"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mafrel Dapati Nama Orang Telah Meninggal Dunia Dalam Daftar Pemilih

LUBOK ANTU - Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel), sebuah badan bebas bagi memantau proses pilihan raya di negara ini, mengesan nama tiga orang yang telah meninggal dunia dalam senarai daftar pemilih bagi pilihan raya kecil Batang Ai pada Selasa ini, kata ketua pasukan Mafrel Peter John Jaban hari ini.

Tiga orang itu ialah dua wanita, Dyg Utat Kamaruden dan Timah anak Ambal, dan seorang lelaki, David Aling anak Usit, katanya dalam kenyataan.

John berkata Dyg Utat dilahirkan pada 1898 dan meninggal dunia pada Mei 1981, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu di Sri Aman. Timah dilahirkan pada 1900 dan meninggal dunia lama dahulu dan dikebumikan di Jirat Cina Lubok bersebelahan dengan kubur suaminya.

Katanya beliau mendapati adalah aneh bahawa Dyg Utat masih didaftarkan sebagai Dyg binti Abg Kam dalam daftar pemilih bertarikh 5 Feb, 2008.

"Dalam daftar pemilih semasa, dia didaftarkan sebagai Dyg Utat binti Abang Kamaruden," katanya.

David Aling dilahirkan pada 1940 dan meninggal dunia dua tahun lepas dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Lubok Antu di sini, katanya.

John berkata walaupun nama David Aling telah dikeluarkan daripada rekod orang yang masih hidup Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namanya masih belum dikeluarkan daripada daftar pemilih.

"Beliau adalah pemilih yang layak bagi pilihan raya kecil ini dengan beliau boleh mengundi di SMK Lubok Antu. Ini menimbulkan keraguan terhadap kecekapan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk membersihkan senarai daftar pemilih secara konsisten dengan rekod JPN," katanya.

Mafrel akan memastikan daftar pemilih yang bersih bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bebas, katanya.

"Oleh itu, kami ingin mencadangkan SPR menggunakan rekod JPN sebagai sistem untuk mendaftarkan secara automatik pengundi yang telah mencapai umur layak untuk mengundi," katanya.  

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: