G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 6 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan calonnya 13 April ini, dua hari lebih awal berbanding Barisan Nasional (BN).
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, tarikh itu dipilih dengan mengambil kira beberapa pertimbangan.
“Lagipun ia tarikh yang sesuai untuk semua pihak,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.
Pengumuman dijadual dibuat di kawasan Serendah oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
The Malaysian Insider difahamkan perkara itu diputuskan semalam.
Ketika ditanya sama ada PKR akan membuat pengumuman selepas 10 April, Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, “tengok dulu (langkah) Barisan Nasional, tengok dulu.”
Ditanya alasan dua hari lebih awal berbanding tarikh BN yang akan membuat pengumuman calonnya, Abdullah Sani memberitahu, “kami sudah membuat persiapan dari awal, kami tidak gementar untuk menghadapi cabaran... tiada masalah.”
Mengenai calon yang bakal diturunkan pula, Abdullah Sani berkata, perkara itu masih belum diputuskan lagi.
PKR akan mengadakan mesyuarat Biro Politik esok dan perkara itu dijangka diselesaikan oleh jawatankuasa khas pemilihan yang dipengerusikan oleh Wan Azizah.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diumumkan pada 15 April.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah memaklumkan kepadanya mengenai nama calon berkenaan.
“Beliau (Perdana Menteri) sudah memaklumkan kepada saya dan saya akan umumkan pada 15 April ini.
“Insya-Allah... 15 haribulan (April) nanti kita akan jelaskan, (beliau) juga orang tempatan... Insya-Allah,” katanya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan