Dakwaan jual anak: Ketua Pemuda PKR Sabah berdepan siasatan

Durie Rainer Fong 

Polis berkata kenyataan dikeluarkan Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, boleh membangkitkan kegentaran awam.

KOTA KINABALU: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kenyataan oleh ahli politik Sabah baru-baru ini, mendakwa seorang wanita yang menghadapi masalah kewangan cuba menjual anaknya.

Ketua Polis Keningau, Shahrudin Mat Hussin, berkata kenyataan media dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, 16 Jun lalu boleh membangkitkan kegentaran awam dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, wanita itu telah membuat laporan yang menyangkal dakwaan Ahuar, dan siasatan polis mengenainya menunjukkan tidak wujud isu penjualan anak atau sindiket pemerdagangan manusia.

Rabu lalu, Ahuar mendakwa tiga kanak-kanak tersebut adalah mangsa pemerdagangan manusia oleh ibu mereka yang berputus asa selepas sumber pendapatannya terputus kerana sekatan pergerakan.

Beliau turut mendakwa, ketiga-tiga kanak-kanak itu diselamatkan oleh polis dan jabatan kebajikan di Keningau.

Namun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali, menafikan kejadian itu.

Shahrudin berkata, kenyataan Ahuar “dilihat menimbulkan ketakutan orang ramai kerana menyentuh isu pemerdagangan manusia dan penyeludupan antara negara, seolah-olah ini berlaku tanpa kawalan pihak berkuasa”.

Beliau berkata, polis sudah menjalankan siasatan menyeluruh mengenai dakwaan awal Ahuar dan mendapati tidak ada isu melibatkan penjualan kanak-kanak atau sindiket pemerdagangan manusia.

“Ibu kanak-kanak itu juga sudah membuat satu laporan polis dan dengan tegas menafikan kenyataan ahli politik terbabit.

“Polis sentiasa peka dan mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya.

Polis serbu ‘pasar raya pelacur’ di Pudu, 12 wanita, 7 ‘ulat’ ditahan

FMT Reporters

Lokasi tersebut sering diserbu polis namun wanita warga asing dan penjaga mereka menggunakan pelbagai helah untuk menawarkan perkhidmatan seks termasuk memberi alasan mereka tinggal di pangsapuri berkenaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seramai 12 wanita warga asing disyaki pelacur dan tujuh lelaki terbabit dalam mencari pelanggan khidmat seks untuk wanita berkenaan ditahan polis dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Pasar Pudu, petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Nasri Mansor, berkata ketika serbuan 6 petang itu, pihaknya terpaksa memecah masuk empat unit kediaman selepas wanita asing terbabit menyedari kehadiran polis.

Serbuan dilakukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, hasil maklumat berhubung aktiviti penawaran khidmat seks di lobi pangsapuri itu oleh beberapa lelaki atau “ulat” kepada aktiviti pelacuran di kawasan berkenaan.

Nasri berkata, ketika serbuan terdapat beberapa wanita yang dipercayai terlibat dengan pelacuran keluar dan bersembunyi di luar tingkat kediaman bagi mengelak ditahan, selain ada yang bersembunyi atas tangki air dan ruang bawah tilam bersaiz besar.

Menurut laporan Berita Harian, pelanggan perlu mendaftar bagi memilih wanita asing yang ingin dilanggan mereka di lobi pangsapuri itu.

Kemudian, pelanggan akan memilih wanita yang diinginkan mereka berdasarkan harga ditawarkan “ulat” sebelum dibawa bertemu dengan wanita yang bersesuaian di unit kediaman di tingkat enam.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing yang dipercayai pelanggan serta merampas 30 keping kondom.

Difahamkan, lokasi tersebut sering diserbu polis namun wanita warga asing dan penjaga mereka menggunakan pelbagai helah untuk menawarkan perkhidmatan seks termasuk memberi alasan mereka tinggal di pangsapuri berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan, Seksyen 373 kanun sama, Akta Imigresen dan Peraturan 17 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat-Tempat Jangkitan).

Tajuddin pesan pada Muhyiddin jangan takut

NORMAWATI ADNAN

PASIR SALAK - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu takut dengan kemungkinan undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya Parlimen dibenarkan bersidang.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebelum ini UMNO dan parti pembangkang telah memberi jaminan untuk tidak mengemukakan usul undi berkenaan terhadap kerajaan.

"UMNO adalah sebahagian kerajaan dan sebelum ini pun kita telah membuat kenyataan bahawa parti tidak berminat untuk mengadakan undi tidak percaya. Begitu juga dengan kenyataan pemimpin pembangkang seperti PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara).

"Jadi tiada apa lagi yang perlu ditakuti. Sidang Parlimen boleh diadakan segera kerana Perdana Menteri telah diberikan jaminan tidak akan ada undi tidak percaya dibawa kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) fasa kedua kepada 1,334 penerima termasuk petugas barisan hadapan di kawasan Parlimen Pasir Salak, di sini pada Sabtu.

Tajuddin menyerahkan sumbangan Bantuan Rakyat Prihatin kepada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Langkap, Dr Noor Farhanah Tauhid Ahmad.

Antara penerima bantuan ialah anggota barisan hadapan di Balai Polis Langkap, Balai Polis Chui Chak, Balai Polis Labu Kubong, Klinik Kesihatan Langkap, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk setempat yang memerlukan.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar sesi persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Katanya, pembukaan Dewan Rakyat membolehkan Ahli Parlimen berkongsi pandangan dan cadangan yang dapat dimanfaatkan untuk membantu kerajaan menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi rakyat.

"Sekarang ini apa juga tindakan diambil sama ada berkaitan saringan dan vaksin semuanya adalah idea pihak kerajaan. Wakil rakyat yang ada ini duduk tengok sahaja, paling kurang boleh hantar barang makanan.

"Jika dapat dibuka (persidangan Parlimen) sepertimana dititahkan baginda, saya rasa kita boleh sama-sama ambil tindakan lebih berkesan dalam menghadapi Covid-19 dan kelangsungan hidup rakyat yang perit disebabkan wabak ini," katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin berharap, lebih banyak lokaliti bagi tujuan saringan Covid-19 dibuka di kawasan pedalaman bagi memudahkan penduduk kampung menjalani pemeriksaan kesihatan.

Tambah beliau, ada sebahagian klinik kesihatan seperti di Klinik Kesihatan Langkap tidak dijadikan lokaliti saringan Covid-19 menyebabkan penduduk terpaksa membuat saringan di tempat lebih jauh.

"Sebelum ini saya dah maklumkan kepada menteri berkenaan supaya 'double up' kerana kita sudah ketinggalan. Bukan sahaja klinik kesihatan, tetapi dewan orang ramai pun boleh dijadikan pusat saringan," katanya.

Umno perlu ambil tindakan ‘penyudah’ segera, kata Puad

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berpendapat sudah tiba masanya parti itu mempercepatkan tarikh penarikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika Putrajaya masih berdolak-dalik berhubung pembukaan sidang Parlimen.

Mohd Puad Zarkashi berkata, beliau menyokong pendirian Pemuda Umno yang membuat gesaan itu dan pucuk pimpinan harus mengambil tindakan “penyudah” segera kepada kekalutan berkenaan.

“Ini kerana Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu telah menitahkan supaya Parlimen mesti bersidang secepat mungkin.

“Justeru MKT wajar mempercepatkan tarikh penarikan sokongan terhadap kerajaan PN walaupun pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) memutuskan paling lewat pada 1 Ogos depan,” katanya kepada FMT.

Puad berkata, suara PAU2020 pada Mac lalu juga memutuskan untuk memberi mandat kepada Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan dengan MKT jika terdapat tarikh lain yang lebih sesuai.

Katanya, Umno mempunyai alasan kukuh untuk membuat keputusan tegas dan penarikan sokongan lebih awal.

“Umno sudah memberi peluang lebih setahun kerajaan PN memerintah.

“Ternyata Umno tidak boleh membiarkan dirinya terus terpalit dengan kemarahan rakyat akibat kegagalan kerajaan PN dan kedegilan PM8 (Muhyiddin Yassin),” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan mendesak kepimpinan tertinggi parti itu untuk membuat keputusan tegas jika kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Kegagalan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong itu boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan,” katanya.

Justeru, Pemuda Umno mendesak Putrajaya mengeluarkan notis panggilan segera bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum darurat tamat pada 1 Ogos bagi mentaati titah pandangan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Rabu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pandangan baginda berhubung persidangan Parlimen tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.

Didakwa masih berhutang PTPTN sebanyak 1 sen, kini tuntutan bernilai RM515

Gemilang Daily

Kes Naya !!! Didakwa masih berhutang PTPTN sebanyak 1 sen, kini tuntutan bernilai RM515


Cikgu dapat emel surat amaran, akan diambil tindakan mahkamah oleh PTPTN.. perlu bayar rm515.. padahal mei 2015 dah bayar habis lumpsum guna KWSP..

lepas email… call asyik tak masuk… cikgupppppp mesej FB ptptn..

ini hasil semakan kes…1sen boleh jadi rm515 selepas 6 tahun… dah habis bayar ikut jumlah akhir yang PTPTN bagi. tak tahu mana datang 1 sen tu

rupanya ada lagi yang senasib.. habis bayar tetapi pinjaman masih berjalan.

edit:

terima kasih… ramai bagi cadangan yang baik… ada yang tanya berulang, jadi saya terangkan disini

1. tak dapat surat pelepasan ke?

tak… disuruh tunggu sebulan, sampai sudah tak dapat… bila call.. akan disemak tetapi tak ada yang hubung balik

check link ptptn, surat pelepasan tak pernah dicetak… saya pindah terengganu, jadi tak fikir dah… lupa pun ya

2. ada juga yang cadangkan, kenapa tak bayar lebih beberapa sen?

bila bayar baki ptptn guna duit kwsp, PTPTN akan kira dan tentukan jumlah bayaran akhir… jadi bukan bawah kawalan kita. PTPTN akan direct berurusan dengan KWSP. sepatutnya 1sen tak wujud

kalau buka gambar bawah, ptptn ada balas akan bagi maklumbalas selepas 7 hari…. jadi perlu tunggu dengan penuh kesabaran 😊 kita tunggu jelah ye?

#HanyaKerana1sen #ptptn

Sumber

assalamualaikum.... update kes PTPTN semalam... ( saya dah edit post ni up to date. pihak PTPTN ada hubungi cikgu. boleh baca sampai bawah)

cikgu dapat emel surat amaran, akan diambil tindakan mahkamah oleh PTPTN.. perlu bayar rm515.. padahal julai 2015 dah bayar habis lumpsum guna KWSP..


Tumbukan Tyson nyaris 'bunuh' Donnie Yen

Tyson dan Yen ketika penggambaran Ip Man 3.

Tyson dan Yen ketika penggambaran Ip Man 3.

SHANGHAI: Bintang filem aksi, Donnie Yen mendedahkan dia bimbang akan terkorban apabila merakam babak pertarungan bersama Mike Tyson.

Yen dan Tyson pernah bekerjasama ketika penggambaran Ip Man 3 pada 2015.

Aktor Hong Kong itu kembali mengimbau bagaimana tumbukan bekas juara dunia itu hampir membuat dia pengsan dengan daya seakan 'dirempuh trak'.

"Ketika saya merakam babak pertarungan bersamanya, saya ingatkan pada diri sendiri supaya berhati-hati. Saya tak boleh fikirkan yang saya sedang melakukan penggambaran.

"Saya perlu anggapnya sebagai pertarungan sebenar di dalam gelanggang kerana ia membabitkan hidup dan mati.

"Saya tidak boleh terganggu kerana kalau tidak, saya boleh 'KO' dan mengorbankan diri saya."

Dalam satu babak antara mereka, Tyson melakukan satu tumbukan dan Yen hanya akan mengelak pada minit akhir untuk kamera merakam babak terbabit.

"Itu sangat bahaya! Saya merasai angin daripada tumbukannya yang seakan trak cuba datang dari arah depan menuju saya.

"Ia masih jelas dalam ingatan saya, sungguh bahaya! Tumbukannya sangat besar dan ia menyentuh rambut saya.

"Saya perlu menunggu hingga saat akhir untuk menunduk dan pada masa sama mengelak daripada tercedera. Itu adalah tekanan terbesar saya," katanya. -Agensi

Bhonline

Matahari terbit dari utara

Hmetro 

Agensi

TANGKAP layar dari FB menunjukkan matahari terbit dari utara. FOTO Agensi

TANGKAP layar dari FB menunjukkan matahari terbit dari utara. FOTO Agensi

Sulawesi Selatan: Satu rakaman video yang memperlihatkan matahari terbit dari utara yang berlaku di Jeneponto, di sini, semalam viral di media sosial.

Kompas.com melaporkan, seorang guru di Madrasah Aliyah Negeri (MAN) Binamu Jeneponto yang menyaksikan kejadian merakamnya menggunakan telefon bimbit dan memuat naiknya di media sosial.

"Melaporkan dari MAN Binamu. Sesuatu yang sangat aneh sudah berlaku. Matahari berada di sebelah utara pagi ini, Khamis 17 Jun. Sekarang jam 8 pagi, tetapi matahari sudah berada di sebelah utara," katanya dalam video berkenaan.

Turut menyaksikan kejadian itu, beberapa rakan guru berkenaan.

"Kami bersama rakan-rakan di Jeneponto menyaksikan sendiri kejadian aneh ini. Belum pernah dilihat sebelum ini, kebiasaannya matahari pagi terbit dari timur, tetapi ketika ini (8 pagi) sudah berada di utara, tidak pernah terjadi peristiwa ini," katanya.

Selain itu, suara dalam rakaman video berkenaan turut mengaitkan kejadian itu ada kaitan dengan tanda-tanda hari kiamat.

Pihak Kompas.com kemudian mendapatkan penjelasan daripada Ketua Stesen Meteorologi Sultan Hasanuddin Makassar, Hari Triwibowo yang memaklumkan ia bukan petanda akan berlaku bencana buruk.

Sebaliknya, beliau berkata, fenomena itu berlaku setiap tahun.

Sementara itu, kakitangan Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) WIlayah IV Makassar, Agusmin H ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Namun, katanya, kejadian itu berlaku akibat perubahan cuaca, iaitu cuaca sejuk dan panas.

Beliau berkata, fenomena matahari terbit dari utara disebut sebagai gerakan semu matahari (GSM)

"Apabila ia berlaku, kedudukan bumi condong sekitar 23 darjah. Putaran bumi di sekitar matahari yang tidak tegak lurus menjadikan hemisfera utara menerima banyak cahaya matahari dan sebaliknya berlaku di bumi selatan," katanya.

Tambahan pula, kedudukan Jeneponto di Sulawesi Selatan berada pada garis lintang di selatan khatulistiwa.

Ia menyebabkan pada bulan-bulan tertentu seperti Mac hingga September kedudukan matahari seolah-olah akan terasa lebih terletak atau bergeser di utara dan puncaknya akan terasa pada Jun dan Julai.

Begitu juga sebaliknya pada September hingga Mac, matahari seolah-olah bergerak ke Selatan.

Lagi kes 'buat bodoh-bodoh' atau memang bodoh

Terpedaya ‘kekasih dalam talian’, ahli perniagaan rugi RM74,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan kerugian RM74,000 selepas terpedaya dengan lelaki dipercayai ahli sindiket Love Scam yang dikenali di laman sosial Facebook sejak April lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Amerika Syarikat mendakwa mengalami masalah kewangan untuk projek cari gali di Itali.

Menurutnya, wanita berusia 47 tahun yang sudah berkahwin itu mempercayai suspek memerlukan bantuan lalu bertindak memindahkan wang berjumlah RM74,000 menerusi tujuh transaksi ke dalam dua akaun bank yang diberikan.

“Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas menceritakan perkara itu kepada rakannya.

“Mereka membuat semakan gambar yang digunakan suspek di Facebook dan didapati ia adalah akaun palsu sebelum mangsa membuat laporan polis, semalam,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan muslihat penipuan Love Scam atau Parcel Scam menerusi media sosial.

Rafizi nafi dihubungi Azmin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan dirinya dihubungi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.

“Whatsapp bahawa Azmin hubungi saya berlegar. Ramai yang dok mesej tanya. Setakat ini yang hubungi saya hanyalah ex-boyfriend kucing saya,” katanya di Twitter.

Rafizi turut berkongsi mesej WhatsApp tular itu di Twitternya. Asal usul mesej itu tidak dapat disahkan.

Antara lain mesej itu dipetik, “Selepas nadanya semalam yang menyokong saranan YDPA agar Dewan Parlimen dibuka dengan segara, Azmin menjelaskan “saya telah menghubungi beberapa orang otai reformasi semasa kami sama-sama berjuang untuk reformasi dulu. Antaranya Ezam dan Rafizi.”

Rafizi, dalam ciapannya, turut meminta orang ramai tidak mempercayai perang psikologi politik.

“Jangan percaya macam-macam psywar politik,” kata Rafizi dalam ciapan itu.

Rafizi dan Azmin dilihat sebagai seteru politik dan hubungan tegang antara mereka dalam PKR diketahui umum.

Azmin adalah timbalan presiden PKR sebelum keluar parti itu susulan perbalahan terbukanya dengan Anwar Ibrahim.

Azmin kini menjadi menteri kanan dalam kabinet Muhyiddin Yassin dan dilihat antara penggerak utama “Langkah Sheraton” tahun lalu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas berkuasa 22 bulan.

Dah kantoi terhegeh minta maaf

Ummah mohon maaf 'tersalah masuk' NGO sokong kekal darurat

image placeholder
Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan 'kekeliruan' berhubungan senarai 440 NGO Melayu Islam yang didakwa bersama mereka menyokong darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Turut memohon maaf berhubung laporan sokongan 440 NGO itu ialah editorial harakahdaily yang menyiarkan kenyataan media dikeluarkan Ummah.

Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa menjelaskan bahawa kenyataan berkenaan dikeluarkan sebelum Raja-raja Melayu mengadakan pertemuan khas di Istana Negara pada 16 Jun.

“Kepada mana-mana NGO yang tersalah masuk pihak kami telah keluarkan daripada senarai, dan pihak kami memohon maaf di atas kesilapan yang sangat tidak disengajakan.

"Pihak Ummah juga telah mengeluarkan senarai baru yang telah dikemaskinikan.

"Semoga dengan pembetulan ini dapat memberi pencerahan kepada semua pimpinan NGO yang terlibat," katanya seperti dilaporkan harakahdaily. 

Untuk rekod semakan pada laporan berita tersebut yang dibuat pada awal malam ini mendapati pautan berkenaan sudah tidak dapat diakses lagi.

Tak mahu masuk campur

Pada 16 Jun lalu harakahdaily yang merupakan lidah rasmi PAS menyiarkan laporan bertajuk 440 NGO Islam Sokong Tempoh Darurat Dikekalkan.

Ia memetik kenyataan Mohd Zai yang menyokong saranan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Muhammad Fathi Yusof yang berpendapat dalam situasi negara dilanda Covid-19 sekarang, ia adalah "sesuatu yang amat perlu."

Mengiringi laporan tersebut ialah senarai 440 NGO yang didakwa Ummah bersama dengan mereka dalam pendirian tersebut.

Bagaimanapun sejak semalam beberapa NGO yang disenaraikan tampil menyatakan kekesalan apabila nama pertubuhan mereka digunakan Ummah tanpa kebenaran.

Antara NGO yang tampil menafikan perkara itu ialah Sekretariat Aid4Palestine (Aid4Palestine), Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Multiracial Reverted Muslims (MRM), Ikatan Muslimin Malaysia dan Al-Quds Foundation Malaysia.

Jurucakap Aid4Palestine Dr Suhazeli Abdullah yang menegaskan badan itu tidak mempunyai kecenderungan politik terhadap mana-mana pihak.

Presiden PCOM, Muslim Imran, juga tampil menafikan pertubuhan itu menyokong kenyataan dan pendirian Ummah berhubung darurat.

"PCOM tidak masuk campur dalam politik domestik Malaysia atau negara lain. Kami menghormati semua pihak tetapi tidak berminat untuk campur tangan dalam politik tempatan," katanya.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong, pula menafikan MRM terbabit dengan kenyataan itu.

"Saya mohon Gerakan Pembela Ummah & @harakahdailyHD keluarkan nama Al-Quds Foundation Malaysia dari senarai NGO Islam yang kononnya sokong darurat dikekalkan.

"Jangan tipu rakyat. #KerajaanGagal," kata bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir malam semalam di media sosial.

Mohd Zai berkata jika terdapat kekeliruan dan manipulasi daripada pihak tertentu sehingga mengheret Ummah ‘menderhaka’, dia berharap kenyataan yang dibuat itu diteliti terlebih dulu.

Katanya, Ummah sudah menyembah maklum akan rasa gembira dan terima kasih mereka kepada Yang di-Pertuan Agong atas cadangan dan keputusan yang bijaksana kepada kerajaan bagi menangani pandemik Covid-19.

“Semoga hubungan di antara NGO dapat dijernihkan semula bagi menjadi kumpulan third force (kuasa ketiga) dan check and balance (semak dan imbang) yang berkesan serta bermanfaat kepada negara,” ujarnya.

Ummah juga katanya mengalu-alukan jika ada NGO yang ingin mendapatkan penjelasan terperinci dan permohonan maaf secara langsung daripada mereka.

Tembak dan toreh muka penduduk Palestin

Razali Awang

Tembak dan toreh muka penduduk Palestin


Terdapat kesan kecederaan akibat tikaman berkali-kali pada muka Tubasi dan salah satunya sedalam 20 sentimeter.

KUALA LUMPUR-Ismail Tubasi hanya bergegas untuk memadamkan api tetapi ditembak mati oleh pendatang Yahudi.

Berdasarkan kenyataan saksi dan kakitangan Hospital Shaheed Abu Hassan al Qassam, majalah +972 yang berpangkalan di Tel Aviv melaporkan mangsa terlebih dahulu dibunuh sebelum wajahnya ditoreh dengan objek tajam

Menurut doktor bertugas, terdapat kesan kecederaan akibat tikaman berkali-kali pada muka Tubasi dalam kejadian 14 Mei lalu.

Salah satunya sedalam 20 sentimeter.

Berdasarkan bukti yang dikumpul, Local Call sebuah platform berita bahasa Hebrew yang pertama melaporkan kejadian mendakwa perbuatan berkenaan dilakukan dengan diperhatikan askar Israel.

Ketika itu penceroboh Yahudi bertindak membakar hasil tanaman dan pepohon di bandar Al Rihiya, di Al Khalili, Tebing Barat.

Menyedari kejadian berkenaan, Tubasi bersama penduduk Palestin lain bergegas untuk memadam kebakaran.

Namun ketibaan mereka ditunggu lebih 50 pendatang Yahudi yang lengkap bersenjata api, kapak serta belantan.

Sebaik melihat orang ramai tiba untuk mengawal api, mereka melepaskan tembakan dan salah satunya mengenai Tubasi menyebabkan dia meninggal serta merta di tempat kejadian.

Dalam keadaan yang tidak lagi bernyawa, pendatang datang meluru dan menikam mukanya dengan objek tajam.

Salah seorang saksi, Kazem al-Hallaq, 62 tahun berkata ketika mendengar jeritan “api, mereka nyalakan api”, dia keluar dan nampak tentera hanya membiarkan perbuatan pendatang Yahudi.

Sedangkan usaha penduduk kampung untuk memadam kebakaran dihalang dengan bom asap dan tembakan peluru getah oleh pasukan itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada hari Tubasi ditembak mati, 11 penduduk Arab di Tebing Barat turut menjadi korban dalam bantahan besar-besaran di seluruh Israel dan Palestin.

Wanita hilang kerja, dihalau dari rumah cuba terjun dari tingkat 32 kondo

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tindakan pantas anggota bomba berjaya memujuk dan menyelamatkan seorang wanita yang cuba terjun dari tingkat 32 sebuah kondominium di Sungai Buloh, Selangor semalam akibat tertekan kerana dihentikan kerja dan dihalau dari rumah sewa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata, 19 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 7.52 malam Khamis.

“Setiba di lokasi, seorang wanita berada di tepi bangunan di tingkat 32 kondominium berkenaan dan cuba membunuh diri.

“Mangsa didapati mengalami masalah peribadi kerana kehilangan kerja dan dihalau dari rumah sewa,” katanya dipetik Harian Metro dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan penyelamat memasang tali keselamatan dan berjaya memujuk wanita itu menjauhi bahagian tepi kondominium itu.

Katanya, wanita itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohsin Abdullah

Raja-Raja Melayu sudah bertitah. Persoalan utama sekarang ialah apa langkah Muhyiddin Yassin bagi menyusuli “decree” atau dalam bahasa Melayu, dikri (ketetapan) diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong.

Apa yang akan atau mesti dilakukan Muhyiddin setelah Raja-Raja Melayu menetapkan tidak perlu darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos, tarikh yang dijadualkan ia berakhir. Rasanya mudah buat beliau patuh akan ketetapan itu.

Satu lagi ketetapan ialah Agong dengan sokongan Raja-Raja menitahkan Parlimen bersidang secepat mungkin. Kini tanggungjawab menasihati dan menyembahkan tarikh untuk Parlimen bersidang terletak atas bahu Perdana Menteri.

Pilihan yang ada ialah beliau boleh mengadap Agong dan memberi nasihat kepada baginda bila Parlimen akan bersidang semula setelah digantung kerana perisytiharan darurat Januari lalu.

(Perlu diingat Agong pada Februari lalu bertitah Parlimen boleh bersidang walaupun pada waktu darurat terpulang kepada perdana menteri menasihati baginda. Itu tidak dilakukan Muhyiddin kerana kerajaan sememangnya keberatan atau enggan ‘membuka semula’ Parlimen atas sebab atau alasan pandemik Covid-19)

Pilihan kedua Muhyiddin ialah beliau bolehlah dengar “nasihat” serta hujah sekutunya seperti Takiyuddin Hassan, Azmin Ali, mahupun Muhammad Faiz Na’aman dari Bersatu.

Mereka beranggapan apa yang diperkatakan Muhyiddin selama ini berhubung pembukaan semula Parlimen senada dengan ketetapan Raja-Raja pada Rabu lalu.

Malah Takiyuddin menarik perhatian rakyat bahawa “Agong tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan”. Kenyataan itu menyaksikan beliau dikecam kalangan warganet.

Bercakap di rancangan Bicara Harakah, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata “jika Agong minta bersidang, kita kena bersidang tetapi kita masih berdepan dengan Covid-19. Kalau ikutkan nak ada Parlimen, ia akan melibatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang termasuk wakil rakyat, pegawai mereka, petugas Parlimen dan lain-lain”.

Terpulang kepada Muhyiddin untuk melihat apa yang Takiyuddin katakan itu mempunyai asas atau tidak. Waullahualam.

Apa pun, mungkin Takiyuddin amat sibuk bertugas sebagai menteri mengenai hal ehwal Parlimen dan undang undang dan setiausaha agung parti sehingga beliau tidak sedar di beberapa negara bukan sahaja Parlimen bersidang, pilihan raya membabitkan jutaan pengundi turut dilaksanakan dengan keadaan Covid-19 berjaya dikawal dengan baik.

Oktober lalu, New Zealand mengadakan pilihan raya dengan wabak Covid-19 cukup terkawal. Lihat sahaja meriahnya Euro 2020 yang sedang berlangsung sekarang. Banyak lagi contoh di persada dunia membuktikan dengan perancangan berkesan, acara penting, termasuk sidang Parlimen dan pilihan raya, boleh diadakan dengan Covid-19 terkawal.

Justeru, sukar bagi ramai orang menerima Parlimen tak boleh bersidang kerana Covid-19.

Jadi, Muhyiddin perlu tepuk dada tanya selera. Benar, mengikut Perlembagaan, perdana menteri tidak terikat mahupun diwajibkan mematuhi ketetapan Agong. Namun, lazimnya nasihat atau titah Agong dituruti, khususnya yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Muhyiddin boleh sahaja berlengah-lengah atau mengabai dan ‘buat dak’ keputusan mesyuarat khas Raja-Raja dengan menggunakan alasan tertentu. Tetapi beliau tentunya tahu akibat dan kesannya. Bagaimana itu akan dilihat oleh rakyat. “Do it at your own peril,” bak kata Inggeris.

Raja-Raja juga bertitah mengenai penting dan perlunya negara mempunyai kerajaan yang stabil, kuat, telus, dan berfungsi dengan efektif terutama menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Seorang kawan lama menulis di Facebook: “Bahasa Istana itu indah tapi bermakna. Bijak menjaga aib semua pihak. Jelas yang tersirat dan tersurat. Semua wajib terima dengan ikhlas”.

Benar apa yang dikatakan beliau. Takkanlah Agong sebagai raja berperlembagaan mesti tunjuk arah dengan jelas dan mengajar buat itu, buat ini, begini dan begitu. Kerajaan khasnya perdana menteri lah yang mesti “sendiri mau ingat, sendiri mau tahu, sendiri mau buat”.

Kata Azlan Zainal dari Ilham Centre, juga menerusi Facebook, berhubung ketetapan Raja-Raja, antaranya: “Tujuh kebimbangan yang telah dimuktamadkan dengan tujuh pendapat yang jelas mewakili rakyat jelata wajar diambil berat dan perhatian serius. Ini bukti keprihatinan”.

Lalu Azlan menyarankan “maka usah bertaki lagi. Sila lakukan apa yang telah dipersetujui dengan kadar segera”.

Harap maklum “taki” bukan merujuk Takiyuddin, walaupun itu singkatan nama beliau dalam kalangan rakan-rakannya.

Kata Azlan, menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka, ‘taki’ ialah “bertaki, berbantah, berbahas, bertengkar”.

Namun petang semalam Pejabat Perdana Menteri atau PMO mengeluarkan kenyataan tiga perenggan bahawa kerajaan “mengambil maklum titah pandangan KBDYMM Yang di Pertuan Agong”.

Menurut kenyataan itu, perdana menteri pada sesi-sesi mengadap sebelum ini sudah memaklumkan kepada Agong semua perkembangan dan langkah yang diambil kerajaan khusus berhubung Covid-19. Disenaraikan secara ringkas apa yang telah dipersembahkan.

Kenyataan itu diakhiri dengan berkata “menjunjung titah KBDYMM Yang di-Pertuan Agong kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang”.

Dengan kata-kata ringkas sebegitu, Muhyiddin, pada hemat saya, membuka ruang untuk pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat mengenai tindakan susulan beliau.

Adalah mendukacitakan, khususnya untuk wartawan tua seperti saya, jika spekulasi terus bertebaran meskipun Agong dan Majlis Raja-Raja, masing-masing sudah mengeluarkan kenyataan cukup jelas mengenai langkah ke hadapan negara seterusnya.

Hipokrit!!? Cuba main wayang?

Lebih dua tahun, Tasik Chini masih belum diwartakan hutan simpan

Hariz Mohd

Kawasan seluas 4,600 hektar di Tasik Chini di Pekan, Pahang - yang dikatakan telah dijadikan hutan simpan kekal pada tahun 2019 untuk melindungi biodiversiti- belum diwartakan secara rasmi.

Malaysiakini difahamkan pewartaan itu tidak dibuat lebih dua tahun setelah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang memutuskan pada 6 Mac 2019 untuk mengisytiharkan Tasik Chini dan kawasan sekitarnya sebagai hutan simpan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Mohd Hizamri Mohd Yasin dalam satu kenyataan pada Ahad lalu berkata pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan Tasik Chini sebagai Hutan Perlindungan setelah pewartaan selesai.

Diminta menjelaskan hal tersebut, Hizamri berkata usaha mewartakan Tasik Chini sebagai hutan simpan masih berjalan.

"Ia dalam masa terdekat yang tidak dapat saya nyatakan sebab ia di bawah urusan Pejabat Tanah dan Daerah Pekan dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Pahang," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 14 Jun, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Chini, Pekan seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar berikutan kebimbangan aktiviti perlombongan yang boleh mengancam tasik berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail kemudiannya berkata kerajaan negeri akan mematuhi titah tersebut.

Namun, kawasan asalnya menghadapi halangan untuk secara rasmi ditukar sebagai hutan simpan kekal.

Ditanya mengapa perlu bertahun-tahun untuk mewartakan Tasik Chini sebagai hutan simpan, Hizamri berkata ini kerana "beberapa lesen melombong masih berkuatkuasa".

Lesen-lesen ini diberikan sebelum 2019 iaitu sebelum larangan dikenakan terhadap pengeluaran lesen baru.

Meskipun belum ada lesen baru dikeluarkan, mereka yang telah memperoleh lesen masih boleh melakukan aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.

Ketika ditanya apakah pewartaan tersebut hanya akan berkuatkuasa setelah semua lesen perlombongan tamat, Hizamri berkata: "Kita junjung titah Tunaku (Tengku Hassanal)."

Pejabat Tanah dan Galian Pahang mengatakan bahawa sebelum 'pewartaan' pada tahun 2019, sebanyak 14 lesen perlombongan telah dikeluarkan, di mana hanya dua yang masih sah.

Pejabat itu berkata kedua-dua lesen tersebut akan tamat tahun ini, termasuk satu pada akhir bulan ini.

'Kenapa ada lesen perlombongan masih aktif?'

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang merupakan bekas timbalan menteri air, tanah dan sumber asli, mempertikaikan penjelasan Pejabat Tanah dan Galian Pahang.

"Saya mengunjungi Tasik Chini pada bulan April 2019. Saya diberitahu bahawa hanya ada satu lesen perlombongan yang masih aktif dan akan tamat pada Oktober tahun itu.

"Kenapa sekarang, pada tahun 2021, terdapat dua lesen perlombongan yang masih aktif?" katanya kepada Malaysiakini.

Tengku Zulpuri berkata, dia mengesyaki masih banyak lesen perlombongan mungkin telah diluluskan setelah Pakatan Harapan tumbang tahun lalu, dan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

Seawal bulan lalu, usaha masih dilakukan untuk memulakan operasi perlombongan di kawasan tersebut.

Pada 3 Jun, Malaysiakini melaporkan Hanishah Ventures Sdn Bhd, sebuah firma yang berkaitan dengan kerabat diraja, sedang berusaha untuk memulakan operasi perlombongan di kawasan yang terletak kira-kira 3km dari Tasik Chini.

Kerajaan negeri Pahang telah memberikan pengecualian untuk perlombongan mangan, walaupun kawasan tersebut dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 2.

Di bawah kategori ini, kawasan tersebut boleh dibangunkan dengan syarat-syarat tertentu tetapi aktiviti perlombongan tidak dibenarkan.

Rancangan ini diketahui umum setelah melalui penilaian impak alam sekitar.

Isu tersebut menarik perhatian pemangku Raja Pahang, yang mengunjungi lokasi awal minggu ini dan meminta dihentikan semua aktiviti perlombongan di Tasik Chini.

Pejabat Tanah dan Galian Pahang dan Pejabat Menteri Besar Pahang tidak menjawab permintaan Malaysiakini untuk memberikan komen.

Tasik Chini, hutan belantara tropika yang subur dan kaya dengan biodiversiti, adalah tasik semula jadi kedua terbesar di negara ini.

Pada tahun 2009, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengisytiharkan kawasan itu, yang menempatkan ratusan spesies flora, ikan hidupan bukan akuatik sebagai salah satu kawasan rizab biosfera.

Aktivisalam sekitar memberi amaran bahawa Tasik Chini mungkin kehilangan status Rizab Biosfera Unesco sekiranya pencemaran di kawasan itu terus berlanjutan.

Umno tiru PAS main kayu tiga?

Kepada Khairul Faizi Mohd Kamil, Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor yang mulai resah gelisah dengan keadaan atau khabar angin yang kuat bergema yang memungkinkan perubahan kerajaan boleh berlaku.

Pesanan buat Khairul Faizi, jangan resah dan gelisah sebab sekiranya Pas boleh main kayu tiga, Umno juga boleh, sekiranya Pas boleh kahwin dua, Umno pun cuba buktikan perkara yang sama iaitu mereka mampu buat.

Apa yang nak resahkan inilah adat politik terkadang kita di atas dan terkadang kita di bawah. Takkanlah nak kita nasihatkan lebai-lebai yang kurang faham dalam Pas sekarang ini atau mungkin Pas sudah duduk dalam ‘panic room’ waktu ini.

Cuba kenang saat manis dengan isteri pertama kamu waktu Pas bermesra dengan Umno dan ketika itu hubungan itu intim sekali sehinggalah tiba ketika dan saatnya bila sudah menjadi kerajaan datang pula pasangan baharu yang kaya serta mempunyai ciri-ciri yang diidamkan selama ini.

Akhirnya kekasih lama iaitu Umno dilupakan kerana sibuk memetik kuntum mawar yang mekar. Hati siapa yang tak terguris bila kekasih hati ada orang ketiga dalam perhubungan, malah ia menjadi dendam.

Jadi, tidak salahlah Umno mencari pasangan lain untuk meneruskan kehidupan mereka selepas dinodai oleh Pas. Dari itu, Pas pun terpaksalah Umno tinggalkan untuk mencari keserasian baharu kerana Pas memang tidak boleh dipercayai.

Kesudahannya, matlamat Pas untuk mendapat habuan di Johor terutamanya tidak kesampaian kerana lempias dendam untuk dibalikkan kepada Pas.

Rasanya peribahasa sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang yang dicanang Pas itu hanya meludah ke muka sendiri.

Kepada Khairul Faizi, ukurlah baju dibadan sendiri. Janganlah meletak angan terlalu tinggi serta menuding jari terlalu banyak pada orang lain.

-Malaysia Dateline 

Penganggur kelar diri sendiri, ditemui berjalan berlumuran darah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganggur disyaki mengelar leher sendiri dalam kejadian di Jalan Bunga Cempaka, Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora, berkata kejadian itu disedari pada 9.45 pagi semalam oleh orang awam sebelum membuat panggilan kecemasan.

Katanya, lelaki itu dilihat berjalan menghala ke arah sebuah stesen minyak di Taman Pasak, Kota Tinggi dalam keadaan leher berdarah.

“Suspek difahamkan telah diselamatkan oleh pihak ambulans dan kemudiannya dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan.

“Suspek kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan,” katanya menurut laporan Kosmo.

Difahamkan, hasil siasatan awal mendapati lelaki itu berasal dari Felda Air Tawar 1 mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan satu kes pecah rumah serta tiga kes melibatkan penyalahgunaan dadah.

Susulan itu, polis merampas sebilah pisau berlumuran darah disyaki digunakan dalam kejadian cubaan membunuh diri itu.

“Buat masa ini, punca kejadian masih belum diketahui dan dalam siasatan polis. Kes disiasat bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri,” katanya.

Fahmi Redza kena lagi, kali ini didakwa fitnah MB Perak

Bernama

IPOH: Ketua Pemuda Umno Perak, Mohd Ariff Abdul Majid, membuat laporan polis berhubung poster dimuat naik di laman sosial Facebook dan Twitter yang disifatkan sebagai fitnah dan sengaja menimbulkan kebencian terhadap Menteri Besar Perak.

Mohd Ariff membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar kira-kira 4.15 petang tadi.

Menurut Mohd Ariff, poster berkenaan yang dimuat naik seorang pengguna media sosial, Fahmi Redza tular bersama kapsyen berbunyi “kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak” mengundang kecaman dan maki hamun pengguna media sosial yang lain.

“Ia termasuklah mendakwa Menteri Besar Perak Saarani Mohamad seperti angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar miskin di Perak.

“Untuk mendapatkan kepastian, saya merujuk klip video di laman Facebook rasmi Menteri Besar Perak dan mendapati ungkapan seperti tertera di poster yang dimuat naik Fahmi Redza adalah tidak benar dan tidak pernah disebut Saarani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ariff berkata, berdasarkan video sidang akhbar Saarani itu, beliau berpendapat Menteri Besar Perak itu sekadar memberi analogi mengenai sumbangan telefon pintar yang diberi oleh Yayasan YTL kepada kerajaan negeri Perak untuk disumbangkan kepada pelajar miskin.

“Beliau beranalogi untuk menggambarkan adalah tidak manis sekiranya kerajaan negeri menolak sumbangan telefon pintar berkenaan kerana ia diberi secara percuma untuk diagihkan kepada pelajar miskin bagi memudahkan mereka mengikuti kelas secara dalam talian.

“Sehubungan itu, adalah amat jelas, poster yang dimuat naik oleh Fahmi Redza adalah bersifat fitnah dan secara sengaja dibuat untuk menimbulkan kebencian,” katanya sambil menambah laporan polis itu dibuat agar siasatan dapat dilakukan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Anwar: Muhyiddin tahu nasihatnya pada Agong tak memuaskan

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, berkata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyedari nasihatnya kepada Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan minggu lalu sebenarnya tidak memuaskan baginda.

Dalam satu video di Facebooknya, Anwar berkata disebabkan itulah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Majlis Raja-Raja mengeluarkan pandangan dan titah semalam.

“Perdana Menteri menyatakan beliau telah sampaikan kepada Agong soal Covid-19, ekonomi, Parlimen dan darurat.

“Setelah dengar ini semua, Agong berpendapat, memberi pandangan dan titah sedemikian. Maknanya tidak memuaskan,” katanya.

Semalam, Raja-Raja Melayu berpandangan tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Majlis Raja-Raja Melayu juga bersetuju bahawa suhu politik yang semakin panas perlu diredakan dan “pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat.”

Dalam kenyataan menerusi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, Yang di-Pertuan Agong, dan lapan lagi Raja Melayu mengambil maklum bahawa angka jangkitan Covid-19 harian membesar walaupun negara bawah darurat.

Dalam pada itu, Anwar membidas kenyataan menteri-menteri mengatakan ekonomi negara pada masa ini dipacu dengan meyakinkan.

Beliau berkata, namun sebenarnya banyak rakyat ketika ini sedang mengganggur dan mempunyai masalah kewangan.

“Kita mewakili kawasan-kawasan setiap hari mendapat dengar keluhan orang kurang makan,” katanya.

Polis buru tahanan terjun sungai tangan bergari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis memburu seorang tahanan lelaki yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari ketika dibawa untuk menjalankan siasatan ke lokasi kes curi di Kampung Jias C, Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan, Isnin lalu.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, suspek ditahan di sebuah kedai runcit kerana dipercayai menjual barang dicuri dari rumah guru di kuarters Sekolah Kebangsaan Tohoi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata suspek berusia 24 tahun, bagaimanapun berjaya meloloskan diri dengan terjun ke dalam Sungai Betis di kampung itu sebelum masuk ke hutan.

Katanya, anggota polis cuba mengejar lelaki berasal dari Pos Tohoi itu sejurus kejadian dan kemudian menggerakkan operasi mengesannya selama tiga jam.

“Suspek dipercayai menjual barangan curi termasuk tong gas di sebuah kedai runcit dan barangan terbabit dipercayai dicuri dari rumah guru di kuarters Sekolah Kebangsaan Tohoi.

“Keesokan harinya (Selasa), kita (polis) dimaklumkan penduduk kampung ada terserempak dengan suspek dan suspek meminta tolong (orang awam) supaya memotong gari di kedua-dua tangannya tetapi mereka takut berbuat demikian.

“Suspek kembali lari ke hutan selepas itu dan ada orang awam turut memaklumkan suspek sempat balik ke rumahnya (di Pos Tohoi) untuk mengambil makanan serta pakaian sebelum lari semula ke hutan,” katanya menurut laporan Bernama.

Sik berkata, pihaknya juga sedang mengesan rakan suspek yang berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 223 serta Seksyen 224 kanun sama kerana melarikan diri daripada tahanan dan kecuaian mengakibatkan tahanan melarikan diri, katanya.

Covid-19 boleh berjangkit melalui kentut, percaya atau tidak?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Covid-19 boleh berjangkit melalui kentut – sesuatu yang bunyinya lucu, namun percaya atau tidak, logiknya berdasarkan virus berkenaan memang ditemui dalam najis manusia.

Pakar Perunding Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Alzamani Mohammad Idrose, berkata susulan itu gas yang keluar daripada kentut juga berisiko mengandungi virus maut berkenaan.

Katanya, virus sama juga merebak melalui gas pernafasan yang keluar dari paru-paru pesakit yang positif Covid-19.

“Namun, sebenarnya risiko jangkitan merebak daripada kentut adalah amat rendah kerana terdapat lapisan perlindungan berupa seluar dalam dan seluar yang dipakai.

“Saya menerima pertanyaan bagi isu yang kedengaran agak lucu tetapi ini membabitkan persoalan yang serius.

“Kesimpulannya, pengamalan prosedur operasi standard (SOP) adalah langkah terbaik untuk mencegah jangkitan kerana sentiasa ada tapisan di dalam pernafasan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau mengulas kenyataan pakar Pusat Kawalan Penyakit di Beijing, China yang memberikan pandangan bahawa risiko teramat rendah melainkan kentut dihidu dari jarak dekat daripada seseorang yang tidak memakai seluar.

Selain itu, pendedahan seorang doktor dari Australia mengenai virus yang tersebar melalui kentut mengejutkan banyak pihak.

Malah, beberapa doktor sebelum ini memberi amaran bahawa kentut mempunyai zarah kotoran kecil yang boleh menyebarkan bakteria dan menjadi punca jangkitan.

Alzamani berkata, kesimpulannya disebabkan itu semua orang perlu memakai pelitup muka dengan sempurna.

“Nasihat saya, patuhilah SOP, pakai pelitup muka dan elakkan berada di kawasan ramai orang.

“Jika kita lihat kepada trend terbaru, Covid-19 turut menjangkiti orang muda, jadi kita kena lebih berjaga-jaga,” katanya.

Jangan sampai raja murka

Atriza Umar

Sedari kecil, sejak di bangku tadika atau sekolah lagi kita telah diajar berikrar, melafazkan Rukun Negara.

Masih saya ingat lagi, selesai saja menyanyikan lagu Negaraku, semua pelajar perlu mengikut ikrar yang dibacakan oleh ketua pengawas di hadapan perhimpunan, dengan tegas dan sesungguhnya:

• Kepercayaan kepada Tuhan

• Kesetiaan kepada raja dan negara

• Keluhuran perlembagaan

• Kedaulatan undang-undang

• Kesopanan dan kesusilaan

Masihkah kita mengingatinya? Boleh jadi mereka yang seangkatan usia saya melalui situasi begitu ketika berhimpun pada awal minggu persekolahan, iaitu pada hari Isnin.

Betapa sedari awal usia di bangku sekolah, kita telah didedahkan mengenal dan berikrar (percaya dan meyakini) dengan lima Prinsip Rukun Negara itu.

Namun, sejauh mana kita semua, dari pemimpin hingga rakyat jelata, tidak kira golongan ‘kayangan’, netizen, marhaen mengaplikasikan prinsip tersebut dalam kehidupan?

Untuk kita sebagai seorang Islam, suka saya memetik maksud ayat-ayat Allah dalam Surah As-Saff ayat 2 dan 3:

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

Maka dengan itu, seharusnya kita menterjemahkan prinsip yang telah diikrarkan itu tanpa berdalih lagi.

7 perkara utama usul raja-raja Melayu

Sebagaimana kita rakyat ketahui, telah berlangsungnya Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang semalam, 16 Jun 2021.

Sebelumnya, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah, telah berkenan menerima mengadap 18 pemimpin politik kerajaan dan pembangkang secara bersemuka dan maya bermula 9 Jun hingga 15 Jun 2021.

Seri Paduka turut menerima mengadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Arifin Zakaria dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Dan ini merupakan kali kedua perbincangan khas raja-raja Melayu diadakan sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta pada 31 Jan 2019, yang mesyuarat pertama berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Selain itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pakar agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi.

Perjumpaan yang dihadiri oleh sembilan Raja Melayu itu telah mencambahkan pandangan dan menzahirkan pendapat secara terbuka lagi berterus terang bersama semangat saling menghormati.

Ia juga dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat ketetapan secara bijaksana.

Dalam pertemuan itu, raja-raja pemerintah mengemukakan tujuh perkara utama yang berbalik kepada kemaslahatan negara dan rakyat yang perlu ditangani segera iaitu:

1. Negara sedang menghadapi wabak Covid-19 dengan angka jangkitan harian yang besar meskipun telah berada dalam pemerintahan darurat.

2. Keadaan ekonomi dan kewangan negara yang membimbangkan.

3. Suasana politik negara yang tidak stabil.

4. Perpaduan rakyat yang semakin retak.

5. Kesusahan yang sangat dihadapi oleh rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

6. Suasana pekerjaan, suasana hidup dan suasana pembelajaran di sekolah dan pusat-pusat pengajian yang terjejas dan menimbulkan pelbagai kerumitan.

7. Umat Islam yang tidak dapat melakukan program-program ibadah di masjid dan surau terutama untuk menunaikan solat Jumaat. Demikian juga penganut-penganut agama lain yang turut terhalang daripada berpeluang melakukan urusan agama masing-masing.

Jika dilihat kepada perkara yang diketengahkan raja-raja Melayu itu, secara jelasnya ia adalah tentang keperluan rakyat ketika ini.

Dan tentunya, selama ini, kita sebagai rakyat sangat inginkan semua ini diambil peduli dan diberi perhatian.

Siapa lagi yang boleh diharapkan setelah pemimpin negara kita tidak mempedulikan terhadap apa yang sedang dilalui rakyat ketika ini, melainkan raja-raja Melayu?

Sampai bila nak berdolak-dalik?

Kepentingan dan maruah institusi berparlimen yang telah diragut oleh kepimpinan negara ketika ini sangat memberikan impak yang tidak baik bagi terhadap sistem demokrasi yang hebat dilaungkan sebelum ini.

Sewajarnya kerajaan yang ada sekarang mengambil sikap lebih telus dengan menerima hakikat bahawa keadaan rakyat dan negara sudah semakin teruk.

Sebagaimana raja-raja Melayu dalam pertemuan semalam bersepakat;

1. Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

2. Program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan karenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.

3. Program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

4. Kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat.

5. Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.

6. Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

7. Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

Menerusi kesepakatan raja-raja Melayu itu, seharusnya kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) perlulah sedar akan hal ini. Tidak perlu banyak berdalih lagi, kerana inilah masanya kerajaan mengaplikasikan lima Rukun Negara yang diikrarkan itu.

Sebagaimana kata Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, pandangan tersebut jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu terhadap segala keresahan serta kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini.

Akurlah titah bijaksana Yang di-Pertuan Agong

Dalam kenyataannya hari ini, Pertubuhan Ikram Malaysia menjunjung kasih titah, pendirian dan pandangan-pandangan yang dikemukakan dengan penuh bijaksana oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.

“Ikram merafakkan setinggi-tinggi penghargaan di atas keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu yang telah mendengar suara hati rakyat yang ditimpa pelbagai beban kesusahan akibat wabak Covid-19, keadaan ekonomi dan sosial yang membimbangkan dan suasana politik yang tidak stabil,” demikian kata Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Justeru, Ikram menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pendirian agar Parlimen segera bersidang sebagai mekanisme semak dan imbang untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat.

Beliau berkata, titah tersebut adalah sejajar dengan cadangan yang telah dikemukakan secara bersama oleh Ikram serta 40 rakan pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil pada 15 Jun 2021.

Jangan nafikan titah raja

Melihat kepada ulasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata, Tuanku hanya berpandangan supaya sidang parlimen diadakan secepat mungkin.

Walaupun dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong menyatakan agar persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin, dapat lihat di sini seakan Takiyuddin mempertikaikan saranan Majlis Raja-Raja Melayu itu.

Beliau yang juga ahli parlimen Kota Bharu itu berkata bahawa parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober, juga bertepatan dengan saranan “secepat mungkin” yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah.

Seharusnya beliau mengambil sikap menyarankan perdana menteri mengadakan segera sidang parlimen, bukan membalas dengan pandangan beliau yang seakan mahu bertangguh daripada melaksanakan titah tersebut.

"Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan supaya persidangan parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin. Perdana menteri kata pun September atau Oktober. Sekarang kita dah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September… sudah hampir. Pasti persidangan akan diadakan," katanya pada Bicara Harakah bertajuk “Proklamasi darurat: Berjaya atau sebaliknya” yang disiarkan secara maya.

Daripada kenyataan Takiyuddin itu juga dapat dirumuskan bahawa dirinya seakan menidakkan apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu, itu.

Justeru, kita sebagai rakyat perlulah bersuara menzahirkan amarah dengan menteri ini yang membuat kenyataan sedemikian yang ingkar kepada titah raja. 

Buka parlimen atau undur diri?

“Kalau dah dua kali ayah suruh mandi, faham-fahamlah,” selar bekas menteri pertanian, Ahmad Shabery Cheek kepada Takiyuddin melalui statusnya Facebooknya.

 Beliau yang juga merupakan senior kepada Takiyuddin di Universiti Malaya menyindir seolah-olah Takiyuddin buat-buat tidak faham dengan titah Agong agar diadakan segera sidang Parlimen.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi berharap tidak ada lagi taktik untuk melengah-lengahkan titah Yang Dipertuan Agong itu.

“Semoga PM ke-8 ini akan patuh pada titah YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Semoga tidak ada lagi delay tactic,” kata beliau menerusi facebooknya.

Dr Puad juga mendesak agar Menteri Luar daripada Umno, Hishammuddin Hussein turut mendesak kabinet supaya Kerajaan PN patuh kepada titah YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Presiden Pakatan Harapan turut menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong, bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Titah itu jelas menunjukkan bahawa perdana menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin,” kata PH.

Bagaimanapun menurut PH, jika Mahiaddin Md Yasin enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri.

Maka, segeralah bertindak wahai kerajaan PN!

Pulanglah sayangku!

Hmetro 

Agensi

KHAIRUDDIN menunjukkan gambar isterinya, Ervina. FOTO Agensi

KHAIRUDDIN menunjukkan gambar isterinya, Ervina. FOTO Agensi

Pekanbaru: Seorang lelaki dari Kampar, Indonesia tidak berputus, malah sanggup menawarkan 150 juta rupiah (kira-kira RM43,328) sebagai ganjaran kepada individu menemui isterinya yang hilang tanpa khabar berita sejak empat bulan lalu.

Tribunnews melaporkan Khairuddin atau mesra disapa Ucok Regar itu dikatakan pernah menawarkan ganjaran 75 juta rupiah (RM21,707) pada April lalu.

Namun, tiada individu yang tampil menyalurkan maklumat.

Isteri lelaki itu, Ervina Lubis, 40, juga masih gagal ditemui walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan penduduk Kampung Tanjung Sawit, daerah Tapung dan Kampar untuk menjejakinya hingga Khairuddin nekad untuk menaikkan jumlah ganjaran.

"Ya, saya beri ganjaran 150 juta rupiah dengan harapan isteri ditemui segera," katanya.

Ervina dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu ketika Khairuddin mengajak isteri dan anaknya ke sebuah pusat beli-belah di bandar Pekanbaru.

Khairuddin dikatakan menerima panggilan telefon daripada rakannnya dan beredar seketika ke Jalan Harapan Raya yang tidak jauh dengan pusat beli-belah berkenaan.

Sekembalinya ke pusat beli-belah itu, Khairuddin mendapati isterinya sudah tiada.

Anaknya memberitahu Khairuddin yang ibunya mahu ke tandas tetapi tidak kembali semula.

Khairuddin cuba mencari isterinya itu, tetapi tidak menemuinya dan akhirnya pulang ke rumah dengan anaknya.

Lelaki itu dikatakan sudah membuat laporan di Balai Polis Tampan, bandar Pekanbaru pada 19 April lalu dan disahkan oleh Ketua Balai Polis Tampan, Hotmartua Ambarita.

Pecat Takiyuddin kerana derhaka pada Agong

Malaysiakini 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan dipecat daripada jawatannya kerana 'derhaka' secara terbuka kepada institusi beraja.

Ini selepas Takiyuddin berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hanya menitahkan agar parlimen segera bersidang tanpa menetapkan tarikh yang tepat bilakah Dewan Rakyat perlu dibuka.

"Takiyuddin harus dipecat kerana tidak menghormati undang-undang dan derhaka secara terbuka terhadap raja dan harapan rakyat agar parlimen bersidang "secepat mungkin'" seperti yang dititahkan oleh Agong dan Raja-Raja Melayu semalam.

"Tindakan Takiyuddin memutarbelitkan titah 'secepat mungkin' dengan menyatakan Agong tidak menyatakan tarikh yang tepat atau bulan bila Dewan Rakyat harus bersidang, adalah tidak bertanggungjawab dan tidak jujur," kata Lim dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir berkata pihaknya akan membuat laporan membuat laporan polis berhubung kenyataan Takiyuddin hari ini.

"Berhubung dalih dan putar belit Takiyuddin berhubung titah YDPA, Pemuda PH akan buat laporan polis di IPD Dang Wangi petang ini.

"Kita gesa agar kebiadaban ini disiasat. #KerajaanBodoh," katanya di Twitter.

Semalam, Yang Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Bagaimanapun, Takiyuddin dalam sebuah program bual bicara yang disiarkan di media sosial malam tadi berkata, Agong hanya menitahkan agar parlimen segera bersidang.

Katanya, baginda tidak menitahkan bilakah tarikh yang tepat untuk parlimen kembali dibuka.

Agong boleh tetap tarikh Parlimen bersidang tanpa nasihat PM, kata Khalid

FMT Reporters

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa menetapkan tarikh sesuai untuk Parlimen bersidang semula tanpa perlu mendapatkan nasihat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, kata Khalid Samad.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat (Jawatankuasa Tamat Darurat) itu berkata, kuasa itu diperuntukkan di bawah Seksyen 14 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Sehubungan itu, patik semua memohon Agong memanggil sidang Parlimen pada Julai ini, iaitu ketika darurat masih berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan membayangkan masa “sudah hampir” untuk Parlimen bersidang selepas Agong menitahkan persidangan perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Katanya, Agong tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan, namun perdana menteri sudah mengumumkan sidang dewan rakyat boleh diadakan paling awal September ini. 

Tekanan Diraja sukar untuk PN lengahkan sidang Parlimen, kata penganalisis

Faye Kwan dan Ainaa Aiman 

PETALING JAYA: Penganalisis melihat titah diraja semalam untuk Parlimen bersidang semula sukar diabaikan kerajaan kerana ia bukan sahaja datang daripada Agong, tetapi juga Raja-raja Melayu.

Mereka berkata, ia akan dianggap tanda tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, jika titah itu tidak dipatuhi.

Mereka mendapati ia adalah kali kedua sejak perisytiharan darurat yang Agong menyuarakan pandangannya berhubung kepentingan untuk Parlimen bersidang walaupun ketika darurat. Kali pertama ialah Februari lalu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada pilihan kecuali mematuhi titah itu kali ini.

“PN tidak boleh mengabaikannya seperti yang dilakukan dahulu. Ia perlu tunduk kepada titah Seri Paduka, yang disokong raja lain,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, jelas baginya yang Agong dan Raja-raja Melayu benar-benar prihatin terhadap keadaan demokrasi dalam negara.

Beliau mendapati Agong cuba mengelakkan campur tangan dalam isu politik, tetapi menggesa sistem Parlimen berfungsi supaya nasib kerajaan semasa dapat ditentukan.

Awang Azman berkata, kenyataan bersama itu boleh dianggap isyarat Raja-raja percaya PN tidak mampu menguruskan pandemik. Ia turut mencerminkan pandangan semasa orang ramai yang darurat perlu ditamatkan, proses vaksinasi harus dipercepatkan dan ekonomi patut diuruskan dengan lebih baik.

“Tiada keraguan rakyat akan memantau dan menilai keadaan itu, khasnya berapa cepat kerajaan PN akan mematuhi titah diraja.”

Katanya, kerajaan perlu memandang serius titah Raja-raja Melayu dalam melakukan penambahbaikan diperlukan dan harus menunjukkan keberanian untuk mengakui kelemahannya.

Azmi Hassan, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia berkata, “arahan” daripada Agong bermakna PN perlu membuka semula Parlimen sebelum darurat tamat pada 1 Ogos ini.

“Jika kerajaan masih berdegil tidak membuka semula Parlimen disebabkan virus, ia akan menjadi langkah tidak pernah berlaku untuk tidak menghormati keputusan Agong,” katanya kepada FMT.

Katanya, kenyataan Agong mencerminkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kerajaan, dan beliau mendakwa ketidakpuasan itu meningkat sejak Putrajaya mengumumkan pelan pemulihan daripada pandemik Covid-19.

Semalam, Istana Negara dalam kenyataan berkata, Agong menyedari peranan penting Parlimen dalam menangani isu berkaitan Covid-19 dan mahu ia bersidang secepat mungkin.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, Raja-raja Melayu berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri bersidang semula secepat mungkin.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, penting untuk Raja-raja Melayu mengeluarkan kenyataan bersama bagi membantah darurat dilanjutkan.

Katanya, gesaan mereka mempunyai “kuasa sangat meyakinkan” terhadap kerajaan, walaupun mereka tidak boleh, secara teorinya, untuk tidak membenarkan darurat dilaksanakan.

“Jika kerajaan terus melanjutkan darurat, ia akan menjadi tanda tidak menghormati Raja-raja Melayu dan Muhyiddin tidak mahu itu berlaku.”

Katanya, ia tidak “membahayakan” PN untuk membuka semula Parlimen dan tiada apa yang perlu ditakutkan memandangkan usul tidak percaya masih boleh ditolak.

Warganet lancar petisyen online desak Muhyiddin letak jawatan

Mhdaily 

Gempar !!! Warganet lancar petisyen online desak Muhyiddin letak jawatan

Menjunjung titah dan menjunjung kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen bersidang dengan kadar segera.

Daulat Tuanku.

Rakyat tidak mahukan sebuah Kerajaan yang lemah dan rapuh seperti Perikatan Nasional.

Berdasarkan apa yang dizahirkan oleh Majlis Raja-Raja hasil perbincangan khas semalam, adalah jelas bahawa kata-kata Mahiaddin Md Yasin yang hanya mahu membenarkan Parlimen dibuka untuk bersidang pada September atau Oktober telah ditolak dengan dengan sendirinya.

Ayat kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang berbunyi “menitahkan agar Parlimen segera bersidang” manakala kenyataan media Istana Negara pula menyebut “persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin” adalah tanpa keraguan sangat mudah untuk difahami maksudnya kecuali jika kerajaan dan Mahiddin cuba untuk terus bersikap derhaka kepada Istana.

Memahami keperluan Parlimen dibenarkan bersidang secepat mungkin dan segera itu, bersekali dengan kedudukan politik yang difahami tidak stabil dalam negara dan pandangan Majlis Raja-Raja tentang perlunya sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil serta mendapat keyakinan, ini dengan jelas juga memberi maksud usul undi percaya atau usul undi tidak percaya mesti dibenarkan untuk dibentangkan serta tidak boleh dihalang lagi.

Keperluan kepada kerajaan yang kukuh dan stabil itu tidak lain bermaksud bahawa kerajaan PN yang ada sekarang adalah tidak kukuh dan tidak stabil serta tidak mendapat keyakinan daripada rakyat.

Selagi tiada usul tersebut, selagi itu kedudukan kerajaan dan Perdana Menteri terus diragui serta tidak menepati kehendak Majlis Raja-Raja berkaitan perlunya diwujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh di negara ini.

Kelemahan dan kerapuhan PN telah menyebabkan kesihatan rakyat dan ekonomi negara terabai.

Kes-kes Covid-19 tidak berkurang, sebaliknya bertambah. Malah keadaan ekonomi semakin menjunam.

Oleh itu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin harus letak jawatan.

Buka parlimen segera atau PM undur diri - PH

Malaysiakini 

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan jika gagal menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuka semula parlimen secepat mungkin, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Dalam satu kenyataan pagi ini, Majlis Presiden PH turut menjunjung kasih di atas titah Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa persidangan parlimen perlu diadakan segera.

"Sekiranya perdana menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa perdana menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

"Dan jika perdana menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; presiden Amanah, Mohamad Sabu dan pemimpin DAP, Lim Guan Eng.

Yang di-Pertuan Agong semalam menzahirkan pandangan bahawa parlimen harus bersidang semula secepat mungkin.

Bagaimanapun, menurut Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri harus menasihati baginda mengenai bilakah parlimen harus kembali bersidang.

Perintah Tetap Dewan Rakyat juga menyatakan bahawa perdana menteri perlu memutuskan sekurang-kurangnya 28 hari lebih awal untuk Dewan Rakyat kembali bersidang.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata parlimen boleh dibuka semula apabila pelan pemulihan negara berkaitan Covid-19 memasuki fasa ketiga.

Peralihan ke fasa ketiga akan dibuat selepas purata kes harian tidak lebih 2,000, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) mencukupi dan 40 peratus rakyat Malaysia mendapat dos vaksin penuh.Ia dijangka dapat dicapai pada bulan September.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berpendapat parlimen mungkin dibuka semula selewat-lewatnya pada September ini.

Dah sampai masa kerajaan PN undur cara 'terhormat'

Malaysiakini

Pelan Pemulihan Negara hanyalah penjenamaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak tahun lalu, kata Pemuda Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir, Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir dan Ketua Pemuda DAP Howard Lee memperbaharui gesaan mereka supaya kerajaan Perikatan Nasional supaya melepaskan kuasa.

"(Pelan) yang dibentangkan oleh perdana menteri (Muhyiddin Yassin) semalam adalah satu pelan kitar semula yang tidak merangkumi apa-apa tindakan baru untuk memulihkan negara daripada wabak pandemik Covid-19.

"Pelan itu hanya gah daripada nama, namun tidak mempunyai satu perancangan yang holistik untuk membawa negara keluar daripada masalah pandemik ini," kata mereka.

"Tiada langsung satu nilai tambah terhadap pelaksanaan PKP secara berfasa ini.

"SOP yang tidak jelas masih lagi menghantui rakyat. Pelbagai pengecualian diberikan kepada sektor ekonomi tidak memberi natijah yang baik terhadap pengawalan wabak Covid-19," kata mereka lagi.

Pemuda PH juga mengkritik pelan pemulihan empat fasa yang tidak langsung menyebut sektor pendidikan dan sektor-sektor lain yang terkesan teruk akibat wabak Covid-19.

"Sebagai contoh, kerajaan akan membenarkan 80% kapasiti pekerja kepada sektor ekonomi pada Fasa Kedua. Walhal sektor ekonomi lah menjadi penyumbang terbesar kepada kenaikan angka kes harian.

"Isu kebajikan rakyat dan bagaimana cara untuk meringankan beban rakyat langsung tidak diberi perhatian. Tiada sebarang inisiatif ataupun bantuan tambahan disentuh oleh kerajaan dalam pelan itu. Perancangan kerajaan terhadap program vaksinasi juga tidak disebut dengan jelas dalam Pelan Pemulihan Negara.

"Ini bermakna, rakyat dijangka akan terus merana sehingga penghujung tahun 2021 berdasarkan syarat nilai ambang yang diletakkan oleh pihak kerajaan," kata mereka.

Pemuda PH turut membangkitkan soal perdana menteri berulang-ulang kali menyatakan kerisauannya terhadap impak pandemik dan juga pelaksanaan “lockdown” terhadap ekonomi negara.

"Tanpa langsung menyatakan simpati dan juga kerisauan beliau terhadap kadar kematian yang kian meningkat sejak kebelakangan ini," kata mereka.

"Apakah nyawa rakyat sudah lagi tidak ada nilai pada mata penilaian perdana menteri," soalnya.

"Secara keseluruhan, kami dapati bahawa pelan ini merupakan satu tindakan melulu untuk membuktikan ‘keprihatinan’ kerajaan.

"Pelan ini secara tidak langsung telah membayangi Pelan Pemulihan Ekonomi 6R yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) pada pembentangan Belanjawan 2021 (April) yang lalu.

"Adakah Pelan Pemulihan Negara hanyalah sebagai satu ‘pelan kecemasan’ untuk menutup kegagalan Pelan Pemulihan Ekonomi yang lalu," soal mereka lagi.

Pemuda PH berkata pelan pemulihan itu hanyalah "satu pelan retorik untuk menutup kegagalan kerajaan dalam mengawal pandemik ini."

"Sudah sampai masanya untuk kerajaan memohon maaf dan berundur secara ‘terhormat’.

"Kembalikan semula kepimpinan yang mampu menerajui negara keluar daripada wabak pandemik Covid-19 serta masalah kemunduran ekonomi yang telah menghantui negara sejak setahun yang lalu," gesa mereka.

Muhyiddin semalam mengumumkan rancangan pemulihan yang menggariskan kriteria yang mesti dipenuhi agar sekatan Covid-19 dapat dilonggarkan dalam empat fasa.

Pada masa ini, hanya perkhidmatan ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi.

Walau bagaimanapun, kerajaan berharap dapat beralih ke Fasa 2 pada bulan Julai di mana beberapa sektor ekonomi akan dibenar beroperasi sekiranya kes harian purata jatuh di bawah 4,000 kes.

Putrajaya menjangkakan peralihan ke Fasa 3 menjelang bulan September di mana sektor sosial juga dijangka akan dibuka semula sekiranya kes harian rata-rata merosot di bawah 2,000 dan kadar vaksinasi mencecah 40 peratus.

Menjelang November pula, kerajaan mengharapkan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya jika kes harian rata-rata boleh turun di bawah 500 dan kadar vaksinasi mencapai 60 peratus.

Parlimen wajar bersidang sebelum tamat darurat, kata bekas speaker

Malaysiakini

Bekas speakar Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof parlimen bersidang dengan kadar segera tanpa perlu menunggu darurat tamat pada 1 Ogos.

Mohamad Ariff berkata demikian sebagai mengulas kenyataan rasmi Istana Negara dan kenyataan Penyimpan Mohor Raja-Raja.

"Pada pendangan saya, adalah wajar dan sesuai untuk Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) dan kabinet seterusnya memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen untuk bersidang dengan kadar segera sebelum berakhirnya tempoh darurat sekarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Petang tadi, Raja-Raja Melayu sependapat bahawa tiada keperluan meneruskan darurat selepas 1 Ogos.

Keputusan itu dicapai selepas Raja-Raja Melayu menghadiri perbincangan khas di Istana Negara hari ini.

Susulan perbincangan itu, Agong turut mengeluarkan kenyataan menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Mengulas lanjut, Mohamad Ariff berkata Seri Paduka Baginda menyuarakan pendapat yang jelas bahawa parlimen adalah platform penting untuk membincangkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Selain itu, katanya, parlimen juga penting bagi meneliti perbelanjaan - perbelanjaan untuk menangani pandemik dan kesempitan rakyat.

"Pendapat yang diberikan adalah amat wajar dan tepat sambil mencerminkan fungsi Agong di bawah Perlembagaan Malaysia, iaitu merangkumi hak Baginda untuk mendapat maklumat, dirunding dan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet dalam hal-hal negara.

"Apa yang disarankan juga selari dengan kehendak penting Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, ia itu Pengisytiharan Darurat dan Ordinan-Ordinan di bawahnya hendaklah dibentangkan di Parlimen.

"Ini semestinya bermakna sebelum tamatnya tempoh Darurat sekarang iaitu 1 Ogos 2021," katanya.

RAKYAT SERONOK KERANA TERBELA - MSO

Rakyat dari kalangan netizen nampaknya seronok dan gembira dengan pernyataan dizahirkan oleh Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja pada hari ini. Kenyataan dizahirkan oleh baginda dialu-alukan oleh rakyat. 

Nampak rakyat bahagia kerana mereka merasakan terbela setelah sekian setahun lebih merasakan teraniaya dan tertipu di bawah kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yassin yang disokong dengan padu oleh Tok Dor Hadi walaupun dari jendela IJN. 

Biarlah kalau Mahiaddin terus jadi perdana menteri (kerana dia muka tak malu), tetapi lakukan, laksanakan tuntutan dan kehendak rakyat seperti mana dizahirkan Agong dan Raja-Raja. Jangan berdalih dan mencari seribu helah yang muluk-muluk. 

Kita rakyat terima sesiapa sahaja jadi perdana menteri asalkan mereka ikhlas dan penuh komitmen dengan rakyat. Rakyat tidak memihak dan taksub kepada sesiapa, cuma apa yang mereka harapkan seorang pemimpin yang ada wawasan, meletakkan kepentingan rakyat dihadapan dan mentadbir penuh kejujuran. Yang tidak ada dosa dengan rakyat. 

Saya rasa apresiasi yang digambarkan rakyat itu sebagai MENJUNJUNG KASIH, berterima kasih kepada Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja. Setujukah rakan semua? Trims.

Agong: Sidang parlimen perlu diadakan segera

Malaysiakini 

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Kenyataan itu selepas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

"Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

"Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat," kata Ahmad Fadil.

Agong juga menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin, jelasnya.

Seri Paduka Baginda juga, kata Ahmad Fadil turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya "pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara."

"Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

"Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara," katanya lagi.

Raja-Raja Melayu: Tiada keperluan lanjutkan darurat lepas 1 Ogos

Malaysiakini 

Raja-raja Melayu sependapat bahawa tiada keperluan meneruskan darurat selepas 1 Ogos.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Raja-Raja Melayu menghadiri perbincangan khas di Istana Negara petang tadi.

Kenyataan itu hadir berasingan dengan kenyataan Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

"Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. 

"Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara

"Dalam semangat tersebut Raja-raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar parlimen segera bersidang," tambah kenyataan itu.

Hisap dadah pada usia 6 tahun

Agensi

Ginny Burton

Ginny Burton

Washington: Dia pernah melalui detik hitam sebagai penagih dadah sejak berusia enam tahun, namun ia tidak menghalang wanita ini berjaya di universiti.

Daily Star melaporkan, Ginny Burton, 48, pernah dipenjara tiga kali.

Ketika kecil, ibunya mengajarnya mengambil ganja dan ketika itu, ayahnya ditahan di penjara kerana rompakan bersenjata.

Dia mula menggunakan syabu ketika berusia 12 tahun.

Ginny yang kini mempunyai dua anak juga mendedahkan dia merokok sejak usia 14 tahun dan menyuntik heroin pada usia 21 tahun.

Ketika berusia 16 tahun, dia pernah diperkosa oleh pengedar dadah yang membekalkan bahan terlarang itu kepada ibunya.

Beberapa tahun kemudian, Ginny mula merompak pengedar dadah Mexico dengan menggunakan senjata.

"Sayalah orangnya. Saya mempunyai 17 rekod kesalahan.

"Saya bukan orang yang disenangi. Semua orang adalah mangsa dan pemangsa.

"Kamu tidak boleh bertahan. Kamu lebih suka mati daripada hidup. Saya menghabiskan sebahagian besar ketagihan saya dengan berharap seseorang akan 'mengakhiri' hidup saya," katanya.

Dia memutuskan untuk mengubah hidupnya selepas dipenjarakan dan meminta untuk dimasukkan ke dalam program pemulihan dadah.

Ginny akhirnya bebas daripada ketagihan dan kembali menimba ilmu.

Selepas menamatkan kursus perguruan di Seattle sebagai pelajar tertua di kelasnya, dia diterima untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Washington.

Pada tahun 2019, dia dianugerahkan biasiswa dan menyertai pasukan akademik universiti.

Setahun kemudian dinobatkan penerima anugerah biasiswa, Truman Scholar 2020 untuk Washington.

Kini, dia mempunyai kelulusan ijazah dan bidang sains politik, dan berharap dapat bekerja dalam bidang reformasi penjara.

Dr Musa Mohd Nordin: 'Pelan pemulihan hanya lengahkan masa sebelum gelombang baru tercetus'

Malaysiakini 

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan semalam, hanya melengahkan masa sebelum gelombang jangkitan baru melanda, berbanding benar-benar memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Berikut merupakan pandangan Pengerusi lembaga penasihat Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia, Dr Musa Mohd Nordin.

Musa berkata pelan itu “bersifat rambang” dan tidak berasaskan “sains yang baik”.

“(Ia) Tak akan meredakan pandemik, hanya melengahkan masa sebelum tercetus satu lagi gelombang Covid-19 apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan kelak,” katanya dalam satu rajutan Twitter.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan pemulihan yang menggariskan kriteria harus dicapai untuk pelonggaran sekatan. Pelan itu terbahagi kepada empat fasa.

Buat masa sekarang, hanya perkhidmatan ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, kerajaan berharap dapat memasuki fasa 2 pada Julai, dengan sejumlah lagi sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi jika purata kes harian kurang daripada 4,000 kes.

Fasa 3 pula dijangka pada September dengan sektor sosial juga dijangka akan kembali dibuka, jika purata kes harian jatuh ke bawah angka 2,000 dan kadar vaksinasi mencecah 40 peratus.

Menjelang November, kerajaan menjangkakan pembukaan semula ekonomi secara penuh, jika purata jangkitan harian kurang daripada 500 kes dan kadar vaksinasi mencecah 60 peratus.

Musa berkata, pelan pemulihan untuk meredakan wabak memerlukan pendekatan tangkas untuk mencari, membuat, mengesan dan mengasingkan kes positif, serta usaha-usaha sokongan yang lain.

“Ini perkara asas untuk pengurusan pandemik Covid-19 yang berkesan dan cekap,” katanya.

Tambahnya, keputusan untuk pembukaan semula ekonomi haruslah berasaskan sains dan realistik.

Kriteria yang harus diambil kira termasuklah jumlah kes Covid-19, kematian, kadar kebolehjangkitan, kapasiti penjagaan kesihatan, status vaksinasi dan pematuhan awam terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Kerajaan sebelum ini terpaksa bergelut dengan lonjakan kes Covid-19 sebanyak dua kali selepas terlalu awal membenarkan pembukaan semula ekonomi dan menarik balik sekatan.

Sementara itu Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata pelan pemulihan yang diumumkan hanya seperti tindak balas susulan pertemuan khas raja-raja Melayu yang akan berlangsung hari ini, berbanding pelan pemulihan yang sebenar.

“Jelasnya, siaran langsung Muhyiddin semalam tidak lebih sekadar tindak balas terhadap perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang akan berlangsung hari ini bagi membincangkan mengenai kegagalan kerajaan membendung penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pelan itu sangat mengecewakan dan tidak memberikan sebarang harapan kepada rakyat, sebaliknya hanya menawarkan kesamaran.

“Ia bukan tentang pemulihan negara untuk meletakkan kembali negara ini ke era prapandemik tetapi tentang cara untuk melandaikan lekuk wabak Covid-19,” katanya lagi. 

Israel serang wilayah Palestin

Malaysiakini 

Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada Rabu dengan mendakwa ia sebagai tindak balas ke atas pelepasan bom menggunakan belon daripada wilayah Palestin.

Serangan itu merupakan yang pertama sejak berakhirnya serangan rentas sempadan 11 hari lalu.

Menurut Reuters, pertempuran itu berlaku susulan perarakan oleh nasionalis Yahudi di Jerusalem Timur semalam, mengundang ancaman daripada Hamas yang memerintah Gaza.

Tentara Israel mendakwa serangan itu disasarkan ke atas markas Hamas di bandar Gaza dan selatan Khan Younis, dan dilaporkan berkata “bersedia untuk semua senario, termasuk pertempuran baru bagi menghadapi tindakan keganasan berterusan daripada Gaza”.

Israel mendakwa serangan bom terhadap mereka menyebabkan 20 kebakaran di padang terbuka berdekatan sempadan Gaza.

Jurucakap Hamas mengesahkan serangan Israel, dan berkata bahawa warga Palestin akan terus “bertahan dengan berani dan mempertahankan hak mereka serta tanah suci” di Baitul Muqaddis.

Beberapa jam sebelum itu, ribuan warga Israel berkumpul di Gerbang Damsyik di Kota Lama Jerusalem dengan mengibarkan bendera, sebelum menuju ke Tembok Barat suci Yahudi (Tembok Ratapan), mengundang kemarahan warga Palestin.

Israel menempati Jerusalem Timur selepas perang 1967, dan kemudian memperluas kawasannya - gerakan yang tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Ia mendakwa keseluruhan kota itu sebagai ibu kotanya. Warga Palestin pula menuntut Jerusalem Timur untuk menjadi ibu kota buat gagasan negaranya yang akan turut merangkumi Tebing Barat dan Gaza.

Sebelum perarakan pada Selasa, Israel memperkuat sistem pintasan peluru berpandu yang digelar Kubah Besi, sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan roket dari Gaza.

Tetapi, sehingga perarakan bersurai selepas waktu malam, tiada tanda serangan roket yang dibimbangi itu.

Parlimen setaraf pub, spa dan salon?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan Parlimen bersidang selepas negara memasuki Fasa III Pelan Pemulihan Negara seperti meletakkan lambang demokrasi negara itu setaraf pub, spa dan salon kecantikan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyifatkan ketetapan Putrajaya itu tidak masuk akal dan lebih mengelirukan apabila dimaklumkan pada Fasa III semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, kecuali aktiviti dalam senarai negatif yang mempunyai risiko tinggi menyebabkan penularan Covid-19.

“Adakah ini bermakna Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara diletakkan dalam senarai negatif sama seperti pub, spa dan salon kecantikan?” soal Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam kenyataan malam tadi.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa dan negara kini berada dalam Fasa I.

Katanya, kerajaan akan menimbangkan peralihan daripada Fasa I ke Fasa II apabila purata kes harian menurun ke bawah 4,000 kes; sistem kesihatan awam tidak lagi di tahap kritikal dan 10% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Muhyiddin berkata, negara akan beralih ke Fasa III jika purata kes harian menurun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa dengan kadar penggunaan katil ICU turun ke paras mencukupi dan 40% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Beliau turut memberikan komitmen bahawa Parlimen boleh bersidang semula dalam Fasa III Pelan Pemulihan Negara, iaitu sekitar September atau Oktober.

Beliau menjangkakan semua sektor ekonomi akan dapat dibuka seawal akhir Oktober apabila negara memasuki Fasa IV Pelan Pemulihan Negara dengan purata kes harian Covid-19 berkurangan kepada 500 kes ke bawah dan 60% penduduk lengkap dos suntikan vaksin.

Zahid mempersoalkan kaitan Parlimen dibenarkan bersidang semula dengan 40% populasi negara menerima dua dos vaksin, yang dianggarkan sekitar September atau Oktober ini, sedangkan semua Ahli Parlimen telah lama menerima vaksin Covid-19 dan sidang Parlimen sepatutnya selamat diadakan.

“Pihak manakah yang sebenarnya sengaja cuba menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat berkenaan prinsip demokrasi berparlimen?” soalnya.

Tambah beliau, Umno akan terus menggesa supaya Parlimen kembali bersidang secepat mungkin sebagai tonggak demokrasi terpenting negara.

“Parlimen sebagai sebuah badan legislatif mewakili suara serta hak rakyat dan badan perundangan tertinggi di Malaysia. Parlimen sebagai proses semak dan imbang terhadap perbelanjaan serta pentadbiran negara supaya ia telus dan jujur demi kepentingan rakyat,” katanya.

Pasangan jutawan maut dalam kolam renang

HASIF IDRIS


BANGKOK: Pasangan jutawan warga Thailand dan India, Rakeshwar Sachathamakul, 59, dan isterinya, Anshoo, 55, ditemukan mati di sebuah resort mewah di Koh Tao, Thailand.

Pasangan tersebut ditemukan maut di dalam kolam renang selepas mendaftar masuk beberapa jam, Jumaat lalu, bersama anak mereka, Ratish, 34

Menurut laporan polis, kamera litar tertutup (CCTV) resort itu tidak berfungsi semasa hari kejadian.

Ketua Polis Koh Tao, Kriangkrai Kraikaew berkata, pasangan itu menuju ke kolam renang untuk berenang, sementara, Ratish berjalan-jalan di kawasan pantai.

Beberapa minit kemudian, Ratish kembali ke resort dan menemukan mayat ibu bapanya yang sudah tidak bernyawa di dalam air.

Dia kemudian meminta bantuan daripada petugas keselamatan, namun tiada petugas di daerah itu ketika kematian berlaku.

“Pasukan penyiasat akan melihat punca yang menjadi penyebab kematian pasangan itu sama ada faktor kedalaman kolam renang sedalam tiga meter atau faktor kesihatan.

“Ini kerana, anaknya memberitahu ayahnya menghidap penyakit diabetes dan darah tinggi,” katanya.

Sachathamakul adalah pemilik bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Hotel Novotel Phuket Kamala Beach serta memiliki pangsapuri Bangkapi Mansion di Bangkok.

Difahamkan, sebelum ini ramai pelancong yang maut di resort itu.

Pulau Koh Tao merupakan destinasi pelancongan popular dalam kalangan pelancong kerana pantainya yang bersih, airnya yang jernih serta terumbu karang yang masih terpelihara. -AGENSI