"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nizar vs Zambry : Mufti Perak memihak, tidak 'menjernihkan'

Mat Zain Mat Isa  

Meski pun ada pihak yang beriya-iya mendakwa isu pertikaian politik di Perak sudah berakhir ekoran keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Jumaat lalu, satu pihak lain pula menganggap keputusan itu makin merumitkan kemelut tersebut.

Kenyataan dan ulasan dari kedua-dua kumpulan parti politik, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat, saling tingkah-meningkah.

Masing-masing cuba meyakinkan khalayak umum bahawa kebenaran berada di pihak mereka. Hujah dan alasan yang mereka kemukakan terdedah kepada nilaian dan pengadilan rakyat.

Namun suatu yang agak janggal dan menjengkelkan ialah apabila pihak yang sepatutnya menyisih diri dari terlibat dalam pertikaian ini seakan ikut masuk campur.

"Kenapa hendak datangkan masalah? Kalau menang belah dia tidak apa, tetapi apabila kalah hendak bangkang,� kata Mufti Perak, sepertimana dipetik Akhbar mingguan Ahad (24 Mei).

Beliau tumpang mengulas hasrat para pemimpin Pakatan Rakyat Perak mengadakan mogor lapar bagi menunjukkan tanda tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari BN sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu dibuat setelah mahkamah sama membenarkan rayuan Zambry bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang memutuskan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS sebagai Menetri Besar Perak yang sah.

Sukar difikirkan apa perlunya Mufti Perak turut mengeluarkan kenyataan dalam pertikaian antara dua pihak dalam politik. Apatah lagi komen dikeluarkannya itu sedikit tersasar dari konteks isu yang diperbahaskan, lalu ia bukan bertindak menjernihkan kekeruhan yang sudah pun terlalu lama berlarutan, malah makin merumitkan usaha menjernihkannya.

Selaku orang agama yang berada pada posisi yang bertanggungjawab terhadap semua pihak, seorang mufti sepatutnya tidak lacuh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bersifat memihak. Jangan lah disebabkan terlalu ghairah mempertahankan sesuatu pihak, maka kedudukan yang sepatutnya bersifap neutral itu dijadikan posisi menghentam satu pihak dan memberikan imej serta moral positif kepada satu pihak lain.

Namun itulah nampaknya kecenderungan yang makin dizahirkannya. Mufti Perak nampaknya tidak mengambil pengajaran daripada isu yang hangat diperkatakan bulan lalu, ekoran kenyataannya yang dinilai banyak pihak sebagai sangat sembrono, tidak teliti dan gagal mengambilkira persepsi politik dan dakwah Islam.

Isu itu bermula dari ucapan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang membacakan sepotong ayat al-Quran dalam ceramahnya semasa kempen Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Bukit Gantang, awal April lalu.

Kegagalannya menyebut ayat itu dengan betul dijadikan alasan oleh para pendokong BN kononnya dia telah mempersendakan ayat al-Quran. Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin itu memetik ayat suci itu, kononnya bertujuan memperalatkannya bagi kepentingan politik.

Ekoran episod itu, beberapa pihak sealiran dengan BN mengemukakan bantahan. Ada yang membuat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang itu.

Beberapa tokoh agama, termasuk Mufti Perak, juga disorot pandangan mereka. Secara mudah mereka menghukumkan (berdasarkan apa yang dilaporkan media) apa yang dibuat pemimpin berkenaan suatu persendaan terhadap ayat al-Quran.

Mufti Perak malah mempersoalkan, apa hak pemimpin politik bukan Islam itu membaca ayat al-Quran dalam ceramah politiknya sedangkan dia sendiri tidak beriman kepada Islam?

Di sinilah timbul persoalan demi persoalan. Sebagai anggota masyarakat yang bagaikan tersepit di tengah-tengah pandangan bertentangan antara dua golongan ulama dan pemimpin, kita berhak dijelaskan apakah pendirian sebenar dalam perkara ini yang bertepatan dengan hukum Islam dan prinsip dakwah Islam?

Cuba kenal Islam, dihalang

Dalam dunia serba maju dan terbuka kini, masyarakat tidak lagi gemar dipaksa untuk menerima bulat-bulat sesuatu penjelasan atau "hukuman sembrono", terutama yang dirasakan dibuat atas kepentingan politik mana-mana pihak. Masyarakat sudah mampu berfikir dan merasional sendiri sesuatu perkembangan yang berlaku.

Lagi pun, jika dipersoalkan tentang keimanan seseorang yang membaca al-Quran, apakah yang betul bacaan, faham makna dan betul niatnya itu benar-benar beriman dan beramal dengan ayat-ayat yang dibaca?

Bukti keimanan ialah melaksanakan apa yang dititahkan Tuhan dalam al-Quran. Apakah umat Islam sendiri mengamalkan segala suruhan itu? Ataukah mereka sekadar tahu membacanya sahaja.

Ertinya, jika di atas sandaran itu, bukan sahaja pemimpin politik bukan Islam tadi yang wajar dipersoalkan atas keimanan terhadap al-Quran, bahkan ramai pemimpin politik Islam sendiri layak dipertikaikan.

Kemudian dipersoalkan juga, jika bukan Islam dihalang dari membaca dan memahami al-Quran, sama ada disebabkan ketiadaan iman atau ketidaksucian jasad mereka, bagaimana mereka mahu faham dan mendalami Islam, serta mendekati Islam?

Kita pernah didedahkan dengan kisah sebegitu ramai tokoh terkemuka bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran. Bagaimana mereka berkesempatan mengkajinya sekiranya sedari awal mereka dihalang memegang atau membaca kitab suci itu?

"Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, cuba dihalang," akhbar memetik ulasan Kor Ming, sekaligus menerangkan niatnya atas tindakan itu.

Isu tersebut tidak memulihkan imej dan reputasi Mufti Perak yang sebelum itu telah pun dilanda pertikaian ekoran kemelut pelantikan Menteri Besar BN. Imej dan maruahnya tidak juga bertambah baik dengan komen beliau berkenaan isu mogok lapar tadi. Kesemua itu sebaliknya membuatkan orang dapat melihat pendirian politiknya lebih jelas dan ketara.

Tiada ulasan: