Seiring dengan itu, parti itu kini berusaha untuk menambah keanggotaannya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Namun, ia masih perlu menjaga barisan keanggotaan sedia ada yang disifatkan sebagai penyokong paling setia parti itu.
Katanya, ada di kalangan mereka itu yang sanggup menjual kotak terpakai, malah memandu 'prebet sapu' untuk hadir ke Kelantan Trade Centre.
"Keikhlasan ada. Mereka tak minta pasir, jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan. Apa mendorong mereka datang?" soalnya ketika menyampaikan ucapan penggulungannya.
Malah, katanya, berbanding parti yang lebih berkemampuan seperti Umno, para perwakilan yang hadir dikenakan bayaran sebanyak RM20, manakala ahli yang masuk sebagai pemerhati pula ditetapkan bayaran RM10.
Soalan itu sedikit sebanyak meredakan tuntutan yang ditimbulkan para perwakilan, berhubung penjawatan dalam syarikat kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan.
MB umum jawatan baru
Secara khusus, para perwakilan menghamburkan persoalan itu kepada menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, memandangkan negeri tersebut didominasi PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat.
Sidang kali keenam ini menyerlahkan lagi keresahan mereka apabila PKR dilihat lebih mengutamakan golongan 'elit' berbanding anggota akar umbinya yang rata-ratanya kaum buruh.
Ini mendorong Khalid Ibrahim untuk mempersetujui saranan-saranan yang ditimbulkan itu.
Dalam ucapannya, beliau mengumumkan penubuhan jawatan baru di negeri itu -- pegawai pembangunan DUN, yang sebelum ini dikenali sebagai exco angkat.
Sebagai timbal balas, PKR juga mahu memperkukuhkan lagi strukturnya dengan mempergiat program tarbiah bagi mengelakkan kejadian lompat parti daripada terus berlaku.
Untuk itu, presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail dicadangkan sebagai 'profesor sepenuh masa' di 'Universiti Politik Keadilan' oleh ketua biro latihannya Mustafa Kamil Ayub.
'Seorang lagi kaki judi kuda'
Seperti yang didedahkan timbalan presidennya Senator Dr Syed Husin Ali, Mustafa Kamil berkata PKR tidak mahu calon wakil rakyat menyertai PKR demi mendapatkan kepentingan peribadi.
"Waktu itu dia di Kelantan adalah untuk dapat peluang pekerjaan, dapat kontrak pembalakan yang boleh beri kesenangan kepada dia untuk menanggung anaknya yang belajar di luar negara tapi akhirnya apa berlaku?
"Dia masih boleh hidup senang, tapi tak sesenang (yang) dia harap bila jadi MP dan ketua di Pulau Pinang.
"Bila digugurkan, dia marah. Bila (tidak dapat) kontrak, dia maki hamun ketua umum. Dalam kemarahan, mudah didekati mereka yang boleh dihulurkan senang banyak. Maka dia keluar dengan burukkan parti.
"Seorang lagi kaki judi kuda. Waktu malam berkaraoke, hutang banyak. Hutangnya dengan ah long," katanya ketika menyifatkan sikap dua orang wakil rakyat PKR yang melompat parti.
Ucapan Syed Husin itu bagaimanapun tidak 'mendedahkan' bukti yang duar-uarkan oleh ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak hari pertama kongres pada Jumaat -- berhubung dakwaan tawaran RM2 juta dan kontrak kepada wakil rakyat PKR yang lompat parti.
Penyusunan semula organisasi
Anwar bagaimanapun berkata, disiplin parti akan ditingkat melalui proses penyusunan semula keseluruhan majlis pimpinan tertinggi parti itu, kecuali jawatan presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung dalam pemilihan selepas ini.
"Saya sebelum ini susah untuk ambil tindakan -- 'saya setia dalam parti', bila cakap begitu susah," katanya.
Sebagai tanda 'restu' kepada Khalid, Anwar turut menyimpulkan, negeri yang dikuasai Pakatan akan kekal bersih, seperti yang berlaku dalam pentadbiran Selangor.
"Baik di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah atau Selangor, saya sedikitpun tidak ragu dengan pimpinan yang pegang amanah untuk tidak khianat.
"Orang kata (Pakatan) kapal karam ke, whatever. Bagi seorang pemerhati yang objektif, apakah kelainan untuk Malaysia?
"Sumbangan terbesar kita ialah, kita telah berjaya membuat transformasi budaya politik," tegasnya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan