"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jom sertai LANDAS, bantu remaja terpesong

Atriza Umar  

Alhamdulillah, hari Sabtu lalu (16 Mei 2009) ana berkesempatan mengikuti program Dakwah LANDAS-JAWI. Program bulanan yang dianjurkan oleh Unit Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah menjadi medan utama untuk sesiapa yang berminat turun ke lapangan dan bersedia menggerakkan Amar Maaruf Nahi Mungkar.

Sedari awal mengikuti program ini beberapa bulan yang lalu, banyak menyedarkan diri betapa kewajipan Amar Maaruf Nahi Mungkar itu adalah tanggungjawab bersama dan semua.

Selain itu, dengan mengikuti aktiviti LANDAS memberi peluang kepada diri mendekati remajamahupun belia bermasalah dan secara tidak langsung dapat membantu apa yang sepatutnya, dari segi kata nasihat juga peringatan.

Program yang dijalankan ini bermula dengan pendedahan awal mengenai aktivitiyang dijalankan oleh aktivis dan penggerak LANDAS yang disampaikan oleh Ustaz Kamaruddin Kassim dan Ustaz Anuar.

Kawasan sasaran dalam program bulan Mei ini ialah di tempat yang menjadi tumpuan pasangan anak muda mudi bercinta. Kawasan sasaran adalah di sekitar kawasan Taman Tasik Titiwangsa.

Dengan mendekati pasangan-pasangan yang duduk berduaan menghadap Tasik Titiwangsa dalam keadaan udara segar selepas hujan, maka kami yang telah dibahagikan dengan beberapa kumpulan memulakan pendekatan dakwah dengan memberi salam dan mengajukan soalan-soalan awal yang mesra bertanya khabar dan pasangan mereka.

"Ni isteri awak ke?" soalan ini juga adalah soalan-soalan awal yang dikemukakan untuk mengelakkan kemesraan pasangan tersebut diganggu gugat. Dan rentetan sepanjang ana bersama sahabat-sahabat aktivis LANDAS melakukan operasi dekati pasangan ini, tidak pernahlah yang menjawab, "Ya ini isteri saya." Melainkan banyak dalih yang diterima contohnya seperti; "Dia tunang saya", "Dia kawan saya je", "Kami akan berkahwin hujung tahun ni." Dan bermacam-macam lagilah yang terkeluar daripada mulut pasangan tersebut untuk menutup kesalahan mereka.

Operasi petang dijalankan oleh peserta-peserta bersama urusetia LANDAS. Dan di sebelah malamnya setelah usia sesi taklimat, para aktivis lapangan dibahagikan kepada empat kumpulan untuk turun ke lapangan dengan mengedar risalah juga mendekati mereka yang bermasalah. Operasi malam ini turut dibantu oleh Bahagian Operasi Institusi Berwajib.

Selain itu, Ustaz Anuar yang selaku Pengerusi bertindak LANDAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah merangka pelan tindakan perlaksanaan turun dakwah ke lapangan di setiap bulan yang bermula awal tahun ini.

Pelbagai situasi telah ana bersama aktivis-aktivis LANDAS yang lain alami. Mendekati remaja yang sangat sosial seperti pasangan bercinta, minum arak, hidu gam, ganja hinggalah yang telah melanjurkan diri ke perbuatan yang keji iaitu berzina dan mengandungkan anak luar nikah.

Dan baru-baru ini para aktivis LANDAS telah menziarahi 'satu lorong gelap' (untuk tujuan mendekati dan dakwah) di Kuala Lumpur yang dikenali dengan nama Lorong Haji Taib. Ingin ana berkongsi asal usul wujudnya nama itu.

Lorong Haji Taib adalah diambil dari nama asal seorang yang bernama Haji Mohamed Taib bin Haji Abdul Samad yang berasal dari Batu Sangkar, Bukittinggi Sumatera Barat (1858-1925).

Sudah berpuluh-puluh tahun kawasan Lorong Haji Taib dan kawasan sekitarnya menjadi buah mulut orang kerana terdapat ramai pelacur luar dan dalam negara yang berkediaman di sini. Selain itu banyak penagih dadah dan bapuk melakukan aksi-aksi mereka di kawasan ini.

Setelah sekian lama wujudnya 'lorong gelap' itu, namun pihak berkuasa dan berwajib masih tidak dapat membenteras perlakuan-perlakuan manusia-manusia yang terjerumus atau menjerumuskan diri ke kancah yang tidak diredai itu.

Maka pendekatan awal yang pihak urusetia dan para aktivis LANDAS bersama membuat pemetaan kawasan tersebut dengan mendekati sendirii para penghuni kawasan tersebut, apakah cara terbaik untuk menyelesaikannya.

Pihak LANDAS telah berbincang dengan pihak pengurusan Pusat Rumah Sinar Salam yang berpejabat operasinya di Lorong Haji Taib dan telah mendapat persetujuan secara lisan untuk bekerjasama untuk menempatkan petugas-petugas aktivis LANDAS bagi menyampaikan dakwah lapangan.

"Sudah masanya para pendakwah bersama kami turun bekerja untuk mentarbiyahkan mereka yang tersasar terlibat dalam perbuatan maksiat secara berhikmah. "Insya-Allah dalam masa terdekat ini pihak LANDAS Kuala Lumpur akan memulakan kerja-kerja dakwah di kawasan tersebut dengan melatih kemahiran dakwah lapangan. "Mereka akan ditempatkan ke kawasan tersebut dengan kerjasama pihak pengurusan Rumah Sinar Salam," begitulah ujar Ustaz Kamaruddin Kassim selaku Koordinator Urusetia Menangani Gejala Sosial.

Alhamdulillah setiap Operasi Latihan Dakwah Lapangan yang dijalankan usai kira-kira jam 12 tengah malam. Terima kasih ana ucapkan bagi pihak LANDAS kepada peserta-peserta yang setia mengikuti sehingga tamat program ini. Moga apa yang dipelajari hari dapat dipergunakan untuk manfaat bersama insya-Allah.

Justeru kepada sekalian pembaca yang ingin menyertai LANDAS bolehlah e-melkan terus kepada penulis - atriza_umar@yahoo.com

http://atriza.blogspot.com/

-harakahdaily-

Tiada ulasan: