"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maharajalela Rasuah Dalam Jabatan Kastam

Mohd Sayuti Omar
PENDEDAHAN SPRM berhubung kehilangan wang negara sebanyak RM108 billion setiap tahun sungguh mendukacitakan. Sebanyak RM10 billion dipinda secara haram. Kesal dan rasa hendak marah atas apa yang berlalu. Bagi mereka yang tahu menghitung dan tahu implikasi ke atas kewangan negara atas perbuatan itu benar-benar merasa geram dan dukacita. Kenapa ini berlaku?

Yang megejutkan kehilangan itu ada sangkut paut dengan Jabatan Kastam di Raja Malaysia (JKDM), yang diberi tanggungjawab mengutip pelbagai cukai untuk pendapatan negara. Jabatan ini bolehlah dianggap sebagai tangan yang menentukan berapa banyak wang negara dihimpun untuk perbendaharaan negara.

Kalau mereka menyeleweng tidak amanah dan lebih mementingkan diri sendiri, jelas amanah itu sudah diabaikan. Perbuatan mereka yang terlibat bukan saja merugikan negara dan meletakkan jabatan itu ditahap yang paling rendah.

Apa lagi wang yang hilang membabitkan jabatan ini bukan sedikit.

Mungkin ada kalangan kita akan tertanya-tanya kenapa terjadi demikian? Kenapa begitu buruk sekali jabatan berkenaan? Apakah keperluan hidup mereka tidak mencukupi sehingga sanggup mengambil idea syaitan untuk mengenapkannya?

Bila terdedahnya malapetaka akibat JKDM hari ini maka saya teringat apa yang pernah saya dengar sebelum ini. Sukar untuk dipercayai sebenarnya, tetapi bila SPRM meledakkan hari ini baru saya merasakan apa yang saya dengar itu ada benarnya, bukan sesuatu prejudis.

Pernah saya mendengar seorang bekas pengarah JKDM memberi laluan kepada mana-mana pegawainya menerima rasuah asalnya perbuatan berkenaan tidak menjejaskan nama baik jabatan. Kerana keperluan untuk hidup, rasuah dibenarkan. Beliau sendiri katanya hidup mewah lebih daripada pendapatan sebagai seorang pengarah. Paling menyedihkan lagi beliau akan berbangga kalau dapat menyamun (terima rasuah) dalam angka yang besar.

Yang paling mengejutkan lagi perbuatan itu diketahui oleh perdana menteri ketika itu tetapi beliau (PM) juga seakan-akan membenarkannya. Mungkin hasil penyamuan secara rasuah itu ada habuan untuk dirinya juga atau pun kepentingan-kepentingan politiknya.

Jadi apakah bahana atau pun seperti mana diistilah oleh SPRM itu tangan kotor dalam jabatan berkenaan wujud atas aspirasi dan semangat dan dorongan pengarah berkenaan? Mungkin dan saya yakin kenapa ada tangan-tangan kotor begitu ialah kerana mereka mendapat blessing dan perlindungan daripada pihak tertentu.

Saya percaya dan yakin perbuatan mereka sebelum ini bukan tidak boleh dihidu, tetapi kerana ada persekongkolan secara bersepadu maka mereka dibiarkan saja. Kenapa hari ini mereka dibenteras, mungkin keadaanya sudah parah dan menjadi budaya dalam jabatan berkenaan.

Kita berharap atas jenayah yang berlaku itu hendaklah dipertanggungjawabkan. Dalam hal ini pihak yang perlu bertanggungjawab ialah menteri yang mengawal jabatan berkenaan. Dan sehubungan itu sekali lagi kerajaan perlu merombak keseluruh jabatan berkenaan, membersih saki baki pengkhianat negara yang berselindung di sebalik jabatan berkenaan.

Isu kehilangan wang itu bukan berhenti setakat SPRM menahan 62 orang pegawai kastam saja tetapi ia perlu mendalam ke sarafnya. Saya percaya rasuah itu tidak akana menular begitu sekali kalau tidak ada pesekongkolan bersepadu dengan pihak berkuasa dalam politik.

Tahniah kepada SPRM, dan kejayaan itu integriti dan keyakinan orang ramai kepada SPRM akan lebih melonjak lagi. Semoga selepas ini SPRM akan menbongkar rasuah di jabatan atau agensi kerajaan lain pula.

Tiada ulasan: