"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat diajar hampiri syirik oleh Umno-BN

Lanh

SALAM 1-Malaysia adalah sia-sia, kata seorang tuan guru ketika mengajar baru-baru ini. Beliau berkata, dalam Islam semua perbuatan ibadah hendaklah berpandukan kepada perintah Allah, diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang kemudian mengajar kepada kaum keluarga, sahabat dan seterusnya turun kepada tabiin, tabik tabiin dan seterusnya sehinggalah kepada alim ulama yang mendidik generasi hari ini.

Pendeknya ada kesinambungannya dan bukan dibuat-buat oleh orang terkemudian. Salam dalam Islam adalah riwayatnya, melakukannya ada hikmah dan ganjarannya, ia akan beterusan kerana ia perintah Allah; tetapi apabila manusia cuba-cuba mencipta sesuatu yang baru yang tiada kiatan dengan perintah Allah dan Rasul ia adalah kerja sia-sia dan dalam sekelip mata akan dilupakan orang.

Salam 1-Malaysia hidup kerana penciptanya berkuasa. Apabila sirnanya kuasa orang tersebut lesaplah ucapan seumpama itu. Contoh terbaik adalah Islam Hadhari yang dilaung-laungkan di sana sini tidak lama dulu, apabila tokoh yang mengada-adakannnya tidak lagi berkuasa, lenyaplah segala slogan dan projeknya. Orang sekarang tidak kedengaran lagi bercakap fasal Islam Hadhari.

Kenapa pemimpin Umno-BN ghairah mereka-reka sesuatu yang baru tetapi merapu seperti Salam 1-Malaysia sedangkan pemberian salam dalam Islam sudah ada dan menjadi satu ibadah? Kenapa mereka gemar, mereka cipta, menokok tambah mengikut akal fikiran sendiri?

Berhubung perkara ini penulis tertarik dengan kupasan Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin mengenai betapa pemimpin Umno-BN menanamkan unsur-unsur syirik kepada rakyat, pada satu majlis ceramah di pejabat penulis di KL baru-baru ini.

Memandangkan ketika itu musim haji, Nizar mengambil tarbiyah yang diucapkan oleh jemaah haji di Tanah Suci sebagai contoh. Talbiyah itu berbunyi: ‘Labbayk, Allahumma, Labbayk, Labbayk, La Shareeka laka, Labbayk. Innal-hamda wan n’imata laka wal-mulk, La Shareekalaka’ yang bermaksud, “Hamba-Mu datang menyahut panggilan Engkau, ya Allah, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi Engkau, hamba-Mu datang menyahut panggilan Engkau. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan, adalah kepunyaan Engkau, tidak ada sekutu bagi Engkau.”

Nizar berkata tarbiyah itu secara terang, jelas dan nyata menyatakan pengakuan seseorang Muslim itu bahawa dia tidak menyegutukan Allah, tetapi mengapa pemimpin Umno-BN mengajar selain Allah, pujian juga perlu diberikan kepada Umno-BN yang kononnya telah banyak berkorban, berjasa dan sebagainya kepada rakyat.

Slogan seperti ‘Hanya BN yang mampu…’ dan ‘Hanya Umno yang mampu…’ menunjukkan betapa pemimpin cuba berlagak sebagai Tuhan, menyakini ia saja yang mampu melaksanakan sesuatu itu.

Nizar berkata kata-kata seperti, “tak ada Umno orang Melayu mundur” adalah berlawanan daripada apa yang diikrarkan melalui tarbiyah di Tanah Suci kerana ia bermaksud “Umnolah memberikan kemajuan kepada orang Melayu” sedangkan hakikatnya Allah-lah yang memaju dan memundurkan sesuatu bangsa itu mengikut kehendak-Nya.

Slogan ‘Umno – dulu, kini dan selamanya’, adalah lebih jelas merapu kerana “sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan, adalah kepunyaan Engkau, tidak ada sekutu bagi Engkau.” Allah-lah penentu segala-gala termasuk pemerintahan di dunia ini, bukannya Umno.

Nizar menyatakan kehairanannya bagaimana jemaah haji yang sudah berikrar bahawa Allah-lah segala-galanya, apabila pulang ke tanah air kembali kepada perjuangan Umno yang tidak meletakkan perintah Allah di kedudukan pertama sebaliknya mentaati pelbagai slogan dan ciptaan parti tua itu (terkini menguar-uarkan Salam 1Malaysia sedangkan Nabi s.a.w. telah mengajarkan cara salam).

Beliau berkata Allah SWT memeliharakan bumi Makkah dan Madinah itu di mana undang-undang Islam terpelihara; sekali gus membolehkan orang yang berada di sana bersemangat untuk beribadat tetapi apabila pulang suasana di tanah air masing-masing mengeruhkan kembali kehidupan mereka.

Katanya, tentulah orang di Makkah dan Madinah tidak menikam ekor dan minum arak, logiknya sebab di sana tiada kedai ekor arak lagi pun pesalah akan dihukum berat mengikut undang-undang Islam; tetapi apabila pulang di tanah air masing-masing, kedai ekor dan arak berlambak, jadi tiada halangan orang mahu bermaksiat, melakukannya.

Demikianlah, akan harmonilah kehidupan jika Islam diletakkan di puncak sebagai pemerintah tetapi jika Islam diperintah, akan huru-haralah masyarakat seperti kita deritai hari ini.

Nizar berkata selain tarbiyah yang menekankan tiada syirik dalam kehidupan seorang Muslim, penghayatan kepada bacaan Al-Fatehah pada setiap kali rakaat solat (17 kali sehari) juga menjelaskan perkara yang sama. Antara ayat dalam surah ini bermaksud: “Hanya kepada Kaulah kami sembah dan Kaulah kami mohon pertolongan.”

Jika sudah jelas dan nyata kepada Allah kita perlu menghalakan sembahan dan permohonan bantuan, maka mengapa hendak dipuji Umno pula? Mengapa pula pemimpin Umno kerap benar mengungkit-ungkit jasa mereka dan parti mereka; merayu-rayu atau mengugut-ugut rakyat agar berterima kasih dan memuja-muji kerajaan Umno-Barisan Nasional?
http://lanh14.blogspot.com/

Tiada ulasan: