"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sidang DUN Perak Dijadual Berlangsung 30 Mac Ini

Fazallah Pit
KUALA LUMPUR 2 MAC:
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dijadual berlangsung pada 30 Mac ini, demikian kata Speaker lantikan Barisan Nasional, Datuk R Ganesan.

Sidang itu adalah yang pertama kali selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan kontroversi baru-baru ini, apabila mengisytiharkan Datuk Seri Zambry Kadir sebagai Menteri Besar yang sah.

Ganesan membuat pengesahan itu kepada Malaysian Insider dan turut menyatakan notis memanggil sidang DUN telah dikirim kepada 59 wakil rakyat, kelmarin.

Notis tersebut ditandatangani Setiausaha DUN Perak, Rumaizi Baharin dan semua wakil rakyat turut diminta menghantar soalan bertulis sebelum 15 Mac.

Bagaimanapun, dalam sidang DUN berkenaan, setiap wakil rakyat hanya dibenar mengemukakan maksimum lima soalan bertulis dan tiga soalan lisan sahaja.

Sidang pertama penggal ketiga DUN Perak itu dijangka dirasmikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah atau Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah.

Sebelum ini, sidang DUN Perak kecoh hingga menjadi tumpuan dunia selepas kerajaan pilihan rakyat, ditumbangkan melalui rampasan kuasa yang didalangi Barisan Nasional (BN) di dewan berkenaan.

Tragedi itu membawa kepada peristiwa sidang bawah pokok sekali gus mengheret pelbagai polemik perundangan dan demokrasi dan menjadi topik perbahasan politik untuk jangka waktu yang panjang.
-tvselangor-

Tiada ulasan: