FMT Reporters
PETALING JAYA: Lumba haram dan ubah suai secara berlebihan antara lapan kesalahan menjadi fokus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi khas motosikal bermula hari ini hingga 31 Dis depan.
Ketua Pengarahnya Aedy Fadly Ramli berkata kesalahan lain termasuk tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan melanggar isyarat lalu lintas, tidak memakai topi keledar dan kesalahan teknikal lain.
Menurut Aedy, operasi khas itu dilancarkan susulan statistik polis menunjukkan peningkatan kes kematian secara bulanan membabitkan motosikal iaitu sebanyak 1,908 atau 70%.
“Bagi menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh suku ketiga dan keempat tahun ini, strategi penguatkuasaan secara berfokus dilancarkan.
“Ini untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan