Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Menteri pelancongan melahirkan kebimbangan dengan tindakan Dewan Pemuda PAS melaksanakan pemeriksaan ke atas remaja yang melakukan maksiat sempena hari Valentine Day pada malam 14hb Feb lalu; di antara alasannya ialah kebimbangan tindakan ini akan mengurangkan kehadiran pelancong ke Malaysia.
Memandangkan industri pelancongan domestik berkembang dengan pesat kini, dicadangkan satu lagi produk baru industri negara iaitu pelancongan politik.
Selepas PRU ke 12, kita telah mengadakan 15 kali PRK, dengan yang ke 16 akan berlangsung di Kerdau - menyaksikan pelbagai aktiviti yang turut sama menjana ekonomi setempat; dan ini merupakan tarikan baru bagi menjana ekonomi.
Semua bersetuju bahawa budaya politik Malaysia ialah menimbunkan pelbagai projek bilamana adanya PRK; dan keadaan ini sangat menggembirakan penduduk sesuatu kawasan.
Projek yang sukar diperolehi pada waktu biasa dengan pelbagai alasan, akan dapat dengan mudah bilamana adanya PRK; bahkan pemimpin dengan bangga mengistiharkan peruntukan jutaan ringgit bagi mendapatkan sokongan pengundi pada waktu ini.
Maka tidak hairan kalau ada penduduk berdoa agar wakil rakyat di kawasannya meninggal dunia lebih awal, kerana ini akan menguntungkan penduduk di kawasan berkenaan.
Apa yang menarik juga ialah kedatangan ‘pelancong politik’ pada hari penamaan calon, hari pengundian dan hari-hari berkempen; keadaan ini tentunya akan meningkatkan pendapatan peniaga dan penduduk setempat.
Bayangkan sewa rumah untuk petugas, yang biasanya kalau kawasan Kerdau, Galas, Tenang dan Batang Ai yang hanya RM150.00-RM200 sebulan telah mencecah ke RM4,000 sebulan; maka ia benar-benar mendatangkan hasil lumayan kepada penduduk setempat.
Demikian juga industri makanan, restoran dan percetakan tentulah pendapatan mereka lebih lumayan sepanjang tempoh tersebut. Demikian juga kontraktor, pencacai politik murahan akan mendapat habuan masing-masing dari wang rakyat ini.
Di atas nama menghadapi PRK, ianya adalah ‘permit mudah’ bagi menghalalkan perbelanjaan wang negara ini. maka produk ini seharusnya ‘dikembangkan’ supaya ianya menjadi produk tetap sepanjang 5 tahun tempoh PRU.
Kerajaan boleh mencadangkan beberapa cadangan bagi suasana ini dapat berterusan sepanjang tempoh tersebut, dengan meletakan syarat kepada bakal-bakal calon dalam PRU.
Antara kategori yang boleh dicadangkan ialah:
1. Calon mesti berumur 70 tahun ke atas.
2. Mempunyai masalah kesihatan yang serius, dan yang berulang alik ke hospital digalakkan, dicadangkan ada KPI bagi jumlah rawatan diterima.
3. Mereka yang mempunyai kencing manis lebih daripada bacaan angka 20 amat digalakkan.
4. Mempunyai masalah ginjal, dan sekurang-kurangnya dua kali seminggu adalah lebih baik. Kerana setiap kali berita YB masuk hospital, akan dapat liputan media, dan ini dapat memberi peluang kepada penduduk untuk membuat persiapan awal.
5. Mempunyai masalah jantung; dan mereka yang belum menjalani pembedahan jantung digalakkan.
6. Calon yang ada bebanan hutang, kerana hal ini akan memberi peluang kepadanya untuk songlap duit rakyat, dan melakukan rasuah; lalu mahkamah menjatuhkan hukuman yang akan menghilangkan kelayakan sebagai wakil rakyat; dan PRK akan diadakan.
7. Kerajaan disarankan menerima terus mana-mana kerusi yang diistiharkan kosong oleh Speaker, kerana apa yang penting PRK akan menjana ekonomi untuk rakyat-barulah sesuai dengan slogan rakyat didahulukan.
8. Mereka yang mempunyai penyakit kulit seperti panau, kurap dan gout tidak digalakkan bertanding, kerana ianya tidak akan menjadi berita penting bagi satu-satu kawasan pilihanraya.
Seandainya cadangan tersebut dianggap terlalu ekstrem, maka dicadangkan SPR memikirkan satu kaedah baru bagi memperbaiki sistem politik di Malaysia agar rakyat lebih tenang menghadapi hari-hari mereka.
1 ulasan:
CADANGAN YG BERNAS DARIPADA SEORG PEMIMPIN PAS,SOKONG 100%.SEBELUM DIKUATKUASA OLEH SPR SEBAIKBAIKNYA CADANGAN TERSBT DIPRAKTIKKAN DI KELANTAN DAN KEDAH TERLEBIH DAHULU,SEBAB NANTI PRK AKAN DAPAT MEMBANTU PENIAGA, TUAN RUMAH, HOTEL DAN RUMAH TUMPANGAN AKAN DISEWA DISAMPING PENIAGA AKAN MENDPT PULANGAN LUMAYAN TERUTAMA DI KELANTAN SEBAB SOSIO EKONOMI PENDUDUKNYSA RENDAH DAN SECARA TIDAK LANGSUNG MEMBANTU MENINGKAT PENDAPATAN PENDUDUK KELANTAN.ITULAH KEBIJAKSANAAN PEMIMPIN PAS JADI TIDAK HERANLAH 20THN MEMERINTAH KELANTAN KITA DPT SAKSI KEMAJUAN DAN PEMBANGUNAN YG TELAH BERJAYA DIKECAPI OLEH RAKYAT KELANTAN.PANDAI BERCERAMAH PAGI SIANG MALAM DAN SUBUH, KERJA MALAS
Catat Ulasan