DATO' Seri Mohd Ali Rustam yang sepatutnya sudah diseret oleh SPRM ke muka pengadilan, tergamam rayuannya ditolak oleh Panel Rayuan Lembaga Disiplin Umno. Beliau disabitkan kesalahan rasuah politik, akibatnya dilarang merebut jawatan Timbalan Presiden Umno.
Panel tersebut yang bermesyuarat pada 20 Mac lalu, bulat memutuskan untuk mengekalkan larangan terhadap Ketua Menteri Melaka itu. Keputusan itu berkuatkuasa serta-merta, kata Pengerusi panel rayuan itu Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin. Harapan Mohd Ali bertanding berkecai. Rasa marah para penyokong dan juak-juaknya seluruh negara, sudah tidak dapat diempang lagi.
Selasa lalu, Lembaga Disiplin Umno mendapati Mohd Ali bersalah melanggar peraturan pemilihan Umno dan dilarang meneruskan pertandingan jawatan nombor dua itu. Kesalahannya ialah jenayah rasuah politik.
Ekoran itu, banyak pihak mendesak agar SPRM menyiasat Mohd Ali yang dihukum berdasarkan Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga, iaitu ejen-ejennya terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.
Namun sehingga kini, SPRM membisu seribu bahasa dan tidak ghairah untuk menyiasat seperti berahinya badan itu membelek-belek isu lembu korban dan kereta peribadi Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor.
Rasuah yang diamalkan oleh mereka adalah perkara terkutuk yang dicela oleh Islam. Rasuah yang dipandang jijik itu diberi nafas baru dalam Umno sebagai "politik wang".
Amalan rasuah atau politik wang ini terkecuali dari tindakan SPRM. Tindakan yang diambil terhadap Mohd Ali dan Khairy boleh dilihat sebagai keseriusan Umno membelasah perasuah. Tetapi, seperti kata akuan Najib, Mohd Ali boleh terus memegang jawatan Ketua Menteri. Hanya tidak boleh bertanding Timbalan Presiden Umno. Itu sahaja.
Soalnya, dari manakah mereka mendapat wang untuk rasuah? Jika bukan dari kocek kerajaan yang diperolehi melalui komisyen tender dan projek. Merebut jawatan dalam Umno hanyalah tiket untuk berkuasa dalam kerajaan. Sebab itu, banyak pihak mengasak SPRM supaya tidak pilih bulu dalam memerangi rasuah.
Apapun yang diperkatakan, tindakan ke atas Mohd Ali semakin terang dikaitkan dengan game Najib mengnyahkan kumpulan Pak Lah. SMS dan desas-desus yang mensabitkan "beli" pengaruh Tengku Ahmad Rethaudeen dengan anugerah AP kepada anaknya oleh Muhyiddin Yassin turut menguatkan kumpulan Mohd Ali menuduh apa yang terjadi adalah angkara Muhyiddin.
Dengan kekuatan setara, Muhyiddin dan Muhammad Taib dilihat 'buku bertemu ruas'. Ada kemungkinan, undi Mohd Ali akan menyerap ke diri Muhamad yang sudah tentu akan menyukarkan Muhyiddin untuk menang mudah.
Kini sudah ada desas-desusu mengatakan, penyokong Mohd Ali akan boikot Perhimpunan Agung Umno kali ini dan ada juga yang meramalkan, mereka akan menggantung sepanduk dan kain-kain rentang bagi menunjukkan rasa tidak puashati terhadap apa yang berlaku.
Paling teruk dijangkakan, akan ada tindakan yang akan diambil para penyokong Mohd Ali hingga menjejaskan Perhimpunan Agung Umno dan jangan terkejut jika ada pemimpin-pemimpin tertentu dalam Umno yang akan 'diboo' ketika hadir di Perhimpunan Agung Umno kali ini.
Apa yang jelas, insiden ini telah mengubah senario sokongan politik terhadap calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno, khususnya bagi jawatan timbalan dan naib presiden.
Peluang Tan Sri Muhammad Muhd Taib kini dilihat semakin cerah memenangi jawatan timbalan, tetapi kedudukan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sebelum ini dilihat sebagai calon pilihan telah mengecut dan terkeluar dari tiga calon teratas.
Bagi menyelamatkan undi yang kian tidak menentu, Muhyiddin beretorik kononnya Umno kini sudah sampai ke penghujung jalannya dan ia mesti segera berubah untuk mengembalikan pengaruhnya seperti dulu.
Umno hanya mempunyai masa empat tahun untuk berubah sebelum diadili semula oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13. Dalam masa yang sangat terbatas itu, tambahnya, semua pihak mesti komited menjayakan usaha memulihkan kembali imej parti termasuk sedia menerima perubahan.
Dengan harapan, perwakilan menaikkan beliau untuk membantu mengukuhkan Umno yang kini sudah tersesat dihujung jalan. http://sanggahtoksago.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan