Bimbang hilang suami, wanita Kelantan tak saring kanser

Bernama

KOTA BHARU: Bimbang kehilangan suami dan menjadi beban kepada keluarga antara faktor menyebabkan ramai wanita di Kelantan tidak menjalani saringan awal kanser yang disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di negeri ini.

Pengarah LPPKN Kelantan, Zaharin Bakri, berkata setakat April lalu, hanya 130 wanita tampil menjalani ujian saringan kanser pangkal rahim dan payu dara di klinik Nur Sejahtera LPPKN.

Beliau berkata, angka itu sangat rendah berbanding negeri lain memandangkan terdapat kira-kira 500,000 golongan wanita di Kelantan yang mungkin berisiko mendapat penyakit berkenaan.

“Kebanyakan wanita Kelantan masih teragak-agak atau tidak cenderung melakukan saringan kanser kerana faktor itu, selain kurang cakna dengan perkhidmatan yang disediakan kerajaan kepada mereka sedangkan kanser payu dara dan pangkal rahim antara penyebab utama kematian wanita di negara ini,” katanya.

Zaharin berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Kelantan sempena Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita yang dirasmikan Tengku Puan Temenggung Kelantan Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman.

Beliau berkata, LPPKN menyasarkan sejumlah 500 wanita tampil menjalani ujian saringan kanser tahun ini bagi membantu lebih ramai wanita mengesan penyakit itu dengan lebih awal.

Katanya, hanya 350 orang tampil mendapatkan perkhidmatan saringan berkenaan tahun lepas dan ia satu perkembangan yang tidak sihat.

“LPPKN Kelantan pernah mengesan wanita seawal 20-an mengalami kanser payu dara di negeri ini dan berjaya mendapatkan rawatan susulan kerana penyakit dapat dikesan pada peringkat awal.

“Kerajaan menyediakan Program Subsidi Ujian Mamogram semenjak 2007 untuk kemudahan wanita di negara ini mendapatkan saringan secara percuma. Kita harap wanita Kelantan dapat manfaatkan perkhidmatan ini dengan sewajarnya,” katanya.

Zaharin turut menggesa kaum lelaki memainkan peranan aktif sebagai pendorong kepada isteri, ibu dan ahli keluarga wanita yang lain untuk tampil menjalani saringan demi kelangsungan dan kesejahteraan sesebuah keluarga.

Katanya, pihak LPPKN akan terus memperkasakan sebaran berhubung perkhidmatan berkenaan kepada rakyat di negeri ini termasuk menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi lain, selain kempen secara berterusan.

Pertunjukan fesyen pakaian renang pertama di Arab Saudi

AFP
PERTUNJUKAN tepi kolam renang yang menampilkan rekaan pereka fesyen Maghribi, Yasmina Qanzal. FOTO AFP
PERTUNJUKAN tepi kolam renang yang menampilkan rekaan pereka fesyen Maghribi, Yasmina Qanzal. FOTO AFP
Riyadh: Arab Saudi mengadakan pertunjukan fesyen pertama membabitkan pakaian renang, semalam.

Pertunjukan tepi kolam renang yang menampilkan rekaan pereka fesyen Maghribi, Yasmina Qanzal itu, termasuk 'sut sehelai' dalam warna merah, kuning air dan biru.

Kebanyakan model juga mendedahkan bahu dan sebahagian bentuk badan lain.

"Memang negara ini sangat konservatif tetapi kami cuba menunjukkan pakaian renang elegan yang mewakili dunia Arab.

"Apabila kami datang ke sini, kami difahamkan bahawa pertunjukan fesyen pakaian renang di Arab Saudi adalah detik bersejarah, kerana ia adalah kali pertama diadakan acara sebegitu," kata Qanzal.

Pertunjukan itu berlangsung pada hari kedua Minggu Fesyen Laut Merah yang julung kali diadakan di Pusat Peranginan Laut Merah St Regis, yang terletak di luar pantai barat Arab Saudi.

Resort itu adalah sebahagian daripada Red Sea Global, salah satu projek mega menerusi program reformasi sosial dan ekonomi Wawasan 2030 Arab Saudi.

Wawasan 2030 Arab Saudi dipantau oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Putera Mohammed, yang menjadi pewaris takhta pertama pada 2017, memulakan satu siri pembaharuan sosial yang dramatik dalam usaha untuk 'melembutkan imej keras' Arab Saudi.

Perubahan itu termasuk mengetepikan 'polis agama', memperkenalkan semula pawagam dan menganjurkan festival muzik dengan membenarkan wanita dan lelaki bercampur.

Shouq Mohammed, seorang pempengaruh fesyen Syria yang menghadiri pertunjukan pada Jumaat itu berkata, ia tidak menghairankan memandangkan percubaan Arab Saudi untuk mengembangkan sektor fesyen dan pelancongannya.

Raphael Simacourbe, seorang pempengaruh Perancis yang turut hadir berkata, tiada apa-apa yang berbahaya pada pandangannya, tetapi dalam konteks Arab Saudi, ia adalah satu pencapaian besar.

"Itu sangat berani daripada mereka untuk melakukan (acara) itu hari ini, jadi saya sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripadanya," katanya.

‘Transporter’ bawa PATI maut, kereta terbabas rempuh pokok

AIMUNI TUAN LAH
Keadaan kereta dipandu mangsa yang terbabas merempuh sebatang pokok di Kilometer 46 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Musang semalam.- Foto PDRM
GUA MUSANG – Seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) maut selepas kereta yang dia pandu terbabas sebelum merempuh pokok di Kilometer 46, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, pemandu kereta jenis Proton Saga yang berusia 51 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati lelaki itu membawa empat PATI iaitu dua lelaki dan dua wanita berusia 23 hingga 28 tahun dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri dan merempuh pokok.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta meninggal dunia di lokasi, manakala keempat-empat PATI tidak cedera. Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana warga asing terbabit gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah. – KOSMO! ONLINE

Pas dikecam balun polis bukan fahaman ekstremis

Harapandaily

Orang ramai mengecam Pas yang mempersoal tahap siap siaga pasukan keselamatan ekoran kejadian serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru.

Rata-rata menyifatkan pembangkang sepatutnya menyuarakan penolakan terhadap fahaman ekstremis yang telah meragut dua nyawa anggota polis itu.

Sebaliknya, Pas seolah-olah mengambil kesempatan dan menjadikan tragedi pada jam 2.45 pagi semalam sebagai modal untuk menyerang Kerajaan Madani.

“Apa-apa ambil advantage untuk serang kerajaan sebagai modal penyokong dalam media sosial. Dalam keadaan begini sepatutnya beri sokongan kepada pihak polis dan juga semangat kepada ahli keluarga mangsa tapi apa-apa hal bantai dulu Kerajaan ni baru betul-betul pembangkang yang bijakasana,” sindir pengguna X, @AwatifWardina.
Jenazah Muhammad Syafiq Ahmad Said selamat tiba di rumah bapa Allahyarham di Taman Seri Mahkota Jaya,  Batu 11, Jalan Kuantan-Gambang, Kuantan hari ini.
Dalam masa sama, ada yang berpendapat kenyataan mengejutkan daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu susulan peralihan undi polis dan tentera kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu lalu.

“Adakah Pas marah dengan PDRM kerana tak dapat undi di KKB?

“Sebab tak dapat undi, Pas persoalkan pula anggota Balai Polis Ulu Tiram,” luah pengguna X,@BadBoy2662.

Malah, reaksi Pas itu juga diharapkan warga maya dapat mencelikkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Harap 100% undi anggota PDRM akan beralih PRU nanti. Bukan nak simpati pada anggota dan pasukan, tapi pergi serang lagi. Beginikah anda nak jadikan sebagai pemimpin negara sekali lagi?,” kata pemilik akaun X, @FiqRSSB.

Takiyuddin menerusi kenyataan semalam mempersoal tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan sehingga membolehkan perkara malang itu berlaku.

Dia mendakwa tahap kesiapsagaan lemah di pintu masuk balai polis sehingga suspek boleh meloloskan diri dengan mudah.

Selain itu, Pas berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberi komitmen tegas bahawa insiden tersebut tidak akan berulang lagi.

Gadis pakai bikini jual durian

KOSMO!

BANGKOK  – Seorang gadis menggunakan strategi perniagaan  yang unik apabila dia menjual durian dengan memakai bikini di sebuah pekan di Thailand, lapor portal berita VnExpress semalam.

Gadis dikenali sebagai Aum itu berumur 22 tahun. Dia menjual durian di pekan Kamphaeng Phet dengan memakai pakaian renang. 

Aum turut menjemput rakan-rakan  untuk membantu dia berniaga walaupun mereka memilih untuk tidak memakai pakaian provokatif sepertinya.

Dalam wawancara bersama portal berita ThaiRath, Aum menafikan dia menjadi daya tarikan pelanggan untuk mengunjungi kedainya.

Gadis itu berkata, antara produk kualiti unggul di kedainya adalah durian Monthong dari ladang terkenal di wilayah Rayong, timur Thailand.

Dia menolak kritikan mengenai pakaian bikininya. Aum berkata, gaya pakaiannya yang provokatif adalah pilihan peribadi.

Selain menjual  durian, Aum juga bekerja sebagai model glamor dan fotonya banyak terdapat dalam akaun Facebooknya. – AGENSI

(Gambar) Guru tadika duduk atas badan budak, paksa makan oren

Agensi
TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan insiden berkenaan.
Hanoi: Seorang guru tadika di Vietnam mencetuskan kemarahan ramai selepas dia duduk di atas seorang budak lelaki berusia lima tahun, bagi memaksanya makan oren, lapor South China Morning Post (SCMP).

Kelakuan guru itu, Lam Thi Bach Nga, yang juga pemilik Tadika Ti Bo di Ho Chi Minh City, dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) pada 11 April lalu.

Dia kelihatan memukul budak lelaki itu sebelum memaksanya makan buah itu dengan menolak kanak-kanak berkenaan ke lantai sebelum duduk di atasnya.

"Melihat anak saya ditekan dan dipukul, saya berasa sangat sedih. Saya menggeletar seluruh badan apabila melihat klip video itu," kata ibu kanak-kanak itu, Thanh Hong.

Dia berkata, kesihatan fizikal anaknya kini stabil, tetapi dia masih resah dan tidak tenang.

"Dia sering menangis dalam tidurnya.

"Pihak pengurusan tadika pernah memastikan kami guru di sini tidak pernah memukul kanak-kanak. Saya tidak pernah menyangka anak saya akan didera oleh gurunya," katanya lagi.

Ibu kanak-kanak itu berkata, anaknya akan tinggal di rumah sehingga dia berasa lebih baik dan boleh kembali ke sekolah.

Selain itu, video itu juga menunjukkan guru menolak seorang lagi budak lelaki ke sudut kelas.

Dia menampar mukanya dan memukul kepalanya dengan objek plastik, bagi tujuan menghukumnya kerana memecahkan mainan.

Pihak berkuasa tempatan sudah mengarahkan tadika itu menangguhkan operasinya selepas insiden itu terbongkar.

Pihak terbabit juga mencadangkan ibu bapa memindahkan anak-anak mereka ke taska lain.

"Kami akan menangani kes itu dengan serius dan pastinya tidak akan menunjukkan sebarang kelonggaran," kata Lam Dinh Thang, seorang pegawai kerajaan tempatan.

Guru itu cuba menawarkan pampasan kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu, tetapi persetujuan tidak dicapai, kata laporan itu.

Tidak jelas apakah hukuman yang akan diterimanya.

Kereta terbakar akibat tindak balas sebuah telefon bimbit dengan wap petrol

Tak sangka telefon di tempat duduk hadapan jadi punca

Harapandaily

Seorang pemandu berputih mata apabila kereta Proton Wira Aeroback miliknya terbakar dan meletup ketika sedang mengisi petrol.

Insiden mengejutkan itu berpunca dari cetusan api bermula pada bahagian tempat duduk hadapan penumpang kiri.

Cetusan api itu dipercayai akibat tindak balas sebuah telefon bimbit dengan wap petrol yang berada di dalam kereta terbabit.

Hasil siasatan forensik itu disahkan Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop.

Kejadian berlaku ketika pemandu kereta berkenaan sedang mengisi minyak di Repoh, Kangar kira-kira pukul 4.10 petang semalam.

Akibatnya, lelaki berusia dalam lingkungan umur 40-an itu cedera selepas terkena serpihan cermin kenderaannya.

“Bahagian tangki tiba-tiba meletup mengakibatkan kenderaan terbakar, namun berjaya dipadam sepenuhnya 15 minit kemudian,” kata Yusharifuddin lagi.

Lebih Gempar: Dua ditahan cuba masuk Istana Negara bawa parang dalam kereta

Malaysiakini

Polis semalam menahan dua lelaki yang cuba memasuki Istana Negara, dengan sebilah parang di dalam kereta mereka.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa, kejadian berlaku kira-kira 4.40 petang ketika suspek tiba di Pintu 3 Istana Negara dengan menaiki Perodua Kembara.

Katanya, mereka memberitahu anggota polis yang bertugas mahu berjumpa Yang di-Pertuan Agong. Setelah diperiksa, sebilah parang ditemui di dalam kenderaan suspek.

“Susulan pemeriksaan, pihak polis telah menahan orang lelaki warganegara tempatan berumur 29 tahun dan 37 tahun.

"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif. Kes disiasat dibawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaandan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya1958.

"Kesemua suspek ditahan reman selama hari mulai 18 sehingga 21 Mei 2024bagi tujuan siasatan lanjut," kata Rusdi dalam satu kenyataan hari ini.

Polis turut menggesa orang ramai untuk tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tidak pasti mengenai kejadian itu.

Ini bukan kali pertama kejadian percubaan menceroboh istana berlaku.

Pada 2020, seorang bekas pekerja hotel dipenjara lima bulan kerana cuba memasuki istana Johor.

Pada tahun yang sama, seorang pemandu lori ditahan kerana cuba merempuh kenderaannya ke pintu pagar Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak. Suspek, Muhammad Lokman Mohamad Termizi, didapati memiliki pistol mainan, dan sebilah pisau selepas ditahan.

Dia kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara dua tahun sembilan bulan.

Tahun lalu, seorang peniaga roti canai dipenjara sebulan, dan didenda RM500 kerana cuba memasuki Istana Negara.

PAS tunjuk ia patut terajui PN

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata, PAS cuba menunjukkan ia patut menerajui Perikatan Nasional (PN) ketika pengaruh Bersatu dianggap merosot.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kekalahan PN dalam PRK Kuala Kubu Baharu minggu lalu membuktikan Bersatu semakin lemah “hari demi hari”.

PN mempertaruhkan Khairul Azhari Saut daripada Bersatu pada PRK 11 Mei lalu yang tewas kepada calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao dengan majoriti 3,869 undi.

“PAS menunjukkan cita-cita kepimpinan mereka dalam PN dengan menegaskan tiada rundingan rasmi untuk menamakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bagi PN,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, PAS berhak memimpin gabungan itu berdasarkan jumlah wakilnya yang lebih ramai di Parlimen.

“Muhyiddin nampaknya juga hilang visi dan misinya. Kurang (kepimpinan) seperti ini akan menyebabkan PN tumbang dan seterusnya PAS.”

Minggu lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PN belum memutuskan calon perdana menterinya bagi PRU16.

Katanya, soal sama ada Muhyiddin kekal calon PN belum dibincangkan dan setiap parti komponen dalam gabungan itu perlu mengemukakan calonnya.

Ketua Penerangan PN, Azmin Ali sebelum itu mendakwa gabungan berkenaan hanya mempertimbangkan Muhyiddin sebagai calonnya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, beliau tidak nampak sebarang ketegangan antara PAS dan Bersatu, tetapi kedua-dua parti itu dilihat bergelut dengan cabaran tersendiri ketika ini.

“Di kedua-dua pihak, wujud (masalah),” katanya memetik siasatan dan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas beberapa pemimpin pembangkang antara cabaran dihadapi mereka.

Beliau berkata, wakil rakyat pembangkang turut bergelut dengan masalah kekurangan dana untuk kawasan masing-masing. Jika masalah itu tidak diselesaikan, ia boleh membawa kepada isu lebih besar buat PN kelak.

Tokan dadah selamba bawa heroin lebih 9 kg naik motosikal

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Ipoh: Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah menerusi penahanan seorang penganggur yang sedang menunggang motosikal sambil membawa dadah disyaki heroin seberat lebih 9 kilogram (kg) di kawasan sekitar perumahan Taman Pengkalan Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata heroin dianggarkan seberat 9,200 gram (g) dengan nilai dianggarkan RM115,000 itu ditemukan berada dalam beg galas berzip yang diletakkan dalam raga hadapan motosikal yang dinaiki suspek lelaki berumur 47 tahun itu.

Menurutnya, penahanan suspek dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, aktiviti pengedaran dadah yang disyaki untuk edaran di pasaran tempatan negeri Perak itu juga dipercayai mula aktif tidak sampai setengah bulan iaitu sejak awal bulan ini atau Mei 2024.

"Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai beg

galas berzip yang di dalamnya terdapat 20 bungkusan plastik lutsinar dadah dipercayai jenis heroin dengan anggaran berat 9,200 g yang dianggarkan bernilai RM115,000 yang berada dalam raga hadapan motosikal yang dinaiki.

"Semasa tangkapan dilakukan, suspek sedang berhenti di kawasan parkir. Ketika ditahan, dadah itu sedang dibawa dari sekitar bandaraya Ipoh ini ke kawasan Pengkalan Jaya untuk tujuan pengedaran," katanya dalam kenyataan petang ini.

Menurutnya lagi, justeru suspek bukan diupah membawa dadah namun sebaliknya merupan salah seorang ahli sindiket pengedaran dadah yang aktif, dengan anggaran jumlah dadah yang dirampas itu boleh menampung keperluan seramai 12,000 penagih dadah.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain semakan turut mendapati dia mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 19 Mei ini (Ahad) bagi membantu siasatan, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Nepal haram produk rempah dari India selepas Hong Kong, Singapura

BHarianonline 

KATHMANDU: Nepal menjadi negara terbaharu mengharamkan pengimportan dan penjualan dua jenama rempah terkenal India, selepas timbul laporan mendakwa produk itu mengandungi racun perosak penyebab kanser, kata seorang pegawai hari ini.

Ia selepas Hong Kong dan Singapura bulan lalu, mengharamkan produk rempah keluaran syarikat Everest dan MDH masing-masing dua jenama popular dari India selepas mengesan ia mengandungi etilena oksida.

Selain digunakan sebagai racun perosak, etilena oksida digunakan untuk mensteril peralatan perubatan dan berfungsi sebagai agen pensterilan dalam rempah untuk mencegah penyakit yang disebabkan bakteria salmonella dan E.Coli.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat, pendedahan yang kerap kepada sebatian tidak berwarna dan tidak berbau itu berisiko meningkatkan kanser sel darah putih.

Ketua Jabatan Teknologi Makanan dan Kawalan Kualiti Nepal, Matina Joshi Vaidya, berkata keputusan untuk melarang penjualan rempah berkenaan berkait isu kesihatan awam.

"Ia adalah isu kesihatan awam. Kami telah mengharamkan import dan penjualannya mulai Khamis.

"Kami tidak mempunyai sumber makmal untuk menjalankan ujian di negara ini. Larangan itu akan ditarik balik selepas pihak berkuasa India mengisytiharkannya selamat," katanya.

Untuk rekod, Nepal mengharamkan empat produk merangkumi tiga varian yang dikeluarkan oleh MDH dan satu lagi oleh Everest.

MDH dan Everest adalah dua jenama rempah paling terkemuka di India dengan masing-masing menguasai pasaran sebanyak 16 dan 10 peratus pada 2022, menurut pemantau penyelidikan pengguna Statista.

Larangan itu mendapat respon daripada kedua-dua syarikat yang menafikan produk mereka mendatangkan bahaya kesihatan kepada pengguna.

"Kami menjelaskan dan menyatakan dengan tegas bahwa dakwaan ini tidak benar serta kekurangan bukti kukuh," kata MDH di platform X bulan lalu.

Lapor stesen penyiaran NDTV, agensi kawal selia makanan India meminta pihak berkuasa negara itu menjalankan ujian rawak terhadap produk rempah terbabit. - AFP

Selamat tinggal Liverpool

BHarianonline 
Matip  (kanan) akan meninggalkan Liverpool pada hujung saingan musim ini. Foto REUTERS
Matip (kanan) akan meninggalkan Liverpool pada hujung saingan musim ini. Foto REUTERS
LONDON: Tonggak pertahanan, Joel Matip dan pemain tengah, Thiago Alcantara akan meninggalkan Liverpool pada hujung saingan musim ini, kata kelab Liga Perdana Inggeris itu, hari ini.

Matip yang menyertai Liverpool secara percuma daripada kelab Jerman, Schalke 04 pada 2016 sudah membuat 201 penampilan bersama kelab itu.

Pemain berusia 32 tahun itu menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Liverpool pada 2019 dan merangkul gelaran liga setahun kemudian.

Matip mengalami kecederaan ligamen lutut anterior (ACL) pada Disember lalu yang menyaksikan dia terpaksa melupakan baki saingan musim ini.

"Saya tidak pasti saya pernah menemui ramai ramai pemain yang lebih disayangi daripada Joel Matip," kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp dalam satu kenyataan, hari ini.

"Kami bersyukur dia bersama kami selama yang mungkin dan kini apa yang boleh kami lakukan adalah mendoakan kesejahteraannya pada masa depan."

Sementara itu, Matip menyifatkan dia melalui lapan tahun yang hebat bersama skuad The Reds.

"Kami meraih pencapaian yang hebat bersama dan mempunyai peminat terbaik di dunia.

"Saya berterima kasih di atas kenanangan terindah bersama individu unik yang menyokong kelanb dan peminat yang menyaingi Liverpool FC," katanya.

Dalam pada itu, Thiago yang menyertai Liverpool daripada Bayern Munich pada 2020 sudah membuat 98 penampilan bersama kelab itu.

Dia membantu Liverpool merangkul gelaran Piala FA pada 2022.

Kecederaan menyaksikan dia hanya membuat penampilan sebanyak 28 kali dalam musim 2022/2023 dan dia terpaksa diketepikan untuk hampir semua perlawanan bagi kempen 2023/2024 susulan kecederaan pinggul dan otot. - REUTERS

Tangkapan tak sah, doktor dapat ganti rugi

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menganugerahkan ganti rugi RM145,000 kepada seorang doktor atas penangkapan salah dan pelanggaran hak apabila polis menyerbu rumahnya di Seri Kembangan, hampir tiga tahun lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan berkata Dr Ranjeet Singh berjaya membuktikan kesnya terhadap kerajaan dengan imbangan kebarangkalian.

“Defendan gagal melindungi hak plaintif dalam Perlembagaan,” katanya dalam keputusan yang disampaikan kepada kedua-dua pihak menerusi emel.

Ranjeet juga dianugerahkan RM13,000 sebagai kos.

Dalam kenyataan tuntutan yang difailkan pada 21 Jun 2023, Ranjeet berkata beliau sedang tidur pada 1 pagi, 12 Ogos 2021, apabila sekumpulan polis menyerbu rumahnya di Green Park Residence.

Katanya, ketika ditangkap, beliau dilayan secara tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, polis terlibat juga gagal memaklumkan sebab penangkapan dan tidak mematuhi Seksyen 23 Kanun Tatacara Jenayah kerana tiada alasan yang munasabah untuk mereka menjalankan serbuan dan menangkapnya.

Ranjeet mendakwa beliau mengalami gangguan tekanan pasca-trauma selepas kejadian itu.

Beliau menamakan pegawai penyiasat, pegawai serbuan, kerajaan, dan ketua polis negara sebagai defendan.

Ranjeet menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan kerosakan teruk, dan juga meminta satu pengisytiharan bahawa tangkapan itu tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan.

Satchitanandan Vedha Ratnam, S Preakas, dan Chan Hoo Yan selaku peguam mewakili Ranjeet, manakala Peguam Kanan Persekutuan Afiq Nazrin Zaharinan tampil bagi pihak kerajaan.

*Duit pembayar cukai terpaksa digunakan untuk menutup satu kebodohan 

Kes ragut tular, polis buru tiga lelaki

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar rakaman tular menunjukkan tiga penunggang motosikal cuba melarikan diri selepas meragut rantai emas milik  peniaga air kelapa di Taman Impian Alma, Bukit Mertajam.
TANGKAP layar rakaman tular menunjukkan tiga penunggang motosikal cuba melarikan diri selepas meragut rantai emas milik peniaga air kelapa di Taman Impian Alma, Bukit Mertajam.
Bukit Mertajam: Polis giat memburu tiga lelaki yang terbabit insiden ragut peniaga air kelapa di Taman Impian Alma, di sini, semalam, dengan video mengenainya turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku kira-kira 11 pagi apabila mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dihampiri tiga lelaki yang menunggang dua motosikal.

"Salah seorang suspek turun dari motosikal dan menghampiri mangsa sambil berpura-pura mahu membeli air kelapa.

"Bagaimanapun, suspek kemudian meragut rantai leher mangsa sebelum ketiga-tiga mereka melarikan diri.

"Mangsa cuba mengejar motosikal itu namun tidak berhasil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Helmi berkata, semakan lanjut mendapati suspek menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Marsila Hamzahdi di talian 04-538 2222 atau tampil ke balai polis berdekatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

5 askar Israel terbunuh terkena bedilan pasukan sendiri

KOSMO!
SEBUAH kereta kebal Israel bergerak ke sempadan Semenanjung Gaza kelmarin. – AFP
TEL AVIV  – Tentera Israel menyatakan hari ini bahawa lima askarnya terbunuh akibat terkena tembakan pasukan tentera sendiri pada hari sebelumnya di utara Semenanjung Gaza di mana pertempuran sengit tercetus semula sejak beberapa hari lalu.

Ditanya untuk mengesahkan laporan media mengenai kematian lima askar Israel yang diumumkan terlebih dahulu itu adalah disebabkan oleh bedilan pasukan sendiri, seorang jurucakap tentera memberitahu AFP: “Ya benar”.

Terdahulu, tentera Israel mengumumkan bahawa kelima-limar askar berkenaan terbunuh dalam pertempuran semalam tanpa memberikan butiran lanjut tentang punca kematian mereka.

Korban terbaharu itu menjadikan bilangan rasmi askar Israel yang menemui ajal dalam kempen ketenteraan di Semenanjung Gaza sejak 27 Oktober tahun lalu meningkat kepada 278 orang. – AFP  

Mayat bayi dibuang bawah kereta ada kesan kecederaan di pipi

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
MAYAT bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dengan kesan kecederaan di pipi.
MAYAT bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dengan kesan kecederaan di pipi.
Kuala Lumpur: Mayat bayi perempuan yang ditemukan bawah sebuah kereta di kawasan parkir Apartmen Putra Ria, di sini hari ini didapati mempunyai kesan kecederaan di bahagian pipi kiri.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 999 daripada pihak pengurusan apartmen itu pada 9.33 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati bayi baru dilahirkan berikutan masih bertali pusat. Fizikal mangsa masih lengkap dan dipercayai bayi warga asing.

"Jam 10.25 pagi ambulans dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam bungkusan kain di bawah kereta Proton Iswara di tempat letak kenderaan Apartmen Putra Ria, Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Saksi kejadian, Latiff Jaafar, 65, berkata, dia menemukan mayat bayi berkenaan ketika menyapu sampah di tempat letak kenderaan di apartmen berkenaan kira-kira 9 pagi tadi.

Ku Mashariman berkata, mayat mangsa dibawa ke PPUM untuk dibedah siasatan bagi melengkapkan siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan sehingga keputusan bedah siasat yang dijangka dijalankan di Patologi PPUM esok," katanya.

Remaja perempuan hilang lepas naik teksi e-hailing ke tempat kerja di Ipoh

RIZAL ZAINAL 
Seorang remaja dilaporkan hilang di Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said di Ipoh sejak 24 April lepas.
SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang di Ipoh, Perak sejak 24 April lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima laporan mengenai kehilangan Safiea Dania Muhamad Zakri yang beralamat Lot 60630, Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said di Ipoh.

Katanya, sebelum laporan kejadian diterima, mangsa dipercayai telah mengikut abangnya menaiki motosikal ke tempat kerja.

"Dalam perjalanan, motosikal dinaiki rosak dan abangnya meminta mangsa menaiki teksi e-hailing ke tempat kerjanya," katanya sambil menambah gadis itu tidak membawa sebarang bagasi ketika kejadian.

Tambahnya, Safiea Dania dipercayai memaklumkan ibunya bahawa dia bekerja di kantin sebuah kilang di Jelapang, Ipoh.

"Namun, mangsa gagal ditemui selepas ibunya cuba mencarinya di kilang terbabit.

"Ibu mangsa menghubungi rakan anaknya dan diberitahu bahawa mangsa bekerja di sebuah kedai makan di Kampung Tawas, Ipoh.

"Ahli keluarga telah pergi sekitar kawasan itu namun masih gagal menemukan mangsa," katanya.

Difahamkan, Safiea Dania kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang berwarna ungu dan tudung hitam.

“Mangsa berambut ungu paras dada, berkulit cerah, tinggi kira-kira 159 sentimeter dan berat kira-kira 56 kilogram,” katanya.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Anis Safira Roslan di talian 018-786 5440 atau balai polis daerah di talian 05-245 1500,” katanya. — The Star/IVAN LOH

Wanita dipenjara tiga tahun, beri maklumat palsu

Abdul Rahemang Taiming
bhnews@bh.com.my
Sitti Jalminah (kanan) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, atas kesalahan mengemukakan maklumat palsu kepada JPN, sepuluh tahun lalu. - Foto ihsan JPN
Sitti Jalminah (kanan) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, atas kesalahan mengemukakan maklumat palsu kepada JPN, sepuluh tahun lalu. - Foto ihsan JPN
SEMPORNA: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sepuluh tahun lalu.

Tertuduh Sitti Jalminah Biddarin, 56, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada enam anak itu didakwa mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kad pengenalan seorang kanak-kanak perempuan yang bukan anak kandung tertuduh di JPN Semporna, kira-kira jam 11.23 pagi, pada 15 Disember 2014.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikecualikan daripada hukuman penjara sebaliknya dikenakan hukuman denda sahaja.

"Yang Arif, ini adalah kesalahan pertama dan saya mengaku salah serta berjanji tidak akan mengulangi lagi. Saya berbuat demikian atas dasar kasihan dengan penyamar," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Nadzeri dalam hujahnya memohon hukuman berat dan maksimum dikenakan terhadap tertuduh.

Ini kerana perbuatan memberikan maklumat palsu dan menganjurkan seorang individu yang bukan warganegara bagi mendapatkan suatu identiti iaitu kad pengenalan berstatus warganegara dengan menggunakan sijil kelahiran anaknya yang telah meninggal dunia adalah kesalahan serius.

Mahkamah kemudiannya, memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Mei 2024.

Kru syarikat penerbangan jatuh ‘bedebuk’ dari pintu pesawat

KOSMO
Kru tersebut tidak menyedari bahawa tangga telah dialihkan oleh rakannya. – YouTube
JAKARTA  –  Seorang kakitangan sebuah syarikat penerbangan di Indonesia terjatuh di atas landasan selepas tidak menyedari bahawa tangga pesawat dialihkan oleh rakan sekerjanya, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Sebuah video dikongsikan di media sosial menunjukkan pekerja tersebut jatuh dari pesawat jenis Airbus A320 milik TransNusa di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta ketika kru bersiap sedia untuk berlepas.

Mangsa dilihat membuat isyarat tabik hormat kepada juruterbang dan dalam masa sama, rakan sekerjanya yang berada di atas landasan, mengalihkan tangga pesawat.

Mangsa yang tidak menyedari tangga dialihkan,  terus melangkah keluar dari pintu pesawat lalu terjatuh di atas landasan.

Menurut sumber, dia menerima rawatan di lokasi kejadian dan tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa.

Pihak berkuasa lapangan terbang melancarkan siasatan ke atas insiden itu dan telah memastikan pelaksanaan langkah-langkah untuk mencegah kemalangan serupa daripada berulang pada masa hadapan, lapor laman berita Aviation24. – AGENSI 

17 tahun hidup 'nomad' diburu along

Hakimi Suria Kencana, Nor Syazrina Muhamad Tahir dan Nurul Najwa Mohd Noordin
am@hmetro.com.my
SITI berusaha membayar semula hutang yang dibuat kedua-dua orang tuanya.
SITI berusaha membayar semula hutang yang dibuat kedua-dua orang tuanya.
Kuala Lumpur: "Hanya Kelantan sahaja kami belum berpindah sepanjang 17 tahun melarikan diri daripada buruan along."

Begitu luahan seorang wanita dikenali sebagai Siti, 20-an, (bukan nama sebenar) yang dibebani hutang apabila kedua-dua orang tuanya membuat pinjaman dengan peminjam wang haram terbabit.

Hutang keluarganya kini berjumlah RM200,000 menjadikan mereka hidup dalam keadaan ketakutan, semuanya akibat sikap tidak ambil peduli ibu bapanya.

Siti berkata, sejak kecil ketika berusia tujuh tahun, dia bersama empat beradik lain hidup gelandangan termasuk tidur di dalam kereta selain menumpang di masjid kira-kira 17 tahun.

"Kejadian bermula apabila ibu dengan kelam-kabut tiba-tiba mengejutkan saya daripada tidur lalu terus membawa kami 'lari' ke Terengganu dari Kuala Lumpur.

"Kami mula berpindah-randah ke semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan sejak 2004 selepas ibu bapa kami terjerat dan mula dikejar Along," katanya.

Katanya, bermula dari Kuala Lumpur - tanpa mengira sekejap atau lama, mereka berpindah-randah ke beberapa negeri kerana diburu Along terbabit.

"Kehidupan saya dan adik-beradik tidak seperti kanak-kanak lain. Apabila ibu bapa mula berhutang dengan Along sebanyak RM30,000 pada 2004, kehidupan kami bertukar ketakutan.

"Sehingga kini, hutang lama itu masih belum dilunaskan ibu bapa. Sekarang saya sudah berusia 20-an, tetapi rupanya kesilapan ibu bapa yang dahulu diulangi semula," katanya ketika ditemubual Harian Metro, di sini, semalam.

Menurut Siti, dia mengetahui perkara itu ketika bermaaf-maafan dengan ibu bapanya pada pagi 1 Syawal, baru-baru ini.

"Saya perasan pada pagi raya itu, mereka berkelakuan pelik dan resah sehinggalah ibu mengakui mereka meminjam lagi wang daripada Along.

"Sejujurnya, saya tidak menafikan sangat marah ketika itu kerana mereka tidak memikirkan kesan jangka panjang kepada keluarga.

"Rupa-rupanya selepas diselidik, mereka sudah melakukan pinjaman sebanyak RM200,000 daripada 14 Along pada tahun ini untuk menyelesaikan hutang," katanya.

Difahamkan, ibu bapa Siti terjebak dengan Along apabila perniagaan diusahakan mereka mengalami masalah kewangan.

"Disebabkan itulah, ibu bapa saya mengambil keputusan sendiri tanpa berbincang dengan keluarga untuk berhutang dengan Along.

"Sehingga kini saya berasa sangat kecewa dengan tindakan ibu bapa kerana pada usia begini saya masih lagi menanggung beban hutang yang tidak pernah langsai," katanya.

Menurutnya, dia rasa tertekan dengan masalah hutang sehingga pernah mahu mengambil keputusan luar jangka, tetapi menukar fikiran kerana mengingati Allah SWT.

Katanya, kakak sulung berusia 30-an dan anaknya juga tidak berani keluar rumah, begitu juga adik-beradiknya kerana Along sentiasa cuba menjejaki mereka.

"Saya sanggup bersusah-payah cuba menolong membayar hutang atas nama keluarga dan tidak mahu menyusahkan keturunan dengan masalah hutang yang banyak ini.

"Kini, saya dan keluarga berusaha untuk keluar daripada masalah ini apabila mencari pendapatan bagi melunaskan hutang Along yang membelenggu kami sekian lama," katanya.

Disyaki seleweng RM8 juta dalam akaun amanah, 2 firma guaman disiasat

Faisal Asyraf

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dua firma guaman disyaki menyeleweng RM8 juta yang pada asalnya dimasukkan ke akaun amanah mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Yoosuf berkata, kes pertama membabitkan seorang pengarah syarikat 63 tahun yang melantik sebuah firma guaman gagal memulangkan yuran guaman berjumlah RM3.2 juta.

Mangsa memfailkan laporan terhadap peguam bergelar “Datuk” itu pada Rabu lalu.

Mangsa melantik firma guaman itu Julai tahun lalu untuk memulakan saman sivil terhadap sebuah bank kerana menaikkan kadar faedah pinjaman bagi syarikatnya. Beliau bersetuju membayar firma itu yuran guaman sebanyak RM3.7 juta.

“Tetapi, Februari lalu, pengadu mengarahkan peguamnya menarik balik saman itu kerana isu terbabit diselesaikan secara baik antara bank dan syarikat berkenaan,” katanya dalam sidang media.

“Firma guaman itu mengenakan bayaran RM500,000 bagi perkhidmatannya dan bersetuju memulangkan baki RM3.2 juta kepadanya, tetapi sehingga kini beliau belum menerima bayaran balik itu.”

Dalam kes kedua, Ramli berkata, seorang pengarah syarikat 53 tahun kerugian RM4.8 juta kepada sebuah firma guaman selepas dana itu yang didepositkan untuk pembelian tanah di Plentong, Johor pada Jun 2018, didakwa hilang daripada akaun amanah firma itu.

Perjanjian tanah itu gagal dan bertukar menjadi prosiding mahkamah, dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu memutuskan dana itu hilang daripada akaun firma guaman terbabit.

Katanya, mahkamah mendapati semua wang itu dikeluarkan firma itu melalui 100 keping cek dan draf bank.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Ramli mengulangi cadangannya kepada Majlis Peguam supaya akaun amanah firma guaman dijadikan akaun bersama di bawah anak guam dan firma itu, bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

KPN: Polis buru 20 ahli JI di Johor

BERNAMA

Johor Bahru: Polis sedang mengesan dan mengenalpasti 20 orang ahli Jemaah Islamiyyah yang berada di Johor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, arahan itu sudah pun dikeluarkan kepada Bahagian Cawangan Khas di negeri itu.

"Saya juga telah arahkan Bahagian Cawangan Khas untuk mengesan dan mengenal pasti ahli Jemaah Islamiyah yang berada di negeri ini, yang dianggarkan lebih 20 orang," katanya pada sidang media di lokasi kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi tadi.

Sah penyerang Balai Polis Ulu Tiram anggota kumpulan JI

Harapandaily

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram jam 2.54 pagi tadi merupakan anggota kumpulan Jamaah Islamiyah (JI).

Menurutnya, suspek yang dipercayai berusia 34 tahun itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian.

Jelasnya, polis kemudian menyerbu rumah keluarga lelaki berkenaan di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman itu.

“Susulan itu, kesemua lima ahli keluarga suspek yang dipercayai anggota serpihan JI ditahan untuk siasatan lanjut.

“Mereka berusia antara 15 tahun hingga 62 tahun,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, pagi ini.

Dalam serangan awal pagi tadi, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera.

Sementara itu, suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Gempar!!! Balai polis diserang: 2 anggota, suspek maut

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dua anggota polis maut manakala seorang anggota mengalami kecederaan dalam kejadian serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram di sini pada awal pagi hari ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam kejadian itu suspek turut ditembak mati di tempat kejadian.

Menurutnya, anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke bahagian forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.

"Pihak kita sesal dengan kejadian yang berlaku. Siasatan awal mendapati anggota ditetak dan ditembak.

"Siasatan lanjut dijalankan polis," katanya ketika ditemui di Balai Polis Ulu Tiram, di sini hari ini.

Difahamkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam perjalanan ke tempat kejadian.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira 2 pagi hari ini apabila suspek seorang lelaki bangsa tidak dikenalpasti yang bertopeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis berkenaan dengan bersenjatakan parang.

-------------

Balai Polis Ulu Tiram dikawal ketat

Mohamed Farid Noh dan Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
SUASANA di luar lokasi kejadian dua anggota polis ditembak, satu cedera dan seorang suspek ditembak di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
SUASANA di luar lokasi kejadian dua anggota polis ditembak, satu cedera dan seorang suspek ditembak di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Johor Bahru: Lebih 50 anggota polis berpakaian preman dilihat mengawal sekitar Balai Polis Ulu Tiram, lokasi serangan seorang lelaki, awal pagi tadi.

Tinjauan mendapati laluan ke balai polis berkenaan ditutup sepenuhnya dengan kenderaan dilencongkan ke arah lain di samping sekatan jalan raya turut dibuat sekitar kawan itu.

Kawasan serangan pertama di luar pagar bersebelahan pondok pengawal polis sudah dipasang tali garisan polis dengan empat kelongsong peluru kelihatan berterabur di atas jalan raya.

Beberapa kelongsong peluru turut dilihat di perkarangan berek polis bersebelahan Balai Polis Ulu Tiram dengan tompokan darah turut kelihatan.

Senjata api yang dipercayai dirampas penyerang dan digunakan dalam insiden berkenaan turut terlihat berhampiran pondok pengawal di balai berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain tiba di lokasi pada 10.45 pagi tadi sebelum diiring Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar bagi meninjau kawasan serangan di bahagian dalam selain mendengar taklimat kejadian itu.

Petugas media mula berkumpul di lokasi kejadian pada 7.30 pagi dengan lebih 20 petugas bersiap sedia untuk sidang media Ketua Polis Negara yang dijangkakan berlangsung pada bila-bila masa.

Pagi tadi media melaporkan, dua anggota polis maut manakala seorang anggota cedera dalam kejadian serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram di sini, awal pagi tadi

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.54 pagi pagi tadi suspek ditembak mati di tempat kejadian.

Katanya, anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke bahagian forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.

Wanita tak mengaku pukul 'anu' suami curang dengan kayu besbol

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Muar: Suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap suaminya dengan memukul alat sulit menggunakan kayu besbol selepas 'kantoi' menjalin hubungan sulit dengan wanita lain, tahun lalu.

Lim Siow Leng, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada empat anak itu didakwa menyerang yang mungkin menyebabkan kematian, menggunakan kayu besbol di sebuah kilang Jalan Kim Kee di sini, pada jam 9.20 pagi, 11 November 2023.

Berikutan itu, tertuduh yang kini dalam proses penceraian didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana daripada dua hukuman terbabit jika sabit kesalahan.

Manakala Seksyen 326A, tertuduh boleh dihukum penjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan mengikut seksyen berkaitan.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, tertuduh dikatakan bertindak demikian selepas mendapati suaminya yang berusia 42 tahun itu menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita warga asing.

Tertuduh dilaporkan berang dengan perbuatan suaminya itu lalu mengambil kayu besbol dan memukul alat sulit lelaki hingga berdarah.

Akibat kejadian itu, mangsa yang bekerja sendiri itu mengalami pendarahan dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Tertuduh ditahan pada 12 Mei lalu bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa kesalahan dilakukan tertuduh tidak boleh diikat jamin namun terpulang kepada budi baca hakim untuk membenarkannya.

Selepas mendengar hujahan dan juga rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan semula.

Selain itu, tertuduh juga memecahkan cermin kereta suami menggunakan peralatan sama sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Bagi perbuatan itu, dia berhadapan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah.

Wanita itu kemudiannya dibenarkan ikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin.

Wanita warga emas maut dilanggar kereta mengundur

BERNAMA

Johor Bahru: Seorang wanita warga emas meninggal dunia dilanggar keretanya sendiri yang bergerak dalam keadaan mengundur, dipercayai akibat terlupa menarik brek tangan, selepas memarkir kenderaan itu di kediamannya di Taman Sri Amar di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam insiden pada 10.40 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan selepas dilanggar serta diseret kira-kira 10 meter ke jalan raya.

"Kematian mangsa telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Sultan Ismail dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pada masa sama, kita memohon agar saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nurul Hafiza Othman di talian 014-806 8350," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Komander Operasi Hadi Mohamad pula berkata, ketika pihaknya iaitu pasukan keluaran operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian dimaklumkan, kereta Perodua Axia bergerak dalam keadaan mengundur ketika mangsa hendak membuka pintu pagar rumahnya.

"PKO bertindak mengangkat mangsa yang ditemukan di antara kereta dan tembok rumah itu dengan menggunakan pengusung sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," menurut beliau dalam kenyataan berasingan.

Polis cari waris lelaki maut kemalangan

Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
LOKASI kejadian pejalan kaki maut kemalangan di Kilometer 20 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI kejadian pejalan kaki maut kemalangan di Kilometer 20 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan. FOTO Ihsan PDRM
Marang: Seorang lelaki tanpa identiti maut dirempuh kereta di Kilometer 20 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Rhu Muda di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Ts Mohd Razman Setapa berkata, kejadian kira-kira 3.50 pagi berlaku apabila kereta Perodua Myvi dari arah Kuala Terengganu menghala ke Dungun, terlanggar pejalan kaki berdiri di tengah-tengah laluan kereta berkenaan.

"Akibat jarak yang terlalu dekat dan gelap, pemandu kereta berusia 25 tahun tidak sempat mengelak lalu terlanggar pejalan kaki terbabit.

"Pejalan kaki itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menerima rawatan lanjut namun kira-kira 7.20 pagi tadi lelaki terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurutnya, identiti pejalan kaki tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa dan lelaki itu dianggarkan berusia lingkungan 60 tahun.

Katanya, pihaknya memohon sesiapa yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin di talian 013-9195738 bagi membantu siasatan.

Isteri minta cerai selepas suami terlupa beli makanan ringan

KOSMO!
GAMBAR fail menunjukkan sebuah kedai runcit di New Delhi. - Foto AFP
NEW DELHI – Seorang wanita di negeri Uttar Pradesh meminta cerai daripada suaminya selepas tidak membelikannya paket Kurkure berharga 5 rupee (RM0.28 sen), lapor laman berita Wion News hari ini.

Kurkure ialah jenama sejenis makanan ringan pedas popular di India. 

Menurut laporan media, wanita berkenaan ketagih dengan makanan ringan itu dan meminta suaminya membelikan satu paket Kurkure untuknya setiap hari.

Bagaimanapun, pada suatu hari, lelaki tersebut terlupa membeli makanan ringan itu, menyebabkan si isteri keluar dari rumah selepas bertengkar dengan suaminya.

Pasangan tersebut berkahwin tahun lalu dan ketika itu semuanya kelihatan baik pada mulanya.

Bagaimanapun, si suami dilaporkan mula risau tentang keinginan luar biasa isterinya terhadap makanan ringan jenama tersebut.

Si isteri bagaimanapun mendakwa bahawa dia meninggalkan rumah kerana dipukul oleh suaminya. 

Polis sedang menyiasat dakwaan yang dibuat oleh pasangan itu. – AGENSI

Kedah: Tukang masak terjun sungai selepas bergaduh dengan isteri

Malinda Abdul Malik
IMG_7489-681x498
Mangsa ditemui dalam keadaan sedang berpaut di tiang jambatan berkenaan.
SUNGAI PETANI – Seorang tukang masak bertindak terjun ke dalam Sungai Muda selepas dipercayai bertengkar dengan isterinya dalam kejadian di di sebuah jambatan di Kilometer 114 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Taman Mulia, Tikam Batu di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, lelaki berusia 42 tahun itu berjaya diselamatkan pihak bomba selepas dia ditemui berpaut di celah struktur tiang jambatan terbabit pada jam 12.31 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata,  sebelum kejadian bapa kepada seorang cahaya mata itu bergaduh dengan isterinya, seorang kerani di rumah mereka di Sungai Petani.

“Lelaki tersebut yang bekerja di kantin kilang di Pulau Pinang kemudian keluar dari kediamannya dengan menunggang motosikal, tanpa disedari diekori rakannya.

Pihak bomba menyelamatkan mangsa sebelum menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Sebaik tiba di kawasan jambatan itu, dia meninggalkan motosikal dan bertindak terjun ke dalam sungai dan kejadian itu disaksikan rakannya namun tidak sempat memegang tangan lelaki itu ketika dia bertindak demikian.

“Mangsa kemudian diselamatkan pihak bomba dan dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki serta tangan akibat kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette

Mahkamah kekal sabitan, hukuman guru renang merogol, amang seksual anak tiri

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini, mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 35 tahun dan 20 sebatan terhadap guru renang atas 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas menolak rayuan perayu (tertuduh) untuk mengetepikan untuk sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh dua hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Pada 15 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Dharmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail menjatuhkan penjara 35 tahun dan 20 sebatan terhadap perayu.

Anselm antara lain berkata, selepas meneliti semua pertuduhan dan fakta kes menunjukkan perayu melakukan perbuatan seksual terhadap anak tirinya bermula 2020 ketika mangsa berusia 12 tahun 10 bulan.

"Perbuatan terkutuk tertuduh berlanjutan hingga mangsa berusia 16 tahun. Walaupun bapa tiri, tanggungjawabnya terhadap mangsa adalah sama seperti bapa kandung untuk memberikan kasih sayang dan melindunginya," katanya.

Dalam prosiding rayuan itu, perayu diwakili peguam KA Ramu manakala Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari mewakili Responden.

Menurut Anslem, pihaknya turut meneliti keterangan impak mangsa dan penghakiman oleh kedua-dua Hakim Mahkamah Sesyen serta berpendapat hukuman penjara dan sebatan rotan diputuskan adalah setimpal dengan keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa dan keluarganya.

Katanya, tertuduh sudah membinasakan masa depan seorang remaja perempuan dan mahkamah tidak nampak alasan bermerit untuk mengganggu gugat keputusan terhadap sabitan dan hukuman Hakim Mahkamah Sesyen.

Remaja guna cermin mata pintar tipu dalam peperiksaan

Bernama-KYODO

Tokyo: Seorang remaja lelaki dirujuk kepada pendakwa raya pada Khamis kerana didakwa menggunakan cermin mata pintar yang dilengkapi kamera untuk menipu dalam peperiksaan kemasukan universiti dengan mengambil gambar soalan dan berkongsi dengan netizen, lapor agensi berita Kyodo.

Remaja berusia 18 tahun itu yang menduduki peperiksaan untuk Universiti Waseda berprestij di Tokyo pada Februari, didakwa meminta beberapa individu di platform X untuk menjadi "tutor dalam talian" untuknya terlebih dahulu dan memberikan beberapa ribu yen setiap orang dalam pembayaran elektronik untuk bantuan mereka semasa peperiksaan, menurut polis.

"Saya kesal dengan salah laku saya, yang lebih teruk daripada menipu," kata remaja itu, yang akhirnya tidak diterima, dipetik sebagai berkata oleh polis, menjelaskan bahawa dia telah menulis jawapannya berdasarkan respons yang diterimanya.

Menurut pihak universiti, individu yang memberikan jawapan kepada pelajar tersebut tidak menyedari bahawa soalan itu adalah daripada peperiksaan kemasukan ke universiti yang sebenar.

Remaja itu yang merupakan pelajar sekolah menengah atas di Tokyo pada masa kejadian didakwa, melanggar peraturan universiti swasta itu dengan mengambil gambar kertas peperiksaan dan memuatnya ke platform X dengan telefon pintarnya pada 16 Februari semasa ujian kemasukan untuk Sekolah Sains dan Kejuruteraan Kreatif.

Cermin mata pintar itu dapat menghantar imej ke telefon pintarnya, yang disembunyikan dalam poket seluarnya, menurut polis.

Universiti menghubungi polis selepas seorang pegawai menyedari adanya kamera kecil pada bingkai cermin matanya ketika dia datang untuk ujian lain bagi Sekolah Perdagangan institusi itu pada 21 Februari.

Universiti Waseda dalam laman webnya pada Khamis berkata, ia mengemukakan aduan jenayah kepada polis kerana bimbang penipuan serupa boleh berlaku di universiti lain, selain kesukaran untuk menyiasat insiden tersebut secara dalaman.

"Kami akan bertindak keras dan berusaha mengekalkan persekitaran ujian masuk yang adil dan saksama," katanya.

CEO badan berkanun ditahan SPRM disyaki seleweng dana projek RM1.2 bilion

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) badan berkanun ditahan hari ini selepas disyaki menyeleweng dana membabitkan projek pembangunan di ibu negara bernilai RM1.2 bilion.

Menurut sumber, suspek berusia 60 tahun itu disyaki menyalahgunakan kedudukannya bagi menyeleweng dana pinjaman daripada Kementerian Kewangan (MoF).

"Suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara 2019 hingga 2021 dan disyaki menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman.

"Suspek memindahkan sebahagian pinjaman wang yang diterima dari MoF kepada syarikat kontraktor serta perunding yang tidak berkaitan.

"Lelaki berkenaan memindahkan dana berkenaan sebagai kos pembangunan seperti yang dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman kerajaan," katanya hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan selepas hadir untuk dirakam percakapan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya 8 malam tadi.

Sebelum itu, SPRM turut menahan dua pegawai kanan agensi badan berkanun bagi kesalahan sama.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Hampir 5 juta rakyat Malaysia sakit mental dan NCD

Mohd Iskandar Ibrahim
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan seramai sejuta atau bersamaan 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami isu kemurungan.

Menerusi hasil tinjauan dilakukan, jumlah itu menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019 dengan golongan berusia 16 hingga 29 tahun paling ramai mengalaminya.

Tinjauan juga menunjukkan hampir separuh daripada jumlah itu berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.

Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak pula menyaksikan peningkatan daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023.

Statistik menunjukkan satu daripada enam kanak-kanak mengalami masalah berkenaan.

NHMS 2023 turut mendedahkan 46 peratus kanak-kanak terbabit mengalami masalah dengan rakan sebaya, masalah tingkah laku (25 peratus), masalah emosi (17 peratus) dan hiperaktif (8 peratus).

Mengenai penyakit tidak berjangkit (NCD), NHMS 2023 menunjukkan hampir 3.6 juta penduduk negara ini atau bersamaan 15.6 peratus menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi (6.7 juta) dan kolesterol tinggi (7.5 juta).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tinjauan mendapati sebahagian besar daripada mereka yang menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang tidak didianogsis tergolong dalam golongan yang berusia lebih muda.

"Penemuan itu amat membimbangkan kerana penyakit tidak berjangkit yang tidak didianogsis boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang lebih cepat kepada golongan berkenaan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran NHMS 2023 di sini, tadi.

Selain itu, lebih 500,000 dewasa atau merangkumi 2.5 peratus dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.

Malah, terdapat peningkatan berterusan dalam trend berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa, melonjak hampir 10 peratus dalam tempoh satu dekad, daripada 44.5 peratus pada 2011 kepada 54.4 peratus pada 2023.

Mengenai penggunaan jagaan pesakit luar, dapatan tinjauan NHMS 2023 menunjukkan trend peningkatan daripada 8.1 peratus pada 2019 kepada 12.5 peratus pada tahun lalu.

Bagaimanapun, trend penggunaan perkhidmatan jagaan pesakit luar di fasiliti kerajaan merekodkan penurunan daripada 64.2 peratus pada 2019 kepada 48.9 peratus pada 2023.

Ini menunjukkan peningkatan dalam penggunaan perkhidmatan jagaan pesakit luar swasta dalam kalangan penduduk Malaysia berbanding empat tahun lalu.

Nak gelaran Datuk Seri, ahli perniagaan wanita rugi RM375,000

Alias Abd Rani
bhnews@bharian.com.my

MUAR: Seorang ahli perniagaan wanita mendakwa kerugian RM375,000 selepas terpedaya dengan tawaran darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri.

Mangsa, 45, mendakwa ditawarkan gelaran kebesaran yang kononnya dari sebuah negeri itu oleh rakan lelakinya pada Jun 2022, namun diminta membuat bayaran terlebih dahulu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata terpengaruh dengan janji suspek, wanita berkenaan melakukan 35 transaksi dalam talian kRmepada lelaki itu.

"Pada Ogos 2022, mangsa mendapat watikah penganugerahan gelaran itu, tapi semakan dibuat mendapati namanya tiada dalam senarai. Sehingga kini, mangsa mendakwa tidak menerima apa-apa anugerah seperti dijanjikan suspek," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, susulan itu mangsa yang berasa tertipu akhirnya membuat laporan polis terhadap rakan kongsinya semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Sebelum ini polis sudah menjalankan kempen kesedaran jenayah komersial secara bersemuka mahupun melalui media, tetapi masih ada terpedaya," katanya mengingatkan orang ramai lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC), manakala semakan nombor akaun dan nombor telefon diterima boleh dibuat di pautan https://semakmule.rmp. gov.my.

Mat Salleh dipenjara 6 tahun kerana lakukan amang seksual ke atas atlet Sukma

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Bekas penolong jurulatih boling dijatuhi hukuman penjara enam tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap atlet Sukan Malaysia (Sukma).

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Mat Salleh Jalani, 61, didapati bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 14 tahun satu bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik di sebuah rumah di Marang pada Mac 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara ke atas tertuduh bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Marlisa Marzuki.

Ismail Haniyeh: Hamas kekal di Gaza selepas perang tamat

AFP

Doha: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh berkata, pergerakan itu akan terbabit dalam memutuskan pemerintahan pascaperang di Gaza bersama-sama kumpulan Palestin yang lain.

"Kami mengatakan bahawa pergerakan Hamas berada di sini untuk kekal dan ia akan menjadi pergerakan dan semua kumpulan (Palestin) yang akan memutuskan pemerintahan pascaperang di Gaza," kata Ismail dalam ucapan di televisyen, semalam.

Beliau juga berkata, nasib rundingan gencatan senjata tidak pasti kerana desakan Israel untuk menduduki lintasan Rafah dan perluasan pencerobohan di wilayah Palestin sejak serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Ucapan Ismail menandakan ulang tahun ke-76 Nakba, iaitu peristiwa kira-kira 760,000 rakyat Palestin melarikan diri atau dihalau dari rumah mereka semasa penciptaan negara Israel pada 1948.

Ismail mengulangi pendirian pergerakan itu berhubung rundingan gencatan senjata yang sekali lagi menemui jalan buntu.

"Sebarang perjanjian mesti memastikan gencatan senjata kekal, pengunduran menyeluruh (pasukan Israel) dari semua sektor di Semenanjung Gaza, perjanjian sebenar untuk pertukaran tahanan, kepulangan orang yang dipindahkan, pembinaan semula dan menarik balik kepungan Gaza," katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, sebarang perbincangan mengenai siapa yang memerintah Gaza selepas perang hanyalah cakap kosong, selagi Hamas kekal di wilayah itu.

"Sehingga jelas Hamas tidak mengawal Gaza secara ketenteraan, tiada entiti akan sanggup mengambil pengurusan awam Gaza kerana bimbang akan kesejahteraannya.

"Syarat pertama untuk menyediakan tanah untuk entiti lain adalah untuk memusnahkan Hamas, dan berbuat demikian tanpa membuat alasan," kata Netanyahu dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant kelihatan mencabar Netanyahu, dengan mengatakan bahawa, ia mestilah entiti Palestin yang memerintah Gaza selepas Hamas dikalahkan.

"Saya menyeru Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk membuat keputusan dan mengisytiharkan bahawa Israel tidak akan mewujudkan kawalan awam ke atas Gaza," kata Gallant sambil menyeru alternatif pemerintahan kepada Hamas dengan segera.

Gallant berkata, tindakan ketenteraan Israel di Gaza perlu disusuli dengan tindakan politik.

Bersatu akan hilang sokongan selagi bersama PAS, kata Adun

Elill Easwaran

Adun Bersatu Abdul Rashid Asari berkata ramai orang Melayu termasuk ahli PAS tidak suka kecenderungan pendirian ekstrem diambil oleh pemimpin tertinggi parti Islam itu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM: Seorang Adun Bersatu, yang kini menyokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, percaya sokongan terhadap partinya akan terus berkurangan jika kekal sebagai sekutu PAS.

Abdul Rashid Asari berkata, parti yang dilabelkan sebagai ‘terlalu ekstrem’ itu boleh dipersalahkan atas kehilangan sokongan Bersatu.

Beliau berkata, ketika PAS berkempen semasa pilihan raya, naratif dikemukakan ialah ‘haram’ untuk tidak keluar mengundi.

“Ramai yang tidak suka (ucapan seperti itu). Ia sangat ekstrem. Orang Melayu tidak suka, malah ada ahli PAS yang membencinya,” katanya kepada FMT.

Sambil menegaskan tidak semua ahli PAS bersikap ekstrem, Adun Selat Klang itu berkata segelintir pemimpin yang berpegang kepada pandangan sebegitu menidakkan kerja keras jentera PAS untuk menarik pengundi.

Rashid, yang berkongsi pentas dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam kempen bagi PRK Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, juga berkata, secara peribadinya, beliau tidak mempercayai PAS.

Beliau berkata, di sebalik semua dakwahnya mengenai agama, parti itu tidak menghormati walaupun ia perjanjian mudah.

Rashid mendakwa, ketika PN membincangkan peruntukan kerusi untuk PRU15, terdapat perjanjian bertulis bahawa Bersatu akan bertanding di Kapar dan PAS membuat tuntutan kerusi itu pada saat-saat akhir.

Dr Halimah Ali daripada PAS akhirnya memenangi kerusi Parlimen itu dalam pertandingan tujuh penjuru.

“Mereka kata berdosa jika anda tidak menepati janji, tetapi saya rasa pemimpin PAS merasakan sebaliknya,” kata Rashid.

Walaun bab tak siasat dulu memang juara, heboh jenama pizza ini konon hina Islam

Harapandaily

Heboh di media sosial mengenai satu jenama pizza yang kononnya menghina Islam gara-gara hantaran seorang individu yang dicop netizen sebagai walaun.

Lelaki itu bahkan meminta orang ramai membuat laporan polis serta meninggalkan tanda pagar PDRM serta menyebut premis Domino’s Pizza Sungai Ara di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Dia menyifatkan ungkapan yang tercetak pada resit itu sebagai kurang ajar dan biadab.

Susulan itu, rata-rata warganet membetulkan tanggapan salah individu berkenaan.

Ada berpendapat kenyataan biadab itu ditinggalkan oleh pelanggan melalui aplikasi penghantaran.

Hal ini sekaligus menepis cubaan untuk mengaitkan perbuatan itu dengan pihak jenama pizza yang mempunyai lebih 200 cawangan di seluruh negara itu.

“Bukan Domino’s buat, tapi memo yang ditinggalkan oleh pelanggan. Baca dan fahamilah dengan akal anugerah Allah wahai tuan/puan manusia sekalian alam,” komen seorang pengguna Facebook.

Dalam tempoh 14 jam dimuatnaik, hantaran individu yang menggunakan nama akaun Al Faqir Azharildris itu meraih hampir 3,000 perkongsian setakat pagi ini.

Sehubungan itu, warganet menasihatkan orang ramai menyelidik terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Selidik dulu sebelum nak cakap. Kawan saya kerja situ beritahu itu resit pelanggan order bukan dari pihak Domino’s.

“Pihak Domino’s dah cancel order pelanggan itu sebab kurang ajar hina Islam dan buat report polis .

“Itu prank order, Domino’s call tak angkat. Gambar WhatsApp macam orang Myanmar. Semua yang bekerja di store situ orang Melayu Islam.

“Dari resit tu boleh nampak dia order melalui apps. Order masuk dan Domino’s akan print keluar resit invoice tu. Jadi, di situ kita nampak siapa yang betul-betul salah.

“Moga dapat perbetulan balik apa yang dah jadi salah sangka sebab staf situ pun semuanya orang Islam,” demikian komentar dan nasihat warganet.

FMT: Resit pesanan persenda Islam, premis piza buat laporan polis

FMT Reporters

Resit tular itu adalah resit pesanan dalam talian yang dibuat oleh seorang pelanggan cawangan rangkaian restoran piza terkenal.
Resit tular tertera mesej seolah-olah mempersendakan Islam yang dimasukkan seorang pelanggan cawangan piza di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
PETALING JAYA: Pihak pengurusan sebuah rangkaian restoran piza terkenal membuat laporan polis terhadap satu mesej kontroversi seolah-olah mempersendakan Islam pada resitnya, yang dimasukkan seorang pelanggan di sebuah premis di Pulau Pinang.

Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz berkata dia dimaklumkan mengenainya selepas berjumpa wakil pengurusan di wilayah utara dan penyelia cawangan itu di Sungai Ara malam tadi berikutan isu terbabit tular di media sosial.

“Ramai yang salah faham seperti saya juga pada awalnya yang menyangkakan resit berkenaan dijana oleh juruwang.

“Sebenarnya resit yang diviralkan itu adalah resit order secara ‘online’ dan ada ruangan ‘remark’ yang disalahgunakan oleh ‘pemprovokasi’ tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berharap dalang di sebalik provokasi membabitkan 3R (agama, bangsa dan institusi raja) itu ditangkap segera.

“Pihak polis telah pun membuka kertas siasatan dan saya minta masyarakat kekal tenang dan tidak termakan dengan provokasi ini.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk selesaikan,” katanya.

Insiden semalam menyusul dua kontroversi baru-baru ini berhubung kalimah Allah.

Pada 13 Mac lalu, gambar stokin tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah kedai KK Mart di Bandar Sunway tersebar di media sosial, namun rangkaian kedai serbaneka itu memohon maaf serta-merta.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut murka dan menzahirkan perasaan dukacita terhadap kontroversi itu dan menitahkan tindakan keras diambil terhadap pihak bertanggungjawab.