MerdekaReview
Pujian berbaur teguran ditujukan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang didominasi oleh PKR, dalam Kongres Nasional Tahunan PKR ke-6 ini. Sementara prestasi Khalid Ibrahim dalam pentadbiran negeri diiktiraf, Menteri Besar ini juga diingatkan bahawa"kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat" adalah kepercayaan bersyarat oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat dan KEADILAN khususnya di Selangor, adalah kepercayaan bersyarat," ulangi Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Kelantan Trade Centre, hari ini.
"Harapan rakyat yang diungkapkan melalui manifesto, perlu diterjemahkan dengan sebaiknya melalui pelaksanaan yang menepati tuntutan," tegurnya.
Bagaimanapun, Wan Azizah Wan Ismail menyusul, "Bukan mudah untuk memimpin Selangor, apatah lagi selepas 50 tahun diporak-perandakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN). Tahniah diucapkan kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat, yang bertungkus lumus, mentadbir negeri dengan baik, walaupun terpaksa berhadapan dengan karenah dan tentangan dari luar mahupun dari dalam."
Diselubungi berita negatif
Khalid Ibrahim telah diasak oleh UMNO dan Utusan Malaysia sejak menerajui tampuk pimpinan kerajaan negeri Selangor pada tahun 2008. Bermula dengan kontroversi "kes lembu", "projek ladang khinzir" yang dibangkitkan oleh musuh parti, kini Khalid terjerat dalam "isu pasir" yang dibangkitkan oleh pemimpin parti sendiri. Malah, blogger terkenal Raja Petra Kamaruddin turut melemparkan kritikan terhadap Khalid.
"Sesungguhnya, pengiktirafan tidak datang dengan percuma. Kerajaan Negeri Selangor perlu terus menjunjung aspirasi rakyat, aspirasi parti dan aspirasi Pakatan Rakyat," kata Wan Azizah (gambar kiri, kanan).
"Tempoh dua tahun memimpin, pelbagai dasar yang meletakkan rakyat di hadapan telah dilaksanakan. Program-program kebajikan ini perlu disokong dan diperhebatkan. Kerajaan Negeri perlu lebih kreatif menggembleng tenaga dengan aktivis parti untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kebaikan dari program sebegini."
Wan Azizah menyambung, "Pada masa yang sama, jangan kita lupa bahawa rekod dua tahun kerajaan negeri Pakatan Rakyat, adalah satu rekod yang membanggakan. Cubaan demi cubaan dibuat untuk menyabitkan kerajaan Selangor dengan rasuah gagal."
Politik adalah persoalan persepsi
Bagaimanapun, Wan Azizah sempat memberi cadangan kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat seperti yang berikut;-
Pertama, percepatkan pelaksanaan keputusan dan kelicinan pentadbiran. Kenal pasti undang-undang, dasar dan arahan pekeliling yang menjadi punca kepada kelewatan dan birokrasi remeh untuk disemak, dipinda mahupun dibatalkan.
Kedua, pastikan perkhidmatan dan bantuan kerajaan negeri sampai hingga ke peringkat yang terbawah.
Ketiga, perhebatkan pelan pembangunan ekonomi negeri yang berlandaskan Agenda Ekonomi Malaysia.
Keempat, penuhi harapan rakyat di dalam perkhidmatan kerajaan tempatan. Penghulu, JKKK, Ahli Majlis dan pemimpin setempat perlu memainkan peranan penting kerana anda adalah wakil kita dengan rakyat. Program-program untuk meningkatkan keberkesanan mereka perlu dilaksanakan dengan segera.
Kelima, jentera penerangan Kerajaan Negeri perlu lebih agresif, proaktif dan kreatif untuk memastikan dasar-dasar dan maklumat Kerajaan Negeri sampai ke kumpulan sasaran. Harus diingat, politik adalah persoalan persepsi.
Khalid jadi tumpuan
Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim menjadi tumpuan dalam Kongres Nasional Tahunan ke-6 ini. Mula dengan Kongres AMK semalam, kritikan terbuka terhadap Khalid diberi penghargaan, biarpun pendekatan ini tidak mendapat persetujuan semua pihak. Pada pagi ini, beberapa teguran mahupun jenaka yang diajukan kepada Khalid, mencungkil reaksi yang berbeza.
Dalam slot Ucapan Pemimpin Pelbagai Kaum seterusnya, wakil dari kaum Cina, Chang Lih Kang turut menyentuh kerajaan Selangor. Chang Lih Kang mulakan ucapan dengan memuji dasar ekonomi yang memanfaatkan rakyat, misalnya bekalan air percuma, pemberian sumbangan kepada warga emas dan sebagainya, namun meluahkan kekecewaannya kepada pimpinan parti berikutan kekalahan PRK Hulu Selangor.
Beliau yang turut berkongsi kekecewaan selepas kekalahan PRK Hulu Selangor, berkata PRK bukan sahaja kalah dari segi undi, malah dari segi maruah. Chang Lih Kang menegur kerajaan Selangor kerana terbawa-bawa dengan amalan negatif BN, misalnya memberi sumbangan kepada pengundi, penggunaan kereta rasmi untuk berkempen di Hulu Selangor semasa tempoh kempen pilihan raya.
"Bukan sahaja kita kalah undi, tetapi kita kalah maruah. Kita hilang ketinggian moral untuk mengkritik BN apabila kita juga berbuat demikian," kritikannya dibalas dengan tepukan dari bawah pentas.
Bagaimanapun, beliau mendakwa bahawa dirinya tidak berniat untuk menyasarkan kritikan ini kepada MB Selangor mahupun kerajaan negeri Selangor, tetapi pimpinan parti yang seharusnya memberi arahan untuk menghalang amalan negatif ini.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan