Muhammad Hafizuddin
Kesatuan rakyat Tunisia yang hanya dibina di laman-laman alam maya memperlihatkan betapa tinggi momentum rakyat sesebuah negara yang mempunyai keinginan untuk hidup di dalam sebuah pemerintahan yang adil serta aman. Rakyat sesebuah negara hanya mahu pemimpin yang menyayangi rakyat, sama sekali menolak seorang ketua kerajaan yang mementingkan diri sendiri dan keluarga semata-mata.

Pemerintahan yang kejam dan bersifat diktator masih tidak mampu untuk menghalang kebangkitan rakyat. Kuasa rakyat sekali lagi dilihat sebagai perubah masa depan negara apabila rakyat Mesir melancarkan protes secara agresif menuntut supaya Hosni Mubarak dijatuhkan. Rakyat Mesir yang berbilang agama dengan majoriti beragama Islam dan Kristian bersatu hati untuk menumbangkan kerajaan yang zalim.
Hosni yang boleh digelarkan sebagai Firaun moden dilihat buntu dan dilema. Masih berego tinggi untuk melepaskan jawatan demi kepentingan diri sendiri. Walhal Ben Ali sudah menjadi cerminan yang baik kepada Hosni. Hosni perlu membuat keputusan seperti Ben Ali atau diputuskan oleh rakyat seperti Anwar Sadat.
Kebangkitan ini juga menjadi titik permulaan kepada rakyat negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia. Cetusan idea untuk mengawal media serta saluran internet yang ditimbulkan di peringkat Kementerian Dalam Negeri seolah-olah mengambil langkah waspada. Kebimbangan negara-negara besar dunia juga semakin meruncing. Revolusi dunia akan berulang kembali. Bukan lagi perang negara dengan negara tetapi perang rakyat dengan kerajaan zalim.
Suasana protes di dua negara tersebut tidak mustahil andai berlaku di negara aman Malaysia. Kezaliman kerajaan Malaysia ditonjolkan dengan cara halus atau peringkat saraf. Namun, rakyat bukan lagi bodoh. Dunia teknologi hari ini mampu membuka satu demi satu penyelewengan yang berlaku. Ruh kebangkitan semakin menerap ke dalam jiwa-jiwa rakyat Malaysia. Hanya masa yang menentukan. Kesabaran yang terpendam akan memuncak apabila tiba waktunya.
Hebat mana sekali pun sesebuah kerajaan yang memerintah, tidak mampu berkekalan lama andai cuba mengambil hak rakyat sebagai kepentingan golongan mereka. Kezaliman terhadap golongan pengak keadilan sejagat akan membuka mata dunia. Sezalim-zalim Firaun pun tumbang dan kalah. Tidak mustahil untuk rakyat bangkit menentang Firaun Moden ini.
Rakyat Sedar Negara Selamat.
WE UNITE FOR ISLAM
Muhammad Hafizuddin Bin Muhamed Noor
Mahasiswa UIAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan