"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki Bangladesh didakwa 5 pertuduhan cabul di stesen MRT, LRT

FMT Reporters

Suspek 41 tahun ditahan 27 April lalu di pekarangan Stesen MRT Maluri.
cabul lrt mrt
Lelaki Bangladesh dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini kerana mencabul wanita.
PETALING JAYA: Seorang lelaki Bangladesh didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan mencabul kehormatan wanita di beberapa stesen pengangkutan awam sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata suspek berusia 41 tahun ditahan pada 27 April lalu kira-kira 11.45 pagi di pekarangan Stesen MRT Maluri.

Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam lima kejadian cabul membabitkan mangsa wanita berusia antara 21 hingga 28 tahun.

“Semua kejadian dilaporkan berlaku di beberapa lokasi iaitu Stesen LRT Chan Sow Lin, Stesen MRT Maluri dan Stesen MRT Taman Midah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek berdepan lima pertuduhan bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan mangsa yang berbeza.

“Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” katanya.

Fadil berkata, pertuduhan terhadap suspek dibuat hari ini di Mahkamah Kuala Lumpur selepas kertas siasatan dilengkapkan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada ketika menggunakan pengangkutan awam dan segera melaporkan kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa.

“Polis akan terus mempertingkat rondaan dan pemantauan di lokasi tumpuan awam bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya.

Pasangan remaja kantoi gugur janin

Komplot gugur janin kekasih 17 tahun terbongkar
Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my

Melaka: Tindakan seorang remaja perempuan mendapatkan rawatan di hospital akibat pendarahan membongkar tindakannya cuba menggugurkan kandungan berusia lima bulan dengan mengambil pil gugur janin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka pada jam 6.50 petang, 25 April lalu.

Beliau berkata, 'pesakit' berusia 17 tahun 10 bulan itu tiba dalam keadaan berlumuran darah dan dipercayai mengalami pendarahan selepas mengambil pil gugur janin selain berdepan komplikasi apabila uri gagal dikeluarkan sepenuhnya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati remaja itu bersama teman lelaki berusia 18 tahun merancang untuk menggugurkan kandungan.

"Selepas kejadian, remaja lelaki terbabit dipercayai mengambil janin di rumah kekasihnya dan merancang menanamnya di belakang rumah.

"Bagaimanapun, janin itu disembunyikan terlebih dahulu di dalam kereta Honda City di kediamannya," katanya tadi.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek lelaki kira-kira jam 11.40 malam pada hari sama bagi membantu siasatan.

"Manakala remaja perempuan terbabit ditahan kira-kira jam 3.15 petang kelmarin, sebaik sahaja dia keluar dari hospital," katanya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ujarnya, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Melaka dan arahan diperoleh untuk mendakwa suspek lelaki di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) manakala suspek perempuan di bawah Seksyen 315 KK.

"Kedua-dua suspek dijadualkan dituduh pada Jumaat ini di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih serta sentiasa mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum berkongsi sesuatu maklumat di media sosial," katanya.

Penungang motosikal maut dirempuh kereta masuk laluan bertentangan

FMT Reporters

Kemalangan di Jalan 17/21 Petaling Jaya petang tadi menyebabkan mangsa maut ditempat kejadian.
Kereta salah potong line langgar motor
Tangkap layar video tular menunjukkan kereta Proton X70 hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah motosikal di Petaling Jaya.
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan 17/21 pada petang tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat berkata kemalangan pada jam kira-kira 1.45 petang itu melibatkan sebuah kereta Proton X70 dipandu seorang lelaki warga emas berusia 70an dan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 20an.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton X70 itu hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal dinaiki mangsa.

“Kemalangan ini menyebabkan penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Proton X70 tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pemandu kereta itu dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut. Ujian saringan awal air kencing dan ujian alkohol terhadap lelaki itu juga didapati negetif.

Menurutnya, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shamsudin juga meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik Mohd Sivam@Siva Muniandy di talian 03-7966 2222 bagi bantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video kemalangan tersebut juga tular di media sosial.

Wanita ditemukan maut di kondominium

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Wanita berusia 34 tahun ditemui meninggal dunia di Kondominium Kepong Central, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan dari Hospital Selayang.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau tanda pergelutan pada tubuh mangsa.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dari Hospital Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan privasi keluarga mangsa.

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sub Inspektor Basir Ahmad di talian 017-2993747 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

15 PATI warga Indonesia ditahan, pistol yang dileraikan serta 5 butir peluru turut dirampas

NOR AINNA HAMZAH
Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan masuk 15 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia, termasuk seorang tekong, di perairan ini awal pagi tadi. -IHSAN MARITIM
Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan masuk 15 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia, termasuk seorang tekong, di perairan ini awal pagi tadi. -IHSAN MARITIM
PORT DICKSON – Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan masuk 15 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia, termasuk seorang tekong, di perairan ini awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, tangkapan tersebut dilakukan hasil maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan.

Menurut beliau, dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah berjaya memintas sebuah bot pancung yang mencurigakan tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri.

“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun berada di atas bot berkenaan. Kesemua mereka ditahan selepas gagal mempamerkan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah bagi memasuki
negara ini.

“Selain tangkapan individu, pemeriksaan rapi ke atas bot tersebut turut menemukan sepucuk pistol jenama Colt yang telah dileraikan bersama lima butir peluru hidup,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Salehuddin lagi, kesemua rampasan dan individu yang ditahan telah dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Akta Senjata Api 1971.- KOSMO! ONLINE

4 Undang bawa krisis adat N Sembilan ke mahkamah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga Undang luak Negeri Sembilan dan bekas Undang Luak Sungai Ujong Mubarak Dohak yang mempertikaikan pemecatannya memfailkan saman terhadap kerajaan negeri bagi menuntut keputusan mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu digantung.

Menurut Sinar Harian, saman berkenaan difailkan menerusi Tetuan Deidra Sharona & Co, di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini.

Saman itu difailkan Mubarak, Undang Jelebu Maarof Mat Rashad; Undang Johol Muhammad Abdullah; Undang Rembau Abdul Rahim Yasin dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri serta Datuk Shahbandar Sungai Ujong Badarudin Abdul Khalid.

Mereka menamakan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin sebagai defenden pertama dan DKU serta kerajaan Negeri Sembilan masing-masing sebagai defenden kedua dan ketiga.

Dalam saman itu, plaintif memohon deklarasi bahawa mereka berhak mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April 2026 di Istana Besar Seri Menanti.

Mereka turut memohon perintah supaya Raja Norazli dan DKU mengemukakan serta menyerahkan minit mesyuarat tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.

Selain itu, plaintif menuntut supaya mahkamah menggantung pelaksanaan sebarang penguatkuasaan oleh defendan-defendan yang berkaitan dengan keputusan Mesyuarat Khas DKU 17 April 2026 sehingga minit mesyuarat berkenaan dikemukakan dan diserahkan kepada mereka.

Permohonan itu dijadualkan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban pada 13 Mei, jam 9 pagi secara fizikal.

Krisis adat di Negeri Sembilan bermula Pada 17 April lalu apabila DKU yang dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerima pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Undang Luak Sungai Ujong atas alasan melanggar adat dan hukum syarak.

Dua hari selepas itu, tiga undang termasuk Mubarak mengadakan sidang media khas yang mengumumkan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Namun, kerajaan negeri menolak pengisytiharan itu dengan menyatakan bahawa Mubarak sendiri telah pun dilucutkan daripada jawatannya pada tahun sebelumnya.

Krisis politik itu semakin memuncak selepas semua 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun pada 27 April, susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri.

Hari ini, Majlis Dato Lembaga Adat Sungai Ujong mengumumkan Faris Johari, 28, dilantik sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu, sekali gus menjadi pemegang ke-11 jawatan ketua adat di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong dalam kenyataan berkata pelantikan Faris adalah tidak sah dan salah dalam aturan adat Sungei Ujong.

Pekerja Bangladesh didenda RM10,000 guna Mykad beli petrol subsidi Budi95

Bernama
Seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku memiliki dan menggunakan MyKad milik dua rakyat Malaysia untuk tujuan pembelian petrol bersubsidi Budi MADANI RON95 (BUDI95), bulan lepas.

Md Jakir Hossain, 50, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Lelaki itu didakwa menggunakan kad pengenalan milik dua individu yang bukan kepunyaannya, tanpa kuasa dan alasan sah bagi tujuan pembelian petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang, di Kuala Lumpur pada 8 Feb hingga 22 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 25(1)(o), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah mengenakan denda RM5,000 atau penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan. Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya bagi kedua-dua kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami mangsa daripada kuota petrol bersubsidi mereka.

"Tertuduh mempunyai pilihan untuk memulangkan kad pengenalan tersebut namun tetap meneruskan pembelian petrol walaupun mengetahui MyKad itu bukan miliknya," katanya.

Sementara itu, peguam Low Carmen yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda yang ringan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan telah insaf atas perbuatannya.

Berdasarkan ringkasan kes daripada siasatan polis, pengadu yang merupakan pemilik MyKad yang bekerja sebagai akauntan mendapati baki subsidi BUDI95 miliknya berkurang daripada 94.937 liter kepada 44.637 liter pada 22 April lepas dan beliau mengesyaki kad pengenalannya yang hilang sehari sebelumnya telah disalahgunakan untuk pembelian minyak tanpa izin di sebuah stesen minyak di Jalan Pahang.

Semakan dengan pusat khidmat Budi Madani mengesan lima transaksi mencurigakan menggunakan kad tersebut.

Susulan semakan rakaman kamera litar tertutup, seorang lelaki, iaitu tertuduh berjaya ditahan dan pemeriksaan di bilik sewanya menemukan dua kad pengenalan milik pengadu serta seorang lagi individu.

- Bernama

Lelaki mengamuk guna dua pisau ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Seorang lelaki tempatan yang bertindak mengamuk sambil memegang dua pisau di kawasan lot kedai Damansara Perdana, di sini, ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 malam semalam.

Menurutnya, susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Damansara bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati seorang lelaki tempatan berada di tangga berhampiran premis sambil memegang dua pisau.

"Anggota bertindak segera menghampiri suspek dan mengarahkannya menyerahkan senjata berkenaan sebelum lelaki itu berjaya ditahan tanpa sebarang insiden tidak diingini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga 7 Mei ini.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian," katanya.

Murid maut dilanggar van di depan sekolah

ADNAN IBRAHIM
SEORANG murid perempuan SK Sri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat maut selepas dilanggar sebuah Van membawa barang dalam kejadian tengah hari tadi. Foto IHSAN PEMBACA
BATU PAHAT – Kegembiraan seorang murid perempuan pulang dari sekolah bertukar tragedi apabila dia maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van membawa barang dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Maimon, Parit Sulong di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu berlaku ketika murid berkenaan dipercayai baru sahaja tamat sesi persekolahan dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama pelajar lain.

Menurut maklumat awal, van terbabit dikatakan melalui kawasan berkenaan sebelum berlaku pelanggaran yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sekaligus mengundang suasana pilu dalam kalangan rakan-rakan sekolah serta orang awam yang berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas siasatan lengkap dijalankan.-KOSMO! ONLINE

NS: Tokoh baru dilantik jadi Undang Sungai Ujong

Malaysiakini 

Sekumpulan pemimpin tradisional dari keturunan Klana Hulu mengumumkan mereka sebulat suara melantik Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru bagi wilayah itu.

Ini berlaku ketika Mubarak Thahak dan penyokongnya - termasuk tiga undang yang lain - terus menegaskan bahawa dia masih menjadi Undang Sungai Ujong.

Dalam kenyataan Majlis Datuk Lembaga Adat Sungai Ujong hari ini, keputusan itu dibuat “mengikut undang-undang teradat” iaitu merujuk kepada “berkeadilan, berundang, bersalasilah” dan “berteromba” pada 22 April lalu.

“Pemilihan (dibuat) mengikut salasilah pada Fasal 27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungai Ujong 1910 dan hukum adat patah tumbuh termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungai Ujong,” kata kenyataan tersebut.

Ia ditandatangan oleh Waris Nan Tua Klana Hulu, Shaharumzaman Abdul Malik, dan bertarikh hari ini.

Faris, 29, merupakan seorang akauntan dan anak kedua kepada pasangan Johari Meor Ngah dan Ibu Soko Klana Hulu, Shazlina Abd Karim.

Ketika ini dia menjadi akauntan di sebuah firma insurans dan perundingan risiko bertaraf multinasional, Marsh, yang beroperasi di lebih 130 negara di seluruh dunia.

Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, Faris merupakan waris yang menjadi keturunan langsung Undang Luak Sungai Ujong yang pertama, Datuk Kelana Petra Bador, melalui keturunan sebelah ibu.

“Beliau juga merupakan piut Undang Sungai Ujong kelapan, Petra Ma’amor Kassim, dan Undang Luak Jelebu ke-12, Abdullah Luk,” katanya.

Sebelum ini Mubarak diketepikan daripada jawatan Undang Luak Sungai Ujong atas tuduhan melakukan kesalahan – yang tidak dinyatakan – dan langkah itu dilaporkan disahkan oleh Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir namun mencetuskan krisis dalam institusi diraja negeri tersebut.

Undang Jelebu, Johol, dan Rembau terus menyokong Mubarak dan mempertikaikan penyingkirannya.

Mereka kemudian secara bersama mendesak untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri.

Minggu lalu, kerajaan negeri mengarahkan Mubarak mengosongkan kediaman rasminya dan menghentikan penggunaan dewan istiadat rasmi – suatu keputusan yang belum dipatuhinya.

Warga emas maut dipercayai ditetak

Kumaran Rajamoney

IPOH: Seorang wanita warga emas berusia 70 tahun, ditemui maut dipercayai bunuh di sebuah rumah di Taman Desa Aman, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala dan leher mangsa.

“Turut ditemui di lokasi adalah sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun telah ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

NS: DAP arah jentera siap siaga hadapi kemungkinan PRN mengejut

Malaysiakini 

DAP mengarahkan seluruh penggerak parti itu untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya mengejut ekoran beberapa perkembangan yang berlaku mutakhir ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, DAP berkata, parti itu mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa tertinggi pusatnya di Kuala Lumpur pada malam tadi dengan membincangkan beberapa perkara.

Antara isu yang menjadi perhatian, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, ialah perkembangan terkini krisis Politik di Negeri Sembilan.

Hasil perbincangan yang berlangsung, katanya, beberapa pendirian diambil oleh badan tertinggi DAP itu.

Antaranya, menurut Loke, DAP tidak akan bersetuju dengan sebarang cadangan menukar menteri besar pada ketika ini selepas cubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan baru-baru ini gagal.

“Justeru DAP mengarahkan seluruh jentera parti untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya DUN masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Negeri Sembilan berdepan dengan kemelut pentadbiran ekoran isu keabsahan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, serta lembaga adat negeri terbabit.

Ia kemudian menyaksikan 14 Adun Umno mengumumkan mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, dan menarik sokongan daripada pemimpin PKR berkenaan.

Pengumuman tersebut segera disambut oleh PN – yang mempunyai lima Adun dalam DUN Negeri Sembilan – dan menyatakan kesediaan bekerjasama membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun Aminuddin memberitahu dia mendapat titah daripada Tuanku Muhriz untuk terus menjalankan tugas selaku menteri besar sehingga dapat kejelasan muktamad mengenai kedudukannya – termasuk ditentukan dalam DUN Negeri Sembilan.

Konflik itu kemudian sedikit reda apabila pada 30 April lalu Umno menyatakan pendirian parti itu untuk terus menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, namun pada masa sama menghormati pendirian diambil 14 Adun parti berkenaan.

Semalam pula, dua daripada Adun PN membuat pusingan U dengan menyatakan pendirian mereka untuk berkecuali dalam krisis yang berlaku.

Loke berkata DAP sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi institusi raja berperlembagaan.

Justeru, katanya segala isu yang melibatkan institusi raja dan Adat Pepatih perlu diselesaikan dengan penuh hormat dan tertib mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri.

“DAP menjunjung kasih ke bawah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, atas titah baginda supaya kerajaan negeri terus befungsi seperti biasa di bawah pentadbiran Aminuddin.

“DAP akan terus mendokong dan memberi sokongan penuh kepada Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dengan PH menguasai 17 daripadanya.

Kelantan: ATM gagalkan cubaan seludup 20 lembu di Sungai Golok

Hidayatidayu Razali
20 ekor lembu dianggarkan bernilai RM225,000 disyaki diseludup – Foto ATM
KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mematahkan cubaan menyeludup 20 ekor lembu dianggarkan bernilai RM225,000, yang disyaki dari negara jiran dalam operasi di Sungai Golok, dekat Rantau Panjang, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, rampasan itu dilakukan di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged), jam 6.45 petang.

Katanya, ketika pasukan operasi sedang menjalankan tinjauan dengan mini Unmanned Aerial Vehicle (UAV), pihaknya mengesan sebuah lori tiga tan dalam keadaan mencurigakan di lokasi berhampiran garisan sempadan.

“Hasil pemantauan UAV mendapati 20 ekor lembu di wilayah Thailand sedang menunggu masa untuk diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan Sungai Golok.

“Sebaik serbuan dilakukan, seorang lelaki awam dipercayai warga tempatan bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian dengan meninggalkan kenderaan itu bersama muatannya bagi mengelakkan ditahan pasukan operasi,” menurutnya.

Pihaknya merampas semua lembu yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa sebarang dokumen perjalanan atau permit import yang sah dan sebuah lori Isuzu tiga tan.

Katanya, laporan polis berkaitan rampasan haiwan ternakan dibuat di Balai Polis Lubok Stol, Rantau Panjang dan kesemua rampasan diserahkan kepada pihak Kastam di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga.

Kelantan: Pendaki wanita maut tergelincir dalam sungai di Gua Musang

Bernama

Mangsa berusia 50-an dari Kuala Lumpur ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian di Sungai Betis, dalam kejadian Sabtu lalu.
Beberapa anggota bomba mengeluarkan mayat pendaki wanita yang tergelincir ke dalam Sungai Betis ketika melakukan aktiviti mendaki di Pos Balar, Gua Musang. (Gambar PDRM)
KOTA BHARU: Seorang pendaki wanita yang juga ibu tunggal ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Betis ketika melakukan aktiviti mendaki di Pos Balar, Gua Musang.

Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata mangsa bersama sekumpulan 11 pendaki memulakan aktiviti pendakian pada 1 Mei lepas.

Beliau berkata ekspedisi pendakian berkenaan melibatkan kawasan Gunung Gerah, Gunung Bilah, dan Gunung Biyed.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada 2 Mei, kira-kira 7.30 malam. Semasa melalui kawasan Sungai Betis dalam keadaan gelap, mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sik menjelaskan bahawa ahli kumpulan pendaki berkenaan telah menjalankan usaha pencarian mangsa dengan segera, namun mangsa gagal ditemukan pada malam kejadian.

“Pada 3 Mei kira-kira 8 pagi, mangsa yang berusia 50-an dan berasal dari Kuala Lumpur itu ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai telah meninggal dunia.

“Pihak polis telah menerima maklumat rasmi berhubung insiden kehilangan itu pada hari yang sama iaitu pada 3.21 petang.

Susulan kejadian itu, IPD Gua Musang telah menyelaras Operasi Mencari dan Menyelamat yang turut melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata pasukan penyelamat terpaksa mengharungi perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda selama kira-kira empat jam, disusuli dengan berjalan kaki hampir 10 jam untuk sampai ke lokasi insiden.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Sik menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, membuat perancangan yang rapi serta menggunakan khidmat pemandu arah yang berpengalaman ketika melakukan aktiviti pendakian.

Lelaki ganggu pelajar sudah ditahan polis

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
SUSPEK ditahan tidak sampai 8 jam selepas kejadian berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK ditahan tidak sampai 8 jam selepas kejadian berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Papar: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengganggu beberapa pelajar perempuan di sekitar kawasan sekolah di Kinarut, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 44 tahun didakwa menghampiri pelajar sebelum bertindak menarik tangan dan memegang mangsa dengan alasan mahu menghantar mereka ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima beberapa laporan berhubung kejadian berkenaan sebelum bertindak pantas menahan suspek pada hari sama.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan kira-kira jam 6.30 petang hasil kecekapan Pasukan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

"Semua kejadian berlaku di kawasan terbuka dan tiada pelajar dibawa lari. Tiada kecederaan fizikal dilaporkan, namun kejadian ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat.

"Siasatan awal turut mengambil kira kemungkinan suspek mengalami masalah kesihatan, namun perkara itu masih dalam penelitian lanjut pihak polis," katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan/Seksyen 14 Akta Kesalahan - Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan dan mencetuskan keresahan awam.

"Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu," katanya.

Sementara itu beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Desmond Tanggapan di talian 019-4883322 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki didakwa mengganggu pelajar sekolah yang sedang menunggu bas di kawasan Kinarut sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Pesawat bawa jemaah haji Malaysia mendarat di Oman akibat isu teknikal

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebuah pesawat Malaysia Airlines membawa 278 jemaah haji Malaysia yang dalam perjalanan ke Jeddah, selamat mendarat di Oman akibat isu teknikal.

Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, penerbangan MH8110 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat kira-kira 4.11 petang (waktu tempatan) sebagai langkah berjaga-jaga.

“Orang ramai khususnya ahli keluarga jemaah tidak perlu bimbang kerana semua penumpang selamat,” katanya dalam kenyataan.

Penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2.06 petang Isnin (waktu Malaysia) dan dijadualkan tiba di Jeddah sekitar 5.50 petang hari sama (10.50 malam waktu Malaysia).

Bagaimanapun, pesawat itu mula mengalami isu teknikal pada 5.11 petang (waktu tempatan).

TH berkata, pihak Amal by Malaysia Airlines akan membuat penilaian ke atas pesawat sebelum membuat keputusan lanjut berhubung penerbangan itu.

“Sekiranya perlu, semua jemaah akan ditempatkan di hotel sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah,” katanya sambil menambah maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Seorang lagi Adun Bersatu N Sembilan ubah pendirian, pilih berkecuali

FMT Reporters

Adun Labu Hanifah Abu Baker berkata sebarang perubahan kerajaan negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya.
hanifah abu baker
Adun Labu Hanifah Abu Baker yang juga ketua pembangkang berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan rakyat serta memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lagi Adun Bersatu di Negeri Sembilan mengubah pendirian dan mengumumkan langkah berkecuali dengan tidak menyokong perubahan kerajaan negeri, susulan tindakan 14 Adun Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Adun Labu Hanifah Abu Baker berkata keputusan tersebut diambil selepas pertimbangan teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta keperluan memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.

Katanya, keutamaan beliau adalah memastikan suasana politik kekal kondusif agar tidak menjejaskan usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam keadaan semasa yang penuh cabaran.

“Dalam masa sama, kami berpandangan bahawa pendirian Umno di peringkat nasional mahupun di Negeri Sembilan ketika ini dilihat tidak konsisten dan berpotensi mengelirukan rakyat.

“Malah pendekatan yang diambil seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.

Beliau yang juga ketua pembangkang Negeri Sembilan berkata sebarang perubahan besar dalam landskap politik negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui PRU atau PRN yang akan datang.

Hanifah juga menyeru semua pihak memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat.

Terdahulu hari ini, Adun Gemas Ridzuan Ahmad juga mengumumkan beliau tidak menyokong perubahan kerajaan negeri dengan alasan ia berpotensi menyebabkan ketidakstabilan politik dan menjejaskan pemulihan ekonomi.

Ridzuan berkata sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk penukaran kepemimpinan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Ketua Umno negeri, Jalaluddin Alias mengumumkan 14 Adun Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis berterusan membabitkan empat Undang dikatakan cuba menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Susulan itu, Perikatan Nasional Negeri Sembilan yang mempunyai lima Adun menawarkan kerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri. Majoriti mudah 19 Adun diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Berang tak naik pangkat, kakitangan awam bakar pejabat

KOSMO
Tangkap layar rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan suspek membawa bahan api untuk membakar pejabat. - Istimewa
JAKARTA – Seorang kakitangan kerajaan bertindak nekad membakar pejabatnya gara-gara berang tidak dinaikkan pangkat, lapor laman berita Detik semalam.

Suspek yang hanya dikenali sebagai AS, 43, membakar Pejabat Pengangkutan Wilayah Bangka Belitung.

“Suspek membakar pejabat Ketua Agensi Pengangkutan Wilayah kerana dia kecewa permintaannya untuk kenaikan pangkat dari 3B ke 3C tidak diluluskan oleh pihak atasan,” kata Ketua Sub-Direktorat III Direktorat Siasatan Jenayah Polis Wilayah Bangka Belitung, Komisioner Faisal Fatsey.

Menurut Faisal, insiden itu berlaku pada 29 April lalu, manakala pejabat itu musnah sepenuhnya.

Ujarnya, sebelum membakar pejabat, suspek pergi ke lokasi itu untuk menandatangani surat. Dia kembali sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) sambil membawa bahan api.

“Suspek kembali ke pejabat dengan membawa minyak petrol. Sebaik tiba, dia membuka tingkap pejabat ketua agensi lalu menyimbah minyak pada rangka kayu dan dinding pejabat,” kata Faisal.

Suspek kemudian merakam dan memuat naik video kebakaran itu ke platform media sosialnya. Dia melarikan diri ke rumah saudaranya sebelum dicekup.

Sepasukan anggota bomba tiba di tempat kejadian sebelum api berjaya dipadam selepas sejam. – AGENSI

Selat Hormuz: Tentera laut Iran lepaskan peluru berpandu berhampiran kapal pemusnah AS

Buletin TV3 
Selat Hormuz. – Foto AFP
TEHRAN: Tentera laut Iran melepaskan peluru berpandu, roket dan dron tempur berhampiran kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) yang melalui Selat Hormuz pada Isnin.

Menurut laporan televisyen negara itu, tentera laut Iran telah mengesan kapal pemusnah AS di Selat Hormuz dan melepaskan beberapa tembakan amaran.

Ia menambah bahawa, selepas kapal pemusnah AS itu mengabaikan amaran awal, tentera laut melepaskan tembakan amaran dengan melancarkan peluru berpandu , roket dan dron tempur di sekitar kapal musuh yang dianggap sebagai penceroboh itu.

Sementara itu, pihak tentera AS memaklumkan bahawa dua kapal pemusnah berpandu peluru berpandu telah memasuki Teluk berkenaan. -AFP

Pemandu van persiaran terbabit nahas positif syabu

FMT Reporters

Polis berkata pemandu van itu telah ditahan untuk permohonan reman esok.
Keadaan van persiaran selepas terbabas dan terbalik di KM212 Lebuhraya Utara-Selatan di Alor Gajah pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Pemandu van persiaran membawa lapan warga India yang terbabit kemalangan di KM212 Lebuhraya Utara-Selatan di Alor Gajah pagi tadi, didapati positif syabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Muhammad Zaki Ramat, berkata polis menerima laporan sekitar 10.30 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati van persiaran dari arah Kuala Lumpur menuju Melaka itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan.

Menurutnya, warga tempatan berusia 55 tahun yang memandu van itu tidak cedera.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif methamphetamine (syabu),” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, pemandu itu telah ditahan untuk permohonan reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan.

Jelasnya, tiga penumpang terdiri daripada seorang lelaki 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 13 tahun cedera ringan. Semuanya dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan lapan warga India, termasuk tiga kanak-kanak berdepan detik cemas selepas van persiaran dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik.

Pelakon dan penyanyi veteran, Jalil Hamid meninggal dunia dalam tidur

NUR AL-FAIRUZA SYARFA NOR SAIDI
JALIL meninggal dunia dalam tidur selepas bertarung dengan masalah jantung
PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi veteran , Jalil Hamid disahkan meninggal dunia dalam tidur selepas bertarung dengan masalah jantung.

Berita tersebut disahkan anak perempuannya, Afiqah Jalil yang mendapati ayahnya tidak sedarkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.Liputan Berita Terkini

Betul (meninggal dunia). Dia meninggal dalam tidur. Kami sedar pada pukul 12.30.

“Dia dah solat subuh dan nak rehat. Ibu pergi periksa ayah dan didapati ayah sudah tiada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Dalam masa sama, Afiqah memaklumkan jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21 selepas asar.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21.

“Solat jenazah akan diadakan selepas asar di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam selepas asar,” ujarnya.

Sebelum ini, mendedahkan mengalami penurunan berat badan mendadak sebanyak 30 kilogram (kg) selepas mengalami masalah kesihatan jantung dan hilang selera makan.

Terdahulu, menerusi temu bual bersama HibGlam, arwah pernah berkongsi rasa kecewa apabila hasrat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu tidak kesampaian berikutan masalah kesihatan.

Menurut Allahyarham, dia menyimpat niat  sejak 2008 untuk menerima panggilan daripada Tabung Haji namun gagal memenuhi syarat kesihatan ditetapkan kerana masalah jantung yang dihadapinya.

Sepanjang karier, Allahyarham cukup terkenal dengan lagu lagu Ayam dan Raya.

Menerusi lakonan pula, Jalil pernah membintangi filem Wanita Bertudung Hitam, Baginda, Zombi Kampung Pisang dan Bisik Pada Langit serta puluhan drama sejak 1980-an.

Bakat lakonannya mencuri tumpuan sehingga memenangi beberapa anugerah seperti Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Baginda) dalam Festival Filem Malaysia ke-13, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama (Calon Syurga) di Anugerah Skrin 2016.Panduan Cuaca Malaysia

Anak jati Masai, Johor itu  juga berjaya dinobatkan sebagai pelakon Lelaki Terbaik Filem menerusi Bisik Pada Langit pada Anugerah Telenovela 2018. – KOSMO! ONLINE

Penyaman udara meletup, sembilan maut

Bernama-Xinhua

New Delhi: Sekurang-kurangnya sembilan orang, termasuk seorang kanak-kanak dan empat wanita, terbunuh manakala hampir 20 lagi cedera, awal pagi Ahad dalam kebakaran besar yang berlaku di sebuah rumah bertingkat di Delhi selepas letupan kuat pada unit penyaman udara, lapor Xinhua memetik Polis Delhi.

Kejadian berlaku di kawasan Vivek Vihar di timur Delhi ketika mangsa sedang tidur. Kebakaran itu merebak ke seluruh rumah dalam tempoh beberapa minit, menurut polis.

Kesemua sembilan mayat ditemukan di beberapa bahagian rumah itu. Mereka yang cedera dimasukkan ke hospital tempatan.

Sebanyak 14 jentera bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran. Usaha sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca letupan pada unit penyaman udara berkenaan.

Saman fitnah, Chegubard mohon maaf kepada Nik Nazmi

Faisal Asyraf

Bekas pemimpin Bersatu itu secara rasmi menarik balik dakwaan terhadap bekas menteri itu pada Disember 2023.
Di bawah syarat penyelesaian dengan Nik Nazmi Nik Ahmad, Badrul Hisham Shaharin dikehendaki muat naik video permohonan maaf di akaun media sosial dalam tempoh 24 jam selepas permohonan maaf dibacakan di mahkamah.
KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin memohon maaf kepada Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, yang menjadi sebahagian penyelesaian tuntutan saman fitnah di Mahkamah Tinggi.

Aktivis berkenaan yang terkenal sebagai Chegubard, membacakan permohonan maaf secara terbuka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong, dan mengakui dakwaannya terhadap bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam itu adalah palsu serta tidak berasas.

Beliau secara rasmi menarik balik dakwaan dibuat dalam empat hantaran Facebook, diterbitkan pada Disember 2023.

Bekas ketua Bersatu Port Dickson itu mengakui, perkataan digunakan dalam hantaran tersebut difahami membawa maksud bahawa Nik Nazmi terlibat dalam rasuah dan penyogokan, termasuk penerimaan komisen dan ‘kickbacks’ melalui proksi daripada syarikat-syarikat berkaitan projek tebatan banjir transformasi lembangan sungai.

“Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada plaintif, Nik Nazmi, atas kegusaran, tekanan, dan kesulitan yang timbul kepadanya.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi atau menerbitkan sebarang kenyataan atau dakwaan lanjut mengenai perkara sama, atau mana-mana kenyataan yang mempunyai kesan serupa,” katanya.

Di bawah syarat penyelesaian itu, Badrul juga dikehendaki memuat naik sebuah video permohonan maaf di akaun media sosial dalam tempoh 24 jam selepas kenyataan tersebut dibacakan di mahkamah.

Nik Nazmi memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi pada Januari 2024, turut hadir dan berjabat tangan dengan Badrul selepas prosiding tamat.

Beliau diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli, manakala Badrul diwakili Zolazrai Zolkapli.

Persaudaraan umat Islam yang berpecah dan kacau bilau

Harapandaily
RAJA BAHRIN SHAH

Baru-baru ini telah diadakan satu pertemuan di Kuala Lumpur bersama KH Ulil Abshar, “Pengurus Besar” Nahdlatul Ulama dari Indonesia dan Amanah, bersama pelbagai NGO Islam dari Malaysia mengenai keperluan memperkukuh kesatuan global umat Islam.

Antara yang hadir ialah YB Senator Dato’ Dr. Sri Mujahid Yusof Rawa dan YBhg Dato’ Dr. Hasan Bahrom untuk menyampaikan pandangan mereka.

Antara pandangan yang dipersetujui bersama ialah mengelakkan daripada terlalu mendalami perbezaan politik ketika membincangkan hal ehwal agama dan agenda, yang boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan ummah.

Perkara ini amat penting dalam keadaan perpecahan global umat Islam ketika ini, khususnya dengan perang yang sedang dilancarkan ke atas Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel. Salah satu tujuan pihak agresor dari AS dan Israel adalah untuk menimbulkan lebih banyak perpecahan dalam kalangan negara dan saudara Islam.
(Penulis bersama pengurus besar Nahdatul Ulama)
Pengiktirafan awal terhadap Israel oleh beberapa negara Arab Islam serta penerimaan pangkalan tentera AS di Timur Tengah merupakan permulaan kepada perkembangan ini. Seperti yang berlaku apabila Iran membalas serangan AS dengan menyerang pangkalan tentera AS di negara Teluk, AS dengan cepat meninggalkan pos ketenteraan mereka dan membiarkan negara Arab menghadapi situasi tersebut sendiri, sambil memberi tumpuan untuk melindungi Israel.

Jika negara-negara Teluk masih tidak mengambil iktibar tentang ketidakbolehpercayaan AS dan kepentingan kesatuan sebenar umat Islam, masa depan mereka mungkin sangat suram.

Penandatanganan Perjanjian Abraham oleh negara GCC merupakan tanda awal peralihan daripada kesatuan negara Islam kepada kecenderungan bekerjasama dengan Israel dan AS. Peperangan proksi di Yaman dan Somalia, termasuk usaha pembentukan Somaliland, juga dilihat sebagai sebahagian daripada agenda tersebut.

Perjuangan sejagat untuk membebaskan Palestin di Gaza dan Tebing Barat telah ditinggalkan oleh pihak yang terlibat dalam Perjanjian Abraham, dan ironinya, sokongan serta pengiktirafan terhadap perjuangan Palestin kini semakin meningkat daripada negara Barat dan bukan Islam akibat kekejaman yang jelas terhadap rakyat Palestin.

Negara-negara Teluk kini dilaporkan ingin keluar daripada OPEC, yang suatu ketika dahulu merupakan alat paling berkuasa menentang AS dan Israel semasa kepimpinan Almarhum Raja Faisal Arab Saudi. Baginda telah memimpin OPEC menggunakan minyak sebagai senjata untuk menuntut keadilan bagi Palestin dengan kejayaan yang besar.

Langkah GCC untuk keluar daripada OPEC dilihat sebagai satu lagi pelemahan kuasa kolektif negara-negara pengeluar minyak Islam, yang mungkin menguntungkan Israel dan AS.

Dalam keadaan kesatuan umat Islam yang semakin berpecah, Pakistan yang berusaha meredakan konflik Iran dengan AS dan Israel telah menunjukkan kepimpinan serta semangat persaudaraan Islam yang tinggi dengan membuka laluan darat dari Iran ke pelabuhan Pakistan bagi mengurangkan kesan sekatan dan blokade AS yang telah lama berlaku. Tindakan berani ini wajar menjadi contoh kepada negara Islam lain.

Pertemuan terbaru bersama kepimpinan tertinggi Nahdlatul Ulama dari Indonesia dan pihak kita seharusnya menjadi asas kepada pembentukan agenda dan formula kesatuan umat Islam di Asia Tenggara.

Mungkin kita boleh bermula di Malaysia dengan melupakan perbezaan politik dan membentuk gabungan bersatu demi ummah yang bersatu menentang hegemoni Israel dan AS.

Marilah kita menghadiri perhimpunan pro-Palestin yang sama pada hari, masa dan tempat yang sama, daripada mengadakan perhimpunan berasingan.

Marilah kita menyertai persidangan yang sama untuk tujuan bersama, daripada forum yang berasingan.

Seluruh dunia kini berada dalam risiko, dan umat Islam perlu bersatu untuk memimpin barisan hadapan bersama masyarakat pelbagai agama dan bangsa yang menginginkan keamanan, demi memupuk kembali kehidupan bersama yang aman antara manusia.

Di Malaysia, agama telah terlalu dipolitikkan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah juga melibatkan bukan Islam, sehingga banyak isu menjadi terlalu emosional demi keuntungan politik jangka pendek.

Sudah tiba masanya pemimpin tempatan menunjukkan kematangan sebagai negarawan untuk meredakan keadaan dan memimpin negara ke arah perpaduan yang lebih kukuh demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Penulis adalah Pengerusi Biro Antarabangsa, Parti Amanah Negara (AMANAH).