
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Mayat lelaki tergantung ditemui
Juwan Riduan

Anggota bomba menurunkan mangsa yang ditemui tergantung pada dahan sebatang pokok di kawasan lereng bukit, Pantai ODEC, UMS, Kota Kinabalu. - Foto Bomba
KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki ditemui tergantung pada dahan sebatang pokok di kawasan lereng bukit, menghala ke Kampung Kibagu, Kota Kinabalu.
Mayat lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu ditemui pada jam 1.20 tengah hari dalam keadaan tergantung dengan tali.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu, pihaknya menerima panggilan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bantuan mengangkat mayat yang tergantung di atas pokok di kawasan lereng bukit.
"Sebaik pasukan operasi tiba di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang lelaki tergantung di dahan sebatang pokok.
"Anggota bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk menurunkan mangsa menggunakan tali penyelamat dengan kaedah sistem takal," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan pada jam 2.55 petang tadi," katanya.
2 malam berendam dalam parit sebelum ditemukan
Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Taib diberi minuman dan makanan selepas ditemukan selamat dalam parit. FOTO ihsan keluarga
Batu Pahat: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu menempuhi detik yang menyeksakan apabila berendam dalam parit selama dua malam sebelum ditemukan orang ramai di Kampung Parit Kassim, Jalan Parit Jalil di sini, tengah hari tadi.
Ketika ditemukan penduduk, Taib Ahmad, 79, dalam keadaan tidak berbaju serta kedua-dua tapak kaki kecut disebabkan kesejukan ditambah pula hujan selama dua hari berturut-turut sejak hari kehilangannya.
Penemuan lelaki warga emas itu yang juga pesara tentera dimaklumkan anak perempuan sulungnya, Nazhaida Taib, 55, selepas menerima panggilan penduduk pada jam 1 tengah hari.
Katanya, penduduk yang kebetulan melalui jalan itu, ternampak lelaki dalam keadaan tidak berbaju dalam parit.
"Mereka berhenti dan membantu abah naik. Kawasan itu adalah kebun sawit dan tiada penduduk yang lalu di situ menyebabkan abah tidak mendapat bantuan.
"Saya diberitahu abah berusaha naik ke tapi dia tak berdaya," katanya ketika dihubungi.
Menurut Nazhaida, ayahnya memberitahu sudah dua malam dia di dalam parit itu selepas tersesat ketika pulang ke rumah di Kampung Solok Wan Moh di sini.
Katanya, dalam tempoh itu, ayahnya masih kuat bertahan malah tidak pengsan walaupun tanpa makanan dan minuman.
"Dia tak boleh panjat keluar dari parit, jadi dia berdiri supaya ada orang nampak. Kalau abah pengsan waktu itu, kami tak tahu apa nasibnya.
"Penduduk hubungi ambulans untuk meminta bantuan hantar abah ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
"Abah tak makan tapi Allah lindunginya. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur abah," katanya.
Nazhaidae berkata, mereka sekeluarga terharu terhadap penduduk kampung yang turut membantu abah memberi makanan dan minuman sementara mereka tiba di lokasi.
Katanya, malah penduduk memandikan ayahnya sebaik berjaya dibawa keluar dari parit.
"Saya rasa tiada orang melalui jalan itu sepanjang tempoh berada dalam parit kerana mereka (penduduk) bercuti raya," katanya.
Taib yang turut menghidap kencing manis dan pelupa dilaporkan hilang pada tengah hari Khamis lalu selepas pulang menghantar barang dapur.
Menurut Nazhaida, kehilangan ayahnya disedari selepas salah seorang adiknya mahu mempersiapkan dirinya kerana ada saudara mahu datang beraya di rumah.
"Bila masuk bilik, kami lihat abah tiada. Kami jenguk keluar, motosikal dan topi keledar pun tiada, rupanya selepas hantar barang dikirim emak (Salma Osman, 75) abah keluar semula tanpa pengetahuan kami.
"Waktu itu kami kami lima beradik terus cari di merata-rata tempat termasuk Tongkang Pechah, Jalan Parit Jalil sehingga Jalan Sri Bengkal.
"Kami membuat hebahan di media sosial serta meminta bantuan penduduk kampung dan kenalan agar abah ditemui segera," katanya
Kanak-kanak jatuh longkang: 'Rakam sebagai bukti, bukan untuk tular'
Sinar Harian
Kanak-kanak yang dipercayai terjatuh dan hampir lemas di longkang besar berkenaan.
JOHOR BAHRU: "Adik saya tak pandai berenang, dia cuma rakam sebagai bukti, bukan untuk viral (tular)."
Demikian kata Norhanum Sabtu, 43, kakak kepada Nadhir Sabtu, 20, lelaki yang merakam detik cemas seorang kanak-kanak lelaki yang hampir maut dibawa arus deras ketika hujan lebat di Kota Masai pada petang Jumaat.
Menurut Norhanum, ketika kejadian adiknya dalam perjalanan untuk menunaikan solat Jumaat sebelum terdengar suara meminta tolong.
Katanya, selepas mengambil sejadah dan menutup pintu kereta, adiknya terdengar lagi jeritan memanggilnya: ‘abang! angah jatuh dalam longkang!”
"Kejadian itu berlaku ketika hujan kira-kira jam 1 tengah hari. Air longkang juga sangat deras dan adik saya kata dia ada tegur kanak-kanak berkenaan supaya tidak bermain di situ.
"Ketika kanak-kanak itu terjatuh, adik saya tidak pandai berenang dan terus merakam situasi itu sambil meminta pertolongan.
"Adik saya ada hantar video itu dalam group keluarga dan dia dia juga cakap bukan nak viral, cuma nak ada bukti kalau betul budak itu lemas. Jadi, yang viralkan itu orang lain, bukan dia,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Jumaat, tular video berdurasi satu minit 35 saat yang memaparkan insiden berkenaan dengan seorang kanak-kanak (mangsa), dihanyutkan air deras dalam sebuah longkang.
Pada Jumaat, tular video berdurasi satu minit 36 saat di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki hanyut dalam arus deras tanpa bantuan dari sesiapa di lokasi kejadian.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang lagi kanak-kanak lelaki, menangis dan meraung ketakutan, meminta pertolongan bagi menyelamatkan mangsa.
Video itu turut mengundang pelbagai komen daripada warganet yang mempersoalkan tindakan merakam video berbanding dengan membantu kanak-kanak berkenaan.
Bagaimanapun difahamkan, mangsa berjaya keluar dari sungai berkenaan apabila dua penunggang motosikal berhenti dan membantu menarik mangsa yang sebelum itu sempat berpaut pada objek dalam longkang.
Mangsa kemudiannya naik ke atas dan berjalan kaki bersama seorang kanak-kanak lelaki lain pulang ke kediaman mereka yang dipercayai berada di sekitar kawasanan berkenaan. - Sinar Harian
Penyanyi rap Nico meninggal dunia dalam tidur
Bernama
Penyanyi rap yang juga anggota kumpulan Nico G, Nico meninggal dunia dalam tidur di Kampung Baru di Kuala Lumpur, sekitar 11 malam tadi.
Berita pemergian Nico atau nama sebenarnya Abdul Fashah Abdul Aziz, 52, disahkan anggota kumpulan Nico G, Affa ketika dihubungi Bernama hari ini.
“Nico tidak sedarkan diri selepas singgah di rumah rakannya di Kampung Baru. Allahyarham tidak bergerak ketika cuba dikejutan.
“Jenazah kini di Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya dan menambah punca kematian belum diketahui setakat ini, dengan keluarga mahu menunggu keputusan bedah siasat.
Affa berkata kali terakhir dia berhubung dengan Allahyarham ialah kira-kira dua bulan lepas, kerana kesibukan kerja dan keluarga masing-masing.
Dia berkata jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Kampung Baru untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah menyifatkan industri kreatif tanah air kehilangan seorang penyanyi sangat berbakat.
“Seniman amat berdukacita atas pemergian arwah. Kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham,” katanya.
Nico mencipta populariti bersama kumpulan Nico pada awal 1990-an yang turut dibarisi Affa dan Dino dengan antara lagu popular mereka ialah Inilah Nasibku pada 1993.
Trio itu bermula dengan album Buatan Los Angeles disusuli Realiti (1995) dan Alamak! (1996), serta kembali pada 2003 menerusi Ops Kecoh bersama ahli baharu, Ezad.
Selepas lama menyepi, mereka muncul semula dengan nama baru, Nico G sebagai sebahagian usaha penjenamaan semula kumpulan itu.
-Bernama
Buruh mengaku salah culik kanak-kanak lelaki, curi kereta bapa mangsa
Nur Izzati Mohamad

Jasri (tengah) mengaku bersalah menculik budak lelaki berusia lima tahun dan mencuri kereta jenis Honda BRV milik bapa mangsa, minggu lalu. NSTP/ DANIAL SAAD
BUTTERWORTH: Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun pada minggu lalu.
Tertuduh, Jasri Ismail, 36, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menculik seorang kanak-kanak lelaki dari bawah penjagaan bapanya berusia 42 tahun di tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena, Kepala Batas pada kira-kira jam 8.20 malam, 30 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, tertuduh turut mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan mencuri kereta jenis Honda BRV milik bapa kanak-kanak lelaki itu di lokasi dan waktu sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fazliyana Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi Mat@Ahmad.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 30 April ini bagi fakta kes serta menjatuhkan hukuman.
Terdahulu media melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dia melarikan sebuah kereta bersama kanak-kanak lelaki istimewa dari tempat letak kenderaan Masjid Kampung Banggol Pokok Sena.
Lelaki itu diberkas bersama mangsa dan kenderaan berkenaan di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Perak.
Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain.
Dua lelaki pukul pemandu bas di lebuh raya kerana dua lelaki pukul pemandu bas di lebuh raya berang kereta dilanggar
Sinar Harian
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 petang dan insiden berkenaan turut dimuat naik dan tular di Facebook.
KLUANG: Polis giat mengesan dua suspek yang dipercayai bertindak memukul seorang pemandu bas yang sebelum itu didakwa telah melanggar bahagian belakang kereta mangsa di kilometer (KM) 58.5 Jalan Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 petang dan insiden berkenaan turut dimuat naik dan tular di Facebook.
“Berdasarkan rakaman yang dimuat naik itu, dua suspek lelaki berkenaan dipercayai telah bertindak mencederakan seorang lelaki warga tempatan yang juga merupakan pemandu bas.
“Kedua-dua suspek lelaki berkenaan dikatakan berang apabila bahagian belakang kenderaan yang dinaiki mereka dikatakan telah dilanggar dari arah belakang oleh bas terbabit.
“Bagaimanapun, setakat ini kita telah terima dua laporan polis daripada kedua-dua belah pihak berkaitan kemalangan berkenaan pada jam 5.50 petang,” katanya.
Beliau berkata, polis turut mengesahkan ada menerima satu lagi laporan polis pada Khamis, jam 3.53 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang berkaitan kejadian mencederakan.
"Suspek merupakan dua lelaki tempatan dipercayai bertindak mencederakan pemandu bas kerana berang setelah berlakunya kemalangan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencederakan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 10 tahun atau denda dan sebatan atau kedua-duanya," katanya.
Selain itu, katanya, kes juga disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kemalangan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau mengubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, bagi membantu siasatan melalui talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) dan 014-3656822. - Sinar Harian
'Kemalangan ragut nyawa kakak, anaknya ketika perjalanan ke kampung suami untuk sambut raya...'
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kemalangan maut menimpa Nur Fatihah yang sarat mengandung lapan bulan dan anaknya berusia dua tahun dekat Terowong Menora pada Ahad lalu.
IPOH: "Kemalangan maut menimpa kakak, Nur Fatihah Badrul Hisyam yang sarat mengandung lapan bulan dan anaknya berusia dua tahun dekat Terowong Menora pada Ahad lalu berlaku ketika arwah sekeluarga dalam perjalanan ke kampung suaminya di Tanjung Malim, Perak untuk menyambut Aidilfitri" kata adik mangsa, Risyad.
Risyad berkata, sebelum kejadian, Nur Fatihah,26, bersama anaknya, Naira Falisya,2, dan suami, Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, sempat bercuti di kampung keluarga mereka di Kedah dan kemudian bergerak ke kampung suaminya di Tanjung Malim sehari sebelum Aidilfitri.
"Kakak sekeluarga tinggal di Subang Jaya, Selangor dan pulang bercuti awal di Kedah sebelum meneruskan perjalanan mereka ke kampung suaminya di Perak untuk menyambut Aidilfitri.
"Bagaimanapun, ketika tiba di Kilometer 264 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) menghala ke selatan, berhampiran Terowong Menora, Ipoh, mereka terbabit kemalangan dan kakak yang sarat hamil lapan bulan bersama anaknya maut, manakala abang ipar saya cedera.
"Abang ipar dibenarkan keluar hospital malam tadi dan kini tinggal sementara waktu di kampung di Tanjung Malim bagi memudahkan urusan rawatan susulan," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian langgar lari hingga mengorbankan dua individu termasuk kanak-kanak berusia dua tahun di KM264.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di Ipoh pada 30 Mac lalu supaya tampil membantu siasatan. - Foto tular
Terdahulu, tular video kemalangan menunjukkan sebuah kenderaan melanggar Nur Fatihah yang sebelum itu terbabit dalam kemalangan selepas kereta dinaiki bersama suami dan anaknya terbabas di lokasi kejadian.
Dalam video berkenaan, kelihatan sebuah kenderaan melanggar mangsa yang terlentang di tengah jalan tidak berhenti untuk memberikan bantuan, sebaliknya meneruskan perjalanan.
Kejadian itu menyebabkan Nur Fatihah dan bayi dalam kandungan berusia lapan bulan serta Naira Falisya meninggal dunia.
Risyad berkata, kakaknya sudah menyediakan nama kepada bayi dalam kandungan yang gagal diselamatkan dalam kejadian itu.
Katanya, beliau tidak dapat mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kemalangan tragis itu dan meminta semua pihak memahami perkara berkenaan.
"Hanya abang ipar saja yang terselamat dalam kemalangan itu dan kini berada di Tanjung Malim," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, polis akan mengambil keterangan suami kepada mangsa kemalangan itu pada waktu terdekat bagi membantu siasatan.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga berusaha mengesan pemandu dan pemilik kenderaan yang dirakam kamera papan pemuka yang melanggar Nur Fatihah ketika mangsa terbaring di laluan tengah jalan sejurus nahas itu berlaku.
Ditanya sama ada kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai langgar lari, Noor Hisam berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan masih pada peringkat awal dan pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat serta forensik bagi melengkapkan siasatan. Setakat ini, tiada mana-mana pihak atau individu tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya.
Noor Hisam berkata, sehingga kini juga tiada ahli keluarga mangsa membuat laporan rasmi berkaitan kehilangan barangan berharga seperti dakwaan yang tular.
"Setibanya di lokasi kemalangan, pegawai penyiasat mendapati semua mangsa terbabit sudah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut," katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian kemalangan itu yang didakwa kes langgar lari supaya tampil membantu siasatan.
Kes culik: Polis lepas tembakan untuk selamatkan mangsa
FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis melepaskan beberapa das tembakan terhadap sebuah kenderaan di Cheras untuk menyelamatkan seorang lelaki yang menjadi mangsa culik di Skudai, Johor.
Ketua Polis Cheras Aidil Bolhassan berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 petang tadi itu, sepasukan polis di Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur dan Dang Wangi menyerbu sebuah kereta di Perodua Aruz di Jalan Cengkeh Taman Cheras.
Katanya, semasa kenderaan polis berhenti dan mengarahkan suspek keluar kenderaan, suspek bertindak cuba melarikan diri dan melanggar kenderaan polis beberapa kali.
“Bagi menghentikan tindakan suspek yang mengancam keselamatan anggota polis, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah tayar kenderaan tersebut.
“Kenderaan tersebut berjaya dihentikan dan polis menahan tiga lelaki berusia 24 hingga 30 tahun,” katanya.
Katanya, seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai diculik di hadapan sebuah kelab malam di Skudai pada 5.47 pagi tadi berjaya diselamatkan.
Aidil berkata tiada tuntutan wang tebusan dibuat dan motif suspek menculik mangsa juga masih dalam siasatan.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek juga mempunyai rekod jenayah kerana merusuh menggunakan senjata.
4 ditahan, miliki lebih 50,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak
Awani
Energy Asia
BM
EN
Bernama
KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang penjawat awam ditahan manakala lebih 50,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dirampas dalam Op Cyber Guardian yang dijalankan antara 24 Feb hingga 28 Mac lepas di beberapa lokasi di Selangor dan Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu dengan pihak berkuasa beberapa negara termasuk Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Thailand, dan Singapura.
"Di Malaysia, operasi dilakukan di Kajang, Ampang Jaya, Petaling Jaya serta Shah Alam di Selangor dengan empat tangkapan dilakukan termasuk melibatkan seorang penjawat awam, manakala di Pulau Pinang di kawasan Timur Laut.
"Operasi melibatkan 46 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta bantuan teknikal Unit Anjing Pengesan K9 PDRM bagi tujuan mengesan peranti elektronik.
Beliau berkata individu ditahan berusia lingkungan 26 hingga 49 tahun dan mereka bekerja sebagai akauntan, pereka web dan 'protege' di sebuah syarikat telekomunikasi.
Ayob Khan berkata siasatan awal mendapati kesemua individu berkenaan menggunakan peranti elektronik secara dalam talian bagi mengakses dan mendapatkan bahan CASM secara rakan ke rakan (p2p) sebelum berkongsi bahan itu melalui kumpulan Telegram, selain turut menyimpannya untuk diri sendiri.
Beliau berkata kebanyakan bahan pornografi CASM terbabit dimuat turun dan disimpan dalam peranti elektronik seperti cakera keras, telefon bimbit, komputer, komputer riba dan tablet.
"Kes disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.
"Empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bagi kesalahan mengakses CASM dan Seksyen 293 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki bahan-bahan lucah," katanya.
Ayob Khan berkata seorang daripada suspek telah dituduh di Petaling Jaya baru-baru ini bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan didenda RM3,000 setelah mengaku bersalah atas kesalahan itu, namun suspek masih akan dituduh di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak kanak 2017.
"Di Shah Alam, seorang lagi suspek didenda RM6,000 setelah mengaku bersalah di bawah seksyen yang sama, manakala dua lagi kertas siasatan masih menunggu laporan forensik," katanya.
Sebelum ini, Ayob Khan memaklumkan secara keseluruhan, operasi melibatkan enam negara itu berjaya menahan 435 individu yang terlibat dalam jenayah mengedar bahan CASM bermula 24 Feb hingga 28 Mac.
Tragedi Putra Heights: Kawah dikorek 15 April keluarkan ekskavator terbenam - Polis
Ercy Gracella Ajos

Kawah terbentuk susulan insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights pada Selasa lalu. - Foto tular media sosial
SUBANG JAYA: Jawatankuasa teknikal bagi siasatan insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, di sini, akan melakukan kerja mengorek kawah berkedalaman lapan meter (m) di lokasi kejadian pada 15 April ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pengorekan kawah itu bertujuan mengeluarkan ekskavator yang terbenam akibat letupan pada Selasa lalu.
Pencuri kabel maut dalam bumbung Pasar Siti Hajar
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam bumbung bangunan Pasar Siti Hajar, Pasir Puteh, hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan, lelaki berusia lingkungan 40an itu disahkan meninggal dunia pada kira-kira 4.50 pagi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Engku Mohd Azam Engku Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.59 pagi untuk membantu menurunkan mangsa dari atas bumbung bangunan pasar itu.
Apabila tiba di lokasi kejadian, katanya, anggota bomba mendapati seorang lelaki meninggal dunia di atas bumbung.
Menurutnya, lelaki itu bersama dua lagi rakannya berada di atas bumbung untuk mencuri kabel.
“Dua rakannya sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis,” katanya.
Anak angkat Sim bagi balik duit RM100 ahli parlimen PAS
Malaysiakini
Keluarga anak angkat Menteri Sumber Manusia Steven Sim memulangkan semula wang RM100 kepada ahli parlimen PAS Muhammad Fawwaz Mohamad Jan susulan penyebaran sebuah video di media sosial.
Ini didedahkan oleh pegawai khas Sim, Rosly Yusof dalam satu catatan Facebook. Dia juga berkongsi tangkapan skrin perbualan WhatsApp dengan bapa remaja itu.
“Demi maruah keluarganya yang dicerca gara-gara RM100.00, Pakcik Rusli (ayah remaja itu) telah memulangkan kembali duit sumbangan YB Permatang Pauh (Fawwaz Jan).
“Satu repot polis juga akan dilakukan dan seterusnya proses tindakan undang-undang akan menyusul selepas itu,” kata Rosly.
Dalam mesej WhatsApp itu, bapanya menyatakan bahawa dia telah memulangkan wang itu kepada pembantu Fawwaz Jan, yang berjanji untuk menyiasat berhubung video itu.
Video berkenaan memaparkan seorang lelaki dipercayai penyokong PAS mendakwa gadis itu menerima bantuan kewangan daripada Fawwaz Jan dan Sim langsung tidak memberikan sebarang bantuan.
Mengulas dakwaan itu, Sim yang juga ahli parlimen Bukit Mertajam mengecam serangan pembangkang yang menjadikan anak angkatnya sebagai sasaran dan maki hamun mereka.
Sambil menekankan bahawa perbezaan politik tidak boleh melintasi garis kesopanan, katanya, berpolitik biar berpada-pada.
“Pembangkang nak maki hamun kat saya takpa, saya maafkan.
“Tapi jangan angkuh lagi biadab nak maki fitnah anak angkat saya dan keluarganya! Mereka orang susah, dah ditimpa musibah, berpolitik biar berpada-pada,” kata ahli Parlimen Bukit Mertajam itu dalam satu hantaran di laman X.
Rosly seterusnya menjelaskan remaja itu menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM200 melalui program “Anak Angkat YB” dan berada di bawah jagaan berterusan Sim sepanjang pengajiannya di Melaka.
Pemimpin DAP itu mengambil remaja berkenaan sebagai anak angkatnya tahun lalu, dan berjanji untuk membayar yuran pengajiannya sehingga tamat, walaupun keluarganya menetap di kawasan parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.
Luahan seorang mangsa kebakaran paip gas yang minta didengar

Nahas Putra Heights: Suara seorang mangsa
Harapandaily
LIM KEAN BOON
Datuk Bandar Subang Jaya menyatakan bahawa projek pembinaan deretan kedai itu telah mendapat kelulusan.
Namun, sepanjang pengalaman saya dalam bidang pembinaan, setiap kali kami berdepan dengan paip gas asli milik Petronas, kami terpaksa mengubah laluan, atau membina jambatan khas untuk melintasi paip tersebut.
Majlis Bandaraya memang berperanan sebagai pihak berkuasa tempatan dalam meluluskan pelan bangunan, tetapi kelulusan itu seharusnya merujuk kepada struktur rumah itu sendiri bukan termasuk kerja-kerja melintasi saluran gas Petronas atau kabel serta longkang yang berkait rapat dengan infrastruktur kritikal negara.
Sejujurnya, demi membina deretan kedai ini, TNB telah melakukan kerja-kerja pengorekan sebulan lalu.
Beberapa hari lepas pula, sempena Hari Raya, satu lagi kerja pengorekan dijalankan, mungkin berkaitan saluran air atau sistem perparitan.
Sehari sebelum kejadian, saya sendiri sempat melalui lokasi itu. Jentera JCB sedang beroperasi, dan saya diberi laluan untuk melintas. Selepas itu, mereka terus menggali.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di mana beliau? Exco Negeri Selangor yang memegang portfolio berkaitan memang ada turun padang, tetapi kenyataan yang diberikan terlalu umum, tiada arah dan tiada tindakan susulan.

Dalam rumah mangsa, peti sejuk masih dipenuhi makanan yang kini sudah rosak. Tidak bolehkah pihak berkuasa menghantar satu lori sampah, benarkan mangsa masuk ke rumah untuk mengutip barangan penting, dan dalam masa yang sama, keluarkan sisa makanan atau sampah ke hadapan rumah untuk dikutip?
Ini tindakan kecil tetapi sangat bermakna. Ia boleh mencegah masalah kebersihan dan bau busuk yang mungkin timbul selepas ini.
Pengurusan krisis
Saya tidak menafikan bahawa semua kerja Petronas dijalankan mengikut undang-undang dan akta sedia ada (Akta Petroleum), dan ya, sebahagian besar maklumat mereka adalah sulit dan dilindungi.
Namun, apabila berlaku insiden sebesar ini, tidakkah sepatutnya ada satu pasukan pengurusan krisis yang cekap, terlatih dan bersedia?
Mengapa tidak dipertimbangkan untuk membeli semula semua hartanah yang terjejas, ratakan, dan jadikan kawasan ini sebagai taman hijau – sebuah taman peringatan.
Sama seperti Taman Memorial 9/11 di Amerika Syarikat, sekurang-kurangnya kita beri ruang untuk semua pihak belajar sesuatu supaya perancangan dan pembinaan masa hadapan tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Ia juga boleh menjadi simbol kesedaran dan tanggungjawab, bukan medan untuk dijadikan bahan politik atau cercaan media.
Ini bukan bencana alam. Bukan kebakaran biasa. Ini adalah kemalangan tahap pertama, berlaku di kawasan kediaman.
Syarikat insurans sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengkategorikannya, akhirnya, memilih untuk membayar pampasan secara automatik.
Petronas sepatutnya mengambil peluang ini untuk tampil lebih terbuka, tangani isu ini dengan segera dan menyeluruh.
Dengan tindakan yang betul, orang awam akan berasa tenang, isu politik dapat dielakkan, harga saham tidak terjejas, dan kerja-kerja baik pulih paip dapat dimulakan tanpa gangguan. Ini peluang untuk penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.
Dulu, saya menulis dari sudut pandangan ketiga. Tapi kali ini, saya menulis dari hati kerana saya sendiri adalah mangsa. Saya saksikan dengan mata saya sendiri lidah api menjulang setinggi 100 meter. Saya rasai sendiri panasnya yang mencecah ribuan darjah Celsius.
Saya lalui detik panik seperti dalam filem bencana gunung berapi. Selepas itu, guruh dan hujan menyusul. Ia bukan sekadar tragedi—ia trauma.
Kerajaan adalah pemilik Petronas. Maka insiden ini seharusnya dijadikan iktibar besar. Pampasan bukan isu bagi syarikat sebesar itu.
Tapi jika tidak ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab, ia bakal mencetus kegelisahan di seluruh kawasan sepanjang saluran paip gas negara—dan lebih parah, menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
Petronas mungkin tidak memiliki pasukan penasihat krisis yang lengkap. Tetapi saya percaya Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ada.
Beliau tahu betapa besar kesan kejadian ini. Harapan saya, agar ada wartawan, pihak media atau individu berpengaruh yang dapat menyampaikan perkara ini kepada pemimpin yang relevan.
Semoga pendekatan terhadap krisis ini lebih serius, lebih telus, dan benar-benar bertanggungjawab.
Kongsikan agar suara mangsa tidak tenggelam.
Pemandu lori warga asing cuba seludup minuman keras
Bernama
Hamidi berkata pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berkenaan disyaki cuba menyeludup 2,612 tin minuman keras membabitkan anggaran cukai berjumlah RM71,351.28. - Gambar JPJWKL
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan menahan seorang pemandu warga asing kerana disyaki membawa minuman keras tidak bercukai di Plaza Tol Sentul, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini semalam.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata warga India terbabit ditahan hasil pemeriksaan terhadap lori jenis kargo am yang dipandunya dalam operasi khas sempena Op Hari Raya (HRA) 2025 bermula 3 petang semalam.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berkenaan disyaki cuba menyeludup 2,612 tin minuman keras membabitkan anggaran cukai berjumlah RM71,351.28.
"Semakan mendapati warga asing terbabit tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan lesen vokasional (GDL) serta melakukan beberapa kesalahan teknikal termasuk perakuan pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sudah tamat tempoh.
"Selain itu, lori berkenaan juga dikesan membawa muatan melebihi had dibenarkan sebanyak 33.6 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamidi berkata semakan lanjut terhadap status lelaki terbabit mendapati pasport warga asing itu sudah tamat tempoh termasuk Pas Lawatan Sosial (PLS) yang tidak sah.
Beliau berkata pihaknya merampas lori berkenaan dan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan selanjutnya.
Pemandu lori parah diserang harimau kumbang
Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Pemandu lori parah pada bahagian muka selepas dipercayai diserang harimau kumbang di tepi jalam dekat Bukit Tangga, di sini, petang tadi. TANGKAP layar video tular
Seremban: Pemandu lori parah pada bahagian muka selepas diserang dipercayai harimau kumbang di tepi jalan dekat Bukit Tangga, di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta sebelum video berdurasi 16 saat itu dimuatnaik di media sosial.
Rakaman berkenaan memaparkan sebuah lori berhenti di tepi jalan dan kelihatan seekor haiwan berwarna hitam baru sahaja menyerang seorang lelaki.
Seolah terkejut dengan kehadiran kenderaan yang merakam kejadian, haiwan dipercayai harimau kumbang berkenaan melarikan diri ke seberang jalan.
Sejurus kemudian kelihatan lelaki yang dikatakan pemandu lori rebah ke jalan lalu kereta itu berhenti di tepi jalan di bahagian hadapan lori.
Turut dikongsi di media sosial beberapa foto yang menunjukkan seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian muka dan berlumuran darah.
Difahamkan laporan polis sudah dibuat dan pihak berkuasa akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian ini.
Kes tembak di persimpangan lampu isyarat, 2 penjawat awam terselamat
FMT Reporters
PETALING JAYA: Dua penjawat awam terselamat daripada tembakan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Medan Selera Kuala Perlis, dekat Kangar.
Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim, berkata kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang semalam, ketika lelaki berusia awal 40-an berasal dari Perlis dan bertugas di Johor itu sedang memandu kereta jenis Perodua Alza putih untuk menghantar anak saudaranya berumur awal 30-an ke Jeti Kuala Perlis untuk pulang ke Langkawi.
“Ketika berhenti di lampu isyarat, lelaki berumur 40-an yang sedang memandu ini terdengar bunyi letupan kuat dan mendapati terdapat kesan tembakan pada pintu kanan bahagian pemandu.
“Cermin tingkap kanan sebelah pemandu kereta juga mengalami keretakan akibat kejadian itu,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Perlis.
Muhammad berkata, bagaimanapun kedua-dua lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan forensik menemukan sebutir anak peluru di bahagian alas kaki tempat duduk pemandu selain kesan tembakan pada pintu kanan kenderaan itu.
Muhammad berkata, siasatan awal mendapati tembakan dipercayai dilepaskan dari jarak antara tiga hingga empat meter menggunakan pistol jenis Revolver 38 Smith & Wesson dengan peluru berukuran 38mm daripada sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206),” katanya.
Nahas Terowong Menora: Polis kesan pemandu kereta langgar ibu hamil
BERNAMA

LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Ipoh: Polis sedang mengesan pemandu kereta yang dipercayai telah terlanggar seorang ibu hamil di Kilometer 264 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) menghala ke selatan, berhampiran Terowong Menora, Ipoh pada Ahad lalu, bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata pihaknya bersama PLUS masih mengesan kenderaan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan termasuk dakwaan berlakunya kecurian barang milik mangsa sewaktu kejadian terbabit yang tular dalam media sosial.
"Kita sebenarnya dalam siasatan lagi dan sedang mencari dia (pemandu), (dipercayai) bukanlah langgar lari mungkin dia (pemandu) tidak sempat nak mengelak.
"Jadi, kita dengan PLUS cuba nak tengok nombor plat kenderaan menerusi CCTV (kamera litar tertutup) dan perkara itu masih dalam siasatan kami," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pihaknya berharap pemandu kenderaan berkenaan tampil bagi membantu siasatan dan kenyataan media akan dikeluarkan apabila maklumat lengkap diperoleh.
Terdahulu, tular video kemalangan menunjukkan sebuah kenderaan melanggar Nur Fatihah Badrul Hisyam, 25, yang sebelum itu terlibat dalam kemalangan setelah kereta yang dinaiki bersama suami dan anaknya terbabas di lokasi kejadian.
Dalam video berkenaan dipercayai kelihatan sebuah kenderaan yang melanggar mangsa tidak berhenti untuk memberikan bantuan, sebaliknya meneruskan perjalanan.
Dalam kejadian itu, mangsa serta bayi di dalam kandungan yang berusia lapan bulan dan seorang lagi anak mangsa berusia kira-kira dua tahun, Naira Falisya Abdul Rahman dilaporkan meninggal dunia.
Pensyarah wanita hilang, keluarga muram sambut Aidilfitri
Mohamed Farid Noh

Haslina Abdullah - Foto ihsan keluarga
KUALA LUMPUR: Ketibaan Aidilfitri disambut muram oleh Mohamad Zuljawalil Ikram Jafri sekeluarga apabila ibunya yang juga seorang pensyarah sebuah universiti swasta, di sini, dilaporkan hilang sejak 28 Mac lalu.
Mohamad Zuljawalil Ikram, 30, berkata mereka buntu kerana ibunya, Haslina Abdullah, 52, gagal dikesan selepas dihantar oleh bapa, Jafri Ab Rahman, 53, ke tempat kerja kira-kira jam 8.30 pagi hari kejadian.
Beliau yang juga anak sulung berkata, ibu sepatutnya dijemput pulang oleh bapa bersama adik bongsu, Ainol Atikah, di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur kira-kira jam 4 petang hari sama, namun wanita itu tidak muncul seperti kebiasaan menyebabkan mereka panik.
Beliau berkata, mereka kemudian cuba menghubungi telefon bimbit ibunya tetapi tidak berjaya, manakala cubaan menghantar mesej WhatsApp turut gagal.
"Sepatutnya selepas menjemput ibu di Stesen LRT Sentul Timur, mereka bertiga pulang ke kampung di Temerloh, Pahang, untuk menyambut Hari Raya. Malah, semua beg dan juga keperluan sudah siap sedia di dalam kereta.
"Bagaimanapun, ibu tidak muncul seperti biasa di stesen itu. Ayah dan adik cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal.
"Selepas tiga jam menunggu ibu tidak muncul dan gagal menghubunginya, adik bongsu memaklumkan kepada saya dan adik kedua saya, Asyikin.
"Susulan itu, Asyikin bergegas ke tempat kerja ibu untuk mencarinya tetapi gagal menemui ibu walaupun telah memeriksa setiap tingkat universiti itu selepas diberi kebenaran oleh pihak pengurusan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohamad Zuljawalil Ikram berkata, bapanya membuat laporan di Balai Polis Sentul selepas semua usaha mengesan ibu, termasuk kawasan antara universiti dan laluan LRT yang biasa digunakan wanita itu, tidak berhasil.
Beliau berkata, mereka sekeluarga amat risaukan ibunya berikutan wanita itu menghidap penyakit tiroid dalam darah yang menyebabkannya kadang-kadang berada dalam keadaan keletihan dan kemurungan.
"Kami sekeluarga sangat buntu dan tertekan, apatah lagi ayah menangis setiap hari sejak kehilangan ibu tiga hari sebelum Aidilfitri.
"Padahal pada malam sebelum kehilangannya, ibu sangat seronok dan ceria apabila ayah membawanya bersama adik bongsu keluarga membeli baju raya.
"Malah, ibu tidak sabar untuk pulang menyambut Hari Raya di Temerloh apabila dijadualkan bercuti mulai Jumaat lalu," katanya.
Mohamad Zuljawalil Ikram berkata, beliau sekeluarga tidak beraya susulan kehilangan ibunya sangat meresahkan mereka.
"Pada raya kedua, kami sekeluarga memeriksa hospital, termasuk hospital swasta tempat ibu mendapatkan rawatan tetapi gagal mengesannya.
"Kami turut memeriksa semua hospital di kawasan Lembah Klang meliputi Sungai Buloh, namun masih buntu.
"Kami merayu bantuan orang ramai mengesan ibu dengan gambar terbaru diambil sehari sebelum kehilangannya ketika membeli baju raya, Khamis minggu lalu. Pada hari kehilangannya, ibu memakai tudung hitam dan berpakaian gelap.
"Jika terlihat ibu kami, mohon hubungi saya melalui talian 013-4257842 atau adik bongsu (013-9134992)," katanya.
Angka kematian gempa bumi di Myanmar kini melebihi 3,000 orang
Agensi
KUALA LUMPUR: Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda di Myanmar telah meningkat kepada seramai 3,003 orang, dengan 4,515 lagi cedera dan 351 masih hilang.
Menurut Kedutaan Myanmar di Jepun dalam satu kenyataan di Facebook, ramalan hujan luar musim dijangka menambah cabaran kepada pasukan penyelamat untuk mencari mangsa.
Menurut pegawai cuaca, kawasan paling terjejas disebabkan ramalan hujan adalah Mandalay, Sagaing dan ibu negara Naypyidaw, dari 6 hingga 11 April ini.
“Hujan bakal turun dan masih ramai yang tertimbus. Di Mandalay khususnya, jika hujan mula turun, mereka yang masih hidup tetapi terperangkap di bawah runtuhan mungkin akan lemas,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 53 penghantaran bantuan udara telah dilakukan ke Myanmar, manakala lebih 1,900 pekerja penyelamat dari 15 negara – termasuk negara-negara jiran di Asia Tenggara, China, India dan Rusia – telah tiba untuk membantu usaha menyelamat.
Pada 28 Mac lalu, gempa bumi bermagnitud 7.7 merupakan salah satu yang paling kuat dalam sejarah Myanmar dalam tempoh satu abad, menggegarkan wilayah yang didiami 28 juta penduduk.
Bencana itu meruntuhkan bangunan, memusnahkan komuniti, serta menyebabkan ramai mangsa terputus bekalan makanan, air dan tempat perlindungan. - Agensi
Gempa Myanmar: Penyelamat M'sia keluarkan seorang mangsa masih hidup
Malaysiakini
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) setakat ini berjaya mengeluarkan tujuh mangsa termasuk seorang yang masih hidup di bawah runtuhan gempa bumi di daerah Sagaing, Myanmar sejak Isnin lepas.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan mangsa meninggal dunia terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan berusia lingkungan lapan hingga 56 tahun, manakala mangsa yang hidup ialah seorang lelaki berusia 40 tahun.
“Pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini, dua tempat kerja telah dilakukan tinjauan dan kerja menyelamat iaitu di Mozar Quater, Sagaing dan Paramic Monastery.
“Tempat kerja mula berbau mayat dan peratusan menyelamat mangsa hidup berkurangan,” menurut agensi itu.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat mengesahkan Smart berjaya mengesan dan menyelamatkan seorang mangsa yang masih hidup selepas 72 jam terperangkap di bawah runtuhan petang tadi.
Hari ini masuk hari keempat Smart diaturgerakkan bagi misi kemanusiaan serta membantu operasi SAR mangsa di Myanmar, dan masih belum ada pasukan negara lain yang beroperasi di Sagaing. Namun, dimaklumkan pasukan SAR Indonesia berkemungkinan dihantar ke lokasi itu dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan itu lagi, kesemua 50 pegawai dan anggota Smart dalam keadaan baik dari aspek kesihatan, makan minum dan kebajikan walaupun seorang anggota pasukan mengalami kecederaan ringan.
“Cuaca semakin panas dan pasukan dinasihati minum air secukupnya, selain mengambil vitamin. Hal ini bagi mengelakkan anggota pasukan mengalami strok haba akibat suhu panas yang boleh mengakibatkan mereka mengalami batuk berterusan serta hilang tumpuan.
“Tempoh bencana telah melepasi tempoh kritikal 72 jam. Berdasarkan garis panduan Kumpulan Penasihat SAR Antarabangsa dan situasi semasa, pelan demobilisasi MAS-01 (Smart) akan mula dirancang dan dilaksana selaras dengan persetujuan pihak berkaitan terutama Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Tempatan (LEMA),” menurut kenyataan itu.
Jumaat lepas, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas, selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.
Ahad lepas, dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang membawa Smart selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyidaw dan pasukan itu kemudian bergerak sejauh 270 kilometer melalui jalan darat ke daerah Sagaing untuk memulakan SAR.
– Benama
Siasat individu hasut '13 Mei perangi Keling'
Menteri lapor SKMM: Siasat individu hasut '13 Mei perangi Keling'
Malaysiakini
Kementerian Perpaduan Negara telah membuat laporan terhadap seorang pengguna media sosial yang menghasut kebencian kaum dengan menyeru agar rusuhan 13 Mei berulang, susulan kontroversi pemindahan kuil di Kuala Lumpur.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata laporan tersebut telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya berharap agar individu yang terlibat disiasat dan diambil tindakan sewajarnya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kementerian Perpaduan Negara komited dalam memastikan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia terus terpelihara.
"Oleh itu, sebarang bentuk kenyataan atau tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan menyemarakkan kebencian tidak boleh diterima sama sekali,” katanya di platform X.
Individu yang dimaksudkan menteri itu, merupakan pengguna X dengan nama Amir Ridhwann telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman yang melampau, menulis: "sekarang ni memang elok perang je Melayu dengan Keling ni. Baru dorang tahu tempat dorang kat mana."
Dia turut menghina komuniti India dengan menyifatkan mereka sebagai “bodoh” dan menuduh mereka membina "kuil beratus-ratus di tanah haram” walaupun hanya mewakili tujuh peratus daripada populasi.
Dalam perkembangan berkaitan, Aaron menggesa rakyat Malaysia supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum atau agama.
"Malaysia adalah negara yang berbilang bangsa dan budaya, dan setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keharmonian serta menghormati perbezaan antara satu sama lain.
"Saya juga menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menolak sebarang bentuk ekstremisme, provokasi dan fitnah yang boleh menjejaskan keamanan negara.
"Noktahkan tindakan rasis," tegasnya.
Pada Isnin, Malaysiakini melaporkan persatuan Malaysian Hindu Sangam akan mengadakan sesi dialog tergempar bersama jawatankuasa kuil dari seluruh negara pada 6 April di Kuala Lumpur.
Pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia 130 tahun dari Jalan Masjid India telah mencetuskan reaksi berbelah bahagi, dengan sebahagian pengguna media sosial mempersoalkan status undang-undang kuil Hindu.
Sebuah kumpulan di Facebook turut ditubuhkan untuk melaporkan kuil-kuil seperti itu.
Sebagai maklum balas, peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan dan N Surendran, mengeluarkan penjelasan kuil tersebut bukanlah kuil haram.
Peguam juga menafikan dakwaan kuil itu tidak sah dan menegaskan kini kuil berkenaan diberikan pampasan tanah walaupun sebelum ini dituduh 'menceroboh'.
Pada Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Urimai, David Marshel, mendedahkan terdapat individu yang melabel kuil sebagai “kuil haram” di Google Maps dan menuntut tindakan tegas diambil terhadap ucapan kebencian tersebut.
Wanita maut ditikam suami di leher
Sinar Harian
Seorang wanita maut ditikam suaminya di bahagian leher dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Perpaduan Datu Ugi, pagi Selasa. - Sinar Harian
KINABATANGAN: Seorang wanita maut ditikam suaminya di bahagian leher dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Perpaduan Datu Ugi, di sini, pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu, mangsa ditemui tidak bernyawa di ruang tamu rumah oleh anaknya sendiri.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang juga anak kepada pasangan terbabit.
"Pengadu memaklumkan bahawa ayahnya telah membunuh ibunya menggunakan sebilah pisau.
"Hasil siasatan awal mendapati, semasa mangsa berada di ruang tamu, suspek datang membawa pisau sebelum tiba-tiba menikam pangkal lehernya.
Menurut Ravi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) bagi proses bedah siasat.
"Pengadu berada di tempat kejadian segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
"Siasatan awal daripada saksi bebas mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada konflik perceraian pasangan berkenaan.
"Suspek berusia 75 tahun itu berjaya ditahan, manakala pisau yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa turut dirampas," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan dan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.
- Sinar Harian
Parti Komunis Malaya menyusup ke sekolah, tempat kerja rekrut ahli
Rex Tan
Ng Sze Chieh menjelaskan bagaimana PKM merekrut ahli secara rahsia melalui sekolah dan tempat kerja, sambil salur sumber ke ibu pejabat di selatan Thailand.
Ng Sze Chieh, penulis bersama buku ‘Narratives from Piyamit’ berkata ramai bekas gerila PKM terbabit gerakan pelajar di sekolah menengah vernakular Cina.
PETALING JAYA: Seorang sejarawan mendakwa Parti Komunis Malaya (PKM) menyusup ke sekolah dan tempat kerja melalui ejen bawah tanah untuk merekrut ahli serta mendapatkan sumber sebelum pembubarannya pada 1989.
Ng Sze Chieh, penolong profesor di Kolej Universiti New Era, berkata selepas PKM diharamkan pada 1948, kumpulan itu terus beroperasi dalam bayang-bayang.
“PKM sentiasa mempunyai ahli dan cawangan bawah tanah sejak 1930-an dalam pelbagai bentuk. Mereka menyusup ke dalam kesatuan sekerja, persatuan, sekolah dan tempat kerja. Itu sahaja cara mereka untuk terus hidup.
“Ejen-ejen ini menyalurkan sumber dan kakitangan ke ibu pejabat mereka di Betong, selatan Thailand,” katanya dalam temu bual bersama FMT.
Ng, penulis bersama buku “Narratives from Piyamit: Life Stories at the End of the Revolution” dengan Murray Hunter, berkata penyelidikannya mendapati ramai bekas gerila aktif dalam gerakan pelajar di sekolah menengah vernakular Cina di bandar seperti Kuala Lumpur.
Beliau berkata, ejen bawah tanah selalunya rakan sebaya mereka dan sel yang bergabung dengan PKM beroperasi atas nama kelas tuisyen, kerja amal atau acara kebudayaan.
Menurutnya, ejen berkenaan akan memerhati pelajar dengan teliti dan mengenal pasti rekrut berpotensi.
Ng mendedahkan ibunya pernah dipelawa ke sebuah “kem remaja” dan hanya menyedari ia sesi propaganda apabila penganjur mula membincangkan ideologi komunis.
“Ibu saya terkejut ketika berada di sana dan dia segera meminta diri untuk pulang. Dia sangat takut polis akan menyerbu tempat itu.
“Apabila sekolah disambung semula selepas hujung minggu, dia menyedari seorang rakannya yang pergi ke kem itu telah hilang. Dia kemudian mendapati individu itu telah ‘naik ke bukit’ (menyertai pergerakan gerila).”
Dalam buku itu, bekas kader PKM, Li Xin mengimbau betapa tingginya sentimen antikerajaan di sekolah menengah Cina disebabkan usaha kerajaan untuk menasionalisasikan sekolah berkenaan.
“Pengaruh PKM sangat kuat di sekolah-sekolah ini. Ramai antara kami yang naik ke bukit adalah pelajar sekolah menengah, (sekitar) 15 atau 16 tahun.”
Diterbitkan Gerakbudaya melalui Strategic Information and Research Development Centre (SIRD), “Narratives from Piyamit” boleh dibeli dalam talian atau di kedai fizikalnya.
Tragedi Kebakaran paip gas: 'Mangsa berlari tanpa pakaian, badan berasap'
Sinar Harian
Penduduk mengalami kerugian besar, dengan kediaman dan kenderaan musnah, serta gegaran kuat mengakibatkan cermin rumah pecah dan dinding retak. -Sinar Harian
SUBANG JAYA: Tragedi menggemparkan melanda Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini apabila kebakaran besar menyebabkan beberapa mangsa mengalami kecederaan akibat melecur, dengan seorang lelaki dilaporkan berlari tanpa pakaian dan badan berasap untuk menyelamatkan diri.
Salah seorang saksi, Ahmad Baharudin, 56, menceritakan detik dramatik apabila seorang pemuda tanpa seurat benang muncul berlari dari kawasan pembinaan di atas bukit dalam keadaan panik.
“Badannya berasap, dia berlari masuk ke rumah saya sebelum anak saya memberikan sehelai baju untuk dipakai.
"Kami semua segera keluar dan berkumpul di tempat selamat,” katanya ditemui pemberita di Masjid Nurul Iman di Kampung Tengah di sini pada Selasa.
Ahmad sendiri mengalami kecederaan melecur di tangan kanan akibat bahang api yang marak.
Isterinya, Yuswidayati Kahar, 52, serta dua anak mereka, Nurin Husna, 24, dan Nurin Aliya, 21, turut mengalami kecederaan, sementara dua lagi anak mereka terselamat tanpa sebarang luka.
Mangsa lain yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Lebih menyayat hati, beberapa penduduk mengalami kerugian besar apabila kediaman serta kenderaan mereka musnah dijilat api.
Lukman Hakim Mohd Nasir, 27, yang sedang tidur ketika kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi, dikejutkan oleh gegaran kuat seolah-olah gempa bumi.
“Saya segera mencari ibu dan membawanya keluar. Abang saya, Mohd Yusri, adalah orang terakhir keluar dari rumah dan mengalami kecederaan serta melecur di bahagian badan,” ujarnya.
Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga buah kereta dan beberapa motosikal di rumahnya dilaporkan musnah, selain sebahagian struktur rumah mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran.
Penduduk sekitar turut melaporkan gegaran kuat ketika letupan berlaku, mengakibatkan cermin rumah pecah dan dinding retak.
Zahari Husin, 65, seorang lagi mangsa dari Taman Topaz Putra Heights, yang kini ditempatkan di Kuil Sri Maha Mariamman, bersyukur kerana dia dan keluarganya terselamat tanpa kecederaan serius.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan dan menasihatkan orang ramai untuk menjauhi kawasan kejadian bagi memastikan keselamatan semua pihak. -Sinar Harian
Kebakaran paip gas: 112 mangsa cedera, 49 rumah terjejas
Malaysiakini
Seramai 112 mangsa dan 49 rumah terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata 112 mangsa yang cedera itu melibatkan penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Kuala Sungai Baharu.
"Daripada 112 mangsa itu, 63 orang dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut akibat melecur dan masalah pernafasan serta luka.
"Bakinya iaitu 49 mangsa menerima rawatan awal di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Khas JBPM dan PDRM di Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Zaini berkata setakat ini, dua pusat pemindahan sementara dibuka iaitu Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Mohd Zaini berkata setakat ini tiada kematian dilaporkan tetapi siasatan masih dijalankan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pihak Petronas menutup empat injap utama saluran paip gas yang terletak di Dengkil, Puchong, Batu Tiga dan Meru bagi melepaskan saki baki gas asli bermula 8.46 pagi tadi.
Beliau berkata jarak daripada injap pertama ke injap keempat itu sejauh 32 kilometer.
“Kita juga telah mengarahkan pihak Petronas melakukan kerja-kerja pelepasan gas di empat injap bermula injap bernombor 209 hingga 212,” katanya.
Nor Hisham berkata injap terakhir ditutup pada 11.48 pagi tadi dan pihak Petronas menjangkakan tempoh empat jam diperlukan bagi keseluruhan gas asli dilepaskan dan api akan berkurangan seterusnya dapat dipadam.
“Pihak bomba tidak mengalami masalah kekurangan air dalam operasi ini tetapi memberi tumpuan kepada pelepas gas supaya kebakaran akan terpadam dengan sendirinya," katanya.
Jelas beliau setakat 1.30 tengah hari ini, tekanan gas pada saluran paip yang terbakar mencatatkan bacaan lapan peratus berbanding 50 peratus pagi tadi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai ahli keluarga di lokasi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi memudahkan proses evakuasi.
"Kita akan mulakan proses pusingan kedua iaitu memantau mangsa yang mungkin terperangkap di dalam rumah dan elemen plastik serta karbon terbakar susulan kejadian itu, bagi memudahkan pasukan masuk memadam kebakaran sekiranya ada," katanya.
- Bernama
Kedah: Lima orang cedera digigit anjing di Baling
Malaysiakini
Lima individu cedera selepas digigit dua anjing dalam kejadian di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dekat Baling awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling Supt Azmi Mokhtar berkata namun pihaknya masih belum mengetahui tahap kecederaan dialami kesemua mangsa kerana mereka belum membuat laporan polis berikutan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
"Polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira 5.45 pagi yang memaklumkan terdapat dua anjing berkeliaran dan menyerang beberapa individu di kawasan berkenaan. Beberapa anggota telah ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan dan berjumpa pemilik anjing itu.
"Pemilik lelaki yang berusia 69 tahun itu kemudiannya mengurung semula anjing-anjing berkenaan. Dia juga diarahkan untuk menyerahkan anjing berkenaan kepada pihak Veterinar Kulim untuk pemeriksaan dan dikuarantin," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial yang memaparkan beberapa individu sedang dirawat dan dibawa menaiki ambulans selepas mengalami kecederaan akibat diserang dan digigit oleh dua anjing berwarna hitam.
Sementara itu, Pegawai Daerah Baling Yazlan Sunardie Che Yahya yang dihubungi Bernama memaklumkan beliau telah menerima aduan berhubung kejadian itu dan dipercayai melibatkan anjing jenis Rottweiler.
"Dimaklumkan beberapa individu terlibat dan tahap kecederaan masih belum pasti tapi melihat dari gambar yang tular agak parah. Disebabkan ini kes gigitan anjing berulang, saya minta Pejabat Veterinar untuk jalankan siasatan dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada pemilik anjing itu.
"Pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya boleh menangkap jika anjing itu berkeliaran dan tiada lesen tetapi dalam kes ini anjing itu bukan anjing liar tetapi anjing spesis ganas. Saya dimaklumkan haiwan itu anjing peliharaan di premis perniagaan tetapi dibela dan diletakkan di rumah pemilik," katanya.
Yazlan Sunardie berkata lagi beliau diberitahu bahawa anjing-anjing berkenaan telah terlepas daripada sangkar sebelum menyerang mangsa.
"Saya serahkan dahulu kepada Pejabat Veterinar dan saya akan berjumpa dengan pemiliknya untuk berbincang sama ada anjing itu perlu dibela di tempat perlindungan haiwan atau jika berbahaya perlu dilupuskan. Tetapi semuanya perlu dibuat mengikut garis panduan dan akta berkaitan," katanya.
- Bernama
'Rumah bergegar, bunyi seperti pesawat tempur melintas di udara'
Mohd Iskandar Ibrahim

KEBAKARAN membabitkan saluran gas sepdi Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. FOTO Asyraf Hamzah
Subang Jaya: Seakan bunyi ratusan pesawat tempur di udara selain kediaman dihujani pasir.
Demikian situasi diceritakan penduduk susulan kebakaran saluran paip gas yang di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini, hari ini.
Pesara perunding kewangan, Cherine Foo, 65, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyediakan sarapan pagi sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat seakan ratusan pesawat tempur melintas rendah di udara.
Katanya, bunyi itu kemudian disusuli dengan gegaran sederhana yang menyebabkan dia terkejut dan tergamam.
"Saya tinggal seorang diri di rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi yang amat bising dan rumah saya bergegar.
"Saya terus melihat di tingkap dan ternampak api sedang marak. Saya terus keluar dan pada waktu itu perkarangan rumah dihujani debu serta pasir," katanya.
Cherine antara penduduk Taman Putra Avenue yang diarahkan pihak berkuasa meninggalkan kediaman masing-masing akibat kejadian kebakaran saluran paip gas LPG yang terletak di Jalan Putra Harmoni, Putra Height di sini.
Kediaman penduduk berkenaan terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kebakaran.
Sementara itu, S Sivam, 34, pula berkata dia bersama ayah dan datuknya sedang tidur di rumah ketika kejadian berlaku.
Menceritakan detik cemas itu, pekerja peranti perubatan terbabit berkata, dia sekeluarga dikejutkan dengan bunyi kuat sebelum mereka diarahkan pihak berkuasa supaya segera meninggalkan rumah.
"Saya terdengar bunyi kuat, ingatkan hujan lebat tapi pelik sebab terasa bahang panas, saya ke luar rumah dan melihat api besar marak menjulang tinggi tidak jauh dari taman perumahan.
"Kemudian ada bunyi beberapa letupan kecil, selepas itu saya terus bawa ayah dan datuk keluar kerana bimbangkan keselamatan mereka," katanya.
Sementara itu, penganalisis perniagaan, Chan Hok Mee, 48, yang lebih 10 tahun tinggal di kawasan berkenaan menyifatkan kejadian terbabit amat menakutkan.
"Saya mendengar bunyi bising seperti hujan lebat kemudian saya melihat orang ramai berlari meninggalkan kediaman masing-masing.
"Saya amat berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti dan menyiasat punca sebenar kebakaran sebab keadaan itu mencetuskan soal keselamatan penduduk sekitar," katanya.
Kebakaran saluran paip gas di Subang Jaya masih berterusan, penduduk sedang dipindahkan
Malaysiakini

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dalam proses memindahkan penduduk setempat dari lokasi berhampiran kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter, berlaku berhampiran kawasan perumahan awam.
"Setakat ini belum dapat dipastikan bilangan penduduk yang terlibat (dipindahkan)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media berasingan, JBPM Selangor memaklumkan bahawa walaupun pihak Petronas telah menutup injap (valve) saluran paip yang terbakar, namun kebakaran masih berterusan.
Menurut kenyataan itu, jarak sebenar lokasi penutupan injap masih belum dikenal pasti manakala kebakaran turut menjejaskan beberapa buah rumah berhampiran, yang meningkatkan lagi risiko kepada penduduk.
Ia juga menyebut Komander Operasi diketuai Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Khairul Azuwan Ibrahim, dengan kekuatan seramai 78 anggota dan dibantu oleh 10 jentera FRT, empat unit EMRS, lima unit Water Tanker, satu unit HAZMAT, satu unit BA Tanker, dan satu unit ALP.
“Setakat ini, anggota bomba telah berjaya menyelamatkan tujuh orang mangsa, termasuk dua warga Malaysia.
“Walau bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa yang terlibat serta tahap kemerebakan api di kawasan perumahan masih dalam siasatan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 8.23 pagi tadi dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan.
Seorang pengguna TikTok menggunakan akaun Perodua PuchongJayaJeffry, mendakwa letupan kuat kedengaran berlaku sebelum api dilihat menjulang tinggi dan ia masih marak sehingga pukul 10 pagi tadi.
Sementara itu polis juga telah menutup laluan ke lokasi kejadian.
Sampai ke Balai polis masih bergaduh 6 lelaki bergaduh kena tahan
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
Ampang Jaya: Polis menahan enam lelaki disyaki terbabit pergaduhan di Medan Seri Keramat yang dipercayai berpunca daripada provokasi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima aduan berhubung kejadian membabitkan 10 lelaki pada 12.19 tengah malam semalam.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati rusuhan berpunca apabila salah seorang daripada mereka membuat provokasi yang menyebabkan seorang lagi menghubungi rakan yang lain, lalu berlaku pergaduhan.
"Seorang suspek mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Ampang.
"Seterusnya, ketika mereka berada di Balai Polis Hulu Kelang, salah seorang daripadanya menumbuk muka dan menendang badan individu yang lain," katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Azam berkata, pihak polis telah menghalang dan menahan suspek terbabit kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.
"Susulan itu juga enam lelaki berusia 20 hingga 40 tahun ditahan pada 2.30 pagi semalam, di mana dua suspek berusia 27 dan 33 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah.
"Reman terhadap semua suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga 2 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan merusuh dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis," katanya.
Suspek larikan kereta bersama budak dicekup selepas ditemui sedang tidur
BERNAMA
Georgetown: Polis menahan seorang lelaki yang melarikan kereta bersama seorang kanak-kanak lelaki istimewa berusia lima tahun dalam satu kejadian di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena, Tasek Gelugor, malam tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira 8 malam, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak tersebut telah meninggalkan kenderaan jenis Honda BR-V dalam keadaan enjin masih hidup di kawasan parkir masjid berkenaan bagi memujuk anak perempuannya yang berusia setahun.
Beliau berkata, seorang individu yang tidak dikenali mengambil kesempatan melarikan kenderaan tersebut bersama kanak-kanak itu dan bapanya berusia 41 tahun cuba mengejar tetapi gagal.
"Sekitar pukul 3.45 pagi ini, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang berjaya mengesan kenderaan terbabit di sebuah stesen minyak R&R Behrang, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan dengan suspek ditemui sedang tidur dalam kenderaan itu dengan enjin masih hidup.
"Apabila diminta membuka pintu, suspek enggan dan cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan polis yang berada di belakangnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, susulan itu, polis terpaksa memecahkan tingkap kenderaan dan suspek cuba melawan semasa tangkapan dilakukan. Bagaimanapun, polis berjaya menahannya serta menyelamatkan kanak-kanak tersebut tanpa sebarang kecederaan.
"Hasil siasatan mendapati suspek, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain," katanya.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga 3 April untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Hamzah menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tanpa pengawasan, khususnya apabila enjin masih hidup.
Isu Menara KL: Sykt risau diusir polis, DBKL di malam raya pertama
Malaysiakini
Bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Hydroshoppe Sdn Bhd, memanggil sidang media tergempar malam ini kerana bimbang akan diusir tepat tengah malam.
Perkara ini susulan tersebarnya sepucuk surat dalam talian yang mendakwa Kementerian Komunikasi telah mengesahkan bahawa LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) akan mengambil alih pengurusan dan operasi Menara KL sebagai pemegang konsesi baru berkuat kuasa esok.
Hydroshoppe Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) berkata pihaknya percaya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak mengusir mereka tepat pada tengah malam, sesuatu yang mereka sifatkan sebagai “penyalahgunaan kuasa”.
“Ini bertentangan dengan kes mahkamah yang sedang berjalan dan merupakan satu pencabulan terhadap proses undang-undang.
“Oleh itu, kami akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan tindakan yang dikenakan ke atas kami, yang kami anggap sebagai cabaran terhadap kewibawaan mahkamah,” menurut jemputan media mereka.
Sidang media itu dijadualkan berlangsung pada jam 11 malam ini, ketika hari pertama sambutan Aidilfitri.
Dalam satu kenyataan media berasingan pada hari ini, Hydroshoppe dan MKLSB menegaskan sebarang pengambilalihan oleh LSHSM esok tidak sah selagi keputusan mahkamah belum dibuat.
“Dalam musim perayaan ini, Menara KL merupakan destinasi utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati pemandangan indah bandar raya Kuala Lumpur.
“Sebarang tindakan yang boleh mengganggu operasinya berisiko menjejaskan pengalaman pelawat dan merosakkan semangat perayaan,” kata Pengarah Urusan MKLSB, Abdul Hamid Shaikh dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu, tersebar satu surat yang dikatakan dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi.
Surat bertarikh 27 Mac itu, yang dialamatkan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, menyatakan kementerian memiliki Menara KL.
“Berkuat kuasa 1 April 2025, pengurusan operasi Menara KL akan dilaksanakan sepenuhnya oleh konsesi baaru, iaitu LSHSM.
“Tempoh pengurusan oleh pemegang konsesi sebelum ini, iaitu MKLSB, akan tamat pada 31 Mac 2025,” menurut surat itu.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Komunikasi untuk mendapatkan pengesahan dan ulasan mengenai kesahihan surat tersebut. Pihak polis dan DBKL juga telah diminta untuk memberi maklum balas.
Hydroshoppe melalui anak syarikatnya MKLSB telah dilantik untuk mengendalikan mercu tanda ikonik itu pada tahun 2022, tetapi mendakwa kerajaan telah menamatkan perjanjian tersebut secara tidak sah pada November 2022.
Kerajaan kemudiannya menganugerahkan konsesi tersebut kepada LSHSM pada Mei tahun lalu, yang merupakan usaha sama antara dua syarikat — LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.
Hydroshoppe dan MKLSB telah menyaman kerajaan dan pemegang konsesi baharu sebanyak RM1 bilion dan memohon deklarasi mahkamah bahawa perjanjian tahun 2022 itu masih sah dan mengikat.
Mereka juga memohon agar mahkamah mengesahkan bahawa mereka masih berhak ke atas konsesi selama 30 tahun bermula 31 Disember 2022, dan bahawa kerajaan telah melanggar amanah dengan menganugerahkannya kepada entiti lain.
33 lagi maut, Gaza bermandikan darah pada Aidilfitri
Malaysiakini
Sekurang-kurangnya 33 rakyat Palestin termasuk 13 kanak-kanak terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam siri serangan udara Israel sejak awal pagi Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Saksi dan petugas perubatan memaklumkan bahawa serangan udara Israel menyasarkan kediaman penduduk, khemah perlindungan, serta kenderaan awam di Gaza City, Jabalia di utara, dan Khan Younis di selatan.
Menurut sumber perubatan, serangan ke atas beberapa kawasan termasuk sebuah rumah di Bani Suheila, timur Khan Younis, serta khemah yang menempatkan keluarga pelarian di Qizan Raswan meragut 17 nyawa, termasuk lapan kanak-kanak.
Pada masa yang sama, kereta kebal dan artileri Israel turut membedil kawasan timur Abasan al-Kabira, timur Khan Younis.
Di Gaza City, seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas jet pejuang Israel menyasarkan tiga kenderaan awam di kawasan Tuffah.
Sementara itu, di utara Gaza, dua kanak-kanak perempuan terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas rumah keluarga Maqbel di kawasan Jurn, Jabalia, dibom oleh pesawat tempur Israel.
Dalam satu lagi serangan di kawasan timur Gaza City, lima rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah rumah di Jalan Mushtaha, kejiranan Shejaiya, menjadi sasaran.
Serangan berterusan turut menyaksikan dua kanak-kanak maut akibat tembakan kereta kebal Israel mengenai rumah mereka di timur Jabalia, manakala dua lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan ke atas khemah pelarian di timur kem Nuseirat, Gaza.
Di Deir al-Balah, Israel menyerang sebuah khemah berhampiran Hospital Al-Aqsa Martyrs, membunuh dua lagi rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain.
Sumber perubatan juga melaporkan seorang pemuda dan seorang kanak-kanak maut akibat kecederaan yang dialami susulan pengeboman di kem Khan Younis dan kawasan al-Mawasi, selatan Gaza.
Dalam keadaan Gaza terus dibedil tanpa henti, ratusan ribu rakyat Palestin menunaikan solat Aidilfitri di atas runtuhan masjid yang musnah, di pusat perlindungan pelarian, serta di sebelah puing-puing kediaman mereka.
Sejak serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, lebih 50,250 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh, manakala lebih 114,000 cedera dalam kempen ketenteraan yang semakin ganas.
- Bernama-Anadolu
Polis tahan suami wanita jatuh tingkat 4 pangsapuri ketika bertengkar
Meor Riduwan Meor Ahmad
MELAKA: Polis menahan seorang lelaki yang juga suami kepada wanita yang parah terjatuh dari balkoni rumah di tingkat empat sebuah pangsapuri di Cheng pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kelindan lori berusia 33 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, jam 4.30 petang semalam.
"Suspek kini direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, suri rumah berusia 35 tahun jatuh dari dari balkoni rumah selepas bertengkar dengan suami mengenai tunggakan sewa rumah serta bil elektrik dan air yang gagal dijelaskan.
Kejadian disedari jiran mangsa yang terdengar dentuman sebelum wanita itu ditemui dalam keadaan terlentang di bawah pangsapuri berkenaan, lantas menghubungi polis.
Christopher berkata, mangsa dirawat di Wad Mawar Unit Rawatan Rapi kerana mengalami pendarahan pada kepala, patah tulang belakang, tangan kanan dan rusuk kiri serta cedera organ dalaman (perut).
"Maklumat terkini mangsa masih ditidurkan, namun keadaan stabil," katanya.
4 remaja ditahan disyaki merusuh, rosakkan kenderaan
Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Empat remaja berusia 15 hingga 18 tahun ditahan, disyaki terbabit dalam rusuhan dan merosakkan kenderaan di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada lelaki tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa diserang pada 6.30 petang kelmarin di hadapan sebuah pangsapuri.
"Mangsa yang menaiki Perodua Alza bersama abang dan kakaknya ditahan oleh sekumpulan lelaki.
"Apabila mangsa keluar dari kenderaan, dia dipukul termasuk dengan menggunakan topi keledar, selain seorang daripada suspek menghempas kerusi ke arah kenderaan milik kakak mangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bertindak atas maklumat, katanya, polis berjaya menangkap empat suspek pada Sabtu dan hari ini di sekitar Tampoi di sini, malah semakan rekod jenayah mendapati dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau, manakala dua lagi tiada.
"Kesemua suspek warga tempatan itu dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini untuk perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.
"Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.
Orang ramai dinasihat tidak bertindak di luar batas undang-undang dan menyerahkan sebarang perbalahan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sebelum itu, tular video berdurasi tiga minit 21 saat memaparkan pergaduhan tersebut yang berlaku di sebuah pangsapuri di bandar raya ini.
Langgan:
Catatan (Atom)