"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib Enggan Rasmi LL4G Jika Mohamad Sabu Hadir


KUALA LUMPUR, 19 JUN: Perdana Menteri Najb Razak mengugut untuk enggan hadir merasmikan pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) jika Timbalan Presiden PAS turut dijemput untuk berucap diatas pentas yang sama.

Justeru, pihak penganjur terpaks membatalkan jemputan kepada Mohamad Sabu, selepas mendapat tekanan daripada pejabat Perdana Menteri (JPM), Harakahdaily  melaporkan.

Seorang petugas yang enggan dikenali berkata, JPM memaklumkan kepada pihak penganjur, jika jemputan kepada Mohamad Sabu diteruskan, Najib tidak akan menghadiri program perasmian LL4G itu.

"Pihak JPM maklumkan kepada kita, Datuk Seri Najib tak nak Mohamad Sabu menyampaikan pidato.

"Kalau penganjur nak teruskan juga dengan Mohamad Sabu, PM pula tak mahu datang rasmi," kata petugas tersebut.

Sehubungan itu, nama Mohamad Sabu dikain rentang ditutup dan sebagai ganti, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar dijemput untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan tokoh politik PAS itu.

Mohamad yang dihubungi Harakahdaily juga mengesahkan pembatalan itu.

"Semalam penganjur kata saya dijemput berucap tentang isu Palestin selama 10 minit.

"Tiba-tiba hari ini kata tak boleh pula, sedangkan dalam media semua dah sebut saya akan berpidato malam ini. Saya rasa dipermainkan," katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, Bernama melaporkan pada perasmian LL4G, malam semalam, Najib berkata Malaysia akan meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memastikan keselamatan flotilla kemanusiaan yang bakal berlepas ke Gaza pada minggu depan.

Najib berkata beliau akan menulis kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon untuk melantik wakil bagi memeriksa dan mengesahkan flotilla kemanusiaan itu yang disertai lebih 600 pertubuhan bukan kerajaan dari 20 negara itu tidak membawa sebarang senjata, dan semata-mata membawa bantuan kemanusiaan. 

Malaysia juga meminta PBB supaya memastikan keselamatan kapal-kapal flotilla kemanusiaan tersebut semasa ia berada di perairan antarabangsa.

Seramai 10 orang rakyat Malaysia, termasuk dua wakil media akan turut sama dalam pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) kali kedua ke Gaza yang dikenali sebagai "International Freedom Flotilla II". 
-tvsnews-

Tiada ulasan: