"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Protes air Pakatan, GAPS anti-Selangor mahu polis tindak profesional

Penganjur ingin mengelakkan tindakan polis menggunakan anggota FRU dan gas pemedih mata untuk meleraikan peserta. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kedua-dua kumpulan yang merancang mahu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini sudah bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan termasuk tindakan pihak berkuasa yang dijangka akan berusaha menghalang usaha mereka. 

Himpunan kedua-dua kumpulan ini dilihat akan mengulangi tindakan polis menggunakan anggota FRU dan gas pemedih mata untuk meleraikan peserta anti-ISA dan pro-ISA di ibu negara pada Ogos 2009.

Namun, kali ini kedua-dua kumpulan — Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan kumpulan anti-kenaikan harga air anjuran kerajaan Selangor berharap pihak berkuasa terutamanya polis dapat menjalankan tugas dengan adil dan profesional bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

GAPS, gabungan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pula akan menyerahkan memorandum berhubung 30 penyelewengan yang didakwa berlaku di Selangor, di bawah kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sementara itu, demonstrasi aman dan perarakan anjuran kerajaan Selangor bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menentang kenaikan harga air di negeri itu dan mereka akan bergerak dari Masjid Negara ke Istana Negara selepas solat Zohor dan solat hajat.

“Kita akan berkumpul di Masjid Negara pada pukul 12 tengah hari, kemudian kita akan menunaikan solat Zohor, diikuti solat hajat.

“Selepas itu baru kita akan bergerak ke Istana Negara, perarakan ini akan diketuai Menteri Besar, barisan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun),  Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jentera parti Pakatan Rakyat, ketua-ketua kampung, mahasiswa dan orang ramai,” kata penyelaras kempen antikenaikan harga air Selangor Dr Badrul Amin Bahron ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut Badrul Amin, semua persiapan akhir sudah dibuat dan dijangkakan kira-kira 20,000 orang dari seluruh negara akan menyertai demontrasi aman dan perarakan itu.

Tambahnya, kira-kira 500 pegawai keselamatan terdiri daripada Unit Amal PAS, Bridget Keselamatan PKR, Penyelaras Komunikasi dan Solidariti Anak Muda akan mengawal dan menjaga keselamatan sepanjang demonstrasi itu diadakan.
“Kita sudah kerahkan 500 pegawai keselamatan kita untuk menjaga keselamatan semasa demonstrasi ini berjalan, kesemua pegawai keselamatan ini ditempatkan di sepanjang perjalanan menuju ke Istana Negara.

“Walaupun polis akan mengawal keadaan esok (hari ini) dan mungkin juga akan melakukan sekatan di beberapa jalan kita harap pegawai keselamatan kita ini dapat menjalankan tugas dan menunjukkan kepada penyokong laluan yang betul menuju ke sana (Istana Negara),” katanya.

Badrul Amin turut meminta supaya semua penyokong yang menyertai perarakan berkelakuan baik dan tidak termakan dengan provokasi yang mungkin akan dilakukan GAPS.

“Kepada penyokong saya minta supaya mereka bersabar, berdisiplin, mengikut arahan dikeluarkan, jangan berkelakuan tidak elok dan jangan termakan dengan provokasi yang dibuat pihak satu lagi.

“Kita juga harap supaya pegawai keselamatan kita dan pihak polis dapat mengawal keselamatan agar rancangan murni kita akan berjalan lancar,” katanya.

Namun bagi GAPS lain mula jadinya apabila kumpulan itu masih belum mempunyai lokasi untuk berkumpul dan masih menunggu kebenaran daripada pihak polis.

Menurut Pengerusi GAPS Hamidzun Khairuddin, pihaknya masih belum mempunyai lokasi untuk berkumpul dan masih mengadakan perbincangan dengan pihak polis.

“Bagaimanapun kita akan berkumpul pada pukul 11 pagi, tempat kita belum tahu.

“Kita akan tetap teruskan usaha ini dan mengenai lokasi tiada masalah, kita akan pastikan tempat itu,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan mereka akan berkumpul di Jalan Bellamy, berhampiran Istana Negara.

Hamidzun berkata dijangkakan 3,000 orang akan menyertai perarakan untuk menyerahkan memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Persiapan akhir kita sudah buat, arahan juga sudah dikeluarkan dan kita jangkakan 3,000 penyokong akan mengiringi kita ke Istana Negara.

“Yang penting, kita ingin menyampaikan hasrat ini tentang 30 perkara penyelewengan kerajaan Selangor.

“Saya juga minta agar kita tidak akan bertembung dengan kumpulan satu lagi bagi mengelak sebarang kejadian berlaku,” katanya sambil berkata akan menyerahkan memorandum itu sebelum ataupun selepas kumpulan antikenaikan harga air menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga turut meminta supaya polis dapat menjalankan tugas dengan baik dan profesional bagi menjaga keselamatan awam.

“Kita harap polis dapat menjalankan tugas mereka dengan baik, jangan halang perarakan yang kami ingin lakukan.

“Sila hormati hak kami untuk mendapat keadilan bagi seluruh rakyat Selangor,” katanya.

Kelmarin, Hamidzun berkata GAPS akan berkumpul di Masjid Jamek sebelum berarak ke Istana Negara.

Kedua-dua kumpulan ini boleh dibezakan dari aspek pemakaian yang mana GAPS akan memakai baju berwarna hitam manakala kumpulan antikenaikan harga air akan memakai baju berwarna merah.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: