"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana membuang tabiat berjudi orang Melayu?

Ali Bukhari Amir 
Masih basah dalam ingatan mengenai pandangan seorang pensyarah saya berhubung kaedah menghentikan amalan dan tabiat berjudi dalam kalangan Melayu ini.

Juga.. masih basah keyakinan saya bahawa penyakit orang Melayu khasnya yang menyentuh tabiat berjudi ini boleh juga diselesaikan asalkan saja berbekalkan kesungguhan, bermodalkan keikhlasan. Kita mestilah optimis dan yakin tentang hal kejayaan kita itu.

Kita telah terdengar kisah Pak Kaduk dan watak raja-raja Melayu yang suka bersabung ayam atau berlaga lembu. Perjudian ini sedemikian kroniknya sehingga melibatkan pertaruhan sebuah negeri! Ertinya masalah ini timbul sejak sekian lama.

Contoh popular ialah, kisah Pak Kaduk itu sendiri dan Nujum Pak Belalang! Dan, perjudian ini melibatkan maruah manusia yang bakal tergadai. Anak, isteri semuanya boleh jadi jatuh ke pangkuan musuh.

Beza kisah Pak Kaduk dan Nujum Pak Belalang ialah Pak Kaduk orang bawahan (ada riwayat menyatakan beliau kerabat raja) dan akhirnya Pak Kaduk berasa insaf dan mahu bertaubat kepada Allah. Sedangkan, sultan dalam kisah Nujum Pak Belalang itu masih menang dan tidak disebutkan pula perihal dirinya yang mahu bertaubat.

Dalam tulisan ini, rasanya tak perlu kita huraikan semula kisah bagaimana ayam sabung Pak Kaduk berpindah milik kepada baginda sultan, tentang bagaimana beliau terjumpa ikan tapah yang berisi emas kerongsang dalam perutnya, dan bagaimana Pak Kaduk melafazkan sumpah supaya keturunannya tidak makan ikan tapah lagi.

Semua itu adalah himpunan kisah dan cerita-cerita yang menyeronokkan orang Melayu untuk mendengarnya. Yang Melayu tak suka mendengarnya ialah kisah bagaimana Pak Kaduk akhirnya bertaubat, enggan menyabung ayam dan tidak berjudi lagi.

Diriwayatkan, selepas Pak Kaduk menjahit perut ikan tapah itu, beliau melepaskan ikan itu ke dalam sungai. Semasa itu, Pak Kaduk melafazkan sumpahnya:-

"Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barangsiapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya." [Sumber: Wikipedia]

Kita biasa terdengar orang menagih dadah akhirnya berazam mahu kembali ke pangkal jalan, pelacur berazam setelah virus HIV menjalar dalam pembuluh darahnya, Mat Rempit berasa insaf setelah patah kakinya dalam kecelakaan jalan raya. Tapi, kita belum pernah mendengar kisah orang Melayu yang berasa insaf setelah tikam nombor ekor dan bermain judi.

Yang tak diambil perhatian oleh orang Melayu ialah bagaimana Pak Kaduk pada akhirnya dengan penuh tanggungjawab telah pergi menemui raja lalu menebus semula anak-anak dan isterinya di istana. Sikap tanggungjawab Pak Kaduk tidak diambil perhatian, malah orang Melayu suka mendengar perkara mistik seperti emas terkeluar dari perut ikan tapah itu.

Yang diangkat ceritanya ialah tentang keturunannya terkena sumpahan ikan tapah dan kalau gatal-gatal akibat makan ikan itu, maka perlulah diambil air ikan tapah untuk disapu dan dirawat pada bahagian yang terasa gatal itu.

Manakala yang kurang diangkat ceritanya ialah bagaimana pada akhirnya, setelah Pak kaduk bertaubat, makin kuat ibadat beliau dan akhirnya dia diangkat sebagai pembesar oleh raja dengan tugas tertentu. Jadi, ada beberapa kesimpulan awal yang kita boleh rumuskan sebagai iktibar daripada kisah seperti ini.

Pertama, kita perlu yakin bahawa amalan dan tabiat berjudi orang Melayu memang boleh dipulihkan. Kedua tabiat berjudi kelas bawahan (rakyat) lebih mudah dirawat berbanding tabiat judi kelas atasan (bangsawan). Ketiga, orang Melayu yang bertaubat daripada tabiat berjudi boleh meningkat potensi ketakwaannya. Keempat, cara merawat amalan berjudi ini ialah dengan menggunakan wangnya sendiri.

Bagaimana merawat tabiat judi menggunakan wang mereka sendiri?
Maka antara keempat-empat rumusan ini, tulisan ini akan terus menyentuh lepada rumusan keempat, iaitu membuang merawat tabiat berjudi ini, ialah dengan cara menggunakan wang juga.

Pak Kaduk setelah insaf maka dia dipertemukan dengan emas ikan tapah yang menyebabkan beliau boleh menebus semula ahli keluarganya. Maka, dengan wang (emas) itulah maka orang Melayu mungkin boleh dirawat semula tabiat berjudi mereka ini. Kita perlu faham bahawa mereka berjudi untuk senang, mungkin untuk berkahwin, beli rumah, atau apa sahaja.

Tapi kalau sekarang kita tidak bertindak menyelesaikannya, maka bila lagi kita mahu menyelesaikannya? Kita tidak boleh menunggu 5 tahun lagi, kononnya kalau Pakatan Rakyat menang, atau pun PAS memerintah, maka semua ini akan selesai. Hal politik sebagai langkah penyelesaian sebenarnya melibatkan 30 peratus saja.

Selebihnya terletak pada tangan kita sendiri, rakyat yang tiada kepentingan ekonomi juga tiada kepentingan politik dan mereka bertindak mengikut musyawarah bersama.

Mengapa Melayu sahaja terpilih dalam bahasan ini?
Inilah pandangan dan pendirian 'madrasah' kami berhubung cara-cara dan kaedah-kaedah terawal untuk menghentikan amalan berjudi itu. Samada anda bersetuju atau tidak, maka hal itu terpulang kepada pendirian masing-masing. Negara demokrasi ini secara idealnya, adalah sebuah yang mengesahkan penyertaan orang-ramai dalam menyatakan pendirian mereka.

Syahadan, Melayu sebagai yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah orang yang berbahasa Melayu, mengamalkan adat-istiadat dan resam Melayu dan juga beragama Islam.

Maka, merawat penyakit tabiat ketagihan berjudi dalam kalangan Melayu adalah lebih utama dalam keadaan BN masih angkuh berkuasa dan ia merupakan awlawiyyat atau keutamaan kita yang sangat mendesak.

Kita semua sedia maklum bahawa Barisan Nasional dalam apa keadaan sekali pun tidak akan mengharamkan judi. Mereka akan menyita premis judi atas alasan 'perjudian haram' kerana premis tersebut tidak memohon lesen perjudian atau lesen judi mereka telah tamat tempohnya. Itu sahaja pendirian Umno, BN berhubung halal atau haram perjudian di negara kita.

Iaitu.. judi itu halal apabila ada lesen daripada kerajaan dan haram kalau tiada lesen walaupun ajaran agama memandang perbuatan tersebut adalah perbuatan yang keji buat selama-lamanya samada perjudian itu memiliki lesen atau tidak.

Terbaru, 'kejayaan' kerajaan memungut cukai judi sebanyak RM77,026,171.04 untuk (kononnya) dana pendidikan, kesihatan dan lain-lainnya boleh disangsikan. Wang sejumlah kira-kira RM77 juta itu mungkin boleh menyelesaikan masalah pelajar yang dibelenggu hutang PTPTN, rakyat mungkin sihat kerana ia disalur kepada dana kesihatan dan masalah rakyat dikejar Ah Long mungkin selesai.

Tapi, oleh kerana wang ini wang haram dan pemimpin Umno, BN sudah gelap mata dan tertutup pintu mata hati, maka tidak terjangkau mereka mahu berfikir sebegini. Tidak mengapa, ini pun bukan isu yang kita mahu bahaskan.

Yang penting, daripada keuntungan RM77 juta lebih ini, kita yakin bahawa kerajaan tak akan sesekali membatalkan amalan mereka kerana industri judi itulah yang akan membekalkan sumber pendapatan terbesar buat mereka. Disebabkan oleh wang, masyarakat kita binasa pun tidak mengapa.

Kalau nak menunggu Pakatan Rakyat, kita perlu tunggu beberapa tahun lagi sementara masa sedang berjalan dan kita tidak boleh tinggal diam sahaja dan terus menunggu. Entah menang atau tidak, PR menumbangkan BN pun kita tak tahu lagi. Kita pun bukannya Tuhan.

Apa pun kita harus mencari jalan agar orang Melayu tidak berjudi lagi dan mengalirkan wang halal dengan sia-sia kepada pihak yang akan memberikan wang haram kepada mereka. Melalui amalan berjudi, potensi untuk wang orang Melayu dan Islam didapati semula (jika menang) memang tipis berbanding wang yang telah dibelanjakan.

Barangkali dalam sebulan, jangan-jangan hanya seorang dua sahaja orang Melayu yang menang. Dan jika mereka menang duit haram pun, mereka ini tidak akan terfikir mahu membuat kebajikan dengan wang kemenangan itu.

Pada tulisan yang seterusnnya, saya akan menulis lagi pendapat yang agak asing dan tak masuk akal, mungkin bersalahan dengan pandangan umum juga dan semua ini mungkin mengundang kemarahan orang Melayu yang kuat berjudi termasuk agamawan juga mungkin. Tapi, tidak mengapa. Saya sudah bersedia untuk mendepani segala kemungkinan itu, insya Allah.

Tetapi sebelum marah-marah dan berasa tegang ketika membaca coretan ini, silakan menonton klip video di bawah ini guna meredakan sedikit ketegangan anda. :)

http://www.youtube.com/watch?v=ySFeU2mS2h4 (1)

http://www.youtube.com/watch?v=-edloybNhgo (2)

http://www.youtube.com/watch?v=sxhwS49F414 (3)

7:58 p.m, 15 Mac 
Sekolah Pemikiran Kg Baru 

-harakahdaily-

Tiada ulasan: