"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mercun terbakar, kereta hangus

FMT Reporters

Polis berkata mercun disimpan dalam bonet itu ingin digunakan semasa Hari Raya.
Tangkap layar menunjukkan Proton Gen 2 terbakar dengan bunyi letupan mercun turut kedengaran.
PETALING JAYA: Sebuah kereta terbakar dipercayai berpunca daripada mercun disimpan dalam bonet, dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat, Bukit Permata, Lumut.

Dalam video tular, kereta jenis Proton Gen 2 marak terbakar, disusuli bunyi letupan mercun, dengan beberapa mercun jenis roket terbang ke atas lalu meletup.

Ketua Polis Manjung Hasbullah Abd Rahman, pihaknya menerima laporan sekitar 5.30 petang semalam memaklumkan kejadian kebakaran itu.

Katanya, berkata sebelum kebakaran berlaku kereta itu mengalami kerosakan, dengan pemandu cuba menghidupkan semula, namun ternampak kepulan asap keluar.

Katanya, asap berkenaan keluar daripada tayar belakang sehingga mencetuskan api.

“Pemandu menyatakan ada meletakkan mercun untuk digunakan semasa Hari Raya dalam bonet kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran kereta itu berjaya dikawal bomba.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-6886222.

Teman wanita rupa-rupanya lelaki!

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perasaan teruja seorang juruteknik kilang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama teman wanita di kampung halaman bertukar menjadi mimpi ngeri apabila teman wanitanya adalah lelaki.

Menceritakan kejadian itu, Nur Maya Syuhada Rosley, 33, berkata, adiknya, dikenali sebagai Firdaus, 23, berkenalan dengan seorang 'wanita' di sebuah aplikasi temu janji sejak tiga minggu lalu.

"Menurut adik, wanita itu berusia 25 tahun dan berasal dari Sabah. Wanita berkenaan memaklumkan dia anak yatim dan baru sahaja memeluk Islam serta belajar di Dubai.

"Sepanjang tempoh perkenalan mereka, adik sering menghubungi wanita itu termasuk membuat panggilan video. Namun, adik maklumkan tidak melihat wajah teman wanitanya itu kerana dia memakai purdah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Maya berkata, adiknya memaklumkan teman wanitanya mahu beraya bersama mereka sekeluarga kerana dia mendakwa sudah tidak mempunyai ahli keluarga lain.

"Dengan persetujuan ibu, adik menjemputnya datang ke rumah kami di Pontian, Johor. Pada mulanya, wanita itu memaklumkan mahu ke kampung pada 28 atau 30 Mac ini. Namun tiba-tiba, dia maklumkan mahu datang 26 Mac (Khamis lalu).

"Wanita itu maklumkan dia menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Pontian dan dijemput adik di stesen bas kira-kira jam 3 petang, hari kejadian," katanya.

Menurutnya, wanita itu ada menghubungi adik perempuannya bernama Izzati sehari sebelum tiba di Pontian untuk memaklumkan dirinya agak gemuk, lasak serta lagak seperti tomboi.

"Sebaik tiba, ibu membawa wanita itu ke bazar Ramadan. Ibu beritahu dia yang membayar semua makanan dibeli wanita itu yang tidak dapat mengimbas kod QR untuk pembayaran.

"Kira-kira jam 10 malam, ibu dan adik memaklumkan mereka mengantuk dan mahu tidur tetapi wanita itu tetap duduk di ruang tamu sambil bermain telefon dengan masih memakai purdah.

"Wanita itu kemudian tidur di sebelah ibu dengan memakai purdah dan memberi alasan sering tidur begitu (tidur dengan purdah)," katanya.

Beberapa minit kemudian, ibu mengambil gambar wanita itu yang sedang tidur kerana terkejut melihat wajahnya yang kelihatan seperti lelaki.

Katanya, Izzati kemudian menyelongkar barang wanita itu dan menemui kad pengenalan seorang lelaki menyebabkan mereka terus menghubungi pihak polis.

"Ketika didesak pihak polis mengenai identitinya, lelaki itu memaklumkan dia adalah khunsa. Pihak polis kemudian membawa lelaki terbabit keluar dari rumah kami.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti motif dia menyamar sebagai wanita. Saya bersyukur kerana tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Nur Maya berkata, dia sama sekali tidak menjangkakan perkongsian mengenai kejadian itu di media sosial menjadi tular memandangkan tujuannya berbuat demikian hanya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Ketika kejadian itu berlaku, kami sekeluarga rasa cemas dan takut kerana bimbang lelaki berkenaan akan buat jenayah seperti samun. Alhamdulillah, kami sedar awal dalam keadaan dia masih tidur.

"Malah, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian juga bertindak pantas. Selepas selesai semua urusan, kami rasa kasihan pula pada adik yang kena tipu dengan 'teman wanitanya'," katanya.

Lelaki tular hentak kepala guna topi keledar ditahan

FMT Reporters

Lelaki berusia 27 tahun itu dicekup dengan polis rampas topi keledar dan motosikal bagi tujuan siasatan.
Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki berusia 52 tahun rebah selepas dihentak penunggang menggunakan topi keledar, berpunca selisih faham atas jalan raya.
PETALING JAYA: Pelaku tular disyaki menghentak kepala seorang lelaki menggunakan topi keledar sehingga rebah dalam kejadian di persimpangan masuk Taman Cheng Utama, Melaka sudah ditahan.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit, berkata suspek berusia 27 tahun dan bekerja sebagai peniaga itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari tadi di Balai Polis Batang Tiga, Klebang.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian pergaduhan itu disyaki berpunca akibat perselisihan faham melibatkan suspek dan mangsa berumur 52 tahun.

“Pergaduhan itu akhirnya membawa kepada insiden fizikal dan suspek bertindak memukul mangsa menggunakan topi keledar,” katanya menurut Bernama.

Christopher berkata, mangsa hadir ke IPD Melaka Tengah untuk memberikan keterangan selain diberikan borang POL 59 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Beliau berkata pihak polis sedang dalam proses merampas motosikal dan topi keledar serta pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Melaka Tengah atau balai polis berdekatan,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 17 saat yang merakamkan kejadian itu tular di Facebook, apabila seorang lelaki rebah selepas dipercayai kepalanya dihentak menggunakan topi keledar.

Gempa Myanmar: 694 maut, 1,670 cedera, 68 hilang

Bernama

MYANMAR: Seramai 694 orang terbunuh, 1,670 cedera dan 68 lagi hilang akibat gempa bumi kuat di Wilayah Mandalay, Myanmar, setakat pagi Sabtu, lapor Xinhua memetik Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara Myanmar.

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 menggegarkan negara itu pada Jumaat, menurut pasukan penerangan berkenaan.

Laporan rasmi menyatakan gempa bumi itu menyebabkan kegagalan sistem bekalan elektrik.

Rangkaian telekomunikasi juga tidak berfungsi dengan lancar dan beberapa kawasan di Yangon tidak mempunyai isyarat telefon bimbit.

Banyak bangunan mengalami kerosakan dan operasi menyelamat sedang giat dijalankan.

Tindakan penguat kuasa DBKL keji - Kamil Munim

Malaysiakini

Siasatan segera perlu dijalankan terhadap mereka yang terlibat dalam insiden membabitkan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan peniaga belon di Jalan Tunku Abdul Rahman  (TAR).

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata sementara menunggu laporan penuh pihak berkuasa, beliau turut mengecam insiden berkenaan.

Tindakan penguat kuasa mengasari peniaga dalam satu video yang tular tidak boleh diterima serta apa sahaja alasan tidak boleh sama sekali menghalalkan tindakan keji dan biadab itu.

“Apa erti berpuasa dan beramal di bulan Ramadan sekiranya ia gagal memanusiakan kita serta tidak ‘memacul’ sikap ihsan dan belas pada yang tidak berkemampuan. Ramadan mesti memperteguh sikap kemanusiaan dan meningkatkan tahap keperibadian,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Menerusi video yang tular, kekecohan mula berlaku selepas DBKL mengambil tindakan merampas barang jualan daripada beberapa individu yang dikatakan berniaga tanpa lesen, termasuk penjual belon berkenaan.

 Penjual terbabit enggan menyerahkan belon yang dibawanya sehingga mencetuskan pergelutan.

-- Bernama

Kelantan: 'Bunyi dentuman kuat itu rupanya anak terjatuh dalam perigi 10 meter...'

Nor Amalina Alias
Tuan Hasnah dan Shahrul Nizam menunjukkan perigi yang sudah ditutup papan sepenuhnya. NSTP/Nor Amalina Alias
Tuan Hasnah dan Shahrul Nizam menunjukkan perigi yang sudah ditutup papan sepenuhnya. NSTP/Nor Amalina Alias
BACHOK: "Saya panik apabila bunyi dentuman kuat yang didengari itu rupanya anak bongsu yang terjatuh dalam perigi sedalam 10 meter, tetapi mujurlah ketika itu paras air hanya setakat dadanya iaitu kira-kira setengah meter saja," kata Tuan Hasnah Tuan Lah, 52, dari Kampung Seneng, Jelawat, di sini.

Beliau berkata, perigi berkenaan memang berada dalam kawasan dapur di rumahnya dan sering digunakan untuk urusan harian, tetapi tidak menyangka anaknya, Shahrul Nizam Majuddin, 8, memanjat kayu reput yang dijadikan penutup perigi itu yang menyebabkan dia terjatuh dalam perigi gelap itu, kelmarin.

"Perigi itu memang ada dalam rumah dan di atasnya diletakkan kayu penutup. Malangnya, ketika Shahrul Nizam memijak kayu penutup itu, ia reput dan patah menyebabkan dia terjatuh dalam perigi sedalam 10 meter.

"Saya yang terkejut mendengar dentuman bunyi kuat terus bergegas ke dapur mencari anak dan panik melihat dia ada di dasar pergi yang airnya sedalam kira-kira setengah meter sambil menjerit menangis.

"Luluh hati melihatnya, lalu saya kemudian berlari meminta bantuan penduduk kampung yang berusaha mengeluarkannya segera dari perigi itu menggunakan tangga," katanya kepada BH.

Mengulas kejadian itu, Tuan Hasnah berkata, hanya dia dan Shahrul Nizam berada di rumah manakala suami, Majuddin Mohd, 39 bekerja.

"Saya bersyukur anak tidak cedera dalam kejadian itu. Saya juga berterima kasih kepada pasukan bomba yang yang datang membantu tetapi ketika itu, anak sudah berjaya dikeluarkan dari perigi," katanya,

Gempa di Myanmar: 144 terbunuh, 732 cedera dalam gempa bumi 7.7 magnitud

Bernama

YANGON: Sekurang-kurangnya 144 orang terbunuh dan 732 cedera di Myanmar selepas gempa bumi dengan magnitud 7.7 menggegarkan negara itu pada Jumaat, menurut Pasukan Penerangan Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, lapor Xinhua.

Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berkata jumlah korban termasuk 96 dari ibu negara Nay Pyi Taw, 18 dari Sagaing dan 30 dari Kyaukse, menurut laporan itu.

Beliau berkata mereka yang cedera termasuk 432 dari Nay Pyi Taw dan 300 dari Sagaing.

Menurut beliau, banyak bangunan mengalami kerosakan, dan operasi menyelamat sedang dijalankan.

Min Aung Hlaing turut meminta bantuan daripada masyarakat antarabangsa, menurut laporan itu.

Video tular Gempa bumi Myanmar: Bangunan di Bangkok runtuh, 43 terperangkap

Sinar Harian

Video tular di media sosial menunjukkan bangunan bertingkat dengan kren di atasnya rebah ke tanah, diselubungi debu tebal, sementara orang ramai menjerit dan berlari menyelamatkan diri. - Gambar/ Agensi

SEBUAH bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan di Bangkok, Thailand runtuh selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Thailand dan negara jiran, Myanmar, tengah hari Jumaat.

Video tular di media sosial menunjukkan bangunan bertingkat dengan kren di atasnya rebah ke tanah, diselubungi debu tebal, sementara orang ramai menjerit dan berlari menyelamatkan diri.

Salah satu rakaman paling mencemaskan memaparkan sebuah bangunan pencakar langit yang masih dalam pembinaan runtuh sepenuhnya, dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya 43 individu hilang dalam insiden tersebut

Polis memaklumkan kepada Associated Press (AP) bahawa mereka sedang bertindak di lokasi kejadian berhampiran Pasar Chatuchak, namun belum dapat memastikan jumlah pekerja yang berada di tapak pembinaan ketika runtuhan berlaku.

Gegaran itu disusuli dengan gempa susulan berukuran 6.4 magnitud, menyebabkan penduduk yang dipindahkan di sekitar Bangkok dinasihatkan supaya kekal berada di luar bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dan pusat geosains Jerman (GFZ), melaporkan gempa bumi itu berlaku pada kedalaman cetek sekitar 10 kilometer dengan pusat gempa di Myanmar, menurut laporan awal.

Rakaman turut menunjukkan air dari kolam renang di atas bangunan tinggi di Bangkok melimpah keluar, manakala serpihan bangunan jatuh ke jalanan.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, memanggil mesyuarat tergempar bagi menilai kesan gempa bumi tersebut.

Lebih 17 juta penduduk tinggal di kawasan metropolitan Bangkok, kebanyakannya menghuni apartmen dan kondominium bertingkat tinggi.

Ketika gegaran berlaku sekitar jam 1.30 petang, loceng amaran berbunyi di beberapa bangunan, menyebabkan penghuni hotel dan kondominium di pusat bandar bergegas turun melalui tangga kecemasan.

Mereka kemudian berkumpul di jalanan, berteduh daripada terik matahari sambil menunggu perkembangan lanjut.

Jabatan Pencegahan Bencana Thailand mengesahkan bahawa gegaran dirasai di hampir semua wilayah di negara itu.

Sementara itu, di Myanmar, pusat gempa terletak kira-kira 50 kilometer ke timur bandar Monywa.

Di ibu negara Naypyitaw, gegaran menyebabkan beberapa tempat ibadat rosak dan runtuh, selain turut menjejaskan beberapa kediaman.

Bagaimanapun, laporan lebih terperinci mengenai kerosakan di Myanmar masih belum diperoleh memandangkan negara itu sedang bergolak dalam perang saudara. - Sinar Harian memetik agensi

Masjid runtuh: 10 terbunuh dalam gempa bumi kuat di Myanmar

Bernama

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 menggegarkan 16 kilometer (km) ke utara barat laut Sagaing, Myanmar awal hari ini. - Foto Reuters

YANGON: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh apabila sebuah masjid runtuh di Mandalay susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada Jumaat, lapor Xinhua memetik media tempatan Khit Thit.

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 menggegarkan 16 kilometer (km) ke utara barat laut Sagaing, Myanmar awal hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pusat gempa yang berada pada kedalaman 10.0 km, pada mulanya ditentukan pada 22.01 darjah latitud utara dan 95.92 darjah longitud timur.

Gempa itu menyebabkan "kerosakan besar" kepada beberapa bangunan, termasuk tembok kubu Istana Mandalay.

Beberapa struktur di Wilayah Mandalay mengalami keruntuhan manakala beberapa jalan yang menghubungkan Mandalay dan Yangon turut rosak atau terhalang, mengganggu pergerakan pengangkutan.

Wartawan Xinhua di Yangon melaporkan gegaran kuat turut dirasai di ibu negara Nay Pyi Taw dan bandar terbesar, Yangon. Beberapa sekolah dan bangunan pejabat di Nay Pyi Taw dilaporkan runtuh.

Jabatan Bomba Myanmar memaklumkan operasi menyelamat telah dijalankan sebagai tindak balas terhadap gempa bumi.

Berikutan gempa bumi itu, wartawan Xinhua di Vientiane ibu negara Laos; Bangkok, ibu negara Thailand dan Hanoi, ibu negara Vietnam melaporkan gegaran kuat turut dirasai di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengisytiharkan darurat di Bangkok.

Sebuah bangunan 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di ibu negara Thailand, mengakibatkan seorang maut dan menyebabkan 43 yang lain hilang.

Di Vientiane, bangunan melebihi tiga tingkat mengalami gegaran yang ketara, dengan penduduk di bangunan tinggi merasakan kediaman mereka bergoyang dengan kuat.

Di Hanoi dan Ho Chi Minh City, penduduk yang menetap di bangunan tinggi turut merasai gegaran yang ketara ketika berada di rumah.

2 suspek pecah rumah, langgar polis ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com
KERETA suspek yang terkandas di jejambat Jalan SS14, Subang Jaya. FOTO Ihsan Polis.
KERETA suspek yang terkandas di jejambat Jalan SS14, Subang Jaya. FOTO Ihsan Polis.
Subang Jaya: Dua lelaki yang terbabit dalam kes pecah rumah dan melanggar motosikal anggota polis ditahan di Jalan SS 14, di sini, hari ini.

Ketika kejadian, anggota polis turut terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek apabila mereka cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, Balai Polis Subang Jaya menerima maklumat awam berkenaan satu kes pecah rumah yang berlaku di Jalan SS 14 pada 3.50 petang.

Katanya, hebahan kemudian dibuat kepada semua anggota bertugas dengan anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Subang Jaya yang berada di kawasan berhampiran segera ke lokasi.

"Ketika anggota tiba, kelihatan suspek sedang keluar dari rumah mangsa menuju ke kenderaan yang berada di hadapan rumah itu.

"Suspek berusia 30-an dan 40-an terus memandu kenderaan dan melanggar motosikal serta seorang anggota polis di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota polis yang berada di tempat kejadian melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek yang melarikan diri sehingga ke jejambat Jalan SS 14.

Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya ditangkap oleh pihak polis dan siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 kanun keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah) atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintendan Khairulazizi Ismail 019-2817820.

Lelaki jatuh atas kereta dari ketinggian 10 tingkat

FMT Reporters

Mangsa berusia 25 tahun masih sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Selayang dalam kejadian di PPR Sri Aman, Jinjang.
Ketua Polis Sentul Ahmad Sukarno Zahari, berkata mangsa terjatuh dari tingkat 10 PPR Sri Aman, Jinjang ke atas kereta yang diparkir di bawah.
PETALING JAYA: Lelaki berusia 25 tahun masih bernyawa walaupun terjatuh dari tingkat 10 flat projek perumahan rakyat (PPR) Sri Aman di Jinjang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Sentul Ahmad Sukarno Zahar, berkata polis menerima laporan pada 12.30 tengah hari tadi.

“Seorang lelaki telah terjatuh dari tingkat 10 PPR Sri Aman, Jinjang ke atas kereta yang diparkir di bawah.

“Mangsa masih sedarkan diri dan telah dibawa dengan ambulan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Video berdurasi tujuh saat mengenai kejadian kini tular di media sosial.

Gegaran gempa bumi Myanmar turut dirasai di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang

Astro Awani

Bangunan dalam pembinaan yang runtuh di Bangkok selepas gempa bumi kuat melanda tengah Myanmar pada Jumaat. - Gambar/ Reuters

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 yang melanda di tengah Myanmar hari ini turut dirasai oleh sebahagian rakyat Malaysia terutama di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Pengguna laman sosial Facebook dari ketiga-tiga negeri itu berkongsi rasa terkejut apabila merasai gegaran kecil di kediaman masing-masing.

Berdasarkan perkongsian daripada Puan Emma Man di laman Facebook, beliau dapat merasakan sedikit gegaran secara tiba-tiba.

"Di Alor Setar pun ada rasa sikit, ingatkan sebab apa... tiba-tiba pening," katanya.

Shaiful Zikri Hamidon yang berada di Kelantan turut merasakan gegaran walaupun berada di tingkat 23.

"Patutlah terasa kat Klate ni, duk tingkat 23 kat tepi sungai ini terasa bergoyang... lampu-lampu pun sama bergoyang," katanya.

Joyce Ng yang berada di Pulau Pinang menyatakan: "Saya rasa gegaran, rasa pening. Di Pulau Pinang," ujarnya di komen Facebook.

Bagaimanapun, MetMalaysia berkata, tiada ancaman tsunami dilaporkan kepada Malaysia susulan kejadian itu.

Dipukul kerana berpuasa: Pengawal sebak bekas majikan dipenjara, denda

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
MOHD Azminizam (tengah) serta Ahmad Shamsuri (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Klang selepas keputusan kes. FOTO Faiz Anuar
MOHD Azminizam (tengah) serta Ahmad Shamsuri (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Klang selepas keputusan kes. FOTO Faiz Anuar
Klang: Dua pengawal peribadi yang dipukul majikan kerana berpuasa empat tahun lalu bersyukur selepas bekas majikannya dijatuhkan hukuman penjara dan denda di Mahkamah Majistret, hari ini.

Kedua-dua pegawal peribadi, Mohd Azminizam Zulkepli, 48, dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31, ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai.

Menurut Mohd Azminizam, dia sehingga kini masih trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya ketika berpuasa pada 2021 itu.

"Niat saya adalah untuk menyempurnakan ibadah Ramadan namun sebaliknya dihina dan dicederakan majikan ketika itu.

"Alhamdulilah, doa saya dan keluarga dimakbulkan Allah apatah lagi keputusan mahkamah ini juga pada bulan puasa," katanya sebak.

Beliau berkata, tugas pengawal peribadi adalah menjaga majikan dan bukannya dipukul atau dihina.

Sementara itu, Ahmad Shamsuri berkata, penat lelah ke mahkamah selama empat tahun berbaloi dengan keputusan berkenaan.

"Ia adalah keadilan buat kami dan perjuangan kami selama ini tidak hanya sia-sia. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong dan mendoakan kami," katanya.

Terdahulu, ahli perniagaan dipenjara enam tahun 10 bulan dan didenda RM22,000 kerana menghina, mengugut dan mencederakan pengawal peribadinya kerana berpuasa, empat tahun lalu.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chung Chee Yang, 47, disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya di daerah ini pada 2021.

Lelaki OKU didakwa miliki 79 gambar, video lucah kanak-kanak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan menyimpan lebih 70 gambar dan video lucah kanak-kanak yang dimuat turun menerusi media sosial.

Tertuduh, Mohd Azmeer Ithnin, 35, yang juga OKU lembam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor, menuru Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didapati memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak iaitu 79 keping gambar dan satu video dalam telefon bimbitnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Segamat pada 5.45 petang, 19 Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan dilakukan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat pada 6 Februari lalu, Google melaporkan kepada Pusat Kebangsaan bagi Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi (NCMEC) yang berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS) selepas berjaya mengesan satu pautan digunakan untuk memuat turun bahan lucah kanak-kanak.

NCMEC kemudiannya merujuk kepada polis Bukit Aman pada 13 Februari untuk tindakan susulan termasuk menyiasat individu menggunakan pautan terbabit.

Polis menyerbu rumah tertuduh dengan pemeriksaan dalam telefon bimbitnya mendapati terdapat banyak bahan lucah dalam simpanannya.

Semakan terhadap nombor telefon bimbit yang digunakan tertuduh didapati didaftar atas nama lelaki warga Pakistan.

Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Rohana Ramli.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 serta syarat tambahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan mengenakan syarat dia melapor diri di balai polis berhampiran.

Kes disebut semula pada 28 Mei ini untuk serahan dokumen termasuk laporan forensik.

Lelaki maut diserang buaya ketika berenang di Teluk Palu

Bernama

JAKARTA: Seorang kelasi berusia 51 tahun maut akibat diserang buaya ketika berenang di Teluk Palu, Sulawesi Tengah, pada pagi Khamis, menurut pihak berkuasa.

Menurut saksi, mangsa sedang berenang berhampiran Pantai Talise di kawasan Kampung Nelayan apabila tiba-tiba diseret buaya ke bawah air pada kira-kira 7.15 pagi waktu tempatan.

Pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), polis tempatan, dan penduduk segera dikerahkan ke lokasi kejadian, tiba kira-kira 45 minit kemudian.

Ketua Pejabat Pencarian dan Penyelamatan Palu, Muhammad Rizal, berkata pasukan itu menggunakan dron termal pada 8.20 pagi untuk mengesan pergerakan mangsa dan buaya berkenaan.

"Kami mengesan mangsa 10 minit kemudian yang masih dalam cengkaman buaya, dan membuat keputusan untuk menembak buaya itu bagi membebaskannya," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, ketika pasukan penyelamat menemukan mangsa pada 10.20 pagi, kira-kira 40 meter dari pantai, dia telah pun meninggal dunia. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Polis Bhayangkara untuk pemeriksaan lanjut.

Serangan buaya di kawasan itu dilaporkan semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan pihak berkuasa mengenai keselamatan perenang serta nelayan di Teluk Palu.

Serangan terbaru itu mengukuhkan lagi ancaman buaya di kawasan itu, yang dipercayai mendiami perairan teluk berkenaan.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa sedang menilai situasi dan mempertimbangkan langkah tambahan bagi mencegah serangan lanjut di rantau berkenaan, tambah Muhammad.

Kemalangan maut: Lagi puncanya tayar treler menyebabkan 5 kehilangan nyawa

Tragedi menjelang Syawal: Lima maut termasuk tiga beranak, tayar treler pecah masuk laluan bertentangan

Siti Nur Aqilla Omar

Lima orang termasuk tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dalam kejadian di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sedenak, tengah malam tadi. - Gambar ihsan JBPM Johor

KLUANG: Lima orang termasuk tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan, dalam kejadian di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Sedenak, malam tadi.

Nahas yang berlaku sekitar jam 11.30 malam itu turut menyebabkan lapan yang lain cedera.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, tiga mangsa yang maut termasuk kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, Mariam Nasarudin.

Kesemua mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara ibu bapa kanak-kanak terbabit yang juga pemandu Honda Stepwagon Spada, Nasarudin Pardi, 36 dan Siti Khazira Bani, 35 meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

Menurut Bahrin, dua lagi mangsa yang maut ialah pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23 dan penumpang hadapan lelaki berusia 20 tahun yang belum dikenal pasti identitinya.

Katanya, nahas menjelang Syawal itu membabitkan sebuah Treler, Toyota Camry, Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku semasa pemandu lori, lelaki tempatan berumur 35 tahun dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur, ketika tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan kanan telah pecah dan hilang kawalan.

"Ia menyebabkan treler terbabit hilang kawalan dan bergesel dengan Toyota Camry yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bersama tiga penumpang di laluan sama.

"Kemudian treler tersebut telah masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Proton X50 serta Honda Stepwagon Spada yang dinaiki enam beranak dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.

"Akibat kemalangan itu, Stepwagon Spada telah terbakar keseluruhan, namun pemandu dan penumpang sempat keluar dari kenderaan sebelum api merebak," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Bahrin lagi, lima mangsa yang maut disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Manakala lapan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Enche Besar Hajah Khalsom, Kuang untuk rawatan.

"Pemandu treler ditahan untuk siasatan, bagaimanapun tangkapan bebas dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.

Nahas 5 kenderaan, 3 dipercayai maut

Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
KEMALANGAN membabitkan lima kenderaan di kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, lewat malam tadi. FOTO ihsan bomba
KEMALANGAN membabitkan lima kenderaan di kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, lewat malam tadi. FOTO ihsan bomba
Kluang: Tiga individu dipercayai maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 58.1, Lebuhraya Plus arah selatan, di sini, lewat malam tadi, yang turut menyebabkan kebakaran sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan treler.

Kejadian 11.48 malam itu mengakibatkan beberapa mangsa lain cedera, sementara tiga individu dilaporkan selamat.

Komander Operasi Kanan Nizar Mamun dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam mengesahkan ada mangsa yang maut, namun butiran lanjut mengenai kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, seramai 13 anggota daripada BBP Renggam dan Kulai bersama tiga jentera terbabit dalam operasi menyelamat. 

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kebakaran membabitkan MPV Honda Stepwagon dan treler. Kemalangan juga membabitkan Toyota Camry dan Proton X50," katanya dalam kenyataannya, sebentar tadi.

Nizar berkata, maklumat awal menunjukkan tiga mangsa dalam Toyota Camry selamat, sementara seorang lelaki dan seorang perempuan dalam Proton X50 cedera.

"Seorang lelaki dalam treler juga cedera. MPV Honda Stepwagon pula membawa seorang lelaki, empat perempuan, serta dua kanak-kanak, membabitkan seorang lelaki dan seorang perempuan (butiran lanjut keadaan mangsa masih dalam siasatan)," katanya.

6 terbunuh, 9 cedera apabila kapal selam pelancong tenggelam di Laut Merah Mesir

Bernama
Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan sembilan lagi cedera pada Khamis apabila sebuah kapal selam pelancong tenggelam di Laut Merah, Mesir semasa lawatan di bandar peranginan Hurghada. - Foto REUTERS
KAHERAH: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan sembilan lagi cedera pada Khamis apabila sebuah kapal selam pelancong tenggelam di Laut Merah, Mesir semasa lawatan di bandar peranginan Hurghada, menurut sumber rasmi di Governorat Laut Merah kepada Xinhua.

Lima daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala 29 penumpang lain diselamatkan dan dibawa kembali ke hotel mereka, menurut sumber itu yang enggan dikenali.

Sumber itu menambah bahawa punca kejadian masih dalam siasatan, dan kewarganegaraan mangsa belum dikenal pasti.

Menurut beberapa media tempatan, termasuk laman web Al-Masry Al-Youm, kapal selam pelancong yang bernama Sindbad itu membawa 44 penumpang dalam perjalanan bawah air untuk meneroka terumbu karang.

Sementara itu, RIA Novosti memetik kenyataan dari Konsulat Jeneral Rusia di Hurghada yang menyatakan bahawa semua pelancong di atas kapal selam tersebut adalah warga Rusia.

"Terdapat 45 pelancong termasuk kanak-kanak, serta anggota kru. Kesemua mereka adalah warganegara Rusia, pelancong dari syarikat Biblio Globus," menurut kenyataan konsulat itu, lapor RIA Novosti.

Menantu licik tukar kunci, jual rumah orang

Agensi
DALAM tempoh kira-kira lima tahun, Wang menipu mangsa termasuk ibu saudaranya, kakak iparnya, dan rakan dengan jumlah 24 juta yuan (kira-kira RM14.7 juta). FOTO Douyin
DALAM tempoh kira-kira lima tahun, Wang menipu mangsa termasuk ibu saudaranya, kakak iparnya, dan rakan dengan jumlah 24 juta yuan (kira-kira RM14.7 juta). FOTO Douyin
Beijing: Seorang wanita di China menjadi dalang skim penipuan dengan menukar kunci 80 flat, memalsukan dokumen kediaman itu dan kemudian menjualnya secara tidak sah.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, wanita itu juga tergamak menjadikan rakan dan ahli keluarga sebagai mangsanya sehingga mengaut 24 juta yuan (kira-kira RM14.7 juta) dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Suspek dikenali Wang Wei berasal dari wilayah Gansu di utara-tengah China dan dilaporkan berusia awal 30-an, menurut majalah berita Nanfengchuang.

Selepas perkahwinan Wang dengan lelaki bernama Cheng pada 2017, dia dan pasangannya mengumpul hutang kad kredit yang banyak. Ia disebabkan tabiat Wang yang boros berbelanja.

Dalam usaha untuk meringankan beban kewangan ini, bapa kepada Cheng memperoleh pinjaman sebanyak 450,000 yuan (kira-kira RM274,805) dengan menggunakan rumahnya sebagai cagaran.

Bagi membalas budi bapanya, Cheng mengamalkan gaya hidup berjimat cermat selama beberapa tahun.

Namun, dia tidak tahu bahawa isterinya menjadi dalang penipuan yang menyasarkan ahli keluarga.

Dalam tempoh itu, Wang mendapat tahu mengenai sebuah syarikat tempatan yang menjalankan rancangan penempatan semula untuk penduduk, namun unit di bangunan kediaman untuk tujuan itu masih belum diduduki.

Hasil bantuan Photoshop, wanita itu memalsukan sijil harta dan pelan lantai, memperdaya tukang kunci dengan mengemukakan dokumen palsu.

Seorang tukang kunci menceritakan bahawa setiap kali Wang menghubunginya, dia akan mengiringi wanita itu menaiki tangga di dalam bangunan berkenaan, jauh dari kamera litar tertutup (CCTV).

"Dia mempamerkan dokumen itu, yang didakwanya membuktikan pemilikan harta itu, jadi saya tiada sebab untuk meraguinya," katanya.

Demi mengelak syak wasangka, Wang menggunakan pelbagai tukang kunci, masing-masing untuk menggantikan kunci di beberapa unit flat.

Sebaik sahaja dia memiliki semua kunci, Wang menjual kediaman itu pada harga yang jauh rendah.

Dia menawarkan rumah pangsa bernilai 1.1 juta yuan (kira-kira RM671, 746) dengan harga 600,000 yuan (kira-kira RM366,407), setiap satu kepada 42 saudara dan rakan.

Dalam tempoh kira-kira lima tahun, dia menipu mangsa termasuk ibu saudaranya, kakak iparnya, dan rakan dengan jumlah 24 juta yuan (kira-kira RM14.7 juta).

Namun, helah wanita itu akhirnya terbongkar dan dan dia kini berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Sehingga artikel ini diterbitkan SCMP, pihak berkuasa masih cuba mendapatkan semula wang yang terbabit dalam penipuan ini dan setakat ini sudah merampas aset bernilai 8 juta yuan (kira-kira RM4.88 juta).

Zamri Vinoth ditahan kerana ‘menghasut’, dijangka direman esok

Malaysiakini 

Pendakwah bebas Zamri Vinoth dilaporkan telah ditahan berhubung hantaran Facebooknya mengenai isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur.

Menurut beberapa laporan media, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah memulakan siasatan terhadapnya di bawah Akta Hasutan 1948.

Zamri dilaporkan kini ditahan di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) Padang Besar, Perlis dan akan dibawa ke mahkamah Kangar esok untuk permohonan reman.

Tekup isteri sampai mati, lelaki dipenjara 30 tahun

Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas kontraktor dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh isterinya dengan cara menekup mangsa menggunakan selimut di kediaman mereka, empat tahun lalu.

Hakim K Muniandy menjatuhkan hukuman itu ke atas Chuah Chin Hoe, 51, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan, selain memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu 11 Mei 2021.

“Selepas mempertimbangkan dengan teliti hujahan daripada peguam tertuduh, faktor-faktor pemberatan yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya, pernyataan impak mangsa daripada ahli keluarga kedua-dua si mati, yang seimbang dengan pelakuan jenayah serta fakta dan keadaan kes ini, mahkamah ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas tertuduh,” kata hakim itu.

Chuah didakwa membunuh Lau Bee Hong yang ketika kejadian berusia 46 tahun, di sebuah unit kondominium di Jalan Genting Klang, Setapak, antara 2.30 pagi dan 9.30 pagi, 9 Mei 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Terdahulu, peguam Carmen Eu yang mewakili bapa tiga anak itu, memohon hukuman penjara paling minimum selama 30 tahun tanpa dikenakan sebatan, atas alasan anak guamnya berusia lebih 50 tahun dan mengalami masalah tekanan mental berikutan kehilangan isteri dan anak lelaki mereka dalam tempoh masa singkat.

“Tertuduh merupakan suami yang baik dan penyayang dan perbuatan yang dilakukan terhadap isterinya adalah serangan secara spontan dan bukannya sesuatu yang telah dirancangkan. Mohon mahkamah mengambil kira juga fakta bahawa tertuduh tidak dapat menghadiri pengebumian anak keduanya kerana dia berada di penjara.

“Dengan hukuman yang minimum, tertuduh berjanji akan menggunakan peluang kali kedua sebaik mungkin,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir memohon hukuman maksimum, mengambil kira faktor tertuduh sebagai seorang suami dan ketua keluarga bertanggungjawab melindungi dan bukan menyakiti isterinya.

“Keterangan dikemukakan di mahkamah tidak menunjukkan sebarang elemen pergaduhan atau provokasi yang membawa kepada pembunuhan ini. Ia bukanlah ‘a crime of passion’, ia jenayah dilakukan dengan niat dan telah dirancang terlebih dahulu.

“Terdapat bukti spesifik menunjukkan mangsa membuat laporan polis kerana bimbang ancaman terhadap dirinya dan bukti ini tidak seharusnya diketepikan dalam menjatuhkan hukuman. Oleh itu saya mohon satu hukuman paling wajar iaitu penjara maksimum selama 40 tahun, jika tidak dikenakan hukuman mati,” katanya.

Pada prosiding, pernyataan kesan terhadap mangsa turut dibacakan di mahkamah oleh kakak dan anak lelaki mangsa dengan dihadiri peguam pemerhati bagi pihak keluarga Phang Soon Mun dan Darren Ee Kin Chung.

Pensyarah dituduh lakukan seks guna objek, persetubuhan luar tabii terhadap pelajar

Bernama

Ahmad Syahir Sharifudeen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman.
Tertuduh Ahmad Syahir Sharifudeen yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman berdepan lima pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek dan tiga pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan tabii. (Gambar Bernama)
CHUKAI: Seorang pensyarah di sebuah institut kemahiran di sini didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman atas lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek dan persetubuhan luar tabii terhadap dua pelajarnya tahun lalu.

Ahmad Syahir Sharifudeen, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika semua pertuduhan dibacakan secara berasingan ke atasnya.

Lelaki itu berhadapan lima pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek dan tiga pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan tabii terhadap kedua-dua mangsa perempuan yang berusia 19 tahun.

Semua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat letak kereta di Mesra Mall di Kemasik dan Hotel Awana Kijal, sejak 17 Nov hingga 1 Dis lalu.

Pertuduhan bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks menggunakan objek yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksima 30 tahun dan sebatan, manakala bagi kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Asyikin Hashim, menawarkan lelaki itu jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan, namun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Farhana Shamsudin memohon jumlah minimum kerana Syahir tiada lagi akses untuk mendekati mangsa, memandangkan sudah dipindahkan serta-merta ke Putrajaya selain perlu menyara ibu serta isterinya.

Hakim Wan Suhaila Mohd kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM23,000 dan dikehendaki melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan menetapkan 30 April untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kemaman, Syahir mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat dan maksud hendak mencabul kehormatan kedua-dua mangsa sama.

Kesalahan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Mesra Mall pada 17 Nov hingga 1 Dis lalu.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki bahan lucah iaitu dua jenis alat mainan seks di ruang lobi institut kemahiran itu pada 13 Mac lalu, bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili Nurul Farhana.

Pengkid mengaku salah lakukan amang seksual fizikal terhadap 'teman wanita'

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan sejak pertengahan lalu di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. FOTO MUHAMMAD NAJMI NOR’AZAM
Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan sejak pertengahan tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. FOTO MUHAMMAD NAJMI NOR’AZAM
Johor Bahru: Seorang wanita berperwatakan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang juga 'teman wanitanya', sejak pertengahan tahun lalu.

Tertuduh, Nur Farisha Syahaniey Muhamad Shukur, 20, mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, Nur Farisha Syahaniey didakwa melakukan perbuatan itu bagi maksud seksual terhadap remaja berusia 13 tahun tujuh bulan ketika kejadian, pada pertengahan 2024 dan Februari lalu di Jalan 2/1, Taman PGPF, Felda Sungai Sibol, Kulai.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin pada mulanya tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.

Namun, apabila ditanya hakim jika mahkamah mahu memberikan jaminan, berapa jumlah yang ingin dicadangkan pihak pendakwaan, Nor Fadilah mencadangkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan pasport antarabangsa hendaklah diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon jaminan lebih rendah antara RM2,000 hingga RM5,000 atas alasan tidak mampu membayar jaminan tinggi.

"Saya perlu menjaga adik-adik saya yang semuanya masih bersekolah. Keluarga saya ada masalah, jadi saya kena bantu keluarga. Sebelum ditahan, saya bekerja sebagai operator kilang dengan gaji pokok RM1,500," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 April depan bagi fakta dan hukuman.

Berjaya selamatkan anak jatuh sungai tapi sendiri diri sendiri mati lemas

Bapa lemas selepas cuba selamatkan anak jatuh sungai ketika memancing

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba ketika membawa naik mangsa yang lemas. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA bomba ketika membawa naik mangsa yang lemas. FOTO Ihsan Pembaca
Shah Alam: Hasrat seorang bapa menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam sungai berakhir dengan tragedi apabila ditemukan lemas dalam kejadian di Jalan Bukit Jati, Kampung Bukit Jati, Klang, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.42 malam.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba dimaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun memancing bersama anak lelakinya berusia 11 tahun sebelum anaknya terjatuh ke dalam sungai.

"Mangsa dipercayai terjun ke sungai untuk menyelamatkan anaknya, tetapi anak mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam, namun lelaki berkenaan pula tidak ditemukan," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian meninjau kawasan terbabit bagi mengesan mangsa, bagaimanapun pada 9 malam, mayat lelaki berkenaan ditemukan pada jarak tiga meter dari lokasi anak mangsa dipercayai jatuh.

"Operasi membawa naik mangsa dilakukan oleh anggota bomba bertugas," katanya.

Warga asing ditahan intip wanita mandi

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Gombak: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai mengintip seorang wanita yang sedang mandi di sebuah rumah, di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata lelaki berusia 35 tahun itu ditahan pada jam 3 petang, Ahad lalu.

Katanya, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat oleh mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 19 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku pada jam 2.30 petang, Ahad lalu.

"Mangsa memaklumkan ketika sedang mandi di tandas rumahnya, dia ternampak sebuah telefon bimbit di atas dinding penghadang tandas.

"Mangsa mengesyaki bapa tirinya yang merakam gambarnya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, susulan itu, suspek iaitu lelaki warga asing ditahan dan kini direman selama empat hari bermula kelmarin hingga esok bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203.

"Maklumat juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Terdahulu, video memaparkan seorang lelaki warga asing dipukul kerana disyaki mengintip wanita mandi tular di media sosial.

Hipokrit?: Pas bercakap biarlah adil, jangan buat lawak

Harapandaily

Peguam Zulhazmi Shariff menempelak sikap Pas berhubung projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur yang melibatkan rumah flat dan teres.

Menurutnya, isu terbabit melibatkan pengambilan tanah pemilik tanah dan kemudian dijual kepada pemaju oleh kerajaan.

Namun, ujarnya, ketika Pas dalam kerajaan, tanah diambil tetapi parti itu juga sekarang yang tampil membantah dan menyalahkan pihak lain.

Beliau menjelaskan notis pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah bagi tujuan pembangunan semula dikeluarkan semasa Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara iaitu sewaktu Mahiaddin Yassin menjadi Perdana Menteri dan Annuar Musa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

“Dibantah pemilik tanah. Sebahagian terpaksa bersetuju dan mendapat pampasan. Yang tak setuju dengan pampasan, failkan rayuan di Mahkamah tetapi ditolak.

“Sewaktu Shahidan Kassim jadi Menteri Wilayah, dia ada janji tak akan halau selagi tak selesai. Sekarang khabarnya bailif Mahkamah serah notis pengosongan.

“Isunya, semasa tanah diambil sewaktu pentadbiran PN, kenapa MP dan orang-orang Pas tak mengamuk sedangkan mereka dalam kerajaan?

“Sekarang, siap turun buat solat hajat kononnya pertahan tanah Melayu.

“Ini bukan hal politik yang saya nak cakap, tapi nak cakap bahawa orang Pas ni tiga suku!

“Masa dia kerajaan, tanah diambil, sekarang dia pembangkang, dia nak bantah dan salahkan orang lain,” tegas Zulhazmi lagi menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Punca dari PN

Untuk rekod, penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 dalam isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru berpunca daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan pemilik sah tanah kini dianggap seperti setinggan.

Menurut bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, tindakan itu mula dilaksanakan semasa pentadbiran Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, walaupun sebelum itu proses perbincangan secara persetujuan bersama telah dijalankan.

Mengulas lanjut, Zulhazmi berkata, terdapat pemilik tanah memberitahu baru tahu tanah itu di bawah Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu atau Malay Agricultural Settlement (MAS).

Jadi, pemilik terbabit berpendapat rumah mereka tidak wajar diambil.

“Akta Pengambilan Tanah tak kira status tanah, tanah kubur pun dia boleh ambil asalkan sesuai dengan tujuan pengambilan.

“Kemudian, jika betul nak ikut Enakmen MAS, tuan-tuan tanah tak wajar ada geran sebab tanah MAS itu milik Lembaga MAS bukan milik individu.

“Jadi, kalau nak guna Enakmen MAS, kaji dulu apa benda Enakmen tu, jangan main sebut saja,” jelas Zulhazmi lagi.

Beliau yang juga bekas Exco Pemuda Pas Pusat sebelum meninggalkan parti itu pada 2015 dan kemudiannya menyertai DAP turut mengulas berkenaan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkenaan pada 23 Mac lalu berkata, tanah di kawasan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang terlibat dengan pembangunan semula sepatutnya dinilai sebanyak RM3,000 bagi setiap kaki persegi.

“Janganlah macam tu Tun. Jangan suka-suka sebut harga begitu.

“Dulu masa Tun jadi PM dan Haji Khalid Samad jadi Menteri Wilayah, kita setuju nilai tanah di Kampung Baru adalah RM1,000 sekaki persegi,” katanya lagi.

Muka sembang kari: Dah setahun tunggu LOD, mana dia Sanusi

SITI NUR ZAWANI

Tahun lalu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengancam akan memfailkan undang-undang terhadap seorang individu susulan isu tunggakan gaji pekerja Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB).

Individu menggunakan akaun Facebook Zuraini Abd Ghani Zuraini mendedahkan apa yang berlaku terhadap KAHB, mendakwa syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mengambil pendapatan KAHB dan ‘mencuri’ kakitangan syarikat itu.

Dia mendakwa pengurusan tertinggi KAHB dilantik dalam lingkungan kenalan Sanusi yang hanya tahu membazirkan duit rakyat.

Susulan pendedahan itu, Sanusi berkata beliau akan memfailkan saman terhadap individu terbabit.

“Haaa, jumpa dah tukang reka cerita karut sejak belasan tahun dia bersembunyi di sebalik muka manis. Okay, jom tengok dia boleh pertahankan atau tidak tuduhan keterlaluan dia kali ni. Sila duduk jangan lari. See you in court!,” katanya menerusi Facebook pada Mac tahun lalu.

Pun begitu selepas setahun, Sanusi dikatakan masih belum lagi menghantar LOD kepada individu terbabit.

“Hey Panglima Nusi! Di mana LOD? Mak lintah masih di sini. Akur perintah, “sila duduk jangan lari”. Tapi aku rasa lah kan hang memang suka sembang kari,” kata Zuraini dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya.

Kelantan: Seludup 1.3 tan beras guna kereta, 2 lelaki ditahan

Nor Fazlina Abdul Rahim
Pasukan Gerakan Am menggagalkan penyeludupan beras selepas merampas hampir 1.3 tan beras pulut dan beras Siam diseludup dari negara jiran, petang semalam. - Foto PGA
Pasukan Gerakan Am menggagalkan penyeludupan beras selepas merampas hampir 1.3 tan beras pulut dan beras Siam diseludup dari negara jiran, petang semalam. - Foto PGA
RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas hampir 1.3 tan beras yang diseludup dari negara jiran, petang semalam.

Rampasan menerusi Ops Taring Bravo pada jam 5.15 petang di Kampung Baroh Pial, dekat sini selepas menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata suspek cuba melarikan diri dengan memecut laju namun berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat anggaran 950 kg beras pulut cap Angsa Emas dan 323 kg beras cap Mango serta Serindit ditemui dalam kenderaan itu.

"Bekalan terbabit dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram. Pemandu dan penumpang dua lelaki tempatan berusia 34 dan 35 tahun ditahan.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan hampir RM38,000 termasuk kenderaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994," katanya.

Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara," katanya.

Wanita 41 tahun dan anak perempuannya, 18 direman kes mayat bayi dalam tandas

Mayat bayi dalam tandas, 2 beranak direman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua beranak direman bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki dalam mangkuk tandas sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Ahad lalu.

Wanita berusia 41 tahun dan anak perempuannya, 18, diberkas sekitar 6 petang hingga 8.30 malam, semalam, di Meru, kata Ketua Polis Sabak Bernam, Md Yusof Ahmad.

Katanya, anak perempuan itu merupakan pekerja restoran makanan segera.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek pertama dipercayai tidak mengetahui anak perempuannya itu mengandung,” katanya menurut Berita Harian.

Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza, pakaian, telefon bimbit, dan barangan lain daripada kedua-dua suspek.

“Perintah reman terhadap kedua-dua suspek telah dimohon di hadapan Majistret Kuala Selangor, dan mereka direman empat hari bermula semalam hingga 29 Mac ini,” katanya.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, dilaporkan penemuan mayat bayi dalam keadaan terlangkup dalam lubang tandas di stesen minyak tersebut, pada 11.15 pagi.

2 prebet ditahan disyaki bunuh Muqriz Aseri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua prebet disyaki membunuh Muhammad Muqriz Aseri, 21, direman tujuh hari sehingga 2 April ini, kata Ketua Polis Miri Alexson Naga Chabu.

Suspek masing-masing berusia 22 dan 24 tahun ditahan di Kem Sri Miri, Sarawak, pada 4.30 petang semalam.

“Kes itu kini sedang dalam siasatan oleh pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh,” katanya menurut Berita Harian.

Alexson turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Awal hari ini, laporan itu memetik sumber sebagai berkata, mangsa yang sedang tidur di berek bujang kem dikejutkan dua anggota senior untuk bersahur, pada 2.15 pagi, 24 Mac.

Dua senior terbabit bagaimanapun mengarahkan mangsa melakukan ‘commando rest’ selama dua minit dan tekan tubi sebanyak 20 kali sebelum bersahur.

Mangsa selepas itu dikatakan pitam sebelum kejadian dimaklumkan kepada seorang anggota berpangkat koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.

Dia dihantar ke hospital namun disahkan meninggal dunia pada 3.05 pagi.

Allah pilih beri hidayah: 'Lihat tahanan solat buat hati saya tersentuh untuk peluk Islam' - Mohd S Vijay

Sinar Harian

Mohd S Vijay (dua dari kiri belakang) bersama keluarganya turut memeluk agama Islam. -Sinar Harian

KOTA BHARU: Mohd S Vijay (dua dari kiri belakang) bersama keluarganya turut memeluk agama Islam.

Pengalaman direman tujuh hari pada 2019 menjadi titik perubahan dalam hidup seorang bekas pemandu lori ini apabila hidayah datang ketika dia melihat seorang tahanan lain mendirikan solat dan mendoakannya tanpa mengenali dirinya.

Mohd S Vijay Supaiah, 43, ditahan di lokap di Kluang, Johor atas kes pukul dan ketika itu tidak pernah terfikir akan memeluk Islam.

Dalam lokap, Mohd S Vijay bertemu seorang lelaki Muslim dari Sungai Buloh yang turut direman selama lima hari.

“Saya lihat dia solat bukan sekadar lima waktu, tetapi lebih daripada itu iaitu solat sunat berulang kali.

“Paling menyentuh hati, dia mendoakan saya walaupun kami tidak mengenali antara satu sama lain dan doa yang lahir dari hati yang ikhlas itu membuatkan saya tersentuh,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Kelantan di Taman Maju di sini pada Isnin.

Selepas dibebaskan, Mohd S Vijay memaklumkan kepada isterinya tentang hasrat untuk memeluk Islam dan isterinya serta anak-anak memberi keizinan.

Namun, perjalanan untuk menerima hidayah sepenuhnya mengambil masa hingga menuntut pengorbanan hijrah dari negeri kelahirannya.

Dia mengenali seorang ustaz yang membimbingnya selama hampir enam bulan sebelum akhirnya bersyahadah di Masjid Muhammadi, di sini pada 2022.

“Isteri saya pada mulanya tidak mahu ikut pindah, tetapi akhirnya dia datang juga.

“Saya naik bas hari Khamis dan sampai pada hari Jumaat, selepas solat Jumaat, saya terus mengucap dua kalimah syahadah.

“Sepuluh hari kemudian, isteri pula memeluk Islam, diikuti kesemua tujuh anak kami manakala anak lelaki terakhir masuk Islam pada Februari lalu, manakala anak bongsu kami lahir dalam Islam,” katanya.

Mengimbau kehidupannya sebelum ini, Mohd S Vijay mengakui dia seorang peminum arak tegar, malah pernah mengambil tiga hingga empat peti minuman keras dalam sehari.

“Kini, kalau teringat masa lalu, saya segera mengadu kepada Allah.

“Sekarang saya hidap sakit jantung, lelah dan buah pinggang juga bermasalah, tetapi saya anggap ini ujian daripada Allah,” katanya yang kini mendapat punca pendapatan sebagai penjual cendol bagi menyara keluarga.

Dia bersyukur kerana Allah menguatkan imannya dan kini dia serta keluarganya berusaha mendalami Islam.

“Saya sentiasa berdoa agar seluruh umat Islam berbaik sesama sendiri dan keluarga saya sentiasa sihat, selamat serta dilindungi Allah sentiasa,” katanya.

Tambahnya, dalam mendalami ilmu agama, ustazah sering datang ke rumah untuk mengajarnya mengaji, manakala anak-anaknya belajar membaca al-Quran di masjid.

Mohd S Vijay juga menunaikan kewajipan rukun Islam ketiga dengan berpuasa di bulan Ramadan.

“Puasa pertama saya tiga tahun lalu sangat mencabar dan hanya dapat 15 hari, tetapi saya tetap berusaha menggantikannya.

“Segala doa yang saya panjatkan kepada Allah, setakat ini semuanya dimakbulkan dan amat bersyukur kerana dipilih untuk menerima hidayah paling berharga ini,” katanya. -Sinar Harian

Umno Sabah desak Armizan jelaskan gambar di Indonesia

Malaysiakini 

Umno Sabah hari ini mencabar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, untuk menjelaskan dua gambar tular yang didakwa menunjukkan dia bertemu dengan wakil sebuah syarikat perlombongan Indonesia pada 2023.

Pengarah Pilihan Raya Umno Sabah, Jeffery Nor Mohamed, mendakwa ramai rakyat Sabah tertanya-tanya sama ada memang Armizan yang ada dalam gambar tersebut atau sebaliknya orang lain.

Hal itu kerana, kata Jeffery, sebelum ini Ahli Parlimen Papar berkenaan bertegas menafikan dia terlibat atau terkait dengan skandal rasuah yang didakwa berlaku melibatkan sejumlah ahli politik di Sabah.

“Ramai rakyat Sabah tertanya-tanya betulkah muka Armizan yang dipaparkan dalam dua keping gambar yang menular itu.

“Oleh yang demikian, saya berharap saudara Armizan memberi penjelasan adakah beliau hadir ke Ibu Pejabat Bayan Resources di Jakarta, Indonesia pada tarikh itu?

“Apa tujuan beliau berjumpa dengan billionaire tersebut?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bayan Resources ialah sebuah konglomerat perlombongan Indonesia yang menghasilkan arang batu. Menurut laman web syarikat berkenaan, ia terlibat dalam kegiatan empat perlombongan terbuka di Kalimantan Timur dan Selatan Indonesia.

Malaysiakini telah menghubungi Armizan dan pembantunya untuk mendapatkan komen berkenaan dakwaan Umno Sabah itu.

Atas kapasiti apa

Semalam Armizan dilaporkan telah menyangkal dakwaan dalam mesej tular di media sosial yang mengaitkannya dengan skandal rasuah yang didakwa melibatkan projek cari gali mineral di Sabah.

Sambil menegaskan dia akan membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata salah seorang individu yang menyebarkan mesej itu telah dikenal pasti sebagai bekas wakil rakyat.

Armizan bagaimanapun tidak menamakan bekas wakil rakyat yang dimaksudkannya.

Carian di Facebook mendapati beberapa posting memetik "Datuk Z" yang mendakwa Armizan terlibat dalam rundingan antara firma Indonesia dan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) berhubung lesen carigali mineral di negeri berkenaan.

Siaran itu turut memaparkan gambar lawatan SMM dan Armizan ke pejabat syarikat berkenaan di Jakarta pada Mei 2023.

Kata Jeffery pada tarikh tersebut Armizan berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas.

Justeru, katanya, ada persoalan lain yang perlu dijelaskan oleh ahli politik berkenaan.

“Adakah beliau mengisytiharkan perjalanan tersebut kepada Jabatan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara?

“Masyarakat Sabah berharap Armizan dapat memberi pencerahan berhubung perkara ini: berdasarkan kapasiti apa dan bidang kuasa apa beliau menghadiri mesyuarat tersebut?

“Saya percaya penjelasan daripada Armizan penting bagi membela dirinya sekali gus dapat menyelesaikan kemelut ini,” katanya.

Pesawat patah balik, gara-gara juruterbang terlupa pasport

Sinar Harian

LOS ANGELES: Sebuah pesawat United Airlines yang berlepas dari Amerika Syarikat (AS) menuju ke China terpaksa berpatah balik selepas juruterbang terlupa membawa pasport.

Penerbangan UA198 yang membawa 257 penumpang dan 13 kru itu dalam perjalanan dari Los Angeles (LA) ke Shanghai yang mengambil masa selama hampir 14 jam pada Sabtu lalu.

Jurucakap United Airlines memaklumkan Boeing 787-9 tersebut kembali dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco setelah melakukan penerbangan selama hampir dua jam.

Data Flightradar24 menunjukkan UA198 terbang keluar dari LA merentasi Lautan Pasifik sebelum berpatah balik ke California.

Salah seorang penumpang, Paramjot Singh Kalra menerusi platform X menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap insiden itu.

“Gara-gara juruterbang tertinggal pasport kami terkandas selama lebih enam jam. Hal ini sememangnya tidak boleh diterima.

“@united pampasan apa yang anda boleh tawarkan atas kegagalan pengendalian ini?” menurut catatannya.

Kesemua penumpang diberikan baucar makanan dan ganti rugi serta diterbangkan ke destinasi, kira-kira enam jam lebih lewat daripada jadual asal. - Sinar Harian memetik agensi

Perbicaraan terhadap lelaki tembak bekas isteri, bakar hidup-hidup di Perancis bermula

Bernama

Sebahagian daripada aktivis wanita yang memberikan sokongan kepada keluarga mangsa di luar kawasan mahkamah, sewaktu perbicaraan sedang berlangsung di Bordeaux. - Gambar X: @pascalebpitt

PARIS: Perbicaraan kes pembunuhan melibatkan seorang lelaki yang didakwa menembak bekas isterinya sebelum membakarnya hidup-hidup bermula pada Isnin di Bordeaux, barat daya Perancis, lapor agensi berita Jerman dpa.

Tertuduh berusia 48 tahun itu berdepan hukuman maksimum penjara 30 tahun.

Lelaki itu dilaporkan telah menyerang hendap wanita berusia 31 tahun itu di luar rumahnya di Merignac hampir empat tahun lalu dan menembak kedua-dua belah kakinya dengan pistol ketika mangsa dalam perjalanan untuk menjemput anak-anaknya dari sekolah.

Di hadapan jiran-jiran yang terkejut, dia kemudian menyiram petrol ke atas wanita itu dan membakarnya, sebelum turut membakar apartmen mangsa.

Pasukan perubatan kecemasan yang tiba di tempat kejadian tidak dapat menyelamatkan wanita berkenaan. Suspek ditahan tidak lama selepas kejadian dan kemudian memberitahu penyiasat bahawa dia hanya mahu menghukum wanita itu, yang telah memfailkan perceraian, tetapi bukan untuk membunuhnya.

Mangsa sebelum ini telah beberapa kali membuat laporan terhadap lelaki itu atas keganasan rumah tangga. Pada 2020, tertuduh dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara selepas cuba mencekiknya.

Kejadian tragis itu telah mencetuskan kemarahan di seluruh Perancis, dengan banyak pihak mengecam kegagalan pihak berkuasa polis dan kehakiman dalam melindungi wanita yang terancam itu.

Nasib ahli perniagaan didakwa pukul pengawal peribadi kerana berpuasa diketahui Jumaat ini

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung kes seorang ahli perniagaan yang mencederakan dua pengawal peribadi kerana berpuasa pada 2021 akan diketahui Jumaat ini.

Chung Chee Yang, 47, didakwa di Mahkamah Majistret Klang dengan lima pertuduhan pada 22 April 2021.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah sambil mengacukan pistol ke arah mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut didakwa dengan dua pertuduhan bersubahat bersama Hin Voon dengan mengarahkannya mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam menggunakan rotan.

Berdasarkan sistem e-filing (EFS) keputusan kes itu akan didengar di Mahkamah Majistret Klang di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat pada jam 9 pagi.

Chee Yang sebelum ini juga turut disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA)

'Sekelip mata saja Mia dalam keadaan kritikal termasuk pecah tempurung kepala'

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
MIA Qaisara masih dalam keadaan koma selepas terbabit kemalangan. FOTO Ihsan keluarga
MIA Qaisara masih dalam keadaan koma selepas terbabit kemalangan. FOTO Ihsan keluarga
Johor Bahru: "Sebahagian tempurung kepala Mia yang pecah sudah dikeluarkan," kata ibu kepada pelajar perempuan tingkatan tiga, Noralisa Mohd Sazali, 37.

Ibu tunggal itu berkata, dia buntu memikirkan nasib malang menimpa anak tunggalnya, Mia Qaisara Abdullah atau Mia, 15, yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Skudai di sini, pada jam 11 malam, 10 Mac lalu.

Menurutnya, Mia Qaisara masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dalam keadaan koma di unit rawatan rapi (ICU) sejak dua minggu lalu.

Katanya, kejadian berlaku ketika Mia Qaisara atau lebih mesra dengan panggilan Mia diajak teman rakan sekolahnya untuk melawat kenalan di HSA.
 
"Kejadian mungkin berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke hospital atau pulang dari hospital, saya difahamkan motosikal dinaiki anak terbabit kemalangan dengan sebuah kereta.

"Saya tidak menyedari Mia diajak oleh rakannya yang hanya mahu menumpang tidur di rumah. Pada jam 12 tengah malam, saya menerima panggilan daripada adik lelaki meminta saya memeriksa sama ada Mia di bilik.

"Terdahulu pada jam 9 malam, rakan sekolahnya ke rumah kami di Jalan Padu, Kampung Seri Padu, Tampoi dan menyatakan mahu menumpang selama dua malam kerana mengalami masalah keluarga.

"Atas dasar simpati, saya dan ibu membenarkan remaja perempuan itu tidur namun malangnya tidak menjangka keputusan kami akhirnya membawa musibah," katanya.

Noralisa berkata, dia dimaklumkan bahawa remaja itu bertindak meminjam motosikal daripada seorang penduduk kampung dengan alasan terdapat urusan kecemasan.

"Dalam sekelip mata, Mia dalam keadaan kritikal di HSA termasuk pecah tempurung kepala di bahagian kanan, urat kaki kiri putus serta mengalami kecederaan di leher dan dada," katanya.

Noralisa berkata, sebahagian tempurung kepala Mia juga terpaksa dikeluarkan dan dijangka akan dipasang semula selepas tempoh tertentu.

Menurutnya, buat masa ini Mia masih bergantung kepada bantuan mesin oksigen dan keluarganya terus berdoa agar Mia cepat sedarkan diri daripada koma.

"Kami amat bimbang melihat keadaannya mahupun memikir masa depannya.

"Kami berharap dia sembuh dalam tempoh terdekat dan boleh kembali bersekolah," katanya.

Norlisa berkata, dia yang hanya bekerja di kilang buntu memikirkan kos pembelian barangan keperluan Mia.

"Buat masa ini dia memerlukan lampin pakai buang dan sekiranya sudah sedarkan diri, mungkin memerlukan susu khas dan barangan lain.

"Saya turut menanggung ibu yang juga berstatus ibu tunggal, Aisha Rosmin berusia 73 tahun," katanya.

Terdahulu keluarga Mia menerima kunjungan daripada Pengerusi Persatuan Permata Baiduri Malaysia Faridah Hamzah.

Faridah menyampaikan sejumlah sumbangan wang tunai kepada Aisha.

Aisha menyatakan, dia amat merindui cucunya dan berharap dapat mengunjunginya.

"Saya tidak dapat melawatnya atas faktor kesihatan, sebelum ini dia memberi jagaan kepada saya ketika ibunya keluar bekerja.

"Semoga Allah memberi kesembuhan kepadanya," katanya.

KPN: 'Prem Esaan' hina Islam sudah ditahan

Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Pemilik akaun Facebook, Prem Esaan yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam ditahan di Johor pada Selasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada jam 2.30 petang.

"Polis telah merampas telefon bimbit suspek untuk siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada Selasa.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan ke atas Prem Esaan berhubung kes memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam.

Laporan diterima polis pada 20 Mac selepas hantaran berkenaan tular di media sosial.

Dalam hantaran itu, pemilik akaun terbabit membuat kenyataan berunsur penghinaan terhadap umat Islam, Allah dan al-Quran.

Terdahulu tular di media sosial beberapa tangkap layar memaparkan hantaran oleh individu berkenaan antaranya menyentuh isu perkauman dan agama malah membuat provokasi berkaitan insiden rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman pada 2018. -- Sinar Harian

Siapa pemimpin politik jadi teladan kepada ‘guru balik China’?

Tajuddin Rasdi

Tindakan seorang guru meminta muridnya balik ke China kerana tidak mahir bahasa Melayu dianggap melampau.

Fenomena guru Melayu menyuruh anak murid ‘balik China’ adalah perkara biasa dalam politik Malaysia. Dulu saya masih ingat seorang guru besar minta anak murid ‘balik China’. Kita biarkanlah Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya kepada guru terbabit.

Soalan saya di sini adalah siapakah yang menjadi teladan guru era Madani ini yang sanggup menghina kaum Cina warganegara Malaysia sedemikian rupa? Saya ingin merujuk kepada peristiwa Nabi Muhammad SAW yang telah diejek dan dilontar batu oleh sekumpulan anak-anak muda di Taif.

Apabila diugut oleh malaikat Jibrail untuk mengambil tindak balas ke atas perbuatan itu, nabi telah melarang dengan mengatakan bahawa mereka hanya anak muda yang terbawa-bawa dengan rangsangan orang tua yang mengeji baginda.

Jadi, dalam politik Malaysia siapakan agaknya hero, heroin atau pendekar pahlawan politik yang menyerlah sebagai rangsangan sifat keji perkauman ini?

Hero pertama bagi saya tidak lain Dr Mahathir Mohamad. Dari muda sampai hampir umur 100 tahun, beliau konsisten membawa naratif lapuk tetapi menyengat bahawa pendatang Cina dan India tidak mempamerkan ketaatan mutlak kepada Malaysia kerana keengganan mereka dalam isu sekolah vernakular dan mengutamakan bahasa Cina.

Sudah berkemungkinan saya kira ‘guru balik China’ yang dikisahkan sekarang mengambil iktibar daripada cadangan tidak berasas Mahathir itu untuk menghalau anak murid yang hanya layak duduk sebelah bakul sampah sebab mungkin tidak mahir bahasa Melayu.

Sebagai pendidik, saya cukup terkilan perbuatan mensampahkan anak-anak kita, tak kira dari kaum mana pun. Saya faham tekanan guru sebab isteri saya pun bekas guru bahasa Inggeris dan sukar mengajar anak-anak murid Melayu.

Tetapi sepanyang kerjaya beliau tidak pernah mensampahkan anak-anak muridnya. Beliau sering ditegur oleh guru besar tentang statistik rendah kelulusan subjek ini. Nampaknya guru besar hanya reti baca statistik, mengajar kita belum tahu.

Jadi boleh fahamlah kalau guru balik China ini mengamuk. Takut statistik kelulusan rendah dan markah KPI pun terkesan. Tapi tergamak mensampahkan budak dan menghalau balik China itu saya kira sudah ‘overlah’.

Siapa lagi yang menjadi teladan hero atau heroin guru balik China agaknya? Mungkinkah beliau menyanjung heroin Siti Mastura Muhammad daripada PAS yang menuduh Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin DAP sebagai sepupu kepada Chin Peng, bapa komunis Malaya? Walaupun ditegur mahkamah tentang data mengarut dari rujukan hampas buku Barisan Nasional (BN) menyebabkan perlu membayar RM850,000, namun tidak berundur lagi.

Jaguh dan sombong sungguh lagak pahlawan seperti kata keramat Anwar Ibrahim membujur lalu melintang patah dan lawan tetap lawan! Dulu zaman reformasi saya ada stiker ‘Lawan Tetap Lawan’. Nampaknya, naratif yang ingin dibina Ahli Parlimen Kepala Batas itu adalah orang Cina kebanyakannya taat kepada China Komunis. Maka si guru balik China pun mungkin terpengaruh.

Siapa lagi pahlawan teladan negara yang anti-Cina? Mungkin agaknya Razman Zakaria orang kuat PAS di Perak yang menggunakan ungkapan berkobar-kobar, hanya mata macam kita dan darah macam kita yang boleh diharap mempertahan negara.

Daripada ungkapan ini, beliau tujukan khusus kepada isu mengibar bendera China oleh sekumpulan Cina serta dikaitkan dengan DAP. Menerusi naratif Cina dari China ini saya rasa ramai Melayu dalam kalangan guru mungkin terpengaruh dengan parti politik ‘gerenti syurga’ ini.

Ramai guru mempunyai gaji lumayan dan pergi umrah dan haji sebagai perkara ‘no hallah’ dan apa lagi untuk menyempurnakan amalan ibadat, harus sokong parti dikatakan ‘perjuangan Islam’. Jadi menghalau anak murid sebelah bakul sampah mungkin dikira amalan ibadat puasa berpahala tinggi.

Kemudian, kita ada juga orang kuat Umno iaitu Dr Akmal Saleh yang asyik menunggu nak ‘ambush’ DAP dan sesiapa bukan Melayu sebagai kaedah politik murahan beliau meraih simpati Melayu. Semua orang bukan Melayu saya kira meluat sangat dengan si ‘Datuk’ ini tetapi beliau tak pandai ambil teguran Agong sekali pun.

Maka, sah benar Akmal ini pahlawan Melayu berani membentak kaum lain dalam Facebook dan perhimpunan Umno. Depan orang Cina ‘live’ dia tak berani saya kira. Siap nanti di PRK Ayer Kuning, Akmal menghilang seperti di Nenggiri sebab undi Cina cukup ramai.

Jadi, kalau ‘guru balik China’ ini terpikat dengan hero ‘handsome’ kita ini, saya kira beliau teruja menghalau anak murid untuk balik Cina dan kalau boleh ibu bapa dan keluarga budak sekolah itu.

Saya ingin cadangkan kepada KPM supaya semua guru kena duduki peperiksaan khusus kenapa mereka patut menganggap setiap anak murid sebagai anak mereka sendiri dan juga sebagai bakal penyumbang pembangunan dan pertahanan Malaysia.

Biar saya yang buat soalan yang semua guru kena ambil sebelum naik gaji atau naik pangkat. Seperkara lagi adalah setiap guru perlu diberi ‘year out’ untuk mengajar di sekolah vernakular supaya mereka kenal langit tinggi rendah.

Bagi saya, KPM perlu mengambil tanggungjawab besar selain menjatuhkan hukuman setimpal kepada guru itu. Saya pasti perkara ini bakal berulang sebab cara orang Melayu belajar agama dan tentang konsep bina bangsa ada banyak kelemahannya.

Kita tunggu sajalah tahun depan guru mana pula yang bakal menyandang ‘guru balik China’.

Perodua Myvi bertembung lori, suami isteri maut

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan pasangan suami isteri yang maut kemalangan di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan pasangan suami isteri yang maut kemalangan di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung. FOTO Ihsan Bomba
Sik: Pasangan suami isteri maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 4.16 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sik tiba di lokasi bersama lapan anggota tidak lama kemudian.

"Pasangan suami isteri berusia 20-an itu didapati tersepit dalam kenderaan, dan operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan hydraulic cutter untuk mengeluarkan mangsa.

"Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Lubang benam sedalam 20 meter, penunggang motosikal terbunuh

AFP LUBANG benam berkenaan. FOTO AFP
LUBANG benam berkenaan. FOTO AFP
Seoul: Seorang terbunuh selepas lubang benam besar di Seoul, kata jabatan bomba pada Selasa, dengan rakaman video yang mengerikan menunjukkan saat kenderaannya 'ditelan' lubang itu.

Lubang besar itu kelihatan di persimpangan di tenggara ibu negara Korea Selatan, pada waktu sibuk pada petang, kira-kira 6.30 petang Isnin.

Rakaman papan pemuka dikongsi dengan AFP oleh seorang penggubal undang-undang tempatan menunjukkan lubang itu muncul secara tiba-tiba di tengah-tengah jalan yang sibuk.

Sebuah motosikal 'ditelan' serta-merta, dan sebuah kereta hampir menerima nasib yang sama apabila meluncur ke dalam lubang itu namun 'melantun' keluar.

Jabatan bomba menjalankan pencarian besar-besaran, dengan pekerja penyelamat memakai pakaian selam dan "menggali dengan tangan mereka" bersama anjing penyelamat, dalam memburu penunggang motosikal itu selama 17 jam.

Bagaimanapun, pada Selasa "orang yang hilang berusia dalam lingkungan 30 tahun, ditemukan mati, kira-kira 50 meter (m) dari garis tengah lubang benam," Kim Chang-seop, seorang pegawai dari Balai Bomba Gangdong, memberitahu pemberita.

"Dia tertimbus pada kedalaman kira-kira 90 sentimeter (0.9 m), masih memakai topi keledar," kata Kim.

Pemandu kereta itu mengalami kecederaan ringan.

Lubang itu kini berukuran kira-kira 20 m lebar dan sedalam 20 m, kata pihak bomba.

Segelintir sekolah berhampiran ditutup pada hari Selasa atas faktor keselamatan.

Punca lubang benam akan disiasat, tetapi kemalangan itu berlaku di tapak di mana kerja-kerja sambungan untuk laluan kereta api bawah tanah.
-hmetro