"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalau Samad Said berlakon sebagai Ka’ab bin Malik

Dinsman

Cuba bayangkan kalau A Samad Said (Sasterawan Negara) berlakon menjadi Ka’ab bin Malik dalam teater Menunggu Kata Dari Tuhan

(MKDT)!Terus terang, saya tak pernah membayangkannya. Saya pernah membayangkan orang lain daripada Sabri Yunus melakonkan watak itu. Saya pernah membayangkan Khalid Salleh berlakon sebagai Ka’ab.

Saya pernah membayangkan Ahmad Yatim, saya pernah membayangkan Rahim Razali, Wan Hanafi Su, dan juga Khir Rahman, sebagai Ka’ab. Malah terakhir saya mencari Azmil Mustaffa untuk bertanyakan perkara ini. Tetapi saya tak pernah membayangkan A Samad Said.

Kenapa saya hendak membayangkan A Samad Said berlakon sebagai Ka’ab? Tak ada sebab. Walaupun saya mencari-cari orang untuk melakonkan watak sahabat Nabi itu, selain Sabri Yunus, untuk mengisi pementasan yang diminta pada waktu-waktu yang Sabri Yunus berhalangan, atau atas sebab-sebab lain, saya tidak pernah terbayangkan A Samad Said untuk maksud itu.

Pertamanya A Samad Said bukan pelakon. Kedua, umurnya agak kurang sesuai dengan watak Ka’ab. Dalam teater itu terdapat dialog Ka’ab yang berkata dia “masih muda”. Tentulah agak janggal kalau Samad Said melafazkan dialog “Saya masih muda”.

Malah sewaktu saya sendiri berlatih untuk melakonkan watak itu pada mula-mula dulu, saya pun terfikirkan bagaimana dengan dialog itu. Tetapi kenapa tiba-tiba saya bangkitkan soal ini sekarang? Apa kewajarannya kini nak membayangkan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berlakon jadi Ka’ab bin Malik dalam teater MKDT? Saya bangkitkan soal ini sebenarnya kerana Samad Said sendiri yang membangkitkannya.

Saya bersama Hasni dan Kassim, Khamis lalu bertemu Samad Said (di KL Sentral) kerana membincangkan beberapa perkara berkaitan ‘Budayawan Bertindak’. Antaranya mengenai buku kumpulan esei Budayawan Bertindak yang sedang kami usahakan, yang pada mulanya dirancang untuk diterbitkan menjelang fajar 2010, tetapi kemudian ditunda untuk dilancarkan penerbitannya sempena menyambut ulang tahun 7 Mac, iaitu tarikh budayawan dan para pencinta Bahasa Melayu buat pertama kalinya turun beramai-ramai ke jalanraya menuntut PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains-Matematik dalam Inggeris) dihapuskan.

Selain itu kami juga berbincang idea untuk menubuhkan sebuah dana kebajikan untuk para budayawan yang memerlukan bantuan, terutamanya kerana masalah kesihatan, seperti yang dihadapi Ahmad Lutfi Othman baru-baru ini. Dan seperti biasa apabila bertemu tentulah berbincang dan bercerita juga hal-hal aktiviti seni, sastera dan budaya.

Maka Samad Said pun menceritakan yang dia sedang memberi perhatian kepada drama-drama Menunggu Kata Dari Tuhan dan Tamu Dari Medan Perang. Hal ini misalnya antara lain sudah terzahir dalam ceramahnya di Perpustakaan Negeri Pulau Pinang, anjuran 2PNP, pada 14 November lalu. Dinyatakannya juga pandangannya supaya pementasan MKDT terus diperbanyakkan lagi, kerana teater itu membawa mesej yang sangat sesuai dan relevan dengan suasana masyarakat kita hari ini, iaitu penekanan Ka’ab tentang perlunya bercakap benar dan jujur, dan perlunya setiap orang melibatkan diri dalam perjuangan.

Saya menyatakan sememangnya siri pementasan teater MKDT masih berterusan. Yang terakhir misalnya di Masjid Padang Serai, Kulim, Kedah pada 17 Disember; dan sebelum itu di Dewan Serbaguna Jawi, Sungai Bakap, Seberang Prai pada 6 Disember. Untuk bulan Januari 2010 pula sudah ditetapkan empat pementasan, dan satu lagi belum disahkan (di Petaling Jaya). Yang sahih ialah 2 Januari di Stadium Kajang, Selangor; 9 Januari di Tapak Pesta Seberang Jaya, Pulau Pinang; 14 Januari di kampus Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu; dan 30 Januari di Kampung Kerinci, Kuala Lumpur.

Begitupun, Samad Said menyatakan ia perlu diperbanyakkan lagi, dan untuk itu dia sendiri pun, katanya, sedang memulakan persediaan dan latihan untuk menghafal skrip drama itu. Tetapi dia seorang deklamator puisi, bukannya pelakon yang biasa menghafal dialog.

Jadi dia menghadapi masalah untuk menghafal dialog, apalagi dialog MKDT yang panjang, yang perlu diucapkan oleh hanya seorang pelakon selama 40 minit. Tetapi kalaupun dia boleh menghafal dialog-dialog itu, dia tetap tak boleh berlakon watak Ka’ab, kata isterinya, kerana Ka’ab dalam teater itu seorang yang berusia muda.

Namun, Samad yang memang memahami perkara itu, mempunyai penyelesaiannya sendiri. Maka dia meminta agar saya mendapatkan kepastian berapakah umur Kaab ketika meninggal dunia. Ada dua pendekatan yang boleh diambilnya, kata Samad Said. Pertama, dia berlakon sebagai Ka’ab di usia tua, yang menceritakan semula kisahnya sewaktu muda, (seperti halnya Hadis itu sendiri, yang diriwayatkan oleh anaknya Abdullah bin Ka’ab, ketika Ka’ab telah buta matanya, lalu menceritakan kisahnya ini kepada anaknya). Dan pendekatan kedua, dia berlakon sebagai dirinya sendiri yang meminati Ka’ab, lalu menjadi ‘Pencerita” di dalam teater, yang menceritakan kisah sepertimana yang diskripkan itu.
Pada mulanya saya tidak menduga bahawa Samad Said serius hendak berlakon. Saya ingatkan itu hanya idea dan permainan fikirannya sahaja. Tetapi sedang kami bercakap-cakap itu, dan dia beberapa kali membuat penegasan agar kami memberi perhatian kepada perkara itu, dan dinyatakannya juga hasratnya ingin teater itu dipentaskan beberapa kali lagi di Terengganu, perlahan-lahan saya pun terfikir – eh, nampaknya Samad Said ini serius bersedia untuk berlakon! Sebelum ini pun Samad Said pernah berlakon. Hanya saya tidak berkesempatan menontonnya.
Dia pernah berlakon jadi Pak Utih dalam sebuah pentomin; pernah menjadi Lazri Meon dalam dekon dibawah arahan Aziz HM; dan pernah berlakon dalam “Monolog Di Hadapan Pulau”, sebagai Pencerita dan Pengarah.

Bagi meyakinkan saya yang Samad Said memang telah bersedia untuk berlakon, saya SMS dia selepas itu bertanya bila dia bercadang membuat persembahan pertama lakonannya itu? Jawapannya memang meyakinkan: “Abang terpaksa menghafaznya dulu. Abang hanya bersedia selepas 9 April 2010 ketika mula usia 75.” Terima kasih abang Samad Said. Saya memang terharu dengan hasrat abang itu. Terima kasih sekali lagi! (Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.myatau sms 0136362408)

Tiada ulasan: