"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Nur’ yang murtad dan dua pelakon wanita

Dinsman
Gadis bernama Nur itu membuat pilihan menolak dan meninggalkan Islam, dan mengambil Kristian menjadi agamanya dengan penuh kesedaran dan keyakinan Kristianlah agama yang benar dan sesuai untuk dirinya. Maka dia sanggup tinggalkan emak dan ayahnya walaupun dia tahu mereka akan menderita tidak dapat menerima keputusannya.
Ayahnya seorang imam, dan Nur sebelum itu adalah gadis yang patuh menunaikan perintah agama, tidak pernah tinggal solat fardhu lima waktu, dan aktif berdakwah ketika belajar di universiti.

Maka ketika membaca skrip ‘Nur’ beberapa bulan lalu saya menimbulkan persoalan: apakah tujuan pengarangnya Lena Farida Hussein Chin menghasilkan skrip itu, kerana ia nampak memenangkan Kristian dan mengalahkan Islam.

Dan malam 5 Disember lalu saya menonton pementasannya, di Dewan Recital, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. Dipersembahkan oleh kumpulan Gasewap, di bawah arahan Lena Farida sendiri. Gasewap ialah Gabungan Seni Warisan Anak Pinang, Pulau Pinang.

Menonton persembahan sebuah teater memberi kesan yang berbeza daripada kesan hasil membaca skripnya saja. Maka saya tidak tahu apakah kesannya kepada penonton yang baru pertama kali menonton drama itu tanpa terlebih dulu membaca skripnya. Barangkali ada kesan kejutan seperti yang saya rasai ketika pertama kali membaca skripnya dulu. Dan saya tentunya tidak mendapat kesan kejutan itu lagi kerana mengetahui jalan ceritanya.

Drama ‘Nur’ tidak menyediakan hujah balas daripada emak atau ayah gadis itu, atau sesiapa pun, bagi menegakkan kebenaran dan kemuliaan Islam (seperti yang biasa kita temui dalam karya-karya sebegitu sebelum ini). Sebaliknya ia hanya menunjukkan betapa remuk-redamnya hati si ibu, akibat tindakan anak gadisnya yang selama ini dipercayainya seorang anak yang solehah.

Dan pengarang akhirnya menegaskan lagi kejituan pilihan hati gadis itu melalui lakonan pembaptisan dengan air gereja yang disiramnya sendiri ke atas kepalanya, mengakhiri pementasan itu; manakala si ibu mengucap syahadah, pasrah kepada Allah. Dan dengan itu selesailah pementasan yang berjaya memukau penonton selama 31 minit itu.

Ada lima teater pendek dipentaskan malam itu, dan lapan lagi pada hari esoknya, dalam program Bengkel Persembahan Akademik, anjuran Jabatan Seni Persembahan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI. (Nor Shuradi Nor Hashim pengarah programnya). Lena Farida, penulis skrip dan pengarah teater ‘Nur’, seorang pensyarah teater di situ yang kini sedang cuti menyiapkan Phd di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Selain ‘Nur’ saya juga sangat tertarik dengan teater ‘Kerusi’, sebuah persembahan yang sangat kreatif, dihasilkan pelajar teater universiti tersebut. (Maaf saya tak tahu siapa pengarahnya. Tetapi saya ucap tahniah! Sangat menarik.)

Balik kepada teater ‘Nur’ yang memang saya tunggu-tunggu pementasannya sejak membaca skripnya Ogos lalu. Pementasannya sangat sederhana. Hanya dua pelakon, menghidupkan watak Nur dan ibu, dengan gerak lakon dan tata cahaya yang paling minimum, tetapi berjaya memikat perhatian penonton.

Tahniah juga kepada Nadhilah Suhaimi yang menghidupkan watak Ibu dan Siti Nurshahira Nasri yang menghidupkan watak Nur. Memang lakonan mereka sangat berkesan walaupun hanya duduk dan berdiri di tempat yang sama saja sepanjang pementasan, tanpa bergerak ke mana-mana pun. Makanya penonton betul-betul ditarik supaya menumpukan perhatian kepada ayat-ayat monolog kedua-dua pelakon itu.

Siti Nurshahira walaupun usianya (pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM) lebih muda daripada watak yang dibawanya, tetapi ternyata dia mampu menghayati watak Nur yang dalam kepiluan terpaksa meninggalkan keluarga, tetapi tegas dengan kepercayaan baru yang ditemuinya.

Suara ‘mentah’nya itu menyuntik warna innosen kepada perwatakan Nur, lalu menarik simpati penonton, walaupun Muslim, maka tidak timbul rasa marah kepadanya (rasa sayalah).

Demikian juga Nadhilah Suhaimi sebagai Ibu yang tidak berdaya hendak bertindak apa-apa setelah dihalang pihak tertentu daripada bertemu anak kesayangannya setelah murtad itu. Dapat dia memindahkan rasa remuk-redam hatinya itu kepada penonton, hanya melalui nada pengucapan dan mimik mukanya, tanpa bersedih berlebih-lebihan. Sebagai penonton malam itu saya dapat menghayati remuk redam dan hancur luluhnya hatinya.

Lena Farida tidak memilih untuk berhujah siapa benar dan siapa salah dalam ‘Nur’, walaupun ada kecenderungannya untuk cuba memahami mengapa Nur bertindak demikian. Dia hanya memaparkan suatu realiti yang memang berlaku dalam masyarakat. (Ada orang kata sudah ramai di kalangan umat Islam di negara ini yang murtad. Ada pihak pernah mengeluarkan angka 250,000 orang dan sebagainya, tetapi tidak pernah ada perangkaan yang rasmi atau disahkan pihak berwibawa.)

Saya fikir bagus juga teater seperti ini hadir di tengah-tengah masyarakat Islam di Malaysia hari ini. Hadir sebagai memperkukuhkan fakta tentang peristiwa murtad yang dikatakan banyak berlaku itu. Dan pihak pendakwah kita diharapkan janganlah begitu cepat menepisnya dengan menghukum, tetapi cubalah juga melihatnya dari sudut yang lain.

‘Nur’ karya Lena Farida ini membawa sudut yang lain itu. Maka bagaimanakah reaksi ummah yang sewajarnya terhadap peristiwa murtad?

Penonton malam itu terdiri daripada pelajar drama dan seni persembahan, yang menyertai program bengkel akademik tersebut. Yakni kumpulan yang terpilih, bukannya khalayak awam. Jadi kita tidak dapat mengetahui reaksi sebenar khalayak awam terhadap isu yang dibangkitkan ‘Nur’.

Maka saya berharap sangat teater ini dipentaskan lagi untuk khalayak awam. Mementaskannya pun tidak susah, kerana keperluannya sangat minimum. Hanya dua pelakon wanita, dan sedikit sistem pencahayaan. Tidak ada keperluan pada binaan set dan juga props. Kostiumnya pun mudah saja.

Ya saya juga tertarik pada pilihan kostiumnya. Berpakaian sopan menutup aurat. Walaupun Nur itu sudah memeluk Kristian, tetapi pakaiannya masih menutup aurat, seperti pakaian seorang muslimah yang patuh pada peraturan berpakaian Islam.

Pelakon memanglah kedua-duanya wanita, kerana watak yang dilakonkan pun kedua-duanya adalah watak wanita. Tetapi hadir mereka di atas pentas tak ubahnya seperti hadirnya pendakwah wanita kita yang semakin ramai juga sekarang.

Pengucapan mereka pun tidak mengada-ngada menjerit-jerit menangis dan sebagainya. Pengucapan yang sopan. Makanya saya berfikir kalau pendakwah atau penceramah wanita boleh diterima hadir di hadapan khalayak penonton lelaki perempuan, maka kehadiran dua pelakon wanita ini pun wajarlah diterima.

Lagipun Tok Guru Nik Aziz sendiri, Mursyidul Am PAS, sewaktu menjadi menteri besar Kelantan, pernah menganjurkan pementasan teater “Pengisytiharan Abul ‘As Menantu Nabi”, yang di dalamnya terdapat lakonan oleh dua pelakon wanita (penyanyi terkenal Aishah, dan pelakon Abby Abadi). Ada percampuran dengan pelakon lelaki juga. Saya sendiri yang mengarah teater itu.

Maka saya fikir masyarakat Islam kita hari ini tentu boleh menerima pementasan teater seperti ‘Nur’ ini. Hanya persoalan atau isu yang dibawanya saja – mungkin kontroversial. –

2 ulasan:

Unknown berkata...

takde masalah

teater lawan teater

buat teater sambungan utk ulas semula Nur tu

buat pula dr pandangan islam dan kesan selepas mati murtad.... kaw kaw punya

nazi kelawar berkata...

Orang-orang kristian memeluk agama Islam disebabkan mereka mengkaji Islam dan terdiri daripada para cendikiawan mereka tetapi orang Islam menukar agama mereka kerana perut.