"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warden penjara ditemui maut tertiarap di ruang tamu rumah dinaiki air

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KUANTAN – Kehilangan seorang warden penjara yang keluar daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk melihat keadaan rumahnya awal pagi tadi terjawab apabila mangsa ditemui mati di rumahnya di Taman Sri Inderapura di sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Hariri Kamarudin,26, ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam air di ruang tamu rumahnya oleh bapanya yang datang mencari mangsa yang tidak pulang selepas keluar daripada PPS Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa keluar daripada PPS seorang diri pada pukul 1 pagi untuk melihat keadaan rumahnya yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira 0.3 meter.

“Pada pukul 10 pagi ayah mangsa mendapati mangsa belum pulang ke PPS dan juga gagal dihubungi.

“Ayah mangsa pulang ke rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam air kawasan ruang tamu rumah,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ayah mangsa dengan dibantu orang awam telah mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan sebelum dibawa ke PPS.

Katanya, pihak polis yang tiba di PPS mendapati mangsa terbaring di tempat duduk belakang kenderaan jenis Mitsubishi Triton.

Ujarnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.-KOSMO! ONLINE.

Mayat reput ditemui tepi sungai

MOHD SHARKAWI LONDING
MAYAT seorang lelaki ditemui di tepi Sungai Bayu Puteri, Kampung Bakar Batu Majidee, Johor Bahru, petang semalam
JOHOR BAHRU – Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui sudah mereput di tepi Sungai Bayu Puteri, Kampung Bakar Batu Majidee di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada pukul 5.58 petang daripada orang awam.

Menurutnya, mayat lelaki berbangsa tidak pasti itu ditemui di tepi Sungai Bayu Puteri berhampiran sebuah apartmen di Jalan Bayu Puteri 2, Kampung Bakar Batu Majidee.
 
“Mayat ditemui dalam keadaan badan kembung dan mereput, menyukarkan proses pengecaman identiti mangsa.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri selain tiada kesan parut suntikan vaksin BCG pada badan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Raub berkata, usaha mendapatkan cap jari turut gagal dilakukan berikutan keadaan kulit mangsa yang telah menggelupas akibat pereputan.

Jelasnya, bedah siasat telah dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini namun punca kematian tidak dapat dipastikan berikutan keadaan mayat yang telah mereput.

“Semakan juga mendapati setakat ini tiada laporan orang hilang diterima di Balai Polis Permas Jaya, Majidee dan Johor Jaya yang sepadan dengan fizikal mangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti si mati dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE

Rafizi ingatkan Akmal Nasir - jawatan menteri itu satu jerat

Rafizi Ramli

Tahniah kepada semua yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam rombakan Jemaah Menteri minggu ini, terutamanya kepada ahli Parlimen Johor Baharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasirdan ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Semua orang tahu Akmal dan Syed Ibrahim adalah kawan rapat saya, sebelum politik pun.

Akmal adalah junior saya di sekolah, walaupun kami tidak pernah jumpa.

Tahun 2009, semasa itu saya adalah CEO di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan Akmal baru habis belajar dari Amerika Syarikat (AS) dalam ijazah ekonomi dan sains aktuari.

Dia email saya untuk diambil bekerja kerana minatnya dalam bidang politik. Semasa di AS, dia pernah menjadi sukarelawan dalam kempen Presiden Barrack Obama. Dua kali dia tulis email hantar CV (curriculum vitae), dua kali saya tolak.

Bukan sebab CV dia tak bagus, saya tak mahu dia sia-siakan ijazahnya yang baik. Saya nasihatkan dia mula kerjaya sebagai aktuari, buat duit banyak-banyak, timba pengalaman korporat, kemudian sepuluh tahun cari saya balik.

Sebab saya tahu Akmal ingat Malaysia ini macam AS. Graduan yang bagus boleh habiskan beberapa tahun menjadi penyelidik atau pegawai di pejabat politik, kemudian bertukar ke kerjaya korporat.

Keras kepala

Masa itu, di Malaysia, kalau dah ada rekod kerja dengan pembangkang, tak da GLC atau MNC nak ambil bekerja. Tapi Akmal keras kepala, lebih kurang macam saya keras kepala. Dia hantar CV buat kali ketiga.

I always reward persistence. Bila ada seseorang yang gigih mencuba berkali-kali, maknanya orang itu mungkin akan berjaya. Maka Akmal jadi pegawai saya bermula tahun 2009. Sejak dari itu, Akmal jadi tanggungjawab saya.

Bila saya meletakkan jawatan sebagai CEO Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor untuk menubuhkan Pusat Pemberi Maklumat Nasional (Now) dalam tahun 2012, Akmal ikut sekali.

Masa Akmal dengan saya di Now, saya perasan dia ada bakat terpendam, iaitu kebolehan menyamar. Bila kami selidik sesuatu aduan rasuah atau penyelewengan, kami kena siasat untuk sahkan terlebih dahulu.

Masa itu mudah sebab orang tak kenal saya atau Akmal. Dialah yang selalu jadi mangsa berlakon untuk menyamar dan mengesahkan bukti.

Akmal pernah menyamar sebagai rakan kongsi perniagaan lembu dengan saya semasa kami membongkar skandal NFC. Dia juga pernah menyamar sebagai ejen hartanah nak sahkan keluarga menteri duduk di sebuah rumah milik seorang yang dituduh kes rasuah.

Ketika itu juga, Akmal selalu ikut saya berceramah. Dia pemandu tidak berbayar.

Kerja gila

Tanpa pengetahuan saya, dia berulang-alik ke Johor Bahru untuk menghidupkan PKR Johor Bahru sejak awal 2014. Masa itu, orang Johor Bahru tak pandang PKR dan Johor Bahru tidak pernah dimenangi pembangkang.

Tahun 2014, Akmal jadi antara ketua cabang PKR termuda dan saya adalah naib presiden dan setiausaha agung PKR.

Dari situlah saya terpaksa terima hakikat yang Akmal nak buat kerja gila merebut Parlimen Johor Bahru dari Umno. Saya cakap itu kerja gila, tapi dia berkeras.

Kempen trak Invoke bermula dalam bulan September 2016 di Johor Bahru, sebelum menjelajah ke seluruh negara.

Masa berkempen di Johor Bahru, Akmal masih pakai kereta Kelisa berbelas tahun yang dia beli tunai bila balik dari AS. Saya cakap kat dia macam mana nak menang pergi kempen pakai Kelisa.

Jadi kereta pertama yang dia beli di Malaysia adalah atas nama saya. Lepas jadi timbalan menteri baru dia jual kereta itu.

Saya dapat tahu mengenai ura-ura pelantikan Akmal menjadi Menteri Ekonomi lebih awal, seminggu sebelum diumumkan.

Akmal tanya pandangan saya.

Saya ingatkan beberapa perkara sahaja.

Jawatan dan pangkat ini sementara

Kalau kita ambil sesuatu kerja, buatlah sehabis baik

Pujian dan makian orang tidak bantu kita di akhirat, hanya kerja yang ikhlas dan baik yang boleh jadi pahala

Sebab jawatan Menteri dan Timbalan Menteri itu adalah satu jerat.

Kalau kita culas, tidak amanah, kita yang dijerat.

Kalau kita rajin, ikhlas, kerja kita ada kesan, maka ia menjadi jerat yang baik untuk mendapat pahala.

Kisah pasal Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim, nanti saya cerita dalam episod seterusnya.

Kelantan: Kes rogol suka sama suka remaja bawah umur dirujuk JAHEAIK

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kes rogol suka sama suka membabitkan remaja perempuan 16 tahun ke bawah akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk tindakan lanjut bawah Mahkamah Syariah.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat bersama JAHEAIK kira-kira dua bulan lalu bagi membolehkan pendakwaan dilakukan ke atas gadis bawah umur.

Menurutnya, pelaksanaan bermula selepas mesyuarat itu dengan lima kes dirujuk kepada JAHEAIK setakat ini.

“Langkah tersebut susulan titah Tuanku Sultan Kelantan supaya kes rogol melibatkan hubungan suka sama suka diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri,” katanya menurut Sinar Harian selepas perhimpunan bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu.

Beliau berkata, gadis berusia 17 dan 18 tahun yang diklasifikasikan bawah kesalahan amang seksual suka sama suka turut akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Katanya, trend kes rogol di Kelantan kini menunjukkan sedikit penurunan dan beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada mangsa atau ibu bapa tidak berani membuat laporan.

“Kebanyakan laporan diterima daripada pegawai perubatan selepas mangsa didapati hamil.”

Lagi layanan tidak manusiawi di pusat tahfiz: [VIDEO] ‘Sampai menggelupur sakit kena rotan bertalu-talu’

KOSMO!
Tangkap layar CCTV yang memaparkan seorang pelajar dipercayai di sebuah pusat tahfiz, dirotan bertalu-talu oleh seorang lelaki dewasa.
PETALING JAYA – Menggelupur kesakitan akibat dirotan bertalu-talu termasuk di bahagian atas badan.

Itu gambaran nasib seorang pelajar yang dipukul seorang lelaki dewasa menggunakan sebatang rotan, dipercayai berlaku di sebuah pusat tahfiz.

Insiden berkenaan dipaparkan pada video yang dimuat naik penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, menerusi perkongsian salah seorang pengikutnya di media sosial, sebentar tadi.

“Assalamualaikum, Cap. Tolong siasat fasal anak tahfiz kena rotan. Kawannya rakam senyap-senyap rasanya.

Tolong Cap, anak orang tu. Tolong…dirotan sebegitu rupa,” kata pengikutnya itu yang menghantar mesej peribadi di Instagram.

Dalam masa sama, Caprice turut mempersoalkan tindakan salah seorang pelajar yang bertindak menutup skrin televisyen litar tertutup (CCTV) ketika kejadian itu berlaku.

Orang ramai rata-rata menzahirkan rasa marah dan kecewa dengan kejadian tersebut serta menggesa pihak berkuasa bertindak segera mengesan pelaku.

“Rotan dekat leher. Kalau terbelah leher tu tolong letak dalam penjara pak cik kopiah tu. Saman sekali,” gesa @Zieynaaila.

“Budak tu meronta-ronta kesakitan. Rotan kena leher dia, mendidih darah aku tengok ni,” ujar @E_zamry.

“Disebabkan perangai macam ni lah masyarakat anti dengan ustaz dan pusat tahfiz,” komen @Ilalianaaaaaa. – KOSMO ONLINE

Menjelang PRU16: Yang untung, rugi dalam rombakan Kabinet

Lynelle Tham

Rombakan Kabinet kali ini lebih menyeluruh sejak Anwar Ibrahim memegang jawatan pada 2022.
Steven Sim Wee Ka Siong M Saravanan Zaliha Mustafa Naim Mokhtar
Pertukaran dalam rombakan membabitkan Steven Sim daripada DAP yang diberikan kementerian kurang menonjol manakala MCA dan MIC kekal tanpa jawatan, selain Dr Zaliha Mustafa dan Na’im Mokhtar yang digugurkan.
PETALING JAYA: Ada yang beruntung dan ada juga yang menerima tamparan dalam rombakan Kabinet kedua Anwar Ibrahim diumumkan pada Selasa.

Ada juga beberapa parti dalam kerajaan perpaduan yang tidak menerima sebarang jawatan.

Rombakan itu menyaksikan tujuh menteri baharu dilantik, tiga menteri diberi portfolio baharu, tujuh timbalan menteri bertukar peranan, sembilan timbalan menteri baharu dilantik serta dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan.

Ini menjadikan rombakan kali ini lebih menyeluruh berbanding rombakan pada Disember 2023 sebelum ini. Anwar memegang jawatan sebagai perdana menteri sejak November 2022.

FMT meninjau siapa yang paling untung dan paling rugi:

Untung – PKR

PKR, yang dipimpin Anwar sebagai presiden, secara jelasnya menjadi pihak yang untung. Empat pemimpinnya dinaikkan ke jawatan menteri penuh, manakala beberapa yang lain dilantik sebagai timbalan menteri.

Ia berlaku di sebalik pertelingkahan dalaman parti itu selama beberapa bulan semasa dan selepas pemilihan parti pada Mei, yang memuncak dengan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri selepas gagal mempertahankan jawatan kepimpinan parti.

Naib presiden PKR R Ramanan dilantik sebagai menteri sumber manusia, ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud mengetuai hal ehwal Sabah dan Sarawak, Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Taufiq Johari sebagai menteri belia dan sukan, manakala ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Akmal Nasir menggantikan Rafizi sebagai menteri ekonomi.

Pelantikan ini menjadikan PKR kini mempunyai sembilan menteri dalam Kabinet, berbanding lapan sebelum rombakan, tidak termasuk Tengku Zafrul Aziz yang meninggalkan Umno untuk menyertai PKR pada Ogos lalu.

Tengku Zafrul berkhidmat sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri (Miti) sehingga penggal keduanya sebagai senator berakhir pada 2 Disember.

Timbalan menteri baharu daripada PKR termasuk R Yuneswaran (perpaduan negara), Chiew Choon Man (pelancongan, seni dan budaya), Syed Ibrahim Syed Noh (sumber asli dan kelestarian alam), serta Sim Tze Tzin (Miti).

Rugi – DAP

Terkesan dengan prestasi buruk dalam PRN Sabah, pengaruh DAP dalam kerajaan persekutuan kini dilihat semakin terhakis.

Dua menterinya dipindahkan ke portfolio yang dianggap ‘kurang penting’.

Hannah Yeoh mengambil alih jawatan menteri wilayah persekutuan selepas tempoh bergolak di Kementerian Belia dan Sukan, ketika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenakan sekatan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan susulan dakwaan pemalsuan.

Daripada menerajui kementerian sendiri, beliau kini berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri. Selain dianggap sebagai ‘penurunan taraf’, beliau juga berdepan cabaran baharu termasuk cadangan Akta Pembaharuan Bandar yang akan menjejaskan pembangunan Kuala Lumpur, serta desakan partinya untuk menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan — kedua-duanya dikatakan memberi kesan besar kepada orang Melayu.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim dipindahkan daripada Kementerian Sumber Manusia ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dilihat sebagai penurunan dari segi kepentingan nasional.

Namun, masih ada sedikit ‘pengubat luka’ buat DAP dengan pelantikan Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

Pengarah Strategi Kebangsaan DAP Liew Chin Tong kini berkhidmat sebagai timbalan menteri kewangan, menggantikan Lim Hui Ying yang dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Sebelum ini, Liew merupakan timbalan menteri di Miti.

Untung – Umno dan PBRS

Umno merampas semula portfolio Miti menerusi salah seorang Naib Presidennya Johari Ghani manakala Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad dinaikkan pangkat sebagai menteri perladangan dan komoditi daripada jawatan sebelumnya sebagai timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

Ini merupakan keuntungan besar buat parti itu. Portfolio Miti sebelum ini sempat berada di bawah PKR apabila Tengku Zafrul bertukar parti.

Umno turut beruntung dengan kembalinya Ahli Parlimen Paya Besar Shahar Abdullah ke dalam kerajaan sebagai timbalan menteri ekonomi.

Menteri dan timbalan menteri Umno yang lain kekal dengan jawatan masing-masing.

Rakan komponen Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), turut menerima lonjakan besar apabila Presidennya Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam.

Ini walaupun parti itu hanya memiliki satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN, kedua-duanya disandang oleh Kurup.

Rugi – MCA dan MIC

Rombakan Kabinet ini merupakan satu lagi tamparan buat MCA dan MIC. Kedua-dua parti yang sedang menilai semula kedudukan masa depan mereka dalam BN dan kerajaan perpaduan itu sekali lagi tidak mendapat sebarang jawatan.

Terdapat spekulasi bahawa Timbalan Presiden MIC dan Ahli Parlimen Tapah M Saravanan mungkin akan dilantik namun ia tidak menjadi kenyataan.

Pemberian satu jawatan Kabinet kepada PBRS pastinya menambah pedih buat dua parti veteran BN ini, memandangkan parti komponen Sabah itu pernah meninggalkan BN seketika selepas PRU 2018 sebelum kembali menyertai gabungan tersebut pada 2020.

Rugi – Zaliha dan Na’im

Dr Zaliha Mustafa dan Na’im Mokhtar mungkin merupakan antara ‘korban terbesar’ dalam rombakan Kabinet ini. Kedua-duanya sebelum ini berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri — Zaliha menguruskan wilayah persekutuan manakala Na’im bertanggungjawab dalam hal ehwal agama.

Dalam rombakan Kabinet sebelum ini, Zaliha dilantik sebagai menteri kesihatan.

Penguguran itu dibuat ketika perhatian diberikan terhadap cara beliau mengendalikan isu pembangunan semula Kampung Baru, selain peranannya dalam permohonan pengampunan bekas perdana menteri yang dipenjarakan, Najib Razak. Beliau merupakan ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, penyingkiran Na’im agak mengejutkan memandangkan bekas ketua hakim mahkamah syariah terbabit baru sahaja mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai senator dua minggu lalu.

Sebagai menteri hal ehwal agama, beliau sering dilihat sebagai pelantikan tidak berunsur politik, namun turut menerima kritikan daripada kumpulan masyarakat sivil susulan kenyataan kerasnya mengenai isu moral dan perkara melibatkan komuniti LGBTQ.

Tendang patah paha budak, pengasuh dipenjara 5 tahun

Malaysiakini 

Seorang pengasuh dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang selepas didapati bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki dengan menendang paha kanan mangsa hingga patah, dua tahun lepas.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu semalam terhadap Nurdiana Lanonming, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam (16 Dis 2025), selain menandatangani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan seorang penjamin serta cagaran RM2,000.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara.

Nurdiana didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia empat tahun 11 bulan, telah melakukan penderaan terhadap mangsa dengan menendang paha kanannya di sebuah rumah, Taman Taming Emas, Kajang pada 10.51 pagi, 20 Jun 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau maksimum penjara 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ibu mangsa telah menghantar anak lelakinya ke rumah tertuduh dalam keadaan baik, boleh berjalan dan tidak mempunyai sebarang kecederaan pada kakinya. Bagaimanapun Ibu mangsa kemudian menerima panggilan daripada tertuduh yang menyatakan kanak-kanak itu mengalami bengkak pada kaki kanan.

Ibu mangsa membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan perubatan mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan patah tulang femur sebelah kanan (dalaman) dan perlu menjalani pembedahan bagi tujuan rawatan.

Berikutan itu, laporan polis telah dibuat terhadap tertuduh yang tidak mempunyai sijil tauliah sebagai pengasuh dan mangsa memberi tahu kepada ibunya serta doktor yang merawat bahawa tertuduh telah menendang kaki kanannya semasa berada dalam jagaan tertuduh.

Sebanyak lapan saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan manakala Nurdiana diwakili peguam Wan M.Razali Wan A. Kadir.

- Bernama

Terengganu: Cerun runtuh, 12 termasuk pesakit strok dipindahkan

Zaid Salim
am@hmetro.com.my
SERAMAI 12 penghuni sebuah rumah di Felda Neram 1 cemas apabila cerun belakang rumah runtuh. FOTO Bomba
SERAMAI 12 penghuni sebuah rumah di Felda Neram 1 cemas apabila cerun belakang rumah runtuh. FOTO Bomba
Chukai: Seramai 12 penghuni sebuah kediaman di Felda Neram 1, di sini, berdepan detik cemas apabila cerun di belakang rumah mereka runtuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Mohd Hafizul Mohamad berkata, tanah runtuh dianggarkan sepanjang 10 meter berlaku di bahagian belakang rumah berkenaan jam 6.57 petang, namun tidak membabitkan struktur kediaman.

Menurutnya, semua mangsa membabitkan enam lelaki dewasa termasuk seorang pesakit strok, tiga wanita dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan.

"Pasukan bomba bertindak membawa pesakit strok berkenaan ke rumah Pengerusi Felda Neram 1 sebagai langkah keselamatan, manakala penghuni lain dinasihatkan supaya berpindah.

"Operasi masih diteruskan dengan pemantauan rapi di lokasi kejadian bagi memastikan tiada risiko susulan, dengan bantuan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Isteri simbah asid pada suami semasa hari jadi

KOSMO!
KESAN serangan asid di sebuah bilik Somchai. - Foto Amarin TV
BANGKOK – Polis menahan seorang wanita di Thailand selepas dia menyimbah asid ke arah suaminya di rumah mereka di wilayah Rayong semalam, lapor laman berita Thaiger.

Serangan itu berlaku pada hari jadi mangsa.

Anggota-anggota polis bersama anggota penyelamat Yayasan Siam Rayong, bergegas ke sebuah bilik di daerah Nikhom Phattana sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) selepas menerima laporan mengenai serangan asid yang serius.

Polis mendapati mangsa yang dikenali sebagai Somchai, 60, sedang duduk di atas katil dengan kesan melecur kimia yang teruk di seluruh badan. 

Rambutnya hangus dan bertaburan di atas bantal.

Dua sukarelawan penyelamat yang membantu mangsa berkata, mereka percaya serangan itu berlaku ketika Somchai sedang tidur.

Mangsa tidak dapat membuka mata atau bercakap ketika penyelamat tiba, manakala asid tersebut turut memasuki mulutnya, menyebabkan kecederaan tambahan.

Polis kemudian menahan isteri mangsa dan membawanya ke balai polis untuk disoal siasat berhubung motif di sebalik serangan tersebut. – AGENSI

PAS serah pihak berkuasa siasat dakwaan Muhyiddin ‘curi’ duit Bersatu

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: PAS menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyeleweng dana parti yang dibuat bekas pengerusi Dr Mahathir Mohammad.

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata melalui siasatan ia dapat merungkai setiap dakwaan dibuat sama ada isu itu benar-benar berlaku atau sebaliknya.

“Tuduhan Mahathir terhadap Muhyiddin adalah dakwaan kepada seorang bekas perdana menteri yang sudah tidak mempunyai kuasa.

“Jika polis mendapati ada kes sila siasat,” katanya kepada FMT.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun berkata berbanding tuduhan melibatkan Muhyiddin, pendedahan dibuat bekas ketua PKR Wangsa Maju Lai Chen Heng lebih besar.

Lai didakwa mengaitkan seorang pemimpin politik negara menerima dana daripada aktiviti percutian tidak diaudit.

“Jika itu tidak disiasat dengan betul bagaimanakah keadaan rakyat boleh mempercayai negara ini sudah ditadbir dengan baik?,” soalnya.

Minggu lalu, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan Mahathir dalam video tular bahawa beliau mencuri dan menyimpan wang parti di rumah.

Muhyiddin menjelaskan semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke akaun parti yang diurus bendahari agung.

Pemuda Bersatu Johor mendakwa rakaman video pertemuan mereka dengan Mahathir baru‑baru ini ‘dimanipulasi’ pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik pihak tertentu.

Ketuanya Alias Rasman mendakwa video itu telah disunting dan akan mengambil tindakan terhadap pelaku yag dikenalinya itu.

Ketua Pemuda PKR Kamil Munim pula menggesa Muhyiddin membuat laporan polis, mengatakan tuduhan jenayah pecah amanah sebagai ‘sangat berat’.

Terengganu: Runtuhan baharu di Jalan Aring 8–Kenyir–Kuala Jeneris

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris yang runtuh di Hulu Terengganu, hari ini.
HULU TERENGGANU – Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, di sini dikhuatiri terjejas ekoran penutupan Jalan Aring 8–Kenyir–Kuala Jeneris berhampiran ekoran runtuhan tanah, hari ini.

Kejadian pada 7 pagi itu menyebabkan laluan tersebut mengalami runtuhan selebar 15 meter dan sepanjang 40 meter.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati runtuhan bahagian tepi dan bawah cerun laluan berkenaan disebabkan oleh arus deras air bawah tanah.

“Laluan itu kini tidak selamat untuk semua kenderaan. Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Sungai Tong–Jerteh–Kuala Krai–Aring 8.

“Begitupun, ia merupakan satu-satunya akses ke Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka yang dikhuatiri boleh mengganggu proses penghantaran bekalan bahan api bagi kegunaan generator elektrik di pusat pelancongan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.

Sharudin berkata, notis kecemasan telah dihantar kepada pihak berkenaan bagi permohonan segera kerja-kerja pembaikan jalan itu.

Beliau berkata, buat masa ini, pelan pengurusan trafik serta penghadang konkrit telah dipasang di lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE

‘Pelantikan Marhamah ibarat pelempang buat Amanah’

Malaysiakini 

Seorang pemimpin Pemuda Amanah mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menamakan pelantikan Senator Zulkifli Hasan dan aktivis Marhamah Rosli, masing-masing sebagai menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), semalam.

Sambil menyifatkan pelantikan itu ibarat ‘satu pelempang’ buat Amanah, exco Pemuda parti itu Azri Abdullah berkata kerajaan boleh memilih pemimpinnya seperti Timbalan Presiden Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat atau Ketua Pemuda Hasbie Muda.

“Perlantikan Marhamah sebagai timbalan menteri agama ni sebenarnya satu pelempang kepada Amanah.

“Takkan la takde satu pun ahli Amanah yang layak terlibat di kementerian agama?” kata Azri di aplikasi X.

Semalam, Anwar mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan Mohd Na’im Mokhtar digugurkan sebagai menteri hal ehwal agama.

Dia mengumumkan timbalannya Zulkifli Hasan menggantikan tempat Na’im manakala Marhamah diangkat mengisi kekosongan jawatan nombor dua di portfolio itu.

Mengulas lanjut Azri berkata dia masih terfikir mengenai pelantikan tersebut.

“Boleh pilih YB Mujahid, YB Suhaizan atau YB Hasbie

“Dari semalam masih terfikir rahmah perlantikan Marhamah,” katanya lagi.

Mujahid dan Hasbie adalah anggota Dewan Negara manakala Suhaizan mewakili Parlimen Pulai.

Mujahid juga pernah menjadi menteri menjaga hal ehwal agama ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kali pertama yang diterajui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2018 hingga 2020.

Pada pengumuman rombakan kabinet semalam, Anwar mengekalkan semua pemimpin Amanah - presiden parti Mohamad Sabu (menteri pertanian dan keterjaminan makanan) dan naib presiden Dzulkefly Ahmad (menteri kesihatan).

Turut dikekalkan adalah naib presiden Adly Zahari (pertahanan) dan Ketua Wanita Athirah Sabu (perumahaan dan kerajaan tempatan).

Peniaga didakwa cabul pelajar perempuan 13 tahun

Alias Abd Rani

MUAR: Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan ketika membeli makanan, minggu lalu.

Tertuduh, Azlan Sa’at, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyentuh pelajar berusia 13 tahun di hadapan sebuah sekolah menengah dalam daerah ini pada jam 6.45 petang, 8 Disember lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan terhadap mangsa sama.

Semua kejadian itu juga berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa diraba di hadapan sekolah ketika membuat pembayaran dan kejadian itu turut disaksikan rakannya.

Keesokannya, mangsa bersama ibunya memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.

Kes disebut semula 23 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Kanak-kanak 5 tahun maut dilanggar MPV di Alor Gajah

Buletin TV3 
Keadaan kenderaan dipandu seorang lelaki yang melanggar mangsa di Jalan Paya Mengkuang. – Foto IPD Alor Gajah
ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Paya Mengkuang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.09 petang itu, mangsa, Muhammad Iman Nazzhan Jasri, dipercayai sedang melintas dari taman perumahan ke seberang jalan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, berkata siasatan awal mendapati ketika melintas, mangsa dilanggar sebuah Toyota Avanza dipandu seorang lelaki berusia 64 tahun yang datang dari arah Paya Mengkuang ke Masjid Tanah.

“Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, keadaan jalan di lokasi ketika kejadian adalah satu lorong dua hala dengan permukaan jalan kering serta cuaca yang baik.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan brek sepanjang kira-kira lima meter, dan kenderaan terbabit mengalami kerosakan di bahagian hadapan. Kita turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu terbabit yang bekerja sebagai penyelia dan didapati negatif bahan terlarang,” katanya.

Ahmad berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat untuk menentukan punca kematiannya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nurul Salina Rosli, di nombor 011-2543 5507 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Pengkhianat dikalangan penjawat awam patut dikenakan hukuman yang paling berat

Sindiket ‘fly’: Dua askar Serbia ditahan di KLIA - sumber
B Nantha Kumar

Dua anggota tentera Serbia telah ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di KLIA pada 12 Disember lalu selepas disyaki masuk ke Malaysia secara tidak teratur, atau sindiket ‘fly’.

Menurut sumber dalaman Klia, mereka ditahan di Balai Berlepas Terminal 1 ketika ke sana untuk pemeriksaan pasport untuk menaiki penerbangan Turkish Airlines ke Istanbul yang dijadualkan berlepas pada jam 11 pagi hari tersebut.

"Pemeriksaan awal mendapati pasport kedua-dua individu berkenaan tidak mempunyai cap masuk terkini ke Malaysia.

"Semakan pergerakan melalui sistem MyIMMS merekodkan kemasukan mereka pada 14 November 2025 melalui KLIA Terminal 2. 

“Perkara itu menimbulkan syak munasabah bahawa mereka telah memasuki negara ini secara sindiket ‘fly’," katanya kepada Malaysiakini.

Sindiket 'fly' ialah sindiket penipuan cop keluar masuk pekerja asing tanpa memerlukan kehadiran warga asing secara fizikal.

Kata sumber lagi, kedua-dua lelaki warga Serbia itu ditahan dan disiasat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka kini ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) akta berkenaan dan ditempatkan di Depot Imigresen, Aras 3, Pejabat Imigresen (Operasi) untuk siasatan lanjut.

"Dua laporan polis dibuat terhadap terhadap dua individu tersebut pada hari yang sama di Balai Polis KLIA," tambah sumber itu lagi.

Ketika dihubungi, Ibu Pejabat Polis KLIA enggan memberikan pengesahan berhubung laporan polis yang dibuat. 

Sementara itu, sumber turut membangkitkan kebimbangan berhubung dua anggota tentera negara luar yang tinggal lebih masa di Malaysia.

"Kenapa mereka tinggal lebih masa di sini. Apa niat mereka?

"Kemudian yang paling penting, siapa pegawai yang membantu (kemasukan) mereka?" soalnya.

Ketika dihubungi, jurucakap AKPS mengesahkan penahanan tersebut.

“AKPS mengesahkan tangkapan dua individu seperti yang dilaporkan dan perkara itu sedang dalam siasatan," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, AKPS enggan mengesahkan sama ada individu berkenaan merupakan anggota tentera Serbia.

Malaysiakini telah menghubungi Konsulat Serbia di Kuala Lumpur dan masih menunggu maklum balas mereka.

Kedah: Cucu tikam nenek, tetak moyang didakwa alami gangguan perasaan

OTHMAN YAHAYA
Polis menjalankan siasatan di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, Baling yang menjadi lokasi wanita warga emas maut ditikam cucu sendiri semalam.
BALING – Lelaki berusia 21 tahun yang ditahan selepas dipercayai menikam mati neneknya dan menetak moyangnya hingga cedera di Kampung Baru Bakai, di sini petang semalam didakwa mengalami gangguan perasaan.

Cucu mangsa yang juga adik perempuan suspek, Nur Balqis Zylkifly, 19, berkata, abangnya sering dilihat bercakap sendirian selain kerap berhalusinasi sejak empat tahun lalu.

“Penduduk memang tahu abang ada masalah gangguan perasaan tetapi dia tidak pernah ganggu orang.

“Kami sebagai ahli keluarga juga tidak pernah diganggu selama ini kerana dia lebih banyak menghabiskan masa berseorangan di dalam bilik daripada bergaul dengan orang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Baru Bakai, awal pagi ini.

Dalam kejadian tragis itu, Halimah Hashim, 64, maut akibat ditikam suspek, manakala ibunya, Mariam Ariffin, 84, cedera akibat ditetak.

Menurut Nur Balqis, selama ini dia dan abangnya lebih banyak tinggal bersama nenek berbanding rumah ibu mereka, Muksinah Hanipa, 44, di Penaga, Pulau Pinang.

“Memang hubungan kami agak rapat dengan nenek dan moyang, tambahan pula ibu telah berkahwin kali kedua selepas bercerai dengan bapa membuatkan kami memilih untuk tinggal di kampung,” ujarnya.

Menceritakan kejadian, katanya, abangnya mula bertindak meracau pada pagi semalam serta turut menghubungi ibu dan memintanya segera datang ke rumah nenek.

“Emak memaklumkan dia tidak mempunyai wang untuk pulang ke kampung dan abang berkata jika tidak balik segera nanti emak akan menyesal.

“Saya yang mendengar perbualan mereka kemudian bertindak membawa emak pulang berjumpa abang sebelum menghantar emak kembali ke Penaga pada sebelah petang,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, sewaktu berada di rumah ibunya pada pukul 6.44 petang semalam di Penaga, dia menerima panggilan telefon daripada bapa saudara memaklumkan abangnya telah menetak moyang mereka dan menikam mati nenek.

“Abang dikatakan bertindak sedemikian selepas dimarahi moyang dan sebaik ditegur nenek kerana mencederakan moyang, dia bertindak lebih ganas dengan menikam nenek di bahagian belakang badan yang membawa kepada kematiannya.

“Nasib baik abang tidak mengapa-apakan seorang lagi ibu saudara yang juga orang kelainan upaya (OKU) berusia 28 tahun yang tinggal bersama nenek dan moyang di rumah sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kedah: Nenek maut ditikam cucu di Baling

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas maut manakala ibunya cedera parah akibat ditikam cucunya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil malam tadi.

Ketua Polis Baling Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira 7 malam, lapor Sinar Harian.

Katanya, mangsa yang maut berusia 60-an manakala ibunya yang parah dalam serangan itu berusia 80-an.

“Mangsa yang maut mempunyai kesan tikaman di belakang badan manakala mangsa yang parah mempunyai kesan tetak di belakang leher.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan dan mayat mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, seorang lelaki yang disyaki suspek kejadian itu turut ditahan dan polis akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Baling pagi ini untuk membantu siasatan.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Guru, remaja dicekup dalam tandas masjid

KOSMO
Kedua-dua suspek diberkas selepas melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam tandas Masjid Syarif Cindakir semalam. - Istimewa
JAKARTA – Seorang guru sekolah menengah dan remaja lelaki ditahan selepas mereka dicekup melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam tandas sebuah masjid di Padang, wilayah Sumatera Barat, lapor portal berita INews. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 10.45 pagi (waktu tempatan) di Masjid Syarif Cindakir semalam. 

Perbuatan tidak senonoh itu terbongkar selepas penduduk tempatan dan pentadbir masjid curiga dengan tingkah laku mereka. 

Penduduk membuat laporan kepada pihak berkuasa sebelum menyerbu tandas masjid bersama pegawai polis. 

Seorang suspek dikenal pasti sebagai guru sekolah menengah berusia 58 tahun, manakala suspek kedua merupakan remaja berumur 18 tahun. 

Kedua-dua suspek diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. – AGENSI

Isu 'pemain warisan' - Jawatankuasa bebas nasihat FAM segera lapor polis

Malaysiakini 

Laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang menyiasat kontroversi pemain warisan menasihatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya segera membuat laporan polis, selain mengambil tindakan tatatertib dalaman bagi memulihkan wibawa pengurusan badan induk bola sepak negara itu.

IIC yang diketuai bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif berkata langkah-langkah tersebut penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan untuk memulihkan kredibiliti serta integriti operasi FAM.

"Kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit melibatkan dakwaan pemalsuan dan penyelewengan dokumen rasmi.

"Pemalsuan merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan Malaysia. IIC tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk menyiasat perkara yang merupakan kesalahan jenayah.

"Pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyiasat kesalahan jenayah seperti ini di Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Oleh itu, IIC mengesyorkan agar FAM segera membuat laporan polis bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan penuh dan wajar untuk menentukan punca pemalsuan yang disyaki terhadap dokumen yang dipertikaikan serta mengenal pasti pihak-pihak yang bertanggungjawab," kata laporan itu.

Selain Md Raus, jawatankuasa bebas ini juga dianggotai bekas hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Md Said, bekas ketua pengarah Mampu Dr Yusof bin Ismail dan peguam kanan Thavalingam C Thavarajah.

Tindakan tatatertib

IIC turut mengesyorkan tindakan tatatertib dalaman terhadap setiausaha agung FAM, Noor Azman Rahman (gambar bawah) yang didakwa mengarahkan dokumen dipertikaikan dikemukakan kepada Fifa tanpa mengesahkan kesahihannya.

Noor Azman yang dilantik ke jawatan setiausaha agung FAM pada Ogos 2022 digantung tugas serta-merta pada Oktober 2025 susulan kontroversi pemain warisan ini.

Menurut jawatankuasa itu, tindakan tersebut dibuat walaupun rekod kelahiran asal bertulis tangan tidak dapat diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Memandangkan tanggungjawab yang wujud secara inheren dalam kedudukannya sebagai Ketua Pegawai Pentadbiran FAM, terdapat jangkaan pentadbiran bahawa dokumen yang dikemukakan kepada pihak luar, khususnya yang melibatkan isu penting berkaitan kelayakan tujuh pemain untuk mewakili Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia, mestilah melalui penelitian dalaman yang sewajarnya.

“Namun, IIC mendapati perkara ini tidak dilakukan dan hal tersebut merupakan satu kecuaian dalam pelaksanaan usaha wajar (due diligence) serta kegagalan mematuhi prosedur yang sepatutnya (sama ada secara tersirat mahupun dinyatakan secara jelas),” kata IIC.

Sehubungan itu, IIC mengesyorkan agar Jawatankuasa Tatatertib FAM memulakan prosiding dalaman bagi menentukan sama ada wujud kegagalan pengawasan dan usaha wajar, serta sama ada tindakan pembetulan atau pentadbiran perlu diambil.

Bagaimanapun, syor tersebut, kata laporan IIC dibuat “tanpa prejudis” dan tidak bermaksud mengaitkan penglibatan peribadi Noor Azman dalam dakwaan pemalsuan.

Dalam kesimpulannya, IIC memaklumkan ia tidak dapat menentukan secara muktamad pihak yang memalsukan dokumen berkenaan berikutan kegagalan Notari Awam memberi kerjasama dan ketidakmampuan mengesan ejen tujuh pemain terbabit walaupun usaha munasabah telah dibuat.

Namun, jawatankuasa itu menegaskan wujud “kegagalan serius dari segi pengawasan, usaha wajar dan kawalan pentadbiran dalam pengurusan FAM”, yang membolehkan insiden tersebut berlaku tanpa dikesan atau dicegah.

IIC juga berpandangan kes Fifa terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan merupakan perkara berkepentingan awam, dan mengesyorkan laporan penuh didedahkan kepada umum.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima laporan siasatan jawatankuasa bebas itu petang tadi.

Pemangku presiden FAM, Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan Jawatankuasa Eksekutifnya akan mengadakan mesyuarat khas pada 22 Disember ini bagi membincangkan dapatan laporan berkenaan secara terperinci sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

Pada 10 Dis lalu, Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah pegawai FAM perlu bertanggungjawab sekiranya terbukti melakukan salah laku berhubung dakwaan pemalsuan dokumen berhubung isu itu.

Baginda turut menyindir FAM, mempersoalkan sumbangan badan induk itu terhadap pembangunan bola sepak tempatan.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebelum ini memulakan siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Pada 26 Sept, Fifa memutuskan pemain-pemain itu bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Siasatan Fifa mendapati FAM mengemukakan dokumen yang didakwa dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain berkenaan, sekali gus membenarkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun, yang menyaksikan Malaysia menewaskan Vietnam 4-0.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda 350,000 franc Swiss (sekitar RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

JPJ sita Lamborghini RM4 juta tiada cukai jalan

FMT Reporters

Pemilik gagal baharui cukai jalan sejak Disember tahun lalu berjumlah RM35,760.
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli, berkata 706 kereta mewah disita bernama pic 161225
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata 706 kereta mewah disita sejak Op Luxury bermula 1 Julai lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Lamborghini Huracan bernilai lebih RM4 juta antara 78 kenderaan mewah disita kerana tidak mempunyai perlindungan insurans dan cukai jalan, susulan pelaksanaan Op Luxury 4.0 di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli, berkata dalam operasi bermula Jumaat hingga semalam, kenderaan mewah berkenaan tidak baharui cukai jalan sejak Disember tahun lalu dengan tunggakan RM35,760.

“Sejak Op Luxury dijalankan pada 1 Julai lepas, sebanyak 706 kenderaan mewah disita dan semuanya disimpan di depoh sitaan JPJ di seluruh negara mengikut Seksyen 64 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan-peraturan berkaitan,” katanya menurut Bernama pada sidang media di depoh sitaan JPJ Kuala Lumpur.

Aedy Fadly berkata, pihaknya turut mengesan kesalahan lain antaranya tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan milik kenderaan lain.

Kenderaan disita hanya boleh dibawa keluar selepas pemilik menyelesaikan saman, memperbaharui cukai jalan serta perlindungan insurans , dan pihak JPJ tidak akan berkompromi terhadap pihak yang culas.

Zaliha, Na'im gugur dari kabinet Anwar

Malaysiakini 
 
Dua menteri di Jabatan Perdana Menteri digugurkan daripada kabinet dalam rombakan kabinet besar-besaran oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Mereka ialah Zaliha Mustafa (Wilayah Persekutuan) dan Mohd Na'im Mokhtar (agama).

Zaliha digantikan oleh Hannah Yeoh yang sebelum ini menerajui kementerian belia dan sukan, manakala Na’im digantikan oleh timbalannya Zulkifli Hasan.

Anwar Ibrahim ketika mengumumkan kabinetnya petang ini

Pengumuman itu dibuat di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya oleh Anwar hari ini atas alasan bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan lebih berkesan.

Sebelum ini, kabinet menyaksikan tiga kekosongan portfolio menteri, iaitu menteri ekonomi yang disandang Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick. 

Ketiga-tiga jawatan itu kosong susulan peletakan jawatan mereka. 

Sementara itu, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang disandang Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, kosong selepas dia tamat tempoh pelantikan sebagai senator.

Senarai menteri, timbalan menteri baru

Malaysiakini 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan anggota pentadbiran Kerajaan Madani yang baharu di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Pelantikan itu merupakan langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

“Ini supaya Kabinet dapat bekerja sebagai satu pasukan, menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya hanya akan umumkan menteri-menteri yang ditukarkan portfolio dan pelantikan baharu sahaja. Yang kekal atau lama tidak akan saya umumkan,” katanya.

Pengumuman khas itu disiarkan secara langsung di stesen televisyen, serta pada platform media sosial termasuk Facebook rasmi Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

Menteri

Hannah Yeoh - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)

Mustafa Sakmud - Menteri Hal Ehwal Sabah & Sarawak

Zulkifli Hasan - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Johari Ghani - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri

Steven Sim - Menteri Usahawan dan Koperasi

Akmal Nasrullah Mohd Nasir - Menteri Ekonomi

Mohammed Taufiq Johari - Menteri Belia dan Sukan

Arthur Joseph Kurup - Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam

Noraini Ahmad - Menteri Perladangan dan Komoditi

R Ramanan - Menteri Sumber Manusia

Timbalan Menteri

Liew Chin Tong - Timbalan Menteri Kewangan

Marhamah Rosli - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Mohamad Alamin - Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Sim Tze Tzin - Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri

Lo Su Fui - Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)

Dua anak perempuan tak sanggup jadi mangsa amang seksual bapa

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
 Duda tidak mengaku cabul anak perempuan gagal bayar ikat jamin. FOTO Alias Abd Rani
Duda tidak mengaku cabul anak perempuan gagal bayar ikat jamin. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Seorang duda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas dua anak perempuannya bertindak membuat laporan polis kerana tidak tahan menjadi mangsa amang seksual lelaki itu, bulan lalu.

Tertuduh berusia 60 tahun yang kematian isteri sejak beberapa tahun lalu itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mohd Khari Haron.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Kluang, 3.30 petang, 15 November lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 16, tambahan hukuman, penjara maksimum lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.

Berdasarkan laporan dibuat, ketika kejadian mangsa berada di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi tertuduh yang bertindak melakukan perbuatan tidak senonoh.

Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan bapanya akhirnya hadir ke Balai Polis Kampung Gajah, Kluang untuk membuat laporan.

Siasatan polis mendapati, bukan mangsa seorang yang diperlakukan sebegitu sebaliknya keempat-empat kakak perempuan turut menerima nasib sama namun setakat ini, hanya dua laporan dibuat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Susulan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru untuk sebutan semula serta mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin namun gagal membayarnya sebelum dibawa ke Pusat Koreksional Muar bagi menjalani tahanan sementara.

Pada masa sama, mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula 11 Februari ini untuk serahan dokumen dan juga lantikan peguam tertuduh.

Kanak-kanak ditemui tidak bernyawa, dibaluti selimut

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my
HILMI (tengah) puji semangat  ditunjukkan penyelamat.
HILMI (tengah) puji semangat ditunjukkan penyelamat.
Hulu Selangor: Dalam pekat malam hanya diterangi lampu suluh penyelamat, pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kapten Hilmi Husman menemui mayat kanak-kanak yang tertimbus dalam keadaan masih dibaluti selimut.

Tidak jauh dari situ, satu lagi penemuan meruntun jiwa apabila beliau menemui mayat pasangan ahli keluarga dalam keadaan berpelukan, seolah-olah cuba melindungi satu sama lain di saat-saat akhir hayat.

Itu antara memori tragis sukar dilupakan beliau setiap kali mengenangkan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada 2022.

"Ia pengalaman yang paling sukar saya lupakan. Ia tetap bermain di fikiran sehingga kini," katanya yang ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Hulu Selangor.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih Program Akuatik di Akademi Latihan Pertahanan Awam (ALPHA), Bangi, Selangor.

Mengimbas semula tragedi, pada malam sebelum kejadian, beliau baru sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat pengoperasian bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Selangor.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, saya terus mengarahkan anggota menyediakan peralatan sesuai dan menghubungi polis untuk pengesahan kejadian.

"Maklumat awal menyatakan hampir 100 mangsa dipercayai terbabit dalam kejadian itu. Angka mengejutkan dan menandakan skala tragedi amat besar.

"Sebaik tiba di lokasi, situasi gelap gelita dan penuh ketidakpastian. Hati saya ketika itu hanya fokus untuk mencari dan menyelamat secepat mungkin. Ini bencana terbesar pertama yang saya hadapi," ujarnya.

Sebagai komander operasi APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, beliau berada di lokasi sepanjang sembilan hari operasi penuh dijalankan.

Antara cabaran paling besar adalah keadaan geografi lokasi kejadian dan kedalaman mangsa ditimbus tanah runtuh.

"Laluan dipenuhi tanah selut, pencahayaan sangat terhad, dan kedudukan mangsa terlalu dalam. Semua ini melambatkan pencarian," katanya.

Walaupun berdepan risiko dan keletihan ekstrem, beliau memuji semangat luar biasa semua pasukan penyelamat.

"Momen paling menyentuh hati ialah melihat semua pasukan penyelamat tanpa mengira agensi bekerjasama tanpa mengenal penat demi membawa keluar setiap mangsa," katanya.

Bagi Kapten Hilmi, pengalaman itu bukan sekadar tugasan operasi, tetapi detik yang mengubah perspektif hidupnya tentang erti kemanusiaan dan pengorbanan.

4 individu ditahan halang tugas polis dalam kes belasah pelajar madrasah

Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Empat individu dipercayai ahli keluarga mangsa ditahan selepas dilaporkan cuba menghalang tugas polis ketika pasukan keselamatan menjalankan tangkapan terhadap seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes membelasah pelajar madrasah di Telipok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, semua individu terbabit didakwa bertindak menghalang pergerakan kenderaan polis, termasuk menggunakan sebatang kayu golf, ketika anggota polis sedang melaksanakan tugasan mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai polis sedang menjalankan tugas bagi menangkap suspek untuk membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak yang telah dilaporkan sebelum ini.

“Siasatan awal mendapati beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa bertindak menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga menjejaskan tugas polis.

“Pihak polis telah membuat tangkapan ke atas empat lelaki berusia antara 30 hingga 50-an serta merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan pihak polis akan memohon perintah reman ke atas semua suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, selain mengarahkan mereka menjalani ujian saringan air kencing dan merakam percakapan saksi kejadian.

Semalam, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki memukul sekumpulan remaja di sebuah premis, termasuk menggunakan topi keledar, selain dilihat menampar dan menendang mangsa.

Rombakan besar: Kabinet Kerajaan Madani yang baru akan diumumkan petang ini

KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan membuat satu pengumuman khas berkaitan Kabinet Kerajaan Madani pada 3.30 petang ini.

Menerusi satu kenyataan ringkas, Anwar berkata, Kerajaan Madani akan terus memberi keutamaan untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Insya-Allah, petang ini saya akan membuat pengumuman khas terkait Kabinet Kerajaan Madani,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan komitmen kerajaan untuk terus menambah baik sistem pentadbiran negara bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi impak positif kepada rakyat.- KOSMO! ONLINE

Pergaduhan depan restoran di P Pinang, 6 lelaki ditahan

FMT Reporters

Polis berkata punca kejadian dipercayai akibat pertikaian urusan jual beli kereta.
Tangkap layar video tular menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah restoran di Jelutong, Pulau Pinang semalam.
PETALING JAYA: Polis menahan enam lelaki kerana disyaki terlibat dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Jalan Lenggong, Jelutong, Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian kira-kira 7.30 malam di hadapan sebuah restoran itu melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan.

Katanya, punca kejadian dipercayai akibat pertikaian urusan jual beli kereta di antara dua kumpulan yang terlibat.

“Siasatan polis terhadap kejadian itu membawa kepada penangkapan enam lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 25 hingga 28 tahun.

“Empat suspek direman tiga hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan manakala dua lagi dibebaskan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Terdahulu tular video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah restoran di Pulau Pinang. Video itu turut memaparkan seorang lelaki dipukul menggunakan topi keledar.

Lelaki ditahan hentak, sepak pelajar madrasah di Kota Kinabalu

KOSMO!
Tangkap layar video yang dimuat naik Caprice di Instagram memaparkan kejadian tersebut.
PETALING JAYA – Seorang lelaki diberkas bagi membantu siasatan polis susulan tular satu rakaman video yang memaparkan perbuatan mencederakan menggunakan senjata serta penderaan melibatkan pelajar sebuah madrasah di Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu selepas rakaman video berkenaan tular di media sosial.

Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku pada kelmarin, kira-kira pukul 11.55 malam, di sebuah premis perniagaan sekitar Kota Kinabalu.

“Kejadian melibatkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis menangkap seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Kasim, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu tular sebuah video dimuat naik penyanyi rap dan aktivis, Caprice di akaun Instagramnya memaparkan kejadian tersebut.

Kelihatan video itu merakamkan seorang lelaki berpakaian serba hitam menghentak menggunakan topi keledar, memukul dan menendang beberapa pelajar yang sedang duduk di balkoni. – KOSMO! ONLINE

Wanita gigit mata kail ketika makan ikan goreng di restoran

Ingatkan tulang! Wanita gigit mata kail ketika makan di restoran

KOSMO!
SEORANG wanita tergigit mata kail ketika makan ikan goreng. - Foto Shin Min Daily News
SINGAPURA – Seorang wanita yang sedang leka menjamu selera di sebuah restoran di Yishun, Singapura terkejut apabila tergigit mata kail ikan sepanjang 2.5 sentimeter, lapor portal berita MSNews hari ini.

Dia tergigit mata kail yang tersembunyi di dalam ikan goreng yang dipesannya, menyebabkan kesakitan  dan bengkak, baru-baru ini.

Menurut portal berita Shin Min Daily News, wanita tersebut sedang makan malam bersama rakan sekerjanya apabila dia tiba-tiba merasakan tusukan tajam di dalam mulut ketika gigitan pertama.

Pada mulanya, wanita itu menyangka tergigit tulang ikan yang keras, sehingga dia mengeluarkan objek tersebut dan menyedari ia sebenarnya adalah mata kail daripada logam.

“Jika tertelan, ia boleh menyebabkan kecederaan serius atau malah kematian,” tambahnya.

Mereka segera memaklumkan kejadian itu kepada kakitangan restoran selepas merakamkan gambar sebagai bukti.

Pekerja restoran kemudian memohon maaf dan menawarkan untuk menggantikan hidangan tersebut, namun mereka menolak kerana insiden itu telah menjejaskan selera masing-masing. – AGENSI