"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE

Pelakon wanita diraba pengarah drama buat laporan polis

FERIDE HIKMET ATAK (feride@thestar.com.my)

PETALING JAYA: Seorang pelakon baru Ffarrah Ismail membuat laporan polis selepas mendakwa dicabul oleh seorang pengarah drama yang juga ahli persatuan seni.

Ffarrah, 22, berkata, dia terpaksa membuat laporan polis untuk melindungi dirinya agar tidak terus dilakukan seperti itu selain bimbang selepas menerima ugutan.

“Saya membuat laporan polis kerana saya bimbang kes itu akan berulang selain takut diugut pengarah drama itu,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Laporan itu telah dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara di sini kira-kira pukul 8.30 malam, Isnin.

Pelakon itu berkata, kejadian berkenaan berlaku antara Januari dan Februari lalu ketika dia terlibat dalam pembikinan sebuah drama arahan pengarah berusia lingkungan 60 tahun tersebut.

Katanya, kejadian berlaku ketika pengarah itu mendesak untuk menghantarnya pulang ke rumah dan cuba meraba bahagian dadanya ketika mereka dalam kenderaan.

“Pada mulanya saya menolak apabila dia hendak menghantar saya pulang selepas habis penggambaran tetapi saya terpaksa akur juga akhirnya. Ketika dalam perjalanan dia cuba meraba saya,” ujarnya

Ujar Ffarrah lagi, selepas dia menegur perbuatan itu, pengarah berkenaan mengugut untuk memusnahkan masa depannya sebagai pelakon selain meminta agar tidak memberitahu kejadian berkenaan kepada sesiapa.

“Saya bimbang dia akan guna pengaruhnya untuk menyekat periuk nasi saya kepada syarikat produksi lain kerana saya tidak menuruti kehendaknya.

“Bagaimanapun selepas mendapat nasihat daripada pelbagai pihak termasuk rakan—rakan, saya tampil membuat laporan polis walaupun kes ini sudah berlalu kira-kira empat bulan lalu,” katanya.

Ffarrah yang pernah membintangi drama Siti Kelembai, Barakah dan Cinta Puteri Salju itu, berkata, dia serik untuk menjadi seorang pelakon dan berharap kejadian berkenaan menjadi iktibar kepada pelakon baru lain.

"Saya tak sangka untuk menjadi pelakon perlu berhadapan dengan cabaran seperti ini. Jangan ingat saya seorang wanita yang murah dan mudah memberi apa yang diinginkan,” katanya.

Saman Halim Saad bakal papar kebejatan kronisme

Dr Dzulkefly Ahmad
1. Saman jutawan Tan Sri Halim Saad terhadap tiga pihak defenden; kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad dan Tan Sri Nor Mohamad Yaakop bakal mendedahkan pelbagai hakikat ‘kebejatan tadbir-urus korporat’ yang kerap didakwa pihak pembangkang dari era pentadbiran Tun Dr Mahathir dan dasar ekonominya sebagai Mahathirnomics!

2. Andainya kes ini tidak dipaksa mengikuti ‘penyelesaian di luar mahkamah’ seperti seorang lagi korporat Melayu Tan Sri Tajuddin Ramli, rakyat akan berpeluang mendapat ‘pencerahan minda’ tentang tata-kelola ‘Corporate Malaysia’ dan fenomena “Political Business” atau “Perniagaan Politik”– sebuah ‘dunia perniagaan korporat’ yang terhindar daripada pengetahuan orang Melayu teramai khasnya dan rakyat amnya.

3. Hanya segelintir ‘Melayu-Umnoputera’ yang ‘bertuah’ (privileged) – satu ‘class’ yang mendapat ‘patronage’ (penaungan) daripada perlaksanaan polisi ini dalam ‘gelombang penswastaan mega’ Mahathirnomics. Kepercayaan Tun Mahathir terhadap penjanaan kekayaan (Wealth Creation) melalui metodologi ini yakni Pasaran Saham (Equity Market) dan ‘Pemilikan Saham Korporat’ (Corporate Equity) bagi mencipta ‘satu kelas kapitalis Melayu yang super-kaya’ adalah sangat jelas. Hampir-hampir Mahathirnomics adalah sinonim dengan ‘kelas Kapitalis Melayu super-rich’ itu.

4. Mengapa Halim Saad memilih tarikh 27 April 2013, tiga hari sebelum pembubaran Dewan Rakyat tidak sukar untuk diselami. Namun, hanya Halim Saad sahaja yang tahu jawapan setepatnya kepada ‘soalan-RM1 bilion’ ini. Penulis bersedia memberi ‘bacaan’nya tetapi itu bukanlah matlamat penulisan ini.

5. Apa tujuan penulisan ini? Tujuannya ialah ‘Pencerahan minda’ rakyat supaya tabiat buruk ini tidak diulangi, sama ada ‘pemangsaan’ sesama kelompok mereka sendiri atau lebih penting lagi bagaimana kekayaan negara berakhir dalam pemilikan parti pemerintah dalam amalan ‘Kapitalisme Kroni’ atau ‘Crony Capitalism’. ‘Nominee’ atau ‘Penama’ yang mendapat ‘naungan’ atau ‘patronage’ penguasa politik adalah ‘pemegang amanah’ parti-parti tersebut. Barisan Nasional sudah terlalu selesa dengan cara begini hingga lahirlah contoh-contoh seperti Fleet Holding milik Umno, Multi-Purpose Holding milik MCA dan Maika Holding milik MIC.

6. Kapitalisme Kroni or ‘Crony Capitalism’ adalah satu fenomena yang tidak asing dalam bidang ilmu ‘Political Economy’ atau lebih khusus lagi dalam “Political Business”. Di Malaysia, tokoh-tokoh akademik yang telah menumpu bidang ini antara lainya ialah Profesor Jomo Sundram dan Profesor Terrence Gomez. Mereka menghasil puluhan buku dan terbitan akademik yang sangat kritis terhadap ‘amalan sumbang’ (incestuous relationship) antara penguasa politik dan segelintir elit bisnes khasnya sejak era Tun Mahathir sehingga mempopularkan istilah ‘Mahathirnomics’.

7. Halim Saad adalah contoh ‘nominee’ Umno seperti ditegaskan Tun Mahathir sendiri dalam penjelasannya. Walaubagimana pun atas ukuran dan tuntutan keadilan, wajarkah beliau diperlakukan seperti yang bakal kita perincikan ini, tidak juga sesuatu yang mudah untuk kita hukumi. Aspek ini memerlukan wacana dan penelitian yang lebih mendalam dan sekarang ini telah menjadi kes tumpuan di mahkamah. Meskipun Halim berhutang sejumlah RM26 bilion pada kemuncak Krisis Kewangan Asia 1997 itu dan RM13 bilion selepas bayaran sebahagian dibuat, aset Renong-UEM masih punya nilai pasaran yang tinggi. Plus Expressway sahaja di bawah UEM berjaya menjana terbitan RM30 bilion dalam bentuk sukuk dan Prolink Sdn Bhd contohnya yang dimiliki Renong, mempunyai ‘land bank’ 25,000 ekar tanah di Johor yang kini adalah Iskandar Malaysia. Anggaran nilai pasaran melebihi RM21 bilion. Maka tidak mudah juga untuk kita persalahkan hanya ‘kroni-kroni’ Umno ini sahaja tentunya.

8. Sejauh mana Halim Saad seorang akauntan asalnya, turut menambah nilai aset Renong-UEM adalah satu pertikaian yang tidak akan berkesudahan. Penulis ‘tawakuf’ dalam membuat hukuman dari segi ini. Betul lah dia ‘kroni’ tetapi bayangkan kalau dia tidak ‘kroni’ dan tidak pula dia perlu bersaing dalam kancah yang sarat amalan ‘kronisme’. Itulah jenayah Mahathirnomics – yang tidak pernah memberikan ‘padang yang sama-rata’ untuk melahirkan ‘local champions’ kepada semua. Yang ‘dinaunginya’ pun dia ‘pancung’ juga apabila bertembung kepentingan.

9. Tegasnya kesimpulan tema : Perbalahan atau ‘perang korporat’ di antara penguasa politik-pemimpin parti yang ‘memangsakan’ kroninya sendiri. Renong dan UEM sebagai satu “Kumpulan”, pada kemuncak kejayaan mereka, memilikki 9 lagi syarikat awam (PLCs). Struktur ekuiti juga tidak mudah dirungkaikan. Sementara UEM memilikki 32.5% ekuiti dalam Renong Berhad, UEM pula dimilikki 37.1% oleh Renong Berhad (yakni pegangan saham bersilang atau cross-holding). Tan Sri Halim Saad sendiri memilikki 16.5% ekuiti Renong sekali gus menjadi pemilik utama ke atas ‘Kumpulan’ konglomerat ini.

10. Sebagai kesimpulan kes, Halim Saad telah mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan bagi menuntut penyelesaian pembayaran sebanyak RM1.3 bilion yang didakwanya adalah baki dari tawaran kepadanya sebagai ‘galakan’ (inducement) supaya beliau melepaskan seluruh pegangannya dalam Renong Berhad dan United Engineers Motor (UEM) dan menjual ‘Kumpulannya’ ini kepada Khazanah pada tahun 2001.

11. Halim Saad mendakwa pengambilalihan Khazanah ke atas Renong dan UEM itu berlaku dengan kerelaan beliau kerana beliau dijanjikan akan mendapat beberapa bayaran antara lainnya:
i. RM1.3 bilion yakni RM325 juta akan dibayar secara tunai dan RM325 juta dalam bentuk ‘cash equivalent’ dan bakinya RM650 juta dalam bentuk tanah ‘Prolink Development’ yang kini adalah Iskandar Malaysia
ii. Khazanah akan membeli saham Halim sebanyak 16% blok dalam Renong dengan harga RM1.25 sesaham berjumlah RM485 juta.
iii. Sebuah syarikat alam sekitar bernama Kualiti Alam Sdn Bhd akan dipindahmilikkan kepada Halim Saad bernilai RM1.805 juta

12. Kini setelah 12 tahun menantikan bayaran bakinya, Halim mengesahkan beliau telah tertipu untuk melakukan sedemikian atau ‘fraudulently induced’ dengan pihak defenden tidak punya niat untuk membayar keseluruhan tawaran tersebut. Sehingga ke saat penulisan ini, Halim menyatakan mendapat bayaran sebanyak RM165 juta sahaja.

13. Menyingkap rentetan kontroversi tentang Renong-UEM ini membawa kita supaya memahami peristiwa latar yang menyebabkan tindakan Tun Mahathir ke atas ‘anak buah’ Tun Daim ini. Tun Daim ketika itu mempunyai masalah dengan bossnya, Tun M.

14. Pada 17 November 1997, UEM, sebagai sebuah syarikat awam (PLC), melaporkan kepada KLSE bahawa mereka telah membeli 32.6% saham Renong Berhad bersamaan 722.9 juta saham, pada harga RM2.3 bilion pada 13 November. Ini bermaksud bahawa UEM telah membayar RM3.24 bagi setiap saham Renong Berhad.

15. Pembelian itu yang ditanggapi pasaran dan khasnya oleh pemegang saham minoriti sebagai satu langkah menyelamatkan pemilik utama Renong atau satu ‘bailout’. Ia telah mendapat reaksi keras daripada pelabur yang membantah tindakan tersebut serentak telah mencetuskan peristiwa “Black Week”dalam sejarah pasaran Bursa Malaysia. Krisis Kewangan sudah mula menggawatkan pasaran saham dan menjejaskan ekonomi negara-negara Asia bermula dari Thailand.

16. Akibatnya berlaku satu penjualan besar-besaran pihak pelabur secara ‘panik’, yang menyaksikan indeks composit di KLSE menjunam 20% sekaligus melenyapkan ‘market capitalisation’ bernilai RM126.78 bilion! Peristiwa ini diberi jolokan ‘Black Week’ atau ‘Minggu Hitam’ dalam sejarah pasaran saham di negara ini.

17. Pelbagai persoalan penting masih belum mendapat jawapan secara tuntas dan muktamad. Siapa penjual saham Renong itu atau dari mana UEM membeli 32.6% saham Renong itu? Mengapa UEM tidak mendedahkannya perkara itu lebih awal sekali gus memangsakan pemegang saham minoriti? Apakah pembelian saham Renong diluluskan oleh lembaga pengarah UEM?

18. Pada Januari 1998, Suruhanjaya Sekuriti (SC) berjaya mendapatkan Halim Saad untuk membeli kembali 32.6% blok saham Renong dari UEM pada harga RM3.1 bilion, melalui satu instrument perniagaan “Put Option” yang memberikan beliau keanjalan untuk menjual saham tersebut dalam 12 bulan bermula Mac 2000. Perkara tersebut tidak mendapat tindakan lanjutan ketika Menteri Kewangan ketika itu (Dato Seri Anwar Ibrahim) dipecat dan berkebetulan Halim Saad juga gagal membayar 2 lagi ansuran sebanyak RM100 juta yang dijanjikan sebagai sebahagian perjanjian beli balik saham Renong tersebut secara “Put Option”.

19. Pada 17 Julai 2001, bertindak di atas arahan Tun Mahathir, Nor Mohamad Yaakop telah berjaya mendapat persetujuan Halim Saad untuk kerajaan, melalui Khazanah Nasional Berhad, mengambil alih UEM dan seterusnya Renong Berhad berikutan kegagalan Halim Saad melunaskan hutang hutang pembelian semula dari UEM. Halim Saad meletakkan semua jawatan daripada menjadi Lembaga Pengarah UEM dan kemudiannya daripada Renong Berhad pada Oktober 3, 2001 ketika Khazanah mengambil kedua-duanya ( kerana bersetuju dengan tawaran tawaran di atas ).

20. Di antara September 2001 hingga Ogos 2002, Halim telah mengutus beberapa pucuk surat peringatan kepada Tun Mahathir dan Nor Mohamad untuk mendapatkan bayaran daripada kerajaan. Halim mendakwa hanya dibayar dua kali sahaja, pertama RM100 juta sebagai ganti kepada RM100 juta yang beliau bayar ketika menggunakan instrument “Put Option” pada Februari 2001 dan RM65 juta sebagai pampasan bagi bayaran ‘foreclosure’ atau ‘penyitaan’ aset-aset kepada pihak kreditor.

21. Di antara 2003 hingga 2010, Halim mendakwa bahawa beliau telah beberapa kali berjumpa Nor Mohamad untuk mendapat bayaran perjanjian 17 Oktober 2001. Menjadi lebih malang lagi buat Halim apabila Tun Dr Mahthir pada 23 April 2010, melalui Nor Mohammad akhirnya menegaskan bahawa kesemua aset yang diambil alih oleh Khazanah adalah milik Umno dan tidak ada sebab mengapa kerajaan mesti membayar apa-apa lagi dari segi bayaran ganti rugi kepada beliau.

22. Perang antara penguasa dan kroni Umno ini, jelasnya akan memaparkan kepada rakyat bahkan seluruh dunia apa yang disebut-sebut oleh pihak pembangkang sebagai ‘kebejatan tata-kelola kewangan dan kepincangan pembangunan negara’. Tidak sukar untuk membayangkan bahawa kalau ‘dakwa-dakwi’ antara dua pihak ini dilanjutkan, berapa banyak lagikah transaksi yang seumpama ini yang menjadi sinonim dengan ‘Umno dan mesin mencetak jutawan-bilionawan’ dalam ‘era penswastaan raksaksa’ akan diketemui? MAS, Perwaja Steel, MISC, LRT dan lain-lain, yang berjaya dibongkar telah menjadi subjek penyelidikan dan terbitan Jomo dan Terrence buat beberapa dekad lamanya.

23. Maka tidak hairan kalau seorang ahli ekonomi daripada Morgan Stanley pernah menyebutkan setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan PM, (The Edge, April, 2004), beliau bertanggungjawab ‘meleburkan’ RM 100 bilion dana awam. Hal sama disebutkan oleh seorang lagi penulis yang lebih masyhur yakni Barry Wain yang yakin seratus peratus (100%) bahawa Tun bertanggungjawab atas sebab pembaziran, penyelewengan dan rasuah ‘menghanguskan’ RM100 bilion wang rakyat. Pengharaman bukunya ‘Malaysian Maverick’ (2010) di Malaysia, adalah testimoni paling jelas akan ketakutan penguasa politik di negara ini akan kebenarannya.

24. Wain antara lain mendakwa dalam bukunya, bahawa Tun Mahathir mempunyai memori singkat. Kerugian dalam Perwaja Steel adalah antara RM15-20 bilion tetapi Tun hanya mengakui sebanyak RM1-2 bilion sahaja. Wain membuktikan bahawa Menteri Kewangannya sendiri mengemukakan satu laporan audit oleh Pricewaterhouse Cooper di Parlimen pada pertengahan 1990-an. Kerugian pada masa itu sahaja, beliau nyatakan sudah berjumlah RM9.5 bilion dan makin bertambah selepas itu.

25. Tun Mahathir juga keliru dan kekadang tidak tahu duit Umno atau dana rakyat yang digunakan sebagai contoh dalam hal bangunan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Tun menafikan dakwaan PWTC dibina dengan dana awam. Sebaliknya Barry Wain tegaskan bahawa beliau ada satu salinan akaun Umno yang diaudit (yang menunjukkan sedemikian), termasuk dana politik rahsia dan ia menunjukkan dengan jelas, mereka ada berpuluh juta di dalam akaun ketika Tun Daim Zainuddin mengambil alih bendahari Umno.

26. Sebagai iktibar awal, bukankah kekayaan yang dijana sepatutnya adalah ‘kekayaan dari sumber negara untuk rakyat’ yang kemudiannya wajar berakhir dengan ‘pengagihan semula kekayaan’ (wealth redistribution’) bagi mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara? Tampaknya yang berlaku adalah sebaliknya. Ia persis seperti yang diherdik dan dikecam Allah SWT dalam al-Quran mafhumnya :“Supaya kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan orang-orang kaya dan super-kaya (aghniya’) di antara kamu sahaja” dan larangan serta cemohan Allah supaya “jangan kamu memakan dari harta-rezeki antara kamu secara batil”.

27. Sangat malang sekiranya PM Najib terus menjejaki laluan atau ‘lebuh raya’ (trajektori) yang sama daripada Mahathirnomics kepada Najibonomics… menjalankan perbuatan dan polisi yang sama dalam penswastaan pembangunan infrastruktur mega-mewah serta sektor pembinaan tidak berkesudahan - (Menara Warisan, TRX, MRT, HSR dsbnya) menjalankan kerja-kerja yang sama. Pastinya natijah akan seperti era Mahathir. Bezanya cumalah mempunyai set ‘nominee’ (kroni) baru tetapi tetap dengan dasar ‘Kroni Kapitalisme’ dalam amalan “Political Business”.

28. Impian dan cita-cita mengeluarkan negara daripada kebejatan tadbir-urus kewangan dan kepincangan pembangunan bagi ‘mensejahterakan rakyat dan memakmurkan‘ tidak akan terlaksana dalam regim pemerintahan ini. Frasa ‘mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara’ adalah asing bagi mereka.

Sampai bila mahu begini?

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan PAS Pusat

Gambar yang Perkasa dan Umno tidak mahu lihat

Dari blog Omak kau
Rakaman gambar Naib Presiden Kanan UMNO merangkap Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika melakukan kunjungan rasmi ke lokasi tragedi penabat kilat Menara UMNO Pulau Pinang Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang runtuh yang telah mengakibatkan kematian 3 orang.

Zahid meletakkan tangan kirinya diatas bahu kiri YB Lim Kit Siang sambil berjalan seiring dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng petang tadi.

Ia besar kemungkinan akan mengundang kemarahan para penyokong UMNO yang totok termasuklah ahli Perkasa yang cukup terkenal sebagai amat bencikan DAP dan Lim Kit Siang.

Umum sudah pun sedia maklum.. para blogger pro UMNO cukup meluat habis dengan YB Lim Kit Siang ni sebagai pemimpin ulung DAP.