Jabatan Mufti Pulau Pinang mengatakan larangan penggunaan pembesar suara di masjid tidak menjejaskan kesucian dan syiar Islam malah selaras dengan nas-nas al-Quran dan sunnah.
Keputusan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah di Pulau Pinang akan diwartakan tidak lama lagi.
Perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 September lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas.
Surat yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menyebut mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011 mengenai larangan membaca al-Quran sebelum subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya.
Penggunaan pembesar suara dalaman sahaja dibenarkan bagi program dan aktiviti masjid dan surau.
Keputusan itu dibuat selepas perbincangan beberapa isu penting antaranya tiada kompromi bagi laungan azan di masjid dan surau.
Sejumlah 10 aduan diterima Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berkaitan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau dari Januari 2012 hingga Mei 2015 melibatkan pembesar suara di luar bagi bacaan dalam solat, zikir selepas solat, ceramah atau kuliah, rakaman al-Quran atau zikir sebelum azan.
Mufti Pulau Pinang Datuk Wan Salim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan surat keputusan minit mesyuarat itu dan berkata ia tidak menjejaskan kesucian dan syiar Islam malah selaras dengan nas-nas al-Quran dan sunnah.
Beliau berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara berdasarkan beberapa pertimbangan terutama untuk memelihara imej agama Islam yang mementingkan kesejahteraan hidup untuk individu serta masyarakat.
"Suka juga dinyatakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang membuat keputusan ini selepas berbincang panjang lebar dan mempertimbangkan isu ini dari pelbagai sudut.
"Isu itu dibawa ke mesyuarat berkenaan selepas Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menerima beberapa aduan daripada masyarakat Islam sendiri yang tidak tahan dengan bunyi bising pembesar suara yang dipasang dengan volume yang sangat kuat," katanya.
Wan Salim berkata proses pewartaan larangan itu akan mengambil masa antara 2 hingga 3 bulan iaitu ia akan dibawa kepada Jabatan Penasihat Undang-undang Negeri dan mesyuarat exco kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum dimohon perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata JHEAIPP akan mengadakan beberapa sesi penerangan kepada ahli-ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid seluruh negeri ini mengenai perkara itu agar mereka dapat menjelaskan kepada masyarakat Islam di qaryah masing-masing.
"Semoga dengan cara sedemikian isu itu tidak disalah faham oleh orang ramai dan tidak menimbukan kekecohan yang berpanjangan," katanya.
-malaysianinsider-
1 ulasan:
Dlm bab agama Islam ini semua nak komplain bising terutama org bukan islam.
Bab cina mampos/chop goh mei- dong dong cee bising tak lak komplain?
Kan ini Tanah Melayu. Mufti PP pun hilang akal.
Catat Ulasan