"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya jadi takut dan trauma ke Korea'

Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my
AMIRA ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon sebelum dihantar pulang.
AMIRA ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon sebelum dihantar pulang.
Kuala Lumpur: "Sampai sekarang masih tertanya-tanya apa salah saya dan dua rakan sampai tidak dibenarkan masuk ke Korea."

Itu luahan wanita dikenali sebagai Hazwani Amira, 29, apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 11 Oktober sebelum dihantar pulang ke tanah air, kelmarin.

Tindakan Hazwani yang berkongsi perkara itu di TikTok mendapat perhatian warganet sehingga tular di laman sosial.

Hazwani berkata, insiden itu menjadi pengalaman terburuk dalam hidupnya sepanjang bercuti ke luar negara selain berasa trauma dengan apa yang terjadi.

"Ini perjalanan pertama saya ke negara itu, tapi tidak menjangka ia menjadi pengalaman terburuk saya. Tidak kesampaian nak berjalan di semua lokasi yang sudah diatur.

"Jujur cakap, selepas apa yang terjadi saya tak nak dah pergi sana. Saya menjadi takut dan trauma.

"Semasa menunggu penerbangan pulang, saya sempat rakam dan kongsi apa yang berlaku. Ramai yang mesej (DM) dan bertanya apa dokumen diperlukan.

"Macam kes saya ini, semuanya cukup cuma tak bernasib baik sebab dapat pegawai imigresen itu. Sebab kawan saya yang beratur di kaunter lain lepas pula. Saya dan suaminya saja yang sangkut," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sehingga sekarang dia tidak tahu apa kesalahan dilakukannya dan akur dihantar pulang.

"Memandangkan kami berada di negara orang, jadi kena jaga tingkah laku dan adab, jaga nama negara kita juga. Bimbang pula mereka buat perkara lain, sebab dari awal mereka dah buat susah dan bermasalah," katanya.

Dia yang sepatutnya pulang ke tanah air pada 18 Oktober ini berkata, dia menganggarkan kerugian dialami mencecah RM7,000.

Menurutnya, apa yang lebih menyedihkan adalah mereka ditahan seperti penjenayah termasuk pasport hanya diserahkan semula selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menceritakan apa yang berlaku, Hazwani berkata, detik hitam itu bermula apabila dia dan suami rakannya yang berbaris di lorong sama tiba di pemeriksaan pegawai imigresen.

"Seperti biasa, pihak imigresen meminta dokumen yang diperlukan seperti pasport dan K-ETA (Kebenaran Kembara Elektronik Korea Selatan). Tiba-tiba, pegawai itu bertanya kenapa pasport tiada sejarah perjalanan. Saya menjelaskan itu pasport yang dah diperbaharui. Dia minta pula yang lama, saya beritahu tak bawa. Tiket pulang dan tempahan hotel pun semua ada. Kiranya semua dokumen lengkap.

"Terus kami diminta ikut pegawai lain ke satu bilik untuk disoal siasat. Ketika itu rakan saya lepas. Namun berasakan sesuatu yang pelik berlaku dia pun datang untuk berjumpa kami. Akhirnya, dia pun turut disoal sama.

"Mereka ada mencadangkan kami menghubungi kedutaan Malaysia di Korea bagaimana cara untuk memasuki negara itu, tapi tidak beritahu caranya. Selepas pelbagai usaha kami buat, akhirnya gagal. Pegawai yang ada di situ pun sangat tidak membantu.

"Kami kemudiannya ditempatkan bersama penumpang luar negara lain. Pasport kami pula dipegang mereka. Kami tidak diberikan apa-apa solusi melainkan dihantar pulang, nak berkomunikasi dengan pihak berkaitan pun mereka tak bantu," katanya.

Tiada ulasan: