admin_ann
KUALA LUMPUR, 1 Mac: Selepas Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR, YB Zahrain Mohamed Hashim isytihar keluar parti, Tan Tee Beng turut mengikuti langkahnya.
Tan yang merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal juga dari PKR bertindak keluar parti sebelum Jawatankuasa Tatatertib parti membuat keputusan terhadap kesnya yang ingin menyaman Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng.
Tan yang sebelum ini agresif mengkritik pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang diberi amaran keras oleh kepimpinan parti kerana mengkritik secara terbuka atas sikap dan pendekatan Guan Eng dalam mentadbir parti kerana dilihat tidak telus dan autokratik. Tindakan saman yang dibuat olehnya merupakan satu tindakan peribadi dan ia tidak berkaitan dengan urusan parti sepertimana yang dijelaskan olehnya semalam dihadapan para wartawan. Saman tersebut akan dibuat setelah Guan Eng mendakwa dirinya terlibat dengan campur tangan projek Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Dalam satu kenyataan lain yang dibuat oleh bekas Setiausaha PKR, Datuk Salehuddin Hashim, beliau menjangka seramai 10 orang lagi Ahli Dewan Rakyat dari PKR akan keluar parti. Mereka akan berdiri sebagai ahli Parlimen bebas dan akan membentuk blok sendiri dalam Dewan Rakyat nanti. Sidang Mesyuarat Dewan Rakyat dijadualkan akan bermula pada 15 Mac 2010. PKR merupakan satu-satunya parti politik yang mencatatkan jumlah pimpinan yang keluar dari parti paling tinggi semenjak 8 Mac 2009. Komposisi kerusi Dewan Rakyat antara PKR, DAP dan PAS adalah 30, 28 dan 23.
Sekiranya benar dakwaan yang dibuat oleh Salehuddin, maka jumlah kerusi PKR akan merosot dan kedudukannya paling tercorot dalam Pakatan Rakyat. Secara amalan kebiasaannya, wakil atau ketua daripada parti pembangkang yang mempunyai jumlah kerusi paling banyak akan dipilih sebagai Ketua Pembangkang. -ANN
www.ann.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan