"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Kartika adu bosan dan sunyi’, kata bapanya

Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 6 April: Kartika Sari Dewi Shukarno yang kini menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat di Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak pusat perlindungan tersebut tetapi mengadu kesunyian.

Dia mula menjalani hukuman tersebut selama tiga minggu bermula Jumaat lalu sebagai gantian kepada enam sebatan atas kesalahan minum arak di khalayak ramai.

Menurut bapa Kartika, Shukarno Abdul Mutalib, setakat ini bekas model sambilan itu ditugaskan untuk menjaga kanak-kanak di rumah perlindungan tersebut.

“Kartika diberi tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Ada lebih kurang 20 kanak-kanak yang diletakkan di bawah pengawasannya.

“Sebenarnya baru hari ini dia mula menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat dan tugas pertamanya adalah menjaga kanak-kanak.

“Saya masih belum tahu lagi apa tugas lain yang akan dia lakukan selain menjaga kanak-kanak kerana hari ini baru mula menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Shukarno berkata, setiap kali berbual melalui telefon anaknya itu pasti akan memberitahu perasaan yang dialaminya.

“Setiap kali telefon, dia pasti akan beritahu yang dia bosan dan sunyi berada di sana.

“Walaupun sebelum ini memang selalu berjauhan namun kali ini ada kelainan dalam dirinya.

“Mungkin dia rindu akan anak-anaknya di sini,” katanya.

Tambahnya, setakat ini Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan pengurusan Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah memberikan kerjasama yang baik.

“Jaip dan pihak pengurusan rumah perlindungan itu memberikan kerjasama yang baik dengan anak saya.

“Mereka juga turut menepati syarat-syarat yang dikenakan sepanjang Kartika berada disana,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: