"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak dibenar bahas usul, MP Pakatan keluar dewan

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 16 Mac:
Ahli parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan hari ini selepas tidak dibenarkan membahaskan usul yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membentangkan usul mengarahkan ketua polis negara supaya memastikan jalan dan laluan ke Parlimen dibuka sepanjang masa tanpa sebarang halangan kepada ahli parlimen.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar kemudian bangun dan meminta usul tersebut dibahaskan kerana mendakwa berlaku kekeliruan berhubung status jawatan ketua polis negara yang didakwa akan berlaku perubahan dalam masa terdekat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ronald Kiandee bagaimanapun kemudiannya meluluskan usul tersebut selepas mendapat sokongan majoriti sewaktu pengundian lisan, tanpa membukanya untuk dibahaskan.

Di luar dewan, Ahli Parlimen Pakatan mengadakan satu sidang media berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Bachok, Nasaruddin Mat Isa menegaskan tindakan tidak membahaskan usul tersebut mengesahkan ketidakwibawaan ketua polis negara meneruskan tugas yang dijangka tamat kontrak perkhidmatannya tahun ini.

Manakala Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang melahirkan rasa kecewa kerana tidak diberi masa untuk usul tersebut dibahaskan.

"Ini menunjukkan sikap di mana suasana perbahasan tidak bebas, mungkin ini kerana isu IGP," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Kuala Krai Dr. Hatta Ramli, Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) dan ahli parlimen pakatan yang lain.

Tiada ulasan: