"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelakon, kekasih leka judi ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon wanita bersama teman lelakinya antara puluhan yang ditahan ketika leka bermain mesin judi dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Pahang, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 9 malam, pelakon wanita terbabit yang berusia 30-an ditahan bersama kira-kira 50 tahi judi. Dia mendakwa hanya menemani teman lelakinya itu.

Bagaimanapun, alasan yang diberikan itu tetap tidak dapat menyelamatkannya kerana dia turut dibawa ke IPK KL bersama pengunjung dalam premis berkenaan.

Sementara itu, dalam satu serbuan di Jalan Klang Lama, lima premis perjudian turut diserbu dan polis menahan 34 pengunjung yang leka bermain pelbagai mesin judi dalam talian. Ketua Turus D7 IPK KL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata polis turut menahan lima pekerja di premis terbabit dan merampas 102 unit komputer.

“Sepuluh mesin judi dan wang tunai RM2,547 turut dirampas di semua premis berkenaan dan semua yang ditahan itu berusia 20 hingga 50 tahun,” katanya.

Menurutnya, polis akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan perintah bagi memotong bekalan air dan elektrik di semua premis terbabit.

“Premis ini sudah lama beroperasi dan banyak kali diserbu polis, tetapi pemiliknya masih berdegil dan tetap meneruskan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan mudah.

“Jika dulu kami hanya menahan pemilik premis, tetapi kini kami juga menahan pemain judi,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat yang turut ditahan dalam operasi terbabit mendakwa dia menggunakan wang untuk membeli susu anaknya kerana begitu ketagih dengan permainan judi Internet terbabit.

Menurut lelaki berusia 30-an itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, gaji yang diperoleh setiap bulan pasti tidak mencukupi.

“Saya mula terbabit dalam perjudian ini sejak beberapa bulan lalu dan pernah meminta wang daripada ibu kerana gaji yang diterima pasti tidak cukup dan dihabiskan dengan berjudi.

“Malah, wang yang disimpan untuk membeli susu anak turut digunakan untuk bertaruh dan mencuba nasib dengan bermain mesin judi ini,” katanya yang kesal dengan perbuatannya.

-hmetro-

Tiada ulasan: