Wan Nordin Wan Yaacob
Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim kesal Dewan Rakyat menolak usul yang dikemukakanya berhubung isu penurunan perolehan syarikat petroleum negara, Petronas sebanyak 18.1 peratus kepada RM216.4 bilion dan penurunan keuntungan sebanyak 23.2% kepada RM40.3 bilion yang mempunyai kesan yang besar kepada negara.
Ia terjadi setelah Perdana Menteri, Dato' Seri Najib mengambil alih kerajaan dan trend penurunan itu sangat ketara dari tahun 2008 hingga 2010, katanya.
Dalam sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dihantar 7 Julai, Anwar memohon penangguhan mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 bagi membincangkan perkara tersebut yang berkepentingan ramai dan perlu disegerakan. Namun usul itu ditolak speaker dengan alasan ia tidak perlu disegerakan, kata Anwar lagi.
Beliau menyatakan, usul itu patut disegerakan untuk dibincang di Parlimen kerana prestasi kewangan dan operasi Petronas memperlihatkan penurunan perolehan 18.1 peratus kepada RM216.4 bilion.
"Keuntungan pun merosot sebanyak 23.2 peratus kepada RM40.3 bilion. Keuntungan RM40.3 bilion, tetapi jumlah yang patut diberi kepada kerajaan adalah 70.9 peratus. Maknanya RM30 bilion sebagai dividen.
Anwar berkata, beliau membangkitkan ini kerana melihat ia bertujuan untuk menampung defisit.
Defisit tanpa sumbangan Petronas mencecah lebih 11 peratus, tanpa sumber minyak, ia memberikan satu ruang sikap yang tidak bertanggungjawab dari sudut pengurusan ekonomi negara, katanya.
Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh turut menegaskan, kekuatan Petronas sudah hilang ekoran keupayaannya melabur untuk cari gali minyak yang baru semakin merosot.
"Kedua, di negara lain atau syarikat antarabangsa lain, termasuk Shell, BP dan Exxon Mobil semuanya membelanjakan 50 hingga 80 peratus untuk pelaburan carigali baru sedangkan Petronas dengan keadaan kegawatan yang berlaku sekarang hanya mampu membelanjakan 20 hingga 30 peratus sahaja.
"Penekanan utama saya ialah hilangnya kekuatan Petronas apabila keupayaan Petronas melabur untuk carigali minyak gali baru terbantut. Petronas berbanding syarikat minyak besar menjadi terlalu kecil," katanya.
Ujarnya juga, dasar Petronas itu berubah kerana terdapatnya campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara langsung dalam pengurusan Petronas.
Menurutnya, dasar itu berubah dengan pengurusan baru yang sepenuhnya dikawal oleh Najib.
¡°Tahap kewibawaan Petronas dipertikai. Apa yang menjadi kebimbangan kita selain soal menangani defisit ini ialah keupayaan Petronas untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang akan terjejas.
"Saya sediakan analisa menyeluruh berdasarkan kewangan dan prestasi Petronas yang diperjelaskan dengan angka. Kebergantungan untuk menangani masalah defisit, dengan hasil minyak 2009 telah mencecah 7.4 peratus defisit, telah masuk paras bahaya. Tanpa hasil minyak defisit ialah 11.7 peratus pada 2008, dan 15.1 peratus untuk 2009.
"Kemudian bayaran Petronas kepada kerajaan kita lihat memang berdasarkan keuntungan Petronas pada 2008 ialah RM67.6 bilion, 2009 (RM74 bilion) dan 2010 (RM57.6 bilion).
"Tetapi yang kita bangkitkan ini juga ialah peratus sumbangan Petronas kepada pendapatan negara. Kita tengok pendapatan bayaran kepada kerajaan maknanya ketergantungan kepada Petronas itu sangat tinggi," katanya.
Dalam usul yang dihantar kepada Speaker itu menyebut : "Pada 1 Julai 2010 Petronas mengumumkan laporan prestasi kewangan dan operasinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010. Laporan tersebut menunjukkan penurunan perolehan dan keuntungan yang mempunyai kesan kepada kedudukan kewangan negara.
Petronas merupakan penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan kerajaan, namun, akibat kegagalan kerajaan menjana ekonomi, saban tahun Petronas dibebankan dengan tanggungjawab menanggung perbelanjaan boros kerajaan, katanya.
Di sebalik janji kerajaan untuk mengambil langkah mengurangkan kebergantungan kepada hasil Petronas untuk membiayai perbelanjaan negara, kerajaan menuntut bayaran dividen dikekalkan pada RM30 bilion, katanya.
Akibatnya, Petronas terpaksa membayar sejumlah RM70.9 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2009, sedangkan keuntungannya bagi tempoh setahun berakhir 31 Mac 2010 hanyalah RM40.3 bilion.
"Ini meneruskan pola pembayaran yang terlampau tinggi yang dikenakan kepada Petronas, sehinggakan ia terpaksa memulangkan 85.6% dari keuntungannya bagi tahun berakhir 31 Mac 2010 sebagai bayaran kepada kerajaan. Ini mempunyai kesan buruk kepada ekonomi negara dan kedudukan Petronas."
Dalam usul tersebut Anwar juga menyatakan pengumuman kepimpinan baru Petronas bahawa strategi pelaburannya akan ditukar untuk menumpukan perhatian kepada pelaburan huluan dalam negara menimbulkan banyak tanda tanya.
Tambah beliau perkiraan mendadak untuk mengalihkan perbelanjaan kapital dan kos operasi Petronas ke dalam negara untuk membangunkan rezab-rezab marginal dilihat sebagai percubaan untuk merompak dana Petronas melalui cara baru.
Kaedah menekan Petronas membayar dividen yang terlampau tinggi sudah tidak memadai untuk menanggung ketamakan pihak yang berkepentingan, maka Petronas dipaksa mengubah strateginya agar lebih banyak projek dalam negara dilaksanakan yang memungkinkan campur tangan politik.
Mutakhir ini, ada tanda-tanda cubaan untuk menyelewengkan sumber kewangan Petronas. Jika selama ini rakyat terpaksa menanggung beban subsidi gas kepada penjana bebas (IPP) yang hanya menguntungkan temolok kroni sahaja, kini ada langkauan baru untuk merompak Petronas dengan lebih tersusun. Campur tangan dan cubaaan penyelewengan ini perlu diawasi dan ditentangi dengan sehebatnya," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi dalam usulnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan