"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Akhbar pro Pakatan Rakyat diminta jelaskan program kerajaan

Mohd Sabri Said 
PULAU PINANG, 16 Mac (Hrkh)
 - Akhbar pro Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang wajar mengandakan liputan berhubung program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri kerana cara itu sahaja dapat memberi penjelasan kepada rakyat apa yang telah dan akan dibuat selama setahun pemerintahan.

Demikian kata Exco Hal Ehwal Agama dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kasim ketika program 'Sarapan pagi bersama wartawan' di Bilik Delima, Tingkat 53, Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) Sabtu lalu.

Menurutnya, selama memerintah Pulau Pinang akhbar pro Pakatan Rakyat masih kurang memberikan liputan serta menyiarkan program melibatkan kerajaan. Jika ada pun tidak berterusan sebagaimana akhbar berbahasa Cina yang berani menonjolkan idea yang bernas di samping menjadi pendesak jika kerajaan tidak mengotakan janji.

"Bila akhbar menjadi pendesak sekurang-kurangnya mengingatkan kami sebagai pemerintah supaya tidak lupa pada janji yang ditaburkan atau membantu meningkatkan kefahaman kepada rakyat jelata tentang program yang sedang, akan atau telah dilaksanakan selepas mengambil alih daripada kerajaan dulu," ujarnya.

Pendedahan apa yang kerajaan buat tambah beliau, amat perlu kerana ramai lagi rakyat masih ketinggalan maklumat dari sumber sebenar.

Akhbar arus perdana katanya, bukan sandaran Kerajaan Pakatan Rakyat kerana liputan mereka adakalanya terlalu menyebelahi Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menyalahkan Kerajaan Negeri yang dianggap pemecah belahkan masyarakat.

Jika akhbar yang pro Pakatan Rakyat tidak melakukan pembaharuan dengan memperbanyak isu kerajaan yang wujud di lima buah negari pasti rakyat terus menimbul tanda tanya yang akhirnya negeri yang dibina atas sokongan rakyat menuju keruntuhan, katanya.

"Kerajaan Pakatan Rakyat mahu akhbar pro kerajaan bertindak melapurkan kejayaan yang dilakukan oleh Kerajaan di Pulau Pinang. Bila berita tidak tersiar orang ramai akan bertambah gusar dan menambah prasangka bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh memerintah macam Kerajaan BN," tegasnya dengan penuh harap.

Contohnya, Hub Halal mendapat puslisiti yang meluas daripada akhbar berbahasa cina sedangkan program sedemikian bermatlamat khusus untuk masyarakat Islam serta memberi peluang keemasan untuk Umat Islam meningkat maju selaras dengan kemajuan dunia global.

Bukan itu sahaja malahan kejayaan hasil dorongan Dewan Perniagaan Melayu juga kurang diberikan publisiti terutamanya kejayaan membuka semula gerai yang bermasalah dan sebagainya, katanya.

"Akhbar pro Pakatan Rakyat juga diingatkan membantu menyiarkan usaha yang digerakkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang membantu Kerajaan Pulau Pinang meningkatkan peluang peniaga Melayu yang sedia ada," jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen dan Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang, Yasir Hafiz Munawar Ali. 

Tiada ulasan: