Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menuntut agar wakil penduduk serta Ahli Parlimen Titiwangsa, Menteri Besar Selangor sekarang dan akan datang dilantik sebagai anggota Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang bakal ditubuhkan oleh Kerajaan.
DPPWP juga mempertikaikan kenapa Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali dan juga Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dijemput menyertai pemukiman khas mengenai penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang bermula semalam hingga 4 Ogos ini di Melaka.
YB Dr. Lo’lo’ adalah wakil rakyat yang sah dipilih oleh majoriti penduduk Titiwangsa dan Kampung Baru sebagai suara rasmi mereka. Tan Sri Khalid Ibrahim atau wakilnya pula wajib dijemput kerana sebahagian tanah di Kampung Baru masih milik PKNS.
DPPWP menyelar sikap Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang membelakangkan wakil-wakil rakyat ini tetapi dalam masa yang sama menjemput wakil Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) yang juga entiti rasmi Biro Ekonomi Umno ke permukiman berkenaan.
DPPWP tiada masalah jika Umno dijemput sekali tetapi, mahu pihak Menteri bersikap adil dan tidak meletakan kepentingan politiknya dengan mengenepikan suara dari Wakil Rakyat PAS-Pakatan Rakyat yang dipilih rakyat.
DPPWP juga mempersoalkan cadangan yang mahu melantik Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai Pengerusi Lembaga Perbadanan ini dengan anggotanya terdiri daripada:
-Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar atau wakilnya
-Ketua Setiausaha Kewangan atau wakilnya
-Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri atau wakilnya
-Peguam Negara atau Wakilnya
-Ketua Pengarah Bandaraya Kuala Lumpur, dan;
-Dua wakil Profesional
Dari senarai diatas, wakil MAS (Malay Agriculture Settlement) langsung tidak dilantik begitu juga dengan wakil-wakil penduduk termasuklah wakil rakyat. Organisasi ini bakal menentukan masa depan Kampung Baru maka, wajarlah mereka yang tinggal menetap dan mempunyai kepentingan di kampung berkenaan dilantik untuk memastikan hak-hak mereka tidak diabaikan semasa dan selepas proses pembangunan dilakukan.
DPPWP juga mahu perlantikan kontraktor dan tender bagi memajukan projek Pembangunan Kampung Baru juga dibuat secara terbuka dan bukannya diserahkan secara terus kepada Kontraktor Umno dari GABEM sahaja.
Dan paling penting, Kerajaan haruslah menawarkan pakej yang lebih munasabah kepada penduduk jika mahu membangunkan Kampung Baru dan memastikan segala aset jualan atau sewaan tidak dibuka kepada bukan Melayu. Kampung Baru haruslah dibangunkan sebagai model perkampungan warisan moden ditengah-tengah kepesatan bandaraya Kuala Lumpur.
Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewang Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan