semula sejumlah barangan yang disyaki dicuri oleh suspek termasuk tong gas, peralatan elektrik dan telefon bimbit.

“Lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan,” katanya.

Menurut Mulkiaman isteri suspek juga dibebaskan dengan jaminan polis pada 7 Jun lalu.

Suspek pula direman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457, Seksyen 448 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

- Bernama

Dua sahabat menumpang rumah saudara kantoi bawa dadah lebih RM41,000

NOR AINNA HAMZAH
Amran (dua, kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di IPD Kuala Pilah, hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!
KUALA PILAH – Hajat dua sahabat untuk mengedar dadah lebih sekilogram dengan nilai RM41,684.80 dari Johor ke Pahang lebur apabila kedua-duanya ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sompo Dangi, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, kedua-duanya suspek warga tempatan berusia 38 dan 41 tahun ditangkap kira-kira pukul 1.30 pagi dalam serbuan Ops Tapis, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

Menurutnya,motosikal salah seorang suspek mengalami kerosakan sehingga menyebabkan kedua-duanya tidak dapat meneruskan perjalanan ke Pahang dan terpaksa menginap di rumah saudara.

“Kita yang mendapat maklumat awal ini mengenai penagih tegar ini telah membuat serbuan ke atas rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan telah menjumpai lima paket plastik dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1,075.30 gram serta sepaket plastik dadah jenis Syabu dengan anggaran berat 25.4 gram.

“Dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 3583 orang penagih dadah jenis heroin dan nilai rampasan dadah jenis heroin adalah RM38,710.80. Manakala dadah jenis syabu bernilai RM2,974 dengan nilai keseluruhan RM41,684.80,” katanya dalam Sidang Media di IPD Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Ujar Amran lagi, hasil saringan awal air kencing kedua-dua suspek dapati positif dadah jenis “Morphine”, turut disita dua buah motorsikal jenis Yamaha Y15 ZR dan Yamaha 135 LC yang disyaki diperolehi dan juga digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, nilai rampasan motorsikal dianggarkan RM13,000 dan RM7,000 yang keseluruhannya bernilai RM20,000.00.

“Hasil semakan rekod kesalahan lampau dapati suspek yang berusia 38 tahun mempunyai empat rekod lampau berkaitan Narkotik dan lima rekod lampau berkaitan jenayah.

“Manakala suspek yang berusia 41 tahun mempunyai 10 rekod lampau berkaitan narkotik dan satu rekod lampau berkaitan jenayah. – KOSMO! ONLINE

Bengkel guna budak bawah umur 'repair' kenderaan diserbu

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Puchong: Sebuah bengkel membaiki kenderaan mewah di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, dikesan menggunakan buruh asing bawah umur seawal usia 13 tahun.

Remaja lelaki berusia 13 tahun itu adalah antara lima buruh asing 'muda' yang berjaya diselamatkan anggota polis Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi operasi Ops Pintas Mega di sini, tadi.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati bengkel kenderaan berkenaan membaik pulih kenderaan mewah buatan Itali, Jerman, Jepun dan beberapa negara lain.

Difahamkan, remaja bertubuh kecil itu dikerah bekerja sembilan jam sehari dan selama enam hari seminggu.

Mangsa dipaksa melakukan pelbagai tugas sebagai pembantu bengkel dan hanya diberikan upah sebanyak RM45 sehari.

"Saya datang dari Myanmar untuk bekerja di sini sejak setahun tahun lalu. Saya tinggal bersama bapa di sebuah rumah tidak jauh dari bengkel ini.

"Di sini saya buat pelbagai kerja membaiki kereta terutama kerja-kerja baiki body (luaran kereta) dan kerja mengecat," kata remaja lelaki yang kurang mahir bertutur dalam Bahasa Malaysia atau inggeris itu.

Mengikut pengakuan salah seorang mangsa berusia 17 tahun yang mampu berbahasa Malaysia, dia dan rakan-rakannya menerima upah berbeza-beza bermula RM900 sehingga RM1,800 sebulan.

Remaja itu mengaku masuk secara haram ke negara ini sejak dua tahun lalu dan bekerja untuk

menyara ibu dan ahli keluarga lain di Myanmar.

"Ayah saya sudah meninggal dunia semasa saya kecil. Bapa saudara yang bayar untuk saya datang ke sini (Malaysia), jadi setiap bulan saya ambil sedikit duit gaji untuk belanja dan baki semuanya hantar ke kampung (Myanmar).

"Kerja di sini semua okay (tiada masalah), makan semua beli sendiri, cukup semua. Bos (majikan) pun tak ada berkasar pada kami," katanya.

Semasa serbuan dilakukan polis, kesemua mangsa dan beberapa pekerja warga asing serta tempatan sedang sibuk melakukan kerja-kerja pembaikan pada beberapa kenderaan mewah di premis yang mempunyai tiga lot kedai berkenaan.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, PDRM berjaya menyelamatkan lima mangsa membabitkan remaja lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi sejak hampir 20 tahun lalu.

"Semasa serbuan dibuat, semua pekerja dan mangsa sedang melakukan kerja-kerja membaikpulih dan memasang alat ganti kenderaan," katanya hari ini.

Menurutnya, 22 pekerja lelaki kesemuanya warga Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 51 tahun ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Soffian berkata tiga warga tempatan berusia 41 hingga 46 tahun terdiri daripada dua lelaki iaitu pengurus dan pemilik premis serta seorang wanita yang merupakan akauntan syarikat turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Fokus utama operasi adalah pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0).

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007, dan Seksyen 6(1)(c) sertaSeksyen 15(1)(c)Akta Imigresen 1956/63," katanya.

Ismanira, ibu Zayn Rayyan tidak sihat, muntah

KOSMO!
Zaim dan Ismanira dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini selepas didakwa. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!
PETALING JAYA – Ibu kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abd. Matiin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia tidak sihat dan muntah.

Tertuduh, Ismanira Abdul Manaf berkata demikian ketika ditanya jurubahasa sama ada wanita itu dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari sihat atau tidak.

Pada prosiding itu, Zaim Ikhwan memberitahu dia sihat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, manakala peguam Fahmi Abd. Moin dan Mahmud Abdul Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.

Pasangan suami isteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan pada Disember tahun lalu.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan berusia 29 tahun itu didakwa secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan dilakukan di sekitar Jalan PJU, Damansara Damai di sini pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Berikutan itu, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

“Saya faham pertuduhan, saya tidak mengaku bersalah,” kata kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang ketika ditanya pengakuan mereka untuk direkodkan.

Pasangan tersebut kemudian dilihat beredar dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya sekitar pukul 10.58 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Macam ni hancur negara: 11 pegawai kastam ditahan, SPRM rampas duit RM4.4 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 individu termasuk 11 pegawai kastam bagi membantu siasatan kes penyeludupan barangan import dan elak cukai di Pelabuhan Klang membabitkan ketirisan berjumlah RM3.5 bilion sejak 10 tahun lalu.

Sumber berkata, hasil siasatan SPRM juga berjaya merampas wang tunai berjumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terlibat.

“SPRM turut menyita empat unit motosikal Yamaha XMAX setiap satunya berharga kira-kira RM28,000, Toyota Alphard bernilai lebih RM200,000, sebuah kereta BMW, barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang semuanya dibeli secara tunai,” katanya.

Menurut sumber, SPRM turut membekukan 12 akaun syarikat dan individu dengan anggaran nilai berjumlah RM2 juta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan semua individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, semua suspek disiasat bawah Seksyen 17(b) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

SPRM dan kastam dalam operasi bersama awal bulan lalu menahan 19 kontena mengandungi pelbagai barangan import dengan lima daripadanya mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi diproses.

Semua kontena tersebut diisytiharkan sebagai barangan import termasuk kerusi roda, tekstil dan jamban duduk bagi mengelakkan cukai.

Pihak berkuasa juga sedang memburu seorang lelaki warga Singapura yang disyaki dalang sindiket berkenaan.

Lelaki kesal polis lewat siasat dakwaan anak didera guru

Faisal Asyraf
Bapa berkata dia menemui kesan lebam dan calar di belakang, telinga dan pipi anaknya.
PETALING JAYA: Seorang bapa menggesa polis mengambil tindakan segera selepas mendakwa anak lelakinya berusia empat tahun didera guru dalam kejadian di sebuah taska di Pandamaran, Klang bulan lalu.

Lelaki itu berkata, dia mengambil anaknya dari taska kira-kira tengah hari pada 13 Mei dan mendapati terdapat kesan lebam dan calar di belakang, telinga dan pipi.

Dalam laporan polisnya, lelaki berusia 33 tahun itu berkata seorang guru mengaku telah memukul kanak-kanak lelaki itu dengan tangannya selepas dia membuang air besar dalam seluar.

Jurujual itu berkata, dia kemudiannya membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, di mana doktor mengesahkan kecederaan itu.

Katanya, anaknya trauma dengan kejadian itu dan takut untuk kembali ke taska.

Royston Tan, peguam yang mewakili lelaki itu, berkata polis masih belum membuat tangkapan walaupun kejadian yang didakwa berlaku lebih tiga minggu lalu.

Tan berkata pegawai penyiasat memberitahunya mereka masih menunggu laporan daripada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC).

Pusat yang ditubuhkan di bawah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak Bukit Aman itu adalah bagi menangani kes seksual dan penderaan ke atas kanak-kanak dan wanita.

“Kebimbangan utama saya ialah, sekiranya kes ini berlarutan sekian lama, adakah polis akan terlepas peluang untuk mengumpul semua bukti seperti rakaman CCTV?” katanya kepada FMT.

“Polis harus menangkap suspek dan mendapatkan semua bukti secepat mungkin.”

Beliau berkata ibu pejabat polis Klang Selatan perlu memantau kes itu bagi memastikan keadilan terhadap budak itu.

FMT telah menghubungi polis Klang Selatan untuk mendapatkan ulasan.