PETRA JAYA, 6 FEB: Masyarakat di Sarawak terutamanya yang tinggal di kawasan kampung harus segera bangkit jika tidak mahu terus ketinggalan ketika dunia melangkah ke arah arus permodenan tanpa sempadan.
Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk digapai, namun harus dimulakan dengan iltizam dan membebaskan diri dari pemimpin yang hanya tahu membolot kekayaan untuk diri, keluarga dan kroni semata.
Ketua Keadilan cabang Santubong, Datuk Ali Hossen berkata, masyarakat di Sarawak seharusnya sudah berhenti dari memikirkan perkara-perkara asas dalam kehidupan seharian seperti bekalan air dan elektrik kerana ia sudah tidak relevan lagi pada masa kini.
"Kita sepatutnya bercakap tentang jalur lebar. Anak kita berada di Universiti mana sekarang? Itu yang harus kita cakapkan. Ini kita masih bercakap tentang rumah tidak ada lampu. Walhal apabila bercakap tentang kampung, kita bercakap tentang Melayu," katanya kepada kira-kira 1,000 penduduk di Taman Sukma, Samariang, dekat sini malam tadi.
Menurut Ali, masyarakat Melayu di Sarawak terutamanya di kampung-kampung hidup dalam serba kedaifan. Sarawak kaya dengan hasil mahsulnya seperti balak, gas dan minyak namun dewasa ini rakyatnya masih ada yang melarat dan hidup dalam kesempitan hidup tidak terperi.
Sedangkan Ketua Menterinya yang berada di takhta selama 30 tahun mengumpul kekayaan menggunung sama ada di dalam dan luar negara.
Adalah tidak wajar kata Ali, masyarakat Melayu yang tinggal di kampung-kampung dan beragama Islam sama seperti agama pemimpinnya, dibiarkan hidup dalam kesempitan.
"Apabila kita bercakap tentang kampung Melayu, kita akan menyebut tentang Islam dan kita akan bercakap tentang kubur.
"Kita pergi ke kawasan perkuburan di Samariang, perkuburan terbesar di Sarawak. Air mata sahaja yang menitis melihat keadaannya. Bagaimana rumah yang disediakan tidak mempunyai bekalan elektrik.Tandas pecah, air tidak ada," tegas Ali lagi.
"47 tahun kita merdeka, apa pemimpin-pemimpin telah buat untuk kampung-kampung Melayu? Tepuk dada tanya selera," tambah Ali lagi.
Justeru ujarnya, sudah sampai masanya masyarakat di Sarawak bangkit menuntut keadilan dan tidak diperkotak-katikkan lagi.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan