"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seruan Buat Tengku Razali Hamzah

anak_muar
Syaabas buat seorang tokoh veteran UMNO iaitu Tengku Razali Hamzah atau Ku Li yang dilihat masih mempunyai pemikiran dan pertimbangan politik yang begitu rasional serta adil tanpa rasa gentar dan takut meluahkan pandangan dan kritikannya terhadap tindak tanduk UMNO dalam beberapa isu yang dilihat bertentangan dengan etika politik yang sepatutnya.

Walaupun kritikannya keras dan pedas namun Ku Li dilihat masih tetap setia kepada UMNO. Mungkin Ku Li mempunyai alasan yang tersendiri mengapa beliau masih berada dalam UMNO walaupun amat jelas mendapati bahawa asas perjungan UMNO telah nyata tersasar dari perjuangan yang sebenar.Jenerasi kepimpinan UMNO yang ada sekarang dilihat begitu rakus dengan kuasa serta mengamalkan budaya politik yang merosakkan imej UMNO sendiri. Budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah tidak terbendung lagi kerana kepentingan peribadi telah mengatasi asas perjuangan parti.

Sepatutnya ahli UMNO bawahan berasa syukur kerana di dalam UMNO masih ada Ku Li yang berani menegur pihak kepimpinan atasan UMNO dalam pelbagai perkara yang melibatkan kepentingan parti mahupun rakyat bawahan. Kita akui di dalam UMNO sekarang budaya angguk dan pengampu telah menguasai segenap pelusuk ahli parti dari peringkat atasan hinggalah bawahan. Apa juga keputusan yang dilakukan oleh barisan pucuk kepimpinan samada betul atau salah serta merugikan hanya diiyakan sahaja oleh ahli-ahli mahupun yang berjawatan kerana semata-mata demi menjaga kedudukan dan jawatan dalam parti mahupun kerajaan. Budaya inilah yang merosakkan UMNO selama ini.Demokrasi yang kononnya dilaungkan dalam UMNO adalah demokrasi mengikut kehendak dan selera pemimpim sahaja.

Jelas bahawa apa yang ingin diperjuangankan oleh Ku Li terhadap UMNO yang ada pada hari ini adalah sudah tidak sesuai lagi dan jelas tiada tempat untuk beliau membawa perubahan yang baik kepada parti yang dicintainya ini iaitu UMNO. UMNO jelas telah dikuasai oleh para golongan yang rakus dan tamak terhadap kuasa tanpa batas.Peranan dan jasa Ku Li sudah tidak dipandang sama sekali oleh kepimpinan yang ada sekarang. Dan cukup jelas cubaan Ku Li untuk bertanding kerusi presiden UMNO telah gagal sebanyak 3 kali berturut dalam misi beliau hendak melakukan perubahan terhadap UMNO. 

Sudah tiba masanya Ku Li memikirkan satu platform baru bagi menterjemahkan matlamat perjuangan beliau terhadap Agama, Bangsa dan Negara bersama Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR. Memandangkan Ku Li sudah ada pengalaman menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang satu ketika dulu selain mempunyai hubungan baik dengan para pemimpinnya maka sudah tidak banyak masa atau masalah bagi Ku Li untuk menserasikan ideologi perjuangan beliau dengan PR. Inilah masanya bagi Ku Li mempamirkan pengalaman dan kemampuan beliau untuk bersama-sama PR dalam melakukan perubahan yang total terhadap Agama. Bangsa seterusnya negara Malaysia yang tercinta ini.

Tiada ulasan: