Datuk Husam Musa melihat tiada salahnya puak profesional PAS yang tewas dalam pemilihan parti pada Jun lalu menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dilihat selari dengan pegangan bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bekas naib presiden PAS itu berkata, Nik Aziz selama ini berharap agar agenda islah bernegara dan berkerajaan dapat diteruskan dengan keyakinan kerajaan sedia ada wajib digantikan secara total.
"Kerajaan sedia ada perlu dan wajib digantikan secara total dengan pasukan baru yang mempunyai komitmen tinggi, idealisme murni, cita-cita politik luhur dan azam membawa perubahan bagi rahmat untuk seluruh rakyat Malaysia.
"Ini satu usaha 'al-birri' (kebajikan) dan agama kita menganjurkan kita tolong menolong atas kebaikan.
"Sekalipun saya pemimpin kecil PAS, saya melihat telur GHB ini perlu disantuni untuk membawa kebaikan kepada perjuangan bersama yang kita tekuni sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.
Husam berkata, hasrat ramai rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk melihat perubahan bagi mengakhiri segala keangkuhan kuasa dan penindasan ke atas rakyat jelata, hasil salah guna kuasa dan hilangnya pedoman, serta segala macam kemungkaran politik, ekonomi dan agama, tidak harus dikecewakan.
"Derita rakyat adalah derita kita bersama. Harapan rakyat adalah harapan kita bersama.
"Saya mendoakan sebuah gerakan untuk membantu meneruskan agenda rakyat belayar di alam nyata politik Malaysia menjadi kenyataan," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Salor di Kelantan itu berkata, menjadi harapannya untuk hadir ke ceramah GHB di Kangar, Perlis pada malam tadi, namun kesihatannya belum pulih sepenuhnya.
Katanya, tiada sebab baginya untuk tidak menghadirkan diri malam tadi kerana Aidilfitri itu sendiri menuntut untuk memperkukuhkan silaturahim.
"Saya dijemput untuk hadir dalam perjumpaan Hari Raya pada malam ini. Saya memang bercadang untuk hadir, sekalipun penganjurnya atas nama GHB, satu nama bagi gerakan masih di alam rahim.
"Apa salahnya kita memperkukuh silaturahim sesama umat?" soalnya.
Malam tadi, dua majlis perhimpunan Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) diadakan - satu di Kota Baru, Kelantan dan satu lagi di Kangar, Perlis - selepas ia dibentuk dengan rasminya Isnin 13 Julai lalu.
1 ulasan:
Saya kagum dgn husam dia bersama dgn tik guru lama..smg dia kekal bersama pas
Catat Ulasan