"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selamat Hari Ibu, Altantuya ...

Fahri Abdullah al-Masri  

Dalam ajaran Islam, memang terdapat begitu banyak khazanah nas dan dalil yang memperihalkan betapa anak-anak itu perlu menghormati kedua-dua ibu bapa mereka.

Di dalam sepotong hadis misalnya, ketika baginda Rasulullah s.a.w ditanya, siapakah yang lebih wajar dihormati, baginda menjawab ibu sebanyak tiga kali, dan kemudiannya barulah dihormati kaum bapa.

Hadis lain yang biasa kita dengar ialah syurga berada di bawah telapak kaki ibu.

Atas sebab inilah maka kita lihat Islam tidak sunyi meriwayatkan kisah-kisah orang yang soleh dengan ibu mereka.

Antaranya, Imam Abu Hanifah, yang bersusah payah mendapatkan fatwa daripada ulama lain gara-gara ibunya enggan mengambil fatwanya. Akhirnya, terpaksa pengasas mazhab Hanafi itu mencari ulamak yang menjadi muridnya sendiri bagi mendapatkan fatwa.

Lantaran terlalu gembira

Diriwayatkan bahawa Imam Muhammad bin Idris, lantaran terlalu gembira menemui ibu, maka dia mengetuk pintu rumah dengan kuat. Ibunya marah lantaran sikap itu masih lagi menunjukkan bahawa anaknya tidak beradab.

Atas arahan ibunya yang meminta dia pergi merantau lagi mencari ilmu mendidik akhlak, maka pengasas Mazhab Asy-Syafie itu terus akur terhadap perintah ibunya.

Sementara itu, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani telah melonjak kerohaniannya kerana sosok yang kental spiritual itu mengikut pesanan ibunya agar jangan sesekali menipu.

Al-Jailani tetap tidak menipu walaupun ditahan bersama segerombolan kafilah penyamun dalam perjalanannya mahu belajar agama.

Sang perompak yang asalnya tidak menemui sebarang duit pada tubuh al-Jailani akhirnya bertanya berhubung sikap anak muda itu yang telah berkata benar.

"Aku telah berjanji dengan ibuku untuk menyatakan yang benar pada setiap masa," itulah yang Al-Jailani lafazkan. Ternyata, kata-kata itu akhirnya meninggalkan kesan yang amat mendalam, lalu menyebabkan ketua perompak itu segera bertaubat.

Latihan kerohanian yang diterimanya, termasuk keberkatan doa ibu dan hormatnya anak muda ini terhadap ibunya, maka melonjaklah kerohaniannya sebagai Sultan Awliya'.

Pengaruh mazhab tarekat sufi Qadiriyyah ini akhirnya melebarkan pengaruhnya ke mana-mana termasuk ke rantau Nusantara ini.

Daripada kisah-kisah ringkas mereka ini, kita mendapat pengetahuan bahawa pengasas mazhab Shafie, Hanafi dan Qadiriah ini adalah imam-imam yang terbangun intelektual dan kerohanian mereka dengan sebab keberkatan doa dan restu ibu.

Maka tepatlah kata orang bahawa tangan yang menggoncang buaian itu menggoncangkan dunia. Ringkasnya, dunia Islam memang sarat dengan kisah ketaatan ke atas ibu bapa ini. Hari Ibu yang disambut di serata dunia dengan tajaan Barat masih lagi belum mempertali kisah kasih sayang ibu dengan jihad dan perjuangan.

Menggembirakan ibu bapa lebih baik daripada jihad?

Ada kisah di mana seorang anak muda yang ingin berjihad, tetapi akhirnya diperintahkan pulang ke rumah untuk menggembirakan kedua ibu bapanya yang kesepian.

"Hai orang muda, terangkan keadaan ibu bapamu tatkala engkau mahu keluar dari rumah tadi," kata baginda. Rasulullah s.a.w dapat melihat secara kasyaf, ada sesuatu yang tidak kena dengan anak muda remaja yang ghairahkan syahid itu.

Baca Selanjutnya:-http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=20920&Itemid=1

Tiada ulasan: