DATUK DR MUJAHID YUSOF
SETIAP wanita mengidamkan rumahtangga yang bahagia, tiada yang lebih bermakna melainkan satu ikatan suci dilangsungkan tanda kasih melayari bahtera hidup suami isteri.
Begitulah hati kecil Zarinah tersenyum pada majlis perkahwinannya namun suasana damai dan harapan membina istana kasih pada hari itu berkecai dan disentak kerana namanya Zarinah binti Abdul Majid menjadi sasaran siasatan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Ada apa pada nama?
Nama Zarinah berada pada tempat yang salah dan pada masa yang salah di sisi Jais kerana Zarinah yang namanya Islam tetapi melangsungkan perkahwinan secara agama dan adat Hindu dengan suaminya seorang penganut Hindu.
Zarinah Abdul Majid di ‘binti’kan kepada bapanya Abdul Majid. Nama asal bapanya S Mahendran yang berkahwin pada tahun 1980 dengan ibu Zarinah bernama S Vasandamma.
Kemudian bapanya memeluk Islam dengan memakai nama Abdul Majid sedangkan ibunya kekal pada agama asal. Namun pada tahun 1990, Abdul Majid menghilangkan diri meninggalkan keluarganya tetapi sempat menukar status anak-anaknya termasuk Zarinah dalam kad pengenalan mereka.
Setelah ditinggalkan bapanya, Zarinah membesar dengan nama Islam namun kekal mengamalkan agama Hindu bersama ibunya. Mereka tidak menyangka ia akan menjadi masalah besar pada satu hari yang diidamkan oleh setiap wanita, iaitu hari perkahwinan Zarinah.
Siapakah yang patut disalahkan dalam kes ini? Adakah Jais, Zarinah, bapanya atau undang-undang?
Dan dalam semua ini, bagaimana pula Islam dikaitkan?
Islam bukan yang disangkakan
Kes Zarinah perlu diberi keadilan dan perkara pertama yang perlu diperjelaskan adalah keislaman bapanya. Sebagaimana saya bergembira seseorang memilih Islam, saya juga bersedih kerana Islam agama saya diburukkan persepsinya oleh penganutnya sendiri.
Islam tidak mengizinkan sama sekali kezaliman berlaku apatah lagi kepada anak dan isterinya. Walaupun anak-anak bawah umur perlu berada pada agama ibu atau ayahnya yang beragama Islam namun ia mesti dilakukan dengan penuh rahmat dan kasih sayang sehingga tidak menafikan hak dan kasih sayang ibu atau ayahnya yang belum memeluk Islam.
Begitu juga jika salah seorang pasangan memeluk Islam maka perkahwinannya dibatalkan jika salah seorang tetap kekal pada agama asalnya dan hendaklah dipisahkan.
Itu hukumnya namun perlaksanaannya tidak mewajarkan ketidakadilan dari sudut kasih sayang anak, ibu dan hak isteri atau suami yang dipisahkan. Lebih utama adalah hak ibu atau bapanya yang masuk Islam mestilah mendidik anaknya dengan cara Islam yang betul tanpa menafikan kasih pada mana-mana ibu atau bapanya yang bukan Islam.
Menukarkan status anaknya kepada Islam dalam kad pengenalan kemudian meninggalkan mereka tanpa didikan yang sempurna adalah perbuatan yang tidak wajar dan ia bukanlah daripada ajaran Islam.
Dimana Anda Abdul Majid?
Dalam kes Abdul Majid kita tiada maklumat bagaimana dia melakukannya tetapi yang pasti ia telah melakukan sesuatu yang tidak pernah diajar oleh Islam, iaitu membiarkan keluarganya tanpa pembelaan malah dengan mewariskan masalah besar kepada anaknya.
Jelasnya, Zarinah mendakwa bapanya terus menghilang dan masalahnya juga adalah pendaftaran perkahwinannya tidak dapat dilakukan dengan cara sivil kerana Zarinah seorang Muslimah secara rasmi tetapi seorang Hindu dari segi amalannya.
Dilema Perundangan
Mimpi ngeri Zarinah boleh juga dirujuk kepada undang-undang yang sedia ada dan ia terbukti selama ini Zarinah berusaha menyelesaikan masalah namanya dalam kad pengenalan namun gagal kerana ia membabitkan dua pihak yang masing-masing tidak mahu mengambil tanggungjawab iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Mahkamah Syariah.
JPN tidak mahu menukar namanya sehingga Mahkamah Syariah mengisytiharkan dirinya telah pun keluar dari Islam.
Walaupun demikian sebagai rekod, ada satu kes Mahkamah Syariah berpihak kepada plaintif yang memohon keluar dari agama Islam iaitu, kes Siti Fatimah Abdullah atau nama asalnya Tan Ean Huang lwn MAIPP (Majlis Agama Islam Pulau Pinang) pada tahun 2008.
Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang mendapati plaintif tidak mengamalkan Islam sejak ditinggalkan suaminya seorang Muslim dari Iran. Fatimah Tan memeluk Islam tahun 1998 dan berkahwin sebagai seorang Islam pada tahun 2004.
Asas penghakiman dibuat kerana beliau tidak lagi mengamalkan Islam, namun Mahkamah menolak tuntutan plaintif untuk mengarahkan namanya ditukar kerana ia bukan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Peguam Ahmad Jailani Abdul Ghani mencatat satu sejarah buat pertama kalinya permohonan murtad diizinkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
Adapun kes melibatkan seorang yang telah mati iaitu kes Nyonya Tahir yang selama hidupnya 80 tahun sebelum meninggal telah pun tidak mengamalkan Islam, diisytiharkan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban tahun 2006 sebagai keluar Islam.
Dilemanya adalah dalam keadaan seorang Muslim dibiarkan tanpa pembelaan oleh orang yang bertanggungjawab lalu hidup dengan amalan agama lain, siapakah yang harus dipersalahkan?
Dalam kes Zarinah, di manakah bapanya? Sanggupkah bapanya melihat anaknya menderita terperangkap dalam dilema undang-undang apabila hilang begitu sahaja?
Apa halnya keadaan Zarinah yang sejak 20 tahun lampau tidak pernah mengamalkan Islam dan hanya kenal agama Hindu dalam hidup dewasanya, lalu tiba-tiba muncul penguatkuasa agama Islam menghalang perkahwinannya hanya kerana namanya?
Di mana Jais selama Zarinah membesar cuba menyelamatkan agama Islamnya seperti tertera dalam kad pengenalannya?
Nasib Zarinah
Zarinah perlu diberi pembelaan, Islam adalah agama rahmat pembela kepada yang mahukan keadilan tanpa mengira kulit, warna mahupun agamanya. Jalan terbaik adalah menyatakan apakah sikap Islam pada bapa yang mengabaikan tanggung jawab mendidik anak yang ditukarkan status agamanya kepada Islam.
Sebelum anaknya Zarinah didakwa kerana berkahwin dengan cara yang salah berpandukan pada nama Islamnya, bapanya Abdul Majid perlu tampil ke hadapan untuk menjawab mengapa dia gagal membentuk anaknya sebagai seorang Muslim setelah menukarkan status anaknya tetapi sebaliknya mengabaikan mereka pula.
Kedua, Zarinah mesti mendapat pembelaan di Mahkamah Syariah dengan memohon menetapkan status agama Islamnya berpandukan kepada ia sudah tidak beramal dengan Islam lagi. Zarinah memerlukan satu jawapan dalam kerangka perundangan yang ada untuk menentukan masa depannya.
Jika tidak, undang-undang negara ini akan dilihat menzalimi hak seorang rakyatnya menentukan masa depannya termasuk mendirikan rumah tangga dan menjadi rakyat yang setia kepada negara ini.
Ketiga, isu murtad mesti dibezakan antara yang asal Islam dan yang memeluk Islam kerana berkahwin atau namanya dan status agamanya ditukar menjadi Islam sedangkan dia beramal dengan agama lain.
Pilihan terbaik untuk menerima Islam adalah dengan pilihan sendiri atas kesedaran sendiri dan kerana keyakinan sendiri sebab Islam terbina atas ‘tiada paksaan’.
Memelihara kaedah agung Islam ini lebih utama daripada menjaga sensitiviti atau sentimen kerana Islam tidak terbina atas menyeksa mana-mana pihak tetapi Islam wajib memberi keadilan dengan kaedah dan prinsip yang telah ditetapkan.
Persoalan dalam artikel ini amat penting dilihat dengan sikap terbuka kerana ramai lagi ‘Zarinah’ di luar sana yang memerlukan jawapan. - HARAKAHDAILY
1 ulasan:
Kes seperti Zarina hindu ini bukan satu kes yang terpencil. Ramai dikalangan orang orang hindu yang berada dalam status yang sama.
Saya tak faham undang2 Malaysia paksa orang duduk dalam keadaan seperti ini. Kalau orang mualaf tidak tidak mahu Islam biarlah di kecuali JAKIM dan NGO2 Islam yang melalak isu isu politik bagi membantu pihak tertentu boleh membantu mereka ini. Kalau takdak sape nak bantu bantu lah mereka jadi orang dan jangan sampai mereka cemar nama baik Islam.
Suka kah kita orang Islam lihat mereka ni togok arak dan buat kerja2 maksiat.
Catat Ulasan