KETEREH, 17 Mei (Hrkh) - Kerajaan Selangor mendedahkan ada pihak mengadu sukar melaksanakan projek di negeri terbabit kerana tidak ada budaya suapan sejak diterajui kerajaan Pakatan Rakyat. Anggota Exco, Elizabeth Wong berkata, ketelusan yang diamalkan menyebabkan budaya suapan yang berleluasa di bawah kerajaan terdahulu tidak lagi berlaku sekarang. Katanya, budaya suapan tidak berlaku kerana pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah menggunakan wang rakyat untuk tujuan peribadi seperti makan angin ke Disneyland atau jumpa Mickey Mouse dan Donald Duck. "Tapi wang rakyat digunakan untuk rakyat. Contohnya kerajaan negeri mengadakan skim Takaful untuk warga emas seperti dilaksanakan di Kelantan. "Kerajaan Selangor juga akan menubuh tabung khas bayi baru lahir. Dan apabila usianya meningkat 18 tahun mereka boleh keluarkan tidak kurang dari RM1,500," katanya pada ceramah di Taman Puspa, Kok Lanas, malam semalam. Oleh itu Elizabeth mendedahkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor banyak menerima tekanan pelbagai pihak termasuk Umno dan golongan kapitalis sejak memerintah negeri terbabit. Bagaimanapun katanya, tekanan itu tidak mematahkan semangat kerajaan yang sentiasa menyedari mendapat sokongan padu rakyat. "Kita tidak takut kepada sebarang tekanan. Kita dipilih oleh rakyat. Maka amanah rakyat menjadi kewajipan kita. Tidak ada sebab untuk takutkan kepada tekanan," jelasnya. Menurutnya juga keseluruhan rakyat Selangor menerima baik kerajaan sekarang kerana banyak membawa pembaharuan kepada kestabilan tanpa mengira kaum. Pada ceramah itu beliau melahirkan rasa terharu di atas nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika beliau berdepan dengan peristiwa mengaibkan peribadinya sebelum ini. "Nasihat Tuan Guru membuatkan saya merasa tenang menghadapi segala dugaan dan cabaran. Tuan Guru adalah the best and the great. "Saya akan ingatkan nasihat Tuan Guru selama-lamanya. Benar kata Tuan Guru, sabar itu separuh daripada iman. Saya terima hakikat itu dengan penuh keyakinan," ujarnya. Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman, Naib Yang Dipertua PAS Ketereh, Senator Dato' Ahmad Rusli Ibrahim dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chaw. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan