KUALA LUMPUR, 7 April: Pelajar dan pensyarah Malaysia di Aceh diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kejadian gempa bumi berkekuatan 7.2 skala Richter berlaku di Sinabang pada 5.15 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata mereka semua selamat dan belum ada tanda-tanda berlakunya tsunami setakat ini.
“Saya telah menghubungi pemimpin pelajar Acheh dan pensyarah, mereka semua selamat dan buat masa ini semua pelajar dapat mengikuti kuliah dengan aman,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau juga meminta mereka supaya terus berjaga-jaga dengan ancaman tsunami, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan kira-kira 10km dari pantai.
“Saya telah mengarahkan mereka supaya mengikuti prosedur kecemasan sekiranya ada arahan berpindah oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Junaidy berkata terdapat 165 pelajar Malaysia yang terdiri daripada 130 pelajar tahun akhir dan selebihnya tahun satu, dua dan tiga yang menuntut di Universitas Islam Negeri ArRaniri, dekat sini.
Beliau berkata pihaknya akan melaporkan situasi terkini keadaan di sana dari semasa ke semasa.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan