"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKM : Blog komunis jawab Rais Yatim

Blog bekas gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjadi sasaran kecaman Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam menjawab balas kenyataan keras menteri penerangan hari ini. 

Penulis blog tersebut yang memperkenalkan dirinya Mat Amin menyifatkan usaha menghalang penyebaran sejarah perjuangan bersenjata mereka sebagai "tidak demokratik" dan "tidak profesional."

Mat Amin - yang mendakwa bekas gerila Rejimen ke-10, seksyen tentera Melayu PKM - menjelaskan sumbangan, suka dua dan perkembangan pasukannya itu termasuk di kampung perdamaian di Sukhirin di selatan Thailand.

communist malaya members with malaysia ministers and vips 260509 02Selain mempertikaikan kenyataan Dr Rais yang ingin membawa penyebaran positif sejarah komunis ke jemaah menteri esok, blog yang sama memuatkan beberapa foto pertemuan pemimpin besar rejimen tersebut beberapa tokoh negara, termasuk Sultan Perak. 

Abdullah CD dan isterinya Suriani Abdullah dilihat bergambar dalam dua keping foto - masing-masing dengan bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar dan bekas menteri luar bandar Datuk Aziz Samsuddin pada Disember 2007 di satu majlis.

Sekeping lagi memuatkan gambar rombongan Abdullah diterima menghadap Sultan Azlan Shah pada Disember 1998.

Selain ingin membangkitkan isu blog komunis dalam mesyuarat kabinet, Dr Rais juga menggesa orang ramai agar tidak "terburu-buru mengikuti dan meminati penulis blog yang cuba mendewa-dewakan fahaman komunisme."

"Apa-apa maklumat yang kita miliki kita akan sampaikan kepada pihak berkuasa pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini kerana didapati ada beberapa blog yang sudah mula muncul seolah-olah beri pujian melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme serta angkara yang mereka lakukan," beliau dipetik berkata.

communist malaya members with malaysia ministers and vips 260509 03Dr Rais juga berkata "tiada tempat untuk golongan komunis di negara ini" sewaktu mengulas seruan agar kerajaan membenarkan pemimpin utama PKM Chin Peng kembali ke Malaysia.

Mat Amin sendiri tidak menduga blognya akan mendapat perhatian besar dan menjadi topik hangat. Akhbar 
Utusan Malaysia hari ini menjadikan kenyataan menteri itu laporan utamanya.

"Dengan tidak diduga, blog 
Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam telah menjadi topik panas saat ini," katanya.

"Bahan-bahan yang kami paparkan adalah bahan asli yang tidak diputar belit. Apakah ini salah? 

"Dalam zaman moden dan demokratik ini, rakyat patut diberi hak untuk mendapat atau menerima maklumat dari perspektif-perspektif yang berlainan malah bertentangan supaya mereka boleh membuat tafsiran-tafsiran yang lebih seimbang serta objektif."

Menurutnya lagi, dalam proses perjanjian damai PKM pada 1989, kerajaan Malaysia pernah menyatakan "ia mengakui sumbangan PKM untuk kemerdekaan, tetapi tidak boleh membuat kenyataan tersebut secara terbuka, biar ahli-ahli sejarah memberi penilaian masing-masing, kerajaan tidak sekat."

"Usaha-usaha yang menghalang mana-mana pihak menceritakan perjuangannya yang sebenar adalah tidak profesional, tidak demokratik dan tidak jujur serta tidak adil," coretnya lagi.

Sementara itu 
Bernama melaporkan menteri pertahanan menyelar usaha beberapa pertubuhan tidak berdaftar dan parti politik yang sengaja menggalakkan kemunculan semula ideologi komunis dalam negara.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata pihaknya mendapati ada pihak tertentu termasuk beberapa pertubuhan haram yang seakan-akan mengambil kesempatan dengan cuba menghidup dan menyebarkan sentimen mengenai ideologi itu melalui pelbagai cara.

Katanya, tambah mengejutkan apabila ada juga yang seakan cuba membangkitkan dan menyebarkan sentimen itu melalui parti-parti politik.

"Saya tidak dapat memaklumkan secara khusus tentang adanya gerakan untuk hidupkan ideologi komunis dalam negara, tetapi ada macam suatu usaha yang berbaur komunis yang cuba dihidupkan semula oleh beberapa badan yang tidak berdaftar dan ada juga yang mahu hidupkannya melalui parti politik," katanya selepas melawat Markas Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: