"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Abdullah Badawi bakal dilupakan

Mohd Nor Yahya 
KOTA BHARU, 18 Mac (Hrkh) - 
Kini banyak orang bercakap mengenai kerajaan perpaduan. Perpaduan tanpa pembangkang seolah-olah mahu melupakan sengketa politik.

Namun tanpa disedari rakyat pelbagai kaum telah berpadu ketika berdemontrasi menentang pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) 7 Mac lalu.

Rakyat yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India bergabung dalam kumpulan yang dikenali Gerakan Mansuhkan PPSMI.

Hasilnya lebih 100,000 rakyat keluar beramai-ramai menentang dasar yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad ketika masih mengetuai kerajaan ketika itu.

Kehadiran luar biasa tersebut ternyata mengejutkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tanpa bercakap banyak beliau meminta Kementerian Pelajaran segera menyelesaikan isu tersebut. Namun siapalah sudi untuk mendengar teguran itu bagi seorang pemimpin yang bakal kehilangan kuasa.

Ada orang berhujah Abdullah tidak perlu meminta Dato' Seri Hishamuddin Hussien yang membuat keputusan tersebut kerana kuasa masih ada lagi di tangannya.

Mengapa Dr Mahathir sebagai perdana menteri ketika itu mampu membuat keputusan PPSMI diperkenalkan, sebaliknya Abdullah pula tidak menggunakan kuasa yang ada bagi menghentikan dasar tersebut.

Inilah Abdullah, seperti kata Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, lemah sehingga akhirnya.

Dan kini lebih setahun keangkuhan Umno dan Barisan Nasional dinafikan. Kekuatan majoriti dua pertiga telah dirobek Pakatan Rakyat.

Tanggal 8 Mac 2008 adalah detik permulaan yang mungkin tidak disangka, apabila pemimpin Umno sendiri berani mempersoalkan Abdullah.

Inilah Umno, seseorang itu hanya akan disanjung apabila ada kuasa dan kedudukan.

Tengoklah apa yang terjadi terhadap Dr Mahathir sekarang, tanpa ada blog sendiri, orang tidak tahu di mana kedudukannya. Abdullah juga serupa. Beliau bakal dilupakan. 

Tiada ulasan: