"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sila dedah rahsia saya, Nazri cabar Ibrahim Ali

Ibrahim mendakwa beliau “mengetahui DNA” pemimpin-pemimpin Umno yang membidas Perkasa. — Gambar fail
KUALA LUMPUR, 27 Sept — Datuk Seri Nazri Aziz, yang secara konsisten mengkritik Perkasa dan kepimpinannya, mencabar Datuk Ibrahim Ali, yang memberi amaran kepada tiga pemimpin kanan Umno termasuknya dirinya, supaya mendedahkan apa saja rahsia yang beliau dakwa ada sekarang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini menegaskan, ugutan Ibrahim kelmarin sama sekali tidak membimbangkannya, sebaliknya tindakan wakil rakyat Bebas itu memperkuatkan beliau dalam menentang sikap “rasisme” yang dibawa oleh Perkasa.
“Saya mahu Ibrahim Ali mendedahkan apa saja rahsia yang beliau ada tentang diri saya. Saya mencabar beliau.
“Lebih baik beliau mendedahkan secepat mungkin kerana saya akan terus menyerang Perkasa dan saya akan terus melawan beliau,” kata Nazri kepada The Malaysian Insider.
Di Pasir Mas kelmarin, Ibrahim memberi amaran kepada tiga pemimpin Umno supaya tidak lagi mempersoalkan perjuangan pertubuhan Melayu itu yang ditubuhkan dua tahun lalu untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.
Ketiga-tiga pemimpin tersebut adalah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Nazri dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Ketiga-tiga pemimpin tersebut pernah mendakwa Perkasa boleh menjadi punca kepada BN kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum ke-13.
“Saya kenal siapa mereka, mereka sepatutnya tidak salahkan Perkasa,” kata beliau sambil mendakwa, “Saya tahu DNA mereka.”
“Kalau saya dedahkan nanti, jadi berperang pula,” kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
“Jadi lebih baik cukup sampai di sini sahaja,” katanya.
Nazri kelihatan lantang dalam menzahirkan pendiriannya sejak kebelakangan ini berhubung tindak tanduk Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan dua tahun lalu, menghakis sokongan Barisan Nasional (BN) khususnya di kalangan bukan Melayu.
Bagaimanapun Ibrahim dalam perhimpunan Perkasa di Pasir Mas kelmarin juga mendakwa pandangan ketiga-tiga pemimpin Umno itu berbeza daripada pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden mereka.
“Adakah Ibrahim Ali tahu apa itu konsep 1 Malaysia? Jika kita bercakap dalam bahasa yang sama seperti Perdana Menteri, jadi mengapa kami menyokong konsep 1 Malaysia? Bagaimana, beliau lebih mengetahui berbanding saya? Tolong lah,” kata Nazri.
Ahli Parlimen Padang Rengas ini berkata Ibrahim, bekas ahli Umno, memerlukan penelitian realiti untuk memahami siapa dalam kerajaan dan siapa yang memimpin pertubuhan bukan kerajaan.
“Siapa dalam Kabinet? Siapa yang menganggotai Majlis Tertinggi, dan siapa dalam Umno? Sudah tentu bukan Ibrahim Ali,” kata beliau.
“Dedahkan apa sahaja yang anda ada, silakan. Dedahkan, saya cabar anda,” tambah ketua bahagian Umno ini.
Nazri bersama dengan Khairy dan Tengku Adnan secara konsisten melahirkan pendirian Umno mesti menjauhkan diri daripada Perkasa pimpinan Ibrahim.
Khairy berpegang pada pendirian bahawa BN akan kehilangan sokongan bukan Melayu sekiranya ia dengan segera tidak menjauhkan diri daripada Perkasa.
Bagaimanapun Perkasa menerima sokongan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan penaung mereka.
Dr Mahathir menghadiri perhimpunan Pasir Mas kelmarin.
malaysianinsider-

Tiada ulasan: