"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai imigresen cedera dirempuh warga asing dalam operasi bersepadu

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor cedera selepas dirempuh warga asing yang cuba melarikan diri dalam operasi bersepadu di penempatan pekerja di Eco Galleria di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Imigresen Johor (Kawalan), Nor Faizal Rahim berkata, kejadian berlaku pada 1 pagi ketika serbuan yang mengejutkan kumpulan pekerja asing itu.

"Mangsa mengalami patah tulang keting kaki kiri dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta dilaporkan stabil," katanya ketika ditemui.

Menurut Nor Faizal, seramai 148 pekerja asing ditahan dalam dua operasi berasingan di lot pembinaan Taman Johor Jaya dan Eco Galleria di Iskandar Puteri.

"Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, China, Pakistan, Nepal dan India, malah turut membabitkan wanita dan kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen sah," katanya.

Menurutnya, tahanan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c), manakala mereka dihantar ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

Operasi bersepadu itu membabitkan seramai 120 anggota penguat kuasa termasuk Bahagian Operasi Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dua lelaki ditahan kerana mencederakan individu di stesen minyak

Bernama

KLUANG: Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes mencederakan seorang individu di sebuah stesen minyak di Jalan Mengkibol, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata tangkapan terhadap dua lelaki berusia 29 dan 45 tahun itu dilakukan di Jalan Sekolah, Kluang pada kira-kira pukul 4.00 petang semalam, susulan penularan video kejadian berkenaan di media sosial.

"Siasatan awal mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah, manakala suspek kedua tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek yang merupakan rakan sekerja itu negatif dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Tapak pembinaan terowong runtuh, dua pekerja masih hilang

BERNAMA-YONHAP
TAPAK pembinaan terowong runtuh yang terletak di Gwangmyeong. FOTO AFP
TAPAK pembinaan terowong runtuh yang terletak di Gwangmyeong. FOTO AFP
Seoul: Seramai dua orang pekerja gagal dikesan selepas tapak pembinaan terowong yang terletak di Gwangmyeong, Korea Selatan runtuh pada Jumaat, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan pihak berkuasa.

Tapak itu telah dikosongkan lebih awal pada hari yang sama selepas pihak berkuasa dimaklumkan mengenai risiko runtuhan ekoran penemuan rekahan pada beberapa tiang sokongan yang digunakan dalam pembinaan terowong bawah tanah itu.

Kejadian berlaku pada 3.17 petang (waktu tempatan) mengakibatkan sebahagian struktur terowong dan jalan runtuh, di samping turut merosakkan beberapa bangunan berhampiran.

Bila kanak-kanak menghamilkan kanak-kanak

Ashraf Hadi

Ketika mana Polis Negeri Kelantan, Mohd Yusoff Mamat dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun, ia begitu meluluhkan hati bagi seorang insan normal yang membacanya. 

Kes ini menyingkap satu sisi gelap yang tidak asing, cuma adakalanya disapu ke tepi atas nama malu, sensitif atau ‘perkara keluarga’. Namun apabila seorang kanak-kanak yang belum matang sepenuhnya terlibat dalam perbuatan sedemikian, kita wajib berhenti bertanya apa sudah jadi dengan anak-anak hari ini, dan mula bertanya apa sudah jadi dengan sistem yang membentuk mereka?

Statistik sudah cukup menjawab

Menurut ketua polis Kelantan, sebanyak 252 kes rogol direkodkan pada tahun lalu, meningkat berbanding 206 kes pada tahun 2023. Lebih mengejutkan, 98 peratus daripadanya berlaku atas dasar suka sama suka. Ini bukan lagi soal suka atau tidak, ini soal umur. Undang-undang meletakkan garis jelas bahawa bawah umur tidak mempunyai kapasiti untuk memberi keizinan. Angka-angka ini menunjukkan bahawa batas itu sedang dipadam oleh realiti sosial yang berubah terlalu pantas.

Persoalan sebenar tidak terletak pada mengapa mereka melakukan hubungan sedemikian. Persoalan yang lebih besar ialah mengapa tiada sistem atau sokongan awal yang mampu mengesan dan membimbing mereka sebelum ia berlaku. Ini bukan tentang menuding jari kepada ibu bapa, guru, sekolah atau mana-mana pihak tertentu. Ini tentang kesedaran kolektif yang masih longgar, struktur perlindungan yang belum menyeluruh, serta budaya diam yang terus menutup ruang intervensi awal.

Di kala kanak-kanak mula mengambil keputusan besar dalam hidup mereka tanpa kefahaman yang cukup, ini menunjukkan bahawa mereka sedang berjalan dalam gelap. Bila mana terlalu ramai yang berada di lingkungan, mereka memilih untuk tidak bertanya, tidak mendidik, dan tidak mendekat, maka ruang ini segera diisi oleh pengaruh luar yang tidak terkawal.

Dalam hal ini, kita tidak perlukan retorik menyalahkan. Apa yang diperlukan ialah keberanian untuk membina ekosistem yang mampu bertindak lebih awal, lebih tepat dan lebih menyeluruh. Kita berdepan dengan generasi kanak-kanak yang membesar dalam suasana serba tersedia tetapi kosong isi. Telefon di tangan mereka lebih berkuasa daripada ceramah dalam surau apatah lagi ceramah-ceramah ibu bapa yang hanya bersifat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Video pendek di media sosial lebih mempengaruhi jiwa mereka daripada buku teks pendidikan Islam dan pendidikan moral.

Pendidikan Seksual: Realiti yang masih ditakuti

Sudah bertahun-tahun pendidikan seksual menjadi topik yang disebut tetapi tidak pernah dilaksana secara serius. Di negara ini, ramai insan-insan yang memperjuangkannya. Antara insan yang perlu diberikan kredit ialah saudara Akhi Fairuz al-Jengkawi, saudara Aiman Psikologi, dan Hasrizal Abdul Jamil, ustaz yang tidak pernah jemu mendidik ummah. 

Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat masih memandang serong apabila istilah ini disebut, seolah-olah pendidikan seksual sinonim dengan agenda barat. Apatah lagi ada juga yang mengkritiknya atas tujuan politik. Hakikatnya, pendidikan seksual yang betul adalah benteng pertama mencegah perbuatan luar batas dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Pendidikan seksual yang dimaksudkan di sini bukan mengajar teknik atau orientasi. Ia bermula dengan perkara paling asas, iaitu mengenal tubuh sendiri, membezakan sentuhan selamat dan tidak selamat, memahami sempadan sosial, mengenal risiko dan akibat hubungan seksual, serta pembentukan sikap hormat terhadap diri sendiri dan orang lain.

Kanak-kanak perlu tahu bahawa tidak semua orang dewasa boleh menyentuh mereka sesuka hati. Mereka perlu faham bahawa mesej dan gambar yang diminta melalui media sosial bukan tanda cinta. Ia adalah tujuan memuaskan nafsu serakah individu. Tanpa pendidikan seperti ini, mereka akan mengisi ruang kosong itu dengan bahan-bahan yang mereka tonton dalam diam. Sebutkan apa sahaja termasuklah gambar lucah, video eksplisit dan perbualan di ruang gelap media sosial.

Tanpa pengajaran, kanak-kanak akan mencipta pemahaman mereka sendiri. Hasilnya, kita lihat hari ini, remaja Perempuan tanpa segan silu merekod video lucah diri sendiri, lalu menghantar kepada lelaki yang baru dikenali. Semua ini berlaku sebelum mereka mampu memahami erti maruah dan akibat jangka panjang terhadap diri mereka sendiri. 

Maka, kita perlu menyedarkan masyarakat bahawa tidak ada apa yang perlu ditakuti dengan pendidikan seksual. Sedangkan pencegahan terhadap perbuatan keji merupakan tuntutan syarak yang jelas. Prinsip sadd az-zara’i–iaitu menutup pintu-pintu kepada kemungkaran menjadi asas penting dalam menangani gejala sosial seperti zina dan pelanggaran maruah. Dalam hal ini, pendidikan seksual adalah jelas sebagai medium pencegah kepada isu ummah yang telah membarah ini. 

‘Dark side account’ dan kelemahan kawal selia

Selain itu, ketua polis Kelantan turut mendedahkan mengenai kandungan yang ditemui dalam telefon remaja terbabit yang seharusnya perlu diberikan perhatian lanjut oleh MCMC. Ia menunjukkan bagaimana dark side account di Twitter (kini dikenali sebagai X), Telegram dan aplikasi pesanan lain membolehkan bahan eksplisit beredar tanpa sebarang tapisan. Realiti era ini ialah akses kepada kandungan lucah tidak memerlukan lagi keberanian atau kemahiran tinggi. Ia terlalu mudah dan terlalu murah untuk didapati.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia tidak boleh terus berada dalam mod pasif. Kebergantungan kepada laporan awam dan siasatan selepas kejadian bukan satu strategi yang sesuai untuk zaman ini. Apa yang diperlukan ialah sistem pengesanan dan pemantauan yang berakar, yakni berasaskan algoritma pintar, pemantauan kandungan dalam masa nyata dan kerjasama erat dengan penyedia platform digital. Penguatkuasaan terhadap kandungan lucah, eksplisit dan pemangsa seksual atas talian mesti diperkemaskan. 

AMK cakna 

Di peringkat Pemuda PKR (AMK) juga turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam memainkan peranan mendidik masyarakat untuk lebih cakna. Pada Februari 2024 lalu, AMK melalui Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama pernah menganjurkan program kesedaran bertajuk “Isu Persundalan: Apakah Penyelesaiannya?” Program ini diangkat dengan objektif yang jelas, yakni untuk membuka ruang wacana secara jujur tentang jenayah seksual dan kebejatan sosial dari perspektif agama, undang-undang dan kesedaran komuniti. Dalam hal ini, AMK akan terus konsisten mencaknakan masyarakat dan orang muda dengan isu-isu seumpamannya yang sememangnya diperlukan. 

Namun, perlu disedari bahawa program seumpama ini tidak mampu memberi impak lanjut jika ia tidak dibawa lebih jauh ke peringkat dasar. Ia perlu masuk ke pelan pendidikan, ke modul latihan guru, ke silibus kebangsaan dan ke dalam agenda tindakan pelbagai kementerian. Jika tidak, usaha ini akan terus menjadi kerja terpencil yang baik namun kekal tidak cukup untuk merubah struktur besar yang semakin menggusarkan.

Dalam hal ini, kita perlu sedar peranan masyarakat menjadi fardu kifayah. Mencegah tidak lagi perlu diletakkan di atas bahu ibu bapa atau guru semata-mata. Ia juga perlu disandarkan pada institusi, agensi, dan komuniti yang lebih luas. Ia adalah tanggungjawab kolektif. Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maknanya jelas, kegagalan membina perlindungan buat anak-anak bukan semata-mata kelemahan individu. Ia tanda bahawa kepemimpinan sosial belum memainkan fungsinya secara berkesan.

Pendidikan seksual dalam Islam bukan perkara asing. Ia dibina atas nilai adab, kesucian, dan tanggungjawab. Ia tidak menghalalkan yang haram, tetapi memberi ilmu supaya yang halal dihormati dan yang haram dijauhi dengan kefahaman.

ASHRAF HADI ialah ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Pemuda PKR (AMK).

Mandur hilang selepas tikam dua pekerja warga Myanmar

Sinar Harian
Keadaan lokasi dua lelaki yang ditemukan mati selepas terlibat dalam pergaduhan di Sungai Siput. (Gambar kecil: Mohd Rohaizimi) Foto ihsan pembaca
SUNGAI SIPUT: Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki menikam dua rakan senegaranya dalam kejadian di sebuah kebun sayur di Jalan RE di sini, awal pagi Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintenden Mohd Rohaizimi Razali berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada majikan sekitar jam 1.54 pagi.

"Berdasarkan maklumat, ketiga-tiga pekerja berusia 30-an baru bekerja di premis itu sejak dua bulan lalu dan dipercayai telah mabuk sebelum terlibat dalam pergaduhan.

"Suspek yang dilantik sebagai mandur bertindak menikam kedua-dua rakannya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada majikan dan melarikan diri," katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurut Mohd Rohaizimi, mayat kedua-dua mangsa ditemui di bahagian luar rumah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dibedah siasat.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian

Liverpool: Salah sambung kontrak dengan gaji RM2.31 juta seminggu

Agensi
SALAH (kanan) kini sebaris dengan apa yang diperoleh De Bruyne. FOTO AFP
SALAH (kanan) kini sebaris dengan apa yang diperoleh De Bruyne. FOTO AFP
London: Mohamed Salah menandatangani kontrak baharu bersama Liverpool dan secara tidak langsung meletakkan dirinya berkongsi tempat kedua dalam senarai pemain yang memperoleh pendapatan tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Persetujuan Salah untuk kekal bersama Liverpool turut menamatkan spekulasi sebelum ini mengenai kisah perpindahannya dan pemain dari Mesir itu bakal bersama skuad berkenaan sehingga 2027.

Pendapatannya di kelab berkenaan meningkat kepada £400,000 (RM2.31 juta) seminggu - berbeza dengan yang terdahulu £350,000 (RM2.02 juta).

Jumlah itu meletakkan Salah kini sebaris dengan apa yang diperoleh Kevin De Bruyne biarpun legenda Manchester City berkenaan bakal meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.

Rakan sepasukan De Bruyne, Erling Haaland muncul sebagai pemain yang menerima pendapatan tertinggi dalam EPL dengan bayaran £500,000 (RM2.89 juta) seminggu.

Casemiro yang menyertai Manchester United dari Real Madrid pada 2022, kekal berada di tangga ketiga dalam senarai pendapatan tertinggi dengan bayaran £350,000 (RM2.02 juta) seminggu.

Salah mula menyertai Liverpool dari Roma pada 2017 dan menikmati karier gemilang di Anfield.

Selepas mengesahkan masa hadapannya, Salah berkata: "Sudah tentu saya sangat gembira. Kami mempunyai pasukan yang hebat sekarang.

"Sebelum ini juga kami mempunyai pasukan yang kuat. Tetapi saya menandatangani (kontrak baharu) kerana saya fikir kami mempunyai peluang untuk memenangi trofi lagi dan untuk saya menikmati bola sepak.

"Ia sesuatu yang hebat, saya mempunyai tempoh yang terbaik di sini. Saya sudah bermain lapan tahun (Liverpool) dan harap ia akan menjadi yang ke-10. Menikmati kehidupan saya dan juga bola sepak di sini.

"Saya memperoleh tempoh masa yang terbaik dalam karier saya. Saya ingin menyatakan (kepada penyokong), saya sangat gembira berada di sini.

"Saya melanjutkan kontrak di sini kerana saya percaya kami boleh meraih lebih banyak trofi bersama. Teruskan menyokong kami dan kami akan berikan yang terbaik."

Pemain pertahanan, Virgil van Dijk juga dilihat hampir pasti kekal di Liverpool pada ketika Trent Alexander Arnold dijangka bakal berpindah ke Real Madrid pada musim panas nanti.

Tentera gagalkan cubaan PATI warga China masuk Malaysia

Hazira Ahmad Zaidi
PATI warga China ditahan selepas cuba memasuki Malaysia melalui Sungai Golok. - Foto ihsan TDM
PATI warga China ditahan selepas cuba memasuki Malaysia melalui Sungai Golok. - Foto ihsan TDM
TANAH MERAH: Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan seorang pendatang tanpa izin (PATI) warga China di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Sungai Golok, di sini, malam tadi dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan jam 10.30 malam tadi ketika anggota sedang melaksanakan rondaan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).

Katanya, lelaki berkenaan mendarat di tebing Sungai Golok berhampiran kawasan hutan di sebelah Malaysia menggunakan sebuah bot.

"Berdasarkan pemeriksaan, suspek mempunyai kerakyatan China berdasarkan penemuan dokumen peribadi iaitu kad pengenalan dan pasport China yang masih sah laku.

"Pada masa sama, suspek turut mendakwa sudah membayar sejumlah wang kepada ejen yang menjanjikan peluang pekerjaan di Malaysia," katanya.

Menurut 2 Divisyen, anggaran keseluruhan nilai barangan peribadi termasuk mata wang negara China dan Thailand yang ditemui bersama suspek adalah sebanyak RM13,900.55.

"Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kenyataan itu menyebut, berdasarkan rekod, tangkapan terakhir PATI dari China oleh Pasukan Operasi TDM di KTJ 8 Bgd adalah pada 2023.

Hasrat bertemu isteri tidak kesampaian, lelaki maut kemalangan

Nazdy Harun
Keadaan kereta mangsa kemalangan di di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) laluan Ajil.  - Foto PDRM
Keadaan kereta mangsa kemalangan di di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) laluan Ajil. - Foto PDRM
KUALA BERANG: Perjalanan seorang lelaki untuk ke rumah isterinya di Segamat, Johor, bertukar tragedi apabila kereta yang dipandu terbabas sebelum maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kemalangan kira-kira jam 11.55 pagi tadi.

Beliau berkata, kejadian berlaku di Kilometer (km) 379.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di laluan Ajil menghala ke Bukit Besi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kira-kira jam 8.30 pagi mangsa Che Rosli Che Mat, 57, memandu kereta jenis Honda City dari Kelantan menghala ke Segamat, Johor, untuk ke rumah isterinya.

Katanya, kira-kira jam 11.30 pagi apabila sampai di tempat kejadian secara tiba-tiba kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri kemudian masuk ke dalam longkang di sebelah kiri jalan.

"Akibat daripada kejadian itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Menurutnya, siasatan ke atas kenderaan mendapati tayar hadapan sebelah kiri pecah, bumper hadapan tercabut, lampu hadapan sebelah kiri pecah, calar pada sisi kiri kenderaan manakala lain-lain kerosakan belum dapat dipastikan.

Banjir: Seorang lagi maut terkena renjatan elektrik ketika cas telefon bimbit

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
POLIS mengangkat mayat mangsa yang ditemukan maut dipercayai akibat renjatan elektrik.  FOTO Ihsan Polis.
POLIS mengangkat mayat mangsa yang ditemukan maut dipercayai akibat renjatan elektrik. FOTO Ihsan Polis.
Shah Alam: Satu lagi mayat ditemui dipercayai maut akibat renjatan elektrik di Kampung Padang Jawa, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 6.11 petang.

"Siasatan awal mendapati, mayat mangsa seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang juga pekerja penghantaran ditemui di sebuah lot rumah satu tingkat di lokasi berkenaan.

"Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan memakai t-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan memakai seluar pendek warna hitam.

"Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan pergelutan dan kecederaan lain pada tubuh mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mengesyaki mangsa mati terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit yang dalam keadaan rumah dinaiki air banjir.

"Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bedah siasat yang dijadualkan 10 pagi esok.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Fildza Bin Che Ibrahim di talian 016-9537372.

"Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan penggunaan barang-barang elektrik dan elektronik semasa musim banjir bagi mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik," katanya.

Kematian lelaki berkenaan adalah kes kedua maut dipercayai akibat renjatan elektrik.

Terdahulu, media melaporkan warga Sri Lanka bersama seekor anjing ditemukan mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25.

Penumpang Air India kencing ahli perniagaan Jepun dalam pesawat

Agensi

NEW DELHI – Seorang penumpang dalam penerbangan Air India dilaporkan telah membuang air kecil ke arah ahli perniagaan Jepun dalam kejadian yang berlaku pada 9 April lalu.

Menurut media India NDTV, syarikat penerbangan itu mengesahkan kejadian insiden berlaku di bahagian kelas perniagaan Penerbangan AI2336 dari New Delhi ke Bangkok.

Katanya, semasa pesawat itu turun, seorang warga India berusia 24 tahun, yang didakwa mabuk, telah membuang air kecil ke arah ahli perniagaan Jepun.

Penumpang Jepun ITU dilaporkan kekal tenang sepanjang kejadian dan krew kabin memberikannya tuala dan mengiringinya ke tandas untuk menukar pakaian.

Ahli perniagaan itu bagaimanapun tidak mahu memanjangkan insiden itu dengan mengambil tindakan kerana menganggap tidak mahu membuang masa ketika mendarat.

Pelaku, yang dipindahkan ke tempat duduk lain, dikatakan telah berulang kali meminta maaf kepada penumpang yang terjejas, menurut seorang pegawai syarikat penerbangan.

The Indian Express melaporkan, syarikat penerbangan itu telah membawa kes itu kepada pengawal selia penerbangan awam India.

Individu itu telah dilarang daripada terbang dengan Air India selama 30 hari.

Insiden itu adalah kali kedua berlaku dengan kes yang sama pada November 2022 dan syarikat penerbangan itu mendapat kecaman kerana kelewatan bertindak balas terhadap aduan yang dibuat oleh seorang wanita berusia 72 tahun yang membuang air kecil semasa penerbangan.

Suspek dalam kejadian itu, Shankar Mishra, dilaporkan meninggalkan lapangan terbang tanpa menghadapi akibat serta-merta tetapi kemudiannya ditahan.

The Straits Times berkata bahawa Air India didenda tiga juta rupee India (RM155,000) pada 2023 kerana salah mengendalikan kes itu. 
– malaysiagazette

Maut disebabkan guna telefon bimbit sedang dicas ketika banjir di Shah Alam

Lelaki disyaki maut guna telefon bimbit sedang dicas ketika banjir

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki tempatan ditemui dipercayai maut akibat renjatan elektrik dalam kejadian banjir Kampung Padang Jawa, Shah Alam, kira-kira 6 petang, hari ini.

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata mangsa dipercayai meninggal dunia kerana terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki banjir.

Menurutnya, mayat mangsa yang berusia 24 tahun ditemui di sebuah rumah satu tingkat di lorong Lembah Dua dalam keadaan tertiarap dengan memakai t-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan memakai seluar pendek warna hitam.

“Pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh simati yang boleh menyebabkan kematian.

“Siasatan awal mengesyaki mangsa terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki air banjir,” katanya.

Iqbal berkata mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

“Orang ramai diingatkan berwaspada dengan penggunaan barang-barang elektrik dan elektronik semasa musim banjir bagi mengelakkan risiko terkena renjatan,” katanya.

Terdahulu pada 10.51 pagi, mayat seorang lelaki warga Sri Lanka ditemui mati dalam sebuah premis di Taman Alam Indah, Seksyen 25 juga dipercayai akibat terkena renjatan elektrik selepas kawasan itu dilanda banjir.

Turut ditemui seekor anjing yang mati di sisi mangsa, dipercayai turut terkena renjatan elektrik.

Membongkar penyelewengan atas nama agama: Pengalaman bekas ahli Pas

Harapandaily

SHAIFUL ROSEMAN

Sepanjang bulan Ramadan lalu, saya cuba menahan diri daripada membongkar kebenaran yang telah lama terpendam.

Hati ini berkecamuk antara tanggungjawab menyampaikan kebenaran dan keinginan untuk menghormati kesucian bulan Ramadan.

Saya memilih untuk berdiam diri, menumpukan pada ibadah dan muhasabah, walaupun setiap hari media sosial dipenuhi dengan dakyah yang semakin melampau.

Namun, kini saya rasa terpanggil untuk bersuara, membongkar penyelewengan yang saya saksikan sendiri sebagai bekas ahli Pas yang pernah terlibat dalam sistem indoktrinisasi mereka.

Sebagai bekas ahli yang telah melalui setiap peringkat proses tarbiyah Pas, saya memahami dengan mendalam mekanisme pembentukan pemikiran dalam Pas.

Saya pernah menjadi sebahagian daripada sistem usrah dan liqa’, menghadiri halaqah dan daurah, serta menyertai muktamar dan tamrin yang membentuk kerangka pemikiran ahli.

Saya menyaksikan bagaimana proses yang dahulunya membentuk Muslim sejati, telah diracuni untuk menanam kesetiaan buta kepada parti.

Struktur tarbiyah yang direka bukan sekadar untuk pendidikan agama, tetapi untuk membentuk kepatuhan (wala’) tanpa soal kepada kepimpinan parti.

Apa yang paling membimbangkan adalah doktrin salah tentang konsep perjuangan di bulan Ramadan yang ditanam dalam minda ahli.

Mereka menggunakan kisah peperangan zaman Rasulullah SAW seperti Perang Badar dan Pembukaan Kota Mekah yang berlaku pada bulan Ramadan sebagai justifikasi untuk melancarkan serangan politik yang lebih ganas pada bulan mulia ini.

Hadis “الحرب خدعة” (perang adalah tipu daya) ditafsirkan secara melampau untuk menghalalkan fitnah, adu domba, dan caci maki terhadap pihak lawan politik.

Mereka menanamkan fahaman bahawa menyerang kerajaan dan memainkan sentimen 3R pada bulan Ramadan adalah suatu bentuk “jihad” yang diberkati.

Padahal, ia jelas bertentangan dengan semangat Ramadan yang menekankan pengampunan dan pembersihan jiwa.

Penyebar kebencian

Saya menyaksikan sendiri bagaimana sahabat dan teman yang dulunya dikenali dengan akhlak yang baik berubah menjadi penyebar kebencian dan fitnah.

Mereka diajar untuk melihat politik bukan sebagai wadah khidmat kepada rakyat, tetapi sebagai medan “perang” di mana segala cara dihalalkan untuk mencapai kemenangan.

Lebih menyedihkan, ramai orang awam yang tidak menyedari bahawa apa yang mereka anggap sebagai “memperjuangkan Islam” sebenarnya adalah politik kebencian yang bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan keadilan, kejujuran dan kasih sayang.

Maaf sahabat-sahabat Pas. Saya sayang kalian, saya masih menjaga hubungan dengan kalian. Saya menulis ini bukan untuk mencari permusuhan atau membalas dendam, tetapi kerana tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim yang prihatin terhadap kesucian agama dan kesejahteraan masyarakat.

Islam adalah agama rahmat yang mengajar kita untuk berlaku adil walaupun terhadap musuh, bukan agama yang menghalalkan fitnah dan perpecahan untuk kepentingan politik.

Proses tarbiyah sepatutnya membentuk Muslim yang berakhlak mulia dan menyumbang kepada keharmonian masyarakat dan rahmah buat seluruh alam, bukan melahirkan aktivis politik yang sanggup mengorbankan kebenaran dan perpaduan demi agenda parti.

Harapnya perkongsian ini dapat membuka mata masyarakat tentang bahaya indoktrinisasi yang dibawa oleh Pas atas nama agama.

Kita perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar – yang menekankan ukhuwah.

Politik dalam Islam seharusnya menjadi alat untuk menegakkan keadilan, membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk memecahbelahkan masyarakat untuk mencapai matlamat kuasa dengan menghalalkan segala kaedah, termasuk bercampur hal yang mungkar.

Lelaki lari bersama bakal ibu mentua 10 hari sebelum majlis perkahwinan

Agensi
BAKAL pengantin lelaki lari bersama bakal ibu mentua. Foto AGENSI
BAKAL pengantin lelaki lari bersama bakal ibu mentua. Foto AGENSI
Uttar Pradesh: Seorang lelaki berusia 25 tahun di India dilapor melarikan diri bersama bakal ibu mentuanya yang berusia 38 tahun, hanya 10 hari sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Rahul bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta di Uttarakhand.

Beliau sepatutnya melangsungkan perkahwinan bersama tunangnya, Shivani yang tinggal di kampung Manoharpur Kayastha.

Namun, pada 6 April lalu, Rahul dan ibu Shivani iaitu Anita, dilaporkan hilang.

Selepas kejadian itu, bakal pengantin perempuan dikatakan jatuh sakit serta alami kejutan emosi.

Keluarga kedua-dua pihak kemudian membuat laporan polis dan melakukan pencarian.

Menurut ahli keluarga, hubungan cinta itu dipercayai bermula selepas Anita menghadiahkan telefon bimbit kepada Rahul enam bulan yang lalu.

Orang kampung turut memaklumkan Rahul kerap mengunjungi rumah bakal mentuanya dan sering berbual panjang dengan Anita, namun tidak mengesyaki apa-apa.

Anita turut melarikan barang kemas milik anaknya serta wang tunai sebanyak 350,000 rupee (RM19,700) yang disimpan di rumah untuk majlis perkahwinan berkenaan.

Pegawai Polis Daerah Iglas, Mahesh Kumar, berkata memandangkan kedua-dua mereka adalah dewasa, laporan polis rasmi (FIR) tidak dapat dibuat .

"Bagaimanapun, pihak keluarga wanita berkenaan sudah mengemukakan aduan bertulis berhubung kehilangan barang kemas dan wang tunai.

"Selepas aduan kehilangan difailkan, pasukan pemantauan dan siasatan polis sudah digerakkan.

"Pihak polis akan mengesan wanita itu dalam masa terdekat," katanya.

Pelajar wanita diculik ketika melawat rakan, dirogol 22 orang

Sinar Harian

NEW DELHI: Seorang pelajar wanita berusia 19 tahun telah diculik dan dirogol beramai-ramai oleh 22 orang dalam tempoh seminggu di Varanasi, Uttar Pradesh.

Pegawai kanan polis Varanasi, Chandrakant Meena berkata, enam daripada penyerang tersebut telah ditangkap dan selebihnya sedang diburu pihak berkuasa.

Remaja itu difahamkan telah meninggalkan rumahnya di Lapur, utara Varanasi untuk melawat rakan pada 29 Mac lalu.

Sebelum ini, pelajar wanita terbabit sering melawat rakannya namun kali ini dia gagal pulang ke rumah.

Wanita itu mendakwa pada hari sama, dia telah dibius, diculik dan dibebaskan di persimpangan Pandeypur oleh penculiknya.

Selepas dibebaskan, pelajar wanita itu pergi ke rumah rakannya yang berdekatan untuk meminta bantuan sebelum dibawa pulang ke kediamannya.

Dia kemudian mendedahkan butiran pengalaman pahit itu kepada bapanya, yang kemudiannya membuat aduan kepada polis pada 4 April lalu.

Serangan itu dilaporkan berlaku di bar, hotel, rumah persinggahan dan rumah tetamu di mana pelbagai orang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Ujar Chandrakant, satu kes telah didaftarkan dan pada malam sama, beberapa lelaki yang ditangkap berasal dari kawasan Hukulganj serta Lallapura untuk siasatan.

Bagaimanapun, polis enggan memberikan sebarang butiran kerana sesetengah daripada mereka mungkin di bawah umur.

Menurutnya mangsa mahupun keluarganya pada mulanya tidak memfailkan aduan mengenai serangan seksual.

“Aduan rogol hanya dibuat pada 6 April lalu,” katanya kepada NDTV. - Sinar Harian

PRK Ayer Kuning: Polis kenal pasti individu cenderung buat provokasi

Faiz Zainudin

TAPAH: Polis telah mengenal pasti beberapa individu yang cenderung mencetuskan provokasi sepanjang kempen PRK DUN Ayer Kuning bermula esok.

Bagaimanapun, Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata individu terbabit tidak dihalang menyertai mana-mana acara sepanjang tempoh berkempen namun dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Mereka berhak menghadiri mana-mana acara sepanjang kempen berlangsung. Kebimbangan kita apabila ada pihak luar yang datang membantu kempen mana-mana calon.

“Kita juga telah mengenal pasti beberapa lokaliti panas sepanjang PRK dan sudah mengatur beberapa langkah sewajarnya bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini,” katanya pada sidang media di IPD Tapah hari ini.

Beliau turut menasihatkan semua pihak, khususnya penyokong calon untuk mematuhi peraturan dan mengelakkan isu raja, agama, dan kaum (3R) sepanjang berkempen.

Katanya, beberapa akta sedia ada, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Perhimpunan Aman 2012, Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah akan digunakan bagi membendung sebarang salah laku sepanjang tempoh PRK berkenaan.

“Setakat ini kita belum menerima sebarang laporan membabitkan sebarang insiden berkaitan isu 3R, selain permit kempen akan dikeluarkan selepas permohonan dibuka sejurus proses penamaan calon tamat,” katanya.

Tambahnya lagi, seramai 774 petugas akan digerakkan digerakkan bagi mengawal keadaan pada hari penamaan calon, manakala sepanjang tempoh kempen (732 petugas) dan hari pengundian (1,114 petugas).

Esok merupakan hari penamaan calon PRK Ayer Kuning, manakala pengundian pada 26 April. Barisan Nasional (BN) mengumumkan Mohamad Yusri Bakir sebagai calon, manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Abdul Muhaimin Malek dan PSM diwakili Bawani KS.

Pelajar tahfiz mengaku bersalah amang seksual junior

Seth Akmal
Tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian, telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 13 tahun pada April tahun lalu. - Gambar/ Astro AWANI
AMPANG: Seorang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar junior di sebuah pusat pengajian tahfiz di Hulu Langat, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian, telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 13 tahun pada April tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.


Tertuduh dilihat mengangguk faham semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Timbalan Pendakwa Raya S. Kirthana mencadangkan ikat jamin RM8,000, namun peguam A. Rahman Mohd Nasir yang mewakilinya memohon jumlah itu dikurangkan atas faktor tertuduh masih di bawah umur dan belum bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah menetapkan 18 Jun sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

8 termasuk usahawan, peguam ditahan, aset RM3.17 bilion dirampas

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat usahawan dan peguam bergelar Datuk antara lapan individu yang ditahan kerana disyaki terbabit jenayah pengubahan wang haram berkait skim pelaburan ponzi dengan aset bernilai RM3.17 bilion dirampas serta dibekukan.

Kejayaan itu menerusi Op Northern Star rentas negara yang dilaksanakan hasil maklumat notis merah daripada Organisasi Polis Antarabangsa (Interpol).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi dijalankan PDRM melalui Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman pada 20 Mac lalu.

"Melalui operasi itu, PDRM berjaya membekukan pelbagai aset dan hasil perolehan haram yang dipercayai berkait rapat dengan skim pelaburan tipu jenis 'ponzi scheme' atau dikenali sebagai Pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran.

"Setakat ini seramai lapan individu tempatan termasuk seorang wanita berusia 44 hingga 62 tahun ditahan. Antara ditahan termasuk dua usahawan bergelar Datuk dan dua peguam turut bergelar Datuk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan turut berjaya membeku dan menyita pelbagai aset antaranya 638 akaun bank dan saham berjumlah RM1.16 bilion, 35 unit hartanah dianggarkan bernilai RM2 bilion dan 10 kenderaan mewah.

Katanya, turut dirampas adalah 12 jam tangan mewah, wang tunai pelbagai mata wang asing, telefon bimbit (6), beg tangan jenama mewah (4) dan masing-masing dua unit barang kemas serta komputer riba selain pelbagai dokumen penting.

Menurut Razarudin, semua harta dan barang disita itu dipercayai hasil perolehan haram berkaitan aktiviti penipuan pelaburan terbabit.

Kata beliau, kesemua suspek sudah direman antara satu hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613).

"PDRM akan meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terbabit secara langsung atau tidak dalam memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa masuk atau keluar, menggunakan dan melupuskan hasil perolehan haram berkenaan," katanya.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang aktiviti mencurigakan selain tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.

Ketagih telefon pintar punca rogol, sumbang mahram meningkat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketagihan telefon pintar menjadi antara punca utama gejala sosial yang menyebabkan kes jenayah, sumbang mahram dan rogol meningkat.

Timbalan Mufti Kelantan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, berkata kebanyakan kanak-kanak kini mempunyai telefon pintar dan dapat mengakses media sosial.

Katanya, tanpa disedari ibu bapa, ramai daripada mereka gemar melihat gambar atau video memaparkan seks dan jenayah.

“Kanak-kanak ini suka berkumpul dan bercakap sambil melihat pelbagai perkara di media sosial dan mereka mudah terpengaruh. Situasi ini sangat bahaya,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau mengulas peningkatan jenayah seks dan sumbang mahram membabitkan kanak-kanak di negeri  itu.

Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan bimbang dengan peningkatan kes rogol dan sumbang mahram pada tahun lalu yang memerlukan tindakan segera dan komitmen masyarakat untuk mengatasinya.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, dipetik sebagai berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkod, meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.

Hasil siasatan pihaknya turut mendapati sebanyak 98 kes yang dilaporkan adalah suka sama suka.

Beliau turut mendedahkan ada kes kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun membuat hubungan dengan sepupu perempuan berusia 15 tahun sehingga mengandung.

Sementara itu, Nik Kadir berkata kes jenayah dapat dikurangkan dengan pendidikan di sekolah dan pemantauan oleh ibu bapa.

“Ibu bapa pada hari ini sepatutnya mengambil berat dan memberikan pendidikan agama yang secukupnya sebagai benteng di akhirat.

“Ibu bapa yang menitikberatkan Islam dapat melahirkan anak-anak yang tahu hukum agama,” katanya.

PN digesa tarik diri kalau tak semangat bangunkan Ayer Kuning

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Pemimpin Umno dan Pakatan Harapan (PH) Perak secara sinis meminta Perikatan Nasional (PN) menarik diri daripada bertanding PRK Ayer Kuning kerana didakwa tidak mempunyai aspirasi membangunkan kawasan itu.

Kelmarin, Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden dipetik berkata pembangunan di DUN terbabit akan berjalan seperti biasa walau apa jua keputusan pada PRK 26 April depan termasuk dimenangi komponen itu.

Ketua Umno Sungai Siput Mohd Zolkafly Harun berkata kenyataan itu membuktikan ketiadaan perancangan untuk pembangkang di kawasan itu dan mengakui keberkesan pentadiran Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Sehubungan itu, Zolkafly yang juga exco kerajaan Perak menggesa PN supaya menarik diri dan jika berlaku pertandingan sekali pun, pengundi DUN Ayer Kuning perlu memilih calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Yusri Bakir.

“Memang wajib kekal calon BN dari kerajaan perpaduan untuk terus memberikan perkhidmatan dan pembangunan seiring dengan kerajaan yang kukuh pada hari ini di negeri Perak dan tak perlu pun wakil dari pembangkang,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Afnan yang pembangunan di Ayer Kuning akan terus berjalan jika calon PN Abdul Muhaimin Malek menang kerana dipantau pegawai khas dilantik Saarani seperti di DUN diwakili pembangkang di negeri itu.

Ketua Amanah Perak Asmuni Awi pula secara sinis bersetuju dengan kenyataan Afnan itu dan membuktikan mengundi pembangkang hanya sia-sia kerana pembangunan hanya akan dibuat wakil kerajaan.

“Jadi PAS tak payah bertandinglah bila kata MB akan lantik pegawai khas (jaga pembangunan), buat apa mereka tanding di situ?

“Tak perlu buang duit dan masa pengundi, dari pilih pembangkang lebih baik undi calon BN kerana lebih efektif beri sumbangan kepada rakyat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Ayer Kuning pada 26 April dengan penamaan calon Sabtu ini dan membabitkan 31,897 daftar pemilih.

PRK itu diadakan bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada Februari lalu.

Kes ragut rantai emas RM11,000 di Setia Alam, polis buru suspek

Afiezy Azaman

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM11,000 selepas rantai lehernya diragut dalam satu kejadian di hadapan premis kedai serbaneka di Setia Alam, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa jam 2.08 petang.

“Siasatan awal mendapati, semasa mangsa bersama isterinya selesai membeli barang di premis berkenaan, mereka telah didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 135LC berwarna merah.

"Suspek memaklumkan kononnya telah melanggar bahagian hadapan kereta mangsa sehingga mengalami kerosakan.

"Mangsa kemudiannya turun untuk memeriksa keadaan sebelum suspek secara tiba-tiba bertindak menarik rantai leher mangsa dari arah belakang sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103 atau menghubungi IPD Shah Alam di talian 03-55202222, tambahnya.

Polis siasat remaja sembunyi kelahiran mengaku dirogol

Faisal Asyraf

PETALING JAYA: Polis melaksanakan siasatan lanjut susulan pengakuan bersalah seorang remaja menyembunyikan kelahiran bayinya bulan lalu, yang didakwa mengandung selepas dirogol.

Ketua Polis Sabak Bernam Yusof Ahmad mengesahkan laporan dibuat ahli keluarga selepas tertuduh berusia 18 tahun memberitahu Mahkamah Majistret hari ini mengenai kejadian rogol.

“Ia masih disiasat,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Sebelum ini, remaja dan ibunya berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi dalam lubang tandas di sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam.

Siasatan awal daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati wanita mengandung masuk ke tandas perempuan, ditemani seorang lagi wanita.

Hari ini, perempuan itu mengaku salah menyembunyikan kelahiran bayi pada 24 Mac dan dijatuhi sebulan penjara dan denda RM5,000. Dia membayar denda berkenaan.

Dia memberitahu mahkamah dirinya mengandung selepas dirogol seorang lelaki yang baru dikenali. Dia juga memaklumkan kejadian itu dirahsiakan kerana takut.

Lebai terus memperbodohkan walaun

Razman bertegas tak boleh diam, masih tuduh DAP rosakkan bangsa Melayu

Harapandaily

Walaupun telah direhatkan daripada menjalankan tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria mengakui dia tidak boleh mendiamkan diri dan masih menuduh DAP merosakkan Melayu.

Menerusi klip rakaman video dikongsikan di akaun TikTok atas namanya, Razman dilihat bersemangat menjelaskan sebab dia berpendirian sedemikian.

“Kenapa DAP bersungguh-sungguh heret Pak Teh ke Lembaga Tatatertib atas isu kibar bendera asing dan abu Chin Peng?” tertera kapsyen pada video tersebut.

Razman yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak turut menyebut tentang Deklarasi Setapak yang diumum DAP pada 29 Julai 1967.

“Pasal DAP ni membawa satu perjuangan yang merosakkan bangsa.

“Sebabnya, Deklarasi Setapak dia tu adalah untuk sama rata yang melanggar Perlembagaan.

“Keistimewaan orang Melayu tu dah letak dalam Perlembagaan, persetujuan kita untuk merdeka.

“Bererti dia (DAP) nak buang perkara tu. Takkan kita orang Melayu tak sedar?” katanya lagi.

Bulan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkenaan dilapor direhatkan daripada menjalankan tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.

Poster ucapan Ramadan yang dimuatnaik di Facebook rasmi Razman didapati tiada jawatan ‘Pesuruhjaya Pas Perak’ dimuatkan.

Gambar pada poster tersebut hanya memaparkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, ADUN Gunung Semanggol dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak.

Pada Januari lalu, pemimpin Pas berkenaan memohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas mengakui wujud kesalahan fakta dalam ucapannya yang mendakwa pemimpin DAP tersebut sebagai ‘anak YTL’.

Sebelum itu, Razman turut memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan Pengerusi DAP Perak tersebut dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan.

Tindakan maaf juga dibuat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad susulan ucapannya dalam satu himpunan di Dataran Menara Condong di Teluk Intan.

Lagi rakyat Malaysia ditahan di pekan Sungai Golok kerana miliki dadah

Sharifah Mahsinah Abdullah
am@hmetro.com.my
TIGA rakyat Malaysia antara 34 ditahan dalam operasi anti dadah di pekan Sungai Golok, semalam. FOTO Ihsan Polis Thailand.
TIGA rakyat Malaysia antara 34 ditahan dalam operasi anti dadah di pekan Sungai Golok, semalam. FOTO Ihsan Polis Thailand.
Sungai Golok: Tiga lelaki rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand kerana memiliki Eramin 5, pil ekstasi dan dan peranti vape dalam operasi antidadah di pekan Sungai Golok, di sini, semalam.

Jurucakap polis Thailand berkata mereka yang berusia antara 23 dan 32 adalah antara 34 individu yang ditahan dalam operasi itu yang bermula jam 9.30 pagi (waktu Thailand).

Selain itu, 31 lagi yang ditahan adalah warga Thailand.

Jurucakap itu berkata, operasi itu dilakukan secara bersama polis, anggota tentera dan pegawai daerah Sungai Golok di sebuah pusat peranginan di sempadan.

"Dalam serbuan itu, 34 individu ditahan. Seramai 11 individu termasuk tiga rakyat Malaysia ditahan kerana memiliki dadah dan peranti vape, manakala 23 lagi diklasifikasikan sebagai penagih dadah," katanya.

Jurucakap itu berkata, pelbagai jenis dadah dan beberapa peranti vape dirampas dalam operasi itu.

"Mereka dijangka didakwa bersama atas tuduhan memiliki bahan psikotropik kategori 1 (ekstasi) dan kategori 4 (eramin 5) secara haram untuk kegunaan peribadi.

"Seorang daripada mereka juga akan menghadapi pertuduhan tambahan kerana memiliki barang import haram yang tidak diproses melalui kastam," kata jurucakap itu.

Menurutnya, kesemua suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan undang-undang lanjut.

Umno mohon pindah milik tanah daripada Daim, Dr M, dua yang lain

FMT Reporters

Tanah 9,723m persegi di ibu kota itu didaftarkan atas nama Daim Zainuddin, Musa Hitam, Dr Mahathir Mohamad dan Sanusi Junid.

Umno memohon agar tapak Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur, yang didaftarkan atas nama Daim Zainuddin, Musa Hitam, Dr Mahathir Mohamad dan Sanusi Junid, dipindah milik kepadanya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Umno memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah berkeluasan 9,723m persegi, tapak Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur, dipindah milik kepadanya.

Saman itu difailkan oleh Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi pada 6 Mac lepas, menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Umno memberitahu Bernama, pada pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini, mahkamah menetapkan 2 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam saman itu, Umno memohon perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama pemegang-pemegang amanah, iaitu Daim Zainuddin, Musa Hitam, Dr Mahathir Mohamad dan Sanusi Junid, dipindahkan kepada Umno mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.

Selain itu, Umno memohon Pendaftar Hakmilik Wilayah Persekutuan atau Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan melaksanakan perintah tersebut dengan membuat memorial dalam dokumen hak milik.

Berdasarkan afidavit sokongan, Mohd Sumali berkata, berdasarkan Borang Jadual 17, permohonan kebenaran pindah milik tanah bertarikh 27 Okt 2015 bagi hartanah itu, yang disertakan dengan Surat Akuan bertarikh 22 Okt 2015, disahkan serta ditandatangani oleh empat pemimpin terbabit.

“Dua pemegang amanah telah meninggal dunia, iaitu Sanusi pada 9 Mac 2018, dan Daim pada 13 Nov 2024,” katanya.

Menurut Mohd Sumali, presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung Umno telah bersetuju melalui Surat Akuan bertarikh 10 Dis 2015 untuk mendaftar semula hartanah tersebut daripada pemegang-pemegang amanah terdahulu kepada parti itu.

Katanya, melalui surat bertarikh 28 Dis 2015 daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluluskan kebenaran pindah milik daripada pemegang-pemegang amanah tersebut kepada Umno.

“Bagaimanapun, ketika proses untuk pindah milik melalui Borang 14A bertarikh 25 April 2016 dilakukan dan diserahkan oleh peguam plaintif (Umno) kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, permohonan Borang 14A tersebut ditolak pada 18 Mei 2017 atas alasan nama seperti di dalam geran hartanah tidak sama seperti dalam kad pengenalan,” katanya.

Timbalan Presiden PAS: PN dijangka rombak struktur kepimpinan

N Faizal Ghazali

PN dijangka melaksanakan dengan rombakan struktur kepimpinannya selepas gabungan itu berserutuju menubuhkan jawatankuasa bagi menilai penambahbaikan organisasi.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata langkah menambah baik struktur parti berkenaan bakal dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita (PAS) ada cadangan beberapa penambahbaikan kepada PN secara keseluruhannya.

“Majlis tertinggi (PN) bersetuju tubuhkan jawatankuasa untuk menilai kembali," katanya kepada Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam.

Tuan Ibrahim yang juga anggota Majlis Tertinggi PN menegaskan, antara aspek yang diberi perhagian dalam penambahbaikan parti itu ialah pindaan perlembagaan, dan penubuhan majlis presiden.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada PAS sudah mengemukakan calon bagi menggantikan Ahmad Samsuri Mokhtar yang meletakkan jawatan Bendahari Agung PN sebelum ini.

Tuan Ibrahim berkata, PAS belum mengemukakan nama pengganti Ahmad Samsuri itu susulan cadangan untuk melaksanakan penambahbaikan tersebut.

Pada Jan lalu, Malaysiakini melaporkan PAS bersedia mengemukakan calon pengganti Ahmad Samsuri yang meletak jawatan itu kira-kira sebulan sebelum itu.

Lima wakil setiap parti

Untuk rekod Ahmad Samsuri membuat kejutan dengan melepaskan jawatan tersebut sehari selepas PN mengumumkan barisan kepimpinan utamanya yang menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, dilantik menjadi setiausaha agung.

Pelantikan Azmin itu sekali gus mengetepikan cadangan Pemuda PAS agar setiausaha agung mereka, Takiyuddin Hassan, dilantik ke jawatan tersebut yang dikosongkan Hamzah Zainudin.

Hamzah dipilih sebagai Timbalan Presiden PN merangkap Timbalan Presiden Bersatu.

Susulan peletakan jawatan tersebut Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sehingga hari ini tidak memberikan alasan lanjut berhubung tindakannya itu.

Sehari selepas pengumuman itu dibuat dia memberitahu, kenyataan rasmi akan dikeluarkan apabila tiba masa yang dianggap sesuai dan pimpinan sedang menguruskan perkara tersebut.

Ahmad Samsuri turut berkata orang ramai boleh membuat tafsiran mengenai keputusannya meletakkan jawatan itu dengan membaca petikan kata-kata legenda bola keranjang AS, Kareem Abdul-Jabbar.

Pada 12 Dis lalu, Ahmad Samsuri memuat naik hantaran di media sosial dengan memetik kata-kata Kareem: "Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah".

Ditanya sama ada akan berlaku perubahan dalam struktur kepimpinan PN, Tuan Ibrahim semalam memberikan gambaran ada cadangan dibuat ke arah itu.

“Jawatankuasa sudah setuju ditubuhkan dengan dianggotai lima orang wakil daripada setiap parti komponen.

“Saya fikir ada kemungkinan berlaku (perubahan pimpinan) sebab cadangan itu juga melibatkan pindaan perlembagaan PN,” katanya.

Bagaimanapun bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu tidak mengulas lanjut sejauh mana rombakan kepimpinan PN itu akan berlaku.

22 kematian akibat disambar petir

Bernama-Xinhua

New Delhi: Sekurang-kurangnya 22 orang maut disambar petir di negeri Bihar, timur India, dalam tempoh 24 jam, lapor media tempatan pada Khamis, menurut Xinhua.

Hujan lebat dan ribut petir yang disertai sambaran petir melanda negeri itu pada Rabu, menjejaskan beberapa daerah.

"Seramai 22 orang terbunuh selepas disambar petir di Bihar," menurut laporan saluran berita televisyen tempatan, India TV, dalam satu laporan, memetik data rasmi.

Kematian dilaporkan dari lapan daerah.

Bagaimanapun, satu kenyataan yang dikeluarkan dari Pejabat Ketua Menteri Bihar (CMO) pada petang Rabu menyatakan hanya 13 orang meninggal dunia akibat disambar petir di empat daerah.

Empat daerah itu turut dilanda ribut, hujan lebat, dan hujan batu, menyebabkan kemusnahan meluas.

Ketua Menteri Bihar Nitish Kumar menzahirkan dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa dan mengumumkan bantuan kewangan untuk mereka.

"Ketua Menteri mengumumkan pembayaran ex gratia sebanyak INR 400,000 (AS$4,649) kepada waris terdekat mangsa," kata seorang jurucakap kerajaan.

Kumar juga menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dalam cuaca buruk dan mengikuti saranan yang dikeluarkan oleh jabatan pengurusan bencana.

Laporan mengatakan mangsa berada di ladang ketika petir menyambar mereka.

Setiap tahun, dengan bermulanya musim monsun, ratusan orang mati disambar petir di India.

Polis rekod keterangan bekas isteri anggota tertembak diri sendiri

Malaysiakini 

Polis telah merekodkan keterangan bekas isteri anggota polis yang parah akibat tertembak diri sendiri di bilik pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di George Town pada Selasa lepas bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya juga dijangka mengambil keterangan beberapa lagi individu bagi membantu mengenal pasti punca kejadian.

Beliau berkata koperal berusia 58 tahun itu masih berada dalam pemantauan pakar di unit rawatan rapi umum (GICU) selepas dipindahkan dari unit rawatan rapi neurosurgeri (neuro ICU).

“Setakat ini, anggota itu masih belum menjalani sebarang pembedahan kerana pakar perubatan masih menjalankan pemerhatian lanjut bagi tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Anggota polis bertugas di cawangan Kem Komandan itu ditemukan parah di kepala dalam bilik pengawal IPK Pulau Pinang pada 6.12 petang Selasa lepas, dipercayai akibat tertembak diri sendiri.

Siasatan di tempat kejadian mendapati satu das tembakan dilepaskan daripada senjata digunakan anggota itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

- Bernama

Ketua bahagian MIC 'menyusup masuk' PKR?

Malaysiakini 

Seorang wakil rakyat PKR hari ini mendakwa pertandingan bagi merebut jawatan dalam parti itu dicemari oleh penyertaan individu yang tidak sepatutnya apabila dia cuba mencampuri urusan pemilihan.

Adun Rawang, Chua Wei Kiat, mendakwa ada seorang pemimpin MIC menyertai PKR pada Okt tahun lalu sebagai langkah untuk mempengaruhi proses pemilihan parti berkenaan.

Chua - yang bertanding untuk jawatan Ketua Cabang PKR Selayang - berkata proses pendaftaran keahlian PKR bukanlah sesuatu mudah dan tidak boleh dilakukan dengan cuai.

Antara proses yang perlu dilakukan, katanya, termasuklah perlu memuat naik gambar kad pengenalan dan pengesahan wajah secara langsung.

"Tindakan ini bukan suatu kes terpencil," katanya.

Malaysiakini tidak dapat mendedahkan identiti pemimpin MIC peringkat bahagian yang didakwa Chua itu sehinggalah mendapat reaksi daripada individu terbabit.

Chua yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR mendakwa tidak dapat dipastikan ada berapa ramai ahli MIC yang aktif sudah menyertai PKR setakat ini.

"Ia dilihat sebagai satu gerakan terancang untuk menyusup masuk ke dalam PKR dengan tujuan mempengaruhi proses pemilihan Cabang Selayang.

"Campur tangan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan parti luar yang cuba mengambil kesempatan terhadap sistem dalaman parti kita," tambahnya.

Menurut Chua dia membuat laporan polis berhubung perkara itu dan akan membuat aduan rasmi kepada pimpinan PKR dan MIC untuk tindakan selanjutnya.

Kedah: Wanita maut tercampak dalam sungai, motosikal dilanggar MPV

Zuliaty Zulkiffli
Keadaan motosikal dan MPV dinaiki enam warga emas yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Titi Chegar, Pendang. - Foto NSTP/Ihsan POLIS
Keadaan motosikal dan MPV dinaiki enam warga emas yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Titi Chegar, Pendang. - Foto NSTP/Ihsan POLIS
PENDANG : Seorang wanita maut apabila tercampak ke dalam sungai selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Titi Chegar, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, suri rumah, Nor Atikah Ahmad, 32, dari Kampung Sawa Kecil, Mukim Padang Pusing, dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, tangan kiri dan betis kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Shamzury Saman berkata, anggota polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 3 petang membabitkan sebuah MPV dengan sebuah motosikal di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, kemalangan berlaku ketika Toyota Avanza yang dipandu lelaki warga emas berusia 61 tahun itu dari Jeneri, Sik menghala ke Kampung Guar Kepayang.

"Apabila sampai di Jalan Titi Chegar, Pendang, kenderaan MPV itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar wanita terbabit yang sedang menunggang motosikal jenis Honda Vario 125 yang bergerak lurus di laluan bertentangan.

"Kenderaan MPV itu turut membawa lima penumpang yang kesemuanya lelaki warga emas berusia antara 67 hingga 74 tahun.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit tercampak ke dalam sungai dan diselamatkan oleh orang awam.

"Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Pendang manakala pemandu dan penumpang kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamzury berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim mahu pemimpin PN yang terlibat dengan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur beri penjelasan

Isu Kg Sungai Baru: Pihak terlibat di era PN perlu beri penjelasan - Tuan Ibrahim
N Faizal Ghazali

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat ada kewajaran bagi pihak yang terlibat dengan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur ketika pentadbiran PN untuk memberi penjelasan.

Menyifatkan pengambilan tanah di situ sebagai isu lama, Tuan Ibrahim berkata penjelasan daripada pihak berkenaan diperlukan.

“Ini (isu) dah lama, jadi saya ingat ia perlu penjelasan daripada pihak berkenaan, pada waktu itu.

“Sebab ini legasi yang wujud sejak bertahun-tahun sebelumnya.

“Saya sendiri secara peribadi (rasa) kita perlukan penjelasan terhadap perkara-perkara tersebut, apa yang berlaku pada tempoh tersebut perlu penjelasan lanjut,” katanya kepada Malaysiakini.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya jika isu tersebut merupakan kesilapan kerajaan PN apabila ia didakwa tercetus ketika itu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu antara 23 wakil rakyat pembangkang yang hadir mendengar taklimat yang disampaikan penduduk kampung berkenaan yang terkesan dengan projek pembangunan di kawasan itu, semalam.

Dalam pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Penduduk Kampung Zainab Alias mendakwa beberapa bekas menteri dan wakil rakyat terdahulu menyebelahi pemaju, termasuk Annuar Musa, Shahidan Kassim, serta ahli Parlimen Titiwangsa ketika itu, Rina Harun.

“Kami dah bagi tempoh berapa lama tiada siapa wakil rakyat pun jumpa kami, yang saya sedih YB Rina pun boleh sokong dengan pemaju, tanah kami dia sokong (pemaju), saya marah.

"Saya sebut satu lagi nama menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Annuar Musa, selepas itu jumpa Shahidan Kassim,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata isu di Kampung Sungai Baru itu merupakan kezaliman yang tidak sepatutnya dibenarkan berlaku.

“Ia juga tentang hak orang Melayu di kawasan ini yang akan hilang. Kalau mereka setuju, mereka mungkin akan dapat sebuah rumah sebagai ganti, tapi yang jelasnya mereka dipaksa.

“(Kalau) tak terima pergi mahkamah, berapa mahkamah putuskan itulah yang tinggal. Jumlah pampasan RM250,000 ke RM300,000 itu bukan nilai yang sebenar.

“Rumah-rumah di kawasan ini (sepatutnya) akan cecah RM800,000 ke RM1 juta seunit. Ini satu kezaliman yang tidak sepatutnya diizinkan dalam negara kita,” katanya lagi.

Sumbang mahram rogol dan serah badan di Kelantan

Faisal Tehrani

Suka tidak suka, dengan tenang dan kewarasan; kita akan mendapati kegagalan dan kecuaian kuasa politik sedikit-sebanyak menjadi punca fenomena keji ini.

Minggu ini kita dikejutkan dengan satu pendedahan oleh ketua polis Kelantan yang menimbulkan kerisauan sengit. Menurut pihak berkuasa negeri tersebut, jumlah kes rogol, dan sumbang mahram semakin menjadi-jadi di negeri ini. Malah menurut ketua polis tersebut, peningkatan tahun demi tahun di Kelantan amat ketara. Bukan itu sahaja, terdapat pelaku seawal usia 10 tahun. Penjelasan pihak polis ini juga sangat mengejutkan lantaran dinyatakan terdapat kes remaja perempuan yang mencari lelaki untuk menyerah badan. Bukan itu sahaja, parahnya 98% kes sumbang mahram ini berlaku kerana ‘suka sama suka’. Punyalah bedebah, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun juga nampaknya telah menghamilkan sepupu yang berumur 15 tahun.

Dalam dunia Melayu terdapat tiga jenis sumbang mahram. Pertamanya, sumbang balai melintang iaitu bermaksud zina dengan orang yang tidak boleh dikahwini (seperti ibu atau ayah, datuk atau nenek); keduanya, sumbang kadim yakni berzina dengan keluarga rapat; dan sumbang pati melibatkan permukahan dengan saudara sendiri.

Kamarul Azmi Jasmi dari Universiti Teknologi Malaysia dalam kertasnya bertajuk ‘Jenayah Sumbang Mahram: Perkembangan dan Faktor Penyebarannya’ (2004) menyatakan bahawa ‘sesebuah negeri tidaklah boleh menilai kes sumbang mahram hanya dengan melihat dari segi jumlahnya sahaja berbanding dengan jumlah kes negeri-negeri lain’. Sebaliknya menurut ahli akademik tersebut, ‘sesebuah kerajaan negeri perlu melihat tahap serius kes sumbang mahram mereka dengan melihat jumlah kes dibandingkan dengan jumlah penduduk negeri mereka’ maka ’dengan ini tahap keseriusan kes sumbang mahram boleh dilihat dengan nisbah yang lebih tepat.’

Atas hujah akademik ini sahaja, orang Kelantan yang sentap dan meruok apabila dihujahkan yang kerajaan negeri Kelantan telah gagal dalam hal ini perlu bermuhasabah. Bahawa kononnya urusan politik jangan sampai dilibatkan apabila berlakunya gejala haruan makan anak.

Namun, suka tidak suka, dengan tenang dan kewarasan; kita akan mendapati bahawa kegagalan dan kecuaian kuasa politik sedikit-sebanyak menjadi punca kepada fenomena keji ini.

Salah satu faktor politik yang mengakibatkan sumbang mahram ini menjadi-jadi adalah kedudukan sosioekonomi. Azizah Othman dalam kertasnya ‘Fenomena Sumbang Mahram di kalangan Masyarakat Islam di Malaysia’ (2004) pernah menyatakan ‘kes-kes sumbang mahram berlaku dalam kalangan keluarga yang mempunyai tahap ekonomi yang rendah’ di mana kita dapat membayangkan kekurangan bilik tidur, atau perkongsian bilik air; selain kedudukan terpencil yang memudahkan semua ini terjadi.

Jika sebuah kerajaan memiliki polisi yang baik dan pelan peningkatan ekonomi yang rapi dan tersusun untuk rakyatnya, sudah tentu kita tidak akan mendepani suasana di atas.

Sebenarnya, tahun demi tahun pendedahan ini tidak pun menyentuh atau menjungkit nurani ahli politik di negeri yang ditadbir oleh parti Islam itu. Tidak ada perancangan rapi misalnya untuk membawa keluar warga negeri yang berada dalam kemelaratan. Kerajaan negeri tidak ada idea bagaimana untuk menangani isu ini. Bangsa Kelantan berhijrah besar-besaran ke negeri lain, dan membawa sama penyakit masyarakat dari sana.

Jika kerajaan mengambil kira faktor yang digaris di atas, sudah tentu negeri pimpinan ulama ini akan bertemu upaya untuk membetulkan keadaan, misalnya kerajaan negeri boleh mencari jalan untuk menyediakan pelan perumahan yang munasabah untuk ’keluarga berisiko sumbang’.

Kalau isunya adalah kerana ‘keruntuhan moral’ dan ‘kekurangan iman’, hal ini lebih aneh. Ini kerana Kelantan adalah negeri yang telah ditadbir dengan penuh gilang-gemilang oleh kaum ulama. PAS memang mendabik dada dengan Kelantan. Cukup pelik rakyat negeri ini tidak berasa ingin menjadikan tuan-tuan guru sedia ada sebagai panduan dan pedoman mereka.

PAS telah menguasai Kelantan sejak tahun 1990, dan dekad demi dekad angka zina, rogol dan sumbang mahram kian meningkat. Alasan gejala keji ini berlaku kerana bi’ah tidak Islami atau lantaran kegagalan melaksanakan undang-undang Islam juga tidak lagi terpakai. Di negeri-negeri tanpa kerajaan Islam, fenomena ini dapat dianggap terpencil dan kian merosot atau terkawal angkanya.

Bukan itu sahaja, kebanyakan kertas akademik yang menyorot perihal sumbang mahram akan membawa kita kepada ‘hanya’ keluarga Islam, atau kadangkala dalam kalangan masyarakat India beragama Hindu. Yang mana sekali lagi, gejala ini dikaitkan dengan kemiskinan dan taraf hidup keluarga.

Pendedahan Mohd Yusof Mamat, ketua polis Kelantan tersebut sebetulnya amat berani. Ia harus dilihat bukan sebagai penghinaan untuk negeri Kelantan, bahkan ia adalah satu teriak rayuan yang menunjukkan taraf kengerian dan kekhuatiran yang luar biasa daripada seorang penjawat awam yang bukan pun bermain dengan politik-politik Islam. Kita di luar Kelantan kasihan akan masalah ini tetapi tangan kita terikat apabila majoriti rakyat Kelantan sendiri berada dalam keadaan ‘denial’.

Alim ulama PAS kalau disuruh bercakap tentang pencegahan mungkar, mulut mereka boleh bersempudal, dek pandai menyebutkan macam-macam istilah yang canggih. Misalnya untuk mengatasi gejala LGBT, alim ulama PAS menyarankan pendekatan targhib (galakan kebaikan), dan tarhib (gerun terhadap dosa). Padahal hakikatnya, sejak tahun 2017 lagi terdapat laporan peningkatan gejala LGBT di Kelantan yang dikaitkan dengan angka penghidap HIV.

Antara tahun 2001 hingga 2016, Kelantan merekodkan 11,000 kes HIV positif di mana 2,255 orang telah pun menghidap AIDS. Alasan Kelantan bersempadan dengan Thailand juga dapat dikatakan lucu, tetapi beginilah selalunya fakta dan kerisauan mengenai kegiatan seks pelik di Kelantan itu disanggah.

Mengambil kira targhib dan tarhib, negeri yang memang banyak pondok dan madrasah ini juga nampaknya gagal mengatasi keadaan ini. Kita belum mendengar tuan guru atau ustaz yang aktif turun padang mengambil berat hal-hal begini. Maka tarhib apa namanya?

Setiap kali ada pendedahan mengenai seks bawah umur, sumbang mahram atau projek serah badan, setiap kali itu jugalah fakta ini diketepi dan disanggah dengan alasan ia adalah ’sampah politik’.

PAS kekal, hanya berminat dengan kuasa tetapi tidak pun mengambil berat akan masalah sosial dan ekonomi rakyat. Membaca ‘Minda Presiden’ di ruang Harakah kita akan mendapati PAS terpaling Islam. Tapi seperti dinyatakan di atas, pelan satu habuk pun tiada.

Maka, jika pimpinan parti Islam di negeri ini masih memandang ringan pendedahan ketua polis Kelantan tersebut, orang Kelantan jangan sampai terkejut kalau kelak demi menjaga keturunan, orang luar Kelantan mulai bimbang untuk mengizinkan anak cucu mereka berkahwin dengan orang dari negeri ini.

Hal ini tentulah menyedihkan memandangkan baka orang Kelantan baik dan comel belaka.

Trump: Wira atau penjahat?

Mohsin Abdullah

Pentadbiran Donald Trump baru-baru ini umum tarif timbal balik ke atas lebih 40 negara termasuk Malaysia.

Ahad lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengkritik keputusan Amerika Syarikat (AS) (saya membacanya sebagai Donald Trump) untuk mengenakan tarif ‘timbal balik’ 24% ke atas Malaysia dengan alasan pengiraan dibuat ‘tidak betul. Istilah bahasa Inggeris ‘flawed’.

Semalam Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan asas dan kaedah di sebalik penentuan kadar tarif itu ke atas banyak negara di dunia adalah ‘sangat lemah dan dipertikai’.

Ada beberapa pembaca portal berita atas talian memberi respon sinis – bertanya adakah PMX mahu mengajar AS matematik?

Oleh kerana mereka memberi respon terhadap laporan yang disiar portal berita tempatan bolehlah disimpulkan mereka yang perli sedemikian adalah warga Malaysia.

Maka bolehlah disimpulkan bahawa bagi warga Malaysia dalam golongan berkenaan, AS selaku negara ‘besar dan hebat’ tidak boleh silap dalam perkiraan.

Anwar juga menolak dakwaan AS bahawa Malaysia telah mengenakan tarif 47% atas import produk dan barangan AS .

Apabila Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz membuat penjelasan kadar tarif yang dikenakan Malaysia ke atas eksport AS ‘hanyalah’ 5.5% ada yang bertanya ‘is he for real?’. Kalau diterjemah ke bahasa Melayu ia berbunyi ‘biar betul si Zafrul ini’.

Satu respon yang saya ‘kagumi’ ialah pendapat seorang warga kita bahawa tarif dikenakan ke atas Malaysia kerana ‘PMX sokong Hamas anti Israel’.

Mungkin yang membuat komen tidak sedar berpuluh negara termasuk sekutu AS seperti Britain dan Australia turut dikena tarif timbal balik itu.

Dan jangan lupa pulau-pulau yang hanya diduduki penguin (tiada manusia ) juga dikenakan tarif (AS mempunyai alasan tersendiri mengapa ini dilakukan yang saya tidak berhasrat mengulanginya pada artikel ini) .

Berbalik dakwaan perkiraan AS tidak betul. Ada pihak mendakwa atau percaya kemungkinan pentadbiran Trump menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menentukan formula tarifnya.

Umpamanya jika ditanya ChatGPT cara mengira tarif timbal balik jawapannya mungkin formula yang sama untuk semua negara. Namun ini hanya spekulasi. Jadi apa kata pakar ?

Mike O’Rouke , ketua strategis pemasaran di Jones Trading dipetik CNN berkata tidak ada tarif negara negara ke atas AS yang boleh dilihat digunakan untuk membuat perkiraan tarif timbal balik AS .

Kata beliau pentadibiran Trump secara spesifik menyasarkan negara yang punya surplus perdagagan besar dengan AS mengambil kira eksport kepada Amerika.

“The Trump administration used a grossly oversimplified calculation that it said factored in a broad set of issues such as Chinese investment, alleged currency manipulation and other countries’ regulations. The administration’s calculation divided a country’s trade deficit with the US by its exports into the country times ½. That’s it”, kata O’Rouke.

Penjelasan lanjut boleh didapati di laman CNN . Laporan bertajuk Trump’s ‘recipropocal’ tariffs aren’t quite what they seem. Here’s the real story.

Apa pun perdana menteri memberi jaminan Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini meskipun pelaksanaan tarif oleh AS memandangkan ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.

Kata kuncinya buat masa ini kerana ekonomi negara kekal berdaya tahan. Oleh itu saya sampaikan persoalan susulan sampai bila boleh berdaya tahan?

Pada pendapat saya perdana menteri tidak boleh memberi jaminan negara tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi. Sebenarnya tidak ada siapa pun atau tidak ada pemimpin yang boleh memberi jaminan begitu kepada negara masing-masing.

Namun apa yang sebenarnya yang Anwar kata? Bernama melaporkan Anwar beri jaminan. Media bahasa Ingeris tempatan dan luar negara melaporkan ‘Malaysia does not foresee a recession for now’.

Bagi saya ini lebih munasabah. Tidak melihat kemungkinan kemelesetan lebih realistik daripada terus beri jaminan. Mana satu yang PMX kata sebenarnya?

Hakikatnya pelaksanaan tarif AS akan memberi impak langsung kepada keluaran dalam negara kasar atau KDNK. Anwar mengakui jangkaan pertumbuhan ekonomi negara 4.5% ke 5.5% perlu dilihat semula.

Kesatuan pekerja berpendapat ribuan berisiko hilang kerja apabila syarikat tempatan yang antaranya beroperasi dalam industri elektrik dan elekronik mengalami tekanan besar.

Banyak lagi kebimbangan sebenarnya. Nasihat wajar menurut saya ialah kita perlu ‘bite the bullet’. Hadapi realiti tidak perlu ‘sugar coat’ keperitan yang akan muncul. Harap tidak muncul.

Bursa saham Asean malah dunia mengalami kerugian sejak pengumuman Trump mengenai tarif timbal baliknya. Kata pakar ekonomi ini bukan sahaja mengenai perdagangan ia juga mengenai kuasa.

Trump memang bangga jika negara negara yang tertekan datang ‘mengadapnya’ untuk berunding. Jelas itu akan buat Trump merasa dirinya hebat. Bagai maharaja.

Kata pegawai pentadbiran Trump lebih 50 negara sudah menghubungi White House untuk mengadakan rundingan perdagangan. Asean yang dipengerusikan Malaysia turut mahu mengadakan rundingan.

Ini langkah wajar kerana Asean tidak mampu ikut langkah China yang melawan balik dengan mengenakan tarif tinggi keatas AS .

Langkah China dan beberapa negara lain akan mencetuskan perang perdagangan . Ketika sekutunya Israel menyerang Gaza, AS menyerang dunia secara ekonomi. Kedua-dua membawa kesengsaraan kepada ramai.

Langkah tarif Trump kononnya dibuat sebagai sebahagian agendanya to make America great again. Sepintas lalu rancangan beliau bagus untuk negaranya. Tetapi Trump seperti biasa telah ‘oversimplified things’.

Contohnya beliau berkata dengan langkah itu, kilang sektor pembuatan umpamanya kereta AS di luar negara akan pulang ke negara asal,

Begitu juga kilang negara luar yang mengeksport kereta ke AS. Mereka terpaksa beroperasi di AS. Jika tidak mahu kena tarif beroperasi di AS kata Trump.

Kata pakar ekonomi jika bercakap mengenai kilang pembuatan kereta masa yang panjang diperlukan untuk memindah operasi ke AS. Dan akan mengambil masa bertahun-tahun lagi sebelum kereta pertama dari kilang dikeluarkan.

Dan komponen yang diperlukan untuk pembuatan keteta buatan AS diimport dari negara yang Trump telah kenakan tarif kadar tinggi.

Pendekkan cerita kereta buatan AS akan berharga tinggi – bukan sahaja untuk pasaran luar tetapi terlalu mahal untuk dbeli rakyatynya sendiri.

Itu baru satu contoh. Banyak lagi kesan perit yang akan dirasai oleh rakyat AS. Reuters beri contoh harga iPhone USD2,300 setiap satu unit . Ertinya RM10,186 satu telefon pintar itu. Itu sekadar gambaran Reuters mengenai keadaan di AS sendiri.

Bagi Trump rakyat AS perlu bertahan. Hang in there before things gets better. Ertinya bersabar hingga negara itu jadi hebat semula seperti yang beliau janjikan. Berapa lama? Beliau tidak beritahu.

Kata seorang pakar ekonomi Amerika mungkin dapati dirinya terpinggir. “Jika Amerika isolate dirinya China akan beri tahu dunia mari bersama kami kerana kami amal perdangan bebas.”

Kawan saya – kelahiran Malaysia tetapi sudah menjadi warga AS masih boleh ingat satu perkataan bahasa Melayu untuk describe strategi Trump – meskipun sudah lama tidak bercakap Melayu. Perkataan itu ialah ‘bengong’.

Kedah: Mereka sudah melampau

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Pendang: "Perbuatan anak-anak jiran yang masih kecil itu sangat tidak berperikemanusiaan hingga kami hilang sabar dan terpaksa membuat laporan polis," kata Nor Zaihan Muhammad Yusof, 29.

Menurutnya, abang sulungnya yang berusia 40 tahun menghidap Skizofrenia sering menjadi mangsa gangguan anak-anak jiran mereka.

Katanya, dalam kejadian terbaru, anak jirannya itu didakwa kencing di atas badan abangnya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu menyebabkan mereka sekeluarga hilang sabar.

"Kami sekeluarga sudah cuba sedaya upaya menjaga abang tetapi kami kecewa, sedih dan marah apabila ada yang memperlakukan dia dengan keji.

"Ada yang berani masuk ke kawasan rumah kami semata-mata mahu mengganggu serta menyerang abang secara fizikal dan emosi," katanya yang menetap di Kubur Panjang, di sini.

Nor Zaihan berkata, lebih mengecewakan dan menyedihkan apabila semua yang terbabit melakukan perbuatan itu ke atas abangnya adalah kanak-kanak bawah umur yang bebas berkelakuan sedemikian di hadapan ibu bapa mereka.

"Ibu bapa mereka sendiri juga seolah-olah bersikap lepas tangan dengan kelakuan nakal anak-anak mereka," katanya.

Sebelum itu, Nor Zaihan berkongsi di media sosial Facebook (FB) miliknya pada 3 April lalu dengan memaklumkan abangnya itu didiagnosis dengan penyakit Skizofrenia sejak berusia enam tahun.

Katanya, keluarganya sudah berkorban selama 40 tahun untuk menjaga keselamatan abangnya termasuk memastikan pagar rumah sentiasa berkunci dan tingkap bilik dipagar dengan besi.

"Kami sudah sedaya upaya menjaga abang dengan penuh kasih sayang, tetapi anak jiran-jiran ini mempersendakan penyakit abang saya dan menjadikannya sebagai jenaka.

"Sebelum ini, abang saya pernah mengadu dibaling batu oleh anak-anak jiran, tetapi kami tiada bukti.

"Malah baru-baru ini, saya sendiri melihat mereka membaling mercun bola ke arah abang saya yang sedang duduk di garaj rumah.

"Selepas itu kami melihat kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mereka mencucuh baju yang disidai di pagar rumah kami dengan pemetik api dan memanjat pagar yang dikunci," jelasnya.

Katanya, dalam kejadian terbaru baru-baru ini ibunya mendakwa melihat kanak-kanak itu kencing pada badan abangnya dan tindakan itu dianggap keterlaluan.

"Disebabkan itu, saya nekad untuk membuat laporan di Balai Polis Kubur Panjang pada 3 April lalu bagi pihak abang.

"Selain itu, kami sekeluarga berharap supaya ibu bapa kanak-kanak terbabit dapat menasihatkan serta mendidik mereka supaya menjadi lebih baik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.

Parah!!? Kes rogol di Kelantan membimbangkan, budak perempuan sendiri minta buat hubungan

SITI NUR ZAWANI

Polis Kelantan mendedahkan kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan semakin membimbangkan, dengan kebanyakan kes adalah suka sama suka.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, terdapat satu trend di mana budak perempuan akan mencari lelaki untuk mengadakan hubungan intim.

“Bagi saya kes rogol dan sumbang mahram sangat membimbangkan.

“Jika dulu lelaki yang mencari perempuan, namun kini di Kelantan sebaliknya yang berlaku apabila perempuan yang mencari lelaki untuk membuat hubungan.

“Hasil siasatan yang dilakukan, sebanyak 98 peratus kes yang dilaporkan adalah suka sama suka,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagi kes sumbang mahram, ada kes di mana kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun hamil bersama bapa saudaranya yang berumur 20-an.

Selain itu kata beliau, ada kes anak saudara perempuan berusia 10 tahun meminta membuat hubungan dengan bapa saudara berusia 20-an yang akhirnya mengandung.

“Ada juga kes di mana lelaki berusia 11 tahun membuat hubungan dengan sepupu perempuan berusia 15 tahun sehingga mengandung.

“Lebih tragik remaja perempuan bawah umur namun membuat hubungan sehingga dengan lima lelaki,” kongsinya lagi.

Mohd Yusoff berkata, perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana kesemua kes rogol yang dilaporkan adalah suka sama suka bukannya paksaan.

Apa yang paling menyedihkan katanya, ada ibu bapa yang tahu anak perempuan mereka yang di bawah umur ini membawa balik lelaki ke rumah dan masuk ke dalam bilik.

Justeru ibu bapa dinasihatkan supaya memantau anak-anak mereka terutama penggunaan telefon serta pergaulan yang terlalu bebas.

Ujar beliau, pihak sekolah dan masyarakat setempat juga diingatkan untuk sentiasa memantau kanak-kanak di bawah umur ini.

Shida minta peminat China henti 'menghendap'

AFP
SHIDA mengakui kurang selesa dengan perbuatan berkenaan. FOTO AFP
SHIDA mengakui kurang selesa dengan perbuatan berkenaan. FOTO AFP
Beijing: Jaguh beregu wanita Jepun, Chiharu Shida menggesa peminat fanatik di China agar berhenti 'menghendap' (mengekori seseorang secara senyap dalam talian) dirinya selepas mendakwa menerima gangguan selama lebih setahun yang menyebabkan dia berasa takut dan tidak selesa.

Shida, 27, yang turut dikenali sebagai 'Dewi Badminton' oleh peminat dan media tempatan, meluahkan perasaannya menerusi satu hantaran di Instagram semalam, ketika sedang beraksi dalam Kejohanan Badminton Asia di Ningbo.

"Setiap kali kami bertanding di China, kami pasti mengalami gangguan daripada peminat. Keadaan ini sudah berlarutan selama setahun setengah," tulisnya dalam bahasa Cina.

"Kebelakangan ini saya sangat tidak selesa dan sangat takut. Saya minta, tolong hentikan perbuatan mengendap saya... Jika ia masih berterusan, saya akan cari jalan untuk mengatasinya," tegas Shida yang menjuarai pingat gangsa Sukan Olimpik Paris dalam acara beregu wanita.

Shida menambah, tidak semua peminat berperangai begitu dan mengucapkan terima kasih kepada majoriti penyokong yang sentiasa memberi semangat.

Shida dan rakan gandingannya, Nami Matsuyama — kini berada di ranking ketiga dunia — mara ke pusingan seterusnya di Ningbo selepas menewaskan pasangan senegara, Mizuki Otake-Miyu Takahashi hari ini.

Fenomena pemujaan melampau terhadap atlet dan selebriti di China bukan sesuatu yang asing, hingga memaksa pihak berkuasa negara itu campur tangan.

Menurut laporan CCTV, pihak pentadbiran siber China baru-baru ini menutup hampir 4,000 akaun dalam talian dan memadamkan 1.6 juta hantaran di pelbagai platform bagi mewujudkan 'persekitaran yang sihat untuk para atlet'.

Isu keselamatan peribadi atlet seperti Shida kini menjadi fokus, terutama dalam dunia sukan yang semakin terbuka kepada interaksi digital — namun berisiko jika tidak dikawal.

Kes Rompak di Hat Yai: Polis Thailand tahan warga emas dipercayai rakyat Malaysia

FMT Reporters
Suspek dipercayai rakyat Malaysia merompak sebuah kedai emas di Hat Yai dan melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta).
PETALING JAYA: Polis Thailand hari ini menahan seorang lelaki warga emas dipercayai rakyat Malaysia disyaki terlibat kes rompakan kedai emas di Hat Yai.

Pemangku Ketua Polis Siasatan Bahagian Ke-6, Anusorn Thongsai, berkata suspek yang melarikan diri ke Bangkok ditahan ketika dalam perjalanan dipercayai ke rumah anaknya di Nonthaburi.

Katanya, sepanjang berada di Thailand, suspek berusia 61 tahun cuba menyamar menggunakan pelbagai identiti bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati suspek menaiki bas dari Hat Yai ke stesen bas Mochit di Bangkok sebelum cuba menaiki teksi ke rumah anaknya di Nonthaburi.

“Anggota polis berjaya menahan suspek kira-kira 6.30 petang waktu tempatan, bersama barang bukti berupa emas, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru hidup,” katanya menurut Bernama.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan akan dikenakan tindakan undang-undang di Thailand.

Siasatan mendapati, suspek bertindak bersendirian dengan menaiki motosikal untuk merompak sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai sekitar 11.50 pagi semalam.

Menggunakan pistol, suspek berjaya melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta).

Berikutan kejadian itu, polis Thailand mengeluarkan waran tangkap dan memperketat kawalan di semua pintu keluar sempadan bagi menghalang suspek melarikan diri.