Terjemahan dari akhbar Al-Sharq (Qatar)
KEJADIAN membaling bom petrol di tiga buah gereja di Selangor baru-baru ini telah mendapat reaksi daripada Presiden Persatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi yang menyifatkan ia sebagai tindakan liar yang boleh mencetus perbalahan antara penganut Islam dan Kristian yang hidup dalam aman sebelum ini.Menurutnya, ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di beberapa negara Arab yang didiami oleh penduduk beragama Islam dan Kristian seperti di Mesir di mana penganut Kristian Ortodoks menguasai golongan Kristian lain, termasuk Katolik.
Beliau menyatakan kekecewaannya kerana beberapa gereja telah dijadikan sasaran untuk dirosakkan, sedangkan ia amat bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Tindakan itu jelas menunjukkan pelakunya amat jahil dan bukan kerana taksub kepada kelompok muslim tertentu, malah kejadian membakar gereja yang berlaku di Malaysia semata-mata susulan isu orang Kristian menggunakan lafaz 'Allah', sedangkan Allah SWT adalah Tuhan sekelian alam dan bukan hanya Tuhan kepada orang Islam sahaja. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana tindakan itu hanya menyumbang kepada perbalahan yang berpanjangan.
Penjelasan Syeikh al-Qaradawi itu dibuat ketika menyampaikan khutbahnya di Masjid Saidina Umar bin al-Khattab di ibu negara Qatar pada 22 Januari lalu. Dalam khutbahnya itu, beliau dengan tegas menyatakan, bahawa kejadian seumpama itu berlaku adalah disebabkan kejahilan terhadap agama.
Tambahnya, ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah juga di Mesir yang mempunyai ramai ulamak sedangkan umat Islam adalah umat yang beramal dengan sikap toleransi. Selaras dengan tuntutan al-Quran yang mengajar mereka mengenainya dan Allah SWT mencipta manusia terdiri daripada pelbagai jenis keturunan.
Jelasnya, jika Allah SWT menghendaki semua manusia mendapat hidayat petunjuk dari-Nya, makaDia boleh lakukan demikian, tetapi Allah sebut dalam ayat 2 surah at-Taghabun yang bermaksud,"Dialah Yang mengaturkan kejadian kamu; maka ada sebahagian dari kamu Yang kafir dan ada sebahagian dari kamu Yang beriman," serta dalam ayat 118-119 surah Hud yang bermaksud, "Dankalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadikan umat manusia semuanyamenurut agama yang satu (tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia."
Perbezaan manusia dari segi pegangan agama dan asal keturunan adalah merupakan ketentuan Allah SWT, di mana tidak ada seorangpun di kalangan manusia mampu untuk mencampuri urusan-Nya walau apa jua kedudukannya dalam masyarakat, mereka juga tidak boleh memaksa orang lain untuk menjadi orang Islam seperti diri kita.
Justeru, sebagai orang Islam kita tidak boleh memisahkan diri kita daripada kehidupan orang bukan Islam di dunia ini, yang hanya dapat memisahkan diri kita adalah Allah pada hari kiamat, Allah berfirman dalam surah as-Syura, ayat 15, maksudnya: "Allah jualah Tuhan Kami dan Tuhan kamu. bagi Kami amal Kami dan bagi kamu amal kamu, tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara Kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)."
Toleransi adalah jalan terbaik, bukannya fanatik keagamaan melulu (b)
Dalam khutbahnya juga, Syeikh al-Qaradawi menekankan betapa amalan bertoleransi sesama manusia tanpa mengira asal-asul keturunan dan pegangan agama adalah penting bagi memastikankesinambungan bangsa manusia di muka bumi ini.
Beliau menceritakan bagaimana sebuah akhbar Mesir, As-Syuruq al-Misriyyah, bertanya kepadanya adakah beliau mempunyai kawan di kalangan penganut Kristian. Al-Qaradawi menjawab, "saya mempunyai ramai kawan Kristian seperti di Mesir, Dr George Ishaq dan Dr Rafiq Habib, di Palestin Dr Ataillah Hana serta pemikir Azmy Basyarah, di Lubnan, Mishille Edeh. Mereka semua adalah ahli-ahli parlimen yang memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira keturunan dan pegangan agama. Saya amat mesra dengan mereka semua."
Selain itu, Syeikh al-Qaradawi bukan sahaja menganggap penggunaan nama Allah oleh penganut agama samawi (langit) seperti Kristian dibenarkan, malah juga adalah digalakkan, sebagaikaedah bagi menyatukan Persaudaraan Kemanusiaan berdasarkan Tuhan yang sama dan Esa (Tunggal). Kesatuan Ummat Islam pula dipaksikan di atas Kesatuan Tauhid. Islam dan agama secara umum wajar menyatukan, dan tidak sebaliknya, yakni memecah-belahkan manusia.
Maka jelas bahawa dari sudut nas, kebenaran penggunaan nama Allah ini adalah termaktub dalamal-Quran. Lebih penting, harus juga disedari bahawa keseluruhan al-Quran itu sendiri adalah jelmaan dan penghayatan Dakwah dan Risalah Nabi Muhammad s.a.w. dalam tugas besar baginda menterjemahkan maksud sebenar "Islam sebagai Rahmat kepada Sekalian Alam" (Rahmatan Lil-'Alamin). - Diterjemahkan daripada akhbar Al-Sharq (Qatar)
-detikdaily-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan